Monday, July 3, 2017

Ku Akui Cinta Itu Indah

Sarimah pulang ke rumah dengan kepala yang berat. Permasalahan di Kafé Cahaya menyesakkan mindanya. Mana mungkin Kafé yang maju itu mengalami masalah kitaran wang pusingan modal. Lebih memeritkan lagi, dalam simpanan peribadinya hanya ada lima ratus ringgit sahaja.
                Sharif dan Shima yang baru pulang dari sekolah mendapatkan Sarimah yang sedang bermenung di meja makan. 
                “Ibu,” sapa Sharif yang menarik tangan Sarimah untuk mendapatkan restu ibu.
                “Emmm… baru balik. Ibu tak dengar pun bunyi van sekolah,” ucap Sarimah menyorokkan rasa gusar di hati.
                “Laaa… Mak Atin siap hon dua tiga kali suruh bibik buka pintu lagi. Ibu kenapa? Tak sihat ke?” soal Sharif lagi. Anak sulong yang sangat mengambil berat hal Sarimah.
                “Ibu penat sikit. Itu yang balik rumah awal. Pergilah Rif bersiap. Biar Ibu hantar pergi mengaji hari ini. Boleh juga ibu lepak rumah Tok Wan,” ucap Sarimah lagi.
                Sharif terus mengangkat beg sekolah dan berlalu naik ke bilik di tingkat atas. Sarimah manis lagi termenung di ruang makan dengan kepala ligat berputar. Pesanan ringkas yang diterima dari Sulaiman yang memaklumkan akan pulang lewat malam ini sikit pun tidak mendatangkan kudis di hatinya. Balasan ‘OK’ diberikan sebagai tanda memberi sokongan penuh kepada kerjaya suami diberikan dengan sepenuh keyakinan dan kepercayaan.
                “Kamu ni okay ke Imah. Mak tengok kamu ni sejak dua menjak ni macam ada masalah aje. Kamu bergaduh dengan Man ke?” soal Dr. Hamidah.
                “Tidaklah Mak. Kami okay je. Imah tengah pusing dengan Kafe Imah ni aje. Dah sebulan dok memikir mana silapnya,” kongsi Sarimah.
                “Emmm.. sesi terapi Imah dengan Dr. Osman tu macamana dapat membantu?” soal Dr. Hamidah yang risau memikirkan perihal anak bongsunya yang di serang stress sejak menguruskan perniagaan Kafe  sepenuh masa enam bulan lalu.
                “Ada sikit membantu Mak. Dr. Osman pun ada syorkan Imah ambil sehari dua cuti dan pergi berehat. Jangan paksa diri dua puluh empat jam untuk ingat kerja saja. Tapi sekarang ini rasanya macam tidak bolehlah mak. Kafe masih belum stabil. Abang pulak kebelakangan ini selalu balik lewat uruskan projek syarikatnya itu. Anak-anak pula selalu sendirian di rumah. Kesian juga Imah pada mereka Mak,” luah Sarimah berkongsi cerita dengan ibu tersayang.
                “Kalau itu kata Imah. Mak tak boleh cakap apalah. Itu keputusan kamu. Bagi pendapat Mak, Imah lagi sihat dan ceria masa kerja di Bank dulu. Sekarang ini sudah macam zombie Mak tengok,” komen Dr. Hamidah.
                “Mak doakan Imah keluar dari zon runsing ini dululah. Lepas itu Imah janji tak jadi zombie lagi,” sengeh Sarimah.
               

“Mak mana yang tidak doakan kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anaknya, Imah. Setiap hari Mak doakan Imah berjaya capai cita-cita Imah mengusahakan Kafe tu,” luah Dr. Hamidah sebak.
                “Alhamdulillah. Terima kasih Mak. Imah sayang sangat pada Mak,” ucap Sarimah dengan memeluk erat tubuh tua Dr. Hamidah meminjam semangat si ibu untuk terus berjuang.
                “Emmm… nak cakap apa sebenarnya ni?” senyum Dr. Hamidah faham sangat dengan perangai anak bongsunya ini.
                “Sharif dan Shima nak bermalam di sini. Imah tinggalkan mereka kat rumah Mak dengan bibik sekali ya. Imah nak lepak kat Kafe saja hari ini. Entah jam berapa balik pun tak pasti. Kesian pulak tinggal kat rumah tiada siapa yang layan,” pinta Sarimah.
