Monday, July 3, 2017

Ku Nampak Bulan Itu

Nina baru berpindah duduk dengan Mak Lang Jenab bersama dua orang lagi anaknya, dua hari yang lalu. Katanya nak tukar angin duduk kampung, ambil berkat bulan Ramadhan ini.
“Mak, betul ke Kak Nina nak duduk sini sampai raya?”soal Rini, anak dara Mak Lang Jenab.
“Itulah yang Pak Long kau bagitahu mak. Buang tabiat betul si Nina ni, orang nak duduk bandar. Dia pulak nak duduk kampung,” keluh Mak Lang Jenab.
“Kenapa tak nak duduk rumah Pak Long kat KL tu saja mak. Semua ada, orang gaji pun sampai dua tiga orang. Sudahlah dia tak biasa duduk Malaysia. Duduk di rumah atok dia kat luar Negara sana, mana sama dengan kampung kita ni mak,”rungut Rini yang resah dengan kehadiran Nina.
“Ini semua cerita Abang Ishaq dialah tu. Kak Nina akan balik dengan Abang Ishaq dia sekali. Lepas tiga hari nanti, Abang Ishaq kamu tu nak ke Penang ada tugas di sana. Itu yang Kak Nina kau tu duduk sini sampai Abang Ishaq dia ambil nak dekat raya nanti,”jelas Mak Lang Jenab.
Rini sudah memintal-mintal selendang yang tersarung di kepalanya. Hatinya resah dengan kehadiran Nina di rumahnya. Mana dia biasa bercakap dengan kakak sepupunya yang bercakap berterabur Bahasa Inggeris. Mahu tercabut gigi putihnya nak bercakap macam tu dengan Nina nanti. Peluh dahinya memikirkan hal itu.
Mak Lang Jenab hairan melihat kepala Rini yang berkerut-kerut dengan peluh memercik lagi. Teruk benar muka anak daranya ini, macam tengah tahan sembelit saja rupanya.
“Kau ni kenapa Rini?”soal Mak Lang Jenab mengejutkan Rini yang sedang berfikir akan hari-harinya bersama Nina nanti.
“Rini malulah mak. Kak Nina tu mana tahu Bahasa Melayu kita ni. Bahasa orang putih dia tu berterabur macam perlakon dalam tv tu. Rini mana faham mak. Kalau ada sub-title kat bawah tu bolehlah terkial-kial faham,”cerita Rini.
“Ya, Allah budak ni. Kesitu fikirnya. Tak baik cakap orang macam tu. Kali terakhir kita jumpa dia masa dia budak lagi. Sekarang kalau tak salah maklah, umur dia boleh dikatakan sebaya dengan Along kamu. Takkanlah dia tak matang. Jadi mak rasa, dia pasti boleh bertutur dalam Bahasa Melayu dengan fasih,”jelas Mak Lang Jenab menenangkan hari Rini.
“Alaaa… mak ni tak fahamlah…kita ni orang kampung mak. Duduk rumah kampung saja, sedangkan Pak Long tu orang berada. Kak Nina itu sendiri pun tak duduk Malaysia masa kecil dia. Dia duduk kat rumah atok dia kat Australia sana. Jadi bila dia nak duduk sini sepanjang bulan Ramadhan ni, Rini rasa kekok. Mak sudahlah pagi pergi mengajar. Rini dan Ratna pula ke sekolah. Tengahari baru kita balik. Siapa nak layan dia? Rumah kita tak ada orang gaji, mak,”luah Rini senafas. Dia ingin menyedarkan Mak Lang Jenab akan kehadiran Nina akan menyusahkan mereka saja.
“Hahaha…sudahlah tu. Mak dah cakap okey pun kat Pak Long kau. Kejap lagi sampailah Kak Nina dan Abang Ishaq kau tu,”gelak Mak Lang Jenab sambil menggeleng kepala lucu.
Rini bangun dan berlalu masuk ke bilik tidurnya. Hatinya cukup tak tenang. Memang haru-biru Ramadhannya yang sepatutnya aman nanti ni. Punah rancangannya nak ke masjid tarawih setiap hari sambil mengintai anak Lebai Ali sewaktu menuju ke masjid. Ratna pula bukan main suka lagi menerima berita Nina nak duduk di sini. Ada geng sembang baru katanya.
*********************
  “Abang Haq, Nina tak menyusahkan Mak Lang Jenab ke?”soal Nina teragak-agak dengan cadangan yang baru dipersetujuinya itu.
“Laaa… papa dah telefon Mak Lang dah. Katanya Nina nak duduk sana sepanjang Ramadhan ni. Kata nak rasa suasana kampung. That’s the best place, Nina,”jelas Ishaq
Nina yang bermain-main dengan hujung tudungnya masih sangsi dengan keputusan yang telah dipersetujuinya itu. Alasan Tan Sri Muslim cukup jelas, Nina selamat duduk kampungnya sendiri daripada pergi ke kampung yang tiada siapa yang kenal. Kebetulan adiknya Zainab duduk di rumah peninggalan keluarganya di kampung. Sejak bercerai sepuluh tahun lalu, Zainab menetap saja di kampung bersama lima orang anak-anaknya yang lain. Berbekalkan gaji guru dia membesarkan anak-anaknya hingga hampir semua berjaya ke menara gading. Tinggal Rini dan Ratna saja yang masih di tingkatan lima.
“Abang  Haq… Nina tak biasa dengan Mak Lang Jenab. Mesti mereka ingat, Nina ni tipical Aussie girl yang moden, liar, degil dan tak dengar cakap.”
Ishaq menoleh memandang pada Nina di sebelah. Muka satu-satunya adik perempuannya itu ditatap. Nampak sangat muka cemas, memang seronok mengusik Nina waktu macam ni. 
“Memang pun. Penat papa pujuk suruh kerja dengan papa, Nina bukan main degil lagi. Itu belum lagi kepala batu dia tu, keras!!”balas Ishaq tersenyum lebar.
“Mana ada. Cukup, cukuplah Abang Haq dan Abang Ishan yang monopoli perniagaan papa. Ninakan perempuan, tak sesuai kerja macam tu. Nina nak buat kerja di rumah saja. Senang nanti bila nak kahwin dan ada anak. I love freelance job.”
“Kalau dah macam tu, kenapa susahkan diri belajar sampai dapat master. Baik terus kahwin saja,”perli Ishaq pedih menusuk hati Nina.
“Bukan macam tu Abang Haq. Nina nak ikut jejak mama. Work from home. Tapi dia masih boleh cipta kerjaya dia sendiri. Orang kenal siapa Olinda Oconner,” jelas Nina yang cukup bangga dengan kejayaan ibunya sebagai seorang penulis buku kanak-kanak terkenal di Australia.
Ishaq mengeluh. Bukannya apa, dia kalau boleh nak sangat Nina membantunya di pejabat. Tak menang tangan nak menyemak dokumen projek yang tak putus-putus. Ishan pula sibuk melobi projek tak ada masa nak buat semua tu.
“Kerja kat office tu bukannya susah pun. Nina semak dokumen projek je. Abang betul-betul perlukan person like you to assist me,”pujuk Ishaq tak putus-putus. Nina tersenyum. Faham sangat akan pujukan Ishaq itu. Namun dia tak mampu nak terima buat masa ini. Itu yang diberi alasan untuk duduk berehat seketika di kampung tu. Dia perlukan masa untuk menyiapkan manuskrip novel cinta yang pertama kali dikarangnya dalam Bahasa Melayu.
