![]() |
Illustrasi Ilham Penulis - Puteri Tantiana |
Puteri Tantiana terdiam. Pandangan matanya tertumpu
pada Ratu Ayu tanpa kelip. Geleng kepalanya mendengar berita yang baru
diperkhabarkan padanya. Mana mungkin abang dan kakaknya yang hebat boleh tewas
dengan peperangan nafsu mereka sendiri. Apa yang hebatnya Pulau Matahari itu
sebenarnya? Berfikir Puteri seketika.
"Bonda," panggil Puteri lembut.
"Tia… bonda ada rahsia yang ingin diperkhabarkan
pada Tia. Bonda rasa sudah sampai masanya Tia diberitahu akan asal usul
keluarga kita yang sebenar," ucap Ratu Ayu penuh tertib.
"Bonda ada simpan rahsia apa lagi ni? Tak cukup
lagi ke Tia dikejutkan dengan status puteri yang perlu pengiring.
Cukup-cukuplah Bonda berikan pada Tia, dua orang pengiring yang mengawasi Tia
macam orang salah ni. Ishhh pening tau nak layan si Mahmud dan Anum tu,"
lemah suara Puteri dengan kejutan yang ingin diperkhabarkan oleh Ratu Ayu.
Ratu Ayu tersenyum kelat. Puteri bongsu yang dihantar
ke Bumi sejak lahir untuk menjalani kehidupan sebagai manusia biasa
diperkenankannya walaupun hatinya sangat berat untuk melepaskan si bongsu
sendirian di sana. Namun demi kasih dan cintanya pada suami Putera Nadim,
diturutkan juga demi kesejahteraan negaranya juga.
Dunia Kejora memerlukan Puteri. Disebabkan itulah Puteri
dibekalkan dengan ilmu yang cukup mendalam tentang dunia perubatan juga dunia
pentadbiran alam pari-pari. Puteri menjadi ulat buku zaman kecilnya. Oleh itu
tidak mustahil apabila Puteri dilantik sebagai satu-satunya pelajar wanita yang
mencapai tahap kesaktian yang pertama di Adinium Universiti. Tempat tertinggi
untuk para pari-pari menimba ilmu kesaktian mereka.
"Tia, sebagai puteri bongsu Putera Nadim. Tia
ada keistimewaan yang tersendiri, berbeza dengan Putera Khalif dan Puteri
Sofia.... dan keistimewaan itu hanya akan muncul bila Tia mencecah umur dua
puluh satu tahun...bonda rasa Tia pasti tahu..." cerita Ratu Ayu buatkan
Puteri diam berfikir.
"Maksud Bonda...itu keistimewaan Tia. Bukan Tia
sakit?" soal Puteri yang mulai diserang rasa risau menggunung.
"Tidak, sayang. Itu kelebihan Tia yang diwarisi
dari keturunan ayahanda. Dengan kelebihan itulah bonda harap Tia dapat menyelamatkan
abang dan kakak, Tia. Kita tak ada masa yang lama Tia. Sekiranya dalam masa
lima tahun Abang Kal dan Kak Fia tidak dilepaskan, mereka akan terperangkap di
situ sampai bila-bila....dan Sakura ini akan ditakluki dengan mudah oleh Putera
Sharid dari Pulau Matahari yang jelas lagi bersuluh ingin mengambil alih tahta
Kerajaan Nadim..."jelas Ratu Ayu.
"Lagi, lagi, Pulau Matahari.
Lagi, lagi Pulau Matahari. Apa hebatnya
Pulau Matahari tu bonda?" bengang Puteri.
"Itu pulau keseronokan, Tia. Manusia Bumi gelarkannya
sebagai syurga dunia. Keindahan dan kekayaan pulaunya pula menjadi idaman bukan
saja manusia Bumi namun semua makhluk.... Menjadi pemimpin di Pulau Matahari
merupakan satu keagongan yang diimpikan sesiapa saja...namun ianya tak pernah
terlepas dari tangan keluarga Putera Nong sejak tiga ratus tahun dulu,"
cerita Ratu Ayu.