                “Yalah. Yalah. Baiklah… kamu tu jaga kesihatan sikit,” senyum Dr. Hamidah.
                “Terima kasih, Mak,”
                Sarimah menghabiskan masa malamnya duduk memikir di Kafe hingga lewat tengah malam baru dia berangkat pulang ke rumah. Duduk seketika di dalam kereta untuk menarik nafas panjang bagi melangkah maju keesokan harinya. Kepala dilentukkan di stereng kereta. Pening sangat. 
                “Ehh! Itu bukan ke abang Man? Bukan ke katanya tadi ada mesyuarat di Putrajaya. Macamana pula boleh ada di sini pada waktu tengah malam begini?..... dan…..,” tercengang Sarimah melihat kelibat Sulaiman yang bergandingan mesra dengan seorang gadis yang amat dikenalinya.
                Terus injin kereta dihidupkan. Muka Sarimah sudah hilang seri. Kepala semakin berat dan memberat. Mata masih terbayang aksi mesra Sulaiman dengan gadis tadi. Airmata semakin mengacah ingin keluar menari megah. Namun ditahankan saja oleh Sarimah.
                “Hai, Sayang,” sapa Sulaiman setelah mengunci pintu rumah dan melepasi Sarimah yang duduk di dapur.
                “Emmmm…,” balas Sarimah malas.
                “Kenapa sakit kepala lagi?” soal Sulaiman menarik stool di hadapan Sarimah dan duduk mengadapnya.
                “Emmmm…,”
                “Ada apa-apa ke Sayang nak kongsi dengan abang?” soal Sulaiman lembut.
                “Abang ke mana tadi?”
                “Abang di pejabat macam abang cakap tadi. Ada mesyuarat di Putrajaya,” bahasa Sulaiman mulai tinggi bila merasa kejujurannya diragui.
                “Abang jangan nak tipu saya. Baik abang terus terang saja dengan saya,” rayu Sarimah sambil memicit kepalanya yang semakin berdenyut.
                “Imah ni suka fikir yang bukan-bukan. Tak kesian dengan suami langsung. Suami sudahlah penat bekerja sampai lewat malam berhempas pulak memastikan anak bini hidup selesa. Imah pula fikir apa buat benda tak senonoh,” bangkang Sulaiman.
                Lagi berdenyut kepala Sarimah mendengar suara marah Sulaiman. Botol ubat penenang yang di simpan dalam peti sejuk sudah kosong. Botol panadol terpaksa di capai Sarimah untuk menghilangkan rasa pening yang semakin menyiksakan kepalanya. Botol panadol masih belum berbuka diperhatikan dengan rasa keliru.
                “Tengok tu. Abang marah sikit. Pening. Marah sikit. Pening. Telan saja semua panadol tu biar pening Imah tu hilang terus…. Tidak menyusahkan abang,” suruh Sulaiman dan berlalu meninggalkan Sarimah terkebil-kebil dalam keadaan keliru.
                Dengan keadaan separuh sedar dipengaruhi pula dengan suara Sulaiman yang menyuruhnya menelan semua panadol itu membuatkan Sarimah membuka penutup botol dan menelan kesemua panadol dalam botol itu. Setelah ditelan dia masuk dalam bilik dan terus tidor tanpa menghiraukan kewujudan Sulaiman langsung.
                Sinaran matahari pagi yang masuk dari celah langsir bilik mengejutkan Sarimah dari lenanya. Tangan di raba di sebelah mencari Sulaiman. Namun hampa, Sulaiman sudah tiada di katil. Jam di sisi katil di capai untuk melihat waktu ketika ini. Kepala masih lagi berpinau dan mata susah sangat nak buka. Sarimah berbaring tenang dan berfikir apa sebenarnya terjadi semalam.
                “Ya Allah! Aku telan kesemua lima puluh biji panadol. Apa aku buat ini?” gelisah Sarimah. 
                Telepon rumah di capai. Nombor telephon Dr. Osman di hubungi. Menyinga Dr. Osman mendengar penjelasan Sarimah. Terus sahaja Sarimah di suruh ke Hospital untuk mendapatkan rawatan segera.
                “Imah boleh datang sendiri ke? Atau mahu saya sediakan ambulan untuk mengambil Imah?”
                “Tak payah Doktor. Saya akan ke sana sendiri,” halang Sarimah.
                “Jangan buat kerja gila lagi Imah. Ingat saya sentiasa ada bersama Imah… keluarga dan anak-anak Imah pun sentiasa ada bersama Imah,” nasihat Dr. Osman.
