Monday, October 9, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Nik Cari Pengurus Baru

Nik turun dari kereta. Lengan kemeja dilipatnya sampai ke siku sambil melangkah masuk ke dalam mamak bistro. Dah ada janji temu dengan Lokman dan orang rumahnya nak bincang fasal perkembangan ubahsuai restoran mamak bistro yang akan beroperasi tiga bulan lagi.
Lokman bersama isterinya ingin membuka sebuah restoran. Mereka mempelawa Nik menjadi rakan kongsi. Memandangkan Nik sendiri memang dah ada pengalaman menguruskan restorannya sendiri. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Nik terus setuju.
Dah hampir enam bulan mereka merancang dan mencari lokasi yang sesuai. Baru dua bulan lepas mereka temui lokasi yang sangat strategik menurut Nik. Lot kedai yang berdekatan dengan kolej swasta. Berdepan pula dengan hospital dan deretan pejabat. Sekarang lot kedai itu sedang diubahsuai mengikut konsep yang telah dipersetujui. 
Sorry aku lambat,” tegur Nik yang menarik kerusi kosong di hadapan Lokman dan orang rumahnya.
“Kau dari office ke dari site?” Soal Lokman.
Office. Settle kan urusan pejabat sebelum aku fly back minggu depan,” cerita Nik.  
“Ooo berapa lama pulak kau kat Melbourne? Lagi tiga bulan restoran dah nak bukak ni tau. Aku ni dah berdebar gila ni. Takut pun ada jugak ni,” kongsi Lokman.
Sejujurnya memang itulah yang dia dan isterinya rasa. Selain daripada rasa teruja mereka rasa takut. Sudahlah habis semua wang simpanan digunakan sebagai modal nak mulakan bisnes. Kalaulah bisnes lingkup, memang gelap masa depan anak-anak.
Disebabkan rasa itulah, Lokman hanya percayakan Nik sebagai rakan kongsi. Rasa jaminan bisnes sukses itu lebih cerah berbanding dilakukan sendirian. Dia kenal rapat dan senang dengan kepribadian Nik yang amanah.
 “Apa hal kau ni bro? Gelabah tak tentu arah. Relax,” tegur Nik cukup tenang. Tangan diangkat tinggi memberi isyarat pada pekerjanya untuk menghantar minuman kegemarannya.
Relax? Aku tak boleh relax bro, kalau banyak kerja lagi yang pending. Nad ni pun tak habis-habis risau fasal pekerja. Mana nak cari pekerja. Nak ambil Bangla ke nak ambil mamak? Nak ambil kat mana?” Lokman berkongsi kerunsingan kepalanya memikirkan progres restoran.
“Betul tu Nik. I fikir macam mana dengan tukang masak? Tukang buat air? Kedai mamak ni teh tarik dia mesti power. Baru ramai pelanggan,” sampuk Nadia yang duduk sebelah Lokman.
Nik senyum senang. Keterujaan dan kebimbangan Lokman dan Nadia tunjukkan betapa fokus dan seriusnya mereka pada restoran yang bakal beroperasi tak lama lagi.
“Aku dah bagi tahu Ali suh bawa masuk dua belas orang dari India. Supervisor dua orang aku tarik dari restoran aku kat Kota Damansara sana. Dia akan tolong train orang baru nanti. Yang perlu kau risaukan sekarang ni adalah pengurus. Ke kau atau Nad nak uruskan restoran ni sendiri?” Nik ajukan soalan pada Lokman dan Nadia.
Lokman geleng kepala. Nadia pun sama geleng kepala. Masing-masing lebih selesai jadi bos daripada jadi pengurus restoran dua puluh empat jam ni. Lagipun, tugas hakiki sebagai jurutera sudah cukup menyesakkan kepala mereka.
I ada calon yang sesuai. Itu pun kalau you all semua setuju,” celah Nadia.
“Siapa Yang?” Soal Lokman pada orang rumahnya.
“Hana. You kenal dia kan Bie. Dia ada pengalaman. Dia bertanggungjawab dan dia perlukan kerja sekarang ni,” kata Nadia.
Tersedak Nik mendengar nama Hana disebut sebagai calon pengurus bagi restoran baru itu. Cepat-cepat dikesat bibir dengan tisu sebelum Lokman dan Nadia perasan perubahan wajah terkejutnya.
“Kalau Hana tu Bie setuju sangat Yang. Bertanggungjawab orangnya. Bie pun kenal. Pengurus ni kena orang yang kita percaya. Dia yang akan uruskan semuanya untuk kita. Betul tak Nik?”
“Betul. Kau orang nak cadangkan Hana? Dia nak ke uruskan restoran mamak yang beroperasi dua puluh empat jam ni. Came on lah guy, ni kedai mamak. Bukannya kafe high class,” kata Nik. Saja nak menduga sejauh mana mereka kenal Hana.
