Monday, July 3, 2017

Awan Manis


Siti Manisah sudah tak tentu arah di rumah. Baru seminggu kembali ke tanah air dari bergelumang dengan tesis dan tutorial yang menenggelamkan masa santainya selama empat tahun setengah bagi membolehkannya menggengam segulung ijazah dalam bidang komunikasi. Tawaran Murni untuk turut sama membantu dalam syarikat telekomunikasi yang dibinanya mendapat bantahan daripada Komandan Lokman. Alasannya Murni selalu berurusan dengan tentera. Dia tak suka. Dapat tawaran di hotel lima bintang di ibu kota juga terpaksa ditolak kerana menurut Komandan Lokman, tugas di hotel tidak sesuai jika Manisah berumahtangga nanti. Cerewet!!!!
"Mama bolehlah. Manis bosanlah duduk rumah. Papa tu cerewet sangat. Manis nak kerja dengan Kak Murni pun papa tak bagi," keluh Manisah.
"Jadi pramugari tu lagilah, papa tak izinkan. Manis bukannya tak ada ijazah. Belum ada rezeki je lagi nak kerja,"pujuk Sarimah lembut.
"Mama....Manis nak tolong Kak Murni di pejabat buat Sales. Papa tak benarkan. Manis nak kerja di hotel pun papa tak benarkan. Manis ni tak sesuai kerja pejabat mama. Manis cepat bosan,"ucap Manisah terus terang.
Sarimah tak tahu nak cakap apa. Anak perempuan tunggalnya ni pun sama dengil macam papa dan abang- abangnya yang lain. Semua main ikut kepala sendiri saja. Sudah terkebil-kebil Sarimah mencari jalan supaya Manisah dan Komandan Lokman tak bertekak nanti. Ingatan dah balik ni bertambah cerialah rumah ni. Rupanya akan timbul perang tidak lama lagi.
"Ishhhh mama risaulah Manis. Tahu dek Komandan Lokman ni nanti boleh terbakar juga Batalion 57 ni," keluh Sarimah mohon simpati Manisah.
"Kalau mama tak cakap taknya Komandan Lokman tu tahu," balas Manisah selamba.
“Kamu nak mengajar mama bohong pulak ya Manis?” jeling Sarimah cuba memancing hati Manisah kembali.
“Hahahaha... bukanlah macam tu mama. Manis cuma minta mama janganlah cerita pada papa dulu. Biar Manis pergi interview tu dulu. Ramai ma yang pergi interview tu. Semuanya muda-muda dan cantik-cantik dari Manis. Manis ni dah kira tua tau untuk pergi interview tu. Manis dah dua puluh tiga tahun. Mesti markah kurang sebab dah berumur,”pujuk Manisah.
“Manis applylah kerja pejabat. Papa boleh cakap dengan kawan baik dia Dato Mat Noor tu. Kerja di syarikat dia,”pujuk Sarimah lagi.
“Itu lagilah Manis tak nak. Manis tak minatlah Ma nak kerja dengan orang yang papa kenal. Rasa kaki Manis ni kena gari aje. Kalau macam tu baik Manis tak payah kerja, duduk rumah saja. Penat tau Ma, belajar penat-penat dah dapat ijazah duduk terperok kat rumah. Ini tak boleh, itu tak boleh. Ma, kalau Manis nak buat jahat kat Melbourne tu Manis dah buat. Tak payah tunggu balik KL,”geram Manisah.
“Manis, tak baik cakap macam tu. Papa buat begitu sebab dia sayangkan Manis. Papa nakkan yang terbaik saja untuk Manis. Manis cuma perlu sabar sikit aje lagi. Kalau Manis melawan macam ni, nanti satu apa pun Manis tak dapat. Lagi pun Maniskan baru balik, rehatlah dulu kat rumah. Manis tak rindukan mama ke. Tak kesiankan mama ke. Dua tahun Manis tak balik jumpa mama,” Sarimah menggunakan teknik reverse phsyicology. Manisah sudah diam. Rasa bersalah pula kerana terlalu mengikut hati muda yang memberontak ingin keluar dari daerah terkongkong ini.
“Ma, Manis dah janji dengan Yasmeen. Kami pergi interview ini bersama. Manis janji, sekiranya Manis dapat Manis akan bersemuka dengan papa. Apa pun keputusan papa, Manis akan terima. Tapi buat sementara waktu ni, biarlah Manis cuba dulu. Mama doakan Manis lulus interview ini ya,” balas Manisah lembut dalam tegas.
Sarimah hanya mampu mengeluh saja. Ketegasan Manisah dalam kelembutan itulah yang selalu buatkannya mati akal untuk bercanggah pendapat dengannya. Memang sebiji perangai Komandan Lokman. Anak manja papa yang selalu kena buli dengan papa!!!  

**************

Kapten Syawal
Manisah ditemani oleh sepupunya Yasmeen ke Sheraton Hotel bagi menghadiri temuduga terbuka MAS. Bukan main melaram lagi mereka berdua dengan berbaju kebaya pendek mengikut potongan badan. Macam menghadiri kenduri pun ada juga. Nak ikut temalah katakan. Yasmeen punya idealah ni. Kalau diketahui oleh ayahanda mereka berdua memang naas. Boleh bergegar Sheraton Hotel ini dibuatnya. Manisah memang sah akan dibelasah oleh papanya, Komandan Lokman. Manakala Yasmeen pula akan koma dibelasah oleh ayahnya Chief Superitendent Latif.
"Manis betul ke apa yang kita buat ni?"soal Yasmeen ragu dengan keputusan sepupu rapatnya ini.
"Kita datang interview je Meen oooii. Dapat belum tentu lagi. Bila dah dapat nanti baru kita fikir apa tindakkan kita seterusnya. Sekarang kita ‘test market’ dulu," jawab Manisah menyakinkan Yasmeen.
"Ehem!...Ehem! you need to fill up this form first,"pinta seorang lelaki kacak yang segak memakai uniform pramugara Mas.
Ohhh! Mama boleh tergolek jantung Manisah ni. Senyumnya mengalahkan abang Anuar Zain penyanyi pujaan hati  Manisah.
Mereka berdua mengambil borang yang dihulurkan dan duduk di penjuru sebelah sana untuk mengisi maklumat yang diperlukan. Elok sangatlah tu, Manisah graduan komunikasi manakala Yasmeen graduan TESL. Anganan yang dikongsi waktu kecil dulu kini dihadapi tanpa restu keluarga terlebih dahulu. Mengeletar juga Yasmeen untuk mengambil keputusan nekad ini bersama Manisah.
Segala perisai jawapan sudah dikumpulkan di kepala sekiranya mereka tertangkap sebelum mereka bersedia melarikan diri. Tahu sangat dengan perangai Komandan dan Chief Superitendent tu. Pasangan beradik kembar tu memang tegas bila berkaitan dengan anak perempuan. Semua perlu mendapat kelulusan mereka. Yasmeen rasa dirinya senasib dengan Manisah, terkongkong!!!
