Sunday, January 18, 2015

Minggu 5 - Berani Kerana kasih Bab 17

Puteri tiba lewat. Di pintu gerbang Istana Nong, Tun Mahmud sudah menanti. Wajah Puteri yang masam mencuka direnungnya tajam. Puteri buat tak endah akan kehadiran Tun Mahmud di situ. Hatinya masih geram bila teringatkan perkataan gundik. Dia mengarahkan White menonong saja ke hadapan.
“Tia,” sapa Tun Mahmud lembut.
“Siapa suruh datang sini? Bukan ke tugas Mahmud masih belum selesai?” sergah Puteri tiba-tiba.
“Perkhabaran Anum lagi darurat jika saya biarkan. Tia… bawa bertenang. Ini Istana Nong di Mendalin, bukannya di Teratak Melur yang Tia boleh buat sesuka hati Tia,” nasihat Tun Mahmud tenang.
Puteri terus melompat menarik kayu memanah dan karung mata panah di belakang Tun Mahmud. Cemas Tun Mahmud dan Dang Anum melihat reaksi Puteri yang tiba-tiba ganas. Puteri hilang dari pandangan mata mereka setelah memberi isyarat diam jangan bergerak.
Puteri muncul di puncak Gunung Suji sana. Puteri tahu gunung ini sunyi tanpa berpenghuni kerana cuacanya sejuk dan bersalji. Sebatang pokok Rhu menjadi sasarannya melepaskan anak panah dengan penuh marah. Berdesup-desup mata panah ditarik dengan pantas dan tepat mengena sasaran. Kali terakhir mata panah terpacak menyebabkan  batang pokok Rhu itu condong ke kiri dan seterusnya menyembam ke tanah.  Dada Puteri yang merombak marah mulai  pulih perlahan-lahan. Terbaring Puteri di atas salji yang memutih tebal. Air matanya yang mengalir pun turut sama menjadi salji.
Belum sempat Puteri bertenang, seekor harimau putih menerpa ke arahnya secara tiba-tiba dengan penuh marah. Pucat Puteri seketika.
“Tuan Puteri seorang pembunuh yang zalim lagi kejam,” kata harimau putih itu dengan wajah yang bengis.
“Saya? Tidak. Saya tidak pernah membunuh,” ucap Puteri membela diri dalam suara yang terketar-ketar. Gauman harimau putih itu semakin kuat hingga bergema puncak Gunung Suji.
“Penipu!!! Sudah bersalah masih tidak mahu mengaku,” marah harimau putih itu lagi. Mukanya semakin bengis.
Puteri memberanikan diri menolak sebelah kaki harimau putih yang menekan dadanya. Dilihatnya mata harimau putih yang penuh kemarahan, kesedihan, kekecewaan dan rasa dendam yang membuak-buak. Perlahan-lahan dia berdiri tegak berdepan dengan harimau putih itu dengan beraninya. Hilang sudah rasa marah dan geram dalam hatinya, yang tinggal hanyalah rasa bersalah dan berserah dengan apa yang terjadi.
“Tuan puteri telah menyebabkan isteri dan dua anak saya yang sedang menyusu di perut ibunya mati dihempap dahan pokok Rhu yang secara tiba-tiba tumbang. Zalim sungguh Tuan Puteri!” lepas harimau putih itu.
Puteri yang terpana terus mengeluarkan seruling di belakangnya. Pokok yang besar ini tidak mampu diangkat dengan menggunakan kudrat yang ada. Bunyi alunan seruling mengapungkan pokok itu dari tanah. Puteri menarik dan mengumpul segala tenaga yang ada dalam badannya untuk menendang pokok itu agar ianya berganjak dari isteri sang harimau putih yang terbaring kaku memeluk dua ekor anaknya.
Puteri terduduk kepenatan dengan darah tersembur ke luar dari mulutnya. Belum pernah dia mempraktikkan ilmu kesaktian ini sejak dia habis pengajian di Adinium. Termengah-mengah Puteri bagaikan baru lepas berlari mengelilingi tiga benua.
Sang harimau putih tadi menghampiri dan menyentuh tubuh isteri dan anaknya. Air matanya mengalir laju. Puteri kalah melihat kasih sayang yang terpancar di wajah sang harimau itu. Rasa bersalah menjalar di seluruh badannya. Kemarahan yang membuak tanpa dikawal membuatkannya menarik tiga nyawa yang tidak berdosa dan sebuah keluarga yang penuh kasih sayang termusnah secara tiba-tiba.
Puteri cuba bangun dan berdiri teguh. Dia terjatuh kembali dengan darah yang memancut keluar dari bibirnya. Baju putih yang dipakainya sudah bercorak merah di dada. Puteri tidak mahu menyerah kalah. Dia yang perlu memikul kesalahan yang dilakukannya. Dalam keadaan yang masih tidak bermaya, Puteri mengesot perlahan-lahan menuju ke arah keluarga sang harimau putih itu.
Mengaum marah sang harimau putih,  secara tiba-tiba bila jari Puteri cuba menyentuh isterinya yang terkulai layu.
“Saya minta ampun dan maaf. Saya tak tahu adanya makhluk lain di sekitar kawasan ini tadi. Saya hanya datang untuk melepaskan marah dengan mata panah saya ini saja…”
“Diam!!! Maaf seorang penipu tak boleh diterima pakai. Pandai mereka alasan untuk melepaskan diri,” herdik sang harimau putih yang menolak Puteri dengan rakusnya. Tersembam Puteri jauh dari mereka.
“Saya ingin menebus kesalahan saya….” ucap Puteri yang mulai sebak.
“Nyawa di balas nyawa! Sanggupkah Tuan Puteri rupawan membalasnya dengan nyawa Tuan Puteri sendiri?” senyum sinis lagi kelat dilemparkan oleh sang harimau putih. Dia yakin sekali Puteri tidak berani memperlakukan begitu.
“Sanggup! Walaupun kesudahannya, saya akan terkujur kaku di sini. Saya sanggup. Ini memang kesalahan saya. Kemarahan buatkan saya lupa diri dan hilang pedoman hidup. Ini pengajaran yang cukup mahal, perlu saya bayar untuk bebas dari rasa marah itu,” jelas Puteri penuh sedar dengan rasa bersalah yang membuak.
“Gila!” marah sang harimau putih tiba-tiba.
“Tidak!”
“Siapa sebenarnya Tuan Puteri ini, sehingga sanggup menggadai nyawa untuk menebus kesalahan dengan makhluk yang sudah mati?” hairan sang harimau putih.
 “Siapa saya itu tak penting. Yang penting sekarang sang harimau yakin dan izinkan saya menebus kesalahan saya semula,” rayu Puteri dengan bersungguh-sungguh.
Sang harimau putih sudah bersedia untuk menerkam Puteri dengan ganas sekali. Membunuh Puteri yang kecil ini bukanlah perkara yang sukar baginya. Cuma janjinya pada seseorang sebelum ke Gunung Suji ini dulu membuatkannya kaku berfikir.
