Tuesday, November 7, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Ditemuduga

 “Lok, kau je lah yang interview dia. Aku tengok dan dengar dari meja depan sana. Aku tak mahu dia tahu identiti aku dulu. Dah selesai interview tu nanti baru aku jelaskan kau kenapa,” ucap Nik selamba.
“Kenapa pulak ni Nik?”
“Rahsia negara. Tu dia orang dah datang. Kau uruskan interview. Kalau aku nak menyampuk, aku mesej kau,” arah Nik.
Lokman duduk sendirian di meja dengan wajah cemberut. Geram dengan permintaan Nik yang tiba-tiba pula datang fiil kebudak-budakannya.  Nik selamba badak duduk di meja depan macam mereka tak pernah kenal sebelum ini. Sabar jelah!
“Lokman kan?” Sapa Hana ramah. Pagi tadi, Nadia isteri Lokman ada hubungi Hana untuk aturkan janji temu dengannya. Adalah diceritakan sikit-sikit berkenaan apa. Hana tertarik dengan apa yang disampaikan Nadia padanya tadi. Itu yang dia setuju nak jumpa.
“Ya. Kenal pun. Ingatkan Hana dah lupa I,” jawab Lokman mesra.
“Saya tak pernah lupa bekas pelanggan tetap saya. Oh sebelum tu, kenalkan kawan saya Murni,” ucap Hana memperkenalkan Murni pada Lokman.
“Murni,” ucap Murni memperkenalkan diri. Huluran tangannya disambut oleh Lokman.
“Lokman,” balas Lokman memperkenalkan diri.
“Maaf ya. Saya selesa bawa teman. Lagi pun kawan saya ni bukan duduk sini. Dia duduk Australia. Datang bercuti,” cerita Hana menjelaskan kedatangan Murni.
“Tak apa. No big deal. Nad ada cerita apa-apa tak pada Hana?”
“Ada. Nad kata korang nak bukak restoran 24 hours kat Hill Park. Sekarang dalam renovation. Wah! Hebat korang sekarang ya,” kata Hana. Dia sendiri tumpang gembira dengar berita itu. Dia memang suka, bila dengar ramai usahawan muda Melayu yang nak buka perniagaan runcit ni. Kalau boleh bantu, dia nak je bantu apa yang termampu. Macam sekarang ni.
Lokman tertawa lucu. Tahu sangat perangai orang rumah yang teruja bercerita. Sudah dipesan jangan ceritakan semua pada Hana, biar dia saja yang jelaskan tapi tengoklah sekarang ni. Hana dah tahu semuanya.
“Ha itulah tu. Restoran tu berkonsepkan mamak bistro. I, partner dengan kawan satu universiti I dulu. Kami ni masing-masing ada kerja tetap. Tak berani nak fokus seratus peratus pada restoran. Itu yang sanggup gajikan pengurus tu,” jelas Lokman.
 Hana senyum. Ramai je golongan profesional macam Lokman ni. Nak kawal risiko perniagaan runcit tanpa berhenti kerja. Jika kena dengan strategi-nya memang boleh untung. Hana terus berpeluk tubuh bersahaja. Gaya santai bersandar badan pada kepala kerusi. Nik memerhati dari meja depan. Nampak belakang Hana saja pun. Bibir terukir senyum nakal. Cantik!
“Dah tahu tak ada pengalaman dalam Food & Beverage kenapa nak invest dalam bisnes ni. Buatlah bisnes yang tak perlu ambil risiko tinggi,” nasihat Hana. Dia tahu pahit getir berniaga runcit. Lebih-lebih lagi kedai makan. Penatnya nauzubillah. Tak mampu nak digambarkan dengan kata-kata.
“Ceritanya sebenarnya macam ni Hana. Partner I ni, dah ada tiga restoran konsep yang sama. I tengok maju. Masyuk pun masyuk. Itu yang ajak dia jadi partner I tu. Dia kata nak maju macam tu, I kena lantik seorang pengurus yang I boleh percaya. Itu yang Nad cadangkan nama you tu. Kami senang sangat dengan you. You pun memang dah ada pengalaman dalam bidang ni. Kalau you terima, memang I betul-betul legalah. Kami tahu, restoran tu berada di tangan orang yang betul,” cerita Lokman.
Bibir Hana mencebik kagum. Sebetulnya, inilah pertama kalinya dia mendengar perkara sebegini. Sepanjang menguruskan kafe, dia yang banyak turun padang menguruskan kafe. Tak pernah sekali pun dia lepas tangan. Percaya macam mana pun, dia masih letak peratusan kecil untuk sangsi bilamana urusan bersangkutan dengan duit aliran tunai.
“Hmmm, menarik. Saya pun tengah cari kerja yang sesuai ni. Sekiranya saya berminat, tawarannya bagaimana?”
Lokman menggaru kepala. Tak sangka semudah itu Hana nak terus terima. Dia pun tak berbincang dengan Nik tentang tawaran. Seketika, telefon bimbit Lokman berbunyi. Menandakan mesej masuk. Cepat saja jari Lokman melirik pada skrin telefon. Kemudian bibirnya di kemam menahan tawa.


Nik :            Tawaran ada 2.
1. RM10k/mth, Achieved monthly sales target = RM160k/mth. Commission 10% from nett profit. Cuti tahun dan cuti sakit ikut standard kesatuan sekerja. Mileage claim upon receipt. 
2. Terima pinangan aku. Dah jadi bini, bonus sepanjang tahun. 😊
Lokman :     Kau serius ke main-main ni?????
Nik:             Cuba je kau tanya kalau kau berani lah.

Terbatuk Lokman dibuatnya. Hidung digosok sambil berpaling memandang ke meja sebelah. Nik buat muka selamba mencicip teh tarik sambil balas mesej di telefon.
