Monday, September 11, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Emotional Abuse

Murni termenung di dapur. Hilang jetleg melihat sendiri kesakitan jiwa Hana. Masa mendengar cerita daripada pak su hari tu, dia tak nak percaya. Talha cerita pun dia susah nak percaya. Tapi bila dah tengok sendiri, baru dia percaya. Dia tak boleh biarkan Hana terus-terusan begini. Sesuatu perlu dibuat untuk menjauhkan Hana daripada diganggu oleh Azlan lagi.
“Pak su, Hana nak jumpa Kimi. Dia nak exam. Hana nak bagi semangat kat dia,” rayu Hana merengek. Tubuh pak su ditolaknya untuk keluar dari bilik.
“Tak boleh Hana. Azlan tak bagi Hana jumpa Kimi dan Ida. Hana sabar ya,” pujuk pak su. Tubuh Hana dipeluknya erat. Wajah tenangnya tak mampu menyembunyikan riak sedih dengan apa yang terjadi.
“Tak! Hana tak boleh sabar dah pak su. Hana tak boleh sabar. Dah empat bulan Hana tak jumpa anak Hana. Anak Hana pak su. A-nak Hana,” jerit Hana. Tangisannya semakin menggila.
“Shsss sabar Hana. Sabar,” pujuk pak su.
“Hana nak Kimi! Hana nak Ida! Hana nak anak Hana! Lepaskan Hana! Lepaskan Hana,” ronta Hana.
Mak su memeluk Hana dari sebelah kirinya pula. Hana kini, betul-betul diapit oleh pak su dan mak su. Kepala Hana diusap lembut oleh mak su. Terkumat-kamit bibir mak su membacakan sesuatu di telinga Hana hingga rontaan Hana lemah. Tangisan lirihnya saja kedengaran memecahkan suasana bilik yang kembali senyap.
“Hana, dengar cakap pak su. Nanti pak su pujuk Azlan. Sebelum tu, Hana tak boleh menjerit-jerit macam ni. Hana kena banyak istighfar. Ingat Allah. Semua yang berlaku ni ada hikmahnya,” pujuk mak su berbisik di tepi Hana.
Terkumat-kamit mulut Hana membaca sesuatu. Matanya memandang pilu pada mak su. Kepalanya diusap lembut oleh mak su yang jelas ketara mengawal air mata dari gugur lagi.
“Apa salah Hana mak su? Apa kurangnya Hana sampai dia buat Hana macam ni. Hana harus berdepan dengan sorang-sorang perempuan yang dicintainya. Siapa Hana ni mak su? Kalau dia tak cintakan Hana kenapa dia ajak Hana kahwin dulu?” Soalan-soalan Hana buatkan mak su memandang tajam pada Murni.
Glurppp!!!! Jangan ungkit Hana. Jangan ungkit rahsia itu semua depan mak su dan pak su. Mereka dah cukup terkesan dengan penceraian kau ni. Biar tu semua jadi rahsia kita berdua je macam yang pernah kau cakap Hana. Pinta Murni dalam hati.
“Sakit mak su. Sampai sekarang Hana tak boleh lupa masa Hana sakit nak beranakkan Ida dulu. Kan ke masa tu Hana ada komplikasi plasenta di bawah. Bila-bila masa boleh bersalin. Hana ditinggal dengan bibik dan Kimi yang baru umur dua tahun kat rumah. Alasannya, dia ada kursus kat Penang. Rupanya dia pergi bersenang lenang bercuti dengan girlfriend dia kat Cameron Highland. Hana dapat tahu sebab malam tu Hana call nak beritahu dia, Hana dah mula sakit. Tapi.... dia suruh Hana jangan buat cerita. Dia suruh Hana tahan. Dia-suara perempuan,” mengongoi Hana membuka cerita.
Tergamam pak su. Mak su tolak bahu Hana menjauh dari badannya. Ingin ditatap wajah Hana mencari penjelasan lagi. Wajah polos penuh kesakitan Hana sudah cukup menunjukkan dia sangat terseksa tika ini.
 “Astaghfirullahalazim. Sebab tu ke, Hana pergi hospital sorang-sorang malam tu. Kenapa Hana tak cerita dengan mak su. Dengan pak su?” Soal mak su. Mendidih rasa marah dalam dirinya.
“Hana tak nak pak su dan mak su benci dia. Dia minta maaf dan janji tak buat lagi. Dia janji tak sakitkan hati Hana tapi lepas tu jadi lagi. Minta maaf dan jadi lagi. Hana tak larat mak su. Sakitnya mak su. Hana pernah tertanya kenapa dia tak bunuh je Hana ni. Biar Hana tak tahu semua ni,” kata Hana sambil memukul dadanya bertalu.
Pak su terduduk di kerusi tepi katil. Memandang Hana kemudian pada Murni yang diam menunduk dari tadi. Mak su memeluk dan menenangkan Hana yang duduk di birai katil.
“Kamu tahu semua ni Uni?” Soal pak su.