Selesai mengisi borang. Mereka berkumpul di satu sudut yang dikhaskan untuk ditimbang berat badan dan ketinggian mereka diambil oleh petugas yang ditetapkan di situ. Kemudian mereka akan dikumpulkan mengikut kumpulan seramai sepuluh orang satu kumpulan. Lima lelaki dan lima perempuan.  
Manisah dan Yasmeen diasingkan dalam dua kumpulan yang  berbeza. Manisah dalam kumpulan 57, manakala Yasmeen dalam kumpulan 61.  Sewaktu berbaris sempat lagi Manisah membuat suai kenal dengan calon yang sekumpulan dengannya. Bukan calang-calang orang juga saingan Manisah ini. Ada yang model sambilan. Ada yang pelajar dan ada yang sama sepertinya graduan yang sedang mencari kerja. Kumpulan Manisah dipanggil untuk memasuki bilik nombor lima. Terdapat empat orang penemuduga yang duduk di meja panjang mengadap mereka. Semuanya kelihatan sangat berkarisma sepadan dengan jawatan yang mereka sandang. Calon semua didirikan sebaris yang lurus mengadap penemuduga.
"What is your favourate movie?" soal salah seorang penemuduga. Manisah yang berdiri tepi sekali menjadi peserta terakhir memjawab soalan itu. Dia mendengar setiap patah jawapan dari calon sebelumnya dengan penuh debaran. Pelbagai persoalan keluar. Bagaimana kalau tersalah jawab? Bagaimana kalau jawapan tidak menepati kehendak mereka? Berpeluh juga tapak tangan Manisah berfikir apakah jawapan yang sesuai untuk soalan ini.
"I love to watch cartoon. Expecially Upin Ipin, Boboboy and Princess. Its give me plenty of fine imiginasion to grow up as adult," jawab Manisah cukup yakin dan jujur dengan jawapannya. Dia memang peminat karton. Siap boleh hafal dialog lagi. Calon yang lain tergelak kecil dengan jawapan yang diberikan oleh Manisah. Ada yang memandangnya sinis. Macam tak matang pun ada juga. Manisah buat muka selamba.
For sure you love to watch Tom & Jerry too, Cik Manisah,”sengih salah seorang penemuduga.
Very much sirs,”balas Manisah selamba.
“Interesting,” ucap salah seorang pemenuduga yang sudah bangun dan berjalan ke arah mereka. Seorang demi seorang disuruh berjalan dihadapan dengan penuh gaya. Nak tergelak pun ada bila disuruh melakukan begitu. Tapi ikutkan ajelah, ucap hati Manisah.
Masa inilah dipautkan rasa bersyukur pada Komandan Lokman yang terlalu memandang serius cara dia berjalan. Tak boleh tunduk. Badan kena tegak masa berjalan. Dada dan tangan perlu diluruskan barulah orang nampak cantik bila berjalan. Bibir pulak jangan masam. Rezeki tak masuk. Senyum itu satu sedekah. Jangan kedekut nak senyum. Masa mula dulu memang selalu membebel dalam hati. Tapi hari ini, hati Manisah penuh kesyukuran dengan pelajaran yang diajar oleh Komandan Lokman memberi keuntungan pada dirinya.
***********

                Manisah berjaya melepasi saringan ke empat. Manakala Yasmeen terkandas di saringan ke dua. Yasmeen duduk di ruangan menunggu untuk menemani Manis menghabiskan sessi temuduganya. Pemilihan dihentikan seketika untuk makan tengahari.
Manisah dengan selamba membuka kasut tumit tinggi yang tersarung di kakinya. Penat tak terkira menghadapi kerenah penemuduga yang macam-macam ragam. Empat saringan bermakna dia telah berhadapan dengan enam belas orang penemuduga yang makin lama makin cerewet dan menyusahkan. Soalan sudah banyak yang menyimpang pada soalan pengetahuan am. Tentang Malaysia dan tentang negara lain di dunia ini.  
"Hai! You ni Manis-kan. Adik Kapten Murad-kan?" soal seorang lelaki yang segak berpakaian juruterbang putih.
"Iya....dan awak?" cuak Manisah. Janganlah ada kawan abangnya yang menjadi salah seorang calon penemuduga ini. Mana dia nak letak muka nanti ni.
"Laaaa....Manis tak cam saya ke, saya ni Syawal kawan baik Murad. Datang dengan siapa ni?" soal Syawal ramah. Terkedu Manisah seketika. Matilah dia kalau si Syawal ni menghubungi Murad untuk memaklumkan hal temuduga ni.
"errrrr....datang dengan sepupu," jawab Manisah teragak-agak.
"Ohhhh! Murad tak cakap pun yang Manis nak datang temuduga ini. Dah masuk saringan ke berapa?"
"Ini saringan ke lima..."
"Emmmmmmm not bad and good looking tooo. 34~28~32 I guest,"sengih Syawal mengusik Manisah yang sudah merah padam pipinya.
"Plus high around 169cm...rasanya cukup sesuai dengan seragam biru tu,” jawab Manisah tak nak kalah. Malu memanglah malu, tapi dia perlu penuh yakin sekiranya ingin lulus sesi temuduga ini.
"Yaaaaa....cantik dan memikat. Cukup memikat. I got to go, good luck for your next session. It’s gonna be tough," senyum Syawal cukup manis hingga buatkan kasut yang dijinjing Manisah terlepas jatuh. Syawal senyum saja melihat gaya Manisah yang sedang mengawal tahap cemasnya itu. Tangan terus mendail nombor Kapten Murad.
‘Ini mesti kes kambing terlepas kandang. Manis, Manis. Memang manis pun,’sengih Syawal dalam hati. Tak sangka gadis pujaan hati dalam diam sudah pulang ke tanah air. Penatlah dia menyoal Murad perkhabaran Manisah. Rupanya sudah ada di depan mata.
“Siapa tu Manis?”soal Yasmeen yang duduk di kerusi sambil melayan Iphonenya.
“Kawan Angah Murad,”jawab Manisah.
“Boleh percaya ke?” soal Yasmeen yang terus pucat lesi wajahnya.
“Boleh kot. Dahlah, jom grap apa-apa untuk alas perut ni. My session not finish yet,”jelas Manisah.
“Soalan apa pulak kali ini?”soal Yasmeen yang sudah kelegaan yang teramat.
“Dia tanya tahu tak nak bancuh kopi. Rasanya macam nak belasah aje, mujurlah handsome boleh cuci mata sikit.”
“Habis kau jawab apa?”
“Dengan penuh gaya saya cakap. Excuse me sir, you need sugar or milk? Or you like to drink it without water.”
“Hahahaha... kau jangan buat malu saya yang vogue ni Manis. Seriuslah,”gelak Yasmeen. Manisah ni kalau datang sengal dia, macam-macam jawapan selamba yang akan dibalasnya. Tahu sangat Yasmeen dengan peel sepupu rapatnya ini.