“Maaf, Tuan Puteri saya tak mampu untuk membunuh Tuan Puteri. Saya berpegang teguh pada janji yang telah saya metraikan pada seseorang. Maka Tuan Puteri bunuhlah saya juga,” ucap sang harimau putih yang berbaring di sebelah isterinya.
Puteri mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Sayu sangat rasa hatinya dengan keikhlasan sang harimau yang dalam keadaan marah dan kecewa masih mampu bertahan dek kerana janji yang telah dimetrai untuk tidak membunuh lagi. Mendalin menunjukkan Puteri apa yang didengarinya sebelum ini adalah tidak benar belaka. Masih terdapat kasih sayang yang ikhlas dalam Kejora.
“Bukan itu maksud saya,” ucap Puteri sambil tangannya menyentuh badan sang harimau putih.
“Nyawa di bayar nyawa Tuan Puteri.”
“Memaafkan dan percaya pada saya juga merupakan penawar pada hati yang kecewa,” jelas Puteri sambil tangannya mengambil seketul ais dan dicairkan. Air itu diusapkan perlahan-lahan di seluruh muka dan badan isteri sang harimau putih bersama anak-anaknya yang comel. Batuk Puteri kian kuat dan kudratnya kian lemah. Dia telah menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk menyembuhkan luka di badan sang harimau.  Selesai saja, Puteri terus jatuh terkulai keletihan di tanah bertilamkan salji yang memutih.
Terdiam sang harimau putih bila melihat tubuh isteri dan anak-anaknya bergerak dan bangun dengan tiada sebarang calar pun di badan mereka.
“Tiko?” soal isteri sang harimau putih yang kehairanan melihat sekujur tubuh pari-pari jelita di hadapan mereka.
“Dia menebus nyawanya untuk menyelamatkan Puri dan anak-anak,” terharu sang harimau putih dengan rasa tanggungjawab Puteri pada apa yang telah berlaku.
“Haaah! Bantu dia Tiko,” sergah Puri yang cemas.
“Bagaimana?” rasa gusar mulai menguasai diri Tiko.
“Tanya dia?” cadang Puri.
Tiko menghampiri Puteri yang terpejam matanya. Dada Puteri berombak turun naik turun naik mengawal pernafasan. Darah yang mengalir di bibir Puteri dijilatnya lembut. Puteri berusaha membuka matanya perlahan.
“Bawakan saya ke kolam atau sungai yang dalam airnya,” pinta Puteri lemah.
Sepantas kilat Puri menolak tubuh lesu Puteri ke atas badan Tiko. Berlari laju Tiko diikuti oleh Puri dan anak-anaknya di belakang ke satu kawasan air terjun yang tersorok di kaki Gunung Suji. Puteri dijatuhkan ke dalam air sungai yang sangat jernih. Tenggelam Puteri bebas di dalam air. Sesaat kemudian datang sekumpulan anak-anak ikan kecil mengerumuni Puteri. Dia dibelai dan dirawat dengan penuh sopan dan lembut. Badannya kembali bercahaya seperti sinar bulan Kejora.
“Puteri Bulan Kejora!” ucap Tiko didengari oleh Puri.
Inilah janjinya pada Kiai Abidin ketika Puteri dilahirkan di Sakura. Melindungi Puteri sekiranya dia pulang kembali ke Kejora adalah tugas dan amanah seluruh keturunan sang harimau putih. Masa itu semakin hampir. 
Puteri pulih kembali namun badannya lemah sungguh. Dia ingin saja tidur sepuas-puasnya untuk mengembalikan semula tenaga yang telah hilang.
“Tuan Puteri sudah sedar?” tegur Puri lembut.
“Awak sudah sembuh?” senyum Puteri bahagia tanpa menjawab pertanyaan Puri.
 “Saya dan anak-anak saya sudah sembuh Tuan Puteri. Janganlah Tuan Puteri risau. Apa yang boleh saya bantu untuk pulihkan Tuan Puteri?” soal Puri penuh hormat.
“Saya gila sekiranya saya minta awak tiupkan seruling saya ini….,” gelak Puteri kecil dengan kepala digelengkan. Rasa lucu untuk melakukan itu.
Puri dan Tiko berpandangan, kemudian mereka sekeluarga bertukar menyerupai manusia. Harimau jadian? Bicara terkejut Puteri dalam hatinya.
“Kiko, tiupkan seruling Puteri itu,” arah Tiko.
Si anak menurut perintah Tiko, alunan seruling itu buatkan Puteri terapung di utara seketika. Lenanya nyenyak sekali dibuai damai dan tenang. Sedar saja Puteri dikelilingnya dipenuhi dengan jumlah harimau putih yang tak terkira banyaknya. Mereka sedang duduk mengadapnya dengan penuh rasa hormat.
“Ehh! Kenapa ni?” cemas Puteri.
“Saya Tiko dari keturunan Harimau Putih. Ini semua keluarga kami yang masih tinggal. Gunung Suji ini menjadi perkampungan kami sementara menunggu kepulangan Tuan Puteri Bulan Kejora,” ucap Tiko sambil menundukkan kepalanya penuh hormat.
Puteri terdiam. Dia pernah mendengar nama Tiko tapi siapa gerangannya tidak pulak diketahui. Tiko bercerita mengenai keturunannya pada Puteri yang manis wajahnya mendengar butiran cerita Tiko. Diakhirnya, Puteri melepaskan keluhan berat.
Aku diramalkan menjadi tokoh sejarah yang bakal membawa perubahan di Sakura? Hahahaha….sungguh kurang patut. Aku sudahlah dikatakan puteri hingusan, bukannya superhero yang gagah perkasa macam dalam rancangan Astro Fox di television. Bicara Puteri dalam hatinya.

Geleng Puteri yang masih ragu-ragu dengan ramalan yang diketahuinya itu. 

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 16


Puteri yang dipenuhi selut masih termenung di buaian. Nak masuk ke dalam air terjun, dirasakan segan dengan anak-anak ikan selepas terjadinya penaklukan di situ. Malu dengan anak-anak ikan yang menyorokkan diri.  Puteri turun dari buai dan duduk di tepi tebing sungai dengan kakinya mencecah ke dalam sungai. Daun upih yang berada tidak jauh dari sungai diambilnya untuk dijadikan gayung untuk menceduk air.
Puteri menjuntaikan kaki ke dalam sungai dan menceduk air untuk menyiram badannya yang berselut. Seronok pula mandi berceduk air di tepi tebing.
“Tia!”laungan Dang Anum menghentikan tangan Puteri dari terus menceduk air sungai.
“Saya!” balas Puteri yang nyaring suaranya sehingga gugur daun kering dari pokok. 
“Laaa tak sudah lagi ke. Kita sudah lewat ni,” bebel Dang Anum.
“Tia nak mandi kejap,” balas Puteri.
“Yang dimain ceduk-ceduk tu kenapa? Terjun sajalah macam biasa. Cepatlah Tia, nanti Ratu Ayu bising.”
