Monday, July 3, 2017

Kak Long Kepek vs Ketman

“Cempaka,” seru ASP Luqman
Cempaka masih terpegun memandang pada ASP Luqman. Dari hujung rambut hingga ke hujung kaki Luqman diperhatikannya. Tidak percaya yang di hadapannya ini adalah lelaki macho lagi segak yang setiap hari di pujanya dalam diam. Mulut Cempaka terlopong tidak percaya.
“Cempaka,” seru Luqman lembut sudah ada betul-betul di hadapan Cempaka.
“Oh! Ya. Ya, tuan. Maaf boleh terpesona pula saya tengok tuan berpakaian perempuan macam ini,” senyum Cempaka malu-malu.
                “Saya tak izinkan awak yang masuk sendirian dalam SPA itu. Walaupun anggota kita ramai,” jelas Luqman cukup tegas.  
                Cempaka dan ASP Luqman menganggotai barisan depan Operasi Pemutihan Pelacuran di rumah urut sekitar Lembah Klang untuk membenteras gejala sosial yang semakin berleluasa sekarang ini. Sudah sebulan mereka menjalankan penyamaran untuk memasuki sebuah SPA mewah yang disyaki menjadi induk kepada pembekalan pelacur yang berselindung di sebalik perkhidmatan SPA yang diberikan kepada orang ramai.
                “Tuan. Kalau tengok tuan penampilan tuan yang macam ini. Rasanya tuanlah yang tidak dibenarkan keluar bilik bukannya saya,” gelak Cempaka lucu.
                “Awak ketawakan saya Cempaka?” soal Luqman menyelak rambut palsunya ke belakang. Nampak sangat gaya gedik terlebih miang.
                “Tuan kena lembutkan sikit suara tuan itu, barulah nampak sebiji macam Ratu Ngah,” sengeh Cempaka terlebih lucu.
                “Awak sudah lebih ni Cempaka. Sudah jom kita gerak…. nanti sekejap,” halang Luqman bila Cempaka sudah melangkah meninggalkannya.
                “Ada apa tuan?” soal Cempaka pelik.
                Tiub merah ala-ala berkemban yang di pakai Cempaka di tarik ke atas lagi. Manakala skirt kulit pendek yang separas menutup pinggul Cempaka yang cantik itu di tarik ke bawah sedikit. Tergelak Cempaka dibuatnya.
                “Tuan ini kenapa?” soal Cempaka.
                “Kenapalah awak pilih baju yang tidak cukup kain ini untuk menutup tubuh awak, Cempaka. Hailahhh…perempuan ini suka sangat menyusahkan diri sendiri,” bebel Luqman yang masih terbongkok-bongkok membetulkan pakaian Cempaka.
                “Tuan, saya ini sekadar mengikut tema. Bak kata orang tua, masuk kandang kambing mengembek masuk kandang harimau nak mampus lari sajalah…hahahaha,” usik Cempaka.
                Luqman masih menelek penampilan Cempaka dari pakaian hingga ke solekan dan akhir sekali rambut Cempaka diusiknya. Cempaka membiarkan sahaja diperiksa oleh Ketua Unit barunya bagi memastikan Operasi ini berjaya juga seperti yang lepas-lepas.
                “Ingat Cempaka, jangan buat keputusan sendiri,” pesan Luqman sangat kuathir dengan sikap Cempaka yang agresif lagi pantas bertindak tanpa memikirkan keselamatan dirinya
                “Baik tuan. Jadi boleh kita ronggeng malam ini Lady Dee?” soal Cempaka pada Luqman yang menggunakan nama Lady Dee sepanjang penyamaran ini.
                “Jom Cindy,” sengeh Luqman yang melembutkan suaranya yang garau.