Telan liur Murni. Nafas ditarik sebelum kepala di angguk tanda dia tahu. Rahsia Hana disimpannya sejak zaman sekolah lagi. Masakan dia terlepas pandang satu pun kejadian yang menimpa Hana. Dibahunyalah Hana meluahkan segala-galanya. Jarak tak pernah menghalang mereka berhubung rapat. Murni sering menghantarkan adiknya Misha menemani Hana sekiranya Hana buntu teman rapat di sisi. Spa menjadi tempat rasmi pilihan Hana.
“Uni,” seru mak su lembut.
Murni menoleh ke belakang. Hilang terus insiden yang merobek hatinya siang tadi. Senyum kelat di tayang. Mak su tarik kerusi bulat di meja dapur dan duduk depan Murni.
“Kenapa Uni tak tidur lagi? Tak jetleg?” Tanya mak su sambil membuka botol kismis. Beberapa biji kismis diambil dan dimakannya sebiji demi sebiji.
“Tak boleh tidur mak su. Uni fikirkan Hana. Tadi pun, Uni sembang dengan Danny cerita fasal Hana,” luah Murni. Kemudian dia bangun menuju ke sink. Gelas jus yang kosong itu dibasuh dan diletak atas rak.
“Danny dan anak-anak macam mana kat sana?”
“Baik je mak su. Mereka semua kirim salam pada mak su dan pak su. Sekali-sekala mereka nak bebas dari bebelan mulut murai Uni ni. Rasa aman dunia katanya,” senyum Murni.
Mak su angguk senang. Bibir bergerak menyambut salam. Botol kismis dibuka lagi. Segenggam kismis dikeluarkan dari botol.
“Macam itulah Hana lepas dia bercerai Uni. Mula-mula dulu dia diam je. Termenung sini. Termenung sana. Tapi bila si Azlan tu asyik muncul depan dia dan tak bagi dia jumpa anak-anak. Mulalah Hana jadi hilang arah. Dia tak suka keluar bilik. Ajak makan pun tak nak. Kerja dia asyik termenung dan menangis je. Itu yang bila dia nak keluar ambil angin kat taman petang hari tu pak su suka sangat. Kami ingat dia dah puas menangis. Dia nak berubah. Seronok sangat. Dua tiga jam lepas tu, kami terus dapat call dari hospital. Kata Hana cedera. Ha yang bawa dia ke hospital. Masa tu lah Ha cakap yang Hana ni mengalami depression,” mak su meringkaskan kejadian yang menimpa Hana.
Murni duduk semula di bangku menghadap mak su. Kedua tapak tangan menampung pipi dengan siku terpasak di permukaan meja. Nafas disedut dalam kemudian dihembusnya perlahan. Rasa sempit dada memikirkan perjalanan hidup Hana.
“Maafkan Uni, mak su. Sebenarnya dah lama Hana makan hati dengan sikap jantan celaka tu. Tapi Hana tu baik sangat. Pemaaf sangat. Marah dia pun sekejap je. Lepas kena pujuk dia elok balik. Hana selalu cakap dia nak jadi isteri solehah yang disayangi dan disenangi suami. Tapi tulah. Kebaikan dia disalahgunakan,” cerita Murni.
“Nak jadi isteri solehah macam mana kalau pemimpinnya macam lahabau. Tak ada hati perut. Eee mak su tak sangka betul perangai dia macam tu. Muka baik je. Cakap pun sopan je. Pokoknya memang tak boleh jangkalah dia buat macam tu pada Hana,” bengang mak su. Sakit betul hatinya mendengar cerita Hana.  
“Hmmm... entahlah mak su. Uni tak tahu nak cakap apa dah. Tapi apa yang Ha cerita. Hana ni terlalu memendam dan tak meluahkan apa yang dirasainya. Marah, dia senyap. Sedih pun, dia senyap. Lama-lama benda tu jadi biasa. Emosi jadi terbiasa didera oleh keadaan. Dan lagi satu mak su,” terhenti bicara Murni.
“Lagi satu apanya Uni?” Soal mak su cemas. Bimbang ada lagi rahsia Hana yang mampu merobek hati tuanya.
“Bila Ha buka fail Hana. Rupanya, Hana pernah dimasukkan ke hospital yang sama awal tahun ni sebab,” serba-salah Murni nak teruskan percakapan.
“Sebab apa Uni? Cakap terus-terang dengan mak su. Jangan rahsiakan apa-apa pun dari kami lagi. Ha tak ada cerita apa-apa pun pada kami, selain suruh jangan biarkan Hana bersendirian buat masa sekarang ni,” pinta mak su.
Murni menekup mukanya seketika. Nafas sekali lagi disedut dalam. Dan dilepaskan perlahan. Muka diraup mengambil semangat untuk berani membentangkan kebenaran.
“Sebab apa Hana dimasukkan ke hospital, Uni?”
“Uni pun baru tahu hal ni mak su. Hana tak ada cerita yang dia telan sebotol ubat tidur. Menurut Ha, dalam fail tulis percubaan bunuh diri,” bergetar bibir Murni menyebut ayat akhir itu.

Tergamam mak su. Tangan terus menekup mulut. Terkejut.

*********
Bab ini telah dikemaskinikan semula pada 5 Okt 2017. Maaf atas kesulitan. Harap dapat baca semula.  

1 comment: