Friday, September 8, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Pasrah


Hana selesai mengemas semua pakaiannya. Dokumen penting awal-awal sudah diberikan pada Misha sebelum bersemuka dengan Azlan lagi. Dua bagasi besar di bawa menuruni tangga. Bibik memandang hairan.
“Ibu mahu ke mana?” Soal bibik prihatin.
Hana layang senyum kelat. Tubuh bibik ditarik dan dipeluknya erat. Perempuan ini banyak membantunya membesarkan Hakimi dan Haida. Hampir dua belas tahun bibik ini bersamanya.
“Tolong jaga Kimi dan Ida baik-baik ya, Bik. Saya bukan isteri tuan lagi. Saya sudah di cerainya tadi,” bisik Hana sakit.
“Astaghfirullahalazim puan. Kenapa jadi begini? Subhanallah.”
Bibik menangis terkejut. Dibalas pelukan Hana.
“Jodoh kami tak panjang, Bik. Tolong ya Bik. Jangan berhenti. Jangan pergi mana-mana sampai Kimi dan Ida boleh terima ketiadaan saya di sini. Tolong,” rayu Hana. Sebak hatinya. Baru kini tersedar akan kesan yang bakal dilalui oleh si anak. Bibik tak mampu membalas kata. Anggukkan kepala tanda akur.
Bunyi kereta masuk ke laman rumah buatkan Hana melepaskan pelukan. Air mata bibik disekanya dengan hujung jari. Bahu bibik ditepuk sebelum berlalu menuju ke ruang tamu. Bibik memerhati dari pintu dapur. Sedih!
“Hana. Kau nak ke mana?” Soal Azlan resah. Rupa keruh bercampur kesal. Beg bagasi besar tepi pintu dipandangnya tak berkelip.
“Saya perlu keluar. Talak dah jatuh. Saya bukan isteri abang lagi,” balas Hana pedih. Seingatnya dia mampu berpisah dengan Azlan. Tapi hakikatnya selepas mengemas baju dia rasa kehilangan yang sangat menyesakkan.
Azlan terus memeluk Hana.
“Maafkan abang. Kita rujuk,” rayu Azlan. Berharap sangat hati Hana dapat dipujuk kembali. Hana meronta menolak tubuh Azlan menjauh darinya. Hatinya terus mengeras.
“Hana setuju bernikah dengan abang sebab kita cinta satu sama lain. Hana nak kita halal meluahkan cinta antara kita. Hana fikir abang akan jaga dan bimbing Hana sebagai isteri abang sampai akhir hayat Hana. Tapi macam-macam yang Hana perlu lalui sebagai isteri abang. Sejak kita ada bisnes sendiri dan dah rasa mewah sikit. Hana dipandang penuh kekurangan. Ini kurang. Itu kurang. Di mata abang, Hana ni menyusahkan. Tak mendatangkan keuntungan langsung pada abang,” luah Hana.
“Hana, abang minta maaf. Abang tahu abang salah. Kita rujuk ya, sayang,” bisik Azlan memujuk lembut. Ditarik tubuh Hana dalam pelukannya kembali. Hana menolak. Ke belakang selangkah menjauhi Azlan.
“Tidak! Hana tak sanggup. Kes-kes curang ni dah jadi perkara biasa buat abang. Dah buat minta maaf. Janji tak buat lagi. Tapi sudahnya jadi lagi. Ingat tak, masa Hana mengandungkan Ida dulu. Hana tengah sarat masa tu. Abang boleh pergi bercuti dengan girlfriend abang, si Melinda tu. Hana menangis tengah malam, sebab tumpah darah tengah malam tu. Mana abang, masa Hana sedang sakit nak melahirkan Ida?” Hana mengungkit kisah silam.
Azlan dengan sikap tak setia dan curangnya tak pernah berubah. Baginya bergaul mesra dengan perempuan lain tak salah. Bukan dia yang terhegeh pada mereka. Perempuan itu semua yang datang padanya. Memang lumrah hidup seorang lelaki yang ada rupa, pangkat, berharta dan bijak bermulut manis akan selalu dikejar oleh perempuan muda.
“Jangan ungkit kisah lama boleh tak? Abang dah minta maafkan. Kalau asyik ungkit, sampai bila pun hal ni tak selesai,” kata Azlan. Bengang pula dengan perangai Hana yang mengimbas kembali khilaf silam.
“Sebab kisah lama itu sama je dengan yang baru. Bezanya adalah perempuan yang menjadi pasangan abang tu je. Dahlah bang. Hana dah nekad. Hana tak sanggup jadi isteri abang lagi. Hana dah puas bersabar. Sejak Ida dalam perut Hana sampailah Ida dah masuk tingkatan satu, abang tetap tak berubah. Abang bangga dan bermegah dengan apa yang abang miliki. Abang kejar harta kekayaan dan pujian hingga Hana dan anak-anak rasa terabai. Hana tak rasa yang Hana ni isteri abang lagi, selepas abang mengulangi kesilapan yang sama berulang-ulang,” jelas Hana dengan suara yang mulai bergetar.
Azlan mengeluh. Tangan meraup rambut. Kusut kepalanya. Kedegilan Hana buatkan dia bingung seketika.
“Hana, kita rujuk demi Kimi dan Ida,” alasan Azlan. Berharap hati keras Hana akan cair. Hana menggeleng.   
“Hana dah cuba meletakkan Kimi dan Ida sebagai penyebab untuk Hana bersabar dan terima abang semula dalam hidup Hana. Tapi itu dulu. Sekarang, Hana tak mampu nak tipu hati Hana lagi. Hana kecewa sangat. Kecewa sangat-sangat. Huh! Antara kita tiada cinta lagi? Berkecai hati Hana ni bang. Rasa terhina sangat. Cukuplah,” jawab Hana. Air mata diseka laju.
“Kalau begitu. Abang tak izinkan Hana jumpa langsung dengan Kimi dan Ida. Itu yang Hana nak kan. Baik! Kita jumpa di pejabat agama,” tegas Azlan.
Tercabar egonya. Maafnya tak diterima langsung oleh Hana. Seolah Hana menidakkan haknya yang boleh beristeri lebih  dari seorang.

“Abang!!!!!” jerit Hana terkejut.

**********

Bab ini telah dikemaskinikan semula pada 5 Okt 2017. Maaf diatas semua kesulitan. Diharap dapat baca semula.  

No comments:

Post a Comment