"Sebab itukah Abang Khal dan Kak Fia ingin
menakluki tahta Pulau Matahari. Huhh sebab itu juga mereka sehingga sanggup
meninggalkan bonda mentadbir Sakura sendirian?"soal Puteri yang tidak puas
hati.
"Abang Kal bercita-cita besar untuk meluaskan
empayar Sakura ni, Tia. Manakala, Kak Fia pula ingin bersuamikan Putera Sharid
yang dikatakan sangat kacak. Ketaksuban yang melampau, buatkan mereka terlupa
akan sumpahan Pulau Matahari.”
"Sumpahan?"
"Sumpahan yang ditanam oleh Putera Sharid sejak
menaiki tahta Pualau Matahari. Sesiapa yang berniat serong pada kerajaannya
akan terkena sumpahan yang membuatkan mereka tertanam dengan nafsu berahi yang
melampau. Hidup mereka hanya untuk keseronokan semata-mata. Mereka hilang
matlamat hidup,” cerita Rayu Ayu.
“Maksud bonda, sekarang Abang Kal dan Kak Fia
dimakan oleh Sumpahan Berahi?” soal Puteri yang cukup tak puas hati mendengar.
Lama Ratu Ayu diam untuk menjawab pertanyaan puteri bongsunya itu.
“Iya, Tia. Bonda sendiri tak mampu nak selamatkan Abang
Kal dan Kak Fia. Kuasa magik Kriswati bonda tidak terlawan, Tia. Sekarang, bonda
harap sangat pada Tia. Keistimewaan Nakashiro yang Tia warisi di tambah pula dengan
magik Kriswati yang menjadi banteng kekuatan hati Tia buatkan bonda cukup yakin
dengan kemampuan Tia. Nak pula dengan kehidupan Tia di Bumi yang dilengkapkan pula
oleh ilmu moden manusia Bumi, buatkan Tia nampak dengan mata hati Tia….Tia saja
harapan bonda untuk selamatkan Abang Kal dan Kak Fia....."cerita Ratu Ayu
seakan merayu.
"Selama ni bonda tak pernah bercerita atau
hiraukan tentang ini semua.....kenapa tiba-tiba bonda buka cerita dunia magik
pari-pari ini dengan Tia?" Puteri menyoal dengan penuh hairan.
"Tia pasti sudah pelajari sejarah ramalan dunia
Kejorakan?” soal Ratu Ayu.
“Iya, mana mungkin Tia lupa. Sebab ada satu ramalan
yang menyatakan Sakura menjadi titik pusat wujudnya peperangan Nafsu. Para
pari-pari lemah dengan demon yang memasuki pintu alam pari-pari. Peperangan
nafsu yang digelar ‘hari itu’,” cerita Puteri mengimbas kembali pelajarannya di
Adinium.
“Benar. Oleh itu, bila Ahli Nujum Agong mengumumkan
yang Puteri Bulan Kejora adalah orang yang mampu membantu mengubah Sakura dan
berhadapan dengan ‘hari itu’. Buatkan tiada sangsi di hati bonda akan keupayaan
Tia. Tia-lah Puteri Bulan Kejora yang dimaksudkan oleh Ahli Nujum Agong. Semua
orang tahu akan perkara itu. Semua orang menantikan kemunculan Tia di Kejora.
Bonda ingatkan kewujudan ‘hari itu’lambat lagi, tapi bila
bonda teliti semula akan tanda-tanda awal bonda tiada pilihan lain, selain terus
menghubungi Tia. Tolonglah Tia, demi bonda dan rakyat jelata," rayu Ratu
Ayu.
“Tapi, Bonda…. Tia bukan Puteri Bulan Kejora. Tia
adalah Puteri Tantiana iaitu puteri hingusan armarhum Raja Nadim dan Ratu Ayu,”
“Bonda….” Ratu Ayu sebak.
