Monday, July 3, 2017

Kenangan Terindah

Saya memilih tajuk ini... kerana inilah pertama kali saya di mesej oleh seorang teman untuk meminta saya mengarang sebuah cerpen sengal untuk temannya semperna hadiah hari lahir yang telah lepas. Terima kasih Nurr Bayu, Setiaku Disini atas kepercayaan ...dan tak lupa pada birthday girl, Azizah Mat Isa... saya memang dah jatuh cinta tahap gaban pada Kak Piah Pintal-Pintal tu kah kah kah kah...yang menciptakan kenangan terindah buat saya untuk kembali mencuri masa untuk menulis seperti dulu.... semangat yang dulunya pudar kini kembali rajin... kah kah kah ... 

****************************************************************

Suasana tenang Kampung Dua Kupang mengelepar dengan dentuman bunyi kuat dari kebun Pak Ketom. Kemudian kelibat mereka berlari lintang pukang menuju ke Sungai Miang di hujung simpang sebelah warong Mak Mok mengamit pandangan pengunjung di warong itu.
“Lari Ami. Lari laju kang kena kokak dengan lebah tu kang bertanda susah kita nak simpan rahsia ni,” jerit Nurr yang sudah sedepa di depan.
“Weiii tunggu aku, korang ni lari macam rabuan pit pit tau. Tolonglah aku ni, semput merempit dengan kaki dua ni je,” jerit Ami.
“Banyak songeh pulak kakak aku ni. Lari ajelah. Aku balun jugak dengan tangkai rambutan ni,” SD sudah menghayunkan tiga tangkai rambutan yang dalam gengamannya.
Angkatan tentera lebah menderu mengejar mereka bertiga yang telah menyebabkan istana hinggap mereka di atas pokok rambutan Pak Ketom jatuh tergolek ke tanah. Perasaan marah dan geram membuatkan mereka mengejar tiga sahabat ini.
Ami yang badan sedikit gebu berbanding Nurr dan SD sudah termengah-mengah ketinggalan di belakang. Selipar jepun yang tersarung di tangan Ami entah macam mana pulak boleh terpelanting mengena dahi anjing jantan Ah Bon yang sedang mengorat tulang serangka kambing kat tepi Warong Mak Mok. Menyalak kuat anjing jantan tu. Tak semena-mena anjing jantan itu terus mengejar juga dari belakang. Ami yang termengah-mengah sudah tak cukup tanah nak menapak. Sudah macam lipas kudung Ami berlari macam belon terlucut meninggalkan Nurr dan SD yang terkejut ke belakang.
“Lajunya kau kakkkkk,”jerit SD.
“Gila tak laju... aku sayang betis aku yang cantik macam batang tebu ni. Kena kokak lebah boleh tahan lagi... tapi kalau kena kokak denga anjing Ah Bon uuuuuhhh ada yang angau macam Ah Bon jugak,” sempat lagi Ami menjerit.
“Haah!” Nurr dan SD menoleh ke belakang.
“Apa kau dah buat Ami?” jerit  SD yang kelam-kabut menambahkan pecutan untuk melarikan diri lebih laju ke depan.
“Sorrryyyyylahhhh geng, selipar aku terpelanting kat kepala anjing tu,”
“Kau memang dah gila Amiiii... kau juga yang aku kokak lepas ni,” marah Nurr.
Habis kain dan skirt labuh terangkat tinggi menampakkan seluar track suit yang tersarung di dalam kain. Sampai di tebing sungai, terus mereka terjun macam ‘Panda lelah’ yang mengah berlari lintang pukang. Mujurlah ada kain yang boleh dijadikan pelampung. Kembung dalam air. Tudung di kepala pun sudah senget benget nak pastikan seluruh kepala terjunam dulu dalam air. Jaga muka dari disengat oleh panglima lebah.
“Muka aku bengkak, memang aku saman kau Nurr,” SD memberi amaran.
“Alaaa... salah kau jugak. Yang kau pergi kacau rambutan kat celah dahan tu kenapa?” balas Nurr pulak.
“Bukan salah aku... si Ami ni singgul aku tadi. Mujurlah ada dahan tu... tercapai jugaklah rambutan ranum tu tiga tangkai,” sengih SD sambil mengangkat tangan.
“Huwaaaaa...” teriak Ami tiba-tiba, buatkan Nurr dan SD menoleh.
“Kenapa?”
“Dahi aku dah bertanduk,” ucap Ami yang membuka tapak tangan yang sedang meraba dahi yang berbenjol besar betul-betul di tengah dahi.
“Hahahaha... dah macam mak ultraman yang kita tengok kat Youtube tu pun ada gak ni. Pandai betul lebah tu cari pot nak sengat,” ketawa Nurr terbahak-bahak. SD pun tumpang sekaki mengelakkan Ami sambil memukul-mukul air sungai. Percikan itu lagi membuatkan hati Ami bengang ditertawakan. Kurang asem punya kawan. Siap kau!!!!
“Weiiii janganlah gelak. Esok kita semua nak masuk kelas balik. Nampak dek Cik TTK habislah kita. Nak cakap apa dengan Cik TTK tu?” soal Ami sambil mengosok-gosok dahinya. 
Nurr dan SD terus diam. Terhenti gelak yang dah meroyan tu. Perlahan-lahan berjalan menuju ke tebing. Ami pun turut melakukan perkara yang sama. Dengar nama Cik TTK buatkan segalanya terkujat. Sungguh tak menahan cikgu disiplin kat Sekolah Menengah Tinggi Sungai Miang ni, garang terlebih-lebih. Ingat budak tingkatan enam ni macam sekolah menengah biasa ke. Nak terdenda sini sana.
Perjalanan pulang ke rumah dengan pakaian yang masih basah menarik perhatian penduduk Kampung Dua Kupang untuk menoleh pandang pada tiga dara terlajak sunti ini. Sudah di tingkatan enam atas masih lagi berperangai macam budak-budak lagi. Sudah penat dinasihati supaya belajar sopan sikit, eehhh mereka masih dengan perangai tak semenggah mereka aje.
