Thursday, October 5, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Bakal Mertua Azlan

“Kalau papa nak kahwin jugak dengan Kak Aina tu, kahwinlah. Kimi tak larang. Tapi Kimi dan Ida tak akan duduk dengan papa lagi. Kimi nak duduk dengan tok ibu. Kimi dah cakap dengan tok ibu pun. Tok ibu dah setuju,” suara Hakimi bergema dalam kereta. Azlan terdiam. Dia menoleh pada Hakimi di sebelah dan ke cermin belakang untuk memandang Haida.
“Mana boleh macam tu. Kimi dan Ida kan ke anak papa. Kenapa mesti susahkan tok ibu yang dah tua tu? Lagipun Kimi dan Ida kan ke duduk asrama. Takkan hujung minggu pun tak nak balik rumah papa. Kesianlah kat papa,” pujuk Azlan.
“Bukan tok ibu susah pun. Suka lagi ada sebab bibik pun ada sekali,” celah Haida yang mencebik meluat. Perlahan namun sampai ke pendengaran Azlan yang sedang memandu.
“Bukan dulu Ida kata duduk rumah tok ibu tak best ke. Tak ada internet. Tak ada astro. Bilik pun tak ada aircond. Panas!” ungkit Azlan.
“Dulu tu sebab ada mama. Rumah rasa macam syurga. Mama ada je masa untuk kami. Sekarang, mama tak ada. Bukan je tak boleh jumpa mama. Nak call pun tak boleh. Baik duduk dengan tok ibu. Selalu je tok ibu call mama. Ida boleh je dengar suara mama,” cerita Haida.
Azlan bengang. Dia mampu halang dan kawal anak-anak dan Hana. Tapi dia tak mampu kawal ibunya. Penceraiannya mendapat tentangan daripada ibunya daripada adik-beradik yang lain. Sampai sekarang, ibu mogok cakap  dengannya. Bawa Nooraina balik kampung jumpa ibu pun, dilayan endah tak endah. Adik-beradik lain okey je lepas disogok dengan keselesaan hidup yang dibantu sebelum ini.
“Bie! Bie! Mak tanya tu,” kejut Nooraina.
Lamunan Azlan terus hilang. Soalan mak buatkan fikirannya melayang memikirkan anak-anak.
“Maaf. Apa dia tadi mak cik?” Soal Azlan.
“Mak cik tanya anak-anak encik izinkan ke encik nikah dengan Aina ni? Dan boleh encik bagi tahu mak cik kenapa encik ceraikan puan? Mak cik tahu itu soalan peribadi tapi sebabkan encik nak ambil anak mak cik jadi isteri mak cik nak tahu,” lembut suara mak Noorina minta penjelasan.
Glurp!!
Nooraina dah tak senang duduk. Soalan yang sama telah dijawabnya bila disoal oleh mak. Dia dah menjawab sebaik mungkin untuk buatkan mak faham kondisi kisah cintanya. Bukan dia yang suruh Azlan ceraikan Hana. Bukan!
“Sebenarnya mak cik, saya tak terniat pun nak ceraikan bekas isteri saya tu. Saya yakin, dapat membahagiakan mereka dengan poligami. Saya mampu bahagiakan mereka. Tapi belum saya menyuarakan hasrat saya, bekas isteri saya terlebih dahulu minta cerai. Dia yang berkeras nak bercerai. Mmmm... mak cik jangan risau, anak-anak saya memang kenal dan selesa dengan Aina. Saya tak nampak kenapa mereka tak izinkan saya bernikah dengan Aina. Lagipun, sebagai ayah saya tak perlukan izin mereka,” jelas Azlan.
Wajah tenang mak Nooraina berubah kelat. Dipandangnya pada anaknya yang dah menunduk memandang ke lantai. Kemudian nafas lelah dilepaskan. Apa yang didengari sudah mengesahkan apa yang diagakkannya sebelum ini. Kisah cinta Nooraina dan Azlanlah yang menjadi penyebab Hana minta cerai. Sakit betul hatinya
“Encik, mak cik ni kenal encik dan puan sejak Aina kerja dengan encik setahun yang lalu. Sebagai orang tua, mak cik gembira tengok pasangan suami isteri yang sepakat berusaha bangunkan syarikat bersama. Kagum sangat. Selama itu, mak cik kenal dengan puan. Dia seorang yang lemah lembut, penyayang, tak sombong, suka bantu orang susah, penyabar dan sanggup bersusah untuk keluarga. Tak ramai isteri yang sanggup buat apa yang puan buat, encik. Jika nak dibandingkan dengan Aina ni, macam langit dengan bumi. Aina ni masak pun tak pandai. Kemas rumah pun tak pernah. Bagaimana dia nak uruskan rumah tangga sehebat puan? Encik yakin ke, Aina mampu jadi isteri yang lebih hebat dari puan?” Tanya mak. Soalan yang penuh maksud tersirat.
“Mak! Apa cakap macam tu,” kata Nooraina tak puas hati. Dia punyalah bersungguh buatkan Azlan ambil keputusan bernikah. Mak pulak yang nak rosakkan impiannya.
“Mak cakap benda yang betul. Mak nak jaminan yang encik boleh beri untuk kebahagiaan kamu, Aina. Sekiranya perempuan sehebat puan pun diceraikan bila dah bertahun kahwin. Kamu yang tak ada apa-apa ni pun akan menerima nasib yang sama. Cinta tak kekal. Cantik pun tak kekal. Muda pun tak penah akan kekal,”balas mak cukup lembut. Menangani kedegilan Nooraina adalah dengan kelembutan.    
“Mak cik macam tak nak saya bernikah dengan Aina je. Saya tahu saya ni duda anak dua sekarang ni mak cik. Tapi, macam saya cakap tadi, saya lebih dari mampu untuk membahagiakan kedua isteri saya. Mereka bahagia,” ucap Azlan berbaur riak.
Mak Nooraina tersenyum kelat. Jauh di sudut hatinya memang sudah dipangkah besar-besar untuk menghalang perkahwinan Azlan dengan anaknya. Namun dalam masa yang sama dia sedar kedegilan Nooraina yang berkeras dengan keputusannya bernikah dengan Azlan. Semuanya disandarkan pada rasa cinta mati antara mereka. Cinta yang kononnya tak dapat dipisahkan. Lebih memeranjatkan mak, Nooraina sudah mendapat izin daripada ayah kandungnya untuk menjadi wali. Luluh hati seorang ibu yang tak punya kuasa bersuara.
“Encik, mak cik ni orang tua. Suara dan pendapat mak cik tak setanding dengan anak-anak yang berkelulusan universiti ni semua. Sekolah mak cik pun setakat SPM je. Lepas tu dah kahwin. Cuma, mak cik nak cerita pengalaman hidup mak cik yang tak seberapa ni,” tenang suara mak.
“Apa mak cakap ni?” Risau Nooraina. Tak sedap hati melihat riak tenang mak malam ni. Dia memang sayangkan mak sangat-sangat. Mak lah segala-galanya. Dan cinta Azlan yang melengkapkan maksud bahagia yang dicarinya selama ini. Jaminan!
“Shhsss. Biar mak habis cerita dulu. Mak nak Aina dan encik dengar pengalaman hidup mak. Jadikan kisah mak ni sebagai pengajaran. Mak buat keputusan bernikah dengan bekas suami mak sebab kami memang saling cinta. Orang tengok hubungan kami, memang cakap kami ni pasangan yang secocok dan bahagia. Sampailah anak bongsu mak  umur dua tahun dan anak sulung mak masa tu baru habis SPM. Suami mak minta izin untuk bernikah baru, sebab perempuan itu sudah mengandung dua bulan. Janjinya tiada apa kurang dalam rumah tangga kami. Kasih sayang, belanja rumah dan masa tiada yang berubah. Mak yang naif ni izinkan. Rela demi masa depan anak-anak. Yalah, mak ni tak kerja. Bulan pertama duit belanja rumah dah kurang. Alasannya nak sediakan keperluan untuk rumah satu lagi. Mak terima saja. Sampailah madu mak tu selamat melahirkan duit belanja rumah semakin hari semakin kurang. Dan bekas suami mak pun sudah mula tak adil memberi perhatian pada mak dan ana-anak. Akhirnya dia tak balik langsung. Mak digantung tak bertali. Dengan tiada nafkah untuk menampung hidup mak dan anak-anak. Setahun lepas tu mak minta cerai. Bukan kerana tak sayang. Atau cinta tak ada, encik. Tapi kerana mak tak mahu bekas suami mak tu pikul dosa dia mengabaikan mak dan anak-anak. Tugas sebagai suami itu bukan sekadar melayan isteri di bilik tidur, sediakan cukup duit makan pakai. Mahupun sentiasa loving-loving. Tak encik. Tak!”
Mak pegang dan genggam jari Nooraina yang duduk di sebelahnya. Azlan hanya memandang dengan hati yang dicucuk sembilu beracun. Pedih!
“Sekiranya encik yakin dan ikhlas nakkan Aina jadi isteri encik. Mak cik izinkan. Aina, mak izinkan Aina nikah dengan encik sebab ayah dah setuju untuk wali kan perkahwinan korang. Cuma satu pesan mak. Aina, cinta saja tak cukup kuat untuk jadikan perkahwinan itu bahagia. Mak nak Aina sentiasa bersedia. Apa yang jadi kat puan tu tak mustahil akan jadi pada Aina juga. Dan encik, mak cik harap jodoh encik dan Aina bahagia hingga akhir hayat. Berusahalah agar ia tak putus di tengah jalan. Ambil iktibar kesilapan perkahwinan terdahulu. Baiki. Mak cik doakan perkahwinan ni berjalan lancar, walaupun tanpa kehadiran mak cik dalam majlis tu. Mak cik dah buat keputusan untuk tak hadir dalam majlis yang sama dihadiri oleh bekas suami mak cik. Hati mak cik masih belum boleh memaafkan dan melupakan apa yang telah dia lakukan pada mak cik dan anak-anak.”
“Mak!”  jerit Nooraina terkejut. Meleleh air matanya. Hati terus dihimpit rasa bersalah yang teramat sangat. Dia mahukan majlis yang lengkap dan penuh kenangan manis yang dikongsi bersama keluarga. Tanpa mak di sisi apalah erti kesempurnaan.
“Terima kasih mak cik. Kalau itu keputusan mak cik, saya ikut je,” kata Azlan.
Dia sepatutnya rasa lega dan bersyukur kerana rancangnya nak bernikah dengan Nooraina sudah dipersetujui oleh keluarga. Namun keengganan kedua ibu untuk hadir dalam majlis pernikahan ringkas di masjid buatkan hati kecilnya diketuk rasa gusar.

Betul ke keputusan aku ni? Orang kata nikah tanpa restu ibu tak ke mana. Aku tak buat benda salah pun. Aku sekadar tunaikan janji pada cinta yang aku buat pada Aina. Dia saja yang faham aku. Dia mampu berdiri sama taraf dengan aku. Lulusan master luar negara. Bijak berkomunikasi. Networking luas. Sukakan cabaran. Minat aktiviti lasak. Pokoknya memang kami serasi sangat. Bebel hati Azlan. 

No comments:

Post a Comment