Friday, May 11, 2018

Bab 2

ELINA Maisara menatap gambar lamanya yang di susun di atas meja panjang di ruang tamu. Gambar yang diambil bersama Almarhumah nendanya di sebuah cottage yang dipanggil Istana Hinggap mereka di Amsterdam. Di sanalah dia dididik menjadi seorang puteri yang berjiwa rakyat. Dia bebas mengekspresikan diri dengan semua benda baru dalam lingkungan batas yang dipantau oleh nendanya.

“Nenda, Elly rasa sakitnya. Cinta ni sangat sakit. Nenda suruh Elly jujur pada diri sendiri. Ikut apa kata hati Elly bila Elly keliru. Tapi sekarang tengok. Dia tolak Elly mentah-mentah, sebab Elly gemuk. Gemuk, nenda. Tak layak ke orang gemuk macam Elly ni bercinta?”

Elina mengongoi di riba nenda. Sudah sehari suntuk dia berkurung dalam bilik hingga mengabaikan makan. Risau semua petugas di Istana Hinggap bila puteri bongsu yang dulunya ceria kini berduka.

“Siapa kata orang gemuk tak layak bercinta. Sayang dengar sini, nenda nak cakap. Orang boleh je zalimi kita. Boleh je kecewakan kita. Tapi dia lupa. Semua tu tak akan berjaya sekiranya kita tak benarkan semua tu terjadi pada diri kita. Macam yang Elly buat sekarang ni la, Elly benarkan Megatron rosakkan diri Elly. Hentikan! Cucu nenda ni seorang yang hebat. Seorang yang cantik pekertinya.”

Teresak Elina dibuatnya. Cinta pertama yang diharapkan membahagiakan rupanya mengajar erti kecewa yang sangat menyakitkan.

“Pedulikan dia. Siapa nama dia? Payah nenda nak ingat.”

“Megatron.”

“Ha, pedulikan si Megatron tu. Nama dia pun buatkan nenda tak yakin dia mampu bahagiakan cucu kesayangan nenda ni. Dah tu. Wake Up. Ingat pesan nenda ni sampai bila-bila. Nikmat hidup yang paling bahagia adalah bila kita berjaya membina sukses pada sesuatu yang orang lain kata kita tak mampu lakukan. Tunjukkan pada mereka, Tengku Elina Maisara terbaik.”

Terhenti tangisan Elina. Semangat nenda buatkan matanya kembali memandang pada bilik pakaian yang terdedah. Gantungan baby shirt yang tersusun berderet di depan almari buatkan dia nekad. Ya, nekad untuk kurus!

“Nenda, boleh ke Elly kurus?”

Pertanyaan polos Elina secara tiba-tiba buatkan nenda tertawa kecil. Kuat betul penangan seorang lelaki yang diberikan jolokan Megatron hingga si puteri bongsu yang tak kisah akan berat badannya berubah.

“Siapa kata tak boleh? Boleh. Nanti nenda suruh Ayu jadi trainer Elly kat gim. Ayu tu ada sijil fitness. Nenda yakin, Ayu boleh bantu Elly ikut mana-mana program mengurangkan berat badan.”

Alaaa kena masuk gim ke? Tak boleh ke Elly pergi sedut lemak je nenda. Atau makan pil yang dijual kat klinik tu?”

Nenda geleng kepala. Kepala Elina dibelainya lembut. Kesian si puteri bongsu, baru nak kenal cinta dah kena reject. Tapi silap dirinya juga. Baru seminggu mereka rapat. Manalah si Megatron tu tak terkejut beruk. Sudahlah badan Elina gebu berbanding dengan Megat yang mempunyai pakej mempesona yang lengkap. Lumrah manusia hanya menerima kecantikan yang terzahir di mata. Yang terselindung langsung tak dihiraukan. Rugi!

“Sayang, dalam dunia ni tiada jalan pintas untuk capai sesuatu. Biarlah Elly kurus sikit demi sikit dengan bersenam dan menjaga pemakanan sebab Elly bukan nak kurus sebab Megatron kan? Elly nak kurus sebab Elly nak sihat. Elly nak nampak cantik untuk pakai baju-baju tu kan?”