Yackob, Tobbiee dan Suguss, si kembar tiga paling handsome di Kampung Dua Kupang pun turut sama menoleh pandang pada mereka. Mee goreng special Mak Mok yang tengah panas berasap pun tidak dapat mengoda pandangan mata mereka.
“Bayaa... ” Yackob mencuit Tobbiee dan Suguss untuk berpaling memandang pada lenggang-lenggok mereka. Kiri kanan. Kiri kanan. Kiri kanan mata mereka mengikut tempo pinggul si Ami yang di belakang sekali.
“Aku nak bagitahu mak suruh masuk meminang juga si Ami ni. Tak payah STP, STP bagai... aku dah masuk meminang habis cerita,” Tobbiee yang memang dah anggau separuh mati pada Ami sambil memulas-mulas tahi lalat hidup besar di tepi hidung kanannya.
   “Kita naik pelamin sekalilah. Aku pun nak kahwin juga,” sampuk Suguss yang masih memandang ke arah jalan raya. Sengih tak lekang di bibir Tobbiee dan Suguss memikirkan tentang rancangan bersanding sekali itu.
“Emmm... sepadan sangatlah kamu ni dengan si dara pinggitan kampung tu. Satu kembar tahi lalat, satu lagi pinggitan sengal. Cepatlah susun rancangan tu, bolehlah Mak Mok tumpang sekaki. Weiii wedding of the year tu... kalah artis popular.” Mak Mok menyampuk, bila terdengar Tobbie menyalurkan idea bagus nak naikkan nama Kampung Dua Kupang di mata dunia. Sempat menyalar lamunan Mak Mok dengan pakaian lap lip lap lip siap dengan kaca mata ala-ala Saloma. Fuhhhhh! Mengancam.
“Mak Mok! Oh Mak Mok!... dah sah orang tua ni berangan” geleng Yackob.
“Hahahaha... weii bukan kita je yang berangan. Mak Mok pun berangan tu...hahahaha,” berderai tawa Suguss gelak siap tekan-tekan perut lagi.
“Tak baik kau gelakkan Mak Mok.... mana tahu doa dia termakbul. Dapatlah aku bersanding dengan Ami.... oh Ami! My beauty Ami... I lap lap lap u busyuk busyuk,” ejok Tobbiee yang memang kelakar sikit orangnya.
Mak Mok yang tersedar dari mengelamun, terus merona merah pipinya menahan malu. Bukan boleh harap sangat dengan si kembar tahi lalat ini. Otak bergeliga, kalau tidak masakan tercalon sebagai belia agro jaya peringkat kebangsaan.
“Tak apa, untuk kau orang bertiga akan Mak Mok sentiasa doakan. Nanti jangan lupa lantik Mak Mok jadi wedding planner kau orang tau,” senyum Mak Mok, siap masuk jarum.
“Bukan bertiga Mak Mok. Berdua aje. Saya tak masuk campur.” Yackob yang paling ingin dihindarkan adalah Nurr. Mengeletis sungguh Nurr bila terpandangkannya. Cukup meluat.
*******
Sekolah Menengah Tinggi Kampung Dua Kupang cukup cemerlang dengan prestasi pelajar cemerlang di daerah ini. Keputusan yang Flat, flat aje yang dilahirkan. Ami, Nurr dan SD memang antara mereka yang dijangkakan menaikkan nama sekolah dengan keputusan yang bertingket-tingket. Namun sikap mereka yang sengal cukup memeningkan kepala cikgu disiplin, ZM. Disebabkan merekalah, satu sekolah memanggil cikgu ZM sebagai Cik TTK. Itu yang lebih membuatkan mereka sering menjadi sasaran cikgu ZM.
“Kenapa dahi kamu ni Ami?”soal cikgu ZM dengan muka yang serius. Dalam hati cukup ditahan dari meledak tawa melihat wajah Ami yang lucu. Tak boleh ketawa! Tak boleh ketawa! Zikir cikgu ZM bersungguh-sungguh.
“Errrr.... kena sengat tebuan cik TTK”
“Apa?”
“Ehh.... silap. Kena sengat tebuan cikgu ZM”
“Pandai sungguh tebuan tu ambil pot kat dahi. Sudah macam ultraman bertanduk saya tengok...” senyum nipis terbit di bibir cikgu ZM. Memang tak tahan memandang wajah Ami yang lucu.
“Haaa... tulah pasal. Nurr dan SD pun dah gelarkan saya Mak Ultraman. Macam mana nak hilangkan ni ya, cikgu tahu tak?” soal Ami kembali.
“Sapulah dengan kapur barus pasti susut bengkak di dahi awak tu. Apa yang awak buat sampai lebah tu boleh sengat awak ni, Ami? Jangan cakap yang awak lepak lagi kat kebun Pak Ketom tu sudah,” bebel cikgu ZM.
Ami sudah terpusing sini terpusing sana. Mana tidaknya, cikgu ZM sudah memberikan amaran terakhir jangan sesekali masuk dalam kebun Pak Ketom. Kalau nak sangat makan buah-buahan yang menguning dan memerah ranum tu, cakap dengan cikgu ZM. Sungguh amanah cikgu ZM pun bersebab....
“Amiiiiii....”
“Ehhh... ya saya Cikgu Hafisah. Kejap-kejap saya tolong cikgu panggilkan Ustaz tu,” helah Ami untuk mengelak dari disoal lebih lanjut oleh cikgu ZM.
Cikgu ZM terpinga-pinga menoleh kiri kanan mencari kelibat cikgu Hafisah yang dimaksudkan Ami itu tadi. Belum sempat nak bersuara, Ami sudah mencicit lari.
“Bertuah punya budak....ini mesti tak ada kerja lain. Kebun abah aku jugak yang ditarahnya.” Ucap cikgu ZM sendirian. Mengeleng kepala dibuatnya.
Nurr dan SD sedang duduk berdiskusi di kerusi kayu bawah pokok ketapang tepi kantin sana. Itu memang sudah tertulis nama ‘BEWARE A.N.S’ sejak mereka di tingkatan satu lagi. Kira tiada siapa yang selamat jika terduduk di situ hingga tika ini. Itu bertapa hebatnya mereka. Ami datang sambil mengibas-ngibas tudungnya yang sudah berpeluh-peluh.
“Kau ni kenapa, Ami?” soal Nurr
“Aku kena tahan dengan dengan Cik TTK...huuuu nasib baik selamat,”
“Kenapa?”
“Sebab tanduk ultraman aku ini lah....”
“Kantoi tak?” soal Nurr dan SD yang mulai gelabah kucing yang meleser sini sana.
“Aku buat-buatlah cikgu Hafisah panggil aku.... itu yang terlepas tu,” sengih Ami.
“Cikgu Hafisah bukan ke dah tukar sekolah? Ke ada cikgu baru nama Hafisah lagi ni, Nurr?”pelik SD. Jarinya sudah mengetuk-ngetuk dagu sambil berfikir.
“Cikgu Hafisah mana ni Ami?” soal Nurr mencari kepastian.
“Cikgu Hafisah yang ajar Ilmu Alam itulah....”jawab Ami penuh yakin.
“Hantu betullah kau ni Ami... Cikgu Hafisah tu dah setahun tukar. Kalau iya pun nak putar alam fikirlah logik sikit. Ini mahu gak Cik TTK boleh agak. Dah-dah jom jom kita balik. Tak jadi nak study-study grup kat sini,” suruh Nurr mengarahkan mereka semua mengemas meja.
Namun kelibat seorang lelaki yang berbaju t-shirt dan berseluar jean lusuh memasuki kawasan sekolah membuatkan mereka terkedu. Pakat masing-masing membetulkan tudung yang sememangnya sudah rapi di kepala.
“Maaf dik, pejabat dimana?” soal lelaki itu.
“Bangunan depan tu. Tingkat 1,” jawab Nurr. Ami dan SD tak berkelip memandang raup wajah lelaki itu. Licin bak seludang.
“Ooooo terima kasih,”
“Bang...bang..bang... nak daftar sebagai pelajar tingkatan enam ke?” soal Ami dengan penuh sopan.
“Ehhh! Saya dah tua bangkalah dik. Dah masuk three series dah ni...”jawab lelaki itu dengan ramah dan sopan.
“Oooo... yalah. Selamat ya bang. Kalau jumpa yang manis-manis comel-comel gebu-gebu tu nama dia Cik TTK. Masih kosong lagi tu. Kami sayang cikgu kami tu,” cerita Ami dengan tangan sekejap di hayun ke kiri sekejap di hayun ke kanan.
“Ooo.... baiklah. Nanti saya tengok,”
Mereka bertiga memerhati kelibat lelaki itu hingga hilang dari pandangan mata. Kemudian keluhan lega dilepaskan.
“Rasa-rasanya siapa tu ya?” soal SD ingin tahu.
“Cikgu baru kot,” pintas Ami.
“Kalau cikgu baru, mengajar tingkatan berapa?” soal Nurr yang masih berkira-kira.
“Cikgu Bio kita kan dah nak bersalin. Mungkin itu cikgu yang gantikan Cikgu Amellia tu lah,” serkap Ami yang yakin sangat dengan faktanya itu.
“Kau nikan Ami, apalah yang  panglima lebah tu letak kat sengat dia....sampai kau boleh jatuh sayang kat cik TTK tu pulak hari ni?” pelik SD.
Ami senyum aje dari tadi. Kepala dah mengelamun. Lelaki tadi sebagai cikgu bio? Pasti keputusan kertas Bio nanti A plus plus.  
“Ami! Ami!...Hoiii mengelamun pulak dia” geleng SD.
“Hehehe... penyegar mata den yang dah kuyu ni.”
“Banyaklah... ini apa hal boleh buat iklan Cik TTK pulak ni?” soal Nurr ingin tahu.
“Aku ni dalam meluat-meluat pun aku sayang Cik TTK ni... dia tu nampak je garang. Tapi dalam hati ada taman bunga, kalau tidak masakan basikal dia warna pink. Aku teringin gak tengok cikgu aku yang sorang naik pelamin. Kau tak teringin ke?” soal Ami lagi.
Nurr dan SD berpandangan. Pelik. Mesti tebuan kat Kebun Pak Ketom tu letak sengat pengasih sebab itulah Ami pun dah jatuh sayang pada Cikgu ZM.
“Nurr...SD.... senakal-nakal aku pun, aku cukup sayang dengan Cik TTK tu. Sakit pening kita dia jaga. Dalam marah-marah dia pun, dia cukup menjaga salsiah kita. Mana ada cikgu lain yang tegur kita jangan panjat pokok. Tapi dia tetap tak putus asa menasihatkan kita. Walaupun digelar ‘Terlajak Tak Kahwin’ pun dia masih lagi nak bercakap dan menegur kita. Kalau cikgu lain sudah lama kita kena merit,”nasihat Ami panjang lebar.
“Aku setuju... aku pun sayang Cik TTK. Tak ada dia sehari rasa macam tak lengkap hari aku. Habis tu apa rancangan kau, Ami?”
“Apa lagi operasi, jom jom jodohkan Cik TTKlah. Aku nak tengok Cik TTK kat atas pelamin sebelum kita melangkah ke U nanti. Barulah tenang hati aku nak tinggalkan Kampung Dua Kupang ni dengan aman,” cadang Ami.
“Poyo... macam pahlawan perkasa bunyinya. Sudah tu jom balik.” SD tak menahan pening bila Ami mula bermadah macam Ultraman tak ada mulut. Perasan.