Rahsia ini masih tersimpan kemas dalam dirinya. Sejak novel cinta pertamanya yang diterbitkan di Australia menjadi kegilaan ramai tahun lepas. Dia sudah berazam pada dirinya untuk menulis sebuah novel cinta dalam Bahasa Melayu pula. Banyak bezanya menulis dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Daripada pembacaan, novel pilihan yang dibelinya dua bulan lalu, dia perlu bermain dengan lenggok bahasa yang cukup puitis. Itu yang membuatkan timbulnya idea untuk duduk di kampung seketika. Mengambil aura suasana kampung yang digambarkan punyai keindahan penduduknya yang rukun damai mengamalkan kehidupan harmoni.
“Biar Nina duduk rehat kat kampung dululah Abang Haq. Lagipun, Ninakan dah buat keputusan untuk duduk disini saja. Tak nak menetap lagi di Melbourne tu,”jelas Nina yang masih dengan keputusannya untuk berehat dulu dari melangkahkan kakinya ke pejabat Tan Sri Muslim.
Kereta BMW Ishaq sudah membelok masuk ke dalam laman rumah Zainab yang luas dan dikelilingi oleh pokok buah-buahan yang sedang masak ranum. Bulat mata Nina melihat pokok rambutan yang merah lebat buahnya di sebelah kiri rumah. Dan sebelah kanan pula mangga harum manis yang bergayut-gayut buahnya di dahan pokok. Itu belum diceritakan rambutan gading yang menguning. Pokok mangga epal yang melayut hingga mencecah bumi. 
“Musim buah!!!”ucap Nina yang kagum melihat kesuburan pokok di laman rumah Zainab yang pertama kali dijejakinya ini.
“Hahaha…itulah dulu lagi Abang Haq ajak balik kampung, Nina tak nak. Haaa sekarang tengok mulut siapa yang dah melopong sampai lalat pun boleh masuk,”gelak Ishaq lucu melihat wajah keterujaan Nina yang melampau.
Zainab yang sedang memasak di dapur, terus menutup api dapur dan berlalu ke depan. Suara riuh bunyi orang ketawa buatkan hati tuanya berdebar. Nak tengok anak buah perempuannya yang dikatakan persis gadis melayu walaupun ibunya Mat Salleh. Itu kata abangnya semasa memperkhabarkan hal Nina pada Zainab.
************************
“Mak Lang, kenalkan inilah Nina adik bongsu Haq,”Ishaq memperkenalkan Nina pada Zainab yang sudah melopong mulutnya tak percaya. Dia mengharapkan akan melihat seorang perempuan yang sebiji macam Mat Salleh persis ibunya juga. Tapi yang didepan matanya ini seorang gadis yang sopan berhijap, tinggi lampai dan….cantik!!
“Mak Lang!” Nina yang sopan berbaju jubbah moden menghampiri Zainab yang terkedu di tangga.
“Ini ke Isnina?”soal Zainab masih tak percaya.
“Saya Mak Lang,”sahut Nina penuh tertib.
“Ya Allah, Mak Lang bayangkan kamu ni macam mama kamu,” malu Zainab berprasangka buruk.
Ishaq tergelak kecil. Ramai saudara-mara mereka juga seperti Zainab. Ingatkan Nina macam Oslinda Occoner yang masih mengikut cara hidup liberalnya walaupun sudah lama menganut Islam. Lepas bercerai dengan Tan Sri Muslim, Oslinda Occoner kembali semula ke Melbourne, bersama Nina. Kerana perpisahan itulah Nina membesar di Melbourne bersama keluarga ibunya sehinggalah dia habis belajar. Namun, perpisahan tak menghalang Nina rapat dengan Tan Sri Muslim dan kedua-dua abangnya. Mereka selalu berhubung.
“Saya anak papa Mak Lang, lidah ni dah ditonyohkan sambal belacan. Gen mama tak terlawan,”ucap Nina petah bercakap. Sekali lagi Zainab terdiam tak percaya. Ishaq gelak semakin kuat hingga Rini dan Ratna yang sedang duduk dalam rumah pun keluar ke laman rumah.
“Abang Haq!!” jerit Rini suka.
“Laaa…si kembar ni ada rumah rupanya. Abang Haq ingat merambu manalah tadi. Kau orang dera Mak Lang kesayangan abang ni ya? Kau orang tak tolong masak ya?”sakat Ishaq buatkan Rini tertawa. Ratna pula sudah menumbuk lengan Ishaq.
“Siapa kata? Kami dah siap masaklah, sebab nak dera Abang Haq pergi pasar Ramadhan je petang ni,”balas Ratna yang terkenal dengan sikap lasaknya.
“Aduiihhhh…Ratna ni. Cubalah lembut sikit, ini kasar. Mahu jatuh saham Abang Haq ni nanti. Terus tak ada orang nak masuk minang,”sakat Ishaq sambil mengosok lengannya yang terasa sengal. Nina senyum saja memandang. Rasa bahagia pula melihat telatah Ratna bersama Ishaq.
“Ada pulak macam tu. Memang Abang Haq ni otak sentenglah. Mana ada orang perempuan meminang lelaki. Abang Haq tu orang Melayulah, jangan nak buat-buat lupa pula ya,” sampuk Rini yang kelakar sikit orangnya.
“Mak Lang! Cuba tengok anak dara Mak Lang ni, nampak saja muka Haq nak dibulinya. Rasanya adik Haq pun kena buli jugak ke tidak ni?”
Ratna dan Rini terdiam memandang pada Nina yang berdiri disebelah Zainab. Ratna menjungkit keningnya menyoal Ishaq untuk mengetahui siapa perempuan yang berdiri di situ. 
“Ishhh… Haq ni. Kamu pun sama dua kali lima dengan adik kamu ni. Otak senteng! Nina jangan dilayan mereka ni, memang macam nilah kalau mereka berjumpa. Kenalkan ini anak Mak Lang, Rini dan yang ini Ratna. Mereka ni kembar. Tapi perangai memang tak macam anak kembar. Macam langit dengan bumi,”terang Zainab.
“Hai Rini…Ratna,” ucap Nina yang menghulurkan tangan untuk bersalam dengan dua adik sepupunya.
Can speak malay?”soal Rini tak percaya lagi. Ishaq terus terbongkok-bongkok ketawa. Nina menutup mulutnya yang sudah besar tertawa. Lucu sungguh Rini ni.
“Nak cakap loghrat Perak pun boleh. Mike tak percaya ke teman boleh cakap perok?” ucap Nina yang membalas selamba. Siap sempat berhi-five dengan Ishaq lagi.
“Serius??”
“Bulan Ramadhan ni tak baik tipukan. Mestilah serius. Saya ni bukan ke masih orang melayu. Papa saya orang melayu tulen, takkanlah disebabkan saya duduk di Australia sana, saya tak boleh bercakap dalam bahasa melayu. Bior betui, teman makan tempoyak tau,” gelak Nina masih bersisa.
“Laaa… kalau macam tu, Kak Nina rocklah,” celah Ratna yang sudah membuat simbol jari rock. Budak-budak zaman sekaran ni, kepala macam terputus wayar pun ada.
“Tak naklah rock. Kak Nina nak balada atau instrumental aje,”balas Nina buatkan Ratna dan Rini sudah tersenyum sipu. Malu kerana telah memikirkan yang negatif tentang Nina yang pertama kali bertemu muka dengan mereka.
**************
Pertama kali Nina solat tarawih berjemaah di masjid. Selesai mengaminkan doa, air matanya mengalir. Syahdu hati dirasakan. Tak pernah dirasakan setenang ini. Layanan orang kampung pun sangat-sangat membuatkan Nina, terkedu bila dipeluk dan dicium oleh mak cik-mak cik yang bersalam dengannya. Penerimaan itu sangat menyentuh hatinya.