“Serius Meen. Itulah yang saya jawab. Penat dah tunggu. Lepas sorang jawab macam ni, sorang jawab macam tu punya inesen. Saya pun jawablah macam tadi tu. Boleh tersembur jugalah mineral water yang hendak diminum oleh penemuduga tu tadi,”sengih Manisah.
“Habis tu dia balas apa?”
“Unik. Jumpa lagi di saringan ke enam,”senyum Manisah.
Yasmeen menjerit kesukaan. Tubuh Manisah dipeluknya. Memang rezeki Manisah kot. Senang saja melepasi saringan. Tinggal lagi dua saringan kemudian baru diketahui siapa yang layak. Tempat sangatlah terhad. Dalam lima orang calon yang ingin diambil hanyalah seramai empat ratus lima puluh pelatih dalam pengambilan tahun ini.

*********

              
  Usai bersolat dan make-up semula. Manisah bergerak ke bilik menunggu. Kini kumpulan sudah dikecilkan kepada lima orang satu kumpulan. Manisah di kumpulan yang ke tujuh. Yasmeen menunggu di tempat yang sama. Kini Yasmeen sudah berteman. Ada calon yang turut sama tersingkir tapi terpaksa menunggu pasangannya yang masih di dalam bergelut dengan saringan pemilihan yang semakin susah dan sengit.
                Kali ini penemuduga sudah berkurangan menjadi tiga orang. Seorang ketua pramugara, Seorang Ketua pramugari dan seorang kapten kapal. Mata Manisah bagaikan tak percaya yang dihadapannya ini adalah Kapten Syawal. Matilah.
                Syawal selamba saja dengan kaki bersilang di meja. Ketua Pramugara  pula bersila di lantai Cuma Ketua Pramugari saja yang masih sopan duduk di kerusi. Habis semua soalan pengetahuan Am yang diajukan bertalu-talu pada mereka berlima. Macam melayan machine gun tak tersepit di pemacu. Tersekat-sekat suara nak menjawab. Lima belas minit juga diserang soalan yang merapu-rapu. Sampai sifir dua belas pun disoalnya.
                “What other languages that you know?”soal Kapten Syawal.
                Macam-macam yang dijawab oleh calon sebelum Manisah. Naik rimas pulak dirasakan. Kenapalah dia menjadi orang yang terakhir untuk menjawab setiap soalan.
                “Cik Manisah. Manis nama tu,” ucap Kapten Syawal.
                “Well Sir. Saya tahu Bahasa Perak. Bahasa Kedah pun saja faham. Bahasa Negeri Sembilan pun masih boleh bertutur dengan fasih,”jawab Manisah mudah.
                Tersengih terus ketiga-tiga penemuduga. Mereka memang telah diberitahu yang calon yang sorang ni memang sengal saja jawapannya. Sekejap saja, Manisah sudah menjadi favourate di kalangan penemuduga. Jawapannya yang tak terduga itu telah memikat mereka.
                “Tài haoxiàole. Ni ràng wo ài shàng ni (sangat kelakar. Awak buatkan saya jatuh cinta pada awak),”ucap Kapten Syawal selamba. Ketua pramugari sebelahnya sudah mengekek ketawan. Syawal tahu yang Manisah faham akan Bahasa Kantonis seperti Kapten Murad juga. Mereka empat beradik memang bersekolah cina sejak kecil lagi.
                  Syawal nampak pipi Manisah sudah merah. Cepat sangat Manisah merasa malu. Baru cuit sikit dah malu, macam mana nak bertugas di awan biru ni. Pemintaan Kapten Murad tadi sudah dipertimbangkan. Memang dikerjakan Manisah cukup-cukup dalam sesi saringan kali ini. Memang sengaja diminta nama Manisah dalam calon yang akan ditemuduga.
                “Wo yě rènào. Dàn wo bù míliàn ni de zhíjiē (Awak pun kelakar juga. Tapi saya tak terpikat dengan awak),”balas Manisah yang sedang mengawal tahap kecemasan hatinya dengan jawapan Syawal.
                “Serius?” soal ketua pramugara yang sudah berkomplot dengan Syawal.
                “Cheq dah habaq mai. Cheq ni susah nak jatuh cinta. Datang sini bukan nak cari marka kacak lagu ni. Cheq datang sini nak cari kerja,” balas Manisah selamba. Dalam cemas-cemus hati, masih lagi dapat mengawal gaya bahasa yang penuh keyakinan. Nak nangis? Itu bukan gaya anak manja Komandan Lokman.
                “Cuba kome bagitahu kat mike ni. Marka macam mana sesuai dengan kome?”soal ketua pramugara dengan loghrat perak. Manisah terus ambil keputusan untuk duduk bersimpuh penuh sopan sebelah ketua pramugara yang sedang bersila dengan santai. Nak kena singkir pun dia sudah tak kisah sekarang ni. Penemuduga sudah semakin tak waras dirasakan.
                “Orang tak kisah langsung. Asalkan lulus ujian papa yang garang lagi cerewet. Tapi biarlah yang boleh menjadi imam setiap kali solat lima waktu. Boleh jadi sumber ilmu setiap kali ketandusan jalan menyelesaikan masalah. Sebab orang ni tak pandai nak selesaikan masalah sendiri. Orang rasa kat dalam bilik ni tak adakan, cik abang?” jawab Manisah selamba.
                Syawal sudah tunduk mengulum senyum. Ketua pramugari sudah terbatuk-batuk. Ketua pramugara sudah mendekatkan badannya pada Manisah. Berbisik.
                “Maaf Cik Manisah yang manis. Cik abang ni dah berpunya. Itu yang duduk sebelah Kapten Syawal itulah isteri kesayanganku. Tapi yang sebelahnya itu memang bertepatan dengan apa yang telah Cik Manisah yang manis ni impikan. Tak salah pilihan Kapten Syawal, buah hatinya memang sengal. Maaflah cik. Atas pemintaan Kapten Syawal kami terpaksa singkirkan cik dari menjadi pramugari MAS,”bisik ketua pramugara.
                Manisah yang mendengar bisikan manis itu terus memandang pada Kapten Syawal yang sengih saja dari tadi. Rasa macam nak belasah cukup-cukup muka kacak itu. Bila melihatkan jari Kapten Syawal yang memusing-musingkan telefon bimbit di meja. Manisah sudah dapat mengagak yang Kapten Murad punya penanganlah ni. Habis! Lunyai lepas ni nak bersemuka dengan Kapten Murad pulak. Kalau dengan Komandan Lokman boleh tahan lagi. Tapi kalau dengan Kapten Murad putus urat saraf dibuatnya.
                “Saya pun tak berminat. Saja nak cuba nasib saja. Kalau bukan rezeki saya tidak pada MAS masih ada lagi beberapa airline lain yang boleh saya cuba. And by the way, I’m not Kapten Syawal girl. So please don’t tread me like one,”bisik Manisah kembali sambil menjeling tajam pada Kapten Syawal yang sudah merasa kemenangan di pihaknya.
