Friday, September 8, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Berpisah

Nooraina duduk di meja yang agak terlindung. Empat bulan, Azlan rasmi berpisah dengan Hana. Dia nampak perubahan pada diri Azlan. Walaupun, Azlan sudah menyatakan hasrat untuk memperisterikannya. Hatinya rasa sangsi.
“Betul ke encik nak kahwin dengan anak mak cik?” Soal ibu Nooraina. Acara makan malam mereka terus senyap dari riuh rendah berbual. Kakak dan adik Nooraina yang turut sama hadir hanya tunduk mendengar.
“Betul mak cik,” jawab Azlan penuh hormat. Nooraina berdebar bila ibu bersoal serius sebegini. Dia ada bercerita dengan kakaknya fasal hubungan cintanya dengan Azlan. Tapi belum sampai bab kahwin. Bila Hana dah habis edah barulah dia berani bawa Azlan makan malam di rumah.
“Encik dah berkeluargakan? Puan benarkan ke?” Soal ibu Nooraina lagi.
Azlan pandang pada Nooraina. Nafas dilepaskan.
“Kami dah bercerai bulan lepas mak cik,” cerita Azlan terus-terang.
Berubah wajah ibu Nooraina. Sudu yang tadinya dipegang diletakkan kembali atas pinggan. Dipandangnya sekilas pada Nooraina dengan aura kecewa.
“Maaf kalau mak cik bertanya. Berapa lama dah encik berkahwin dengan puan?”
“Lebih kurang enam belas tahun mak cik. Anak sulung saya tingkatan tiga tahun ni.”
“Hmmm... lama tu. Disebabkan Aina ke, encik bercerai dengan puan?”
Azlan diam. Soalan ibu Nooraina cukup susah untuk dijawab. Dipandang Nooraina yang pucat lesi sebelah ibunya.
“Encik, mak cik ni ibu tunggal. Anak mak cik pulak semuanya perempuan. Yang kerja sekarang ni hanya kakaknya Aina dan Aina. Mak cik ni berniaga buat kuih frozen sikit-sikit. Itu pun idea awalnya dari puan juga. Mak cik ni dah lebih sepuluh tahun jadi janda. Mak cik faham apa perasaan puan. Encik tak rasa rugi ke lepaskan isteri yang dah enam belas tahun bersusah payah dengan encik sampai encik senang macam sekarang ni?” Lembut soalan ibu Nooraina.
“Saya tak pernah terniat nak lepaskan bekas isteri saya mak cik. Saya mampu bernikah lebih dari satu. Saya sayangkan keluarga saya dan saya cintakan Aina. Saya dah jelaskan hal ni pada bekas isteri saya. Dia berkeras untuk saya lepaskan dia,” jelas Azlan.
Ibu Nooraina tersenyum kelat. Kepala dianggukkan perlahan. Nooraina dah rasa seram sejuk badannya melihat perubahan wajah ibunya sendiri.
“Apa jaminan encik yang Aina ini bakal jadi isteri encik sampai akhir hayatnya?” Soal ibu Nooraina.
Tergamam Azlan. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Ayat yang sama pernah diajukan padanya enam belas tahun dulu oleh pak su Hana ketika menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan Hana.
Ucap salam bualan lamunan Nooraina terbang. Wanita berbaju kurung  dan berselendang panjang hitam berdiri di depan mejanya.
“Errr... puan,” ucap Nooraina yang canggung berdepan dengan Hana.
“Kita berdua saja kan?” Soal Hana lembut.
“Ya.”
Hana menarik kerusi di hadapan Nooraina. Sudah dua minggu dia terima e-mel daripada Nooraina untuk bersemuka empat mata dengannya. Hari ini baru dia ada kekuatan untuk itu. Misha siap menawarkan diri jadi ‘bodyguard’ lagi. Hana suruh Misha tunggu dalam kereta saja.
“Puan nak minum apa?”
“Saya tak layak dipanggil puan lagi, Aina. Tak apa, saya puasa sunat hari ni. Ada apa Aina nak jumpa saya?” Lembut balasan Hana.
Nooraina telan air liur. Ketenangan Hana buatkan hatinya rasa bersalah sangat. Nak pulak lepas mendengar leteran dari ibunya. Cinta dan perhatian Azlan buatkan dia buta melihat realiti depan mata. Nafsu melebihi segala-galanya.
“Saya nak minta maaf. Saya tak pernah terniat pun nak rosakkan rumah tangga puan. Saya...”