“Errr... tawarannya ada dua. Satu RM10k/month, Achieved monthly sales target = RM160k/month. Commission 10% from nett profit. Cuti tahun dan cuti sakit ikut standard kesatuan sekerja. Mileage claim upon receipt,” jelas Lokman. Sebiji diikut apa yang ditulis oleh Nik dalam mesejnya.
“Hmmm...menarik. Yang lagi satu?” Soal Hana yang teruja nak tahu.
Murni yang duduk mendengar di sebelah sudah senyum meleret. Suka dengar tawaran yang selayaknya diterima oleh Hana. Itu sudah cukup membuka jalan bagi Hana memulakan kehidupan baru.
“Tawaran yang ke dua ni spesial sikit,” ucap Lokman. Peluh halus di dahi di lap dengan belakang tapak tangan. Silap cakap mesti Hana salah faham pula nanti. Mata sempat menjeling ke meja depan. Nik sedang menikmati roti canai banjir dengan penuh berselera. Hantu punya kawan! Marah Lokman.
“Cakap je lah. Saya dah tertarik dengan tawaran Lokman dan Nadia ni. Dah tahu sepenuhnya bolehlah saya buat keputusan,” polos balas Hana. Peluang begini datang hanya sekali.
“Terima pinangan aku. Dah jadi bini, bonus sepanjang tahun,” senafas Lokman menjelaskan tawaran kedua. Terbeliak mata Hana. Murni yang di sebelah sudah terbatuk terkejut.
Excuse me. Are you damned serious???” Soal Murni terkejut. Hana tergamam. Tak tahu nak soal apa.
Lokman tersenyum kelat. Sempat telinganya mendengar tawa halus di meja depan. Hawau, punya kawan!
Sorry! Sorry! Salah. Salah. Sebenarnya...” penjelasan Lokman termati.
Kemunculan Azlan di sebelah meja buatkan semua tergamam. Murni layang muka jengkel yang meluat sangat. Hana acuh tak acuh saja pandang pada Azlan.
“Patutlah abang ajak rujuk, Hana tolak. Rupanya dah pasang spare part,” sinis bahasa Azlan.
Bro, kau dah salah faham ni bro,” bela Lokman. Tak senang dengan salah sangka Azlan.
“Aku cakap dengan dia. Bukan dengan kau,” tengking Azlan. Nampak sangat riak wajah menyinga Azlan. Hana tayang muka tenang tak terkuit langsung dengan sindiran kasar Azlan.
“Eh! Kalau dia ada spare part pun, kau sakit hati kenapa? Dia dah single. Dia berhak cari bahagia dia sendiri,” celah Murni. Dia pulak yang panas hati.
“Bahagia apanya kalau jantan ni pun dah ada bini. Apa bezanya kalau dia rujuk dengan aku. Bermadu jugak,” provok Azlan. Dia kenal siapa Lokman. Mereka selalu berjumpa di kafe dulu.
Laju kepala Hana berpaling memandang tajam pada Azlan. Sindiran pedas Azlan sudah melampau. Murni yang duduk selesa di sebelah Hana sudah macam cacing kepanasan. Dia memang dah hilang sabar. Namun, Hana pegang jarinya kuat. Halang Murni meroyan di sini.
“Aaa...”kata Hana terhenti.
“Sayang, sorry I lambat sikit. You dah order kan makanan I ke?” Celah Nik tiba-tiba. Tangan kirinya memegang belakang kerusi Hana. Terkejut Hana dan Murni memandang gaya selamba mesra Nik.
Azlan pelik pandang Nik yang berdiri di sebelahnya. Gaya terlebih mesra Nik pada Hana buatkan dia sakit hati. Lokman tunduk dengan tangan kanan garu dahi sendiri. Tak tahan nak gelak sebenarnya. Nik memang saja cari nahas.
“Sayang, apa pandang I macam tu. Dah rindu ya,” usik Nik. Riak terkejut Hana terus bertukar jadi buntu. Hingga terkebil-kebil matanya memandang Nik yang berdiri sebelahnya. Kepala digeleng kemudian di angguk dan digeleng semula.
Bro sorrylah aku sakit perut tadi,” jelas Nik sambil menghulur tangan pada Lokman yang layan saja drama sebabaknya.
“Tak apa. Aku faham,” balas Lokman. Sambut salam Nik.
“Eh! Hai. Aku Nik Zachary, special man Hana,” kata Nik perkenalkan diri. Tangan dihulur pada Azlan.
“Azlan, suami Hana,” balas Azlan.
“Hah! Sayang?” Nik saja buat terkejut. Diajukan soalan buntu pada Hana.
“Bekas suami. Azlan ni bekas suami Hana,” jawab Hana bernada geram. Rasa nak dikunyah dua makhluk bertanduk depan matanya ini. Selamba badak je mengaku lelaki istimewa dalam hidupnya.
“Fuh! Lega. You tahukan I dah sayang gila kat you. Tak sabar je nak tunggu you bagi kata putus ‘Yes. I do,” kata Nik menghangatkan suasana.
Azlan genggam tangannya menahan geram. Dia tak tahu pula, Hana mudah terima cinta baru. Dia kenal siapa Hana. Rahang pipinya bergerak nak tempiaskan rasa bengang pada Nik. Murni gelak dalam hati. Suka sangat drama sebabak yang dilakonkan Nik sekarang ini. Biar padan dengan muka Azlan.
“Dahlah Lan. Hana dah tahu you nak nikah dengan Aina bulan depan. Tak payahlah you fikir nak rujuk balik. Dia pun dah ada pengganti baru yang jauh lebih baik dari you,” celah Murni yang bersekongkol spontan dengan Nik.
“Huh!”
Azlan terus berlalu tinggalkan restoran. Panas telinga. Panas muka. Terbakar hatinya dengan berita yang baru diketahuinya itu. Tak boleh jadi. Hana tak boleh kahwin dengan orang lain. Hana tak boleh.

Murni terus bertepuk hi 5 dengan Nik. Suka sangat dengan drama sebabak spontan Nik. Lokman dah geleng kepala tak tahu nak cakap apa. Hana mencuka. 

