|
Bayangan watak Putera Nashrid |
Puteri diiringi oleh Tun Mahmud dan Dang Anum
diperkenalkan seorang demi seorang pembesar negara juga kerabat pari-pari yang
lain. Puteri nak gelak sekuat hatinya bila rata-rata semua pari-pari menyatakan
yang dirinya kurang sempurna dan cacat sebab itulah dia malu untuk mempamerkan
diri pada semua orang. Tun Mahmud dan Dang Anum masam mencuka dengan segala
kutukan dan kejian mereka pada Puteri. Sakit benar hati mereka bila Puteri boleh lagi tertawa kecil di
sebalik niqub. Macamlah mereka tak boleh baca semua itu dari sinar mata Puteri.
“Mahmud, Anum cukup-cukuplah rasa sakit hati tu. Itu
hak mereka,” nasihat Puteri.
“Tia, mereka sedang kutuk Tia tu. Tia sedar tak?” geram
Tun Mahmud yang kuat memegang belatinya.
“Sedar cukup sedar. Namun ianya tidak melemahkan Tia
sedikit pun. Janji Tia pada Bonda untuk menyelamatkan Abang Kal dan Kak Fia
tidak terusik sikit pun. Untuk apa kita mencipta musuh sedangkan kawan pun
belum tentu kita temui.”
“Tia… itulah Putera Sharid dari Pulau Matahari,”
bisik Dang Anum yang kagum melihat wajah Putera Sharid yang kacak lagi memikat.
“Oooo itu rupanya Putera Sharid yang sombong tu. Tia
nak jumpa dia,” Puteri mengatur langkah ke arah Putera Sharid. Namun lengannya
di tarik oleh Tun Mahmud.
“Tia, dia boleh baca apa yang ada di fikiran Tia
seperti Tia juga. Dia punyai kelebihan yang luar biasa. Tia belum bersedia
untuk berdepan dengannya lagi,” halang Tun Mahmud buatkan Puteri mengeluh kecil.
Pengiringnya ini sangat menjaga dirinya, baru nak beramah mesra sudah
terbantut.
“Kesakitan buatkan Tia insaf dan lebih bersedia
memperbaiki diri Tia ini, Mahmud. Izinkan Tia jadi diri Tia sendiri,” pujuk
Puteri.
“Tia,” pujuk Dang Anum turut menghalang Puteri.
“Izinkan Tia nikmati kehidupan dengan bebas Anum,”
ucap Puteri memujuk Dang Anum pula. Dalam keterpaksaan mereka melepaskan Puteri
mengatur langkah mengadap Putera Sharid.
“Ehemmm…” tegur Puteri.
“Puteri Bulan Kejora,” senyum terukir di bibir
Sharid.
Keindahan mata Puteri yang biru buatkan jantung
Sharid bergetar laju. Bau Puteri yang wangi buatkan ingin sekali dia menyelak
kain yang mengelubungi tubuh Puteri yang sukar digambarkan. Lama ditatapnya
mata Puteri untuk membaca apa yang ada di minda puteri ini. Namun semuanya
tidak berjaya. Puteri senyum puas. Ilmu mengosongkan minda yang diajarkan oleh
Raden Indra memang sangat berkesan untuk mengelak dari dicerobohi oleh
pari-pari berilmu yang punyai kelebihan membaca minda sesiapa saja.
“Sudah diputerikan?” soal Putera Sharid yang hairan
kerana Puteri tidak seperti puteri lain yang ditemuinya. Minda Puteri sangat
kosong, sedangkan sebagai Puteri merupakan seorang Nakashiro terpilih.
“Sudah. Tunku Puterakah yang mengurung kanda saya?”
soal Puteri terus terang.
“Hahaha… saya tidak pernah mengurung sesiapa Tuan
Puteri. Mereka terkurung sendiri dengan rasa nafsu yang tidak dapat dikawal.
Keseronokan dan kemegahan menjadi tujuan hidup mereka…” cerita Putera Sharid
dengan megah dan bangga sekali.
“Macam seperti sekarang ini ya? Tunku Putera sedang
menimbang bagaimana rupa saya sebenarnya. Rakus sungguh nafsu berahi Tunku
Putera… sepatutnya Tunku Putera terkurung juga di Istana Nadim sehingga Tunku
Putera insaf,” balas Puteri dengan lembut dan tenang. Putera Sharid terdiam
dengan raut wajahnya merah menahan geram. Mana mungkin Puteri mampu menceroboh
mindanya sebab dia cukup mahir menghalang mindanya dari diceroboh sesuka hati
oleh sesiapa saja. Putera Nong pun tak mampu menceroboh mindanya.
