Wednesday, January 10, 2018

Bahagia Bukan Bidaan - Hana Bertegas

Hana menarik baju Nik duduk berdua di meja lain. Sudah berapa kali mereka dipertemukan dalam situasi kebetulan. Tapi hari ni, hati Hana memberat pada pertemuan yang sudah diaturkan. Sama ada oleh Nik mahupun oleh Murni. Kemungkinan itu cukup besar. Semua itu perlu diperjelaskan sekarang juga.
“Nik,” seru Hana perlahan.
“Hmmmm.”
Hana berdecit tak senang hati. Walaupun dia akui, kondisi emosinya tak stabil setelah bercerai. Tapi itu tak memberi tiket pada mereka memperkotak-katikkan dirinya. Dia sudah berikrar untuk berubah dan mula terima kenyataan. Dia sudah mampu mengatur aktiviti hariannya tanpa terperap dalam bilik lagi. Dia sedang berusaha belajar uruskan rasa kecewa dengan terapi berjadual di hospital.
Look! Hana tak suka apa yang Nik buat tadi. Hana tak suka Nik masuk campur urusan peribadi Hana. Kita tak kenal. Hana tak kenal Nik. Dan Nik pun tak kenal Hana. Nik hanya dengar cerita tentang Hana. Simpan cerita tu. Hana tak perlukan simpati Nik. Hana mampu hadapi Azlan sendiri,” kata Hana satu persatu. Nadanya tiada gentar langsung.
Nik peluk tubuh. Dengan wajah selamba dan senyum manis sejemput di bibir yang tak putus, mendengar saja luahan geram Hana. Gaya dah sebiji macam budak degil yang sedang mendengar leteran ibunya.
“Tolong jangan cipta masalah baru dalam hidup Hana. Sudah cukup berat masalah yang Hana hadap sekarang ni,” rayu Hana akhirnya.
“Kenal saya, Hana. Saya yakin saya bukan masalah buat awak,”pinta Nik lembut.
Hana melepaskan nafas berat. Perkataan kenal itulah masalah besar buat Hana. Dia sudah serik. Mengenali lelaki sudah tiada dalam kamus hidupnya. Kesakitan lalu pun masih berdarah lagi. Tak mungkin dibiarkan hati berdarah lagi. Tak mungkin!
“Nik, saya ni janda. Saya ulang, jan-da. Baru lagi saya dapat gelaran janda tu. Awak ingat saya ni spesies kemaruk nak berlaki ke? Tak, Nik. Tak.  Ya, betul saya kenal Azlan tu sekejap. Buat keputusan nak nikah pun tak fikir panjang. Tapi itu sebelum saya kenal erti cinta dan kecewa. Sekarang saya serik. Awak kenallah orang lain. Ramai je perempuan lain yang nak kenal dan kawan lelaki macam awak ni,” jelas Hana terus-terang.
Hana memang serik nak dekat dengan lelaki yang ada rupa, bergaya, berharta, mulut manis dan punyai aura memikat macam Nik. Macam Azlan. Kalau boleh dia nak larikan diri daripada dekat dengan spesies lelaki sebegini.
“Saya tahu. Saya nampak. Saya dengar. Sebab itu saya suruh Hana kenal saya. Bukan terima saya buta-buta macam Hana kenal Azlan,” suruh Nik selamba. Buat tak faham maksud Hana.
“Nik!” Suara Hana terlepas meninggi. Geramnya terlepas dari kawalan minda,  dek sikap selamba Nik. Rasa macam nak pegang kiri kanan kepala Nik dan goncang kuat-kuat.
“Ya!” sahut Nik sambil tertawa lucu. Nada suara Hana yang berintonasi turun naik buatkan hatinya rasa damai. Nak pula bila namanya bermain di bibir Hana. Rasa bimbang dan risaukan Hana yang kembali bersedih terbasuh terus.
“Saya tak nak kenal awak, Nik. Saya tak nak kenal sesiapa pun. Awak faham tak?”
“Tak! Saya tak faham. Saya bukannya orang jahat. Awak sendiri pun tahu. Tanpa kita kenal satu sama lain pun saya dah banyak kali bantu awak.  Jadi, apa kata kita lanjutkan perkenalan kita untuk saling lebih mengenali,” pujuk Nik lembut. Tak sesekali mengalah dengan penolakan Hana.
Hana menunduk pandang jari yang dikepal menahan geram di bawah meja. Dia akui kata Nik tu betul. Tapi dia sendiri yang buat pilihan untuk kosongkan kepala dari fikir hal lelaki. Apa yang penuh di kepalanya sekarang adalah bina balik kehidupan dan tuntut Hakimi dan Haida pulang ke pangkuannya.
“Awak tahu tak Hana. Dalai Lama pernah kata, kalau tak silap maksud dia macam ni. Jika kita nak gembirakan orang, latih diri untuk mengasihani mereka. Jika kita sendiri nak gembira, latih rasa belas pada diri kita sendiri. Makanya, tak salahlah apa yang saya buat ni. Saya hanya mempraktikkan apa yang disyorkan oleh mereka yang berjaya mengkaji tentang kehidupan. Tak salahkan?” Usul Nik lagi.