“Tia inikan tetamu terhormat. Tanpa Tia majlis itu tak akan berlangsungkan? Cuba Anum jangan gelabah. Anum buatkan Tia kecut perut tau.”
“Hai! Dah ditakluki pun kecut jugak ke?” sakat Dang Anum.
“Haaa! Mana tahu ni? Anum skodeng ya?” merah padam muka Puteri bila Dang Anum buat senyum nakal begitu.
“Tak ada maknanya nak skodeng, Tia. Pagi tadi Putera Nashrid sedekahkan pulut kuning sedulang bersama dua ekor ayam di masjid untuk jemaah solat subuh tadi.” 
“Sedekah pulut kuning, tak faham?” pelik Puteri.
“Mengikut perbuatan manusia Bumi, sebaik saja perawan gadis itu ditakluki oleh suaminya yang sah. Satu bentuk kesyukuran diadakan. Tanda kesucian itu milik mereka berdua. Ada faham?” sengih Dang Anum.
Diam Puteri seketika. Banyaknya perkara simbolik yang diamalkan oleh manusia Bumi ini. Sehinggakan kesucian perawan gadis pun ingin diraikan. Bukankah tindakan itu akan membuka aib keturunan si gadis sekiranya dia sudah tidak perawan lagi? Masyarakat akan tertanya-tanya dan mencemuh tanpa tahu hujung pangkal.
“Bagaimana pula jika ingin mengetahui perawan si teruna?” soalan Puteri pada Dang Anum yang sudah terjatuh rahang mulutnya.
“Anum?”
“Aaaa… nak tahu yang tersembunyi ke yang mudah dilihat dengan mata kasar?” soal Dang Anum yang banyak sekali teori kehidupannya.
“Mana-manalah. Senang Tia nak buat pulut kuning hantar kat masjid gak,” balas Puteri selamba buatkan Dang Anum terkebil-kebil mencerna maksud Puteri itu.
“Pulut kuning?” soal Dang Anum.
“Yalah, nak bagitahu ahli masjid yang suami Tia masih teruna semasa penaklukan itu.”
“Hahahaha… sengal!!!!!!” tawa Dang Anum terburai.
“Kenapa pulak, betullah apa yang Tia lakukan itu?” berkerut dahi Puteri.
“Mana ada orang Bumi buat begitu Tia….aduhaiiii. Nak buat lawak pun agak-agaklah,” gelak Dang Anum manis bersisa.
“Tak kira nak buat juga. Cepat bagitahu teori Anum.”
“Okeylah, Puteri Sengal. Ikut teori mudah bentuk perut seorang teruna biasanya datar, jika dia sering melakukan hubungan seks bentuk perutnya akan berubah menjadi buncit. Dan yang paling senang nak lihat adalah bahagian punggung seorang teruna kelihatan berat dan berisi, sekiranya dia  sudah pernah melakukan hubungan seks akan membuat punggungnya tidak kelihatan atau setidaknya tidak berisi seperti saat masih teruna…. Ada faham?” senyum Dang Anum memberikan teorinya.
Puteri diam berfikir. Mindanya dibuka luas mengimbas Putera Nashrid nun jauh di Mendalin dalam diam. Perutnya kempis berketaq-ketaq lagi. Dipusing ke belakang melihat pinggul Putera Nashrid pula, ditenangnya lama pinggul Putera Nashrid tak berkelip.
“Sayang Tia skodeng Kasih ya?” balas Putera Nashrid tersenyum manis dari Mendalin.
“Opocot!!!” terkejut Puteri, terus dibekukan minda serapat-rapatnya. Pucat mukanya seketika.
“Haaa! Kenapa pulak ni?” soal Dang Anum pelik, tiba-tiba saja wajah Puteri berubah pucat.
“Baru lepas kena tangkap skodeng Putera Nashrid,” jawab Puteri polos buatkan Dang Anum jatuh tergolek tak tahan gelak. Termalu Puteri dengan apa yang terjadi.
“Yang pergi skodeng tu pasal apa? Memang sudah sahlah sekarang ni Putera Nashrid tu bukan teruna lagi. Apalah bengap sangat Tia ni?” gelak Dang Anum.
“Tia nak buat pulut kuning jugak,” muncung bibir Puteri ditertawakan Dang Anum.
“Tia lupakah yang seorang raja mempunyai gundik yang ramai? Putera Nashrid juga tidak terkecuali disediakan gundik yang ramai. Jelita lagi rupawan.”
“Gundik?” terkejut Puteri, bertambah pucat wajahnya.
“Tia, kenapa bengap sangat ni? Itukan memang sudah menjadi kebiasaan bagi golongan bangsawan di Kejora. Permaisuri pun ada jugak tau.”
“Tia ada gundik? Nak buat apa dengan gundik-gundik tu semua? Nak suruh tanam bunga. Eeeee sakit mata tengok lelaki lembut mengadun bunga. Lagi pun sebagai seorang yang berilmu semua ini bercanggah dengan nilai kasih sayang dan kepercayaan dalam sebuah rumah tangga,” geli-geleman Puteri.
“Tia… sudah lupa ke yang Tia itu puteri pari-pari bukan manusia di Bumi,” ucap Dang Anum menyedarkan Puteri akan usul asalnya.
“Pari-pari pun tetap makhluk penciptaNya yang lemah. Sedangkan haiwan di hutan sana pun mengerti erti kasih sayang dalam keluarga inikan pula pari-pari yang berilmu dengan kesaktian dan magiknya.” Puteri masih tak puas hati.
“Jadi ke nak buat pulut kuning?” sakat Dang Anum.
“Kek Velvet Chocolate,” balas Puteri bangun terus berlari ke Teratak Melur.
“Nak hantar Kek Velvet Chocolate ke masjid macam tak kena aje Tia,” balas Dang Anum mengaru kepalanya yang tak gatal.
“Bukan ke masjid, bawa balik ke Mendalin. Kek cawan bertulis ‘I hate U,’”geram Puteri bila mengingati kembali kisah gundik untuk golongan diraja di dunia Kejora sana. Kalau dari awal lagi sudah diketahui, mahu saja dia jual mahal dengan tidak mengizinkan penaklukan itu terjadi semalam.
White sudah bersedia di depan pintu Teratak Melur. Puteri melintasinya dengan satu jelingan mata yang tajam menuju masuk ke dalam teratak. White terkebil-kebil memandang sayu.
“Tia kenapa Anum?” soal White
“Meroyan bila tahu Putera Nashrid tidak teruna lagi,” sengih Dang Anum.
“Hahahaha… sengal betul Puteri Bulan Kejora ni. Memanglah Putera Nashrid itu Raja Mendalin yang mempunyai gundik yang rupawan. Namun percayalah, dia masih teruna sebelum penaklukan itu. Itu pun jadi kisah ke?” gelak sang kuda putih yang sakti.
“Haaa!” Dang Anum terkejut mendengarnya.
“Betul! Percayalah,” gelak sang kuda lagi.
“Bagaimana White tahu?” soal Dang Anum untuk mengumpul teori barunya.