Bahagia Bukan Bidaan - Hana & Aina

Murni bengang dengan Hana. Pagi tadi dia dah puas membebel pada Hana yang tiba-tiba buat keputusan untuk ke pejabat Azlan. Alasan Hana mudah. Nak selesaikan ‘back lock’ dengan Biah setiausaha Azlan. Permintaan terakhir Azlan katanya.
Pak su dan mak su pun dah cakap tak usah. Hana degil. Alasan Hana senang je. Dia pergi pejabat bukan sebab permintaan Azlan tapi masa depan staf yang kerja di situ. Dan sekarang lepas dah selesai di pejabat, Hana turun pula ke kafe di tingkat bawah.
Pekerja lama hanya tinggal tiga orang je yang bertahan. Yang lain semua dah berhenti. Sekarang semuanya muka baru yang Hana tak kenal langsung. Memang nampak bezanya suasana di kafe sekarang dengan masa dia ada dulu.
“Puan sihat?” Soal supervisor.
“Alhamdulillah. Wah! Semua muka baru ya. Bergetah dengan uniform baru,” puji Hana ringkas. Pembaharuan kafe yang kelihatan mewah di mata Hana. Pasti kos operasinya pun turut meningkat. Telah Hana sekilas.
“Pengurusan baru puan. Strategi pemasaran pun baru. Itu yang ramai berhenti. Tak tahan dengan kerenah pengurusan baru yang tak tetap pendirian,” cerita supervisor cukup ringkas. Namun, cukup difahami oleh Hana.
Bukan mudah nak menguruskan perniagaan runcit yang menguruskan aliran tunai keluar masuk setiap hari. Nak pula, dalam bentuk makan minum. Peratusan untung rugi hujung jari je. Silap percaturan boleh rugi besar. Betul pengiraan boleh untung berganda. Cabarannya pun banyak. Tak boleh ambil ringan faktor tukang masak, tukang buat air dan pelayan. Malah faktor kebersihan dan layanan pada pelanggan pun dititik beratkan.
“Eloklah tu. Pembaharuan yang menguntungkan kafe,” puji Hana. Dia tak mahu komen lebih. Kafe ini bukan urusannya lagi.
“Elok apanya puan. Sales bulan lepas pun tak capai target. Dah dua bulan sales tak capai target ni. Lepas ni tak tahulah apa yang encik nak tukar,” adu supervisor.
“Dia lebih arif. Ikutkan je,” balas Hana mudah. Supervisor angguk. Setuju.
 Murni yang duduk sebelah Hana hanya diam mendengar. Dari pagi tadi telinganya dipasung mendengar komen negatif tentang pengurusan Azlan. Kat pejabat tadi pun, dia dengar ada beberapa orang eksekutif kesayangan syarikat berhenti kerja dengan notis sebulan. Biah  yang dah bekerja lebih empat tahun tu pun dah mula hantar resume pada syarikat lain. Tak tahan katanya.
“Assalamualaikum puan,” tegur Nooraina yang berdiri di meja Hana.
“Waalaikumsalam. Tak payahlah panggil saya puan. Panggil Hana cukup,” ucap Hana lembut. Ini pertama kali dia bersemuka dengan Nooraina selepas kejadian hari itu. Entah kenapa, tiada rasa marah dan dendam dalam hatinya.
Murni angkat kening menyoal siapa perempuan ini pada Hana. Hatinya rasa lain macam saja tengok gaya ayu dengan penampilan mewah Nooraina dengan beg tangan, kaca mata hitam dan kasut berjenama mewah.
“Kita duduk sanalah puan. Lebih privasi,” minta Nooraina. Segan pula dia berdepan dengan Murni yang stylo walaupun gayanya ringkas. Hana sengih kelat. Geleng kepala.
“Lupa nak kenalkan. Ini kawan baik saya, Murni. Uni kenalkan ini Aina,” jelas Hana memperkenalkan Aina pada Murni.
Terbeliak mata Murni dengar nama itu disebut. Muka yang tadinya cool kini dah bertukar macam incredible huk. Sialan!
Nooraina takut-takut nak tarik kerusi dan duduk semeja dengan Murni. Tapi isyarat Hana suruh duduk diikutkan saja. Dia percayakan Hana.
“Kau nak buat apa duduk semeja dengan betina ni, Hana. Jom kita balik. Uni jijik nak dengar dia cakap. Tengok muka dia pun meluat,” kata Murni dah tarik tangan Hana. Nooraina telan liur. Jantung dah dup dap dup dap kecut.
“Uni sekejap. Bagi peluang Aina nak cakap. Dia memang dah mesej pada Hana nak jumpa kat sini. Hana saja tak cerita pada Uni. Hana nak Uni temankan Hana bersemuka dengan Aina. Untuk menghalang timbul fitnah yang tak sepatutnya,” pinta Hana lembut. Murni mengeluh. Dijeling menyampah pada Nooraina.
Please,” pinta Hana merayu.
“Yalah. Yalah. Hana cakaplah dengan betina ni. Uni duduk kat meja sana. Bernanahlah dengar suara ayu dia tu,” kata Murni meluahkan rasa meluat.
Hana angguk. Nooraina lepas nafas lega bila Murni meninggalkannya sendirian dengan Hana. Ada banyak yang ingin disampaikan pada Hana.
“Puan nak minum apa?”
“Saya tak layak dipanggil puan lagi, Aina. Tak apa, saya puasa sunat hari ni. Ada apa Aina nak jumpa saya?” Lembut balasan Hana.
Nooraina telan air liur. Ketenangan Hana buatkan hatinya rasa bersalah sangat. Nak pulak lepas mendengar leteran dari ibunya. Cinta dan perhatian Azlan buatkan dia buta melihat realiti depan mata. Nafsu melebihi segala-galanya.
“Saya nak minta maaf. Saya tak pernah terniat pun nak rosakkan rumah tangga puan. Saya...”
