Puteri tiba lewat. Di pintu gerbang Istana Nong, Tun
Mahmud sudah menanti. Wajah Puteri yang masam mencuka direnungnya tajam. Puteri
buat tak endah akan kehadiran Tun Mahmud di situ. Hatinya masih geram bila
teringatkan perkataan gundik. Dia mengarahkan White menonong saja ke hadapan.
“Tia,” sapa Tun Mahmud lembut.
“Siapa suruh datang sini? Bukan ke tugas Mahmud
masih belum selesai?” sergah Puteri tiba-tiba.
“Perkhabaran Anum lagi darurat jika saya biarkan.
Tia… bawa bertenang. Ini Istana Nong di Mendalin, bukannya di Teratak Melur
yang Tia boleh buat sesuka hati Tia,” nasihat Tun Mahmud tenang.
Puteri terus melompat menarik kayu memanah dan
karung mata panah di belakang Tun Mahmud. Cemas Tun Mahmud dan Dang Anum
melihat reaksi Puteri yang tiba-tiba ganas. Puteri hilang dari pandangan mata
mereka setelah memberi isyarat diam jangan bergerak.
Puteri muncul di puncak Gunung Suji sana. Puteri
tahu gunung ini sunyi tanpa berpenghuni kerana cuacanya sejuk dan bersalji.
Sebatang pokok Rhu menjadi sasarannya melepaskan anak panah dengan penuh marah.
Berdesup-desup mata panah ditarik dengan pantas dan tepat mengena sasaran. Kali
terakhir mata panah terpacak menyebabkan
batang pokok Rhu itu condong ke kiri dan seterusnya menyembam ke
tanah. Dada Puteri yang merombak marah
mulai pulih perlahan-lahan. Terbaring
Puteri di atas salji yang memutih tebal. Air matanya yang mengalir pun turut
sama menjadi salji.
Belum sempat Puteri bertenang, seekor harimau putih
menerpa ke arahnya secara tiba-tiba dengan penuh marah. Pucat Puteri seketika.
“Tuan Puteri seorang pembunuh yang zalim lagi
kejam,” kata harimau putih itu dengan wajah yang bengis.
“Saya? Tidak. Saya tidak pernah membunuh,” ucap
Puteri membela diri dalam suara yang terketar-ketar. Gauman harimau putih itu
semakin kuat hingga bergema puncak Gunung Suji.
“Penipu!!! Sudah bersalah masih tidak mahu mengaku,”
marah harimau putih itu lagi. Mukanya semakin bengis.
Puteri memberanikan diri menolak sebelah kaki
harimau putih yang menekan dadanya. Dilihatnya mata harimau putih yang penuh
kemarahan, kesedihan, kekecewaan dan rasa dendam yang membuak-buak.
Perlahan-lahan dia berdiri tegak berdepan dengan harimau putih itu dengan
beraninya. Hilang sudah rasa marah dan geram dalam hatinya, yang tinggal
hanyalah rasa bersalah dan berserah dengan apa yang terjadi.
“Tuan puteri telah menyebabkan isteri dan dua anak
saya yang sedang menyusu di perut ibunya mati dihempap dahan pokok Rhu yang
secara tiba-tiba tumbang. Zalim sungguh Tuan Puteri!” lepas harimau putih itu.
Puteri yang terpana terus mengeluarkan seruling di
belakangnya. Pokok yang besar ini tidak mampu diangkat dengan menggunakan
kudrat yang ada. Bunyi alunan seruling mengapungkan pokok itu dari tanah.
Puteri menarik dan mengumpul segala tenaga yang ada dalam badannya untuk
menendang pokok itu agar ianya berganjak dari isteri sang harimau putih yang
terbaring kaku memeluk dua ekor anaknya.
Puteri terduduk kepenatan dengan darah tersembur ke
luar dari mulutnya. Belum pernah dia mempraktikkan ilmu kesaktian ini sejak dia
habis pengajian di Adinium. Termengah-mengah Puteri bagaikan baru lepas berlari
mengelilingi tiga benua.
Sang harimau putih tadi menghampiri dan menyentuh
tubuh isteri dan anaknya. Air matanya mengalir laju. Puteri kalah melihat kasih
sayang yang terpancar di wajah sang harimau itu. Rasa bersalah menjalar di
seluruh badannya. Kemarahan yang membuak tanpa dikawal membuatkannya menarik
tiga nyawa yang tidak berdosa dan sebuah keluarga yang penuh kasih sayang
termusnah secara tiba-tiba.