                Airmata Sarimah terus mengalir laju. Kata-kata Dr. Osman bagaikan kunci membuka pintu kesedihan yang disembunyikannya jauh di lubuk hatinya. Sarimah mengagahkan kaki melangkah bangun untk membersihkan diri. Usai bersiap. Kepala masih lagi berdenyut macam hendak tercabut, pandangan mata pun masih kabur. Sarimah mengambil keputusan mudah untuk tidak memandu sebaliknya menahan teksi di tepi jalan hadapan rumahnya.
                Setiba di hospital Sarimah terus bergegas ke Unit Kecemasan dan meminta jururawat memaklumkan pada Dr. Osman dengan kehadirannya di sini. Belum sempat jururawat memeriksa denyutan nadi, Dr. Osman sudah tiba bersama tiga lagi doktor.
                “Imah…! Imah..!” panggil Dr. Osman mengejutkan Imah yang masih lagi separuh sedar
                “Emmm….,” jawab Sarimah masih lemah
                “Cerita Imah, berapa biji ubat yang Imah dah telan?” soal Dr. Osman mendesak maklumat dari Sarimah segera.
                “Satu botol doktor. Saya tak ingat berapa biji. Botol panadol saya baru buka dan tonggang,” jelas Sarimah lemah.
                “Masyallah Imah! Mana perginya kesabaran Imah ni. Saya maklumkan pada suami Imah dan keluarga Imah ya,” ucap Dr. Osman.
                “Doktor! Doktor! Jangan maklumkan pada sesiapa pun saya di sini. Saya hendak menyendiri dan tidak mahu diganggu. Tolong Doktor. Bila saya sudah rasa selesa nanti baru saya sendiri yang maklumkan pada mereka,” minta Sarimah.
                Dr. Osman angguk akur. Sarimah menjalani rawatan mengeluarkan toksik lebihan pengambilan ubat dengan memasukkan air dalam badannya seberapa banyak yang mungkin. Rawatan untuk memuntahkan tidak mendatangkan sebarang kesan sebab sudah lebih daripada tujuh jam. Selesai rawatan Sarimah dipindahkan ke wad.
                “Imah! Imah!,” panggil Sulaiman yang baru sampai rumah.
                Hatinya pelik melihat lampu rumah tidak terpasang sedangkan kereta Sarimah elok terletak di luar rumah. Dia tahu yang anak-anak juga pembantu rumahnya masih bermalam di rumah mertuanya di Taman Melati. Tidak pernah Sarimah berperangai pelik begini. Sulaiman melajukan langkah masuk dalam bilik mencari Sarimah. Tidak ditemui. Lebih membimbangkan lagi telepon bimbit Sarimah terletak kemas di atas meja solek. Sulaiman jadi tidak tentu arah dengan semua kejadian pelik ini. Keliling rumah diselidikinya mencari Sarimah. Namun tidak ditemui.
                “Imah, maafkan abang… abang silap. Pulanglah Imah, abang perlukan Imah,” ucap Sulaiman duduk berserabut di luar rumah.
                Kedatangan Manaf dan Sofia di rumah memberi sedikit jalan pada Sulaiman berfikir. Jika tidak entah apa yang perlu difikirkan pun dia tidak tahu. Buntu sungguh fikirannya.
                “Kau dah cari semua tempat ke Man?” soal Manaf sahabat baik Sulaiman juga merangkap abang iparnya juga.
                “Sudah Manaf. Sampai di longkang besar sana pun aku dah cari. Aku masih tak jumpa Imah,” cerita Sulaiman sudah kusut masai.
                “Yang kau pergi cari sampai dalam longkang tu apa hal. Pergilah telepon rumah mak ke. Rumah kawan rapat dia ke. Ya Allah! kau ni Man… nak kata bengap ada syarikat sendiri. Bila kau sedar Imah ni hilang?” soal Manaf.
                “Semalam subuh aku sudah memandu ke JB ada mesyuarat di sana. Aku bermalam di sana. Ini baru sampai. Entahlah mungkin hari ini kot, Imah hilang. Kereta dia pun tak bergerak. Telepon bimbit dia pun ada kat rumah. Puas jugalah aku godek cari apa-apa maklumat dalam tu, haram tak ada apa apa klu,” cerita Sulaiman.