“Dah, Aina. Dah. Macam saya pernah cerita pada awak sebelum ini. Dalam perhubungan cinta, kita tak pernah akan kenal pasangan kita. Sifat tu sentiasa berubah. Sebelum bertunang lain. Lepas bertunang lain. Lepas nikah pun lain. Lepas lima tahun kahwin lain. Lepas sepuluh tahun lain. Lepas enam belas tahun pun lain. Jadi untuk itu, perempuan kena sentiasa bersedia. Awak pun tahu kisah Encik Azlan sebelum ini kan. Sebelum awak jadi girlfriend dia pun, dia pernah ada perempuan lain. Cuma satu je saya nak minta tolong awak,” pinta Hana.
“Apa puan?”
“Pulihkan nama bekas suami saya ni pada mata staf, klien dan pembekal. Saya yakin, berita penceraian kami beri impak negatif pada syarikat. Staf ramai yang dah berhenti. Medina yang dah lama kerja sini pun dah berhenti. Azlan,  seorang ketua yang berkaliber. Seorang lelaki yang bertanggungjawab. Saya nak tengok dia terus sukses capai cita-cita dia,” pinta Hana.
Tergamam Nooraina. Dia tak pernah fikir akan berdepan dengan situasi sebegini. Disangkanya, pertemuan empat mata ini akan berselang seli dengan haburan marah dan deraian air mata. Tapi ini, lain!
Dipandangnya pada Hana yang tenang depan matanya. Sinar mata Hana dapat dilihat betapa sedihnya hati seorang isteri. Kelihatan susuk tubuh yang sedikit kurus dari biasa. Sudah cukup membuktikan wanita ini sengsara batinnya.
“Rujuklah kembali dengan Encik Azlan, puan,” ucap Nooraina terpacul tanpa sedar.
Nooraina sendiri tergamam. Menyesal. Hana tersenyum tawar. Nampak kekalutan Nooraina yang terperangkap dengan permintaan sendiri. Dipandangnya kiri dan kanan restoran.
“Saya sedang belajar untuk move on, Aina. Sepanjang bergelar isteri dulu, saya hanya beri tumpuan pada rumah tangga saya je. Saya hanya fikir syurga saya bawah kaki suami saya. Sampai saya abaikan diri sendiri. Saya abaikan keluarga saya sendiri. Saya abaikan kawan-kawan saya. Sekarang saya nak kenal balik siapa diri saya.”
“Tapi puan. Encik Azlan sayangkan puan,” kata Nooraina separuh menduga. Ingin dikorek rasa di hati Hana.  
“Sayang saja tak cukup untuk buatkan rumah tangga itu bahagia Aina. Cinta saja pun tak menjamin bahagia. Pasangan perlu ada ikatan cinta mencintai. Satu rasa yang tak boleh dipaksa. Rasa yang buatkan mereka saling memerlukan. Saling melengkapi. Saling melindungi. Saling menyayangi. Saling membimbing satu sama lain. Mengingati tugas sebagai seorang muslim. Itulah bezanya saya dengan Azlan. Itulah yang buatkan saya nekad untuk berpisah.”
Jelas Hana. Untuk dia teruskan hidup dalam membina bahagia, dia perlu memaafkan dan melupakan kisah sedihnya dengan Azlan. Macam yang Nik cakap hari tu. Selagi masih bersujud pada yang satu, jangan pernah putus asa.   
“Tapi puan...” bicara Nooraina termati bila jarinya disentuh Hana.
“Tolong saya, Aina. Untuk bersemuka dengan awak setenang ini pun saya ambil masa. Saya tak kuat. Saya pun sama macam perempuan lain. Terlalu kecewa bila diceraikan kerana orang ketiga. Setakut mana pun saya dari bergelar janda, tapi itulah pilihan saya... saya dah maafkan awak. Ambillah iktibar perjalanan hidup saya ni. Berubahlah. Dan berusahalah untuk bina bahagia awak sendiri. Assalamualaikum,” ucap Hana lembut. Ditepuk jari Nooraina bersama senyum kelat.
Hana berdiri. Nooraina belum habis meluah. Murni yang memerhati dari meja sebelah sudah turut sama berdiri.
“Puan,” panggil Nooraina. Hana pandang padanya.
“Akhir bulan depan saya akan bernikah dengan encik. Saya nikah di Masjid Shah Alam. Kenduri pun dibuat kat situ.”
Hana berpaling membelakangkan Nooraina. Bagai ditoreh hati mendengar berita itu. Wajah yang tadinya tenang kini sudah goyah dek rasa sakit yang berganda.
“Tahniah. Moga awak berbahagia sampai akhir hayat awak,” ucap Hana. Langkah diatur perlahan meninggalkan meja.
“Puan, saya boleh tolong puan dapatkan Kimi dan Ida semula,” suara Nooraina bergema kuat. Terhenti langkah Hana. Dengan bibir yang bergetar menahan sedih dia berpaling memandang Nooraina.
“Puan nikah baru. Saya janji, Kimi dan Ida akan bebas jumpa puan lepas tu,”ucap Nooraina penuh yakin.
Murni terus memaut lengan Hana. Lagi mengebu rasa bencinya pada perempuan yang bernama Nooraina. Ditariknya Hana keluar dari kafe.
“Celaka! Memang berjodoh betul kau dengan si mangkuk ayun tu. Aku doakan korang berdua menikmati azab cinta korang tu,” bebel Murni.
Hana lemah. Ketenangan yang dikumpulnya hilang. Yang ada cuma rasa kosong dan kehilangan yang tak dapat nak diluahkan. Dipandang wajah Murni dengan pandangan mata kalahnya.
“Dia orang dah nak kahwin Uni,” bisik Hana.