                ‘Siaplah kau, Manis. Nak lari mana lepas ni,’ ucap Syawal dalam hati.

****************

               Manisah malas nak fikir lagi. Buat sakit hati je. Ada ke sesi temuduga yang macam tu. Duduk di tempat menunggu teksi untuk pulang ke rumah Chief Superitenden Latif di IPK Shah Alam. Yasmeen tak berhenti bercerita perihal teman yang baru ditemuinya itu. Sebuah Honda Insight warna hitam berhenti betul-betul dihadapan Manisah dan Yasmeen.
                Cermin sisi diturunkan. Wajah Kapten Murad yang serius dan wajah Kapten Syawal yang lembut terpacul. Manisah selamba senyum. Yasmeen sudah pucat lesi. Dalam kepala sudah nampak bayang akan dimarahi secukupnya nanti. Murad pun lebih kurang sama spesis dengan Cheif Superitenden Latif dan Komandan Lokman.
                “Masuk,” arah Murad serius. Tanpa sebarang kata Manis dan Yasmeen masuk ke tempat duduk belakang kereta. Dua-dua menikus saja di belakang kereta. Sorang tengok tingkap kiri sorang lagi tengok tingkap kanan. Syawal dan Murad saja yang bersembang dari KL hingga ke Shah Alam.
                “Terima kasih, Angah Murad,”ucap Yasmeen.
                “Lain kali Angah dapat tahu yang Meen dan Manis pergi interview pramugari lagi siaplah. Angah kejar masa tu juga suruh balik rumah. Pandai-pandai je nak buat kerja tak betul macam tu. Ingat Angah main-main ke, bila angah kata tak boleh. Mujurlah angah ada pasang spy. Kalau tidak entah apa lagi yang korang buat. Faham tak Meen?”soal Murad tegas.
                “Iya,”jawab Yasmeen pendek. Tahu, memang dia yang bersalah. Jadi tak guna nak bertegang urat dengan Murad. Memang tak menang pun. Nak pulak dengan kehadiran temannya yang menjadi salah seorang penemuduga tadi. Memang mati kutu nak bagi alasan untuk melindungi diri.
                “Tunggu je panggilan jadi cikgu tu. Jangan nak gatal-gatal. Buat penat belajar kalau kerja macam ni yang kamu nak buat,”sempat lagi Murad membebel pada Yasmeen yang sudah menunggu di luar pintu.
                “Baik, angah,”
                “Buat lagi sekali, angah tak teragak-agak bagitahu Pak Su. Biar terus je dikahwinkan Meen dengan orang tua mana tah? Biar pandan dengan muka tu,”ucap Murad berbaur ugutan. Suka sangat dia membuli adik sepupunya yang sorang ni. Kalau dah dekat dengan Manisah memang macam-macam perangai mereka. Ingat dah besar panjang ni, matanglah. Ini tidak. Main sedap hati mereka je.
                Dalam kereta Manisah, malas nak layan. Tadi berdesing-desing telinganya mendengar bebelan Murad pada Yasmeen. Memang tempiasnya mengena tepat pada dirinya. Faham sangat dengan sindiran sinis yang diberikan Murad. Kereta Murad sudah menyimpang memasuki kawasan Kem Perdana Tentera Darat di Sungai Besi, dengan pelekat yang tersemat di cermin kereta dia dibenarkan masuk oleh pengawal yang menjaga gate tanpa banyak menyoal.
                Melihat kereta rasmi Komandan Lokman terparkir di depan pintu rumah, hati Manisah tak tentu arah. Dari tadi Murad tidak bercakap sepatah pun dengan Manisah. Memarahinya pun belum lagi. Murad sibuk bersembang riang ria dengan Syawal.
                “Shēngqì, fènnù. Wo bùxiang chéngfá zhèyàng. Téngtòng de tau (nak marah, marahlah. Jangan nak seksa macam ni. Sakit tau),” rungut Manisah pada Murad.
                “Shuí zhémó zhī yī. Gùzhí. Juéjiàng de nánhái tài gùzhí sòngdá. Míngbáile ma? (Siapa yang seksa siapa. Degil. Budak degil kena layan degil juga. Faham?),” balas Murad. Tahu kalau mereka nak bertekak di rumah, mereka lebih gemar menggunakan Bahasa Kantonis sebab Sarimah tak faham. Kalau Sarimah tahu, memang menangis jugalah mamanya itu. Komandan Lokman yang duduk di ruang tamu menjeling. Memang pantang datuk neneknya, masuk-masuk rumah bertekak. Nak pula bila ada tetamu bersama mereka.
                “Manis,”panggil Komandan Lokman.
                “Papa dah balik,” manis muka Manisah berlalu ke ruang tamu. Tangan kasar sasa Komandan Lokman ditarik dan disalamnya penuh hormat.
                “Dari mana?”
                “Errrrrr...”gagap Manisah nak menjawab.
                “Manis ikut Angah pergi kenduri kahwin kawan Angah tadi,”sampuk Murad.
                “Syawal pun ikut sekali?”soal Komandan Lokman
                “Iya, uncle,”senyum Syawal. Nak gelak lebih tak berani, nanti kantoi pulak lakonan Murad dan Manisah.
                “Eloklah tu. Tunggu je sampai malam. Papa dan mama Syawal pun datang makan malam sini. Pergilah rehat dalam bilik tamu tu. Manis pergi tolong mama masak kat dapur. Kejap lagi ada tetamu nak datang. Sejak balik ni, papa belum lagi rasa air tangan Manis,”arahan Komandan Lokman tegas.
                “Baik pa,” Manisah mengalah terus mengatur laju kakinya menuju ke dapur.
                Dalam hati memang dah menyumpah-nyumpah Murad dan Syawal yang akan berada di rumah sampai lepas makan malam. Memang parah betul mengawal hati yang tengah geram dan marah.
**********
                Sarimah memang senang bila Manisah ada di rumah. Kerja memasak di dapur pasti menjadi senang. Anak daranya, bukan nak memuji tapi memang cekap kerja-kerja dapur. Bibik pun di suruhnya duduk luar bila dia berada di dapur. Tak selesa katanya. Memang macam lipas kudung, Manisah bila berada di dapur. Dari nak memasak lauk kampung terus bertukar menjadi Nasi Arab dengan Sos Salatoh dan Sos Zabadi. Dilawan pula dengan kurma kambing dengan acar timun yang ringkas. Memang kenalah dengan selera Komandan Lokman. Sambil-sambil tu siap jugalah seloyang puding roti dengan kismis yang cukup ringkas.
                “Ini semua menu papa ni. Nak mengampu apa pulak ni?”soal Sarimah tersenyum girang.
                “Nak minta maaf sebab pergi interview tak minta izin papa,”jelas Manisah terus terang.
                “Papa tak tahu pun.”
                “Memanglah papa tak tahu. Tapi spy papa dah tahu,”jelas Manisah.