Puteri cuba bangun dan berdiri teguh. Dia terjatuh
kembali dengan darah yang memancut keluar dari bibirnya. Baju putih yang
dipakainya sudah bercorak merah di dada. Puteri tidak mahu menyerah kalah. Dia
yang perlu memikul kesalahan yang dilakukannya. Dalam keadaan yang masih tidak
bermaya, Puteri mengesot perlahan-lahan menuju ke arah keluarga sang harimau
putih itu.
Mengaum marah sang harimau putih, secara tiba-tiba bila jari Puteri cuba
menyentuh isterinya yang terkulai layu.
“Saya minta ampun dan maaf. Saya tak tahu adanya
makhluk lain di sekitar kawasan ini tadi. Saya hanya datang untuk melepaskan
marah dengan mata panah saya ini saja…”
“Diam!!! Maaf seorang penipu tak boleh diterima
pakai. Pandai mereka alasan untuk melepaskan diri,” herdik sang harimau putih
yang menolak Puteri dengan rakusnya. Tersembam Puteri jauh dari mereka.
“Saya ingin menebus kesalahan saya….” ucap Puteri
yang mulai sebak.
“Nyawa di balas nyawa! Sanggupkah Tuan Puteri
rupawan membalasnya dengan nyawa Tuan Puteri sendiri?” senyum sinis lagi kelat
dilemparkan oleh sang harimau putih. Dia yakin sekali Puteri tidak berani
memperlakukan begitu.
“Sanggup! Walaupun kesudahannya, saya akan terkujur
kaku di sini. Saya sanggup. Ini memang kesalahan saya. Kemarahan buatkan saya
lupa diri dan hilang pedoman hidup. Ini pengajaran yang cukup mahal, perlu saya
bayar untuk bebas dari rasa marah itu,” jelas Puteri penuh sedar dengan rasa
bersalah yang membuak.
“Gila!” marah sang harimau putih tiba-tiba.
“Tidak!”
“Siapa sebenarnya Tuan Puteri ini, sehingga sanggup
menggadai nyawa untuk menebus kesalahan dengan makhluk yang sudah mati?” hairan
sang harimau putih.
“Siapa saya
itu tak penting. Yang penting sekarang sang harimau yakin dan izinkan saya
menebus kesalahan saya semula,” rayu Puteri dengan bersungguh-sungguh.
Sang harimau putih sudah bersedia untuk menerkam
Puteri dengan ganas sekali. Membunuh Puteri yang kecil ini bukanlah perkara
yang sukar baginya. Cuma janjinya pada seseorang sebelum ke Gunung Suji ini
dulu membuatkannya kaku berfikir.
“Maaf, Tuan Puteri saya tak mampu untuk membunuh
Tuan Puteri. Saya berpegang teguh pada janji yang telah saya metraikan pada
seseorang. Maka Tuan Puteri bunuhlah saya juga,” ucap sang harimau putih yang
berbaring di sebelah isterinya.
Puteri mengesat air mata yang mengalir di pipinya.
Sayu sangat rasa hatinya dengan keikhlasan sang harimau yang dalam keadaan
marah dan kecewa masih mampu bertahan dek kerana janji yang telah dimetrai
untuk tidak membunuh lagi. Mendalin menunjukkan Puteri apa yang didengarinya
sebelum ini adalah tidak benar belaka. Masih terdapat kasih sayang yang ikhlas
dalam Kejora.
“Bukan itu maksud saya,” ucap Puteri sambil
tangannya menyentuh badan sang harimau putih.
“Nyawa di bayar nyawa Tuan Puteri.”
“Memaafkan dan percaya pada saya juga merupakan
penawar pada hati yang kecewa,” jelas Puteri sambil tangannya mengambil seketul
ais dan dicairkan. Air itu diusapkan perlahan-lahan di seluruh muka dan badan
isteri sang harimau putih bersama anak-anaknya yang comel. Batuk Puteri kian
kuat dan kudratnya kian lemah. Dia telah menggunakan seluruh tenaga yang ada
untuk menyembuhkan luka di badan sang harimau.
Selesai saja, Puteri terus jatuh terkulai keletihan di tanah bertilamkan
salji yang memutih.
Terdiam sang harimau putih bila melihat tubuh isteri
dan anak-anaknya bergerak dan bangun dengan tiada sebarang calar pun di badan
mereka.