“Kak Nina ni, ter-over baladalah pulak. Baru kena peluk cium dengan mak cik-mak cik kampung, dia sudah cebik,”usik Ratna.
“Mana ada. Akak terharu saja.”
“Lagi nak cover line. Sudah seminggu akak duduk dengan kami, jangan nak buat drama pulak. Abang Haq pun cakap yang akak ni cepat sedih. Sudahlah tu, dah cukup-cukuplah hujan siang tadi. Malam ni tak payahlah hujan,”pujuk Ratna selamba.
“Kak Nina ada orang kirim salam,” ucap Rini yang baru berjalan saing dengan Nina dan Ratna.
“Kirim salam apa?”soal Nina blurr. Rini dan Ratna tertawa lucu. Memang anak Mat Salleh betul, kirim salam pun tak faham. Itu gaya orang nak berkenalan.
“Kirim salam sayang,” jelas Rini buatkan pipi Nina terus merah. Malu.
“Sudah! Jangan nak nangis pulak. Orang kirim salam sayang je tu, sebab dia nak berkenalan. Takkanlah itu pun akak tak tahu kot.” Ratna selamba membelasah Nina yang sudah tersipu malu.
“Sebab akak mana kenal orang di kampung ni selain Mak Lang, Rini dan Ratna. Takkanlah baru seminggu dah ada orang nak berkenalan siap kirim salam sayang lagi,”kata Nina yang menahan malu.
“Siapa kata tak ada? Adalah kak. Tu haa Abang Tut yang bujang terlajak tu kirim salam kat akak. Patutlah Rini tengok dua tiga hari ni, bukan main lagi handsome nak ke masjid. Rupanya nak mengorat akak. Yang tak tahan tu, siap bagi upah kat Rini lagi untuk sampaikan salam pada akak,”gelak Rini menceritakan pesanan dari Abang Tut.
“Upah apa Ni?”soal Ratna yang terpusing belakang melihat Abang Tut sanggup menolak motor untuk berjalan di belakang mereka.
“Upah duit dua ringgit, beli aiskrim.”
“Eeeeee… kedekut. Dua ringgit je? Dia ingat akak kita ni murah macam aiskrim Malaysia tu ke?”marah Ratna.
Nina yang mendengar pun terasa lucu. Lawak betul lah orang kampung ni. Nak tolong sampaikan salam pun berupah juga. Memang macam cerita P.Ramlee betul. Cuma versi baru ni sudah up sikit daripada dua kupang kepada dua ringgit. Terbaik!!!
Sampai di laman rumah, mereka terkejut melihat dua biji kereta mewah terparkir sebelah menyebelah antara satu sama lain. Tengok plat kereta pula, masing-masing daripada Kuala Lumpur dan Selangor.
“Na, kita ada tamu ke hujung minggu ni?”soal Rini.
“Entahlah Ni, mak tak cakap apa pun. Tapi ada terdengar yang Along nak balik berbuka di kampung. Ni bukan kereta Along ke?”soal Ratna.
“Ha’ahhh lah ini kereta Along. Jom.”
Berlari anak Ratna dan Rini menerjah ke pintu rumah. Nina ditinggalkan sendirian berjalan lenggang-lenggok ke rumah.
Dalam rumah dengar bunyi riuh rendah suara gelak tawa dan terjerit-jerit Ratna yang geram disakat.
“Cantik rupanya adik kembar kau ni Man. Kalau aku tahu, awal-awal lagi aku nak ikut kau balik kampung. Betul tak Kim?” Syafiq yang memang terkenal dengan mulut manisnya.
“Kau ni Fiq, cuba jangan nak puji adik-adik aku ni depan-depan. Sakit telinga aku dengar bahasa bongkak mereka ni kang. Kau cakap dengan aku je cukup,”sakat Azman.
“Dengarlah cakap Man tu Fiq. Jangan dilayan mereka ni, kalau dah berjumpa macam nilah gamatnya rumah mak cik ni. Fiq jangan malu-malu, makan je. Man dah cakap tadi kamu berdua tak sempat nak makan nasi. Ambil lauk tu semua. Tiqah ni pun satu, dah tahu nak datang tak telefon mak dulu,”bebel Zainab pada Tiqah, tunangan Azman.
“Mak marahkan abang. Dia tak cakap betul-betul dengan Tiqah nak balik sini. Baju pun tak bawa ni,”geram Tiqah dengan perangai Azman yang tak betul. Main sedap hati dia aje.
“Alaa bukan pergi rumah orang lain. Rumah mak mertua awak juga. Macamlah tak pernah datang sini sehelai sepinggang. Tu baju Ratna dan Rini ada boleh pinjam. Kalau tak ada baju abang pun banyak dalam bilik tu,” balas Azman selamba. Terus kena pukul dengan bantal kecil daripada Zainab. Geram betul Zainab dengan anak sulongnya itu. Main ikut kepala otak dia saja dalam buat keputusan.
“Assalamualaikum,”ucap Nina di muka pintu.
“Waalaikumsalam. Laaa…. Na dan Ni ni, boleh pulak dia tinggalkan Kak Nina dia. Nina mari Mak Lang nak kenalkan dengan anak sulong Mak Lang,” Zainab bangun dan berdiri di sebelah Nina.
“Siapa ni mak?”soal Azman.
“Laaa.. ini pun kamu tak kenal. Ini Isnina. Anak bongsu Pak Long Muslim kau,”jelas Zainab.
“Maksud mak, anak dara Pak Long yang duduk dengan bekas isteri dia kat Australia tu ke?”soal Azman tak percaya.
“Iyalah. Pak Long kau mana ada anak perempuan lain. Anak Mak Long Hawa kau semuanya lelaki. Tiqah ini anak buah mak, Nina…. Nina itu Tiqah tunang Azman. Yang dua orang ni pula, kawan baik si Azman. Yang ni Syafiq dan yang ni Hakim.”
“Hai.”ucap Nina lembut.
“Bila sampai sini?”soal Azman terus jadi formal.
“Sudah seminggu, tunggu lagi dua minggu. Abang Haq selesai urusannya di Penang nanti baru dia ambil saya di sini.”
“Man, kau tak cakap pun ada sepupu macam Mat Salleh,”celah Syafiq yang sudah tersengih-sengih gatal.
“Nak cakap macam mana, aku pun baru tahu. Setahu aku kali terakhir aku nampak Nina ni, masa aku sekolah rendah. Dia balik kampung raya untuk kali terakhir. Lepas tu, kami semua tak pernah jumpa dia. Betul tak Nina?”soal Azman yang bangga punyai sepupu berdarah campuran namun sopan berhijap.
“Betul tu, Man. Rasa lebih daripada sepuluh tahun saya tak balik Malaysia. Man pun dah nampak lain. Kalau tak silap saya, dulu montelkan?”soal Nina selamba.
Berderai gelak tawa di rumah itu, mendengar persoalan Nina pada Azman yang macho dengan six pack di perutnya. Azman mengetip bibir menahan malu. Mujurlah Nina ni, sepupu yang baru pulang ke kampung. Masih tebal rasa hormatnya pada Nina. Kalau sudah biasa memang ditujal-tujal kepala Nina lepas diucapkan perkataan ‘montel’ tadi.
“Kim, kau okey. Dari tadi diam aje, kot iya pun lapar tengoklah kiri kanan juga,”ucap Syafiq.
“Aku okey. Sedap lauk masak lemak cili api mak cik ni. Padan pulak dengan sambal kuining ni, memang terangkat,”puji Hakim.