“Dah, Aina. Dah. Macam saya pernah cerita pada awak sebelum ini. Dalam perhubungan cinta, kita tak pernah akan kenal pasangan kita. Sifat tu sentiasa berubah. Sebelum bertunang lain. Lepas bertunang lain. Lepas nikah pun lain. Lepas lima tahun kahwin lain. Lepas sepuluh tahun lain. Lepas enam belas tahun pun lain. Jadi untuk itu, perempuan kena sentiasa bersedia. Awak pun tahu kisah Encik Azlan sebelum ini kan. Sebelum awak jadi girlfriend dia pun, dia pernah ada perempuan lain. Cuma satu je saya nak minta tolong awak,” pinta Hana.
“Apa puan?”
“Pulihkan nama bekas suami saya ni pada mata staf, klien dan pembekal. Saya yakin, berita penceraian kami beri impak negatif pada syarikat. Dia seorang ketua yang berkaliber. Seorang lelaki yang bertanggungjawab. Saya nak tengok dia terus sukses capai cita-cita dia,” pinta Hana.
Tergamam Nooraina. Dia tak pernah fikir akan berdepan dengan situasi sebegini. Disangkanya, pertemuan empat mata ini akan berselang seli dengan haburan marah dan deraian air mata. Tapi ini, lain!
Dipandangnya pada Hana yang tenang depan matanya. Sinar mata Hana dapat dilihat betapa sedihnya hati seorang isteri. Kelihatan susuk tubuh yang sedikit kurus dari biasa. Sudah cukup membuktikan wanita ini sengsara batinnya.
“Rujuklah kembali dengan Encik Azlan, puan,” ucap Nooraina.
Hana tersenyum tawar. Dipandangnya kiri dan kanan restoran.
“Saya sedang belajar untuk move on, Aina. Sepanjang bergelar isteri dulu, saya hanya beri tumpuan pada rumah tangga saya saja. Saya hanya fikir syurga saya bawah kaki suami saya, sampai saya abaikan diri sendiri. Saya abaikan keluarga saya sendiri. Saya abaikan kawan-kawan saya. Sekarang saya nak kenal balik siapa diri saya.”
“Tapi puan. Encik Azlan sayangkan puan,” ucap Nooraina separuh memujuk. Hana tertawa lucu.
“Sayang saja tak cukup untuk buatkan rumah tangga itu bahagia Aina. Pasangan perlu ada ikatan cinta mencintai. Satu rasa yang tak boleh dipaksa. Rasa yang buatkan mereka saling memerlukan. Saling melengkapi. Saling melindungi. Saling menyayangi. Saling membimbing satu sama lain supaya menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah. Itulah bezanya saya dengan Azlan. Itulah yang buatkan saya nekad untuk berpisah.”
Jelas Hana. Untuk dia teruskan hidup dalam membina bahagia, dia perlu memaafkan dan melupakan kisah sedihnya dengan Azlan. 
“Tapi puan...” bicara Nooraina termati bila jarinya disentuh Hana.
“Tolong saya, Aina. Untuk bersemuka dengan awak setenang ini pun saya ambil masa berminggu. Saya tak kuat. Saya pun sama macam perempuan lain. Terlalu kecewa bila diceraikan kerana orang ketiga. Setakut mana pun saya dari bergelar janda, tapi itulah pilihan saya... saya dah maafkan awak. Ambillah iktibar perjalanan hidup saya ni. Berubahlah. Dan berusahalah untuk bina bahagia awak sendiri. Assalamualaikum,” ucap Hana lembut.
Lang“Abang tolonglah. Kalaupun abang tak mampu buatkan Hana tersenyum. Tolonglah jangan buatkan Hana kecewa macam ni. Hana rayu, jangan pisahkan Hana dengan anak-anak. Jangan hukum anak-anak kerana Hana tak nak rujuk kembali dengan abang,” rayu Hana.
Azlan keraskan badan. Tiada satu pun rayuan Hana diambil peduli. Keputusannya hanya satu. Nak anak, rujuk! Itu saja jalan untuk Hana kembali sebagai isterinya.
“Abang ambillah semua harta. Ambillah semua duit tu. Tapi jangan halang Hana jumpa anak-anak Hana. Tolonglah,” rayu Hana lagi. Lengan Azlan digoncangnya merayu simpati Azlan.
‘Kita rujuk,” kata Azlan senada. Tajam matanya memandang pada Hana.
Geleng Hana. Daripada menangis merayu, dia terus melepaskan ketawa. Rambutnya yang mengurai disauk dan ditariknya macam orang gila. Tekanan.
“Tak! Hana tak sanggup.”
And no kids. Fullstop.”
“Sampai hati abang,” kata Hana sambil geleng kepala tak percaya.
“Keputusan abang disebabkan Hana yang minta. Hana yang berkeras nak bercerai. Abang dah pujuk. Dah minta maaf. Bukan salah abang. Hana yang nak macam ni,” kata Azlan. Hana taburkan tawa dibuat-buat. Geli hatinya mendengar kata yang baru diucapkan Azlan tadi. Salah dia?