                “Maksud Manis, Angah? Hahahahaha...”gelak Sarimah bergema di dapur.
                “Itu lagi parah dari papa. Eeeee... menyakitkan hati,”geram Manisah. Dia memang tak boleh dekat langsung dengan Murad sebenarnya. Ada je yang tak berkenan di matanya. Murad suka sangat membulinya. Mentang-mentanglah dia sorang je anak perempuan.
                “Macam mana pulak angah boleh tahu?”cungkil Sarimah.
                “Syawal tu salah seorang penemuduga kat situ. Sengal je. Menyampah betul,”rungut Manisah.
                “Sampai macam tu sekali,”senyum Sarimah lagi. Memang sah, Syawal sudah buat hati anak daranya ini membuak marah.
                “Mama tahu dia boleh cakap depan orang ramai yang Manis ni kekasih dia. Kenal pun macam-macam tu aje. Nak lebih pulak. Malu Manis tau.”
                “Kalau iya pun apa salahnya. Mama suka Syawal tu. Keluarga dia pun rapat dengan kita. Ayah Syawal tu kawan baik papa,”cerita Sarimah.
                Kalaulah Manisah tahu rancangan yang telah mereka rancang ni, mahu juga bersilat Manisah dibuatnya. Ini, baru diusik sikit pun dah muncul sedepa. Kalau Syawal cakap terus terang rasanya mahu bergegar rumah kerajaan ini.
                “Tak naklah mama. Handsome sangat. Nanti buat sakit hati aje. Lagi pun, selagi Manis tak dapat kerja, Manis tak nak fikir pasal calon-calon ini semua. Buat sakit kepala buat apa,”jelas Manisah.
                Usai maghrib berjemaah. Mereka duduk di ruang tamu menunggu kedatangan Dato Mat Noor yang dalam perjalanan ke situ. Manisah masih ligat di dapur. Entah apa lagilah yang dibuatnya di dapur tu. Bunyi mesin pengisar berbunyi lagi dari dapur.
                “Manis kenapa Angah?”tegur Komandan Lokman yang faham sangat perangai anak manjanya itu. Kalau asyik di dapur memasak mesti dia sudah melanggar salah satu undang-undang yang ditetapkannya. Masak benar dia dengan perangai manis.
                “Tak ada apa-apa,” balas Murad selamba. Tahu sangat yang Komandan Lokman perasan. Mana taknya dari balik tadi sampai sekarang asyik memasak aje di dapur tu. Nampak sangat tengah berusaha menyediakan hidangan kegemaran Komandan Lokman untuk menutup kesalahan yang telah dibuat.
                “Jangan nak tipu papa. Kalau dari tadi asyik memasak, mesti hidangan rasuah yang sedang disediakan tu,”senyum Komandan Lokman.
                Syawal yang diam mendengar sudah tersenyum faham. Begitu rupanya Manisah mengambil hati papa dan abangnya. Not bad!!! Kenyang perut. Tambah lagi satu markah sebagai calon isteri mithali.
                “Syawal kau ceritalah. Aku malas nak cerita,” suruh Murad.
                “Errrr....”tersentah Syawal bila Murad tiba-tiba suruh dia bercerita kisah siang tadi.
                “Syawal cuba cerita dekat Uncle apa yang anak dara Uncle ni buat. Dia mengorat Syawal ke?”soal Komandan Lokman.
                “Ehhh! Tak adalah uncle. Belum sampai ke situ lagi. Masa depan tak tahulah pulak. Tengok gaya boleh tahan nakal juga anak dara uncle ni,”balas Syawal.
                “Sebab tu kamu terpikat dengan diakan? Sudah cerita apa sebenarnya yang dah anak dara ni buat?” tak sabar Komandan Lokman nak tahu kesalahan yang telah Manisah lakukan.
                “Dia pergi temuduga pramugari tadi,”terang Syawal ringkas.
                “What?????”terkejut bukan kepalang lagi Komandan Lokman.
                “Uncle relax uncle. Dia hanya pergi temuduga ya. Saya dah gagalkan peluang dia untuk terus mara ke peringkat seterusnya,”jelas Syawal.
                “Syawal yang menemuduga Manis?”soal Komandan Lokman.  
                “Lepas dia melepasi saringan ke lima. Dia kena melepasi saya, uncle. Mana boleh saya izinkan calon isteri saya terbang sini sana tanpa saya di sisinya. Ooooo tak mungkin uncle,”cerita Syawal.
                “Hahahaha... tahu pun takut. Habis tu nak tunggu apa lagi. Manis dah habis belajar dah. Uncle dah tak ada halangan untuk satukan kamu berdua. Lagi cepat lagi bagus,”suka Komandan Lokman mendengar kata hati anak teruna teman baiknya ini.
                “Dia tak tahu lagi uncle. Saya belum sempat bersemuka dengan dia lagi. Ini pun kebetulan terserempak dengan dia kat Sheraton. Saya tak tahu pun dia dah balik,”jelas Syawal.
                “Elllo bro. Aku dah email kat kaulah. Ini mesti tak tengok email. Nakkan adik aku, tapi jadual dia pun kau tak tahu,”balas Murad menyampuk.
                “Iya ke, kau dah bagitahu. Aku lupalah tu. Sibuk sikit nak uruskan budak-budak nak interview hari ni,”ucap Syawal merah padam menahan bidas dari Murad depan bakal bapa mertua yang cukup sporting.
                “Mmmmm... tak apalah tu. Malam ni, biar uncle yang cakap. Esok pagi uncle bagi kamu lesen keluar dengan Manis sampai waktu asar aje. Jangan nak melebih lagi. Kamu belum sah lagi,”jelas Komandan Lokman buatkan Syawal terkujat. Tak sangka begitu sporting sekali bakal bapa mertuanya ini. Kira ON ajelah ni.
                “Haaaa, kenapa pulak muka dah tukar kelat macam tercekik biji asam boi aje ni?”tegur Murad pelik.
                “Papa kau dah setkan aku waktu dating dengan Manis. Aku baru nak karang ayat minta izin.”
                Meledak gema tawa di ruang tamu. Murad dan Komandan Lokman ketawa silih bersahutan. Memang muka Syawal tak boleh nak cakap, betapa lucunya wajah kelat Syawal waktu itu. Ucapan salam di luar rumah, buatkan Komandan Lokman bangun. Pasti teman baiknya, Dato Mat Noor sampai.
                “Apa yang riuh sangat sampai kat luar pun boleh dengar ni Man?”soal Dato Mat Noor.
                “Anak teruna kaulah Noor. Aku baru bagi lampu hijau keluar dating dengan Manis dia sudah pucat lesi macam tercekik asam boi,”cerita Komandan Lokman yang menyambut balik sisa tawanya.       
                “Syawal ada kat sini?”terkejut Dato Mat Noor.