“Mmmm… mak cik dah seminggu angkat senduk Kim. Sejak ada Nina kat rumah ni, dialah yang masak untuk berbuka. Mak cik cuma tolong panaskan aje, mana nak larat kelas tambahan budak-budak SPM tu sampai jam tiga petang setiap hari.”
“Ohh!”
***********************************
Nina duduk di dapur dengan lappy merahnya, menyiapkan manuskrip novel cinta terbarunya. Selalu menaip di dalam bilik saja, tapi hari ni Tiqah ada menumpang biliknya. Jadi dia terpaksalah mengalah dan menulis di dapur saja. Telinga diserkup dengan headphone. Tudung masih tersarung kemas di kepalanya kerana dalam rumah itu terdapat lelaki yang bukan ajnabinya.
Sejak tadi Nina tak boleh lelap mata. Idea dikepala membuak-buak untuk dikeluarkan. Terlalu asyik menaip Nina tak menghiraukan akan jarum jam bergerak pantas. Sekejap saja sudah jam empat setengah pagi. Lauk pauk pun menunggu untuk dipanaskan. Nina menutup lappy. Panaskan lauk-pauk. Masak air. Siapkan pinggan makan di meja. Kemudian barulah dia pergi mengejutkan Zainab dan yang lain-lain.
“Nina dah siap panaskan?”soal Zainab yang terpengun melihat budi pekerti anak buahnya itu.
“Sudah Mak Lang. Nina tak boleh tidur malam tadi. Itu yang berjaga aje tu. Ni baru terasa penat dan mengantuk. Nina masuk bilik dululah Mak Lang,”ucap Nina sambil mengemas lappy lalu dimasukkan ke dalam beg kecil.
“Laaa, tak nak makan sekali?”
“Tak, Mak Lang. Tadi sambil buat kerja Nina belasah buah rambutan yang dalam bakul tu sampai habis setengah bakul. Itu yang kenyang terus tu,”senyum Nina menunjukkan bakul rambutan yang sudah separuh kosong.
“Masyaallah budak ni. Nanti kamu sakit perut Mak Lang juga yang payah,”bebel Zainab tak henti.
Nina sengih dan berlalu meninggalkan Zainab menyenduk nasi dalam pinggan. Rini, Ratna dan Tiqah membantu menghidang makanan di meja. Azman dan Syafiq pun sudah berjalan menuju ke dapur. Hakim saja yang masih termenung di sofa panjang di ruang tamu. Mamai lagi. Nina memandang Hakim yang memandangnya kosong. Sebuah senyuman nipis dilayangkan.
‘Cute rupa mamat ni bila bangun tidur. Gaya serabainya uuuhhhhh boleh jadi hero dalam novel cinta aku ni,’ucap Nina dalam hatinya. Kepala dah merawang idea yang terkedek-kedek tampilkan diri.
“Nina, don’t more. Stand there!”ucap Hakim tegas. Nina terhenti di hadapan pintu biliknya.  
“Kenapa?”terpinga-pinga Nina. Hakim sudah berlari anak merapati Suhana. Dia berdiri betul-betul di belakang Nina.
“Saya nampak ada lipas masuk dalam tudung awak. Izinkan tangan saya tangkap lipas itu ya,”bisik Hakim perlahan.
Nina yang dengar saja perkataan lipas terus geli-geleman badannya. Memang dia alergik sungguh dengan perkataan lipas atau lihat lipas. Pasti dipecutnya laju-laju. Pantas saja Nina menanggalkan tudung yang tersarung di kepalanya. Badannya terkinja-kinja berusaha mengeluarkan lipas yang dikatakan berada dalam tudungnya. Hakim memerhati dari depan pintu. Lucu pulak. Secara tiba-tiba satu perasaan mengetuk hatinya yang paling dalam.
‘Indahnya ciptaan tuhan. Rambutnya…..aku tak mampu berkalih memandang ke arah lain lagi ni. Lehernya yang jinjang….Ya Allah sempurnanya ciptaanMu dipandanganku,”bisik hati Hakim. Langkah kaki Hakim sudah menapak masuk ke dalam bilik. Nina yang tadinya geli-geleman badannya sudah terhenti bila melihat tudung di tangan dan Hakim di hadapannya. Terus sejuk satu badan. Air liur ditelan kesat. Hatinya mengucap panjang. Memang arwah jugalah lipas ni nanti kutuk hatinya.
Hakim memusingkan badan Nina. Lipas yang sudah menjadi arwah tersepit di celah zip belakang bajunya. Pantas juga libasan tangan Nina hingga arwah terus lipas tu. Hakim menarik lipas tu dengan membuka sikit zip baju Nina. Tersekat sekejap air liur Nina, mengucap panjang dia dalam hati.
“Innalillahirainnaillahirojiun. Dah mati dah pun lipas ni,”senyum Hakim berbisik lembut di telinga Nina yang nampak merah.
“Errrrr….”Hilang sudah bait kata yang tadinya penuh di kepala Nina. Nak memandang pada Hakim pun dia tak mampu. Kepala tertunduk malu. Terasa tudung ditangan ditarik. Cepat mata Nina memandang pada tangan yang menarik tudung itu. Terus kejung bila terpandang pada senyuman yang terukir di bibir Hakim. Dadanya sudah tak tentu arah.
“Maaf, saya tak sengaja….dan saya tak mampu terus-menerus sakit dada sekarang ni….”ucap Hakim berbisik lembut.
“Haa! Sakit dada?”terkejut Nina. Spontan tangan kanannya menyentuh dada Hakim. Terasa degupan jantung Hakim cukup kencang. Hakim terpejam seketika. Polos betul gadis yang berdiri dihadapannya ini. Tak ada gaya anak kacukan yang menetap di luar Negara langsung. Macam gadis pinggitan yang tinggal di kampung saja lagaknya
Tudung disarungkan perlahan di kepala Nina dengan lembut. Hakim membetulkan kedudukannya agar tampak kemas. Senyuman tak lekang di bibirnya. Tangannya ingin sangat menyentuh pipi putih gebu Nina. Namun dicantas saja niat yang terbit di hatinya itu. Nina bukan haknya.
“Saya dah nampak bulan…..,”senyum Hakim lalu keluar dari bilik Nina.
“Errrr….bulan?”terpinga-pinga Nina seketika. Cepat pintu bilik ditutup. Nina memegang dadanya, dup dap dup dap. Ya Allah, kuatnya. Panik Nina dibuatnya, terus dicapainya telefon bimbit dan nombor Ishaq dihubunginya.
“Abang Haq dah bangun sahurlah Nina,”geram Ishaq yang terganggu kerja di awal pagi dengan panggilan Nina. Jam ditangan dikilas, baru jam empat setengah pagi.
“Abang, Nina rasa macam kena serangan jantunglah,”kongsi Nina. Ishaq terkedu. Serangan jantung dengan keluarga mereka memang sinonim. Arwah atuknya meninggal pun akibat serangan jantung yang mengejut. 
“Nina cakap apa ni?”Ishaq risau.
“Nina cakap, jantung Nina sakitlah Abang Haq. Tiba-tiba rasa dada Nina sakit. Nafas pun agak susah ni,”adu Nina bersungguh-sungguh. Tangan masih menekan dadanya.
“Dah berapa lama dah ni? Where are you now? Mak Lang mana?” macam peluru soalan Ishaq.
“Baru lima minit…. Nina dalam bilik……Mak Lang kat dapur tengah sahur dengan Man…” Nina rasa nak menangis bila degupan jantungnya makin kuat bila teringatkan Hakim. Kelainan suaranya buatkan Ishaq bertambah risau. Dia tak pernah mendengar suara Nina sebegitu. Suara sayu pun dia tak sanggup dengar inikan pula suara Nina yang mengadu kesakitan.