                Demi keselamatan dan kemakmuran Negara, anggota keselamatan dari unit D21 ini bertungkus lumus membendung gejala sosial dari merebak menjadi bisul dalam daging. Semua anggota mengambil tempat masing-masing. Hari ini dijadualkan penyerbuan di sarang utama yang menjadi lubuk penyediaan pelacur bertaraf antarabangsa yang di bawa masuk dengan menggunakan visa pelancong. Setiap anggota Operasi ini dilengkapkan dengan alat bantuan pendengaran yang tersembunyi dalam baju masing-masing.
                Setibanya Cempaka dan Luqman di deretan kedai mewah di kawasan Taman Bahagia, sebuah van bertutup warna hitam di deretan kenderaan dimasuki mereka. Luqman berinteraksi dengan anggota memberi arahan buat kali terakhir. Hati Luqman memang tidak berasa tenang dan damai dalam Operasi ini. Tahu sangat Sjn. Husin dengan perangai Luqman yang satu itu.
                “Tuan kenapa?” tegur Husin berbisik.
                “Entahlah Sarjan, saya rasa macam ada benda yang tidak kena. Sarjan pastikan anggota kita bersedia. Saya dan Cempaka masuk ke dalam dulu,” pesan Luqman.
                “Mula dengan bismillah tuan. Zikir dalam hati, insyallah Operasi ini akan berakhir dengan jayanya,” Sarjan Husin sempat memberi kata-kata peransang pada Luqman.
                Luqman angguk dan keluar dari van. Dia berjalan lenggang-lenggok dengan kasut tumit tinggi berkaki halus runcing. Tersilap langkah mahu tergolek dibuatnya. Diperhatikan Cempaka dengan langkah penuh yakin lagi mengoda menolak pintu masuk SPA. Mengeletek juga jantung hati Luqman bila memikirkan hal Cempaka, pegawai muda yang baru ditukarkan ke Unit D21 ini. Ketangkasan dan kecekapan Cempaka memang tidak sepadan dengan nama dan rupa parasnya yang sememangnya mengoda.
                “Lady Dee,” nama Luqman di panggil manja. Terus saja Luqman berjalan lenggang-lenggok yang sengaja dilebihkan hayunan pinggul agar lebih berkesan lakonannya itu. Di sudut sebelah sana, Cempaka sudah dipeluk manja oleh salah seorang lelaki yang sangat dikehendaki oleh pihak polis. Mendidih juga hati Luqman melihat Cempaka dipeluk dengan penuh nafsu. Mahu saja dia ke sana menghayunkan sebiji dua buku penumbuknya ini.
                Operasi ini tiba-tiba menjadi kelam kabut dan kacau bilau bila salah seorang pengawal peribadi pemilik Pusat SPA ini melepaskan tembakan rambang membuatkan semua jadi cemas tiba-tiba. Anggota yang berselindung disebalik pakaian pelanggan dan pelayan sudah bersiap sedia untuk bertindak.   
                Pengawal Peribadi itu terus mendapatkan lelaki yang sedang mengulit Cempaka dan menariknya.
                “Carlos sudah tu. Kita kena keluar dari sini segera. Polis sedang menuju ke mari,” tarik Pengawal Peribadi itu bersungguh-sungguh.
                “Aku tahu Jack. Aku tahu. Tapi ayam ini sungguh memberahikan,” ucap Carlos yang masih mendakap Cempaka dengan berahi.
                “Lupakan ayam ini Carlos. Banyak lagi ayam yang boleh kau gigit lepas ni. Sudah tu, jom. Helikopter sudah menunggu,” paksa Jack.
                Carlos memandang Cempaka dengan pandangan wajah yang tidak puas untuk terus mengulit tubuh Cempaka yang sangat mengiurkan. Keningnya terangkat sebelah diapit pula dengan senyumnya yang nakal.
                “Aku akan cari kau semula, anak ayam,” pesan Carlos pada Cempaka.