                “Dia dengan Murad tadi. Aku suruh dia stay sampai malam. Kita makan sama-sama. Bila lagi nak ambil peluang bercerita macam ni.  Rini, masuklah ke dapur sana. Sarimah tengah layan anak daranya memasak,”
                “Manis yang masak?” Rini terharu. Tak sangka calon menantu yang masak makan malam mereka hari ini.
                “Hidangan rasuah tu. Harap-harap sedaplah,”jenaka Komandan Lokman.
                “Hidangan rasuah?”soal Dato Mat Noor pelik.
                “Menu masakan nak membeli hati akulah tu. Dia dah buat salah. Nak minta maaf macam tulah yang selalu dibuatnya. Untung-untung siap dengan dessert sekali,”cerita Komandan Lokman yang tahu perangai Manisah.
                “Kira aku ni, langkah kananlah ya,”gelak Dato Mat Noor.
                “Memang tersangat langkah kanan. Jom, aku pun dah tak sabar nak tengok menu apa hari ini,”ucap Komandan Lokman lagi.
************************
             
   Dimeja makan semua senyap menikmati hidangan nasi arab yang disediakan oleh Manisah. Syawal masih tunduk sambil tersenyum-senyum mengunyah nasi arab yang disediakan oleh Manisah. Sedap!!
                “Manis, dah dapat kerja di mana-mana?” soal Dato Mat Noor.
                “Errrr... belum uncle. Masih mencari,”
                “Manis ambil bidang apa?”soal Dato Mat Noor lagi, bukannya dia tak tahu. Dia tahu perihal Manisah dari Komandan Lokman. Budak ni tak suka duduk di pejabat je. Dia suka keluar jumpa orang.
                “Komunikasi, uncle,”jawab Manisah mudah.
                “Ooooo... kalau macam tu, jomlah kerja dengan uncle. Kebetulan ada kekosongan jawatan Business Development Executive. Nak timba pengalaman bolehlah,” pancing Dato Mat Noor.
                Manisah memandang pada Komandan Lokman meminta persetujuan. Jawatan tu memang bukan mengurung dirinya di pejabat saja. Dia tak betah kerja duduk mengadap komputer dua puluh empat jam. Dia nak jumpa manusia yang bernyawa setiap hari.
                “Pergilah. Kerja itu lebih mencabar dari kerja sebagai pramugari,” izin Komandan Lokman buatkan muka Manisah kelat tiba-tiba. Rasa macam tercekik nasi arab pulak dibuatnya.
                “Hahaha.. comel,”ucap Syawal perlahan namun mampu menerjah di telinga Manisah. Double trouble terkujat dibuatnya.
                “Macam mana Manis?”soal Dato Mat Noor penuh mengharap.
                “Errrr... boleh aje uncle. Bila mula kerja?”
                “Esok pun boleh,” senyum Dato Mat Noor gembira.
                “Ehhh! Esok tak boleh. Manis ada temujanji dengan Wal,”sampuk Syawal.
                “Haaaa?” terbeliak mata Manisah. Bila masa pula, dia menyusun temujanji dengan Syawal. Pandai-pandai aje, buat cerita.
                “Papa yang suruh,”celah Komandan Lokman menggunakan kuasa vetonya.
                Terkujat Manisah mendengar kata-kata Komandan Lokman. Mata terus dilirikkan pada Sarimah yang duduk sebelahnya. Mengharapkan pertolongan. Bahasa badan Sarimah menyuruhnya mengikut saja. Masa tak sesuai untuk berlawan kata dengan Komandan Lokman. Depan tetamu, salsiah diri perlu dijaga.
                “Ooooo....”jawab Manisah.
                Murad yang duduk sebelah Syawal sudah mengulum senyum. Tahu yang dalam hati Manisah sekarang ni sudah macam gunung berapi menunggu masa untuk meletus. Tapi kenangkan sekarang ini mereka mempunyai tetamu Manisah mengawal rasa marah sebaik mungkin. Rasa seronok saja nak mengenakan Manisah lagi.
                “Wal nak bawa Manis ke mana esok?” soal Rini.
                “Nak bawa pergi kedai emas, mama. Beli cincin terus. Manis nak cincin tunang ke atau terus cincin nikah?”soal Syawal selamba. Muka orang tua usah cakaplah bersesi-seri mendengar persoalan Syawal itu. Tapi muka Manisah macam tercekik sekampit biji asam boi. Sampai tersedak-sedak Manisah dibuatnya.
                “Bro, kau ni nak mengorat adik aku ni kena ambil langkah macam William Shakespeare. Bahasa kena bunga-bunga sikit. Ini main direct je, tengok sampai tersedak-sedak anak manja papa tu,”usik Murad.
                “Dìdì. Wo bù xihuān zhège gēgē shuō zhèyàng de shìqíng (Abang. Saya tak suka abang cakap macam itu),”marah Manisah dalam Bahasa Kantonis.
                “Yīnwèi wo ài ni (Sebab saya cintakan awak),” sampuk Syawal dalam Bahasa Kantonis.
                “Yijīng zhīdàole dá'àn (dah tahu jawapannya),” sengih Murad.
                “Cuba hormat orang tua. Tak semua yang faham Bahasa Kantonis kamu tu. Kesian kat mama yang tak faham sepatah haram pun apa yang kamu bertiga bualkan,”celah Sarimah.
                “Tak ada apa mama. Angah tu suka cakap yang bukan-bukan,” geram Manisah.
                “Cakap bukan-bukan pulak. Angah cakap yang betul ma. Manis yang tak boleh terima.”
                “Apa yang Manis tak boleh terima?”soal Dato Mat Noor.
                “Errrr.....” mati idea Manisah nak menjawab.
                “Dia tak boleh terima kalau Wal minta tunang. Dia nak terus nikah aje pa,”sogok Syawal yang mendapat sokongan daripada Murad. Merah pipi Manisah menahan geram.
                “Man kira, malam ni kita terus bincangkan hari langsung budak berdua ni ajelah. Senang tak payah pening kepala. Aku pun suka menantu aku tolong aku kat pejabat sana. Nak harapkan anak teruna aku yang sorang ni memang dah sampai bercucu pun tak hadapnya syarikat aku tu,”sindir Dato Mat Noor tepat pada Syawal.
                “Mah, kita buat kenduri nikah sekali langsung Manis hujung bulan ni rasanya sempat tak?”soal Komandan Lokman nak mengusik Manisah.
                “Papa!!!!!”ucap Manisah yang sudah tak tahan sabar.
                “Abang ni, Manis ni sorang saja anak dara saya. Saya teringinlah buat besar-besaran. Bagilah saya masa dua ke tiga bulan. Wal boleh tunggu dua tiga bulan tak?”usik Sarimah pula. Padahal semua kelengkapan sudah disiapkan tanpa pengetahuan Manisah.
                “Aunty boleh nikah gantung dulu tak. Dua tiga bulan tu lama,”Syawal memang naik sekaki menyakat Manisah. Nak juga tahu setakat mana ketahanan kesabaran Manisah menghadapi semua ini. Tak sabar melihat tindakan yang bakal Manisah ambil.  