“Baring je dalam bilik tu. Abang Haq call Mak Lang suruh hantar Nina ke hospital terus…” terus panggilan dimatikan oleh Ishaq.
Nina sudah baring mengekot di atas katil. Tangan masih menekan dada. Air mata sudah meleleh keluar dari kelopak matanya. Nina terlalu panik dengan degupan jantungnya cukup kencang. Tak pernah seumur hidupnya mengalami keadaan seperti itu. Nafasnya pun sudah turun naik tak sekata. Bila mata terpejam dan terkenang kembali saat Hakim bersama dengannya tadi, lagi sesak nafas Nina.
“Ya Allah, Nina! Nina! Kenapa tak panggil Mak Lang saja ni? Budak ni, sakit macam ni boleh pula dia call abang dia yang jauh tu…. betuah betul,”bebel Zainab yang cemas melihat Nina mengekot terbaring di atas katil. Dahi Nina sudah berpeluh-peluh.
“Mak Lang….dada Nina sakit,” adu Nina lemah.
“Astaqfirullahalazim budak ni… Man! Oh Man! Tolong mak cepat ni Man,” panggil Zainab. Terkocoh-kocoh Azman berlari masuk ke dalam bilik Nina.
“Kenapa mak?”
“Cepat Man. Cepat angkat Nina. Kita hantar ke hospital. Dia sakit dada. Abang Haq kamu pun dah bergerak ke mari,”suruh Zainab cemas.
“Eh! Mak ni, tangan Man ni kan ke terseliuh, sebab tulah Man balik kampung. Nina boleh bangun Man pimpin sampai ke kereta?”soal Azman yang masih boleh berfikiran waras. Zainab memang sudah cemas gila melihat muka Nina yang pucat dengan peluh yang memercik di dahinya tu. Macam-macam yang berlegar di kepalanya.
“Nina takut nak bangun. Sakit….” Rengek Nina lemah di atas katil.
“Man, biar aku tolong,”celah Hakim yang berdiri di belakang Azman.
*************
Specialist Hospital cemas dengan kekalutan Ishaq dan Ishan yang mencari Nina di wad kecemasan. Azman dan Hakim yang duduk di kerusi menunggu terus dirapatinya.
“Man, adik aku macam mana Man?”soal Ishaq cukup cemas.
“Tengah rehat dalam sana tu. Haq, kau cool sikit boleh tak? Nina tak apa-apa punyalah. Dia okey,” senyum Azman.
“Aku nak tenang. Weiii, adik akulah yang ada kat dalam tu. Sudahlah dia baru buat keputusan nak menetap di sini. Baru tak sampai sebulan sudah masuk hospital, mana kami semua tak cemas. Kejap lagi papa dengan ibu sampai,”jelas Ishaq.
“Laaa sudah!” Azman tepuk dahi. Matanya memandang pada Hakim yang mengulum senyum. Ini kau punya pasallah ni, marah Azman dalam hatinya. Kalau iya pun nak mengorat tengok keadaanlah dulu. Ini dalam bilik dengan aurat terbuka, memang terkujatlah Nina tu. Kutuk Azman dalam hatinya lagi.
Belum pun Ishaq bersoal jawab dengan Azman, Tan Sri Muslim pun sampai bersama Puan Sri dan dua lagi lelakinya. Wajah cemas mereka buatkan Hakim dirundung rasa bersalah yang teramat. Tak sangka pula boleh jadi macam ini.
“Man,” sapa Tan Sri Muslim yang bersalaman dengan Azman dan yang lain-lain di situ.
“Pak Long, Mak Long,” tunduk Azman penuh hormat.
“Mak kamu mana?”soal Tan Sri Muslim.
“Ada di dalam temankan Nina yang baru sedar dari pengsan. Sekarang doktor sedang buat pemeriksaan,”cerita Azman.
“Han mana Haq?” soal Tan Sri Azman.
“Dah sampai tadi pa. Mungkin dia dah masuk dalam,”jelas Ishaq yang baru sedar adiknya Ishan tiada bersama mereka.
Dalam wad kecemasan, Ishan mengadap Nina yang diambil darahnya. Wayar ECG berselirat di dada Nina yang ditutup dengan selimut bagi memeriksa degupan jantung Nina.
“Dik macam mana boleh jadi macam ni? Nina sembunyikan apa-apa ke dari abang?”soal Ishan lembut sambil memegang jari Nina. Baru nak bermanja dengan Nina, sudah sakit.
“Nina pun tak tahu bang. Tiba-tiba aje…”cerita Nina lemah.
“Cuba cerita dengan abang apa yang Nina buat sebelum sakit dada ni. Nak kata Nina berlari, subuh buta tu. Time orang semua tengah sibuk bersahur,” pujuk Ishan lembut.
Nina menarik nafas perlahan, lalu menceritakan abang yang berlaku. Tiada satupun disembunyikan daripada Ishan. Bila teringatkan Hakimi, jarum ECG mulai bergerak laju menulis di kertas catatan. Ishan menoleh pada mesin ECG dengan pandangan mata yang mengecil. Mindanya mulai terfikir sesuatu.
“Haaa, macam itulah ceritanya,”jelas Nina polos.
“Hakim kawan Man yang duduk sebelah Man tadi tu ke?”soal Ishan pada Zainab yang berdiri disebelahnya. Zainab mengangguk.
Not bad looking,” sengih Ishan buatkan Nina memandangnya meminta penjelasan.  
What do you mean by not bad looking?”soal Nina pelik.
  “Mak Lang dah lama kenal Hakim tu?”soal Ishan pada Zainab yang terpinga-pinga menerima soalan itu.
“Lamalah juga, dari Along sekolah asrama lagi. Dia selalu datang rumah. Memang rapat betul dengan Along. Mak ayah dia pun Mak Lang kenal, kenapa Han?”soal Zainab.
“Eloklah keluarga dia ya?”soal Ishan lagi.
“Eloklah, ayah dia pegawai polis. Mak dia pula, cikgu sekolah. Dia anak bongsu daripada tiga adik beradik. Kakak dan abang atas dia sudah kahwin. Dia je liat nak kahwin. Sibuk uruskan restoran,”cerita Zainab jujur.
“Mmmm… punyai kerjaya tetap! Bagus! Bagus! Han nak keluar jumpa Hakim,” senyum Ishan.
 Di ruangan menunggu, semua gelisah. Ishaq, Tan Sri Muslim dan Puan Sri sudah tak senang duduk. Melihat kelibat Ishan keluar dari pintu bilik kecemasan, semua menyerbunya.
“Han, Nina macam mana?”soal Tan Sri Muslim risau.
“Tak ada apa-apa Pa. Dia okey je. Perubahan cuaca je tu. Kejap lagi boleh balik. False alarm suruh kita lakukan sesuatu je,” ucap Ishan sambil tersenyum memandang pada Hakim yang serba-salah duduk di sebelah Azman.
“Apa maksud Han?”soal Tan Sri Muslim.
“Nanti Han cakap dengan papa. Abang Haq jom, we need to talk. Man to man talk,” Ishan menarik tangan Ishaq jauh dari semua orang.
Tan Sri Muslim menggaru kepala. Kepalanya puas memikir, dia bukan lelaki ke hingga Ishan mengasingkannya untuk berbincang. Nak memangkah, tak sampai hati keadaan masih belum reda. Nina masih dalam wad kecemasan.
Ishan menceritakan hal yang diceritakan oleh Nina pada Ishaq. Ya Allah, berair mata Ishaq ketawa sambil tangan menahan dinding lagi. Kelakar sangat.
