Thursday, September 7, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Realiti

Hana (imiginasi penulis ihsan google)

“Abang apa semua ni?” Soal Hana yang hilang sabar. Dicampaknya sampul berisi gambar atas meja Azlan.
Selama ini, dirawat saja rasa hati yang acap kali rasa sangsi pada kejujuran sang suami. Tanpa bukti sahih, dia tak mampu bersuara. Tapi kini semuanya jelas depan mata. Azlan mengambil gambar yang beterabur atas meja. Wajahnya yang selamba berubah serius. Dipandang tajam pada Hana.
“Ini office Hana. Hormat abang sikit,” balas Azlan bersuara tegas.
Hana melangkah ke arah pintu yang terbuka. Ditolaknya kuat hingga bergegar dinding pejabat Azlan. Bunyinya yang kuat, buatkan staf di luar pejabat Azlan terpinga dan terkejut.
Azlan bangun dan terus menghampiri Hana. Lengan isterinya itu ditarik untuk dipeluknya. Hana menepis dan menjauh dari Azlan. Air mata mula membasahi pipinya. Tubuhnya menggeletar menahan marah dan kecewa.
“Apa semua tu, abang? Cakaplah terus-terang dengan Hana. Apa lagi yang kurang? Kenapa benda macam ni tak pernah selesai dalam rumah tangga kita?” Lirih persoalan Hana.
Azlan duduk di bersandar di sisi meja. Berpeluk tubuh. Hela nafas berat dilepaskan. Tak ada yang dapat disembunyikan lagi. Apa yang bersepah di atas meja itu adalah kebenaran.  Dia memang dah jatuh cinta pada Nooraina, eksekutif baru di syarikatnya ini.
“Bukan Hana, tapi abang... Abang tak rasa cinta ada lagi antara kita. You don’t have time for me anymore. The chemistry is missing someshere,” ucap Azlan.
Terhenti esakan Hana. Tergamam mendengar apa yang dilafazkan oleh Azlan. Rasa berputar dunianya. Kerusi pelawat di depan meja Azlan ditarik. Badan dihenyakkan terduduk di situ.  
“Dulu abang kata kat Hana,  dah ada anak ni tak payah fikir pasal cinta. Dah kahwin dah pun. Fokus pada anak dan masa depan keluarga ni je. Masa abang ada affair dengan perempuan lain sebelum ni pulak. Alasan abang sebab Hana ni tak pandai bergaya, tak pandai berkomunikasi. Dan sekarang abang kata, sebab abang tak cintakan Hana. I’m such a looser right. Dammed stupid. 15 tahun, bang! 15 tahun Hana jadi isteri abang. Ibu pada dua anak kita. Abang kata tak cinta. Tak ada cinta antara kita lagi?”
Hana geleng kepala tak percaya. Tangisnya terus lenyap. Tiada lagi sendu yang kedengaran. Yang kelihatan hanyalah deraian air mata yang mengalir tak berhenti. Pandangannya kosongnya menala tajam pada Azlan hingga buatkan Azlan terdiam kaku. Terkelu lidah Azlan untuk memujuk Hana. Semuanya berlaku secara mengejut.
Tiba-tiba pintu pejabat Azlan dikuakkan bersama suara manja memanggilnya cukup lembut.
Sugar! I’m back.”
Terkaku Nooraina melihat Hana berada di pejabat Azlan. Pucat lesi wajahnya. Setahunya jadual Hana tidak berada di pejabat hari ni. Hana sepatutnya berada di Putrajaya. Dan biasanya, jika pintu pejabat Azlan tertutup rapat menandakan Azlan tak mahu diganggu oleh staf lain selain dirinya.
Hana tergamam. Dia memandang tajam pada Azlan yang sedang meraut wajahnya seolah sedang berfikir sesuatu. Nooraina ingin keluar dari pejabat Azlan.
“Nanti!” Panggil Hana. Nooraini terpaku di situ.
Sugar, ya. Awaklah perempuan yang tak kenang budi. Saya layan awak macam keluarga saya sendiri. Even keluarga awak pun saya bantu. Ini balasan awak pada saya, Aina,” tegas suara Hana yang bergetar menahan sebak. Ikutkan hati, memang lunyai Nooraina dikerjakannya. Tapi mengenangkan maruah dan nama baik Azlan, dilembutkan rasa sakit hati.