                Cempaka sudah tidak sedap hati. Dia tidak mahu Carlos terlepas lagi. Penat penyamarannya selama tiga bulan ini jika penjenayah perosak masyarakat ini dibiarkan terlepas begitu sahaja. Leher Carlos ditarik manja dan mengoda. Luqman yang memerhati dari jauh terbeliak memandang aksi mengoda Cempaka. Sungguh dia tidak menyangka Cempaka mampu melakukan aksi sebegitu. Telan airliur Luqman seketika.
                “Awak nak tinggalkan anak ayam awak ini begitu sahaja ke?” goda Cempaka.
                “Hahaha….awak sudah cair ke?”bisik Carlos merapatkan bibirnya di telinga Cempaka.
                “Kalau tidak diganggu tadi, anak ayam ini pasti sudah bertarung manja dengan awak,”balas Cempaka lagi membuatkan Carlos sengeh mengetap bibir.
                “Awak anak ayam yang pandai mengoda. Sayangnya, masa aku tidak lama dengan kau anak ayam…. Jangan risau ini Carlos. Dia tidak pernah tidak dapat apa yang diinginkan…hahahah,”gelak Carlos yang terus bangun meninggalkan Cempaka dengan rasa yang geram.
                Cempaka dapat rasakan yang Carlos mengetahui identiti dirinya bila pin kecil alat pendengar suara yang terselit celah baju dalamnya sudah berada di tapak tangannya. Terbit rasa marah yang membuak dicampur rasa tanggungjawab yang meninggi dalam diri Cempaka. Tanpa menunggu isyarat  dari Luqman, Cempaka sudah meluru menerkam Carlos dari belakang. Tercampak Carlos ke depan akibat tendangan mengejut dari Cempaka. Jack terus melindungi Carlos dengan menendang Cempaka semula. Namun pergelutan Jack dengan Cempaka tidak semudah yang disangkakan. Cempaka merupakan seorang anggota polis yang terlatih dengan kemahiran mempertahankan diri, mudah sahaja pergerakan Jack ditepisnya.
                Carlos yang tadinya tersungkur jatuh. Ketawa bagai nak rak hingga Cempaka dan Jack berhenti bergelut.
                “Jack tepi. Biar aku saja yang uruskan anak ayam polis yang bergetah ini. Dia ingat aku bodoh,” arah Carlos.
                “Carlos jangan. Pergi selamatkan diri dulu. Hal anak ayam polis ini biar aku yang uruskan,” halang Jack.
Kata-kata Jack tidak menghalang Carlos membuka butang kemejanya. Cempaka sudah bersiap sedia dengan kekudanya. Cempaka tahu Carlos memang mahir ilmu mempertahankan diri. Dia juga merupakan salah seorang jaguh taekwando yang disegani oleh lawannya.  Kebolehan dan keupayaan Carlos telah dikaji Cempaka terlebih dahulu. Jadi perkataan gementar atau cemas bertemu Carlos tiada dalam kamus hidupnya.
                “Ehhh! Anak ayam polis. Aku sudah lama nak ratah tubuh kau. Tunggu masa yang sesuai saja. Apa kata kau ikut aku? Jadi gundik aku. Segala macam kekayaan dunia aku mampu lambakkan pada kau. Tidak payahlah kau susah susah nak kerja cari duit yang tak berapa sen itu. Buat memenatkan badan saja. Baik kau penat berkali-kali layan aku atas katil ada juga faedahnya…hahaha,” ucap Carlos mencabar Cempaka.
                “Hahaha… aku memang cair tengok wajah kau yang tampan itu, Carlos. Aku akui kau memang pandai mengoda. Tapi aku tidak cair untuk menjadi gudik kau…. Baik kau menyerah saja Carlos. Kau tidak boleh terlepas lari lagi malam ini,” pujuk Cempaka.
                “Aku? Aku menyerah diri…? Hahahahaha..,” ketawa Carlos yang sepantas kilat menendang perut Cempaka yang terleka dengan omongan kosongnya itu. Cempaka terus terperosok hingga ke kerusi hujung sana.

               Luqman sudah memberi arahan bertindak serta merta bila Carlos mengambil tindakan melawan. Bergelut Luqman dan Carlos. Kuncu-kuncu Carlos pun bergelut dengan anggota polis yang lain. Jack yang tidak diawasi sudah memetik pemacu pistol ke arah Luqman.
                “Tuan..! Awas,” jerit Cempaka menyedarkan Luqman.
                Sepantas kilat Luqman mengalihkan tubuh Carlos ke arah peluru itu. Belakang dada Carlos tepat ditembak. Jack melepaskan sedas lagi tembakan bila mengetahui yang tembakannya tidak mengena pada Luqman. Cempaka pantas menendang Jack sekuat hatinya hingga melayang dan melekat pada pecahan dinding kaca yang meneracak. Malang buat Cempaka kerana sedas tembakan Jack tadi telah menusuk pada peha kanannya.
                “Aduuhhh,” ucap Cempaka yang tergolek jatuh ke lantai.
                Kematian Jack dan Carlos membuktikan Operasi mereka berjaya. Satu lagi markas utama sarang pelacuran berjaya ditumpaskan. Cempaka dibawa ke hospital segera untuk menjalani pembedahan mengeluarkan peluru di peha kanannya.
                Keluarga di kampungnya juga tiba di hospital setelah dimaklumkan oleh Sarjan Husin dalam telepon. Cemas Mak Eton dan Pak Hamdan bila menerima berita Cempaka cedera sewaktu melakukan operasi. Adik beradik Cempaka juga turut sama berada di hospital.
                “Pakcik ini ayahnya Puan Cempaka ke?” soal Sarjan Husin.
                “Iya. Saya Hamdan ayahnya Inspektor Cempaka. Bagaimana anak saya encik?”
                “Puan Cempaka dalam bilik bedah. Dia cedera di peha terkena tembakan sewaktu bergelut dengan penjenayah tadi,” penerangan ringkas dari Sarjan Husin.
                “Ya Allah, abang anak kita kena tembak,” Mak Eton sudah terduduk terkejut. Mawar dan Kemboja pun turut tersentak dengan berita kakak sulong mereka ditembak penjenayah.
                “Jangan risau Mak Cik. Puan Cempaka selamat. Dia sedar hingga sampai di Hospital,” pujuk Sarjan Husin menenangkan hati keluarga Cempaka.
                “Janganlah Kak Cempaka cacat atau meninggal dunia. Dia belum kahwin lagi. Belum merasa kenikmatan dunia lagi….,” Kemboja bersuara buatkan semua mata terarah padanya.
                “Shssss…,” suruh Mawar bengang mendengar kata-kata adik bongsunya itu.
                “Apa Shsss pulak? Betullah apa yang Kemboja cakap ni….Kak Mawar lupa ke tentang peminangan Tok Dollah untuk cucunya tu,” Kemboja membela diri.
                “Laaa… abang bagitahu Pak Dollah hal Cempaka ini. Saya lupa langsung,” Mak Eton menyuruh Pak Hamdan memaklumkan pada bapa saudaranya, Pak Dollah.
                Pak Hamdan terus mendail nombor telepon Pak Dollah dan mereka berbicara seketika. Dalam menunggu Cempaka keluar dari bilik pembedahan. Ramai anggota D21 yang rapat dengan Cempaka turut berada di ruangan menunggu ini. Sarjan Husin memperkenalkan anggota D21 kepada keluarga Cempaka.
                “Assalamualaikum,” sapa Pak Dollah sebaik sahaja sampai.
                “Waalaikumsalam Pak Dollah,” sahut Pak Hamdan.
                “Macamana Cempaka?” cemas Pak Dollah.
                “Masih di dalam lagi,” jelas Pak Hamdan.