I yakin Nik. Kalau I tak yakin, I tak panggil Hana tu super-mum. Dia tu memang workacholic sikit. You nak tahu macam mana I tahu. Haaaa, kalau I cerita pun you mesti tak percaya.... tandas kat kafe dia tu, setiap pagi sebelum buka kedai dia yang bersihkan.  Without fail. Mana ada bos yang nak buat kerja kotor macam tu. Itu belum lagi cerita dia tolong basuh pinggan. Tolong masak. She’s leader by example, not leader by power,”cerita Nadia cukup yakin.
“Tapi Yang, kena tengok juga Hana tu duduk mana sekarang? Kondisi dia pun Bie tengok tak berapa semangat je. Betul tak Nik? Kau ada kan masa kita jumpa Hana kat sini hari tu,” kata Lokman. Nik angguk mengaku.
Nadia berdecit geram. Nampak sangat air muka yang tak puas hati. Nik diam tak mencelah. Dia ingin tahu cerita Hana dari mulut Nadia pula. Nadia ni boleh dikatakan wartawan tak bertauliah juga. Bergosip nombor satu. Itu yang tempias berita sensasi dapat ke Lokman tu.
“Itulah kata supervisor kat kafe Hana tu cerita. Hana duduk dengan pak su dia kat Bangsar. Dia tak ambil tahu langsung fasal kafe dan syarikat. Kereta, rumah semua diserahkan bulat-bulat pada bekas suami dia. Harap nak dapatkan anak. Tapi bekas suaminya larang keras. Tak bagi anak-anak jumpa Hana. Kesian dia. Meroyan sorang-sorang. Semua tak dapat. Mungkin peluang kerja ni dapat pulihkan semangat Hana,” cerita Nadia.
Nik pandang pada Lokman. Menunggu reaksi tindak balas Lokman pula. Dalam hal mencari pengurus, dia nak Lokman dan Nadia yang buat keputusan. Ini bayi pertama mereka. Proses pelajaran untuk meletakkan kepercayaan pada orang yang sepatutnya.
 “Betul cakap you tu Yang. Bie setuju. Tapi Bangsar tu jauh sangat dengan restoran kita ni. Macam mana Nik? Apa pendapat kau?” Lokman mengajukan soalan.
“Terpulang. Kalau korang rasa Hana ni calon yang sesuai, apa kata kau orang jumpa dia dulu. Faham kondisi dia. Hal ni aku serahkan kat korang. Lagipun, korang kan ke bos besar kat sini. Aku ni ciput je share,” balas Nik sempoi.
“Hmmm kalau macam tu apa kata Bie jumpa Hana esok je. Lagi cepat lagi bagus,” cadang Nadia.
“Eh! Esok pagi kan ke Yang outstation ke site kat Sarawak sana tu?” Soal Lokman.
Nadia tergelak malu. Terlupa dengan jadual kerja hakiki yang boleh tahan sibuk juga tu.
“Alaaa Bie boleh je jumpa Hana. Nik pun ada kan. Kalau fasal Hana I setuju je. I selesa lah kalau Hana tu yang jadi pengurus restoran kita tu nanti. Mana tahu, dia boleh tarik pelanggan tetap dia yang lain ke sana pulak kan,” sengih Nadia.
“Tak cemburu ke Nad. Pengurus you tu nanti Hana. Cantik, berkelayakan, janda pulak tu,” provok Nik tiba-tiba. Lokman terbatuk. Bulat matanya memandang Nik macam nak lepuk je riak muka nakal Nik. Nadia batai gelak.
“Hana nak sukakan Bie I ni?” Soal Nadia sambil tertawa lepas.
Berkerut dahi Lokman memandang Nik yang turut sama memberi reaksi yang serupa. Lokman boleh dikatakan kategori lelaki yang punya pakej lengkap sebagai lelaki idaman wanita. Ada rupa, bergaya, berduit dan berjawatan tinggi.
“Kenapa? I tak cukup handsome ke?” Tanya Lokman tak puas hati.
Nadia hamburkan lagi tawanya. Lucu melihat wajah si suami yang rasa diperlekehkan. Bukan dia tak faham. Lokman perasan dia kacak.
“Alo lo lo Bie terasa ya. I tak cakap pun Bie tak handsome. Hana tu, kalau Tom Cruise ke, Farid Kamil ke, atau Prince Marteen lalu kat depan dia pun. Dia tak pandang pun. Hati isteri yang kecewa macam Hana tu dah serik pada lelaki. Nak pulak pada lelaki yang ada rupa, pangkat dan berduit macam Bie ni. Tak pandang punya. Percayalah cakap I,” jelas Nadia.
Nik terkedu mendengar fakta Nadia. Ada kebenaran yang tersembunyi di situ. Sama macam apa yang Murni cerita padanya tempoh hari. Hana mengelarnya ‘gatal’ kerana mempamerkan bahasa badan yang ingin kenal rapat dengannya.