Mereka beriringan jalan pulang. Lalu di ladang ayam, Nurr sudah tertinjau-tinjau kelibat Yackob yang pasti sedang membersihkan kawasan sekitar kolam air di hujung ladang. Ami dan SD cukup berbulu dengan sikap Nurr yang mengalahkan ulat bulu tak cukup bulu. Macamlah Yackob yang bertahi lalat di tepi dagu suka padanya.
“Bayaaaa....” panggil Yackob yang boleh bau kelibat tiga dara sengal ini melintas ladang ayam mereka. Tobbiee yang duduk mengira bil simpan kira-kira di bawah pokok rambutan terus ke tepi pagar. Tahu sangat dia akan maksud panggilan ‘bayaa’ tu.
“Assalamualaikum, Ami,” sapa Tobbiee manja. Ami yang nak berjalan terus berhenti. Dia cukup suka disapa oleh Tobbiee yang kelakar ni.
“Waalaikumsalam abang Beee. Sihat?” balas Ami sambil memintal-mintal hujung tudung kiri dan kanan. SD sudah muncung di belakang. Manakala Nurr pula sudah tertinjau-tinjau mencari kelibat Yackob yang hilang terus dari pandangan mata.
“Abang sihat. Adik Ami sihat?” soal Tobbiee sambil memintal-mintal daun pandan kat tepi pagar. Terus semerbak wangi suasana dengan aroma pandan yang terpintal.
“Hihihi... alhamdulillah sihat, abang Bee.”
“Jadual peperiksaan STP lambat lagi ke adik Ami?” soal Tobbiee
“STP? Abang ni demam ke apa? Baru bulan Januari ni, agak-agaklah nak tanya soklan pun. Nak ngorat Ami tapi tak tahu... nape kat U tu tak ajar ke cara nak romantis dengan buah hati?” sudah keluar soalan sengal dari Ami. Tobbiee sudah tergaru-garu kepala. Nak buat macam mana ni.
“Abang ni mana pandai bab-bab mengorat ni adik Ami... bab ayam ke, telur ayam ke, ikan talapia ke pandailah,” jelas Tobbiee terus terang sampai habis tercabut-cabut daun pandan dipintalnya.
“Heeeee itu pun nak kena ajar ke. Sudahlah malas layan abang Bee,” rajuk Ami yang sudah dilepaskan hujung tudung. Bibir sudah muncung. Baru nak berangan macam filem hindustan sudah tergendala.
“Ehhh! Kenapa pulak ni?” gelabah Tobbiee.
“Dah dah tak nak kawan. Jom SD... Nurr sudah-sudahlah tu Yakod tu bukan suka tengok muka kamu yang tak ada tahi lalat kat dagu macam dia juga tu. Dah jom balik,” tarik Ami.
“Laaaa... merajuk pulak. Abang tanya sebab abang nak hantar RP kat rumah adik Ami,” jerit Tobbiee kuat.
Ami terdiam. Lagi panas hatinya. Tak ada kerja lain, asyik fikir nak kembangkan busines aje kerjanya. Terus kepala dipalingkan ke belakang.
“Ingat Ami ni barang ke? Nak hantar RP segala. Tak payah. Putus kasih kat sini,” ucap Ami merajuk sungguh.
“Hahahaha..... bukan RP tulah sayang.”
“Habis tu?” jerit Ami di hujung sana.
“Rombongan Peminanganlah.... nak tak?” soal Tobbiee.
Terkedu Ami. Tudung labuh tu dipintalnya semula kiri kanan. Nak jawab apa ya. Nak cakap nak malu. Nak cakap tak nak, hati memang nak. Balas dengan kenyit mata ajelah. Telah hati Ami yang sudah berbunga bahagia.
*****************
Cikgu ZM duduk di dapur sambil mengadingkan buah durian sebelum diikat empat lima biji selonggok. Memang itulah gayanya bila tiba musim buah. Kalau boleh satu kampung ingin disedekahkannya.
“Kamu buat apa tu Busyuk?” soal Pak Ketom yang terketar-ketar memegang tongkatnya ke tepi rumah.
“Busyuk gandingkan durian ni kejap abah. Kejap lagi budak tiga ekor tu datang ambil,” cerita Cikgu ZM.
“Tinggalkanlah sikit untuk si kembar tahi lalat tu sekali. Mengamuk pulak kang mereka tu yang lain sedekahkan. Rezeki kalau kita kongsikan, insya-Allah lebih panjanglah rezeki kita kelak. Ingat tu,” pesan Pak Ketom.
“Ya, abah. Busyuk ingat pesan abah tu,” angguk Cikgu ZM.
Belum pun habis mengandingkan durian, Ami sudah tiba dengan pajero yang dipandu oleh kekasihnya, Tobbiee. Di dalam duduk bersandar Nurr dan SD, sudah macam mem besar gayanya.
“Assalamualaikum cikgu,” ucap Ami sebaik saja turun dari kereta.
“Waalaikumsalam, Ami. Amboi, Bee pun ada sama. Bukan ke sibuk kat ladang sana? Kalau akak tahu, tidaklah akak terbongkok-bongkok ikat durian ni,”
 “Hihihi... saya terserempak dengan abang Bee ni masa nak ke mari tadi, cikgu. Itu yang saya ajak sekali. Dah tahu dah, mesti hasilnya banyak,” ucap Ami selamba.
Cikgu ZM mencebik bibir. Mukanya selamba aje. Nak tengok senyum sikit pun payah. Memang patut pun Cikgu ZM ni jadi guru disiplin. Hati kering. Tobbiee dah tak tahu nak cakap apa. Pagi tadi banyak lak alasannya bila Cikgu ZM minta hantarkan buah-buah ni kat rumah jiran tetangga.
“Kerja baru habis kak,” alasan Tobbiee yang tahu Cikgu ZM pasti akan berkecil hati. Bukan boleh silap sikit, sentapnya berminggu-minggu.   