Puteri diam dan jeda berfikir. Janji Ratu Ayu untuk
tidak melibatkannya langsung dalam tahta Sakura direnung semula. Cukuplah
Putera Khalif dan Puteri Sofia bertelagah dek kerana tahta hingga hilang rasa
kasih sayang antara mereka. Kini Puteri pula dipanggil pulang setelah dua puluh
satu tahun meninggalkan dunia Sakura hanya kerana permintaan Ratu Ayu memintanya
untuk menyelamatkan Putera Khalif dan Puteri Sofia dari Sumpahan Berahi, Pulau
Matahari.
"Bonda dah janji," ucap Puteri lemah.
"Bonda tahu tentang itu, Tia. Bonda tak nak
paksa Tia...tapi bonda tak ada cara lain untuk selamatkan abang dan kakak, Tia.
Sekiranya mereka ada, pasti bonda tidak sama sekali mungkir janji pada Tia.
Bonda masih ingat janji Bonda Tia..." esak Ratu Ayu menyesakkan hati
Puteri. Mana mungkin dia membiarkan Ratu Ayu bersedih begitu. Ahhh! Dunia magik
pari-pari ini sangat menyesakkan. Keluh Puteri dalam hatinya.
"Bagaimana Tia boleh mampu bebaskan mereka
sedangkan Tia memang tak pernah hidup dalam dunia Kejora. Sejak lahir hingga
kini, Tia tidak pernah pulang sekali pun ke Sakura. Tia, selesa jadi manusia
biasa bonda. Hidup berhijabkan sakti yang terselindung macam superhero rasanya
bonda," luah Puteri.
"Dengan satu cara Tia..."
"Apa dia bonda?"
"Memputerikan Tia dalam upacara Sakura,"
jelas Ratu Ayu berbaur merayu.
"Tapi bonda...itu bermakna Tia sudah tidak
bebas menjalani kehidupan sebagai manusia biasa. Tia akan dibebankan dengan tugas
sebagai puteri pari-pari. Tia tak mahu bonda. Tia tak mahu. Tia cukup selesa
dengan dunia Tia sekarang," geleng Puteri.
"Bukankah nenda telah menyarungkan Tia dengan
kulit manusia agar Tia selamat di Bumi? Keistimewaan pari-pari, boleh memiliki
wajah yang berlainan di Bumi dan di Kejora.
Tia lupa akan fakta itu? Atau jika Tia mahu, di Sakura nanti Bonda akan sediakan persalinan
yang dilengkapkan dengan sehelai kain niqub yang akan menutup sebahagian dari
wajah Tia....yang terpamer hanyalah dua biji mata Tia saja. Tiada siapa yang
tahu bagaimana rupa sebenar Puteri Tantiana. Setelah semua selesai bonda tak
akan ganggu hidup Tia lagi. Tolonglah Tia, tolonglah bonda ni," rayu Ratu
Ayu bersunguh-sungguh.
Puteri diam berfikir. Kasih sayang pada Ratu Ayu
yang tidak terperi membuatkannya berasa lelah untuk menolak pemintaan itu. Walaupun
dunia Kejora bukanlah tempatnya. Namun itulah asal usulnya. Dia bukan makhluk Bumi
yang bergelar manusia. Dia hanyalah pari-pari yang bertopengkan manusia.
Pari-pari yang dihantar ke Bumi untuk menuntut dan memperkasakan ilmu kesaktian
dan magiknya hingga ke peringkat yang tertinggi. Setelah itu mereka diberi
pilihan untuk kembali ke dunia Kejora ataupun mahu melepaskan kesaktian mereka
dan menetap terus di Bumi sebagai manusia biasa.
"Baiklah bonda. Tia setuju. Esok sebelum matahari
meninggi Tia akan sampai." Puteri meluahkan persetujuan.
"Terima kasih, Tia. Terima kasih." lega
Ratu Ayu.
Puteri terus tersedar dari lenanya. Dia duduk di
birai katil. Itulah yang selalu terjadi bila Ratu Ayu berhubung dengannya. Melalui
mimpi. Belum pun Puteri bersuara, Dang Anum muncul dengan rupa asalnya diikuti
pula dengan Tun Mahmud dengan pakaian ninjanya.
suka ngn cite nie..
ReplyDeleteWah best...best... tgh dok berangan jadi puteri tantiana ni...
ReplyDelete