“Bagaimana
seorang puteri hingusan mampu menceroboh minda seorang Putera yang disegani
dengan ketegasan dan kekacakannya. Puteri sungguh ajaib,” ucap Putera Sharid
berbaur menyindir memandang tepat di mata Puteri. Usahanya menceroboh masih
tidak berjaya.
“Keikhlasan hati berlawan dengan rasa riak Tunku
Putera itulah jawapannya. Ingat! Tiada satu makhluk pun yang kebal di
cakerawala ini. Tak kiralah di Kejora mahupun di Bumi, semuanya tiada yang
kekal. Begitu juga dengan kanda saya di Pulau Matahari itu. Kehebatan mereka
tenggelam juga dengan cabaran yang Tunku Putera lemparkan. Cetek benar iman
mereka, jatuh tersungkur bila dipersembahkan kenikmatan juga keseronokan
kehidupan. Sedangkan di Sakura, Bonda yang uzur sendirian mentadbir negara.
Saya akan ke Pulau Matahari membebaskan mereka dari Tunku Putera,”ucap Puteri penuh
yakin dan berterus-terang.
Sharid tergelak kecil. Keyakinan dan kegagalannya
menceroboh minda Puteri membuatkannya rasa sangat seronok dengan perlawanan
dingin bersama Puteri. Keinginan Puteri masuk ke Pulau Matahari untuk membawa
keluar Putera Khalif dan Puteri Sofia satu tiket untuk memerangkap Puteri duduk
di sana seumur hidupnya. Masakan Puteri yang lemah lembut itu mampu menandingi
ketangkasan dan karismanya dalam memikat wanita. Sedangkan Puteri Sofia
terkulai layu bila digoda inikan pula Puteri Bulan Kejora yang baru
diputerikan.
“Pulau Matahari sentiasa mengalu-alukan kedatangan
Puteri Bulan Kejora. Cuma niat Puteri membawa keluar Putera Khalif dan Puteri
Sofia itu tak dapat kanda permudahkan. Puteri kena melalui cabaran yang sama
seperti mereka. Jika dalam masa sepurnama Puteri mampu menangkis segala cabaran
itu, kanda sendiri yang akan menghantar mereka pulang ke Sakura,” janji Putera
Sharid penuh yakin. Penuh yakin yang dia tidak akan melakukan sebegitu. Puteri
akan terkurung selamanya di Pulau Matahari.
Puteri senyum faham. Begitukah caranya Putera Khalif
dan Puteri Sofia terkurung di Pulau Matahari hingga ke hari ini. Jika itu saja
caranya untuk memasuki Pulau Matahari, Puteri tiada masalah. Yakin PenciptaNya
sentiasa ada dimana-mana memberi pertolongan pada makhluknya yang sentiasa
menadah tangan dan meminta.
“Tunku Putera sangat budiman. Saya kagum dengan
tuanku Putera,” pujian Puteri buatkan Putera Sharid lagi riak meninggi.
Kemunculan Putera Nashrid yang mentadbir Mendalin di mana terletaknya
Pulau Matahari begitu mengamit naluri Puteri untuk memandang setiap langkah
beliau. Langkah Putera Nashrid yang penuh berkarisma dan tegap lagi
berpendirian tegas menunjukkan beliau seorang pemimpin yang sangat disegani di
dalam dewan ini. Aura memikatnya buatkan Puteri terpesona hingga degupan
jantungnya lintang pukang berdegup, perutnya bagaikan memulas diserang senak
dan sendinya tiba-tiba longgar dan mengeletar.
“Anum, siapa itu?” soal Puteri perlahan.
“Itulah Raja Mendalin. Kanda sulung Putera Sharid
yang kacak itu,” jelas Dang Anum yang masih tidak lepas memandang pada Putera
Mahkota Sharid yang sentiasa dikelilingi oleh puteri jelita walau di mana saja
majlis keraian berlangsung.
“Satu-satunya Raja
yang masih belum mempunyai pemaisuri. Seorang yang budiman dan lebih
suka menyepi dari majlis istiadat pari-pari. Tumpuannya hanyalah pada Mendalin.