“Bukankah Putera Nashrid gemar tidak berbaju. Puting susunya yang kemerah-merahan itu sudah membuktikan yang dia masih teruna. Nak skodeng pun tak tahu,” gelak sang kuda semakin kuat.
“Tapi Putera Nashrid ada ramai gundik yang rupawan di Istana Nong?” soal Dang Anum masih tak puas hati dengan teori yang diberikan White padanya itu.
“Gundik itu semua bukan melayan Putera Nashrid. Itu melayan Raja Nong dan Putera Sharid. Putera Nashrid dan Putera Tarid memang budiman sikit orangnya. Bukan sembarangan puteri yang boleh berdampingan dengan mereka berdua ni,” cerita White.
“Oooo… begitu ke. Kalau macam itu, Anum kena pujuk Tuan Puteri kat dalam itulah. Dah merajuk dengan teori Anum,” kesal Dang Anum.
“Yang bagitahu kat puteri sengal tentang benda remeh-temeh ni kenapa? Tak pasal-pasal kena pujuk. Tengok tu muncungnya, boleh kalah paruh bangau,” sakat White.
Puteri yang baru keluar semakin geram. Sudahlah dia sakit hati, diapikan pula oleh White dengan jolokan muncung mengalahkan paruh bangau. Lagi anginlah Puteri.
“Sudah tu, jom ke Mendalin.”
“Tia tidak berniqub?” soal White pelik.
“Tiada apa yang perlu disorokkan lagi. Tia sudah ditakluki dengan penuh berhemah. Akhirnya Tia akan menghabiskan masa di Kejora juga. Baik Tia muncul sebagai Puteri Bulan Kejora yang mereka mahukan. Tengok siapa lebih cantik, sama ada Tia atau gundik-gundik rupawan di Istana Mendalin itu?” cemburu Puteri berapi.
White diam. Dang Anum menelan air liur tawar. Habislah Mendalin. Puteri tak pernah marah tapi sekiranya dia marah, memang lunyai barang disekelilingnya dihempas sekuat hati. Itu memang tabiat Puteri melepaskan marahnya. Seorang saja yang mampu menguruskan kemarahannya yang memuncak setakat ini, Tun Mahmud. Sepantas kilat Dang Anum menghantar pesanan minda pada Tun Mahmud jauh di hujung dunia sana, meminta bantuan segera ke Mendalin.  
“Abang pulang ke Mendalin segera. Tia mengamuk.”
“Mengamuk? Baik.”
Tun Mahmud sepantas kilat bersiap untuk pulang ke Mendalin seketika. Puteri perlu ditenangkan walau bagaimanapun caranya. Dunia Kejora belum pernah menyaksikan lagi gelagat seorang puteri jelita membuat amukan sengal tak terampun. 

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 15

Puteri hadir seperti yang dijanjikan. Azimil sudah berada di dapur melayan secawan kopi yang masih berasap. Puteri cukup tak selesa memandang wajah Azimil yang membeku kaku. Tak ada serinya langsung.
“Selamat pagi,” sapa Puteri mesra.
“Mmm… selamat pagi. Awak lewat Cik Tia,” ucap Azimil memandang tepat pada Puteri.
Puteri melihat pada jarum jam yang tergantung di dinding. Baru pukul sebelas tiga puluh satu pun dikatakan lambat. Mengaru kepala Puteri melayan karenah Azimil yang baginya sombong tak bertempat.
“Maaf. Saya tak jumpa kunci di luar tadi,” luah Puteri membela diri. Memang betul pun, dia menggagau mencari kunci hampir sepuluh minit. Rupanya gugusan kunci itu ditukar kedudukannya di tingkat bawah sekali.
“Oooo,” itu balas Azimil.
“Boleh saya mulakan upacara memasak ini Tengku?” soal Puteri yang begitu mengejar masa.
“Awak tahu?” soal Azimil.
“Yakin dan percaya pada saya, Tengku,” ucap Puteri yang masih lagi ragu-ragu dengan apa yang akan dilakukan ini. Pagi tadi sempat dia bersoal jawab dengan Abang Goggle bagi mengetahui cara-cara mudah untuk menyediakan menu daging salai masak lemak cili api dan beberapa menu yang diminta oleh Azimil semalam.
Azimil yang duduk di bangku memerhati gaya pantas Puteri menyediakan semua bahan tanpa rasa kekok. Tak sampai sejam setengah hidangan sudah terhidang kemas di atas meja sedia untuk dirasa.
“Cepat, pantas dan tertib,” komen Azimil selamba.
“Terima kasih.” 
“Jangan cukup yakin, rasa belum tahu lagi ni,” pedas sindiran Azimil.
Puteri tak sabar menunggu komen daripada Azimil tentang rasa masakan yang disediakan ini. Jika Azimil suka, Puteri nak lompat bintang meraikan kejayaan pertama memasaknya tanpa ada benda yang terbakar dan meletop.
“Emmmm… lemak cukup,…pedas cukup sesuai,…masin pun cukup. Cuma…” Azimil berhenti di situ.
“Cuma apa Tengku?” cuak Puteri mendengar kata cuma dari Azimil.
“Cuma nasi tak cukup untuk saya makan lebih,” sengih Azimil seronok mengenakan Puteri yang pucat lesi menunggu jawapannya. Comel sangat.
  Lega sungguh Puteri bila Azimil berselera dengan juadah yang dihidangkannya. Usai makan dan berkemas dapur. Puteri mohon diri untuk beransur pulang. Azimil menghalang dengan mempelawa Puteri untuk menghabiskan secawan kopi dulu bersamanya. Atas dasar hormat Puteri setuju.
“Sudah lama Puteri uruskan Teratak Melur tu?” soal Azimil ramah.
“Itu perniagaan keluarga. Saya cuma membantu Atuk yang sudah uzur. Adalah dalam tiga empat tahun kebelakangan ini. Saya nak Atuk rehat dan tumpukan pada amal ibadatnya saja,” cerita Puteri.
“Berapa adik beradik?”
“Ada tiga. Saya yang bongsu. Abang dan kakak merantau kerja di luar negara. Biasalah sapa nak duduk di sini bila mendapat peluang pekerjaan yang lebih glamor di negara empat musim sana,” senyum Puteri bercerita.
“Ibu ayah masih ada lagi?”
“Hanya tinggal ibu. Ayah sudah meninggal,”
“Dah meninggal? Betul sudah meninggal?”soal Azimil tak percaya.
“Ya. Itulah yang diperkhabarkan pada saya, Tengku.”
“Sudah ada kekasih?” soal Azimil.
“Bukan kekasih. Sudah ada suami, Tengku,” jawab Puteri selamba. Memang benar pun dia sudah mempunyai suami. Baru sangat lagi. Kesan penaklukan masih merah di tubuhnya.
“Ohh! Tak nampak macam sudah berkahwin” ucap Azimil separuh terkejut.