                Dato Latif dan Datin Nora turut sama mengiringi bapanya menziarah calon menantu yang ditimpa kecelakaan sewaktu bertugas. Ini pertama kali mereka bersemuka dengan calon menantu yang selalu di puji Pak Dollah dan berkenan di mata tua lelaki itu. Mereka juga tahu yang pasangan ini menentang sekeras-kerasnya niat murni Pak Dollah untuk menyatukan mereka dalam ikatan perkahwinan.
                “Kak Nora… anak Eton kena tembak Kak,” kongsi Mak Eton binggung.
                “Sabar Eton. Akak yakin Kak Long selamat. Kita doa banyak banyak ya Eton,” pujuk Datin Nora.
                “Itulah yang Eton selalu bebelkan pada Kak Long tu. Jangan masuk polis. Jangan masuk polis. Dia degil juga. Kalau dia terus jadi peguam dulu tidaklah jadi sampai macam ini,” rungut Mak Eton.
                “Eton! Tidak baik kita mengungkit hal silam. Ini semua qada dan qadar dari Allah. Rahsia Allah kita tidak tahu. Mungkin semua ini ada hikmah disebaliknya yang kita tidak nampak,” ucap Datin Nora dengan lembut. Padanya pekerjaan sebagai seorang aggota polis adalah pekerjaan yang mulia. Jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat diucapkan dengan ucapan terima kasih.
                “Tuan” anggota D21 memberi tabik hormat pada Luqman sebaik sahaja masuk ke ruangan menunggu.
                 “Sarjan. Cempaka bagaimana?” soal Luqman tegas.
                “Masih dalam bilik bedah, tuan,”
                “Keluarganya sudah dimaklumkan?”
                “Sudah, tuan. Keluarganya pun sudah sampai. Ada duduk di bilik sana. Tuan nak jumpa mereka?”
                “Takpa sekejap lagi saya pergi dengan Tuan Nasir,” jelas Luqman yang membelek telepon bimbit menunggu ketuanya tiba di ruangan menunggu ini.
                Ketibaan Tuan Nasir memberi kejutan pada anggota D21 yang lain. Nampak sokongan moral dan keprihatinan ketua mereka pada tugas dan kebajikan anggota yang bertugas. Tuan Nasir bersama isterinya sanggup datang meziarah subuh buta macam ini, menaikkan lagi semangat patriotik dalam diri mereka. Bersedia berkhidmat untuk negara.
                “Luqman!” panggil Tuan Nasir.
                “Masih dalam bilik bedah tuan,” jelas Luqman.
                “Keluarga Cempaka sudah dimaklumkan?”
                “Sudah tuan. Ada di bilik sana,” maklum Luqman.
                “Jom. Saya mahu jumpa keluarga Cempaka dulu,”
                Tuan Nasir bersama isteri diiringi oleh Luqman dan Sarjan Husin menuju ke arah Pak Hamdan dan keluarga yang sedang resah menunggu. Luqman terpampang bila melihat datuk bersama ibu ayahnya juga turut bersama dengan keluarga Cempaka.
                “Encik Hamdan,” panggil Tuan Nasir.
                “Iya, saya,”
                “Saya, Nasir. Ketua pada Inspektor Cempaka dan yang ini Ketua Unit Cempaka. ASP Luqman. Anak encik anggota saya yang sangat cekap dan tangkas. Saya yakin dia selamat,”
                “Itulah doa saya tuan. Cempaka anak sulong yang sangat degil. Harap sangat dia selamat,” luah Pak Hamdan.
                Luqman berjalan menghampiri Dato Latif dan Datin Nora yang duduk sebelah dengan Pak Dollah.
                “Walid dan Umi buat apa kat sini?” soal Luqman pelik.
                “Kamu pulak buat apa kat sini?” soal Pak Dollah.
                “Ketman melawat anggota yang cedera dalam operasi,” jawab Luqman
                “Atuk pula menziarah cucu menantu yang kemalangan,” jawab Pak Dollah pula.