Jika aku nak kenal dia, aku kena tukar strategi. Tapi, kenapa aku beriya sangat nak kenal dia ya? Takkan fasal insiden salah kereta tu aku nak kenal. Takkanlah... ishhhh tak mungkin? Tapi kalau betul, aku juga yang melepas kalau aku biarkan. Bukan senang nak jumpa perempuan yang setia gila macam tu. Omel Nik dalam kepalanya. 

Thursday, October 5, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Bakal Mertua Azlan

“Kalau papa nak kahwin jugak dengan Kak Aina tu, kahwinlah. Kimi tak larang. Tapi Kimi dan Ida tak akan duduk dengan papa lagi. Kimi nak duduk dengan tok ibu. Kimi dah cakap dengan tok ibu pun. Tok ibu dah setuju,” suara Hakimi bergema dalam kereta. Azlan terdiam. Dia menoleh pada Hakimi di sebelah dan ke cermin belakang untuk memandang Haida.
“Mana boleh macam tu. Kimi dan Ida kan ke anak papa. Kenapa mesti susahkan tok ibu yang dah tua tu? Lagipun Kimi dan Ida kan ke duduk asrama. Takkan hujung minggu pun tak nak balik rumah papa. Kesianlah kat papa,” pujuk Azlan.
“Bukan tok ibu susah pun. Suka lagi ada sebab bibik pun ada sekali,” celah Haida yang mencebik meluat. Perlahan namun sampai ke pendengaran Azlan yang sedang memandu.
“Bukan dulu Ida kata duduk rumah tok ibu tak best ke. Tak ada internet. Tak ada astro. Bilik pun tak ada aircond. Panas!” ungkit Azlan.
“Dulu tu sebab ada mama. Rumah rasa macam syurga. Mama ada je masa untuk kami. Sekarang, mama tak ada. Bukan je tak boleh jumpa mama. Nak call pun tak boleh. Baik duduk dengan tok ibu. Selalu je tok ibu call mama. Ida boleh je dengar suara mama,” cerita Haida.
Azlan bengang. Dia mampu halang dan kawal anak-anak dan Hana. Tapi dia tak mampu kawal ibunya. Penceraiannya mendapat tentangan daripada ibunya daripada adik-beradik yang lain. Sampai sekarang, ibu mogok cakap  dengannya. Bawa Nooraina balik kampung jumpa ibu pun, dilayan endah tak endah. Adik-beradik lain okey je lepas disogok dengan keselesaan hidup yang dibantu sebelum ini.
“Bie! Bie! Mak tanya tu,” kejut Nooraina.
Lamunan Azlan terus hilang. Soalan mak buatkan fikirannya melayang memikirkan anak-anak.
“Maaf. Apa dia tadi mak cik?” Soal Azlan.
“Mak cik tanya anak-anak encik izinkan ke encik nikah dengan Aina ni? Dan boleh encik bagi tahu mak cik kenapa encik ceraikan puan? Mak cik tahu itu soalan peribadi tapi sebabkan encik nak ambil anak mak cik jadi isteri mak cik nak tahu,” lembut suara mak Noorina minta penjelasan.
Glurp!!
Nooraina dah tak senang duduk. Soalan yang sama telah dijawabnya bila disoal oleh mak. Dia dah menjawab sebaik mungkin untuk buatkan mak faham kondisi kisah cintanya. Bukan dia yang suruh Azlan ceraikan Hana. Bukan!
“Sebenarnya mak cik, saya tak terniat pun nak ceraikan bekas isteri saya tu. Saya yakin, dapat membahagiakan mereka dengan poligami. Saya mampu bahagiakan mereka. Tapi belum saya menyuarakan hasrat saya, bekas isteri saya terlebih dahulu minta cerai. Dia yang berkeras nak bercerai. Mmmm... mak cik jangan risau, anak-anak saya memang kenal dan selesa dengan Aina. Saya tak nampak kenapa mereka tak izinkan saya bernikah dengan Aina. Lagipun, sebagai ayah saya tak perlukan izin mereka,” jelas Azlan.
Wajah tenang mak Nooraina berubah kelat. Dipandangnya pada anaknya yang dah menunduk memandang ke lantai. Kemudian nafas lelah dilepaskan. Apa yang didengari sudah mengesahkan apa yang diagakkannya sebelum ini. Kisah cinta Nooraina dan Azlanlah yang menjadi penyebab Hana minta cerai. Sakit betul hatinya
“Encik, mak cik ni kenal encik dan puan sejak Aina kerja dengan encik setahun yang lalu. Sebagai orang tua, mak cik gembira tengok pasangan suami isteri yang sepakat berusaha bangunkan syarikat bersama. Kagum sangat. Selama itu, mak cik kenal dengan puan. Dia seorang yang lemah lembut, penyayang, tak sombong, suka bantu orang susah, penyabar dan sanggup bersusah untuk keluarga. Tak ramai isteri yang sanggup buat apa yang puan buat, encik. Jika nak dibandingkan dengan Aina ni, macam langit dengan bumi. Aina ni masak pun tak pandai. Kemas rumah pun tak pernah. Bagaimana dia nak uruskan rumah tangga sehebat puan? Encik yakin ke, Aina mampu jadi isteri yang lebih hebat dari puan?” Tanya mak. Soalan yang penuh maksud tersirat.
“Mak! Apa cakap macam tu,” kata Nooraina tak puas hati. Dia punyalah bersungguh buatkan Azlan ambil keputusan bernikah. Mak pulak yang nak rosakkan impiannya.