“Lantaklah. Kau jangan lemah Hana. Ingat, kau dah mula move on. Kau nak mulakan hidup baru. Jangan perduli langsung fasal Azlan, fasal pejabat dia, fasal kafe. Lantaklah nak telingkup ke. Nak bankrup ke. Itu tanggungjawab dia. Kau dah lepaskan semua pada dia. Kau kena ingat. Kau kena bangit. Kau kena tunjukkan pada si mangkuk ayun tu, kau mampu berdikari. Lepas tu kau tuntut anak-anak kau semula,” ucap Murni memberi semangat pada Hana.
Bahu Hana yang dipegang digoncang oleh Murni. Hana hanya angguk.

Aku perlu move on. Bagaimana aku perlu move on, jika kesakitan itu sering hadir mengingatkan aku erti kecewa. Ya Allah! Lapangkanlah dadaku. Titipkanlah kesabaran yang luas dalam hatiku. Aku mohon Ya Allah. Aku mohon kekuatan dariMu. Pinta hati kecil Hana.  

Friday, November 3, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Hana & Murni

Hana ajak Murni keluar. Tak sanggup berdepan dengan Murni yang macam robot. Dia ingin mohon maaf dari Murni fasal tindakan bodohnya menghalau Murni keluar bilik hari tu. Sejak tu Murni lancarkan perang dingin dengannya.
“Uni, Hana dah dua hari lepak kat studio Timoti. Best sangat.  Hana boleh guna bilik tu sorang-sorang. Tak ada orang kacau pun. Bilik tu taklah besar mana, okeylah kalau nak menari empat lima orang nak berlatih step. Macam masa kita sekolah dulu,” cerita Hana.
Murni diam tak bersuara. Kepala menunduk penuh khusyuk menikmati mee goreng mamak yang dipesannya tadi. Saja nak membalas rasa geram pada Hana. Biar dia rasa!
“Sewa dia pun tak mahal. Untuk dua jam, Hana bayar lima puluh ringgit je. Itu pun dah kira berbaloi sangat. Penat gila duduk menari sorang-sorang dalam tu. Lencun habis. Tak payah masuk gym pun tak apa dah,” kata Hana menyambung cerita.
Murni berhenti makan. Pandang Hana. Sedut air kemudian tunduk habiskan mee goreng. Hana mengeluh.
“Uni, Hana minta maaf,” ucap Hana perlahan.  
“Nak buat apa minta maaf. Bukan Hana buat salah pun. Tak salah pun,” sindir Murni. Saja nak mengapikan lagi rasa bersalah di hati Hana.
“Hana tahu Hana salah Uni. Janganlah buat Hana macam ni. Hana memang dah lama tahu Azlan tak akan cintakan Hana macam mana Hana cintakan dia. Tapi Hana sayangkan rumah tangga Hana, Uni. Hana nak Kimi dan Ida membesar dalam rumah tangga yang sempurna. Sebab itulah Hana tutup mata. Hana keraskan hati. Hana sanggup lakukan apa saja sebab nak yang terbaik buat Kimi dan Ida,” cerita Hana perlahan. Sebak hati kini semakin menebal.
Murni berhenti menyuap. Dipandang Hana dengan pandangan mata yang kosong. Saja nak bagi Hana rasa sakit seperti mana yang dirasainya sebelum ini.
“Kalau dah macam tu kenapa nak bercerai jugak. Kenapa tak rujuk balik je dengan mangkuk ayun tu?” Soal Murni.
Hana tarik nafas dalam-dalam. Satu rahsia ni dia tak ceritakan pada siapa-siapa. Waima pada Murni pun dia tak berani cerita. Dipandang anak mata Murni mencari kekuatan. Bibir Hana mulai bergetar.
“Sebab Hana pernah telan sebotol pil depan Azlan. Hana pernah cuba nak bunuh diri depan Azlan, Uni. Dia tak ambil kisah. Dia tinggalkan Hana sorang-sorang malam tu,” luah Hana.
Terjatuh sudu di tangan Murni. Walaupun dia sudah tahu fasal kes cubaan bunuh diri Hana dari Talha tapi dia tak tahu keseluruhan cerita. Tergamam Murni tanpa suara.
“Kami bergaduh malam tu. Esoknya lepas Hana terjaga dari tidur, kepala Hana sakit sangat. Hana teringat apa yang jadi semalam. Hana tak nak mati lagi. Lepas mandi Hana terus ke hospital. Hana bawa wallet je. Hana tahan teksi kat depan jalan. Pak cik teksi tu lah yang papah Hana masuk kecemasan. Hana memang dah mamai sangat. Azlan tak tahu pun Hana masuk hospital. Lepas dia balik meeting lusanya baru dia tercari-cari Hana kat mana.... sebab Hana tinggalkan handphone dan kereta kat rumah,” cerita Hana. Menitis air mata Hana bila mengenang kembali saat kejadian itu.   
 Murni terus pegang jari Hana yang menggigil di atas meja. Digenggamnya kuat. Sungguh, dia tak tahu seksa yang Hana hadapi. Tapi, melihat keadaan Hana macam ni pun dia rasa sangat terseksa. Sangat-sangat terseksa.
“Doktor tanya Hana, nak beritahu waris ke? Hana geleng. Hana tak nak. Hana kecewa sangat. Dia boleh je halang Hana waktu tu. Dia boleh je sepak pipi Hana waktu tu. Tapi dia tak buat Uni. Dia suruh lagi Hana telan pil sakit kepala tu semua. Dia kata Hana lebih-lebih ikut rasa sakit kepala. Bini mana tak sakit kepala jika dah terang-terang tangkap suami ada affair dengan perempuan lain, Uni. Sudahlah dia sendiri cakap tak bernafsu tengok Hana...” bicara Hana terhenti. Esakan halus terlepas. Hana menunduk. Menahan air mata yang keluar walaupun dicuba agar tak menitis.
Murni rasa sakit hati melihat cara Hana menahan tangis. Dia lebih suka tengok Hana meraung daripada menahan tangis begini. Terus Murni bangun dari kerusi. Memeluk Hana dari belakang.