                “Ketman belum nikah lagi. Mana datangnya cucu menantu tu Tok,” geleng Luqman.
                “Kak Long Kepeklah siapa lagi. Atuk sudah tak perduli Ketman setuju atau tidak Tok mahu teruskan juga dengan rancangan Tok ini. Atuk nak paksa juga kamu berdua nikah. Ikutkan hati kamu saja. Sama juga dengan Kak Long Kepek. Degil. Tengok apa dah jadi sekarang ni… kamu berdua ini memang suka tengok Atuk tutup mata terbeliak bila mati nanti kan,” marah Pak Dollah.
                Pak Dollah cukup sabar dengan kerenah Cempaka dan Luqman yang berdegil untuk disatukan. Nak suruh jumpa dan berkenalan pun susah. Macam-macam usaha dilakukan untuk mempertemukan mereka namun semua tidak menjadi. Tahu saja mereka akan rancangan untuk mempertemukan mereka.
                “Kita cerita lain kalilah Atuk. Sekarang ni Ketman tengah risau tentang nyawa anggota Ketman yang dalam bilik bedah tu. Badan penat pun tidak hilang lagi. Operasi baru selesai jam dua pagi,”helah Luqman.
                “Anggota Ketman kenapa?” soal Dato Latif.
                “Cedera ditembak masa dalam operasi tadi, Walid” jelas Luqman.
                Kata Luqman membuatkan Dato Latif memandang pada Datin Nora. Pak Dollah sudah sengeh. Rasanya dia sudah tahu siapa yang dimaksudkan Luqman itu.
                ‘Sepandai pandai tupai melompak akhirnya jatuh ke tanah jua…Ketman! Ketman! Dalam kata tak nak jumpa. Tak hengin nak bersua muka. Akhirnya Allah temukan juga dengan menghantar Kak Long Kepek bekerja di bawah kau Ketman…hahahahaha,’ gelak Pak Dollah dalam hati.
                “Siapa nama anggota Ketman tu?” soal Pak Dollah ingin mendapatkan kepastian.
                “Inspektor Cempaka, Atuk,” jelas Luqman yang masih nampak resah.
                “Oooo… kebetulan kan. Nama cucu menantu Atuk pun Cempaka juga,” sengeh Pak Dollah bila mata Luqman terbeliak.
                “Apa Tok? Boleh Atuk cakap sekali lagi, nama cucu menantu yang Atuk sayang sangat tu?” Luqman inginkan kepastian.
                “Cucu menantu yang kamu tak suka tu?...Emmm Cempaka namanya. Cempaka binti Hamdan. Atau lebih glamor lagi Inspektor Cempaka binti Hamdan,” jelas Pak Dollah.
                Luqman terduduk. Dato Latif dan Datin Nora senyum kelucuan. Badan Pak Dollah pula sudah terenjut-enjut menahan tawa yang membuku di dada. Wajah pucat lesi Luqman buatkan mereka lebih memahami apa yang sedang menyelubungi minda dan hati Luqman waktu ini.
                “Kalau itulah cucu menantu Atuk. Ketman setuju sangat. Tak payah bertunang nikah aje terus. Esok pun Ketman sanggup. Ketman rela,” ucap Luqman.
                “Kamu tak nak kenal Kak Long Kepek dulu ke? Bertunang setahun dua dulu,” sakat Dato Latif yang berbunga gembira.
                “Betul kata Walid kamu tu Ketman. Bertunang dulu untuk kenal hati budi Kak Long itu dulu. Sudah jangan mengada. Mari Atuk kenalkan kamu dengan keluarga mertua kamu. Lama mereka tunggu nak tengok dan kenal anak menantu yang perangai macam kacang hantu. Asyik nak mengelak saja,”
                Pertemuan yang tidak disangka itu, memberikan satu perasaan baru buat Luqman dan kesyukuran buat keluarga. Kebesaran Allah dalam menunjukkan jodoh dengan perbagai gaya dan bentuk. Halanglah bagaimanapun, jika semuanya sudah tertulis dari Luh Mahfuz  pasti akan terlaksana. Tepuk dahi Pak Hamdan, tidak percaya yang Ketua Unit Cempaka yang baru ini adalah calon menantunya. Kata sepakat pun sudah dicapai, majlis pernikahan yang serba ringkas akan dilangsungkan sebaik sahaja Cempaka keluar dari hospital.