                “Kamu ni gaduh dengan Imah ke Man?” soal Sofia yang dari tadi diam mendengar cerita dari Sulaiman pada suaminya.
               
“Ehemmm.. adalah sikit tengah malam Jumaat sebelum aku bertolak ke JB tu. Imah tiba-tiba tuduh aku buat kerja yang bukan-bukan. Hanginlah aku satu badan. Bertengkarlah sikit. Aku tengok Imah ambil ubat sakit kepala. Lepas tu aku terus naik atas, malas nak layan. Nanti apa pulak yang aku hamburkan pada Imah. Pagi esoknya lepas solat subuh aku tengok Imah lena lagi. Malas aku nak kejutkan dia kenangkan malam tadi Imah macam tidak sihat. Aku biarkan dia dan terus memandu ke JB,” jelas Sulaiman terus terang.
                “Eeeeee! Geramnya aku dengar. Kalau terjadilah apa-apa pada Imah. Aku memang tidak akan maafkan kau Man. Sungguh aku tidak akan maafkan kau. Lepas dua hari baru kau sedar bini kau hilang. Suami apa kau ni. Kalau sudah arwah si Imah pun siap berulat saja kat situ,” marah Sofia.
                “Sofi!”tegur Manaf.
Sofia terus terdiam. Rasa marahnya semakin membuak-buak pada Sulaiman. Ditambah pula dengan gossip liar yang semakin berleluasa telah sampai ke pengetahuan Sofia tentang perangai adik ipar yang sungguh tidak disangka. Mula-mula cerita sok sek sok sek dari budak-budak Kafe Cahaya, kemudian sepupu-sepupunya. Semalam dia sendiri ternampak dengan mata kepala dia sendiri. Memang patut pun Sarimah meninggalkan rumah kalau beginilah perangai suaminya.
“Jom buat laporan polis,” ajak Manaf.
“Perlu ke?” soal Sulaiman.
“Kau ada cara lain nak cari Imah sampai jumpa?” soal Manaf kembali.
“Kejap! Sofi, siapa doktor yang merawat Imah di hospital tu. Kata kawan Mak?”
“Dr. Osman. Kenapa?” pelik Sofia.
“Ada nombor telepon dia?”
“Ada,”
“Tolong tanya dia, mana tahu Imah ada pergi jumpa dia ke? Tolonglah Sofi, aku mati kuman dah ni. Kalau anak-anak tahu yang ibu mereka hilang lagi aku tak tahu nak cakap apa?”rayu Sulaiman yang bercelaru fikirannya.
“Baru sekarang ke kau teringatkan anak-anak Man?” soal Sofia yang sudah hilang tahap kesabarannya.
“Apa maksud kau, Sofi?”
Sofia mengeluarkan telepon bimbitnya dan menunjukkan skrin telepon itu pada Sulaiman dan Manaf. Tertunduk juga Manaf dibuatnya. Rahsia yang di simpan kemas terbau juga oleh Sofia.  Wajah Sulaiman semakin bercelaru dibuatnya Sofia. Asakan demi asakan di berikan hingga Sulaiman menceritakan hal sebenarnya dari awal sampai akhir.
“Kau tahu tak Man. Imah sudah enam bulan ulang alik pergi hospital dapatkan rawatan stress dengan apa yang dihadapinya. Aku tahu kau memperlekehkan usahanya untuk kembali ceria. Kau lepas tangan urusan anak-anak. Kau tidak pernah bertanya bagaimana dia rasa setelah bergelar usahawan. Dia pun tidak pernah berkongsi masalah dia dengan kau sebab apa. Sebab setiap kali dia ingin membuka mulut, kau sudah matikan usahanya untuk berkongsi cerita dengan orang yang disayanginya. Mujurlah dia selalu balik rumah Mak. Sesekali adalah juga terkeluar cerita kesukarannya menguruskan Kafe pada Mak. Kami pun banyak tahu cerita dia dari Dr. Osman. Imah dalam depression tahap tiga Man. Kekadang akal dia kalah melawan bunyi suara negatif yang menariknya melakukan perkara di luar kawalan dan jangkaan kita. Aku harap sangat Imah tidak melakukan perkara pelik sudah. Nauzubillah,”
“Aku minta maaf Sofi. Aku sunyi. Kami selalu mengalami masalah komunikasi. Aku rasa diketepikan. Bila ada yang datang, itu yang aku leka. Terbuai dengan layanan mesra dan manjanya,” akui Sulaiman.