“Lepas sehari Hana di hospital baru dia jumpa Hana, Uni. Itu pun sebab dia nak buat laporan polis. Tapi polis suruh dia cari Hana dulu. Lepas dua puluh empat jam baru buat report.  Azlan call semua hospital cari Hana. Masa tu lah dia tahu Hana masuk Hospital Mawar. Dia datang menangis. Merayu Hana jangan tinggalkan dia macam tu. Dia akan berubah dan tak sakitkan Hana lagi. Dia akan jaga Hana macam suami lain jaga isteri mereka. Dia nak berubah. Tapi,” Hana hilang kata. Badannya bergetar melepaskan esakan halus.
“Lepaskan Hana. Lepaskan apa yang terbuku dalam hati Hana tu. Uni sentiasa ada untuk Hana. Kita dah janjikan. Akan menyokong satu sama lain. Uni sayang Hana,” bisik Murni yang turut sama teresak menangis.
“Tapi bila dia kata tak ada cinta antara kami, Hana rasa seluruh semangat juang Hana hilang Uni. Macam Hana hidup tak ada matlamat. Mencari bahagia yang sememangnya kosong untuk Hana. Sakit Uni. Sakit bila tahu yang pengorbanan Hana selama ni sia-sia. Sakit sebab Hana, sebab Hana je yang berusaha jadi terbaik untuk dia. Tapi dia tak pernah iktiraf Hana sebagai isteri yang disyukuri. Pada dia Hana ni banyak betul kurangnya. Sini kurang. Sana kurang. Tak pernah sekali pun dia bangga dengan Hana yang dah buat macam-macam untuk dia. Sakit Uni. Sakit sangat,” bisik Hana perlahan.
Murni hanya memeluk dan membelai rambut Hana. Pandangan orang di sekeliling yang memandang dan berbisik satu sama lain langsung tak dihiraukannya. Pemulihan Hana yang diutamakannya.
“Sakitnya cinta tu, Uni. Kenapa Hana cintakan dia sangat-sangat. Bukan ke cinta tu melatih kita untuk melindungi dan membahagiakan satu sama lain. Kenapa lepas setahun kahwin dia berubah Uni. Kenapa bukan sebelum kahwin dia tunjuk sikap dia yang sebenar Uni. Kenapa? Kenapa Uni?”
Murni tak mampu menjawab. Bibirnya turut bergetar menahan sedih. Kepala digeleng tak tahu bila anak mata Hana mencari jawapan di matanya. Peritnya hati melihat Hana ketika ini.
“Kerana cinta itu subjek yang tiada penghujung amalannya. Bukan ketika kenal dan jatuh cinta. Bukan ketika bercinta untuk belajar mencintai. Bukan ketika bertunang untuk mengenal makna cinta. Bukan ketika bernikah janji cinta itu dimeterai. Cinta tak pernah bersalah. Cinta tak pernah jahat. Yang menjahatkan cinta adalah sikap manusia itu sendiri. Manusia yang tak pernah faham maksud dan tanggungjawab bercinta.”
Murni dan Hana berpaling ke sebelah belakang Murni. Nik berdiri tegak di belakang Murni dengan kedua belah tangan dimasukkan dalam poket seluar.
Sorry. Aku terdengar. Kelakuan korang berdua ni menimbulkan tanda-tanya. Kot iya pun nak buat drama jangan buat kat tengah kedai mamak macam ni. Korang dah buat semua orang kat sini ingat korang ni couple yang sedang pujuk satu sama lain,” jelas Nik.
Memang itulah yang difikirkannya ketika mendengar sok sek sok sek budak perempuan meja  depan kaunter bayar. Bila dilihat dan nampak Murni, terus dia berjalan ke arah mereka. Lain yang nak dibuat, lain pulak yang diketahuinya.
Hana gerakkan bahu untuk meleraikan pelukan Murni. Tas tangan dibuka untuk mengambil tisu untuk mengesat air mata di pipi dan hingus yang menyesakkan pernafasan.
“Kau ni memang ada sini ke setiap malam?” Soal Murni. Jari mengesat air mata di pipi. Dengan Nik nak malu apanya. Dah biasa menangis depan Nik pun.
“Lapar. Aku ni mana ada orang rumah yang sediakan makan kat rumah. Malas nak pergi mana-mana, aku datang sini je lah. Lainlah kalau ada yang nak teman makan, boleh gak tukar selera makan kat tempat lain,” balas Nik selamba.
“Pukul 11 malam baru nak makan malam?” Soal Murni tak percaya. Ni mesti Nik saja buat cerita minta simpati. Mengenali Nik, dia dah masak sangat dengan helah beralasan dongeng tu. Nak pula, Nik turut tahu kisah Hana. Macam ada udang di sebalik batu je pada pandangan Murni.
“Tadi ada meeting dengan partner. Dah balik rumah. Tiba-tiba perut rasa lapar. Itu yang keluar balik tu. Boleh aku join korang?” Minta Nik selamba.
Hana dah beri isyarat mata tak mahu. Murni dah nampak dari tadi lagi. Tapi bahasa badan Nik ni menyampaikan maksud yang dia sendiri teruja nak tahu.
“Boleh je,” jawab Murni.
Besar mata Hana yang merah menangis tadi. Tak jangka Murni akan benarkan Nik duduk semeja dengan mereka.
“Kalau Hana tak selesa, tak apalah. I boleh je duduk sorang kat meja tu,” kata Nik.  Saja nak buatkan Hana rasa serba-salah. Dia ingin sangat berada depan Hana ketika ini. Setelah mendengar sendiri suara rintih sendu Hana tadi. Terasa seperti ada sesuatu yang mencengkam kuat hatinya.
“Eh! Duduklah. Saya okey je. Awak ni sepupu Uni, bukan orang lain pun,”kata Hana.  Keterpaksaan merelakan.
Nik terus tarik kerusi di depan Hana. Saja ditarik kerusi di depan. Senang nak tengok Hana depan-depan. Murni duduk di sebelah Hana.