Entah kenapa baginda boleh hadir pula hari ini? Jika Tia nak tahu,
kebijaksanaan baginda mengelak perang saudara sangat dipuji ramai. Putera
Sharid diberikan Pulau Matahari untuk ditadbir sendiri manakala Putera Tarid
memerintah Pulau Bantal,” jelas Dang Anum.
"Namanya?" soal Puteri ingin tahu.
"Putera Nashrid,"jawab Dang Anum yang
hairan melihat Puteri yang tidak langsung berminat pada Putera Sharid.
Tun Mahmud datang menghampiri Puteri dan Dang Anum
bersama seorang yang cerah wajahnya dengan berjubah putih bersih.
"Tia," panggil Tun Mahmud lembut buatkan
Puteri tertoleh. Wajahnya berubah ceria bila melihat Kiai Neqman yang segak
menghampirinya.
"Assalamualaikum, Tia," ucap Kiai Neqman
yang memandang wajah Puteri yang berniqub.
"Waalaikumsalam, Kiai," senyum Puteri
sambil membongkokkan badannya tanda hormat yang tak sehingga pada gurunya itu.
Kiai Neqman pucat lesi manakala Tun Mahmud dan Dang
Anum cepat-cepat membantu Puteri menegakkan badannya. Banyak mata memandang
pada Puteri dengan pandangan hairan lagi pelik. Belum pernah ada dalam sejarah
Sakura seorang Puteri membongkokkan badannya memberi hormat pada seorang guru.
Ratu Ayu memejamkan mata untuk menahan sesak nafas.
Hari pertama Puteri sudah menimbulkan suasana pelik di Sakura.
"Tia, seorang puteri Sakura martabatnya tinggi.
Apa yang Tia lakukan ini?" soal Ratu Ayu.
"Tia menghormati seorang guru yang dulunya
gigih berkongsi ilmunya pada Tia. Martabat seorang guru sangat tinggi selepas
Bonda dan Ayahanda. Itu cara Tia mengucapkan terima kasih pada semua guru yang
telah mendidik Tia, Bonda. Siapalah Tia tanpa mereka," jelas Puteri.
"Tia...."Ratu Ayu serba salah.
"Usah Bonda risau. Tiada bezanya kita di mata
Pencipta, melainkan amalan dan ibadah kita. Maafkan Tia sekiranya tindakan Tia
ini membuatkan Bonda serba-salah. Tia akan cuba sesuaikan diri dengan kehidupan
sebagai puteri Sakura," akui Puteri. Ratu Ayu mengerdipkan mata tanda
mengerti. Tun Mahmud dan Dang Anum masih menundukkan kepala tanda bersalah.
Alunan muzik berkumandang dan ramai sudah ke depan
dengan pasangan mereka. Tarian Waltz yang ditarikan oleh Puteri Abbie bersama
Putera Sharid memukau semua yang melihat. Diikuti pula dengan tarian Ballroom yang
melihatkan putera dan puteri bergoyang badan mengikut gerak tari tarian
tersebut.
"Tia,
adat Sakura. Puteri akan diminta menari. Tarian apa yang ingin Tia
tarikan?" soal Tun Mahmud.
"Menari?" terkejut Puteri.
"Macamlah tak pandai menari," sengih Dang
Anum melihat muka terkejut Puteri.
"Memanglah pandai, Anum. Tapi agak-agaklah
menari di khalayak ramai. Tia ni puteri tau, mana boleh memalukan diri
sendiri," jawab Puteri dengan selamba.
"Lepas ini Tia tukar. Sekarang Tia kena patuh.
Tarian apa Tia?" Soal Tun Mahmud.
Puteri jeda memandang sekeliling. Semua gaya moden.
Penaklukkan budaya Inggeris begitu kuat hingga ke Kejora pun sampai tempiasnya.
Bersentuhan lelaki perempuan dengan bebas sekali. Inikah budaya pari-pari?
"Tarian Inang. Panggil dayang untuk mengiringi
Tia," ucap Puteri ringkas.
"Inang?" soal Tun Mahmud tak percaya.
"Iya, tarian Inang. Mahmud ada masalah?"
soal Puteri dengan kening terangkat sebelah.