“Abang Haq, silap tak tanya panjang tadi,”senyum Ishaq.
“Haaa…lain kali siasat dulu. Ni habis semua orang cemas, sampai papa pun turun sini. Apa kita nak cakap dengan semua orang ni? Tak kanlah nak cakap yang adik kena serangan sakit jantung sebab dah terjatuh cinta. Adehhhh… lawak tau Abang Haq,”Ishan tak habis lagi tawa di bibirnya.
“Sengal punya budak! Memang Abang Haq nak luku-luku kepala dia. Mamat tu pun satu, bagilah hint pun kalau nak mengorat. Ini tidak main belasah aje, mujur tak pengsan Nina masa tu. Kalau tidak lagi naya ceritanya,” geram Ishaq.
 “Hahahaha…. Abang Haq pun satu. Mana ada orang mengorat bagi hint. Gentleman lah, Han respect gila pada Hakim. Nina yang hati kering tu boleh sakit jantung dibuatnya. Cepatlah kita dapat adik ipar kalau macam ni bang,”gelak Ishan sambil menepuk-nepuk bahu Ishan.
*****************
Lima bulan sudah berlalu. Manuskrip novel cinta pertamanya dalam Bahasa Melayu pun sudah dalam proses penerbitan. Kini, dia sudah tiada alasan untuk tidak ke pejabat membantu Ishaq dan Ishan. Dengan hati yang berat, Nina memulakan rutin sebagai pegawai undang-undang di syarikat milik keluarga. Orang kata kerja dengan keluarga ni seronok, namun tidak pada Nina. Dia rasa terkongkong.
Panggilan telefon semalam, begitu menceriakan hati Nina. Mana taknya, naskah novelnya sudah boleh dipeluk. Kalau boleh dia ingin melompat bintang kerana inilah pertama kalinya dia menulis dalam Bahasa Melayu. Pagi-pagi lagi dia sudah menyampaikan pesan pada Ishaq dan Ishan untuk makan tengahari bersamanya di sebuah restoran yang dikatakan menarik di Petaling Jaya.
“Tak ajak papa sekali ke?”soal Ishaq.
No. Nak buat surprise malam kang ,”senyum Nina meleret.
“Oooo… tak habis lagi surprisenya ke? Baik, baik dik nanti sakit jantung lagi susah Abang Han nak menjawab,”sakat Ishan. Sejak kejadian tempoh hari, Nina memang asyik kena usik dengan Ishan dan Ishaq. Naik rimas Nina dibuatnya. Perkara itu jugalah yang membuatkan Nina terpaksa bekerja di syarikat milik keluarga. Dia diugut oleh abang-abangnya sendiri. Sungguh kurang sopan!!!!
“Sudah! Sudahlah ungkit cerita lama. Nina tahu Nina salah, tapi that what I feel,”tegas Nina.
“Hahaha…kelakar dik. Abang Han sampai sekarang memang tak boleh nak ingat balik. Rasanya adik boleh masuk dalam Malaysia Book Of Records, sebab kena serangan jantung lepas kena goda dek lelaki kacak macam Ha…kim” tergagap Ishan. Mata melihat sekujur tubuh memakai uniform putih bersih sedang beramah mesra dengan pelanggan di kaunter pembayaran.
“Apa tajuk novel Nina tu?’soal Ishaq bangga dengan pencapaian Nina.
“Bulan Cinta Bintang.”
“Novel cinta? Serius? Nina tulis novel cinta?”soal Ishaq tak percaya. Ishan sudah ketawa terbahak-bahak. Nina sudah memandang abangnya kecil besar, kecil besar menahan geram. Macamlah dia tak boleh belajar bercinta. Sekarang nak tahu makna cinta, senang saja. Bukan google search tulis kat situ. Berderet keluar, dari A sampailah ke Z.
“Kenapa pulak tak boleh?”soal Nina geram.
“Bukan tak boleh. Janganlah salah faham, cuma tak percaya. Biasanya penulis ni menulis daripada pengalaman dia. Nina ni mana ada pengalaman bercinta. Baru kena ngorat dah sakit jantung,”gelak Ishan.
“Eeeee….. tengoklah nanti buku Nina ni pasti kebaboom, sebab yang menulis ni sakit jantung,”balas Nina geram.
“Alaaa tak nak mengaku konon. Cakap ajelah, Nina pun dah tergoda pandang pertama. Habis cerita. Bukan susah pun,”provok Ishaq yang juga perasan Hakim sedang berjalan menghampiri meja mereka.
“Eeee… tak naklah. Abang Han dan Abang Haq ni kenapa? Hilang terus mood nak kongsi cerita. Kalau macam ni, Nina balik officelah,”rajuk Nina yang cukup malu diusik bertalu-talu oleh Ishaq dan Ishan.
 Hakim senyum melihat gadis pujaan hati turut berada di sini. Lepas kejadian tempoh hari, memang panggilan Hakim langsung tidak dilayan oleh Nina. Mujurlah bakal abang ipar sporting gila. Selalu mengemaskini jadual Nina padanya. Itu yang selalu terserempak saja dengan Nina. Buat-buat terserempak, padahal dah sedia nak jumpa je.
“Hai!”sapa Hakim sambil tangannya memegang belakang bangku Nina.
“Hey! Hakim, buat apa kat sini?”soal Ishan yang memang dah tahu ini restoran milik Hakim.
“Main pondok-pondok,”balas Hakim berjenaka.
“Restoran kau ke ni?”soal Ishaq saja nak menyakitkan hati Nina yang sudah kelu.
Buat lagi jual mahal. Orang dah nak tu, layanlah dulu. Ini main tolak terus. Kenal pun tak nak. Nak kata umur budak lagi, dah boleh jadi mak budak dah. Asyik nak terperap aje dalam rumah lepas kerja. Tak social langsung. Asyik dengan buku dua puluh empat jam. Bebel Ishaq dalam hati.
Susah nak ajak Nina keluar dari rumah lepas kerja. Nak tengok dia keluar dengan kawan-kawan, usah cakaplah boleh dikira dengan jari berapa kali dia keluar untuk bergembira. Itu yang dipasangnya rancangan untuk menemukan jodoh Nina dengan Hakim yang rapat dengan sepupu mereka Azman. Insiden di rumah Zainab itu menjadi batu loncatan buat Ishaq dan Ishan meneruskan rancangan mereka.
“Aku kerja sini aje,”balas Hakim merendah diri.
“O…key… apa yang sedap kat sini?”soal Ishaq.
“Semuanya sedap. Nak nasi ke noodle?”soal Hakim yang sudah menaikkan tangannya memanggil pramusaji untuk mengambil pesanan.
“Aku nak nasi. Lapar sangat ni. Lagi pun ada orang nak belanja. Bagi aku yang paling sedap dan paling mahal,”sakat Ishaq.
Nina sudah mengetip bibir menahan geram. Ishaq sudah menekan perut menahan sneak ketawa. Ishan dengan wajah nakal nak mengusik Nina lagi. Hakim tumpang senyum melihat gelagat dua abang sedang membuli adik bongsu. Sungguh nakal!!
“Nina?”soal Hakim lembut betul-betul di sebelah Nina. Pandangan mata mereka bertembung dan melekat di situ seketika. Dengar suara Ishaq, Nina terus menoleh semula ke depan. Malu tertangkap terang-terangan!!
“Errr….”
“Gagap kenapa? Sudah nampak bulan?”bisik Hakim perlahan sebelum menegakkan badannya semula. Nampak pipi putih gebu Nina sudah bertukar kemeran-merahan menahan malu.