“Jodoh itukan rahsia Yang Maha Esa, Tengku. Emmm… kalau tiada apa-apa saya mohon diri dulu. Ada beberapa tugas yang perlu saya selesaikan ni. Bunga-bunga pun belum disediakan untuk menghias kamar pengantin itu,” senyum Puteri sudah mendapat alasan untuk melepaskan diri dari duduk bersembang lama dengan Azimil.
“Hmmm, esok jam lapan Cik Tia sampai ke?” soal Azimil begitu berhati-hati.
“Pembantu saya seramai sepuluh orang akan tiba di sini jam lapan pagi esok. Saya terbang ke Mexico petang ni untuk menguruskan ladang tulip kami di sana ada sedikit masalah. Saya jamin, dua hari kamar pengantin ini akan indah seperti yang Tengku impikan.”
“Ooooo… bila Cik Tia pulang semula dari Mexico… mmm maksud saya ada semula di Teratak Melur?” soal Azimil penuh teruja ingin mengetahui.
“Bila segala urusan di sana selesai segera, Tengku,” senyum Puteri.
Puteri pulang menaiki motor scremblernya seperti biasa. Jalan pintas di denai sana menjadi pilihannya. Azimil memerhati dengan senyuman yang puas. Puteri seorang yang jujur dan polos dalam menilai sikap manusia. Tiada langsung syak wasangka dalam diri Puteri akan apa yang akan terjadi padanya sekiranya semua maklumat keluarga diceritakan kepada mereka yang asing dalam hidupnya. Lamunan Azimil hilang bila seorang lelaki berseragam celoreng menghampirinya.
“Tengku.”
“Kita berangkat sekarang,” arah Azimil.
Puteri tiba di Teratak Melur dengan selamat, walaupun dua tiga kali jatuh kerana gagal mengawal scremblernya yang melalui denai berlopak. Dia berjalan lemah duduk di buai mengadap air terjun. Pengalaman duduk berbual santai bersama Azimil buatkan hati Puteri terdetik untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Perasaan selamat dan dilindungi dengan penuh kasih dapat dirasai Puteri. Bagaikan mereka pernah berjumpa dan kenal rapat sebelum ini.
“Siapa sebenarnya Datuk Paduka Tengku Azimil ini? Imbasanku tidak mampu menembusi dirinya. Dia bukan calang manusia. Entah-entah dia juga keturunan pari-pari seperti aku tak? Lebih selesa tinggal di Bumi berbanding di Kejora. Apapun aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi.”
Monolog Puteri sendirian. Suasana malam di Bumi memang disukai Puteri. Nak pula dengan dendangan alunan okestra unggas malam. Kehidupan Puteri lebih bewarna-warni sejak kebelakangan ini. Pulang ke Sakura banyak merubah masa depan Puteri yang dulunya difokuskan pada Teratak Melur dan kerja amal di Bumi. Kini tugas dan tanggungjawab Puteri lebih besar lagi. Menyelamatkan kekandanya bagi kesejahteraan Sakura.  
“Beranikah aku melakukannya dengan bersandarkan kasih sayangku pada keluarga dan Sakura?”
Persoalan itu sudah mulai bermain jauh dibenak hati Puteri yang baru belajar menikmati kehidupan sebagai puteri di Sakura.


Friday, January 9, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 14

Puteri sampai ke Teratak Melur dengan hatinya yang geram bercampur malu dengan Putera Nashrid. Ratu Ayu sudah bersedia untuk mempersiapkannya bagi upacara pernikahan Puteri dengan Putera Nashrid. Keluarga terdekat Putera Nashrid seperti Raja Nong, Ratu Bayu, Putera Sharid dan Putera Tarid bersama Kiai Agong Kejora dan pengiring mereka sedang menunggu Puteri di dalam Teratak Melur.
Puteri dihias sebagaimana Puteri Bulan Kejora perlu dihiaskan untuk majlis ijabkabul ini. Dalam redupan cahaya bulan yang penuh, Puteri selamat bergelar Permaisuri Mendalin. Putera Nashrid memandang Puteri dengan ekor mata bagi menikmati keindahan wajah Puteri tanpa niqub buat pertama kalinya. Terpegun seketika. 
"Betul ke keputusan Tia ni Anum?" soal Puteri berbisik.
"Salah satu yang terbaik pernah saya lihat, Tia," jawab Dang Anum kelat. Tak difikirkan langsung yang Puteri akan bernikah sebegini cepat. Ditambah pula dengan majlis yang cukup ringkas. Sedih bertandang di benak Dang Anum, mengenangkan Puteri yang tidak dilayan seperti puteri bongsu yang dijulang dengan penuh kasih sayang di negaranya sendiri. 
"Boleh ke Tia bahagia seperti Anum dan Mahmud?" soalan Puteri yang polos buatkan Dang Anum menarik kerusi dan duduk dihadapannya.
"Tia, sebuah perkahwinan yang suci mampu bahagia sekiranya mereka berdua berusaha untuk membahagiakannya sepanjang masa. Cinta, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan menjadi tiang seri pada tanggungjawab mereka agar kebahagian bersama dapat dikecapi."
"Tapi Tia tak pernah bercinta pun dengan Tuanku Putera."
"Belajarlah mencintainya, Tia. Baginda Ummi Aisyah pun tak pernah bercinta dengan baginda Rasulullah sebelum mereka diijabkabulkan. Rasa itu dipupuk setelah mereka berumahtangga. Mereka bahagia sampai akhir hayat mereka dalam cara mereka sendiri," nasihat Dang Anum lagi.
Setelah Kiai Agong selesai berdoa. Putera Nashrid sudah bangun dan berpaling memandang Puteri. Debaran Puteri semakin kencang bila semuanya selesai. Nak pulak bila ditenung oleh Putera Nashrid dengan pandangan matanya yang tajam. Belum pernah dirasai seperti ini. Puteri tunduk menyepi.  
Putera Nashrid bertemu dengan Raden Indra, Putera Nong dan Putera Sharid  untuk mengucapkan terima kasih seterusnya berbincang perihal Putera Khalif dan Puteri Sofia. Dalam tidak mereka sedari, Puteri telah menyelinap keluar untuk terjun ke dalam air terjun. Dia tak mampu lagi menahan debaran di hati yang semakin meruncing. Menyelam dan berendam sambil diurut oleh anak-anak ikan kecil adalah tindakan yang mampu melegakannya. Mengasyikkan sungguh.
Splashhhh!
Dengan pakaian yang tersarung indah, Puteri terapung bebas di dalam air. Ikan-ikan kecil mengerumuninya dan membelai setiap inchi tubuhnya. Sehelai demi sehelai pakaiannya dibuka oleh ribuan ikan kecil hingga tertinggal sehelai gaun sutera yang lembut. Puteri lena diulit manja oleh ikan-ikan kecil itu. Perlahan-lahan hilang rasa gemuruh dan berdebarnya. Ketenangan mulai dirasai. Bunyi air melenakan Puteri.
"Penaklukan itu wajib sebagai suami tanda kasih dan bertanggungjawabnya pada si isteri yang akan meninggalkannya dengan penuh kerinduan," bisikan bahasa minda Putera Nashrid lembut menembusi telinga Puteri.