Seperti yang diminta seramai sepuluh Dayang
berlenggang-lenggok mengikut rentak laju dengan bunga tari yang seragam di
tengah dewan. Semua hadirin terpukau, nak pulak dengan gaya tari selamba Puteri
bersama Dang Anum yang di tarik menari sama. Putera-putera yang beratur untuk
menari bersamanya sedang berfikir bagaimana rentak tari yang ingin dilakukan
supaya dapat menyentuh tubuh Puteri. Itu yang buatkan Puteri girang di hatinya.
'Nak sangat peluk pinggang aku. Raba pinggul aku.
Mendakap dadaku... Sekarang tunjukkan kebijaksanaan tuanku semua
hahahaha," gelak Puteri geli hati.
Putera Nashrid yang berdiri bersama Putera Nong dan
Ratu Ayu melayan seribu pertanyaan. Puteri Bongsu Ratu Ayu ini sungguh berbeda
dengan semua puteri dan gadis yang
berada dalam dewan ini.
"Ayahanda tunku dan Bonda Ayu. Izinkan saya
menari bersama Puteri Bulan Kejora," ucap Putera Nashrid penuh sopan.
"Silakan, anakanda," perkenan Putera Nong
dan Ratu Ayu.
Putera Nasrid melangkah ke tengah dewan dengan
alunan musik zapin. Terhenti tari Puteri bila dihampiri oleh Putera Nasrid. Baju
kot hitamnya ditanggalkan meninggalkan kemeja putih dan tali leher hitam.
Sambil berjalan Putera Nasrid membuka butang di pergelangan tangannya dan
melipatnya sampai ke siku. Tali leher di buka dan dilipat masuk dalam saku
seluarnya.
"Tia teruskan menari, ini memang
kebiasaan," itu yang Puteri dapat baca dari minda Dang Anum ketika
memandang padanya.
Rentak tari mereka berdua berirama merdu hingga ke
akhir. Renungan bahasa mata dan gerakan badan menjadi komunikasi perkenalan
mereka berdua. Riang Puteri kerana tubuhnya tidak disentuh atau dicuit langsung
oleh Putera Nashrid. Usaha Puteri untuk menceroboh minda Putera Nashrid juga
tidak berjaya. Kebal sungguh. Senyuman nipis Putera Nashrid di akhir tari
membuatkan Puteri berasa geram.
"Tuan Puteri terlalu naif untuk menceroboh
minda Beta. Teruskan berusaha. Selamat malam Puteri Bulan Kejora yang mempunyai
sepasang mata biru yang memukau hati teruna. Beta kagum dengan tuan
puteri," bisik Putera Nashrid lembut di sisi Puteri sambil mengenakan
kembali butang di lengan bajunya.
"Tuanku seorang putera yang budiman. Saya,
puteri yang cacat. Kekaguman tuanku salah pada tempatnya. Keikhlasan tuanku
buatkan saya ingin membalas dengan ucapan terima kasih," ucap Puteri
lembut buatkan Putera Nashrid berpaling.
Putera Nashrid berjalan kembali pada Puteri. Belum
pernah dalam hidupnya seorang puteri menyatakan tindakannya salah pada
tempatnya. Tangannya sudah diangkat untuk membuka niqub Puteri, namun
tindakannya terhenti bila secara tiba-tiba dia dapat membaca bahasa minda
Puteri.
"Tuanku putera yang budiman. Saya berniqub
untuk menyembunyikan aib diri. Tolong hormati pendirian saya. Saya seorang
gadis yang berilmu. Membesar di Bumi sebagai seorang gadis yang taat pada PenciptaNya.
Aurat saya hanya untuk seorang lelaki yang bergelar suami. Itulah hadiah
istimewa saya pada suami saya nanti. Saya tiada harta, negara atau lain
kelebihan untuk dihadiahkan padanya melainkan sekeping hati yang ikhlas dan
sekujur tubuh yang cacat," ucap Puteri.
"Jangan bermain dengan api di Kejora. Tindak-tanduk
Tuan Puteri akan mengundang persoalan yang membuatkan semua
ingin menduga dan mencuba Tuan Puteri. Kejora tak seperti Bumi. Sekiranya Tuan
Puteri sudah putuskan untuk menetap di Kejora, belajar dan dalami cara hidup
seorang puteri di Kejora. Tapi jangan lebih hingga nampak sangat murah macam
Puteri Abbie... Selamat malam," ucap Putera Nashrid.
Puteri terpengun dengan bahasa Putera Nasrid.
Sekilas ikan di air sudah dapat diagak tinggi pekertinya. Begitu juga dengan
Putera Nasrid di mata Puteri.