“Kalau kamu boleh makan habis semua, ambillah Ami ooiii... Pak Ketom dah tak larat makan dah. Nak kata Cikgu ZM kamu ni nak makan semua ni, jangan haraplah. Dia alergic sikit dengan durian. Mujurlah si kembar tahi lalat ni ada, tapi kalau dah tiap-tiap hari makan naik muak juga tu,”cerita Pak Ketom buatkan Ami, Nurr dan SD menoleh memandang pada Cikgu ZM yang ligat mengandingkan buah durian.
“Betul ke cikgu?” soal Nurr tak percaya. Baka durian Pak Ketom memang terkenal sedap. Boleh pulak Cikgu ZM tak makan, geleng Nurr tak percaya.
“Bukan tak makan. Saya sebaik mungkin cuba untuk tidak menjamah durian. Kalau dah makan nanti saya akan terkentut-kentut tanpa henti. Angin satu badan.” Jelas Cikgu ZM yang faham akan maksud pandangan mata anak muridnya ini.
“Tak kan makan seulas pun dah berangin?” soal Ami.
“Iya.”
“Rugi sungguh cikgu ni. Itulah kenikmatan rezeki. Sebab itulah durian ini dipanggil raja segala buah.” Celah SD.
“Tak mengapalah. Bukan rezeki saya, dah awak ambillah semua ni. Sedekahkan pada sesiapa pun yang kamu fikir perlu. Tobbiee tolong budak-budak ni, kalau boleh semua rumah kat kampung ni kamu panjangkan sedekah abah ni. Rezeki tahun ni lebih sikit. Buah agak lebat dari tahun sebelumnya.”
Tobbiee mengangguk kepala sambil tangan laju mengangkat durian masuk ke belakang pajeronya. Nurr dan SD pun turut membantu. Ami sudah duduk mencangkung mengira berapa biji yang sudah berangkat.
“Weiii! Curi tulang,” sergah Nurr tak puas hati.
“Hihihi... aku dah wakilkan abang Bee angkat.” Ucap Ami sambil kening terangkat-angkat nakal. Mata Nurr sudah mengecil dengan gigi yang sudah mengetip geram. Nak saja dikokaknya Ami waktu ini. Mengada!
“Tak ada maknanya main wakil-wakil. Sudah! cepat angkat, kejap lagi kita nak jadi sukarelawan kampung pulak,”ucap SD yang cuba menjadi pengaman.
Pak Ketom sudah tersengih hingga menampakkan gusinya yang licin tak bergigi. Cukup comel wajah Pak Ketom, puji Ami dalam diam.  
“Busyuk! Oh Busyuk!” panggil Pak Ketom buatkan rahang Ami terjatuh. Nurr dan SD terhenti mengangkat durian. Mata tertuju di muka pintu, untuk mengetahui siapa yang dipanggilnya Pak Ketom dengan manja itu. Cikgu ZM yang masuk ke dalam rumah ke atau Tobbiee yang berada di belakang pajero?
Sebentak kemudian, Cikgu ZM menjengukkan kepala di muka pintu.
“Saya. Ada apa abah?”sahut Cikgu ZM. 
“Ambil beg plastik sekali, langsat dan manggis tu pun berikan sikit pada mereka ni bawa balik,” suruh Pak Ketom.
“Baik abah.”
Ami sudah menekan perut gelak hingga tak terkeluar suaranya. Nurr dan SD sudah bersandar di kereta untuk mengurangkan geledak tawa mereka yang berterabur lucu.
“Busyuk? Hahahaha.....”
“Hahahaha... itulah aku dah kata, muka aje nampak serius ganas. Tapi dalam hati ada taman,” gelak Ami semakin meledak.
Tobbiee hanya tersenyum lucu saja. Tahu dengan perangai kakaknya yang memang jauh berbeza dengan anak dara pinggitan kampung ni. Cikgu ZM kurang nak mengedik-gedik gelak tak tentu pasal. Sikap itulah jugalah yang menjadi salah satu penyebab dia tak berjodoh hingga kini.
“Amboiiiii... seronok gelak. Apa yang lucunya tu?” soal Cikgu ZM.
“Hihihi... tak ada apa-apa cikgu. Ni Nurr ni boleh terpijak pulak tahi semut tu. Itu yang kami gelak bagai nak rak tu,” alasan Ami memang selalu kelaut. SD sudah menepuk dahi. Nurr sudah buat-buat tak dengar.
“Tahi semut?” soal Cikgu ZM pelik.
“Busyuk sudahlah tu, biarlah budak-budak ni kaut buah ini semua. Bee tolong abah sampaikan sedekah kita ni pada orang kampung ya. Rezeki tak seberapa aje ni.” ucap Pak Ketom yang sudah termengah-mengah.
Cikgu ZM terus mendapatkan Pak Ketom. Dipimpinnya Pak Ketom dengan penuh hormat dan tanggungjawab masuk ke dalam rumah. Hati Ami, Nurr dan SD terkesan dengan sikap tanggungjawab Cikgu ZM yang jarang dilihat mereka di sekolah. Hari ini, baru mereka kenal Cikgu ZM dari sudut yang berbeza.
Tobbiee turut berlari di sebelah kiri Pak Ketom untuk membantu abahnya berjalan. Ami rasa sejuk hatinya melihat sikap kekasih hatinya, yang memang budiman pada orang tuanya.
“Terima kasih cikgu. Pak Ketom. Nanti kalau tak cukup Ami datang lagi ya,” ucap Ami selamba.
“Yalah,” sahut Cikgu ZM.
Anak dara pinggitan sengal ini memang tak makan saman. Keayuan mereka hilang terus dek kerana sikap sengal selamba mereka. Semua main sedap mulut mereka saja berkata-kata. Namun hati mereka bersih bak sufi.
Dalam pajero Ami terbuka mulut untuk bertanya hal Cikgu ZM pada Tobbiee yang jarang nak berkongsi cerita tentang kehidupan Cikgu ZM padanya.
