Monday, September 11, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Depression

Sudah hampir empat bulan Hana bergelar janda. Tempoh edahnya sudah selesai dua minggu yang lalu. Hidupnya huru-hara. Larangan Azlan yang menghalang keras Hana bertemu anak-anak buatkan emosinya terjejas teruk.
“Abang betul ke apa yang kita buat ni?” Soal mak su pada suaminya. Pilu melihat keadaan Hana yang hilang semangat untuk hidup sejak tiga bulan lalu.  Macam robot saja rutin hariannya. Tiada perasaan. Tiada nyawa.
“Si Ha tu kata memang kelakuan orang tertekan macam Hana ni. Awak nak ke. tengok dia lost macam tu lagi? Abang tak sanggup. Dialah satu-satunya anak buah abang. Tanggungjawab abang,” jelas pak su.
Hana mulai mengambil ubat penenang sejak dua bulan lepas. Selepas Hana terselamat daripada dilanggar oleh sebuah lori hantu. Mujurlah ketika itu, Talhah yang merupakan jiran rapat pak su ada di tempat kejadian. Nak dijadikan cerita, Talhah  tu doktor psikiatri. Senang saja dia kenal pasti simptom depresi yang ada pada diri Hana. Setelah menjalani pemeriksaan lanjut di hospital, Hana didapati mengalami depresi yang agak berbahaya pada kesihatan mentalnya. Hana mulai mengalami halusinasi iaitu suara-suara halus. Disebabkan itu Hana susah nak tidur malam yang menyebabkan selera makannya jatuh merudum. Interaksinya dengan orang lain pun semakin kurang. Dia lebih selesa menyendiri dalam bilik.
“Tak ada side effect ke, bang? Yalah, Hana bergantung pada ubat tu untuk tenang,” musykil mak su. 
“Kata Ha, tak ada masalah. Cuma Hana akan rasa mengantuk je. Sebab itulah Ha kata kalau boleh jangan biarkan Hana keluar sendirian ataupun memandu. Bahaya,” sambung pak su lagi.
Cekodok dalam piring atas meja di pandang penuh menyelerakan. Sebiji demi sebiji masuk dalam mulut mak su yang melayan rasa geram. Tengah geram ni, makan apa pun sedap.
Pak su melepaskan keluhan bimbang. Muk berisi nescafe yang baru dituang oleh mak su dicicipnya perlahan. Kepala kembali merewang memikirkan ikhtiar terbaik untuk memulihkan Hana seperti dulu semula.
“Saya ni kan bang. ikutkan hati mahu saja saya sula budak Azlan tu. Dah ceraikan Hana tu sudahlah. Jangan diganggu lagi. Bukan awak tu lama sangat menduda. Dah nak nikah baru pun dengarnya. Buatlah cara orang nak nikah baru. Ni saya tengok macam orang gila talak pun ada jugak,” bebel mak su.
 Pak su mengeluh lagi. Apa yang diucapkan si isteri ada kebenarannya. Azlan dah macam orang gila talak merayu Hana. Walaupun cara Azlan tu menjengkelkan, tapi sangat meninggalkan kesan pada Hana dan orang sekeliling Hana. Alasan anak diguna pakai sampai buatkan bukan Hana saja terkesan, malah anak-anak mereka pun mendapat tempiasnya. Kesian budak berdua tu.
“Aku pun dah tak tahu nak cakap apa dengan si Azlan tu, Mah.  Dia yakin sangat Hana tu mengalah dan terima dia semula.  Dia tak tahu yang hati Hana tu dah cedera parah disebabkan dia. Ishhh nak aje aku suruh Hana tu nikah dengan siapa-siapa baru putih mata dia,”sokong pak su.
Perbualan mereka terhenti, tak kala sebuah teksi berhenti betul-betul di depan rumah. Turun seorang wanita dari perut kereta bersama sebuah bagasi ditarik masuk ke perkarangan rumah.
“Assalamualaikum,” sapa pak su yang berdiri di depan anjung.
“Waalaikumussalam. Tanya ya pak cik. Betul ke ini rumahnya pak su Ain Farhana binti Sulaiman?” Soal wanita itu cukup sopan.