“Awak ni memang degil kan?”
Nik lepaskan ketawa lucu. Ada ke kesungguhannya dikata degil. Tak masuk akal sungguh. Bahu diangkat menjawab pertanyaan Hana.
“Eeee payah sungguh cakap dengan orang degil ni. Dengar sini! Hana yang  pilih untuk kekal macam ni je, Nik. Tanpa lelaki. Tanpa perlu berubah demi lelaki lagi dah. Kecewa tu terlalu sakit. Dah terlalu lama Hana tanggung rasa sakit dan kecewa tu.  Jadi tolonglah. Tolong faham keadaan Hana,” pinta Hana lagi.  Dia terus berdiri. Tak ada guna nak tegakkan kemahuannya pada orang luar seperti Nik. Hidupnya, dia sendiri yang corakkan. Pilihan itu dia yang buat. 
“Awak mesti pernah dengar lagu dulu-dulu yang saya rasa sangat sesuai untuk awak. Kalau tak silap lagu dia macam ni, tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok angin yang goncang. Tanya sama langit apa sebab hujan, nanti jawab langit tanyalah awan. Awan nanti kata aku kandung air, sampai tempat sejuk aku pun cair. Tengok dalam air, nampak bayang-bayang campak satu batu bayang pun hilang... nampak tak Hana..... Setiap yang berlaku dalam hidup kita ini adalah kitaran yang mematangkan hidup. Bukan menjatuhkan dan mematikan semangat hidup kita.  Bukan juga buatkan kita serik untuk bernafas dan teruskan kehidupan.  Semua tu dah tertulis Hana. Macam Nabi Ibrahim berkata dalam surah Al Hajr ayat 56. Tiada orang yang berputus asa dengan rahmat TuhanNya, kecuali orang-orang yang sesat. So?” 
So apanya?”
“Beri peluang saya kenalkan diri saya dan peluang pada hati Hana sendiri merasa apa itu makna bahagia. Mudahkan?”
“Gila!”
Dengus Hana. Kaki mengatur langkah kembali ke meja Murni. Bengang dengan Nik, walaupun hakikatnya apa yang dikatakan Nik tadi banyak yang betulnya. Lagu yang Nik nyanyikan tu pun ada maksud yang difahaminya. Macam campak batu dalam air hingga bayang hilang. Itulah realiti hidup!
Nik turut sama berdiri. Sakit hatinya membaca kesakitan Hana dari biasan matanya. Betul kata para pujangga, mulut lancang mereka cerita tapi kebenarannya hanya terucap pada sinar mata.
“Hana, sekejap,” tahan Nik.
“Terima kasih, Nik. Saya tak pernah ucap terima kasih pada awak. Dah banyak kali awak bantu tenangkan saya. Nasihatkan saya. Tapi itu semua bukan tiket untuk kita kenal macam yang awak hendakkan. Saya tak layak untuk semua itu lagi. Saya tak mahu lalui semua itu lagi. Impposible!”
Kepala Nik angguk. Dia faham. Peluang bersembang empat mata dengan Hana pun, sudah cukup buatkan Nik faham kondisi sebenar Hana. Sinar mata Hana sudah menceritakan segala yang tersembunyi. Melengkapkan perihal diri Hana di mata seorang Nik Zachary.
“Saya faham. Maaf. Cuma,” kata Nik saja menggantungkan ayat.
Hana melepaskan keluhan rimas. Entah kenapa, berdepan dengan Nik dadanya rasa sesak. Tapi dalam masa yang sama dia rasa selamat sangat bila pandangan mata yang lembut itu tak lepas memandangnya. Rasa dilindungi.
“Nik,” seru Hana bersama mata yang dikecilkan mencari maksud tersirat Nik.
“Tawaran pengurus tadi tu, awak pilih yang mana satu. Pilihan satu atau pilihan dua?” Soal Nik.
Jari telunjuk Hana menunjuk pada Lokman yang duduk semeja dengan Murni di tengah restoran. Kemudian ditala pada Nik yang berdiri di depannya. Cuba faham situasi sebenar.
“Awak? Lokman? Partner?”
“Macam tulah ceritanya. So?”
Hana pejam mata mencari nafas, sekali gus nyawa baru untuk berdepan dengan Nik. Dia boleh agak perjalanan hidupnya akan lebih mencabar bila dia menerima tawaran Lokman itu nanti. Tapi dia tak ada pilihan lain. Dia perlu bekerja untuk bina hidup baru. Peluang dah terbentang depan mata, takkan nak tolak.
“Pilihan satu! Saya pilih pilihan pertama tu, bos,” jawab Hana penuh yakin.
Nik ditinggal berdiri di situ dengan rasa bahagia. Diperhatikan saja Hana mengatur langkah mendekati meja Lokman dan Murni.
“Selamat datang dalam dunia saya, Ain Farhana. Dunia yang akan bahagiakan Hana. Saya janji awak. Just live well. Just live, love well after this,” bisik Nik dengan senyum meleret.