Sunday, December 31, 2023

Bab 8

 

“Elly sayangkan dia?”

Elina tersenyum kelat. Gadis mana yang mampu lupakan cinta pertama yang hadir dalam hidup mereka. Walaupun penolakan cinta itu menyakitkan. Tapi budi yang diberikan itu buatkan dia pegang teguh pada janji sampai ke hari ini.

“Bukan hak Elly untuk mempertahankan hubungan yang bukan milik Elly sepenuhnya dari mula lagi. Dan sebagai manusia yang berjanji. Elly pegang pada janji tu sampai sekarang, Abang Em,” lirih Elina perlahan.

“Elly tahu dia kat mana sekarang?”

Elina geleng kepala. Dia tak pernah ambil tahu langsung. Masa setahun menetap di Malaysia, Elina tak pernah langsung terserempak dengan dia. Waktu senggangnya dipenuhkan dengan aktiviti sukarelawan.

“Nama penuh dia?”

“Megat Nasrudin Megat Alaudin.”

“What ????”

Terkejut Emran mendengar nama yang disebut oleh si adik. Dia kenal sangat dengan gerangan nama tersebut sejak di zaman sekolah lagi. Kenal sangat.

“Abang Em kenal ke?” Soal Elina dengan kening yang berkerut.

“Errrr taklah. Dia Melayu rupanya.”

Emran memberi alasan berhelah. Dia dah janji tak ambil apa-apa tindakan, tapi dia tak terikat untuk bersemuka dengan kawan lamanya tu. Dia perlu dengar cerita dari sudut pandangan yang lagi satu itu dulu.

Elina layangkan senyum kelat. Realiti yang menyakitkan sebenarnya. Tapi semua tu terpaksa diharung juga dengan senyuman manis menggoda. Dia pun sudah hipokrit pada diri sendiri.

“Itulah yang Almarhumah nenda pernah pesan pada Elly sebelum dia mangkat. If you’re brave to say good bye. Life will reward you with a new hello. Elly ambil semua tu untuk membina kekuatan Elly sendiri. Elly nak hidup macam ni, sederhana. Nak orang kenal Elly sebagai Elina Maisara bukannya Tengku Elina Maisara Tengku Abidin. Elly adore Almarhumah nenda jalani hidupnya jauh dari pengaruh istana. Elly nak jalani kehidupan yang sebegitu.”

Emran mencapai tangan Elina yang terletak di atas meja. Kekecewaan buatkan si adik cukup mengawal dan memasang tembok tinggi bagi mengenal pasti siapa yang wajar mengelilingi hidupnya.

 “Bergelar Tengku Elina Maisara Tengku Abidin pun Elly mampu jalani hidup macam Almarhumah nenda. Tiada bezanya. Elly tetap bebas melakukan aktiviti kesukaan Elly cuma dikawal oleh bodyguard demi menjaga keselamatan Elly je. Bukan nak kongkong hidup Elly.”

Pujuk Emran lembut. Dia tak mahu Elina pinggirkan diri dari bermasyarakat dengan kaum kerabat di raja seperti sebelum-sebelum ini. Mereka semua tahu yang Elina menetap di Amsterdam tapi mereka tak pernah tahu yang Elina sudah hampir setahun kembali ke tanah air. Elina sering mengelak.

“Abang Em ni suka buatkan Elly hilang akal, kan. Malaslah nak fikir. Sampai masa nanti Elly buat keputusan.”

Kata putus Elina mudah. Buat apalah nak pening kepala. Dia masih ada lagi tiga bulan untuk merubah takdir.

 

Bab 7

 ELINA duduk bersila di gazebo yang dipilih menghadap pantai. Tempat kegemarannya bila teringin makan makanan laut. Nak ke Tanjung Lumpur di Kuantan sana tu, jauh sangat. Di sini dalam sejam lebih perjalanan saja.

“Abang Em dengar dari Tajol yang Elly dah tender resignation letter kat studio tu. Betul ke?” Soal Emran berhati-hati.

Bukan mudah nak pancing hati si bongsu ni berkongsi cerita. Elina lebih selesa berkongsi dengan orang luar daripada darah dagingnya sendiri. Macam Ayu dan Tajol.

Elina yang sedang meratah ikan bakar hanya angguk kepala. Nikmat makan terganggu bila diajak berbual. Bukannya selalu dapat makan macam ni.

 

“Habis tu Elly nak buat apa lepas tu? Bantu bonda di Yayasan?”

Emran berharap sangat tawaran menjadi pengurus di Yayasan Tunku Maira diterima oleh Elina. Si adik lebih berkelayakan dan lebih prihatin sepertimana Almarhumah nendanya. Tapi si adik ni liat. Dia nak bebas. Tak mahukan publisiti. Tak mahu dikenali. Padahal, Almarhumah nenda telah meletakkannya sebagai penama yang mewarisi segala tinggalannya.