                “Mana boleh gantung-gantung. Tunggu ajelah dua tiga bulan,”balas Manisah geram.
                “Kira setujulah ni ya,”senyum Syawal mengulum tawa. Suka sangat melihat wajah Manisah yang menahan geram tu. Kalau memang dah anak Komandan memang garang macam Komandan jugak. Jelingan Manisah disambut dengan kenyitan matanya yang nakal.
                “Eeeeeee,” balas Manisah terus bangun menuju ke dapur.
                Berderai lagi gelak tawa di ruang makan. Telatah Manisah memang menghiburkan hati mereka. Memang sudah diagak itulah tindakan yang akan Manisah ambil bila bunga-bunga perkahwinan dibisikkan padanya. Manisah bukanlah seorang anak yang ingkar cakap orang tua. Kalau putih kata orang tuanya, putihlah jawapannya.
                Oleh kerana itulah Komandan Lokman dengan senang hati menerima peminangan Syawal yang dilakukan semasa ketiadaan Manisah. Kata putus sudah dicapai, majlis pertunangan akan dilangsungkan dua minggu selepas kembalinya Manisah dari Melbourne. Majlis pernikahan dan persandingan pula akan berlangsung sebulan selepas itu.
*****************
                Seminggu sudah Manisah menjadi Eksekutif di syarikat milik Dato Mat Noor. Tak disangka, syarikat ini merupakan salah satu syarikat yang membekalkan jentera berat kepada pasukan keselamatan. Dan masih bersisa baki kontrak dengan Timor Lester membekalkan kenderaan tentera ke sana.
                Manisah memang tidak boleh lari dari berurusan dengan pegawai tentera yang menguruskan perolehan dan penyelenggaraan sevis kenderaan. Dua hari saja sesi taklimat diberikan pada Manisah. Selepas itu dia dilepaskan pergi sendiri ke Kem tentera yang telah disusun untuknya. Sebagai anak Komandan, semua itu tidak menjadi hal buat Manisah.
                Semalam dia sudah berjaya membawa balik ‘order’ daripada Balai Bomba Putrajaya yang inginkan sebuah lagi kereta bomba. Senyum sampai ke telinga Manisah dibuatnya.
                “Uncle,” ketuk Manisah di pintu bilik Dato Mat Noor.
                “Papa, Manis. Papa. Masuk,”senyum Dato Mat Noor.
                “Manis nak bagitahu papa tentang ini,” ucap Manisah gembira sangat hari ini. Usahanya yang pertama berjaya membawa order bernilai tiga ratus lapan puluh ribu ringgit. Dato Mat Noor tersenyum lucu. Dia sudah tahu akan hal itu, bila temannya di Balai Bomba Putrajaya sudah memaklumkan hal tersebut. Kembang hatinya bila, dimaklumkan tentang kecekapan menantu barunya ini.
                “Papa dah tahu,”sengih Dato Mat Noor.
                “Alaaa... Manis baru nak surprisekan papa. Tak jadilah nampak gayanya,” sayu Manisah seketika.
                “Tak nak sayu-sayu macam tu. Manis nak surprisekan papa senangnya. Jom balik rumah, Manis masakkan untuk papa. Wal pun balik dari outstation hari ni,”ucap Dato Mat Noor.
                “Alaaa... itu yang tak best tu,”manja balasan Manisah.
                “Sudah! Lepas tu Manis balik. Papa dah mesej pada mama dah pun. Lepas asar nanti Papa sampai. Papa teringin nak makan Nasi Arab macam yang hari tu,”pujuk Dato Mat Noor.
                Manisah tak sampai hati nak menolak. Akhirnya dia mengalah juga. Tangan ligat menghantar pesanan ringkas pada Sarimah untuk memaklumkan yang dia akan berada di rumah Datin Rini sampai malam. Keizinan Sarimah melegakan hati Manisah. Walaupun bukan rumah orang lain, namun dia masih merasa kekok. Yalah bertunang tanpa mengenal erti cinta memang payah sikit. Mereka masih lagi dalam proses pengenalan antara satu sama lain.
                Datin Rini membiarkan Manisah selesa di dapurnya tanpa ditemani sesiapa. Itu pemintaan Manisah. Bibik pun disuruhnya jangan masuk dapur. Dengan masih berbaju kebaya kerjanya tadi. Manisah menyarung apron kuning di dadanya. Ligat saja tangannya menumis barang yang sudah disediakan oleh bibik tadi. Sempat jugalah Manisah menyediakan bubur jagung kegemaran Syawal. Entah macam manalah boleh diketahuinya yang Manisah akan masak untuk makan malam di rumah keluarganya.
                “Hai, Manis,” cuit Syawal yang tiba-tiba muncul di belakang Manisah yang sedang mengelamun mengingat kembali order yang diterimanya tadi.
                “Eh!!!”
                “Masak apa Manis?”
                “Semua dah selesai. Tinggal bubur jagung ni saja.”
                “Lama lagi?”
                “Lima minit lagi sudahlah ni,”balas Manisah malu-malu.
                Orang yang tak pernah bercinta macam nilah. Kelam-kabut saja dibuatnya. Nak pulak gaya selamba Syawal kekadang terlebih romantik.  Tangan Syawal sudah membuka ikatan apron di belakang pinggang Manisah. Terpejam mata Manisah diserang romantik Syawal yang tiba-tiba.
                “Jom Manis,” bisik Syawal lembut di telinga Manisah. Boleh terjatuh juga jantung Manisah dengan gaya William Shakespeare dalam diri Syawal ini. Ini boleh mengalahkan Romeo dalam cerita Romeo dan Juliet terlebih manis dengan kata pujangga ‘To be or not to be’.
                “Kemana?”
                “Dalam hati abang,”usik Syawal.
                “Haaah?” terkejut Manisah.
                “Taklah, ke pagola sana. Abang tak nak dating kat dapur ni. Tak romantik. Manis bawakan bubur ni. Abang buatkan kopi cinta abang. Kita minum di luar ya Manis,” senyum Syawal bersimpul-simpul. Suka melihat pipi Manisah yang gebu memerah menahan malu.
                Termalu-malu Manisah mengambil dua mangkuk kecil yang tersimpan dalam almari dan diceduknya bubur jagung yang baru dimasaknya itu. Mangkuk diletakkan di dalam dulang lalu berjalan menuju ke pagola luar rumah. Syawal sudah duduk bersila dibuaian kayu. Mangkuk berisi bubur jagung dihulurkan penuh hormat pada Syawal.  
                “Ini bang,”ucap Manisah.
                “Terima kasih, Manis. Meh duduk sebelah abang ni. Seronok tau makan atas buai ni. Rasa macam terbang di awan biru,”pelawa Syawal lembut.
                “Tak apalah,” Manisah duduk di kerusi kayu mengadap Syawal.
                “Sini,” tegas Syawal.