Terbuntang mata Puteri bila mendapati tubuhnya sedang dipeluk dan dibelai mesra oleh Putera Nashrid. Hati dirasakan bagai mahu tercabut satu persatu denyutnya akibat lelah dengan godaan Putera Nashrid yang lembut membelai sehingga dia tak sedar. Anak-anak ikan yang tadinya mengelilingi Puteri kini telah lari menyembunyikan diri dan membiarkan Puteri bersama Putera Nashrid tanpa diganggu.
“Bukankah penaklukan itu dilakukan dengan penuh kerelaan dan cinta yang tidak terperi?” balas Puteri gementar.
“Adinda Puteri takut kanda mengkasari adinda?” soal Putera Nashrid lembut.
Kelu minda Puteri untuk membalas bila mendengar suara Putera Nashrid yang begitu lembut merayunya.
“Saya bertanya pada hati. Adakah ini cinta? Namun hingga kini hati belum memberi kepastiannya lagi. Boleh tak kita KIV hal penaklukan itu?” soal Puteri.
“Bukankah setiap deria dan saraf adinda sudah menyerah kalah dan merelakan dibelai dan dicintai oleh seorang putera budiman?” sengih Putera Nashrid tak mahu mengalah menggoda Puteri kesayangan.
“Bahasa di Bumi mengelarkannya sebagai ‘nerves breakdown’ ianya satu penyakit kurang yakin dengan keputusan yang telah dibuat,” ucap Puteri yang masih mengigil dalam pelukan Putera Nashrid.
“Adinda Puteri kurang yakin dengan kanda?” soal Putera Nashrid lagi.
“Ehh! Bukan macam tu. Saya yakin dengan Tuanku Putera, saya cuma kurang yakin dengan diri saya sendiri. Mampukah saya menjadi isteri kepada seorang putera yang budiman. Puteri hingusan ini sangat pelik dan jelik di kalangan bangsawan Kejora.”
“Bukan Tuanku Putera,  wahai adinda puteriku sayang, Kanda! Kanda tetap mahukan adinda puteri hingusan ini menjadi Permaisuri kanda. Puteri hingusan ini mempunyai hati yang bersih dan sanggup berkorban demi negara dan keluarganya. Bak kata orang Bumi ‘I fall in love with you, sweetheart. Never imagine that one day I will meet my soulmate here, in Teratak Melur,’’ucap Putera Nashrid penuh santun.
“Saya belum cukup layak untuk Tuanku Putera. Salah satu bahasa orang Bumi yang saya suka,” balas Puteri dalam Bahasa Jepun yang disukainya.
“Walau apapun terjadi adinda tetap milik kanda selamanya. Ini pula bahasa Bumi yang kanda minati,” ucap Putera Nashrid penuh yakin dalam Bahasa Itali.
‘Eeeee dia suka Bahasa Itali? Patutlah aura menggodanya boleh membunuh keayuanku. Tahu saja alahanku terhadap Bahasa Itali yang lemah gemalai ni. Seksi sungguh bila lelaki bertutur dalam bahasa ini dengan penuh sopan. Aku terkam juga Putera Nashrid ni kang,’ucap Puteri dalam mindanya.
“Seronok menjadi milik adinda. Kanda sudah lama bersedia sejak di Lautan Kasih lagi. Kalau adinda puteri yang nak terkam kanda, tersangatlah dialukan,” usik Putera Nashrid dalam Bahasa Itali sambil mengeratkan pelukannya.
‘Allah, terlupa membeku minda. Masyarakat Kejora ini memang tak boleh lepa langsung. Suka sangat menceroboh minda. Tak ada kebebasan sungguh. Erkk…’terdiam Puteri membebel dimindanya bila bibirnya dikucup mesra.
Anak-anak ikan terus menikus di belakang batu. Menutup mata dari menyaksikan penaklukan halal suami ke atas isterinya dengan penuh santun dan kerelaan. Bulan penuh bertambah seri bila Kejora bergemerlapan indah nun jauh di sana. Tiada lagi gentar. Tiada lagi debaran. Yang tinggal adalah kemanisan yang terindah.
“Terima kasih dinda. Kanda berat lepaskan dinda namun janji tetap kanda tunaikan dengan harapan pulanglah ke Lautan Kasih setiap purnama. Kanda akan menunggu dinda di sana. Sempurnakanlah tugas dinda pada keluarga dan Sakura hingga selesai. Namun jangan sesekali melupai kanda,” pesan Putera Nashrid.
“Tuanku Putera.”
“Kanda!... dinda.”
“Saya tak selesa dengan panggilan itu. Boleh kita ubah mengikut bahasa Bumi yang lebih mudah dan bebas,” pinta Puteri ragu.
“Sebagai contohnya?”
“Abang-saya atau awak-saya atau sayang-kasih atau…,”cadang Puteri.
“Kanda suka dengan panggilan sayang untuk dinda dan kasih untuk kanda,” pintas Putera Nashrid.
“Emmm.. sedap. Tak tergeliat lidah nak panggil. Baiklah Kasih, Tia sebenarnya malu ni,” balas Puteri yang selesa membahasakan dirinya dengan panggilan Tia membuatkan Putera Nashrid menarik pinggangnya rapat-rapat. Glurpp.
“Ya, Sayang. Malukan Kasih?” senyum Putera Nashrid.
“Naik ke tebing dululah. Penat lama-lama dalam air ni,”
Putera Nashrid memeluk Puteri naik ke tebing dengan mudah. Puteri masih tidak dilepaskan. Kalau diikutkan hati yang bergelora ingin saja dibawa Puteri ke Lautan Kasih saja. Di kurung di Istana Nashrid sampai bila-bila.
Puteri melentukkan kepalanya yang beralas tangan di tebing sungai. Sementara Putera Nashrid masih memeluk dibelakangnya. Rasa penat ditakluki penuh sopan buatkan Puteri terlena di situ. Lewat subuh baru Puteri tersedar.
“Kasih!” panggil Puteri bila mendapati Putera Nashrid tiada di sisinya.
Bingkas bangun Puteri berlari pulang ke Teratak Melur. Kehangatan penaklukan itu masih sedar di mindanya. Hatinya terdetik sedih bila tiada sepatah ucapan selamat tinggal pun diucapkan oleh Putera Nashrid sewaktu meninggalkannya sendirian.
“Lelaki semua sama. Tak kira di Kejora mahupun di Bumi. Suka sangat menguasai. Eeee… geram,” bebel Puteri sepanjang perjalanan pulang.
“Pagi, Tia,” sapa Raden Indra di tepi anjung rumah.
“Pagi, nenda.”
“Kenapa tak balik rumah semalam? Tia tahu tak, kalau tidur di air terjun tu, nanti Tia demam. Budak ni suka sangat menyiksa diri,” bebel Raden Indra.
“Tia suka di belai oleh anak-anak ikan tu, nenda,” jelas Puteri.
