Monday, September 18, 2017

Bahagia bukan Bidaan - Nik Zachary

Nik Zachry mencuri pandang pada pelanggan yang duduk di meja yang sama tiga malam berturut-turut. Waktunya pun sama. Keadaannya juga sama. Seorang termenung. Seorang lagi jadi tukang pujuk. Yang tukang pujuk tu pulak asyik duduk membelakangkan orang lalu lalang.
“Oooi kau skodeng apa ni?” Sergah Lokman.
Bengang melihat Nik yang tak beri tumpuan pada perbualan mereka. Nik layan sengih selamba.
“Aku tengok tu. Aku macam pernah jumpa perempuan tu,” kongsi Nik tanpa silu.
Lokman menoleh ke arah meja yang dimaksudkan Nik. Terpandang seorang perempuan yang seiras kawan yang dikenalinya. Tapi kenapa jadi sampai macam ni?
“Itu macam Hana,”ucap Lokman. Terkejut.
“Kau kenal? Aku tak tahu pulak kau ada kawan cantik macam tu selain bini kau,” sakat Nik.
Lokman tersengih lucu. Kalau dengar dek orang rumah dia ni memang kena cili mulut si Nik. Kepantangan puji perempuan lain cantik daripadanya.
“Itu kawan orang rumah akulah. Hana. Tauke kedai yang kami selalu lepak hujung minggu. Dengar cerita, dia dah tak jaga kedai tu lagi. Dah dekat tiga empat bulan rasanya,” cerita Lokman.
“Tauke mana yang jaga kedai setiap hari bro,” gelak Nik.  Mata masih ditala memandang ke arah meja Hana.
“Tapi ni kes lain Nik. Dia tinggalkan kafe sebaik saja bercerai dengan bekas suami dia,” cerita Lokman. Simpati mendengar kisah spontan yang diperoleh dari sok sek sok sek orang rumahnya dengan supervisor kafe dua minggu lepas.
“Bercerai? Dia dah kahwin ke?” Terkejut Nik.
Dalam fikirannya Hana masih bujang. Gaya penampilan Hana tak tunjukkan yang dia sudah berkahwin. Beranak pinak lagilah tak pernah terlintas di hatinya.
“Janda anak dua tu,” jawab Lokman dengan jelingan tajam pada Nik. Lain macam sungguh muka terkejut Nik bila diberitahu yang Hana bercerai.
“Laaa, aku mati-mati ingat dia single. Yalah penampilan dia tak nampak pun gaya isteri orang. Aku ada juga dua tiga kali nampak dia datang kat sini.” Cerita Nik.
Itulah kenyataannya. Dia tak pernah nampak Hana kelihatan mesra dengan lelaki yang datang bersamanya di sini. Semua nampak gaya macam klien.
“Aku pun pada awalnya pun macam kau jugak. Tapi ada satu hari tu masa aku gi breakfast kat kafe dia ni, aku terserempak dengan anak dan suami dia. Siap diperkenalkan kami dengan keluarga dia. Ramah Hana ni. Memang bagus dia jadi pengurus kafe dia sendiri. Sejak dia tak ada, memang nampak lintang pukang sikit kafe tu. Servis pun lambat. Makanan pun dah tak sedap,” cerita Lokman.
Nik terus diam mendengar. Mukanya bertukar serius.
Janda? Sungguh aku tak sangka selama ini aku minat pada bini orang. Subhanallah, Nik apa yang dah kau dah buat ni. Kau tahu tak dosa tu. Dosa. Eh! Tapi aku tak tahu. Itulah kau, kenapa tak tanya awal-awal. Single ke dah berpunya?  Perasaan Nik bertelagah dalam hati.
“Kata orang rumah akulah. Memang patut pun Hana minta cerai dari laki dia. Laki dia tu kaki betina. Kalau tak silap, salah seorang skandal terbaru dia eksekutif muda yang kerja kat syarikat dia juga. Kiranya macam api dalam sekamlah ni,” cerita Lokman beria. Sambil tu mulut mengunyah tosai yang di cicah dengan susu pekat. Kesukaannya!
Nik senyum senget. Berbual dengan Lokman ni memang tak kering gusi gelak. Ada saja cerita sensasi yang keluar dari mulutnya. Mengalahkan perempuan. Semua dia tahu.
“Mana kau tahu semua ni?” Soal Nik.
“Orang rumah aku cerita. Dia sanggup pergi kafe tu dua tiga kali sebab nak jumpa dan beritahu Hana masa dia terserempak mereka dating kat Putrajaya. Top top dengar cerita Hana bercerai. Tepuk tangan orang rumah aku,” sambung Lokman lagi.