I minta maaf. Busybody. Terdengar apa yang Hana cerita pada Uni. Tak terlintas sebenarnya. I janji tak tanya apa-apa. Cuma I nak beritahu. Orang yang berjuang kerana cintanya suci tak pernah akan rasa kecundang dalam hidup kerana cinta. Matlamat hidupnya jelas. Mencari keredaan Allah. Kenapa harus fikir pada balasan sedangkan kita ikhlas memberi cinta. Jangan rosakkan diri. Jangan salahkan diri sendiri. Hidup memang macam ni. Ada pasang surut. Ada duka, kecewa, gembira dan bahagia. Selagi kita bernafas. Selagi kita bersujud pada yang Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup,” nasihat Nik.
Hana yang pada mulanya nak mengeluh geram tergamam. Diangkat kepala memandang pada Nik yang duduk di depannya. Wajah tenang Nik direnungnya dalam. Tampa sedar bibirnya mengulangi bait kata Nik tadi.
“Selagi kita bernafas. Selagi kita bersujud pada yang Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup. Itu yang saya lupa,” ucap Hana perlahan.
Nik senyum sejemput. Suara lembut Hana yang perlahan itu menyenangkan hati yang tadinya sakit. Hebatnya wanita ini menjalani liku hidup kerana cinta.  Setia, taat dan tanggungjawabnya pada cinta buatkan dia sanggup korbankan bahagianya.
Bahagia yang kau cari. Reda yang kau pilih. Itu yang akan aku berikan pada kau Ain Farhana. Aku ingin basuh semua rasa sakit kau tu. Aku sanggup.

Nik sudah buat keputusan nekad. Hati dan akalnya menyokong tanpa rasa gentar dan gusar walaupun sebesar kuman.  

Monday, October 9, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Nik Cari Pengurus Baru

Nik turun dari kereta. Lengan kemeja dilipatnya sampai ke siku sambil melangkah masuk ke dalam mamak bistro. Dah ada janji temu dengan Lokman dan orang rumahnya nak bincang fasal perkembangan ubahsuai restoran mamak bistro yang akan beroperasi tiga bulan lagi.
Lokman bersama isterinya ingin membuka sebuah restoran. Mereka mempelawa Nik menjadi rakan kongsi. Memandangkan Nik sendiri memang dah ada pengalaman menguruskan restorannya sendiri. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Nik terus setuju.
Dah hampir enam bulan mereka merancang dan mencari lokasi yang sesuai. Baru dua bulan lepas mereka temui lokasi yang sangat strategik menurut Nik. Lot kedai yang berdekatan dengan kolej swasta. Berdepan pula dengan hospital dan deretan pejabat. Sekarang lot kedai itu sedang diubahsuai mengikut konsep yang telah dipersetujui. 
Sorry aku lambat,” tegur Nik yang menarik kerusi kosong di hadapan Lokman dan orang rumahnya.
“Kau dari office ke dari site?” Soal Lokman.
Office. Settle kan urusan pejabat sebelum aku fly back minggu depan,” cerita Nik.  
“Ooo berapa lama pulak kau kat Melbourne? Lagi tiga bulan restoran dah nak bukak ni tau. Aku ni dah berdebar gila ni. Takut pun ada jugak ni,” kongsi Lokman.
Sejujurnya memang itulah yang dia dan isterinya rasa. Selain daripada rasa teruja mereka rasa takut. Sudahlah habis semua wang simpanan digunakan sebagai modal nak mulakan bisnes. Kalaulah bisnes lingkup, memang gelap masa depan anak-anak.
Disebabkan rasa itulah, Lokman hanya percayakan Nik sebagai rakan kongsi. Rasa jaminan bisnes sukses itu lebih cerah berbanding dilakukan sendirian. Dia kenal rapat dan senang dengan kepribadian Nik yang amanah.
 “Apa hal kau ni bro? Gelabah tak tentu arah. Relax,” tegur Nik cukup tenang. Tangan diangkat tinggi memberi isyarat pada pekerjanya untuk menghantar minuman kegemarannya.
Relax? Aku tak boleh relax bro, kalau banyak kerja lagi yang pending. Nad ni pun tak habis-habis risau fasal pekerja. Mana nak cari pekerja. Nak ambil Bangla ke nak ambil mamak? Nak ambil kat mana?” Lokman berkongsi kerunsingan kepalanya memikirkan progres restoran.
“Betul tu Nik. I fikir macam mana dengan tukang masak? Tukang buat air? Kedai mamak ni teh tarik dia mesti power. Baru ramai pelanggan,” sampuk Nadia yang duduk sebelah Lokman.
Nik senyum senang. Keterujaan dan kebimbangan Lokman dan Nadia tunjukkan betapa fokus dan seriusnya mereka pada restoran yang bakal beroperasi tak lama lagi.
“Aku dah bagi tahu Ali suh bawa masuk dua belas orang dari India. Supervisor dua orang aku tarik dari restoran aku kat Kota Damansara sana. Dia akan tolong train orang baru nanti. Yang perlu kau risaukan sekarang ni adalah pengurus. Ke kau atau Nad nak uruskan restoran ni sendiri?” Nik ajukan soalan pada Lokman dan Nadia.
Lokman geleng kepala. Nadia pun sama geleng kepala. Masing-masing lebih selesai jadi bos daripada jadi pengurus restoran dua puluh empat jam ni. Lagipun, tugas hakiki sebagai jurutera sudah cukup menyesakkan kepala mereka.
I ada calon yang sesuai. Itu pun kalau you all semua setuju,” celah Nadia.
“Siapa Yang?” Soal Lokman pada orang rumahnya.
“Hana. You kenal dia kan Bie. Dia ada pengalaman. Dia bertanggungjawab dan dia perlukan kerja sekarang ni,” kata Nadia.
Tersedak Nik mendengar nama Hana disebut sebagai calon pengurus bagi restoran baru itu. Cepat-cepat dikesat bibir dengan tisu sebelum Lokman dan Nadia perasan perubahan wajah terkejutnya.