“Bukan dibelai oleh cucunda Nashrid?” usikan Raden Indra buatkan pipi Puteri merah macam baru lepas terbakar.
“Errr…” mati bahasa Puteri dibuatnya.
“Sudah tu pergi bersiap. Cucunda Nashrid di dapur sedang masakkan sarapan pagi untuk isteri tersayang. Tia ni, beruntung dapat suami yang pandai masak,” cerita Raden Indra.
“Haaah!”
Pantas Puteri berlari ke dapur. Ratu Ayu dan Ratu Bayu sedang duduk memerhati Putera Nashrid yang sedang mengoreng nasi dengan penuh gayanya. Tak dapat dibayangkan seorang putera budiman yang memerintah sebuah negara di Kejora tahu memasak. Lebih mengharukan lagi beliau memasak untuk isterinya yang terlena di tebing sungai. Sungguh kurang sopan isterinya itu!
“Pagi semua,” teragak-agak Puteri menyapa.
“Ohh! Selamat pagi sayang,” ucap Ratu Bayu memeluk dan mencium pipi Puteri dengan penuh kasih sayang.
“Tia pergi mandi. Air liur basi dan tahi mata penuh kat muka. Lepas ini kita bersiap untuk pulang ke Mendalin,” ucap Ratu Ayu.
“Maaf, bonda. Tia ada tugas yang perlu disempurnakan terlebih dahulu. Janji yang perlu ditunaikan. Tia akan menyusul sebaik saja janji itu selesai,” ucap Puteri.
Putera Nashrid yang diam mendengar, berpaling memandang pada Puteri dengan ekor matanya. Puteri tertunduk malu. Memang dia cukup malu dan segan dengan Putera Nashrid kini. Tak tahulah kenapa, setiap kali memandangnya, Puteri rasa berdebar sangat. Manusia di Bumi kalau diserang rasa begini, memang sah ke Institut Jantung Negara buat pemeriksaan jantung. Tapi Puteri pula masih di sini.
“Janji apa Sayangku, Tia?” soal Putera Nashrid mendatar tiada perasaan.
“Tia telah melanggar salah satu kontrak perjanjian dengan seorang tokoh terhormat di sini. Sebagai balasan untuk menebus perjanjian itu, Tia dikehendaki masak untuknya,” cerita Puteri polos. 
“Memasak? Sayang Tia tahu memasak?” teruja Putera Nashrid. Memang dia inginkan permaisuri yang pandai memasak untuknya. Belum ada seorang puteri pun di Keroja yang sanggup masuk ke dapur untuk memasak. Jika Puteri pandai memasak, bahagialah Putera Nashrid.
“Tak,” geleng Puteri.
“Haaa!” terkejut Putera Nashrid tak percaya.
“Tia akan pandai sekejap lagi. Yang penting Tia berusaha dengan ikhlas dan tepati janji yang telah Tia persetujui,” ucap Puteri ringkas.
Mengeluh Putera Nashrid dengan sikap Puteri yang bersahaja. Suka memasukkan diri dalam masalah. Bukankah mudah untuk tidak berjanji pada suatu yang diri sendiri tak ketahui.
Puteri ke kamar beradunya untuk bersiap. Menatap tubuhnya di cermin, buatkan pipinya merah menahan malu. Kesan penaklukan masih segar. Berpusing-pusing Puteri di hadapan cermin menilik tubuhnya dalam kamar. Mengira satu persatu macam budak kecil. Kemudian tersenyum malu.
“Kenapa Sayang?” serbu Putera Nashrid dengan senyuman nakal.
“Errrr…ingin menutup tanda kasih,” tertunduk Puteri menjawab.
“Bukan mengira berapa banyak tanda kasih itu? Tak cukup mari sini, Kasih tambahkan sikit lagi,” ucap Putera Nashrid mengusik.
“Oooo tak apa. Ini sudah lebih dari cukup. Tia malu.”
“Sayang Tia. Kasih ingin bergerak pulang ke Mendalin. Banyak persiapan yang perlu Kasih sediakan menyambut Permaisuri di sana. Upacara pertunangan Mendalin agak memenatkan. Harap Sayang bersedia. Jangan penat sangat macam semalam. Kasih belum puas, Sayang sudah terlentuk,” ucap Putera Nashrid.
Zooppp. Hilang terus Puteri dari pandangan mata Putera Nashrid. Dia meninggalkan Putera Nashrid dengan gelak yang cukup kuat. Lucu sangat dirasakannya. Puteri yang sangat pemalu, di mana dia disentuh di situ dia tunduk. 
“Kanda akan merinduimu selalu, Sayang. Kanda mahu memelukmu erat. Muncullah, Sayang. Kanda ingin mengucapkan selamat tinggal buat Sayang,” pinta Putera Nashrid lembut dalam Bahasa Itali merayu Puteri. 

Putera Nashrid tersenyum bila merasa pipinya sudah dikucup namun kelibat Puteri tidak kelihatan. Nakal gelagat Puteri di mata Putera Nashrid tak terperi lucunya. Geram semakin memuncak untuk memeluk dan memikul Puteri pulang terus ke Lautan Kasih.  

Thursday, January 8, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 13

Di Kejora tanggungjawabnya berat, namun hidup penuh kesaktian memudahkan segalanya. Manakala di bumi hidup penuh tipu muslihat. Manusia menggunakan akal dan helah dalam kehidupan. Siapa yang rajin berusaha mempergunakan segala kudrat yang ada mampu ke depan. Sistem bata menjadi pemangkin kejayaan seorang manusia. Jika mahu berjaya mencapai apa yang diimpikan, manusia itu perlu berkorban.
Larian Puteri terhenti tiba-tiba bila sekujur tubuh hadir dihadapan matanya. Lintang pukang Puteri mencantas lima batang pokok mawar merah untuk menutup mulut dan hidungnya bagi menggantikan niqub. Putera Nashrid tersenyum nipis ala-ala orang beriman senyum. Lucu melihat telatah Puteri yang kalut.
“Kenapa Tuan Puteri?” soal Putera Nashrid.
“Terkejut bila melihat seorang raja yang budiman muncul tiba-tiba di hadapan saya,” ucap Puteri yang mencungap keletihan. Baru tersedar yang rupa parasnya di bumi terlindung dek kulit kuning langsatnya. Ini bukan rupanya yang asli. Perlahan-lahan bunga mawar itu diturunkan dari bibirnya.
“Baru tersedar?” soal Putera Nashrid lagi.
“Ya,” polos jawapan Puteri.
“Kita perlu berbincang. Bonda Ayu sudah panjangkan terma dan syarat Tuan Puteri pada Beta. Ayahanda Nong tiada masalah. Namun Beta punyai masalah,” tegas Putera Nashrid.
“Haaa!”
“Tidak pernah dalam sejarah Kejora seorang Permaisuri meninggalkan istana untuk turun ke bumi sebaik sahaja dia diijabkabulkan. Itu menjatuhkan maruah dan air muka Beta sebagai raja yang budiman di Mendalin mahupun di Kejora,” jelas Putera Nashrid tegas.
