Friday, May 11, 2018

Prolog


MEGAT memandang pada kelincahan jurugambar pengantin yang sudah dua kali mengganggu duduk jantungnya. Bulan lepas di Ampang. Bulan ni di Ipoh. 

Dia ke? Macam bukan, tapi macam ya pula. Setahu aku dia budak Sains Politik, takkan jadi photographer pula? Megat bermonolog sendirian. Persoalan yang dia sendiri tak mungkin ada jawapannya buat masa ini.

“Kau kenapa ni?” soal Johari. Hairan. 

“Hah!” terpisat Megat ditegur tiba-tiba. Sudu yang dipegang terus menyuap kek coklat masuk dalam mulut.  

“Aku tanya, kau ni kenapa tiba-tiba diam bila nampak pengantin masuk. Minggu lepas masa kat rumah Talib pun kau terpegun macam ni juga. Kau terasa ya,” senyum Johari dengan firasat hatinya. Yalah, dalam mereka berempat sahabat, tinggal Megat sorang je yang belum kahwin. Sampai lekatlah jolokan nama ‘Ice King’ pada dahinya.

“Aku, terasa? Terasa apa?” soal Megat kepelikan sampaikan nampak garis di dahi. 

“Yalah.... bila kau tengok Talib dan Nizam ni, terus hati kau terasa nak kahwin. Betul tak?” tanya Johari. Senyum nakal terpamer di wajahnya. 

Megat terbahak ketawa. Ikut sangatlah serkap jarang yang bersarang di kepala tu. Telahan Johari tu tak terfikir dek akalnya langsung. Bagaimanalah dia nak kahwin, jika calonnya tak pernah nak lulus menjalani ujian yang ditetapkannya.

“Ke situ lak. Dah ada ke, calon yang mampu lulus ujian aku tu,” gelak Megat bersambung.

Kenyataan yang satu itulah yang buatkan Megat masih bujang hingga ke hari ini. Semua yang rapat dengannya sedia maklum tentang syarat mengarut Megat itu. Ini semua salah P. Ramlee dan Saadiah, kalau tidak kerana lakonan mereka yang sweet dalam cerita Musang Berjanggut tu, mesti Megat tak seteruk ini kemaruknya. 

“Sudah-sudahlah nak jadi abang janggut. Ujian kau tu merapu. Bini aku dengar pun tepuk dahi. Dia kata, Nash tu mengada-ngada. Lagi satu, takkanlah kau nak biarkan jolokan ice king yang budak-budak kat office tu bagi berterusan sampai bila-bila.”

Johari mengeluh rimas. Si degil ni payah nak diyakinkan supaya mengambil pendekatan lebih rasional dalam memilih calon isteri. Tak adalah ramai calon yang di reject buta-buta.

Megat layang sengih. Itu pra-syarat yang diberikannya pada semua orang. Nak suruh kahwin, pastikan calon itu menepati ciri-ciri yang diinginkannya.

 CALON ISTERI MEGAT NASRUDIN 

1.       Tinggi mesti 160cm atau lebih tapi tak boleh lebih paras telinga dia.

2.       Berat 50kg tak boleh kurang atau lebih. 

3.       Potongan badan 32-26-30. Baju saiz M. 

4.       Muka NO JERAWAT. NO MEKAP. 

5.       Rambut ikal semula jadi. NO KELUMUMUR.

6.       Bijak. Paling kurang MASTER DALAM TEKA-TEKI. Tahan dengan jenaka kasar.

7.       Ada senyuman memikat. Paling kurang 2cm bila diukur. Dan lesung pipit di pipi adalah satu bonus.

8.       Pandai uruskan rumah dan tak kekok dengan kerja-kerja mengemas rumah.

9.       Pandai masak. Paling kurang MAMPU MASAK UNCANG BAHAN YANG DIBERI. 

10.    Hati terdetik NAK NAK NAK NAK. 

 “Dah memang ni cara Megat Nasrudin cari calon isteri. Reda aje laaa. Aku peduli apa budak-budak tu panggil aku ice king ke, ice cream ke, air batu ke. Janji, isteri aku tu pilihan aku sendiri,” balas Megat sambil tersenyum.

Nekadnya mudah. Ada maksud di sebalik sepuluh ciri-ciri tu. Biarlah dia dan si dia saja yang tahu. 

Bak kata seorang hamba Allah padanya satu ketika dulu, “Wanita yang sanggup menawarkan dirinya sebagai isteri, itulah sebenarnya wanita yang membuatkan seorang lelaki itu budiman dan bermatlamat hidup. Jannah impiannya kerana dialah syurga yang terbaik buat si isteri. Go and find her.” 

No comments:

Post a Comment