Elina diam. Tangannya laju mencapai sotong goreng tepung masuk ke pinggannya. Sos cili di piring kecil diambil dan dicurahkan di atas pinggan.

“Elly, Abang Em tanya ni?”

Terhenti Elina menyuap. Diangkat muka memandang pada si abang. Bukannya dia tak tahu arah tuju soalan yang ingin dibincangkan mereka. Tahu sangat.

“Elly masih ada tiga bulan lagi laa Abang Em. Biarlah Elly enjoy saat-saat bebas ni dulu. Lepas tu baru Elly buat keputusan. Abang Em pun tahu kan, Istana Hinggap kat Amsterdam tu pun bawah tanggungjawab Elly. Semua harapkan Elly uruskannya sepertimana Almarhumah nenda buat.”

Emran letak sudu dan garpu di pinggan. Dipandang wajah si adik yang selamba menyuap makan tanpa mengikut adab makan yang lebih tertib. Bibirnya di kesat dulu dengan tisu.

“Ayahanda cakap, Elly dah lantik sebuah syarikat untuk menguruskan marketing dan operasi untuk Istana Hinggap tu. Tak perlukan Elly untuk selalu turun ke Amsterdam.”

Elina mengeluh. Baru nak temberang, rupanya perihal diri sudah ada dalam kocek si abang yang terlebih prihatin.

“Dan setahu Abang Em lah. Ayu ada cerita yang Elly dah set-up office kat sini untuk pantau operasi Istana Hinggap tu kan. Ada dua orang staf khas lagi. Jadi apa lagi yang halang Elly ambil tanggungjawab kat Yayasan? Atau Elly nak masuk office ayahanda?”

Soal Emran sambil berpeluk tubuh. Elina berdecit tak puas hati. Memang mati akal macam ni. Semua perihal sudah dalam poket Emran.

“Abang Em…”

“Apa? Cuba terus-terang dengan abang?”

Desak Emran. Dulu Elina tak macam ini. Suruhlah apa pun, dia akan menurut saja. Tapi sejak Almarhumah nenda meninggal, Elina nampak sangat cuba menjauh dari Istana dan kaum kerabatnya. Bukti jelasnya, perjanjian lima tahun dengan Tengku Abidin. Merepek!

Elina berhenti makan. Tangan dibasuh dan dilap sampai kering. Jus epal yang masih bersisa separuh, disedutnya sampai habis. Sudah tiba masanya dia berterus-terang dengan abangnya, Emran.

“Abang Em kena janji dulu yang abang akan dengar cerita Elly sampai habis. Dan tak akan ambil apa-apa tindakan. Hal ni biar Elly saja yang uruskan. Boleh?”

Lagi tak sedap hati Emran dibuatnya. Dia sudah agak, pasti ada rahsia yang buatkan Elina berubah sampai begini sekali. Puas dikorek daripada Ayu dan Tajol, tapi mereka syorkan dia dapatkan kebenaran daripada Elina sendiri. Itu yang selalu didesaknya Elina tanpa putus asa, sejak lima tahun lalu. Namun, kedegilan Elina buatkan rahsia itu tersimpan sampai ke hari ini.

“Abang Em janji. Asalkan tiada rahsia yang Elly sembunyikan daripada pengetahuan abang.”

“Abang kena pegang janji abang. Hal ni hanya abang je yang tahu selain Almarhumah nenda, Kak Ayu dan Abang Tajol. Elly tak nak ayahanda dan bonda tahu. Tak nak Abah Aji dan Mak Aji tahu. Boleh?”

“Ya. Abang Em janji. Elly perlu percayakan Abang Em.”

Elina perbetulkan duduknya di lantai. Sudah sampai masanya, beban yang dipikul ini dileraikan sedikit demi sedikit.

Satu-persatu sejarah silam disingkap tanpa hijab pada pengetahuan Emran. Rahang pipi Emran yang bergerak buatkan Elina tahu, abangnya sedang menahan marah yang teramat.

 “Sebab itu ke Elly buat perjanjian lima tahun tu?”

Elina angguk. Memang itulah penyumbang terbesar pada keputusan nekadnya mengikat perjanjian dengan ayahandanya sendiri.

“Habis tu, dia tak pernah cari Elly?”

Elina diam. Dia tahu hal makin berselirat bila dia sendiri mengabaikan hubungan komunikasi dan sosial dengan dunia luar. Semuanya diserahkan bulat-bulat pada Ayu.

“Dulu pernah. Tapi Elly lari. Dia ada hubungi Ayu tapi Elly halang Ayu berterus-terang pada dia siapa Elly yang sebenar. E-mel yang dia hantar setiap bulan pun Elly baca tapi tak balas. Jadi sampai sekarang dia tak tahu yang Maisara adalah Elina Maisara.”

“Elly sayangkan dia?”

Elina tersenyum kelat.