                Cempaka yang selesai menjalani pembedahan sudah dipindahkan ke wad biasa. Keluarga dan anggota D21 melawat memberikan semangat dan sokongan padanya. Atas nasihat doktor semua pelawat diminta pulang dahulu bagi memberi ruang pada Cempaka berehat. Keluarga Pak Hamdan bersujud syukur dengan tahap kesihatan Cempaka yang tidak membimbangkan. Peluru hanya tertanam di daging pehanya dan sudah dikeluarkan dengan selamat. Tiada kesan sampingan yang akan dihidapi Cempaka selepas ini. Dua tiga hari nanti barulah Cempaka boleh dibenarkan pulang ke rumah.      
                “Assalamualaikum Cindy,” sapa Luqman sebaik sahaja memasuki wad Cempaka.
                “Waalaikumsalam Lady Dee,” sengeh Cempaka.
Dua hari di hospital belum sekali pun dia menerima kunjungan Luqman. Gembira hati bukan kepalang bila dapat menatap wajah pujaan hati dalam diam. Aura Luqman begitu menusuk jantung hati Cempaka. Siapakah yang berjaya menakluki hati lelaki ini? bisik hati Cempaka setiap kali menatap wajah Luqman.
Jambangan tiga kuntum mawar merah bersama tiga puluh kelopak coklat Ferra Rosher yang digubah indah dihulurkan pada Cempaka. Senyum mekar bibir Cempaka menerimanya dari Ketua Unit yang juga lelaki yang dipujanya dalam diam.
“Terima kasih, tuan,” ucap Cempaka lembut.
“Dah sihat?”
“Alhamdulillah. Cuma rasa nyilu tu biasalahkan. Sekali sekala datang menyengat,” senyum Cempaka.
“Masih nak teruskan kerjaya dalam pasukan polis?”
“Tiada yang boleh menghalang niat murni saya ini, tuan. Rasa kepuasan yang tidak terhingga bila dapat menangkap dan menjatuhkan hukuman pada penjenayah negara. Kemakmuran sejagat itulah yang saya idamkan tuan,” luah Cempaka.
“Semangat patriotik sungguh awak ini ya. Tahniah dan syabas dari saya,” ucap Luqman.
“Tahniah? Syabas?....heheheh tuan ni nak buat lawak pun agak-agaklah. Orang dah kena tembak diberikan ucapan tahniah. Tuan pasti ke tuan ni sihat?” geleng Cempaka lucu.
“Awak tak tahu lagi ke? Satu balai tahu berita itu…,” sengeh Luqman saja hendak mengena Cempaka.
Memang betul pun, Cempaka tidak dimaklumkan akan hal pernikahan mereka. Saja Luqman menghalang Pak Hamdan dan Mak Eton maklumkan pada Cempaka. Dia sendiri ingin memberitahu dan melamar Cempaka macam cerita Mat Salleh dalam kaca tv itu. Segala kelengkapan majlis pun sudah siap. Tunggu Cempaka dibenarkan keluar hospital sahaja.
“Satu balai? Berita apa, tuan?” pelik Cempaka.
“Ishhh… awak ni buat lawak ke apa Cempaka. Sarjan Husin sudah susun konvoi nak ke rumah awak. Biar betul Cempaka,” usik Luqman. Muka Cempaka sudah kelat.
“Konvoi ke rumah saya? Kenapa? Buat apa?”