“Mak cakap benda yang betul. Mak nak jaminan yang encik boleh beri untuk kebahagiaan kamu, Aina. Sekiranya perempuan sehebat puan pun diceraikan bila dah bertahun kahwin. Kamu yang tak ada apa-apa ni pun akan menerima nasib yang sama. Cinta tak kekal. Cantik pun tak kekal. Muda pun tak penah akan kekal,”balas mak cukup lembut. Menangani kedegilan Nooraina adalah dengan kelembutan.    
“Mak cik macam tak nak saya bernikah dengan Aina je. Saya tahu saya ni duda anak dua sekarang ni mak cik. Tapi, macam saya cakap tadi, saya lebih dari mampu untuk membahagiakan kedua isteri saya. Mereka bahagia,” ucap Azlan berbaur riak.
Mak Nooraina tersenyum kelat. Jauh di sudut hatinya memang sudah dipangkah besar-besar untuk menghalang perkahwinan Azlan dengan anaknya. Namun dalam masa yang sama dia sedar kedegilan Nooraina yang berkeras dengan keputusannya bernikah dengan Azlan. Semuanya disandarkan pada rasa cinta mati antara mereka. Cinta yang kononnya tak dapat dipisahkan. Lebih memeranjatkan mak, Nooraina sudah mendapat izin daripada ayah kandungnya untuk menjadi wali. Luluh hati seorang ibu yang tak punya kuasa bersuara.
“Encik, mak cik ni orang tua. Suara dan pendapat mak cik tak setanding dengan anak-anak yang berkelulusan universiti ni semua. Sekolah mak cik pun setakat SPM je. Lepas tu dah kahwin. Cuma, mak cik nak cerita pengalaman hidup mak cik yang tak seberapa ni,” tenang suara mak.
“Apa mak cakap ni?” Risau Nooraina. Tak sedap hati melihat riak tenang mak malam ni. Dia memang sayangkan mak sangat-sangat. Mak lah segala-galanya. Dan cinta Azlan yang melengkapkan maksud bahagia yang dicarinya selama ini. Jaminan!
“Shhsss. Biar mak habis cerita dulu. Mak nak Aina dan encik dengar pengalaman hidup mak. Jadikan kisah mak ni sebagai pengajaran. Mak buat keputusan bernikah dengan bekas suami mak sebab kami memang saling cinta. Orang tengok hubungan kami, memang cakap kami ni pasangan yang secocok dan bahagia. Sampailah anak bongsu mak  umur dua tahun dan anak sulung mak masa tu baru habis SPM. Suami mak minta izin untuk bernikah baru, sebab perempuan itu sudah mengandung dua bulan. Janjinya tiada apa kurang dalam rumah tangga kami. Kasih sayang, belanja rumah dan masa tiada yang berubah. Mak yang naif ni izinkan. Rela demi masa depan anak-anak. Yalah, mak ni tak kerja. Bulan pertama duit belanja rumah dah kurang. Alasannya nak sediakan keperluan untuk rumah satu lagi. Mak terima saja. Sampailah madu mak tu selamat melahirkan duit belanja rumah semakin hari semakin kurang. Dan bekas suami mak pun sudah mula tak adil memberi perhatian pada mak dan ana-anak. Akhirnya dia tak balik langsung. Mak digantung tak bertali. Dengan tiada nafkah untuk menampung hidup mak dan anak-anak. Setahun lepas tu mak minta cerai. Bukan kerana tak sayang. Atau cinta tak ada, encik. Tapi kerana mak tak mahu bekas suami mak tu pikul dosa dia mengabaikan mak dan anak-anak. Tugas sebagai suami itu bukan sekadar melayan isteri di bilik tidur, sediakan cukup duit makan pakai. Mahupun sentiasa loving-loving. Tak encik. Tak!”
Mak pegang dan genggam jari Nooraina yang duduk di sebelahnya. Azlan hanya memandang dengan hati yang dicucuk sembilu beracun. Pedih!
“Sekiranya encik yakin dan ikhlas nakkan Aina jadi isteri encik. Mak cik izinkan. Aina, mak izinkan Aina nikah dengan encik sebab ayah dah setuju untuk wali kan perkahwinan korang. Cuma satu pesan mak. Aina, cinta saja tak cukup kuat untuk jadikan perkahwinan itu bahagia. Mak nak Aina sentiasa bersedia. Apa yang jadi kat puan tu tak mustahil akan jadi pada Aina juga. Dan encik, mak cik harap jodoh encik dan Aina bahagia hingga akhir hayat. Berusahalah agar ia tak putus di tengah jalan. Ambil iktibar kesilapan perkahwinan terdahulu. Baiki. Mak cik doakan perkahwinan ni berjalan lancar, walaupun tanpa kehadiran mak cik dalam majlis tu. Mak cik dah buat keputusan untuk tak hadir dalam majlis yang sama dihadiri oleh bekas suami mak cik. Hati mak cik masih belum boleh memaafkan dan melupakan apa yang telah dia lakukan pada mak cik dan anak-anak.”
“Mak!”  jerit Nooraina terkejut. Meleleh air matanya. Hati terus dihimpit rasa bersalah yang teramat sangat. Dia mahukan majlis yang lengkap dan penuh kenangan manis yang dikongsi bersama keluarga. Tanpa mak di sisi apalah erti kesempurnaan.
“Terima kasih mak cik. Kalau itu keputusan mak cik, saya ikut je,” kata Azlan.
Dia sepatutnya rasa lega dan bersyukur kerana rancangnya nak bernikah dengan Nooraina sudah dipersetujui oleh keluarga. Namun keengganan kedua ibu untuk hadir dalam majlis pernikahan ringkas di masjid buatkan hati kecilnya diketuk rasa gusar.