“Tiko?” soal isteri sang harimau putih yang
kehairanan melihat sekujur tubuh pari-pari jelita di hadapan mereka.
“Dia menebus nyawanya untuk menyelamatkan Puri dan
anak-anak,” terharu sang harimau putih dengan rasa tanggungjawab Puteri pada
apa yang telah berlaku.
“Haaah! Bantu dia Tiko,” sergah Puri yang cemas.
“Bagaimana?” rasa gusar mulai menguasai diri Tiko.
“Tanya dia?” cadang Puri.
Tiko menghampiri Puteri yang terpejam matanya. Dada
Puteri berombak turun naik turun naik mengawal pernafasan. Darah yang mengalir
di bibir Puteri dijilatnya lembut. Puteri berusaha membuka matanya perlahan.
“Bawakan saya ke kolam atau sungai yang dalam
airnya,” pinta Puteri lemah.
Sepantas kilat Puri menolak tubuh lesu Puteri ke
atas badan Tiko. Berlari laju Tiko diikuti oleh Puri dan anak-anaknya di
belakang ke satu kawasan air terjun yang tersorok di kaki Gunung Suji. Puteri
dijatuhkan ke dalam air sungai yang sangat jernih. Tenggelam Puteri bebas di
dalam air. Sesaat kemudian datang sekumpulan anak-anak ikan kecil mengerumuni
Puteri. Dia dibelai dan dirawat dengan penuh sopan dan lembut. Badannya kembali
bercahaya seperti sinar bulan Kejora.
“Puteri Bulan Kejora!” ucap Tiko didengari oleh
Puri.
Inilah janjinya pada Kiai Abidin ketika Puteri
dilahirkan di Sakura. Melindungi Puteri sekiranya dia pulang kembali ke Kejora
adalah tugas dan amanah seluruh keturunan sang harimau putih. Masa itu semakin
hampir.
Puteri pulih kembali namun badannya lemah sungguh.
Dia ingin saja tidur sepuas-puasnya untuk mengembalikan semula tenaga yang
telah hilang.
“Tuan Puteri sudah sedar?” tegur Puri lembut.
“Awak sudah sembuh?” senyum Puteri bahagia tanpa
menjawab pertanyaan Puri.
“Saya dan
anak-anak saya sudah sembuh Tuan Puteri. Janganlah Tuan Puteri risau. Apa yang
boleh saya bantu untuk pulihkan Tuan Puteri?” soal Puri penuh hormat.
“Saya gila sekiranya saya minta awak tiupkan
seruling saya ini….,” gelak Puteri kecil dengan kepala digelengkan. Rasa lucu
untuk melakukan itu.
Puri dan Tiko berpandangan, kemudian mereka
sekeluarga bertukar menyerupai manusia. Harimau jadian? Bicara terkejut Puteri
dalam hatinya.
“Kiko, tiupkan seruling Puteri itu,” arah Tiko.
Si anak menurut perintah Tiko, alunan seruling itu
buatkan Puteri terapung di utara seketika. Lenanya nyenyak sekali dibuai damai
dan tenang. Sedar saja Puteri dikelilingnya dipenuhi dengan jumlah harimau
putih yang tak terkira banyaknya. Mereka sedang duduk mengadapnya dengan penuh
rasa hormat.
“Ehh! Kenapa ni?” cemas Puteri.
“Saya Tiko dari keturunan Harimau Putih. Ini semua
keluarga kami yang masih tinggal. Gunung Suji ini menjadi perkampungan kami
sementara menunggu kepulangan Tuan Puteri Bulan Kejora,” ucap Tiko sambil
menundukkan kepalanya penuh hormat.
Puteri terdiam. Dia pernah mendengar nama Tiko tapi
siapa gerangannya tidak pulak diketahui. Tiko bercerita mengenai keturunannya
pada Puteri yang manis wajahnya mendengar butiran cerita Tiko. Diakhirnya,
Puteri melepaskan keluhan berat.
Aku diramalkan menjadi tokoh sejarah yang bakal
membawa perubahan di Sakura? Hahahaha….sungguh kurang patut. Aku sudahlah
dikatakan puteri hingusan, bukannya superhero yang gagah perkasa macam dalam
rancangan Astro Fox di television. Bicara Puteri dalam hatinya.
Geleng Puteri yang masih ragu-ragu dengan ramalan
yang diketahuinya itu.