Monday, September 18, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Hana Belajar Berani

Hana keluar bilik air dengan rambut berbalut dengan tuala. Dari semalam dikunci diri dalam bilik. Dia kecewa sangat bila dituduh terlalu baik. Terlalu naif hingga biarkan diri menjadi mangsa penderaan Azlan.
Salahkah aku mendidik diri menjadi seorang isteri yang akur? Salahkah menjadi isteri yang mencintai suaminya sepenuh hati? Salahkah seorang isteri menjaga semua harta suaminya semasa ketiadaan suaminya. Semua itu untuk kesejahteraan dan kebahagiaan rumah tangga aku. Itu yang diperuntukkan bagi seorang isteri buat suaminya. Bicara Hana dalam hati. Akalnya berlawan rasa tak puas hati dan bersalah pada Murni.
Badan dihenyak duduk di birai katil. Mengeluh melepaskan kesal bekali. Tuala di kepala dicabutnya. Mata di pejam rapat mengurangkan rasa bersalah yang menggebu di hati.
“Uni sayang Hana. Hana kena ingat tu. Uni marah sebab Uni sayang. Takkan itu pun Hana tak boleh faham,” marah Murni. Bengang dengan Hana yang mudah cair dengan arahan Azlan yang bodoh itu. Ada ke pisahkan ibu dengan anak?
“Ya, Hana faham. Faham sangat. Hana ni dah banyak susahkan Uni kan. Hana ni banyak sangat masalah. Lepas satu, satu. Uni dah meluatkan?” Lepas Hana cukup lantang. Rimas disogok persoalan yang menyesakkan hati.
“Ya! Memang. Uni meluat dengan sikap Hana yang terlalu baik tu. Hana tahu tak. Hana membodohkan diri Hana pada si mangkuk ayun tu. Dari mula bercinta sampailah sekarang. Hana agungkan sangat dia. Mudah je Hana maafkan dia sampai dia sanggup pisahkan Hana dengan Kimi dan Ida. Hana nampak tak? Hana biarkan dia nampak kelemahan Hana. Lepas tu apa? Hana nak rujuk balik dengan dia. Nak lalui benda yang sama ni balik?” Tengking Murni.
Murni dah tak tahu bagaimana nak buka mata Hana untuk melihat realiti sebenar. Nak jadi isteri solehah pun agak-agaklah. Bukan pada spesis jantan macam Azlan ni. Ikut nafsu dia saja.
Hana buka pintu bilik luas-luas. Muka masam memandang tepat pada Murni. Jatuh rahang Murni tak percaya. Bahasa badan Hana langsung tak dijangka maksudnya.
“Hana halau Uni?” Soal Murni tak percaya.
“Hana nak tidur. Uni ni asyik memekak je dari tadi. Runsing!”
“Kerana si mangkuk ayun tu Hana halau Uni keluar dari bilik? Apa istimewanya dia dari Uni?” Murni kecewa. Sakit hati melihat biarkan dirinya dijadikan papet.
“Sebab dia suami Hana! Hana cintakan dia!” Jerit Hana sekuat hati. Dia tak betah didesak benda yang dia tak nak kongsikan lagi. Hana jatuh berteleku sambil memegang pintu. Kepala ditunduknya ke lantai. Melontarkan kecewa.
Murni gelak. Saja dipanjangkan gelak yang dibuat-buat bagi menyakitkan hati Hana lagi. Murni memegang kedua bahu Hana.
“Bukan suami, Hana. Bukan. Mangkuk ayun tu hanya bekas suami kau je. Be-kas suami kau je. Cinta? Aku rasa, dia setakat tahu sebut perkataan cinta je, Hana. Maksud cinta langsung dia tak tahu. Sedarlah Hana,” pujuk Murni.
Hana menolak tangan Murni. Dia tak mahu bertengkar dengan Murni lagi. Dia jadi bertambah runsing, bertambah keliru untuk teruskan hidup.
“Tolong Uni. Leave me alone,” perlahan permintaan Hana.
“Baik! Uni keluar. Ambiklah sebanyak masa yang Hana nak ambil. Tapi satu je Uni nak cakap. Hana bodoh. Hana bukan saja rosakkan diri Hana tapi Hana cacatkan masa depan Kimi dan Ida. Kalaulah mereka ada sekarang. Mesti mereka malu tengok Hana macam ni. Malu nak mengaku Hana ni mama mereka,”kata Murni cukup geram.
Dia terus menolak tubuh Hana menjauh dari pintu. Ditariknya pintu hingga bergegar gegendang telinga dengan dentuman yang kuat.
Hana membuka mata. Air mata yang bergenang di kelopak mata kini sudah menitis di pipi.
“Maafkan Hana, Uni. Cinta buatkan Hana keliru. Buntu. Beri Hana masa untuk pulih. Hana janji Hana akan belajar lupakan Azlan.”
Hana baringkan badannya atas tilam. Kepala berpaling memandang ke meja sisi di tepi katil. Botol ubat ditenungnya lama. Terngiang-ngiang nasihat Talha memintanya berani menempuh kesakitan emosi sekali lagi. Kali ini Hana perlu lihat bagaimana luka kecewa itu buatkan emosinya gagal berfungsi dengan sempurna.
“Ana. Diam, pendam, menangis, mengunci diri dari semua orang tak selesaikan pun masalah you. Masalah yang you simpan dalam kepala you tu tak berganjak langsung. Tak diselesaikan langsung.  You kena paksa diri you buang masalah you tu dari kepala. Jangan biarkan dia jadi saka yang merosakkan diri you. You perlu berani sekali je lagi Ana. Berani sakit untuk sekali je lagi,” pujuk Talha lembut. Sesi luahan Hana secara klinikal tak berjalan lancar. Komunikasi sehala tak menjuruskan pada kata sepakat untuk sihat.
You mampu Ana. Sudah banyak kali you lalui benda yang sama. I tak ada cara lain lagi Ana. You tak nak bercerita. You tulis di sini. You luahkan di sini. Ini je. You cuba ingat semula diri you. Kesakitan you dan tulis dalam ni. Tulis sebanyak mana yang you nak luahkan. You have to do it Ana. Ubat ni bukan jawapan yang mampu sihatkan you.”
Hana terus bangun. Laci meja sisi di sebelah katil ditariknya. Sehelai sampul putih bersaiz kertas pencetak dikeluarkan isinya. Hana membaca satu persatu arahan mudah yang tertera di situ.
“Cipta matlamat hidup. Aku ada matlamat hidup lagi ke? Suami dah tak ada. Anak-anak pun tak ada,” ucap Hana. Pucuk hidung digosoknya dengan belakang jari telunjuk. Pencil yang disertakan sekali dalam sampul putih itu dipegangnya. Dibiarkan jari dan akal bekerjasama menulis di kertas putih yang disediakan.

Muslimah Solehah. Seorang wanita Islam yang kembali belajar untuk kenal diri sendiri.

“Hmmm... yang tu dah. Sekarang ni. Write down your expectation in life. Eeee... Ha ni pun satulah. Hari tu dia juga cakap. Ana, dalam hidup don’t put expectation to high. That the main reason you feel sad. Ni dia soal benda yang sama. Pusing-pusing betul la orang tua ni,” bebel Hana. Tangan tetap menulis di kertas yang diberikan.

Harap dapat melupakan. Memaafkan. Dan mulakan hidup baru.

Yes! Yes! Inilah yang aku nak sangat. Mulakan hidup baru,” kata Hana. Kepala di angguk tak berhenti. Bersetuju apa yang baru ditulisnya pada kertas. Hana mulai bersemangat untuk menjawab dan menulis pada helaian kertas yang diberikan oleh Talha.
Nada dering telefon Hana yang dipasangkan lagu Can’t Stop The Feeling nyanyian Justin Timberlake memecah kesunyian. Hana turun dari katil menuju ke meja solek. Skin telefon dipandang. Nama Talha tertera di situ.
“Helo. Ya Ha,” sahut Hana tak bersemangat nak bercakap.
“Hana buat apa, malam ni?” Soal Talha lembut di hujung talian.
“Mmmm tengah tulis pada kertas yang Ha bagi hari tu. Kenapa?” Soal Hana.
“Hah!” Nada terkejut Talha buatkan Hana bulatkan mata. Pelik!
Talha diam tak bersuara. Dahi Hana dah berkerut. Dijauhkan telefon dari cuping telinga untuk melihat cahaya pada skrin. Masih bernyala.
“Ha! Ha! Talha,” panggil Hana.
“Ya. Ya. Ya. Ha ada sini. Wow! Ana. Satu yang memeranjatkan. Sebanyak mana Ana dah tulis?”
Hana berjalan ke katil semula. Kertas di atas katil diselaknya sebelum menjawab soalan Talha.
“Dah hampir siap sebenarnya. Ni Hana tengah jawab soalan Ha yang, what type of activities that you miss the most,” jawab Hana polos.
And the answer is?”
Dance,” sepatah jawab Hana.
“Siap. Ha ada tempat yang selamat dan sesuai untuk Hana dance. Ha tunggu kat kereta,” arah Talha. Panggilan terus dimatikan.
Terkulat-kulat Hana mencerna arahan Talha. Jari terus mengaru kepala yang tak gatal.
“Ha ni pun, biar betul. Aku dah lebih dari enam belas tahun dah tak buat kerja gila. Menari ni semua lagilah. Aerobik pun tak ada masa. Kang jadi bahan gelak je. Jangan buat fasal. Tapi, okey juga kan. Aku juga yang cakap nak bina hidup baru. Aku kenalah jadi diri aku semula. Tapi...ahhhh Ha tu doktor aku. Bukan siapa-siapa. Dia sekadar nak tolong aku je. Jangan fikir yang bukan-bukan Hana,” kata Hana sendirian.  
Kaki sudah laju saja menuju ke almari pakaian. Tangan dah membuka pintu almari. Denim biru dan sehelai t-shirt putih menjadi pilihan Hana.
Bismillahirahmanirahim. I want to move on! Bisik Hana sambil menutup pintu biliknya dan berlalu.

*********

Bab ini telah dikemaskinikan semula pada 5 Okt 2017. Maaf atas kesulitan. Diharap dapat baca semula. 

No comments:

Post a Comment