                Nak tak nak Manisah duduk juga di sebelah Syawal di buai kayu itu. Cepat saja buai itu dihayun laju sedikit. Senyum Manisah dengan gaya Syawal yang memang selamba. Macam budak-budak! Syawal diam menikmati bubur jagung kegemarannya itu. Cukup sesuai dengan seleranya yang tak suka tersangat lemak dan tersangat manis. Sedang-sedang saja. Pandai Manisah menilai seleranya.
                “Sedap Manis. Memang terasa macam makan di awanan yang manis dengan cinta. Terima kasih sayang. Dah boleh terima cinta abang?”soal Syawal terus-terang.
                “Abang ni direct sangatlah,” lepas Manisah yang sudah memerah pipinya. Malu.
                “Abang tak pandai jadi William Shakespeare-lah Manis. Nak jadi sasterawan pun abang tak pandai. Tapi tadi abang ada terbaca. Bila kita dah mulai kenal cinta. Kita akan berfikir tentang kata dimulai dengan ABC. Angka dimulai dengan 123. Lagu pula dimulai dengan do re mi. Tapi cinta dimulai dengan mengenali hati dia dan saya. Macam yang kita lakukan sekarang,”ucap Syawal gembira. Itulah yang dibacanya dari wall facebook Manisah yang sempat diintainya semasa dalam perjalanan pulang dari KLIA tadi.
                Manisah terdiam. Bila masa pula encik tunang ni menjadi teman facebooknya ni. Tak pernah pula dia meluluskan nama Syawal dalam facebooknya. Uuhhhhh! Malunya berganda-ganda. Nampak sangat gedik bila bermadah dalam facebook tentang rasa hatinya.
                “Abang baca?”
                “Iya Manis, abang baca. Bahasanya manis semanis Manis abang ni. Sebab itulah abang tak bagi Manis lulus dalam temuduga hari tu. No way. Tak boleh biarkan Manis bebas terbang jauh dari abang,”
                “Eeeeeee... buruknya perangai. Kedekut,” geram Manisah bila diungkit kembali hal temuduga itu.
                “Hahahaha... wo ai ni Cik Manisah Lokman. Wo ai ni,”bisik Syawal lembut sambil matanya tajam merenung Manisah.
                “Sejak bila?”soal Manisah dari mula lagi mendengar kata-kata itu.
                “Sejak Manis berusia lapan belas tahun lagi. Masa abang ke rumah Manis. Lama abang simpan rasa ini. Lepas dah habis belajar dan bekerja. Baru abang cerita pada Murad. Kebetulan papa abang rupanya kawan baik papa Manis. Lagi mudah jodoh kita. Pemintaan papa Manis abang tunaikan. Jangan ganggu Manis sehingga Manis pulang membawa segulung ijazah. Tak sangka pula abang bertembung dengan Manis di sesi temuduga pramugari tu. Kali kedua memandang Manis memang abang cukup yakin, inilah tulang rusuk kiri abang yang hilang. Abang perlu ikat tulang ni cepat-cepat. Komen kawan-kawan, budak yang pakai kebaya biru ni cukup layak jadi cabin crew buatkan hati abang terus diserang rasa cemburu. Itulah sebabnya abang gunakan talian hayat. Murad!”cerita Syawal terus terang.
                “Maknanya kalau tidak kerana Angah, Manis akan dapat tempat dalam sesi tu ke?”
                “Hahahaha... nak tahu yang jujur ke?”soal Syawal lucu.
                “Iya. Sejujurnya.”
                “Kenapa?”
                “Sebab Manis pernah berangan-angan nak jadi pramugari masa kecil dulu.”
                “Sejujurnya dari saringan ke tiga lagi. Nama Manis sudah masuk dalam senarai mereka yang layak. Manis ada semua ciri yang diperlukan untuk menjadi cabin crew MAS. Tapi sebabkan hati abang ni dah lama terpaut. Anganan Manis tu cukuplah dengan hanya melayan abang di awan biru cinta abang saja. Maafkan abang ya, Manis.”ucap Syawal memujuk.
                “Nak buat macam mana bang. Nak melayan Kapten Syawal ni pun pening gak kepala Manis. Tak apalah. Manis dah rasa yang anganan Manis tu dah tercapai. Walaupun hanya sekadar berjaya menjalani sesi temuduga saja.”balas Manisah yang redha dengan ketentuan yang ditetapkan untuknya.
                “Betul?”
                “Betul.”
                “Boleh terima cinta abang?”
                “Kadang-kadang, kita terlepas pandang bahawa Allah mengatur segala-galanya. Manis yang taat pada papa dan mama, menurut jodoh yang dipilih mereka. Manakala abang pula begitu yakin dan bersungguh kerna cinta abang pada Manis. Manis pun pernah terbaca bait indah seseorang yang ditujukan pada Manis di pagi pertunangan kita. Cinta itu ada empat langkah.... satu adalah aku. Dua adalah kamu. Tiga adalah kita. Dan empat adalah cinta.  Aturan Allah itu cukup tepat, tempoh pertunangan ini kita gunakan untuk mengenali dan belajar memahami siapa abang dan siapa Manis dalam hidup kita nanti,”ucap Manisah cukup jelas.
                “Patutlah abang dinasihatkan memilih isteri dari agamanya, kemudian keturunannya. Lepas itu tingkahlakunya dan akhir sekali baru kecantikannya. Terima kasih, Manis. Terima kasih kerana sudi terima abang. Manislah Awan Manis buat abang sampai bila-bila. I love you, sayang,” ucap Syawal penuh kesyukuran.
                Jari jemari Manisah disentuhnya lembut lalu ingin dikucupnya jemari itu. 
                “Haipppppp! Belum mahram lagi. Tak boleh sentuh-sentuh,” marah Manisah yang baru tersedar dari bait cinta Syawal yang cukup manis. Diabetik juga Manisah dibuatnya!
                “Hahahahaha... mama kenapalah lambat sangat masa berlalu ni. Wal nak nikah cepat dengan Manis,” jerit Syawal tiba-tiba.
                “Haipppp! Tak malu,”geram Manisah.
                “Hahahaah... ohhh! Mama Wal tak sabar ni,”jerit Syawal lagi.
                “Haipppp! Tak senonok,” geram Manisah lagi. Dicubitnya lengan Syawal.
                “Haippp! Tak baik cubit. Cium boleh,” balas Syawal.
                Geram Manisah melayan bahasa cinta yang baru berputih di hatinya. Cinta yang disemai dengan pilihan dan restu keluarga menjadi impiannya sejak bergelar gadis sunti. Dia tak mahu bercinta sebelum masanya. Alhamdulillah, doanya setiap hari dimakbulkan Allah. Awan Manis menjadi pembuka kisah bahagia buat Manisah yang berimpian menawan awan biru namun impiannya termakbul dengan tertawannya kapten di awan biru sebagai nakhoda hidupnya kelak. Itulah Rahsia Allah.



T.A.M.A.T 

No comments:

Post a Comment