“Ya. Ini rumah saya. Anak ni siapa?” Soal pak su. Lebar senyum di wajah wanita tersebut. Terus dia berjalan mendekati pak su dan mak su yang berdiri memandangnya pelik.
“Laaa, takkanlah dengan Uni pun pak su dan mak su dah lupa. Saya ni kawan baik Hana. Murni, yang kahwin dengan Mat Saleh tu,” jelas Murni memperkenalkan diri. Melopong mulut pak su. Terkejut.
 “Astaghfirullahalazim budak bertuah ni,” ucap pak su. Kepala digeleng tak percaya. Baru minggu lepas dia bersembang dengan Murni melalui telefon. Tak ada angin, tak ada ribut muncul tiba-tiba depan rumah.  Mak su menarik tubuh Murni. Pipi dilaga penuh kasih sayang. Sebak rasa hati dirasai tiba-tiba. 
“Budak bertuah ni. Manalah mak su nak cam. Kamu tu sejak dah kahwin mana nak datang rumah mak su ni. Mak su dengar cerita kamu pun dari Hana je. Mana anak dan suami kamu, Uni?” Soal mak su. Kenal sangat dia dengan Murni. Kawan baik Hana dari sekolah asrama hingga ke universiti.
“Saya balik sorang je mak su. Nak jumpa Hana. Anak-anak tinggal dengan daddy dia. Sekali-sekala tinggal apa salahnya kan. Hana macam mana mak su?” Soal Murni yang tak sabar nak bersemuka dengan teman baiknya itu.
Bergetar bibir mak su menahan sebak yang semakin menebal. Hujung lengan baju ditariknya untuk mengesat air mata yang sudah berkumpul di tubir mata. Hana gosok lengan mak su perlahan. Faham maksud bahasa badan yang disampaikan.
“Dah! Dah tu mak su. Tetamu datang jauh ni. Jom masuk dalam. Hana tengah tidur dalam bilik,”pujuk pak su.
Murni angguk. Membuntut belakang pak su dan mak su sambil menarik beg bagasinya masuk ke dalam rumah. Keputusan pulang diambil setelah Murni berbual dengan pak su dan kemudiannya dengan doktor psikiatri yang merawat Hana. Bukan orang lain, kenalan rapat mereka masa di sekolah menengah dulu.
“Murni cuti berapa lama?” Soal pak su.
“Uni cuti sebulan pak su. Ingatnya nak menumpang sini je. Uni nak bawa Hana berubat. Uni dah call Dr. Talhah yang pak su bagi tu. Laaa, kenapa pak su tak cakap nama dia Ha je,” cerita Murni cukup ceria. Sikap peramahnya tak berubah dari dulu sampailah sekarang.
“Uni kenal?” Soal pak su dengan kening bercantum.
“Apa tak kenalnya pulak pak su. Ha tu senior kami masa sekolah menengah dulu. Masa call tu, dia terus minta maaf sebab masa sekolah dulu dia selalu buatkan Uni dan Hana kena denda. Sikit-sikit denda. Sikit-sikit denda. Tapi itulah, budak nakal memang selalu jadi bahan pengawas lah,” cerita Murni selamba.
“Alhamdulillah. Mudahlah kalau macam tu. Pak su pun bukan faham sangat apa yang Ha tu cerita. Pakat serah mana yang terbaik pada dia je. Asalkan Hana sembuh,” pasrah pak su.
“Uni dan Ha sentiasa ada di sisi pak su  dan mak su. Kami nak tengok Hana sembuh macam dulu balik. Kita usaha dan doa sama-sama ya pak su, mak su,”pujuk Murni. Pak su dan mak su hanya angguk. Itu yang mereka harapkan. Hana kembali pulih seperti sebelum ini.
“Aku benci kau! Aku benci! Aku benci! Benci!!!!!”
Suara Hana bergema di tingkat atas rumah. Berlari pak su dan mak su macam lipas kudung menuju ke bilik Hana. Murni yang pertama kali dengar jeritan Hana tergamam.
Wake up, Hana! Fight! Fight for youself. Bisik Murni melihat pak su dan mak su bersusah payah memeluk dan menenangkan Hana yang sedang meronta dan menangis semahunya.

**********

Bab ini telah dikemaskinikan semula pada 5 Oktober 2017. Maaf diatas kesulitan. Diharap dapat baca semula. 
  

No comments:

Post a Comment