Nik terus sandarkan kepala pada kerusi. Lepak gaya santai di restoran sendiri. Nak buat apa lagi. Semua kerja sudah diserahkan pada pengurus dan pekerjanya. Dia datang pun sekadar nak buat ‘spotcheck’ mengejut.
Mata masih memandang pada Hana bersama kawan perempuannya yang membelakangkan mereka. Wajah kosong itu ditatapnya penuh simpati.
“Hal-hal macam ni dah tak jadi hal lah. Berlambak je suami/isteri yang tak setia. Tapi tak adalah sampai cerai berai macam ni. Pasti ada hal lain ni. Kita yang tak tahu cerita tak boleh bersorak mencanangkan aib bekas suami dia. Mana tahu Hana tu pun ada silapnya,” rasional Nik.
Prinsip hidupnya mudah. Sesuatu yang terjadi itu pasti ada sebab dan musabab yang jelas. Tak adanya terjadi sesuatu perkara tanpa sebab. Macam pokok buah. Tak adanya buah kalau tak ditanam benihnya. Dan dijaga dan dibaja sampai terhasilnya putik bunga dan menjadi buah. 
“Betul jugak tu. Tapi aku komen dari apa yang aku tengok je lah. Sepanjang aku kenal Hana ni. Nak marah pun susah. Dia senyum je. Pelanggan marah pun, dia senyum je. Pekerti dia aku salute.  Ramah pun ramah. Pelanggan memang selesa sangat lah bila dia ada kat kafe. Tapilah kan. Ini aku kata tapilah kan,”sengih Lokman terpamer gaya nakal.
“Hah cakaplah. Yang pandang kiri kanan tu kenapa? Kau takut orang rumah kau tau ke kau cakap apa?” Usik Nik. Faham sangat dengan perangai kawan baiknya ini. Sayang bini a.k.a takut bini memang jelas terpamer bila mereka berkumpul.
Lokman garu dahi yang tak gatal. Sengih melebar dari biasa. Tak terasa hati langsung menjadi bahan usikan Nik. Dah biasa sangat. Diteguknya jus oren senafas.
 “Kalau aku jadi suami Hana tu lah. Aku memang jaga dia baik-baik. Mana nak dapat bini macam tu bro. Orang rumah aku pun tak baik macam tu. Siap orang rumah aku panggil Hana ni super-mama,” puji Lokman sambil tangan kanan sudah dinaikkannya ke atas memanggil pelayan.
“Maksud kau?” Berkerut dahi Nik. Sekali lagi matanya ditala memandang pada meja Hana.
“Yalah. Dia uruskan anak. Dia bantu uruskan operasi syarikat. Kafe tu pun dia yang urus tanpa ada pengurus. Serba-serbi fasal kafe dia urus. Orang rumah aku pun kata Hana ni lembut sangat. Buat je apa yang laki dia suruh. Hari tu aku dengar cerita dia nak bukak lagi satu kafe. Entah jadi ke tidak kalau dah macam ni gayanya,” kata Lokman.
“Oooo...”
Nik yang tadinya duduk santai kini sudah tegakkan badannya duduk bersandar pada kerusi. Mata masih terhala memandang pada meja Hana. Kelibat seorang gadis yang baru menghampiri meja Hana sangat dikenalinya. Ditambah pula dengan perempuan yang membelakangkan mereka tadi bangun dan memeluk gadis itu. Tak mungkin!
“Kau kenapa? Macam nampak hantu je ni?” Soal Lokman pelik. Di toleh memandang ke arah meja Hana.
“Aku kenal betul dua perempuan tu. Maksud aku perempuan yang kat meja Hana tu,” ucap Nik seolah berbisik.
“Siapa?”

Setahu Lokman, keluarga Nik ni semua dah merantau sejak ibu ayahnya meninggal dunia lima tahun lepas. Nik ni pun bukannya tetap duduk di Malaysia. Lepas habis belajar dulu, Nik dah dapat visa sebagai penduduk tetap di Australia sama macam adik beradiknya yang lain. Kebelakangan ini saja, Nik selalu ulang-alik Malaysia-Australia sejak menjadi salah seorang rakan kongsi bersama sepupunya yang membuka konsultan perunding civil. Masa yang sama juga Nik nampak peluang besar untuk memiliki restoran mamak bistro-nya sendiri. 

1 comment: