Saturday, June 5, 2021

MAT KOYAK - Part 2

 

Pak Wan duduk di bangku, tersengih memandang si dara bongsu menukang di reban ayam yang sedang diperbesarkannya.

“Mir, buatlah kerja tu elok-elok sikit,” tegur Eleeza.

“Eeee… manalah Mir tahu buat kerja ni semua. Elok ayah suh upah orang. Akak beriya kata tahu buat. Buatlah sendiri. Ni tak, Mir pun kena seret sekali,” rungut si bongsu, Emir.

“Masa cuti macam ni lah kita nak  tolong apa yang patut kat kampung ni. Ayah dan mak bukannya kuat sangat. Kamu tu, dah dua minggu cuti. Merambu je. Cubalah tolong ayah. Tak nak buat semua kerja, buatlah benda yang senang-senang. Ni tak.”

Eleeza menegur si bongsu, Emir. Dia yang perempuan pun tak sampai hati melihat Pak Wan memotong kayu dan menukang sendiri reban ayam kat belakang rumah. Walaupun tak sebesar mana, tapi kederat orang tua kuat mana pun.

“Daripada akak bayar sampai dua ribu pada Wak Dol tu, baik akak bagi kamu ke. Bagi mak, ayah ke. Ada gak faedahnya,” jelas Eleeza.

Terhenti tingkah Emir. “Dua ribu?”

“Haah.”

“Gila! Renovation reban ayam je pun.”

“Ha, tau pun. Setakat tambah sepuluh kaki. Pacak tiang. Pasang jaring. Letak zink. Berapalah sangat. Ayah pun boleh buat. Tapi…”

Saja dimatikan kata di situ. Eleeza nak, Emir faham tujuan sebenarnya.

“Ayah dah tua. Kederat tak macam orang tu,” sambung Emir.

“Ha tau pun. Cepat paku tu. Dah ada tiang, senang kita nak letakkan rangka atap tu lak. Esok baru kita pasang zink.”

Eleeza kongsi cerita. Antara mereka empat beradik, dia yang paling rapat dengan Emir. Mungkin disebabkan jarak umur yang tak berapa jauh. Dan sikap Eleeza yang lasak dan tangkas membuat kerja.

“Akak tak nak cat reban ni macam akak cat rumah dulu ke?” Saja Emir provoke Eleeza.

“Tak payah!” celah Pak Wan.

Eleeza angkat bahu sambil tersenyum nakal. Pak Wan awal-awal lagi dah cakap, jangan nak gatal-gatal cat reban ayam dia. Membazir!

“Ayah tak bagi,” selamba balas Eleeza.

“Sebab apa ayah tak nak bagi akak cat reban ayam ni?”

“Akak kamu ni, nak dicatnya semua putih. Taknaklah aku. Macam rumah Kolonel British je. Ada ayam aku tak ada darah melayu,” jawab Pak Wan. Sama naik je, sengal mereka anak-beranak.

Emir gelak mengekek melihat Eleeza menjeling geram pada Pak Wan.

“Alaaa, ayah cakap je lah. Eza, daripada kamu nak cat reban ni. Baik kamu cat baru rumah ayah tu. Ada juga faedahnya.”

Senyum simpul Pak Wan. Dia tak minta. Tapi, kalau diberi dia terima saja.

“Ayah nak warna putih. Skirting kayu tu, kamu cat warna kelabu. Macam rumah Tok Ketua Haji Mat tu. Cantik!”

 Eleeza memandang Emir yang dah terlopong mulut, tak percaya. Glurp!!!

Demand tak agak-agak,” balas Eleeza.

“Kamu yang bagi bola tanggung. Ayah smash lah balik.”

Pak Wan sengih lebar. Cakap-cakap ayam Eleeza tu dah makan dirinya sendiri. Memang esok pagi akan terpacul lori Ah Thong Hardware tu depan rumah. Hantar cat. Guarantee!!!

Tuesday, June 1, 2021

MAT KOYAK - Part 1

Eleeza masih terbongkang tidur atas katil. Sudah seminggu dia cuti sakit, berehat di kampung. Dia selesa duduk memerap di rumah saja. Waktu rehat beginilah dipergunakan sebaik mungkin. 

“Eza ooo Eza,” laung Mak Dara kuat. 

 Sudu yang mengacau air teh dalam teko dicampaknya terus dalam sink. Pantang sungguh, anak dara bangun tidur lambat. Orang dah siap masak tengahari, dia masih atas katil lagi. 

“Ena, kejutkan adik kamu tu. Matahari dah kat kepala, dia membongkang lagi.” Mak Dara membebel tak sudah.

Eleena yang sedang menyuap nasi goreng terkedu. Dia baru nak bersarapan. Baru saja lepas habis kemas rumah yang bersepak sejak  subuh tadi. Speaker Mak Dara ni kalau dapat meleter, sampai rumah Tok Ketua Haji Mat kat hujung simpang jalan sana tu, pun boleh dengar. 

“Malam tadi Ena tengok Eza marathon citer Turki kat Netflix tu. Subuh tadi lepas solat baru dia tidur.”

“Elok sangat lah tu. Orang tidur dia berjaga. Orang ke hulu hilir buat kerja, dia membuta. Turun lah ke dapur time cuti ni. Campur orang sikit. Ni tak, memerap je dalam bilik.”

“Biarlah mak. Bukan selalu pun dia dapat cuti panjang macam ni. Kalau tak sebabkan kaki tu cedera, mak ingat dia dapat balik. Memang tak la.” 

Mak Dara terdiam. Cerita Eleena, ada betulnya. Eleeza sibuk dengan tugas hakikinya sebagai doktor gigi di Hospital Tentera kat KL tu. Itu belum disentuh tentang latihan intensifnya sebagai atlit memanah kebangsaan. Jadual latihan berpusatnya pun sama naik sibuknya.

“Mak ni bukan apa, Ena. Mak ni ada tiga orang anak dara. Tapi orang kampung kenal dua orang je. Kamu dengan Eda. Itu pun, tak lama lagi dah nak jadi bini orang. Mak teringinlah juga nak jalan bawah pedang time adik kamu tu kahwin.” Kias Mak Dara.

Eleena dah garu dahi yang tak gatal. Memang patutlah, Eleeza tidur waktu siang. Ni mesti akal dia nak mengelak daripada terus menerus disogok isu kahwin.

“Mak tak usahlah mengharap sangat. Eza tu tak macam Ena dan Eda. Dia berpelajaran. Pangkat besar. Tak pandangnya budak kampong ni semua. Baik dia pilih abang askar sado kat kem tu. Sepadan sikit.”

Mak Dara terus menurunkan lipatan lengan baju yang dilipat masa membasuh pinggan tadi. Bibir dah tersenyum-senyum. Duduk di sebelah Eleena yang sedang bersarapan.

“Eza dah ada kawan ke, Na?”

“Makkkk.”

Rimas Eleena nak menjawab bagi pihak si adik. Disuapnya nasi goreng penuh ke dalam mulut. Tak senang betul nak nikmati sarapan dengan penuh kusyuk.

Mak Dara menepuk lengan Eleena, teruja sangat hatinya nak tahu rahsia si anak dara bongsunya itu.

Desak Mak Dara, “Cakaplah. Eza tu dah ada boyfriend ke belum?”

Muncung bibir Eleena. Termati seleranya. Ditolak terus pinggan makannya menjauh.

“Ikut suka mak lah. Setahu Ena, Eza tu ramai je kawan lelaki. Tapi yang melepasi penilaian hatinya tak jumpa lagi. Okey mak?”

Mak Dara diam. Hela bimbang dilepaskan. Hati orang tua mana yang tak risau, bila anak daranya dah meningkat umur tapi tak ada tanda-tanda nak kahwin.

Aku perlu buat sesuatu. Tekad Mak Dara.

eBookAnganPena - MAT KOYAK

BELAKANG TABIR

IDEA Asal :    Kay Delaila 

Tarikh mula digarap :  2014/2015 (agak-agak sebab dah lupa deh 🤣🤣🤣)

Genre :     Santai | Romantik Komedi | Kekeluargaan 

Isu yang cuba dikupas :  BERANI MEMBUKTIKAN JANJI BUKAN KOSONG. Ia datang bersama usaha dan kesungguhan yang tak kenal erti putus asa. 

Watak utama;     Kapten Dr Eleeza  & Inspektor Nazim  

Misi utama penulisan MK :     meneutralkan emosi bagi memberi fokus pada kerja-kerja penyuntingan. Cerita santai ni semata-mata hiburan semata. 

TAGLINE :      KEJUTAN PADA PANDANGAN PERTAMA MENGHIDUPKAN RASA YANG MENGIKAT JIWA SAMPAI JANNAH. | 

Manuskrip ini akan dimuatnaik sebagai ebookAnganPena di website AnganPena tidak lama lagi. Tunggu pengumumannya yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa. 

Sekiranya ada permintaan, ianya akan difikirkan untuk dicetak.