“Ya, Elly bukan nak kurus sebab Megatron. Elly nak kurus sebab Elly nak rasa cinta. Elly nak rasa jadi isteri yang dicintai sebab diri Elly bukan sebab Elly cucu nenda atau puteri bongsu hartawan terkenal, Tengku Abidin.”

Polos jawapan Elina. Tiada satu pun tersorok daripada pengetahuan nenda. Itu yang buatkan dia menjadi kesayangan dan kepercayaan nenda sampai ke hari ini. 

“Elly! Elly!”

Suara nyaring Ayu yang memanggil buatkan Elina meletakkan kembali bingkai gambar lama itu di atas meja. Kenangan manis bersama rahsia nan satu tu masih tetap tersimpan kemas di kotak ingatannya. Mampukah dia meninggalkan segala memori yang telah merubah hidupnya? Hanya Dia yang tahu.

“Ya, saya Kak Ayu.”

Ayu muncul depan Elina bersama tablet di tangan. Menguruskan jadual harian Elina yang semakin padat sekarang ni perlukan komitmen dan komunikasi yang berterusan. Tak terkejar nak melayan kerenah Elina yang nak menikmati kepuasan bebas sebelum tamat tempoh perjanjiannya dengan ayahandanya, Tengku Abidin.

“Bukan ke hari ni Elly ada photoshoot jam sebelas pagi kat Dewan Anggerik di Bukit Damansara tu?”

“Haah nak pergilah ni.”

Elina mengalas beg kamera di bahu kirinya. Sementara sebelah kanannya pula mengalas beg tangan. Kunci kereta yang terletak di atas meja dicapainya.

“Petang ni jangan lupa ke warehouse Soup Kitchen jam lima petang. Kak Ayu tunggu kat sana. Barang-barang semua kita dah hantar ke sana.”

Ayu membuntuti belakang Elina sambil menjelaskan satu-persatu aktiviti yang melibatkan Elina dalam kegiatan amalnya. Orang lain sibuk turun padang beri gelandangan makanan. Elina pula, tak nak buat macam tu. Dia lebih suka melakukan kerja di belakang tabir. Dia keluarkan modal untuk memasak dan membungkus sendiri makanan yang ingin diberikan pada gelandangan. Tugas memberi diserahkan pada organisir aktiviti.

 Langkah Elina terhenti. Ditoleh ke belakang memandang pada Ayu yang sibuk memberi penerangan.

“Kak Ayu, lagi tiga bulan je Elly boleh bebas macam ni kan. Lepas tu Elly dah kena ikut serta dalam syarikat. Kahwin dengan pilihan ayahanda. Kenapalah Elly tak cari suami je kan? Kalau dah jumpa, mesti Elly bebas. Boleh jadi diri Elly yang sebenar. Tak terikat dengan pangkat dan protokol ni semua.”

Luah Elina tiba-tiba. Entah kenapa, di saat-saat akhir perjanjian yang dimeterai dengan Tengku Abidin, hatinya rasa resah. Fikirannya jadi buntu nak meleraikan sesuatu yang kusut dalam hidupnya.

“Dahlah jangan fikirkan lagi. Elly jangan putus berusaha. Jodoh tak ke mana. Tapi itulah, Elly yang memilih sangat.”

Ayu lembut memujuk Elina. Dia tahu apa yang mengganggu fikiran si puteri bongsu yang dijaganya sejak zaman remajanya lagi. Selepas kemangkatan nendanya akibat serangan jantung enam tahun lepas, Elina meminta perkenan keluarganya untuk memberinya ruang masa lima tahun untuk hidup berdikari. Dia tak mahu terlibat dalam mana-mana urusan syarikat mahupun kaum kerabatnya di sini. Permintaannya diperkenankan dengan syarat. Sekiranya tamat tempoh tersebut dan Elina masih tak mampu cari calon suami, dia terpaksa akur dengan calon yang disediakan untuknya. Manalah si puteri bongsu ni tak sedih dan resah.

“Ada calon pun tak semenggah. Lagi pun untuk apa semua tu Kak Ayu. Selagi… ahhh malaslah nak fikir. Susah-susah sangat, bulan depan kita balik Amsterdam ajelah, kak.”





No comments:

Post a Comment