“Kalau Hana tu Bie setuju sangat Yang. Bertanggungjawab orangnya. Bie pun kenal. Pengurus ni kena orang yang kita percaya. Dia yang akan uruskan semuanya untuk kita. Betul tak Nik?”
“Betul. Kau orang nak cadangkan Hana? Dia nak ke uruskan restoran mamak yang beroperasi dua puluh empat jam ni. Came on lah guy, ni kedai mamak. Bukannya kafe high class,” kata Nik. Saja nak menduga sejauh mana mereka kenal Hana.
I yakin Nik. Kalau I tak yakin, I tak panggil Hana tu super-mum. Dia tu memang workacholic sikit. You nak tahu macam mana I tahu. Haaaa, kalau I cerita pun you mesti tak percaya.... tandas kat kafe dia tu, setiap pagi sebelum buka kedai dia yang bersihkan.  Without fail. Mana ada bos yang nak buat kerja kotor macam tu. Itu belum lagi cerita dia tolong basuh pinggan. Tolong masak. She’s leader by example, not leader by power,”cerita Nadia cukup yakin.
“Tapi Yang, kena tengok juga Hana tu duduk mana sekarang? Kondisi dia pun Bie tengok tak berapa semangat je. Betul tak Nik? Kau ada kan masa kita jumpa Hana kat sini hari tu,” kata Lokman. Nik angguk mengaku.
Nadia berdecit geram. Nampak sangat air muka yang tak puas hati. Nik diam tak mencelah. Dia ingin tahu cerita Hana dari mulut Nadia pula. Nadia ni boleh dikatakan wartawan tak bertauliah juga. Bergosip nombor satu. Itu yang tempias berita sensasi dapat ke Lokman tu.
“Itulah kata supervisor kat kafe Hana tu cerita. Hana duduk dengan pak su dia kat Bangsar. Dia tak ambil tahu langsung fasal kafe dan syarikat. Kereta, rumah semua diserahkan bulat-bulat pada bekas suami dia. Harap nak dapatkan anak. Tapi bekas suaminya larang keras. Tak bagi anak-anak jumpa Hana. Kesian dia. Meroyan sorang-sorang. Semua tak dapat. Mungkin peluang kerja ni dapat pulihkan semangat Hana,” cerita Nadia.
Nik pandang pada Lokman. Menunggu reaksi tindak balas Lokman pula. Dalam hal mencari pengurus, dia nak Lokman dan Nadia yang buat keputusan. Ini bayi pertama mereka. Proses pelajaran untuk meletakkan kepercayaan pada orang yang sepatutnya.
 “Betul cakap you tu Yang. Bie setuju. Tapi Bangsar tu jauh sangat dengan restoran kita ni. Macam mana Nik? Apa pendapat kau?” Lokman mengajukan soalan.
“Terpulang. Kalau korang rasa Hana ni calon yang sesuai, apa kata kau orang jumpa dia dulu. Faham kondisi dia. Hal ni aku serahkan kat korang. Lagipun, korang kan ke bos besar kat sini. Aku ni ciput je share,” balas Nik sempoi.
“Hmmm kalau macam tu apa kata Bie jumpa Hana esok je. Lagi cepat lagi bagus,” cadang Nadia.
“Eh! Esok pagi kan ke Yang outstation ke site kat Sarawak sana tu?” Soal Lokman.
Nadia tergelak malu. Terlupa dengan jadual kerja hakiki yang boleh tahan sibuk juga tu.
“Alaaa Bie boleh je jumpa Hana. Nik pun ada kan. Kalau fasal Hana I setuju je. I selesa lah kalau Hana tu yang jadi pengurus restoran kita tu nanti. Mana tahu, dia boleh tarik pelanggan tetap dia yang lain ke sana pulak kan,” sengih Nadia.
“Tak cemburu ke Nad. Pengurus you tu nanti Hana. Cantik, berkelayakan, janda pulak tu,” provok Nik tiba-tiba. Lokman terbatuk. Bulat matanya memandang Nik macam nak lepuk je riak muka nakal Nik. Nadia batai gelak.
“Hana nak sukakan Bie I ni?” Soal Nadia sambil tertawa lepas.
Berkerut dahi Lokman memandang Nik yang turut sama memberi reaksi yang serupa. Lokman boleh dikatakan kategori lelaki yang punya pakej lengkap sebagai lelaki idaman wanita. Ada rupa, bergaya, berduit dan berjawatan tinggi.
“Kenapa? I tak cukup handsome ke?” Tanya Lokman tak puas hati.
Nadia hamburkan lagi tawanya. Lucu melihat wajah si suami yang rasa diperlekehkan. Bukan dia tak faham. Lokman perasan dia kacak.
“Alo lo lo Bie terasa ya. I tak cakap pun Bie tak handsome. Hana tu, kalau Tom Cruise ke, Farid Kamil ke, atau Prince Marteen lalu kat depan dia pun. Dia tak pandang pun. Hati isteri yang kecewa macam Hana tu dah serik pada lelaki. Nak pulak pada lelaki yang ada rupa, pangkat dan berduit macam Bie ni. Tak pandang punya. Percayalah cakap I,” jelas Nadia.
Nik terkedu mendengar fakta Nadia. Ada kebenaran yang tersembunyi di situ. Sama macam apa yang Murni cerita padanya tempoh hari. Hana mengelarnya ‘gatal’ kerana mempamerkan bahasa badan yang ingin kenal rapat dengannya.

Jika aku nak kenal dia, aku kena tukar strategi. Tapi, kenapa aku beriya sangat nak kenal dia ya? Takkan fasal insiden salah kereta tu aku nak kenal. Takkanlah... ishhhh tak mungkin? Tapi kalau betul, aku juga yang melepas kalau aku biarkan. Bukan senang nak jumpa perempuan yang setia gila macam tu. Omel Nik dalam kepalanya.