“Err... apa puan cakap ni. Puan dah salah faham ni,” tergagap Nooraina membalas. Hana mencapai beberapa keping gambar atas meja dan disuakan pada Nooraina. Melihat gambar itu buatkan Nooraina tergamam. Glurpppp!!!
“Salah faham konon. Dulu awak kata, awak benci ayah awak sebab menduakan ibu awak. Abaikan awak adik-beradik. Awak benci perempuan yang kecewakan ibu awak. Perempuan itu buatkan ayah awak ceraikan ibu awak dan tinggalkan keluarga. Sekarang, awak pun sama macam dia. Rosakkan rumah tangga orang lain,” pedas balasan Hana. Nooraina sudah menangis di tepi Azlan. Esakan halusnya buatkan Azlan bengang.
“Cukup Hana. Hormat sikit, abang ni suami Hana. Abang ni ketua kat sini!” tengking Azlan.
Hana terus berdiri di hadapan Azlan. Dia nekad dengan keputusannya. Apa nak jadi jadilah. Dia dah timbang semuanya. Sudah beberapa hari dia memikirkan hal ini. Cukuplah dibohongi selama ini. Cukup!
“Baiklah bang. Macam ni lah. Hana dah penat nak baiki diri untuk jadi isteri sempurna buat abang. Abang pilihlah. Jika abang pilih Hana, jadilah suami yang benar-benar mencintai dan membimbing Hana jadi isteri solehah. Sekiranya tidak. Lepaskan Hana daripada gelaran isteri yang sekadar nama isteri. Tiada istimewa dari perempuan lain. ”
Azlan terus gelak. Tidak gusar langsung dengan permintaan Hana. Dipandangnya sekilas pada Nooraina yang teresak halus menunduk dari tadi.  
“Kau nak jadi janda ke, Hana? Kau sedar tak, kau tu tak ada apa-apa. Macam mana kau nak teruskan hidup. Kau lupa ke, ini semua usaha abang,” provos Azlan.
“Tak! Saya tak pernah lupa siapa saya. Dan sekarang saya dah penat. Saya nak cari reda Allah pula.”
“Kau tak mampu jaga anak abang. Kau serba serbi kurang. Jangan mengarutlah Hana. Tak ada maknanya abang nak lepaskan Hana,” balas Azlan dengan penuh yakin.
Hana tertawa sinis. Dia memandang pada Nooraina yang berdiri di sebelah Azlan.
“Jadi, abang pilih Hana daripada cinta hati abang ni la ya? Aina, dengar tu. Lelaki macam ni ke yang awak rebut dari saya,” lembut balas kata Hana. Namun berbisa pedih.
Nooraina terkebil-kebil tak tahu nak balas apa. Dipandang Azlan untuk menyelamatkan keadaan. Rahang Azlan bergerak menahan marah. Hana yang selama ini menurut saja kemahuannya. Yang tak tahu nak marah orang kini telah menyakitkan hatinya dengan bahasa sinisnya.
“Ain Farhana!”
“Ya, saya,”provos Hana cukup tenang.
“Hana betul-betul nak bercerai ke? Nak sangat jadi janda?”
“Ya.”
“Baiklah. Dengar sini, Ain Farhana binti Sulaiman, aku ceraikan kau dengan talak satu. Kau keluar saja dari pintu bilik ni. Anak anak hak aku. Satu sen pun duit aku, kau tak layak,” lantang talak dijatuhkan dengan rasa marah yang membuak. Kemudian Azlan tergamam. Diam terkaku.
Hana melepaskan nafas lega. Sekian lama dia menanggung kecewa, hari ni terasa ringan bahu. Bibir mengukir senyum kelat. Air mata yang bergenang di tubir mata diseka lembut. Tangan dan kaki yang menggigil tak dihiraukan langsung.
“Terima kasih. Dah lama saya sedar saya tak layak dapat semua harta tu. Ambillah. Tapi tolong jangan halang saya jumpa anak-anak saya. Mereka itu nyawa saya.”

Hana melangkah meninggalkan semua kenangan cinta yang dibina.

**************
Bab ini telah dikemaskini mengikut plot cerita baru pada 5 Oktober 2017. Maaf atas kesulitan. Diharap dapat baca semula untuk faham jalan cerita. 

2 comments:

  1. Masih nak ego lg kan Azlan... Layan le betina perampas tu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bila dah cinta dan ego masih di kepala. Tiada yang dapat dibayangkan sis. :)

      Delete