Puteri terdiam. Kekalutannya tadi membuatkannya terlepas pandang pada status protokol Putera Nashrid dan tatacara di Kejora. Arrhhhhh! Jerit Puteri dalam hati.
“Maaf,” jawab Puteri sepatah.
“Duduk dengan tenang Tuan Puteri. Kita berbincang antara hati ke hati,” pinta Putera Nashrid lembut.
Bincang antara hati ke hati? Pelik sangat bunyinya. Puteri jadi lebih terpinga-pinga. Namun dituruti juga permintaan Putera Nashrid itu. Buai kayu di tepi ladang bunga menjadi destinasi santai mereka berdua duduk berbincang.
“Tuanku Putera duduk di buai, saya berbaring di rumput. Penat berjoging,” jelas Puteri.
“Siapa suruh beriadah tengah malam buta?” soal Putera Nashrid berbaur sindiran.
“Ini bukan beriadah. Ini namanya mengaktifkan akal mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” balas Puteri.
“Tentang kita?”
“Tak. Lebih kepada tentang Sakura. Tentang kekanda Sakura yang kurang menyerlah hingga menarik adinda bongsu masuk sekali dalam kemelut itu,” bahasa Puteri penuh makna tidak puas hati.
“Apa keputusan adinda bongsu Sakura?”
“Menerima dengan bersyarat seperti yang telah dimaklumkan.”
“Kenapa?”
“Kanda Kal tidak sesuai dengan kehidupan di Bumi. Ianya merupakan kemusnahan pada keturunan Nadim. Saya satu-satunya anakanda yang bebas perlu bertanggungjawab menarik semula mereka ke Sakura. Negara Sakura lebih memerlukan mereka,”
“Sakura akan hancur jika jatuh ke tangan mereka, Tuan Puteri. Sama ada Tuan Puteri sedar atau tidak Sakura akan hancur sekiranya di tangan mereka,” kongsi Putera Nashrid.
“Peluang kedua juga keyakinan yang tak berbelah-bagi perlu diberikan pada mereka. Sokongan saya bersama bonda dan nenda akan memantau segala keputusan mereka. Saya perlu menjaga air muka mereka juga, Tuanku Putera,”
“Baiklah. Kalau itu keputusan Tuan Puteri saya bersetuju dengan terus diijabkabulkan saja di sini malam ini. Majlis yang hanya di hadiri oleh kedua belah keluarga saja. Di Mendalin esok akan berlangsung majlis pertunangan. Sebagai tunang Putera Nashrid, Tuan Puteri masih bebas ke mana saja. Setuju?”
“Kenapa kita perlu bernikah sedangkan kita boleh bertunang saja?”
“Sebab itu syarat yang dikenakan bagi melepaskan Puteri Sofia ke Istana Nong. Adinda Sharid hanya boleh membebaskan Puteri Sofia sekiranya Tuan Puteri menjadi sebahagian daripada keluarga Nong. Adinda Sharid ingin memperisterikan Tuan Puteri,  sedangkan Bonda Ayu tidak bersetuju. Jadi saya menawarkan diri untuk menjadi pilihan Tuan Puteri,”
“Kenapa Tuanku Putera?”
“Lautan Kasih…..” Putera Nashrid meninggalkan Puteri yang terpinga-pinga di atas rumput mendengar perkataan Lautan Kasih.
Pipi Puteri menjadi merah bagaikan baru lepas terbakar. Senyuman nakal Putera Nashrid lebih membuatkan jantungnya terhenti. Putera Nashrid menoleh ke belakang semula sambil mengenyit matanya pada Puteri.
“Arhhhhhhhhh…” jerit Puteri.
“Kenapa?” soal Putera Nashrid buat-buat tak faham.
“Kerana saya boleh terlepas pandang satu ilmu menceroboh dan menguasai dalam tidur. Ianya benar terjadi?” soal Puteri penuh mengharap.
“Tepuk dada tanya hati,” balas Putera Nashrid.
Puteri menepuk dadanya berkali-kali dengan muka yang blurr.  Putera Nashrid tidak jadi meneruskan langkahnya. Matanya memandang pada telatah Puteri yang masih duduk bersila di rumput sambil menepuk dadanya berkali-kali.
“Puteri Bulan Kejora,” panggil Putera Nashrid pelik.
“Tuanku Putera jalan dulu. Saya sedang menyoal hati,” selamba balas Puteri.
Terus Putera Nashrid mengucup tapak tangannya dan ditiupnya pada Puteri yang sedang memandangnya. Nampak bentuk bibir yang dibaling ke arah Puteri.
“Kenapa?” soal Puteri masih tak puas hati.
“Sebab Tuan Puteri mempersendakan Beta. Itu namanya balingan sayang penuh berahi. Cepat bangun dan ikut Beta,” arah Putera Nashrid dengan penuh geram.
Terdiam Puteri mendengarnya. Balingan sayang penuh berahi?
Segera Puteri bangun dan berjalan  perlahan di belakang Putera Nashrid. Kepalanya tak sudah memikirkan hal di Lautan Kasih itu. Sesekali diketuknya kepalanya bagi menghilangkan rasa malu pada diri sendiri.
‘Bertango di Lautan Kasih memang mengasyikkan. Janji sekiranya aku bermimpi sedemikian rupa selepas ini, aku tidak akan membenarkan sesiapa pun menyentuhku sedemikian rupa. Aib! Aib! Sungguh aib, dirasakan diriku ini. Nafsu cinta lebih dulu menyuasai tingkahku.’ Janji Puteri pada dirinya sendiri.
“Tuan Puteri,” panggil Putera Nashrid ajak Puteri berjalan beriringan dengannya.
“Ya.” Puteri berlari anak mengiringi Putera Nashrid yang tersenyum saja dari tadi.
“Si puteri jalan penuh berhati, Hati celaru berbagi-bagi, Usah diragui cinta di hati, Putiknya bercambah lama dulu lagi.” Senyum Putera Nashird.
Membesar mata Puteri mendengar seloka pantun dari Putera Nashrid, macam rancangan mari berpantun di  siaran tv pendidikan pula. Putera Nashrid menunggu balasan dari Puteri pula yang masih terpinga-pinga menyusun ayat dimindanya.
“ Si putera berjalan tidak mengira, Habis disadung batu hingga terbongkah, Nak ragu juga tak kira, Cinta pun belum, terus nak nikah?”
Puteri dengan muka tak percayanya menyoal kembali dalam bentuk seloka. Putera Nashird berpeluk tubuh memandang pada Puteri yang menunggu jawapannya.
“Lucu… tiada jawapan yang pasti sebab cinta itu buta.”
Balas Putera Nashrid mengenyit mata dan berlalu meninggalkan Puteri dalam keadaan yang  memang tidak puas hati dengan jawapan itu.
“Cinta buta? Mana pergi matanya?” soalan sengal keluar dari bibir mugil Puteri yang geram.

“Hahahaha….” Geleng kepala Putera Nashrid.