“Abang Bee.... kenapa Cik TTK tak kahwin lagi?” soal Ami selamba.
“Kenapa adik Ami nak tahu?” soal Tobbiee kembali.
“Saja nak tahu. Cik TTK tu memilih sangat ya?”
“Taklah. Akak tu dulu dah bertunang dengan orang bandar. Yalah, akak tukan ke lulusan luar negara..comel pulak tu. Tapi bila mak jatuh sakit, akak terus ambil keputusan untuk mengajar di kampung saja. Tunang dia beri kata dua, sama ada menetap di bandar atau di kampung. Yalah, orang bandar manalah serasi dengan kehidupan kampung ni semuakan. Bila akak memilih untuk menetap terus di kampung, tunangnya terus hantar rombongan untuk memutuskan pertunangan mereka. Sebab itulah sampai sekarang... akak tu serik nak bertunang dan takut nak bernikah.”cerita Tobbiee.
“Laaa... fobia kecewalah ni,” konklusi Ami cukup pantas.
“Bukan fobia adik Ami.... akak lebih utamakan abah dari segalanya. Dia tak mampu tinggalkan abah sendirian bersama kami semua di rumah bila dia kahwin nanti. Puas jugalah Mak Su dan Pak Su abang pujuk akak tu suruh kahwin. Dia masih tetap dengan alasannya belum masanya lagi.”
“Mulianya hati Cikgu ZM,” sampuk SD.
“Tanggungjawab seorang anak perempuan sulong, SD. Abang tabik dengan semangat akak, dia tak kisah orang gelarkan dia andartu ke, kamu semua gelarkan dia Cik TTK ke. Pada dia, abah itu amanah untuk disayangi sepenuh hatinya. Kami pun senang dengan adanya akak kat rumah tengok-tengokkan abah.” Nasihat Tobbiee menyedarkan Ami, Nurr dan SD dengan kekhilafan mereka mempermainkan status kahwin lewat Cikgu ZM itu.
“Maaf.” Ami sudah sayu. Baru tersedar banyak silapnya pada Cikgu ZM. Segarang-garang Cikgu ZM, dia masih mengambil berat perihal anak muridnya. Tahu saja Cikgu ZM jika keluarga mereka bermasalah.
“Macam tulah busyuk abang,” senyum Tobbiee. Nurr dan SD sudah nak termuntah dengar pujian Tobbiee pada Ami yang sedang memintal tudung. Siap berkelip-kelip matanya kesukaan dipuji.
****************************
“Ami, ini kerja awak kan?” soal Cikgu ZM dengan sepucuk kertas bewarna biru yang terkibar-kibar ditangannya.
“Saya?” soal Ami tak faham.
“Ini” Cikgu ZM menghulurkan kertas bewarna biru itu. Dibacanya setiap bait yang tertulis dalam kertas itu. Berdiri bulu romanya waktu itu. Jiwangnya!

Mentari Ufuk jingga sinar bertaut,
Kelam malam penghias hati,
Bak perindu kepingin sendunya bersahut
Buat pembuka bicara hati.
          Kiambang bertaut kembang sebaris,
          Ketutu melukut sebelah siantan,
          Wajahmu ayu senyummu manis,
          Mengeletar hati ingin berkenalan.
Si ayu semput tak larat jalan,
Membelok ke jalan simpangnya mati,
Niat hati ikhlas ingin berkenalan,
Moga tercapai impian di hati.

Ami memandang wajah Cikgu ZM yang sedang memuncung memandangnya. Tiada orang lain lagi yang disyakinya selain daripada Ami yang memang terkenal nakal sopan berlapiknya. Mangsanya memang tiada orang lain selain Cikgu ZM.
“Sumpah cikgu, ini bukan kerja saya. Saya dah insaf buat kerja-kerja terkutuk ni. Saya dah pencen,” Ami bersungguh-sungguh meyakinkan Cikgu ZM. Memang ini bukan kerja dia. Nurr dan SD menyendeng sebelah Ami untuk turut sama membaca surat bewarna biru itu.
“Wooooo.... jiwangnya surat ni. Mana cikgu dapat?” soal Nurr.
“Ada orang masukkan di bawah pintu pejabat saya. Siapa lagi yang berani buat macam ni selain awak bertiga?” soal Cikgu ZM.
“Sumpah lillah cikgu, ini bukan kerja kami,” jelas Ami serius.
Cikgu ZM duduk mengeluh berat sebelah Ami di pot biasa mereka di pokok ketapang tepi kantin sekolah. Kepalanya ligat mencerna, siapa yang empunya kerja ni semua.
Ami baru terperasankan lelaki yang menegur mereka tempoh hari sedang memesin rumput di padang sekolah yang luas dengan mesin rumput tolak. Tukang kebun rupanya, gesa hati Ami.
Sesekali lelaki itu pasti berpaling memandang ke arah Cikgu ZM tanpa disedari. Ami memerhati dari jauh, Sudah beberapa kali diperhatikan gelagat lelaki itu. Peluang ini, diambil oleh Ami untuk membuat ujikaji bagi membuktikan timbang tara kimia cintanya tepat.
Ami mengesut dekat dengan Cikgu ZM yang sedang berbual dengan Nurr dan SD. Tak sudah-sudah Cikgu ZM ingin mengumpul bukti dan fakta siapa yang punya kerja semua ni. Ami tahu sekiranya dia mengesut dekat padanya, Cikgu ZM akan menjarakkan kedudukannya agar anak muridnya lebih selesa darinya. Diesot lagi. Cikgu ZM menjarak lagi. Diesot lagi. Cikgu ZM gedebommmmm. Jatuh.
Ami yang mengulum senyum terus memandang pada lelaki yang sedang mesin rumput di hujung sana. Tegak berdiri lelaki itu memandang ke arahnya. Mesin rumput sudah dimatikan enjinnya. Ami sudah melompat riang dalam hati.