“Kalau iya pun kau nak cari kekasih. Kenapa perlu kau bercinta dengan adik angkat Imah, Man? Yang betina itu pun satu, sudah tahu yang kau ni laki kakak angkat dia yang pergi layan tu kenapa?” marah Sofia masih membara.
“Sofi sudahlah tu, bukan sekarang ini masanya untuk kita nak bincangkan hal ini… sekarang masa untuk kita cari di mana Imah berada,” Manaf meredakan suasana.
Masing-masing diam. Berfikir. Sofia menghubungi Dr. Osman namun tiada sebarang maklumat terkini daripada Dr. Osman.  Mereka tiada cara lain dari membuat laporan polis dan memaklumkan hal ini pada keluarga.
“Imah..!”panggil Dr. Osman.
“Emmm.. ,” sahut Sarimah.
Kerusi di sebelah Sarimah diduduki Dr. Osman penuh sopan. Sarimah sudah seminggu berada di rumah Perlindungan Stress di tepi pantai Port Dickson.
“Imah sihat?” soal Dr. Osman.
“Alhamdulillah,”
“Imah… ! Saya kagum dan yakin dengan Imah. Saya tahu Imah seorang yang kuat semangat. Semua orang dalam dunia ini dilanda masalah hidup. Tidak kiralah masalah itu kecil ke ataupun besar ia tetap ada. Dan sebagai seorang muslim, kita di didik untuk percayakan qadar dan qada. Perkataan putus asa tidak pernah wujud dalam kamus orang muslim Imah…. Sebab apa? Sebab Allah sentiasa ada untuk kita mohon pertolongan…,” pujuk Dr. Osman lembut.
Sarimah memandang pada wajah Dr. Osman. Banyak sebenarnya yang tidak diceritakan pada Dr. Osman yang merawat dan mendengar keluhannya. Rasa bersalah terbit dalam diri Sarimah.
“Terima kasih doktor. Telah banyak yang doktor lakukan untuk saya kembali pulih seperti biasa. Saya sangat menghargai usaha doktor… namun doktor tidak mengetahui cerita saya sepenuhnya… betapa sakitnya hati saya, betapa luluhnya jiwa saya… tiada siapa yang tahu…,” luah Sarimah berjujuran airmata lagi.
“Setiap orang ada kisah mereka tersendiri. Sebagai umat Muhammad kita disuruh supaya selalu bersyukur dengan apa yang kita ada, Imah. Apa yang kita ada! Bukannya apa yang kita inginkan dalam hidup kita…. Dengan menghargai apa yang kita ada insyallah segala macam penyakit stress susah nak dekat dengan kita,” pujuk Dr. Osman lagi.
“Doktor…,” Sarimah bertambah sebak mendengar nasihat Dr. Osman.
“Sudah seminggu lebih Imah di sini… semua orang yang sayangkan Imah di luar sana risau dan resah dengan keselamatan Imah. Beri diri Imah peluang untuk kembali menerima kasih sayang mereka ya Imah. Beri mereka peluang buktikan yang mereka sangat meyayangi Imah…,” ucap Dr. Osman dengan kepala mengarahkan pada Sulaiman yang sedang berdiri di pintu.
Sulaiman yang tidak terurus dengan muka yang berserabai dan pakaian yang tidak kemas berjalan perlahan menghampirinya. Setiap langkah Sulaiman disulami dengan titisan airmata Sarimah yang menderu-deru jatuh.
“Imah bincang elok-elok dengan Sulaiman,” ucap Dr. Osman berlalu meninggalkan Sarimah dan Sulaiman berdua di tepi pantai.
Sulaiman melutut di hadapan Sarimah. Jari Sarimah digengamnya erat. Airmata Sulaiman turut laju menderu. Rasa syukur dapat bertemu kembali dengan isteri yang menghilangkan diri tanpa khabar berita seminggu yang lalu. Segala urusan jadi tunggang-langgang buat Sulaiman. Dengan syarikat tidak di jenguk. Dengan Kafe tidak diendahkan. Dengan anak-anak terbiar risau dan sedih mengenangkan kehilangan ibu secara tiba-tiba. Sulaiman jadi insaf.
“Imah…! Maafkan abang Imah. Maafkan abang,” rayu Sulaiman sambil menangis.