“Meraikan majlis pernikahan awaklah. Buat apa lagi,” geleng Luqman menahan lucu.
“Pernikahan saya? Dengan siapa?” terkejut Cempaka dibuatnya. Terus dia berdiri.
“Dengan tunang awaklah, sapa nama dia Ketman,” jelas Luqman.
“Haah! Ketman. Taknaklah nama pun tak glamor. Ishhh siapa yang punya kerja ni, sampai satu balai tahu. Sampai tuan pun tahu. Aduuiiii,” runsing Cempaka dibuatnya.
Luqman mengemam bibir menahan tawa yang bakal terburai jika dia tidak kuat iman. Dia melutut depan Cempaka yang berdiri di tepi katil. Sebentuk cincin dikeluarkan dari poket seluar ditunjukkan pada Cempaka yang sudah tegak berdiri macam patung.
“Tuan….,” perlahan terkeluar dari bibir Cempaka.
“Inspektor Cempaka binti Hamdan a.k.a Kak Long Kepek. Saya ASP Luqman Latif a.k.a Ketman ingin melamar Kak Long Kepek menjadi isteri dan teman penyiasatan saya sampai bila-bila. Sudikan Kak Long Kepek menerima Ketman menjadi teman sebantal Kak Long,” ucap Luqman penuh yakin.
“Tuan ini a.k.a Ketman?”
“Ya a.k.a Kak Long Kepek,” senyum Luqman lucu.
“Kenapa tak cakap awal-awal?” marah Cempaka.
“Cakap apa?”soal Luqman.
“Yang tuan ini Ketman,”
“Manalah saya tahu. Ketman itu nama timangan saya di rumah saja. Tiada siap yang panggil saya Ketman selain dari keluarga terdekat saja. Dan kenapa tidak bagitahu saya yang Cempaka adalah Kak Long Kepek?” soal Luqman kembali dengan hati berbunga lucu.
“Adehhhh! Malunya. Ini gara-gara Kembojalah yang pelat masa kecil dulu, terus saya terlekat dengan nama Kak Long Kepek. Tak glamor langsung. Tuan, bangunlah duduk kat kerusi tu. Jangan melutut macam ni lak senonoh kalau nurse nampak,” suruh Cempaka yang duduk di birai katil.
“Kak Long Kepek masih tidak jawab pertanyaan saya?” Luqman menagih jawapan pasti dari Cempaka. Tiga hari disusun kata melamar dalam kepala untuk bersemuka dengan Cempaka hari ini. Jika Cempaka menolak juga, mahu saja dia melompat dari tingkat tujuh hospital ini terus ke parking kereta. Malu tak tahu nak letak muka kat mana.
“Bila konvoi yang Sarjan Husin susun tu, tuan?”soal Cempaka selamba.
“Esok petang, sebab nak sampai malam sebelum solat isyak,” jelas Luqman penuh debaran.
“Ooooo… ingatkan subuh konvoi tu gerak. Boleh saya berkemas baju malam ini,” sengeh Cempaka selamba membuatkan Luqman memandangnya dengan penuh ketidakpercayaan akan maksud disebaliknya.
“Maksudnya…?”
“Saya ikut konvoilah,” senyum Cempaka lebih mekar.
“Sebegitu mudah?” soal Luqman tidak percaya.
“Iya.. itu jawaban saya a.k.a Kak Long Kepek,”
“Yahoooooooooo, umi Ketman nak kahwin. Kahwin dengan Kak Long Kepek!!!” jerit Luqman sekuat hatinya. Membulat mata Cempaka dengan sikap keterujaan Luqman.

Bercinta dalam diam. Malu meluahkan. Degil memperakuinya. Marah dengan susunan atur jodoh dari keluarga. Akhirnya menemukan mereka dalam satu kebetulan. Jodoh ditentukan sejak Luh Mahfuz lagi. Rahsia Allah sangat indah.    



No comments:

Post a Comment