“Hakimmmmm! Kau jangan usik lebih, nanti sesak nafas aku tak nak bawa pergi kecemasan lagi,”sakat Ishan selamba. Terus lengan Ishan dicubit Nina.
“Han tak payah bawa pergi kecemasanlah. Bawa balik rumah saja. Aku datang dengan Tok Kadi saja nanti,”balas Hakim siap mendapat tepukan sokongan Hi-Five lagi.
“Hahahahaha…. I like bro. I like your style,”gelak Ishan.  
“Aku tak main-main. Aku cakap serius ni, aku memang nak bawa Tok Kadi datang rumah kau, Han. Aku nak nikah terus dengan Nina ni. Tak larat aku nak main kejar-kejar. Dia tak nak berhenti langsung,”ucap Hakim terus terang.
Ishaq dan Ishan tersedak dengan kata-kata serius bakal adik iparnya itu. Memang ini jenis brutal. Main langgar adat. Ishaq bangun dan memeluk bahu Hakim.
“Aku tabik spring cara kau yang terus terang ni Kim. Tapi bab ni, kau kena bawa rombongan meminang. Adik aku ni memang pujaan ramai. Kalau kau nak, cepat masuk meminang. Masa tu kau cakap tak nak tunang-tunang. Nak nikah terus. Aku akan masuk jarum promote kau pada keluarga aku,”ucap Ishaq.
“Kalau macam tu, kau cakap pada keluarga kau. Esok malam rombongan meminang aku datang. Aku pun dah tak nak tangguh lagi ni. Lagi tangguh lagi sakit dada aku. Dup dap dup dap,”jelas Hakim sambil menjeling manja pada Nina.
**************************
Semua sudah duduk di dalam masjid dimana berlangsungnya majlis pernikahan Nina dan Hakim. Namun tergendala, bila Hakim tiba-tiba meminta masa lima minit untuk bersemuka dengan Nina. Mereka duduk mengadap berdua di hujung penjuru sana. Nina menunduk memandang pada jari-jarinya yang merah menyala dibalut inai.
“Noor Isnina,”seru Hakim lembut dan perlahan.
“Hmmmm…”sahut Nina yang gemuruh dadanya menahan takut. Dia masih tak pasti adakah ini keputusannya. Adakah ini tepat untuk kehidupannya di masa depan?
“Pandang abang untuk pertama kalinya, sayang…..”pinta Hakim. Nina akur, dengan perlahan-lahan kepalanya diangkat untuk memandang pada Hakim yang duduk dihadapannya.
“Ya….”jawab Nina ringkas. Terukir senyuman manis di bibir Hakim dapat menatap wajah Nina dengan sempurna. Selalunya, Nina pasti akan melarikan pandangannya dari direnung oleh Hakim.
“Sebelum kita nikah. Abang nak dengar sendiri daripada bibir Nina, sudikah kiranya Nina menjadi isteri abang?”soal Hakim penuh merayu.
Nina diam merenung tepat wajah Hakim yang kacak siap bersongkok tinggi di kepalanya. Setiap inchi wajah bakal suaminya itu direnungnya. Berapa tahi lalat yang ada di wajah itu pun dicarinya dengan pandangan matanya yang tajam menggoda.
Lirikan dan senyuman yang terukir di bibir Hakim membuatkan jantung Nina berdegup kencang. Inikah yang dinamakan cinta? Inikah yang dimanakan jodoh? Mata dirapatkan seketika sambil nafas dilepaskan perlahan.
“Saya nampak bulan itu…”ucap Nina lembut. Dia perlu berterus-terang juga. Bibir Hakim sudah menyenget senyumnya.
“Bulan apa Nina? Bulan apa yang Nina nampak?”
“Bulan cinta bang. Nina nampak di bulan sana ada nama abang. Istigharah Nina pun menjuruskan Nina menerima lamaran abang ini.”
Dengar saja kata itu, Hakim rasa bagaikan nak peluk terus Nina. Tapi mengenangkan banyak mata yang memandang mereka dan keadaan mereka yang berada di dalam masjid rasa itu ditangguhkan seketika.
“Kalau macam tu jom kita nikah segera. Tak boleh tunggu sesaat pun,”ucap Hakim mengajak Nina bangun dan kembali semula ke bantal pengantin.
Upacara pernikahan penuh jenaka, bila ayah pengantin perempuan sendiri gugup hingga tergagap bacaannya hingga membuatkan Hakim menenangkan bakal bapa mertuanya pula. Ishaq dan Ishan yang duduk di belakang Tan Sri Muslim sudah mengurut belakang badan ayahnya sambil tertawa kecil
“Kim, dah selesai semua bolehlah batalkan air sembahyang,” suruh Zainab melihat Hakim sudah selesai menunaikan solat sunat pengantin.
“Sudah semestinya Mak Lang. Dah lama tunggu ni,”balas Hakim selamba. Riuh siulan nakal dari saudara-mara mengusik Nina yang cukup pemalu orangnya.
“Amboi! Bawa-bawa bersabar sikit. Ini baru nikah, ada lagi dua majlis yang akan berlangsung, kau jangan nak main-main,” pesan Azman dan Syafiq yang menjadi pengapit rasmi Hakim.
“Kau ingat aku ni apa, tengah main kahwin-kahwin ke? Aku betul-betullah dah nikah dengan Nina, sepupu kau,”balas Hakim selamba. Senang sangat hatinya lepas mendengar kata hati Nina tadi. Nampak bulan???
“Fiq, kau rasa tak macam nak luku aje pengantin ni. Aku memang gatal dah tangan aku ni, tak kiralah raja tak raja,”ucap Azman yang sudah menarik lengan Hakim. Cepat saja Hakim mengelak. Gelak Syafiq terburai.
“Weyyy hormat sikit aku ni raja sehari wey!”
“Aku tak kira,”kata Azman.
“Fiq aku tak salah Fiq. Aku cakap yang betul,”sengih Hakim. Bertolak-tolak mereka berjalan hingga sampai di tempat Nina sedang bersimpuh manis di atas bantal pengantin. Tiba-tiba Hakim mendapat akal nak menyakat.
“Eh! Yang bangun! Bangun! Ada lipas kat belakang tu,”jerit Hakim tiba-tiba. Spontan Nina dah melompat dan memeluk tubuh Hakim yang berdiri di hadapannya. Siap disorokkan lagi wajahnya di dada Hakim.
Meledak ketawa dalam masjid itu, bila melihat wajah Hakim yang tersengih nakal dan aksi spontan Nina yang meloncat.
“Kau ni Kim, baru tak sampai sejam nikah kau dah buli adik aku,”gelak Ishan sambil mengesat air mata. Tak tahan betul melihat aksi lucu pasangan pengantin yang baru saja selamat dinikahkan.
Pelukan dieratkan. Bila Nina masih lagi mendakap dadanya penuh malu. Bahagia!!
“Dah, dah tu. Kamu ni Kim, tak sengal sehari memang tak sah. Selesaikan majlis batal air sembahyang ni,” marah ibu Hakim. Pening orang tua tu dengan perangai sebenar Hakim yang sengal.
“Tak payahlah ibu, dah batal pun,” sengih Hakim buatkan semua tertawa.
“Habis tu rantai ni?”soal ibu Hakim.
“Tak mengapa ibu, itu biar Kim yang pakailah dalam majlis tertutup. Kat sini malu, betul tak sayang?”ucap Hakim selamba. Nina sudah tak tahu nak cakap apa. Memang nampak berbulan bintang menahan malu dengan perangai selamba Hakim di majlis pernikahan mereka.