“Jawab soalan Hana. Mampukah abang mencintai Hana sebagaimana Hana ikhlas menjadi satu-satunya isteri abang? Boleh ke abang terima semua kekurangan Hana tanpa terniat menduakan Hana lagi selepas ini?”
“Abang lelaki, Hana. Abang berhak kahwin lebih dari seorang. Abang mampu. Hana tak berhak mempersoalkan kemampuan abang.”
Hana mengeluh. Mimpi pahit itu sering menghantui masa sunyinya sejak hari itu. Tangan menekup mulut mengambil nafas dalam. Tamat sudah riwayat cinta yang disemai selama ini. Air mata menitis dari tubir mata. Perit!
“Hana, terima kasih,” ucap Richard.
Melayang lamunan Hana. Cepat jari menyeka air mata yang sudah bergenang. Richard selesai menyemak dokumen penyerahan harta dan pelepasan saham syarikat yang ditandatangani Hana. Dia kenal rapat dengan Hana dan Azlan. Tak sangka percintaan mereka jadi sampai macam ini.
Hana senyum kelat. Tas tangan dibuka. Gugusan kunci dikeluarkan dan diserahkan pada Richard. Serba salah Richard nak menerimanya. Hana letak atas meja dan di tolak ke depan Richard.
“Tolong serahkan kunci rumah, kedai dan kereta ni pada Azlan. Status penceraian kami pun dah selesai di pejabat agama kelmarin. Saya tak mahu ada perkara berbangkit kemudian hari. Saya harap Azlan tak halang saya berjumpa anak-anak saya, selepas saya serahkan semua ni. Saya lebih inginkan anak daripada semua harta ini,” lembut bicara tegas Hana.
I, cuba selesaikan semua ni. Tapi Hana, you layak untuk dapat harta sepencarian sepanjang you jadi isteri Azlan. You tahu kan?” Cadang Richard.
Hana angguk. Dia tahu semua tu. Dia tahu hak dirinya. Masa di pejabat agama pun sudah dimaklumkan. Tapi Hana nekad. Biarlah semua harta tu bawah seliaan Azlan. Lagipun, harta tu semua untuk masa depan dua anaknya.
Rasa terpujuk hati Hana bila mengenangkan yang anak-anaknya tinggal di asrama penuh. Kalau di rumah, Hana tak tahu nak uruskan bagaimana. Emosi mereka yang Hana risaukan. Dicuba sebaik mungkin agar berita penceraian ini tidak mengganggu perkembangan emosi si anak. Sekarang ni, mereka punya masa untuk berdepan dengan mereka masa cuti sekolah bulan depan.
“Itu hak anak-anak saya. Okeylah, Richard. Saya ada beberapa hal lagi yang perlu saya uruskan. Oh! After this, kalau ada apa apa you e-mel je pada saya ya, Richard. Nombor telefon ni saya tak guna lagi,” jelas Hana.
Berkerut dahi Richard. Bagaimana nak berurusan dengan Hana jika terdapat apa-apa dokumen yang perlu ditandatanganinya nanti. Hana tak boleh putuskan hubungan selagi semua urusan pindah milik ini belum selesai.
“Kenapa?”
“Nombor saya ni kan ke, supplement line Azlan. Masuk dalam bil dia tiap bulan. Jadi saya tak boleh guna nombor ni. Lagi pun, saya dah tak kerja sekarang. Kena jimat cermat,” senyum Hana.
“Oh!”
“Okey Richard. Apa apa e-mel je saya ya. Saya akan bagi nombor baru kemudian.”
Hana terus keluar meninggalkan kopitiam. Richard mengeluh. Telefon ditekapkan pada cuping telinga setelah panggilannya berjawab.
Tanpa mereka sedar, Nooraina sedang minum dengan rakan sekerjanya tak jauh dari meja Richard.
“Aku dah banyak kali cakap dengan kau. Jangan ikutkan rasa hati tu. Puan Hana tu, tak pernah buat apa pun yang menyakitkan kau. Sombong pun tak. Bukan takad kau je dia tolong, keluarga kau tu pun dia tolong. Kau tak ingat ke, taska mak kau yang tutup tu. Dia susah payah call kawan-kawan dia promo bisnes tu untuk dibeli. Dia nak bantu ringankan beban mak kau,” marah Medina.
“Aku tak suruh pun dia bercerai,” balas Nooraina selamba. Walaupun pada mulanya terselit juga rasa bersalah dalam hatinya, tapi setelah diyakinkan oleh Azlan yang dia serius pada hubungan mereka. Dia ketepikan rasa bersalah. Memang rasa cinta pada Azlan tu semakin mengebu dalam hatinya. Tak mampu disangkal lagi.
“Memanglah kau tak suruh, tapi kau menggatal dengan suami dia. Kau tak fikir ke, apa yang terjadi kat puan akan jadi kat kau. Bos tu bukan elok pun. Solat pun culas. Lelaki macam tu, kau nak jadikan suami. Fikir, Aina! Fikir.  Itu belum lagi si Hakimi dan Haida balik. Kita semua tahu, betapa rapat dan sayangnya dua beradik tu dengan puan. Kau ingat senang ke nak ambil tempat puan tu?” Medina melepaskan geram pada Nooraina. Dia dah berbuih air liur nasihatkan kawan sekerjanya ini. Perhubungan yang disorok akhirnya kantoi juga depannya. Semuanya kerana aksi Nooraina yang manja memeluk lengan Azlan tanpa segan silu di sebuah tasik di Putrajaya.  
“Ishhh... bos datang. Kau jangan banyak mulut,”bisik Nooraina melihat kelibat Azlan yang datang menghampiri meja Richard. Kehadiran mereka yang terlindung di balik tiang kopitiam langsung tak disedari Azlan.
Azlan terus pesan minuman. Dalam wajahnya yang tenang terselit juga rasa kesal dengan apa yang terjadi. Ikutkan hati, dia tak mahu lepaskan Hana. Dia selesa dan masih sayangkan Hana. Tapi ego seorang suami yang digugat kewibawaannya buatkan dia terlepas berniat.
“Bagaimana Richard?”
“Semua dah selesai. I hantar dokumen ni ke Setiausaha Syarikat untuk proses pertukaran pemegang saham. Yang lain ni I urus kat office je nanti. Dan ni, kunci rumah, kedai dan kereta. You memang minta semua ni ke?” Soal Richard inginkan kepastian. Setahu dia, Azlan tidaklah sekejam ini.
Azlan mengeluh. Kemudian angguk. Tak sangka Hana boleh lepaskan semuanya tanpa sebarang rasa tak puas hati. Tujuan asalnya nak gertak Hana saja.
You tahu kan, dia berhak mendapat harta sepencarian sepanjang bergelar isteri you. Lagipun, bukan dia duduk goyang kaki. Dia pun sama bantu you uruskan bisnes tu semua. Bukan je kat office tapi kat restoran tu sekali. Operation, dia yang handle kan,” kata Richard.
“Hmmm... Hana tak cakap apa ke Richard?”
“Dia tak nak semua ni. Dia kata itu hak anak-anak korang. Dia minta you jangan halang dia jumpa anak. Ishhh, I tak fahamlah dengan you ni. Dah dapat isteri yang macam tu punya baik pun you buang. Sudahlah ada rupa, baik, ada pendidikan. Bisnes tu dia yang tolong jaga. Elok pulak tu. Rapat pulak dengan keluarga you. Apa lagi you nak? Apa lagi bro?” cungkil Richard.
“Entahlah Richard. I tak tahu. Masa dia ada rumah tak rasa sangat. Ni baru, sebulan dia tak ada kat rumah tu, I dah rasa lain. Kalau tak, ada je lawak bodoh dia. Atau dia menangis sorang-sorang layan novel apa tah yang dibaca.” Kongsi Azlan. Hakikat yang baru saja diakui.
“Anak-anak dah tahu ke ni?”
“Cuti sekolah bulan depan mereka balik baru aku bagi tahu. Lagi pun sekarang ni dia orang sedang exam. Hana pun setuju macam tu. Apa-apa nanti mereka biasanya call Hana minta. Aku biarkan je dulu, sampailah mereka balik rumah nanti. Baru aku bagitahu,” ucap Azlan sambil mencicip air minuman. Ambil mudah apa yang telah dipersetujui bersama sewaktu di pejabat agama tempoh hari.
“Nak call macam mana kalau Hana terminate line tu.”
Terminate kenapa?” Soal Azlan. Terkejut.
“Itukan sub line you.”
“Ooooo....”
Azlan meraup rambut ke belakang. Ya, selama ni dia ambil mudah semua perkara. Hana yang uruskan semuanya. Bil-bil bulanan semua Hana yang uruskan setiap bulan. Dia main lepas tangan saja. Sikap menerima dan menurut Hana, buatkan semua perkara diambil mudah. Azlan cicip airnya hingga habis.
Abang yakin Hana akan merayu pada abang semula. Abang yakin Hana akan kembali pada abang. Hana tak betah berpisah dengan anak-anak. Abang yakin tak sampai tiga bulan Hana akan kembali semula pada abang. Bisik hati Azlan menyedapkan rasa terkilan.




*******

Bab ini telah dikemaskinikan semula pada 5 Okt 2017. Maaf diatas segala kesulitan. Diharap dapat baca semula. 

1 comment:

  1. Skrg ko ambik hak org sampai mass nanti org lain ambik nak nak ko Aina...

    ReplyDelete