“Emmm…,”
“Abang tahu abang salah. Abang tahu, abang abaikan Imah. Abang tahu abang pentingkan diri sendiri. Abang mengaku memang abang telah menduakan Imah. Namun semua itu abang dah putuskan. Abang sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia. Abang tak sanggup kehilangan Imah. Abang tak sanggup Imah…,” Sulaiman sudah mengogoi di riba Sarimah.
Kepala Sulaiman dibelai lembut dengan esakan airmata yang berjujuran. Bibir Sarimah bergetar kuat. Kepiluan yang dulunya hanya menyorok di lubuk hatinya yang paling dalam kini timbul untuk dilepaskan.
“Abang…., Imah sedar kekurangan diri Imah. Kita selalu tidak sependapat dalam banyak perkara. Namun kita juga pasangan yang paling ideal hingga melahirkan sepasang anak yang cukup soleh dan terpuji. Imah tidak salahkan abang. Imah juga tidak salahkan diri sendiri. Cuma.., Imah belum bersedia menghadapi semua ini dengan hati yang tenang. Sebagai seorang isteri, melihat kecurangan suami di depan mata adalah satu yang paling menyakitkan. Ia lebih menyakitkan bila mengetahui yang diri ini dibohongi dalam senyap. Hilang terus keyakinan diri bang… hilang terus rasa dilindungi… Imah sayang abang…. Imah cintakan abang… kita buat keputusan untuk bernikah bukan atas paksaan sesiapa pun.. ianya atas rasa cinta kita sendiri……,”
“Imahh….” Nangis Sulaiman penuh kesal.
“Shssss… Imah tiada tempat mengadu bang…. Imah tiada tempat berkongsi rasa…. Namun Imah tidak pernah berungut pada abang… sebaik mungkin Imah selesaikan masalah Imah sendiri… abang sudah tidak pernah ada sebagai kawan lagi buat Imah… jauh sekali untuk menjadi kekasih pujaan Imah seperti dulu lagi… Imah rindukan saat dulu bang. Saat kita sama-sama susah dan mencari tapak untuk hidup mewah macam hari ini… waktu itu kita sangat menghargai setiap masa yang dapat kita luangkan bersama… Imah rasa bahagia sangat… kemewahan ini benar-benar meragut cinta dan kebahagiaan kita bang… benar-benar meragut semuanya dari kita….,”
Sulaiman terus memeluk tubuh Sarimah dengan penuh erat. Tidak disangka begitu dalam sekali kesedihan dan kepiluan yang melanda hati Sarimah. Sikap memendam Sarimah lebih menyukarkan Sulaiman mendalami rasa hati Sarimah.
“Abang akui Imah. Abang akui … semua itu akan kita ubah ya Sayang. Kita ubah mengikut haluan yang ditetapkan sebagai keluarga Islam. Kita sama-sama perbaikinya ya Sayang. Kita sama-sama berusaha membahagiakan antara satu sama lain. Abang janji Imah. Abang janji pada Imah…. Abang akan jadi pembimbing dan Imam terbaik buat Imah sampai akhir hayat abang…. Maafkan abang sayang… abang sayangkan Imah… abang cintakan Imah sama seperti dulu,” pujuk Sulaiman lagi.
“Jangan janji dengan Imah, bang… jangan. Imah sudah serahkan hati Imah pada Allah. Mintalah ampun dan berdoalah pada Allah agar hati Imah kembali diserahkan pada abang… Imah redha segala ketentuan yang telah Allah susun buat Imah bang… Imah dah penat.. ,”
“Imah tak maafkan abang? Imah tak dapat menerima abang?”
“Imah sudah lama maafkan abang…. Dan Imah juga tetap terima abang sama seperti dulu.. namun Imah tidak meletakkan sebarang harapan lagi pada abang… cinta Imah tetap pada abang. Kasih sayang Imah tidak pernah kurang… abang mohonlah doa pada Allah. Agar hati kita bersatu kembali seperti dulu… Akui cinta itu indah bang…” ucap Sarimah
Semakin erat pelukan kesal Sulaiman. Sarimah juga membalas pelukan itu. Pelukan yang terlalu dirinduinya. Syukur Allah, walaupun pahit untuk ditelan namun usaha untuk kembali memulihkan keadaan itu tetap ada setelah Sulaiman dan Sarimah sedar akan kesilapan dan kekurangan dalam rumah tangga mereka. Kepercayaan dan Kejujuran merupakan salah satu kunci cinta kebahagiaan dalam sebuah rumah tangga.     


No comments:

Post a Comment