“Kalau macam nilah sengal Hakim ni, memang mati semua lipas kat taman ni nanti kena racun serangga ni Kim ooiiii,”gelak Tan Sri Muslim sambil menjeling memandang Nina yang masih menekupkan mukanya pada pada Hakim.  
No worry papa. Kim dah beli semua jenis racun lipas. Dah sorok kat gudang, biar Nina tak boleh beli. Senang Kim nak dapat peluk free macam ni. Dah macam gam tak lepas ni, pa,”sakat Hakim. Terus tubuh Hakim ditolak oleh Nina. Malu bukan main lagi.
  “Hahahahaha…. Sudah tu. Pergi balik dan bersiap dulu. Kami tunggu di dewan saja. Lagi cepat selesai lagi bagus kan?’suruh Tan Sri Muslim buatkan Hakim terus menarik tangan Nina menuju ke kereta.
Masjid yang sekangkang kera dari rumah Tan Sri Muslim pun masih nak berkereta bagai. Pengantin ikutkan sajalah. Mak andam sudah menanti mereka di rumah. Majlis resepsi bersambung selepas majlis akad nikah dilakukan di Ballroom hotel ternama di Petaling Jaya. Kemudian disambung pula di rumah pengantin lelaki di sebelah malamnya pula.
Memang pengantin betul-betul dibuli. Naik lunyai Nina dan Hakim didesak untuk terus senyum dan bergambar bersama tetamu hinggalah majlis selesai.
Nina masuk ke dalam kamar pengantin sambil menjinjing kasut tumit tingginya. Badan sudah betul-betul terasa penat. Hakim menurut dari belakang. Dia pun kepenatan sangat dengan kerenah tetamu yang hadir.
“Nina jommmm… temankan abang,” ajak Hakim selamba. Tuala sudah ada di tangan. Nina yang baru menghenyakkan pinggul di katil berpaling.
“Kemana?”
“Mandi!”jawab Hakim selamba. Nina dah telan air liur. Agak-agaklah nak ajak dia mandi pun. Mahu kena serangan jantung sekali lagi ni.
Hakim sudah bersandar di tepi pintu menunggu Nina yang teragak-agak nak bangun dan menghampirinya.
“Kenapa?”soal Hakim buat tak faham.
“Abang mandi sajalah dulu,”suruh Nina malu-malu.
“Tak nak! Jomlah cepat, dah penat sangat ni. Nanti boleh terus tidur,”ajak Hakim buat degil kepala dia saja. Nina mengetap bibir geram dengan senyum senget yang tersugir di bibir Hakim yang selamba badaknya saja.
“Tak boleh,”jawab Nina.
“Tak baik lawan cakap suami. Belum pun satu hari kita nikah, sayang dah ingkar cakap abang,” pujuk Hakim saja nak menguji Nina. Dalam hati bukan main mengeletek ketawa lagi. Suka tengok pipi Nina yang sekejap merah sekejap putih. Pemalu sangat.
“Eeeee…. Nina memang tak boleh. Allah pun laknat mendekati isteri ketika dalam uzur,” ucap Nina terus-terang walaupun dia cukup malu untuk memberitahu Hakim yang dia lebih dulu nampak bulan.
“Allah!!!! Melepaslah abang,”tepuk dahi Hakim. Tak sangka pula, malang menimpanya pada malam pertama bersama Nina. Terus dia mendekati Nina yang menunduk di katil. Tubuh Nina dibangunkan dan dipeluk erat. Rasa syukur dengan jodoh yang ditemukan buatnya.
“Maaf,”bisik Nina perlahan.
“Abang dah maafkan sayang. Dari sebelum nikah tadi pun abang dah maafkan sayang. Sakit sangat ke, perut tu sampai sayang ambil solluber sampai empat biji?”soal Hakim yang memerhati saja gerak-geri Nina dari pagi tadi.
“Hari kedua memang sakit sikit. Biasanya Nina rehat je dalam bilik. Tapi hari ni nak rehat macam mana, itu yang ambil ubat tu,”jawab Nina.
“Heyyyy! Sayang dulu dah nampak bulan dari abang ya. Memang tak aci. Taka pa, abang masuk dalam buku lima-lima. Lepas habis tempoh berpantang ni abang gandakan bunganya sekali. Boleh?”sakat Hakim.
“Eeeeee….gatal,”geram Nina sambil mencubit-cubit perut Hakim.
“Laaa… gatal apanya, abang cuma praktis apa yang hero novel sayang buat pada isterinya. Itu pun nak marah. Kata penulis novel cinta,”usik Hakim lagi. Lagi bertambah merah pipi Nina.
“Abang baca buku novel Nina?”
“Kenapa, lelaki tak boleh baca novel cinta ke?”
“Taklah, cuma tak nampak gaya mat jiwang. Lebih kepada mat korporat je,”komen Nina.
“Okey! Okey! Kejap abang nak ingat apa yang Sayang tulis yang abang tak boleh lupa dalam tu…..”ucap Hakim sambil merangkul pinggang Nina dengan kemas. Nina mulai senang dengan gaya Hakim yang lucu dan mengasyikkan.
“Hahaha… mesti tak baca tu. Saja nak buat ayat pancing,” balas Nina.
“Ayat pancing katanya?... listen here my lovely honey sweety wife… being happy doesn’t mean that everything is perfect. It’s means that you have decided to look beyond the imperfections. That impress me, Sayang.” Bisik Hakim selembut mungkin sambil merenung tepat pada wajah Nina.
I’m speechless abang….. saya nampak bulan cinta di mata abang, bersinar memanggil-manggil saya untuk terima cahaya bahagia itu. Benarkah cinta itu untuk saya?”soal Nina lembut. Buatkan Hakim tersenyum nakal.
“Hahahaha… sesungguhnya cinta pandang pertama itu sudah lama milik sayang. Lipas tu sekadar umpan untuk melihat sejauh mana chemistry kita berdua. Dia sudah lama mati di tangan abang, sebelum Sayang terlompat-lompat nak buangkannya dulu….”gelak Hakim menyingkap rahsia tersirat disebalik insiden lipas.
“Haaa! Maknanya tiada lipas dalam tudung Ninalah?”
“Tak ada sayang. Abang saja buat untuk abang melihat sayang in-person. Semalaman abang tak boleh tidur bayangkan sayang saja. Itu yang saja lambat-lambat ke dapur tu. Memang harapan untuk bersemuka dengan sayang. Tapi bila dah tengok muka sayang tu, idea lain pulak datang,” cerita Hakim.
“Eeeeee……”Nina geram. Terus dicubit-cubitnya perut Hakim. Mengadui jugalah Hakim dicubit oleh Nina.
Ouch! Ouch! Ouch!... Dah! Dah!... abang dah insaf. Maafkan abang ya. Sayanglah bulan cinta abang. Sekali bulan menyinar sampai bila-bila pun ianya akan terus menyinar dalam hati abang. Tak ada bulan lain yang mampu menandingi bulan cinta abang....which is my wife, Noor Isnina,
Cinta itu datang dalam pelbagai bentuk. Ada yang dirancang. Ada yang dicari. Ada yang datang bergolek. Walau apapun caranya, ianya perlu direstui dengan ikatan yang sah iaitu ijab dan Kabul. Bila hati mulai terdetik, berusaha untuk mengenali. Cari keserasian agar cinta dapat menyuntik semangat untuk berjaya dalam apa jua yang kita usahakan dalam hidup. Cinta itu indah, tapi manusia itu yang selalu membuatkannya komplikated dan menyusahkan.  

T.A.M.A.T 

Nota : Dimuatnaik semula di laman ini. Gorengan tahun 2014. 

No comments:

Post a Comment