“Ohh! Maaf cikgu. Saya nak elakkan kerengge tadi” alasan Ami.
Nurr dan SD membantu Cikgu ZM untuk bangun, namun Cikgu ZM masih tak berganjak dari duduknya di simen. Ami pulak yang jadi gelabah bila Cikgu ZM diam.
“Cikgu” panggilan Nurr diabaikan oleh Cikgu ZM.
“Cikgu,” panggil Ami pula. Perasaan cemas mulai menyelubunginya.
“Kenapa dik?” soal suara lelaki.
“Cikgu saya jatuh....” jawab Nurr.
“Cikgu okey ke ni?” soal lelaki itu cemas.
“Mmmm....”jawab Cikgu ZM pendek.
“Kat mana sakit?” soal lelaki itu semakin cemas.
Pot pot pot pottttttt....bunyi kentut yang berlagu terlepas.
“Hah?” terkejut masing-masing. Cikgu ZM masih tunduk. Bau semerbak mulai menyengat lubang hidung mereka.
“Perghhhhhhh berapa ulas durian yang cikgu makan ni?” geram Ami yang tak tahan dengan bau kentut Cikgu ZM yang cukup harum.
“Sorryyyy.... secubit aje pun.” Jawab Cikgu ZM malu-malu.
“Sebibit boleh macam ni baunya. Memang sah cikgu diharamkan makan durian sampai bila-bila. Nasib baiklah ada abang esem ni... boleh juga kami ni kembang kempiskan hidung tahan nafas. Kalau tidak ada yang mencicit lari cari oksigen kat tempat lain,” sakat Ami tak sudah.
Cikgu ZM masih menunduk. Malu bukan kepalang. Lelaki tadi sudah mengulum senyum. Jarinya mengosok hidung berkali-kali. Cober line untuk jaga air muka Cikgu ZM saja tu. Kalau tidak memang sudah dipicitnya hidung tak tahan bau busuk kentut Cikgu ZM ni.
“Alhamdulillah. Mari saya tolong,” lelaki itu menghulurkan tangan untuk disambut oleh Cikgu ZM yang tak percaya dengan tindakan lelaki itu.
“Errrr.....”
“Pensil contot terlupa asah, kentut pot pot saya tak kisah, tangan dihulur bakat diasah, Janji cikgu terima saya sudah” lelaki itu berpantun empat kerat.
Ami, Nurr dan SD sudah memandang satu sama lain. Cikgu ZM pula sudah melopong tak percaya. Sesekali tangannya menunjuk ke arah kertas biru yang digengamnya kemudian pada diri lelaki itu kembali.
“Iya... Berkemas menghias si tukang kebun, menghias laman dengan ikhlas. Nama saya Azman bin Embun, Mengharap suntingan manis berbalas.” Tutur kata Azman lagi.
“Errrr....” tak terjawab Cikgu ZM.
Ami sudah gatal kaki melihat telatah Cikgu ZM yang dari tadi asyik errrrr sini errrrrr sana. Kalau begini bila nak berkahwin ni. Kira-kira Ami dibenaknya.
“Ishhhh... cikgu ni. Itu pun tak tahu nak jawab. Naik kapal tarik serombong, Lagu poommm poommm berbunyi megah. Cikgu kami bukanlah spesis sombong, Suara disimpan untuk si gagah.... hihihi bestlah pulak. Nurr sambung jual lagi,” giliran Nurr pula yang diminta untuk berpantun dengan Azman yang nampak mahir dalam tugasnya.
“Oooo.... abang tukang kebun ni punya kerjalah ya. Cikgu dan abang, dengar saya pulak yang jual.... Puhh kiri puhh kanan.  Jalan berjengket kehilangan capal. Mana boleh pegang tangan, Haram buat cikgu yang belum halal...”
Azman sudah mengekek gelak. Cikgu ZM menunduk malu sopan konon. Ami lagi ligat berfikir untuk mengenakan Cikgu ZM ni lagi.
“Weeiii aku nak juga.... Pen merah, pin kelabu, abang jangan kalah , Cikgu ZM pasti setuju,” pendek pantun SD buatkan Ami sudah mengiku perutnya.
Azman mengulum senyum. Tiga dara pinggitan ini cukup sengal.
“Tinggal sendiri meniti kesepian, Sampan dikolek bertalu-talu, Madah disusun bersalut impian, Inilah dia pujangga bewarkah biru?”
Untuk kesekian kalinya Cikgu ZM yang pintar dalam matematik menjawab soalan abstrak seperti angin. Kening Azman sudah naik seinci kurang percaya. Ami sudah memintal-mintal tudung rasa bahagia melihat respon positif Cikgu ZM. Manakala Nurr dan SD masih berfikir untuk mengarang pantun lagi.
“Saya nak berkenalan dengan cikgu,” ucap Azman penuh hormat.
“Errr.....,” tergagap Cikgu ZM tak tentu pasal. Ami cukup rimas dengan bahasa Cikgu ZM yang asyik errrr saja dari tadi.
“Meh sinilah saya jadi jurubahasanya. Jawapan cikgu adalah IYA,” selit Ami cekap.
“Hahahaha... awak ni memang busybody sikitlah dik. Abang nak dengar suara cikgu ini pun tak berpeluang. Boleh adik diam sekejap tak?” pinta Azman yang rimas asyik diganggu.
“Ini bukannya busybody bang. Ini namanya sayang cikgu.” Sokong Nurr.
Cikgu ZM yang baru berdiri, berpeluk tubuh melihat dirinya dilindungi oleh anak-anak muridnya.
“Maaf saya datang sini untuk berbakti pada anak bangsa. Harap encik ni tersalah tempat ni. Ini sekolah, bukannya pasaraya yang boleh usha-usha kenal lepas tu terus declare couple.” Bahasa Cikgu ZM yang menolak dengan cukup berlapik. Status cikgu disiplin perlu dijaga nak pulak depan anak dara pinggitan sengal ni. Bukan boleh harap.