Betul ke keputusan aku ni? Orang kata nikah tanpa restu ibu tak ke mana. Aku tak buat benda salah pun. Aku sekadar tunaikan janji pada cinta yang aku buat pada Aina. Dia saja yang faham aku. Dia mampu berdiri sama taraf dengan aku. Lulusan master luar negara. Bijak berkomunikasi. Networking luas. Sukakan cabaran. Minat aktiviti lasak. Pokoknya memang kami serasi sangat. Bebel hati Azlan. 

Bahagia Bukan Bidaan (Versi Wattpad Terkini)




Salam followers semua,

Bahagia Bukan Bidaan sudah dirombak daripada yang asalnya (ditempek dalam blog - prolog - bab10) selepas den temubual beberapa orang insan istimewa berhubung intipati cerita ini.

Sepertimana semua sedia maklum kisah ini diletakkan dalam #projectsmoveon_KayDelaila yang bermatlamat mengetengahkan kisah masyarakat yang diambil acuh tak acuh kesannya dalam kehidupan kita semua.

Untuk mendapat teaser dan perkembangan terkini tentang kisah ini boleh ADD den di laman grup FB : Hati Hessa Berlagu. Walaupun begitu mulai esok saya akan perbetulkan jalan ceritanya di laman ini.  Harap semua terhibur dan mengambil ikhtibar  pada jalan kisah ini.

Diharap dapat baca semula keseluruhan cerita  sebab ianya sudah dikemaskini semula.


terima kasih.

Hessa Widad
0522: 05102017