‘Eh! Eh! Orang tua ni... dah dalam hati tu ada taman ON ajelah. Main tarik tali pula. Abang ni punyalah handsome dia tolak. Ooooo mungkin sebab abang ni tukang kebun aje kot..... takpa, takpa biar aku ajar Cik TTK ni cara bercinta. Aku memang dah berpengalaman cinta dua tahun dengan abang Bee....’ bisik Ami dalam hati.
Cikgu ZM terus memasam muka meninggalkan Azman terkebil-kebil pelik dengan Nurr, SD dan Ami. Satu keluhan berat dilepaskan Azman. Langkah Cikgu ZM memang lebih laju dan ganas dari biasa. Nampak sangat hatinya sedang berdebar tak hingat dunia.
“Abang Azman nak tackle Cik TTK?” soal Ami menduga Azman.
“Nak”
“Cik TTK tu pasti kalah, kalau orang lelaki main kenyit mata bila jumpa denganya. Abang tak payah buat lama... abang buat seminggu aje. Setiap kali terserempak dengan Cik TTK abang kenyit mata. Saya guarantee Cik TTK akan melutut depan abang.” Dengan penuh yakin Ami mengajar Azman cara memikat Cikgu ZM.
Nurr dan SD sudah berpusing kepala nak menyembunyikan tawa lucunya. Itu petua yang hanya berkesan untuk Ami dan Tobbiee aje. Kalau dipraktikkan pada Cikgu ZM mahu dikejarnya Ami satu kampung.
“Betul ke?”
“Betul, percayalah dengan saya. Adik Cik TTK pun cair dengan cara ini, inikan pula kakaknya. Pergilah abang cuba. Mana tahu kita boleh bersanding sekali ke nanti,” penuh yakin dan bersemangat Ami memberikan cadangan bernasnya.
Hari-hari Azman mempraktikkan tip yang dibekalkan Ami hingga Cikgu ZM naik lemas dan rimas. Dari sehari ke sehari hatinya menjadi geram tak sudah dengan Azman si tukang kebun tu.
“Awak... dulu saya rasa mata awak tak pernah sakit pun. Sekarang kenapa setiap kali saya terserempak dengan awak mata awak boleh terkenyit-kenyit tak sudah ni?” soal Cikgu ZM cukup tak puas hati  dengan Azman.
“Nak bagitahu awak yang saya sukakan awak,”
“Hah! Nak bagitahu saya dengan mulut. Bercakap. Bukan dengan mata yang terkenyit-kenyit macam orang tak betul aje,” marah Cikgu ZM.
“Laaa... sudah saya cuba bercakap dengan awak siap berpantun lagi, awak tak percaya. Mujurlah anak murid kesayangan awak beri saya tips ni, kalau tidak awak mesti tak nak cakap dengan saya,” sengih Azman.
“Anak murid saya?” hati Cikgu ZM berdebar kencang. Jangan cakap dari dara pinggitan. Mahu dijeritnya satu kampung juga nanti.
“Ami.”
“Amiiiiiiiiiiiiiii.......”jerit Cikgu ZM sudah mengalahkan pitch harkat enam, bergegar buah durian kat Kebun Pak Ketom luruh satu persatu.
Ami terbatuk-batuk secara tiba-tiba. Tobbiee datang mengurut belakang badannya dengan lembut. Sejak dua menjak ni, selalu sangat tersedak bila makan.
“Kenapa ni dik?” soal Tobbiee lembut.
“Ami teringatkan kisah lama bang. Kisah jom jom carikan jodoh buat Cik TTK dulu.” Cerita Ami yang sudah berbadan dua.
“Hahahaha... akak sudah lima tahun nikah dengan Tengku Azman dik ooi... anak pun main kembar tiga aje. Kita ni agak-agak boleh lawan akak tak?”
“Hahahah... itulah hasil usaha kami bertiga dulu bang. Nikah juga Cik TTK dengan si tukang kebun olok-olok tu. Ehhh! Kejap, tadi abang kata apa? Kembar? Lawan akak? Abang ingat saya ni spesis tikus ke sekali mengandung sepuluh anak yang kuar. Agak-agaklah nak produktif pun.” Bebel Ami tak sudah.
“Hahaha... laaa tak boleh ke?” sakat Tobbiee.
“Boleh. Boleh sangat-sangat kalau abang yang mengandungkannya. Sudah saya nak jenguk Nurr dan SD. Lawan tokeh adik-adik ipar saya semua ni. Kita yang nikah dulu, mereka yang dapat anak dulu...”
“Kita buat family planning baik punya. Yackob dan Suguss tu spesis terjah je... itu yang dah berderet tiga anaknya,” senyum Tobbiee bahagia.
“Ishhh... dah baka kembar tiga. Itu yang kuar kembar tu. Saya nak diskaun sikit dari si Nurr dan SD... cukuplah kembar dua je.” Senyum Ami memaklumkan keputusan scan semalam.
“Haaaaa.... betul ke?” Tobbiee tak percaya.
“Laaaa.... apa yang tak betulnya. Betullah. Dah Dah jangan nak sengih busyuk busyuk macam tu. Mengoda saya tau,” geram Ami.
“Hahahaha.... terima kasih Ami. Terima kasih. Abang Bee rasa bahagia sangat. Dalam sengal-sengal Ami pun, Ami berjaya satukan akak abang dengan abang Man. Dan satukan kembar abang dengan teman baik Ami. Kini Ami kandungkan zuriat abang ...kembar pulak tu. Terima kasih sayang. I lap lap lap lap u so much.”
Hidung Ami sudah kembang kuncup kembang kuncup  gembira dipuji oleh sang suami. Tak ada bucu tudung, hujung t-shirt pun jadilah dipintal-pintalnya dengan manja.

TAMAT

No comments:

Post a Comment