Monday, December 15, 2014

Minggu 1 - Berani Kerana Kasih Bab 1

Illustrasi Ilham Penulis - Puteri Tantiana

Puteri Tantiana terdiam. Pandangan matanya tertumpu pada Ratu Ayu tanpa kelip. Geleng kepalanya mendengar berita yang baru diperkhabarkan padanya. Mana mungkin abang dan kakaknya yang hebat boleh tewas dengan peperangan nafsu mereka sendiri. Apa yang hebatnya Pulau Matahari itu sebenarnya? Berfikir Puteri seketika.
"Bonda," panggil Puteri lembut.
"Tia… bonda ada rahsia yang ingin diperkhabarkan pada Tia. Bonda rasa sudah sampai masanya Tia diberitahu akan asal usul keluarga kita yang sebenar," ucap Ratu Ayu penuh tertib.
"Bonda ada simpan rahsia apa lagi ni? Tak cukup lagi ke Tia dikejutkan dengan status puteri yang perlu pengiring. Cukup-cukuplah Bonda berikan pada Tia, dua orang pengiring yang mengawasi Tia macam orang salah ni. Ishhh pening tau nak layan si Mahmud dan Anum tu," lemah suara Puteri dengan kejutan yang ingin diperkhabarkan oleh Ratu Ayu.
Ratu Ayu tersenyum kelat. Puteri bongsu yang dihantar ke Bumi sejak lahir untuk menjalani kehidupan sebagai manusia biasa diperkenankannya walaupun hatinya sangat berat untuk melepaskan si bongsu sendirian di sana. Namun demi kasih dan cintanya pada suami Putera Nadim, diturutkan juga demi kesejahteraan negaranya juga.
Dunia Kejora memerlukan Puteri. Disebabkan itulah Puteri dibekalkan dengan ilmu yang cukup mendalam tentang dunia perubatan juga dunia pentadbiran alam pari-pari. Puteri menjadi ulat buku zaman kecilnya. Oleh itu tidak mustahil apabila Puteri dilantik sebagai satu-satunya pelajar wanita yang mencapai tahap kesaktian yang pertama di Adinium Universiti. Tempat tertinggi untuk para pari-pari menimba ilmu kesaktian mereka.  
"Tia, sebagai puteri bongsu Putera Nadim. Tia ada keistimewaan yang tersendiri, berbeza dengan Putera Khalif dan Puteri Sofia.... dan keistimewaan itu hanya akan muncul bila Tia mencecah umur dua puluh satu tahun...bonda rasa Tia pasti tahu..." cerita Ratu Ayu buatkan Puteri diam berfikir.
"Maksud Bonda...itu keistimewaan Tia. Bukan Tia sakit?" soal Puteri yang mulai diserang rasa risau menggunung.
"Tidak, sayang. Itu kelebihan Tia yang diwarisi dari keturunan ayahanda. Dengan kelebihan itulah bonda harap Tia dapat menyelamatkan abang dan kakak, Tia. Kita tak ada masa yang lama Tia. Sekiranya dalam masa lima tahun Abang Kal dan Kak Fia tidak dilepaskan, mereka akan terperangkap di situ sampai bila-bila....dan Sakura ini akan ditakluki dengan mudah oleh Putera Sharid dari Pulau Matahari yang jelas lagi bersuluh ingin mengambil alih tahta Kerajaan Nadim..."jelas Ratu Ayu.
            "Lagi, lagi, Pulau Matahari. Lagi, lagi Pulau Matahari.  Apa hebatnya Pulau Matahari tu bonda?" bengang Puteri.
"Itu pulau keseronokan, Tia. Manusia Bumi gelarkannya sebagai syurga dunia. Keindahan dan kekayaan pulaunya pula menjadi idaman bukan saja manusia Bumi namun semua makhluk.... Menjadi pemimpin di Pulau Matahari merupakan satu keagongan yang diimpikan sesiapa saja...namun ianya tak pernah terlepas dari tangan keluarga Putera Nong sejak tiga ratus tahun dulu," cerita Ratu Ayu.
"Sebab itukah Abang Khal dan Kak Fia ingin menakluki tahta Pulau Matahari. Huhh sebab itu juga mereka sehingga sanggup meninggalkan bonda mentadbir Sakura sendirian?"soal Puteri yang tidak puas hati.
"Abang Kal bercita-cita besar untuk meluaskan empayar Sakura ni, Tia. Manakala, Kak Fia pula ingin bersuamikan Putera Sharid yang dikatakan sangat kacak. Ketaksuban yang melampau, buatkan mereka terlupa akan sumpahan Pulau Matahari.”
"Sumpahan?"
"Sumpahan yang ditanam oleh Putera Sharid sejak menaiki tahta Pualau Matahari. Sesiapa yang berniat serong pada kerajaannya akan terkena sumpahan yang membuatkan mereka tertanam dengan nafsu berahi yang melampau. Hidup mereka hanya untuk keseronokan semata-mata. Mereka hilang matlamat hidup,” cerita Rayu Ayu.
“Maksud bonda, sekarang Abang Kal dan Kak Fia dimakan oleh Sumpahan Berahi?” soal Puteri yang cukup tak puas hati mendengar. Lama Ratu Ayu diam untuk menjawab pertanyaan puteri bongsunya itu.
“Iya, Tia. Bonda sendiri tak mampu nak selamatkan Abang Kal dan Kak Fia. Kuasa magik Kriswati bonda tidak terlawan, Tia. Sekarang, bonda harap sangat pada Tia. Keistimewaan Nakashiro yang Tia warisi di tambah pula dengan magik Kriswati yang menjadi banteng kekuatan hati Tia buatkan bonda cukup yakin dengan kemampuan Tia. Nak pula dengan kehidupan Tia di Bumi yang dilengkapkan pula oleh ilmu moden manusia Bumi, buatkan Tia nampak dengan mata hati Tia….Tia saja harapan bonda untuk selamatkan Abang Kal dan Kak Fia....."cerita Ratu Ayu seakan merayu.
"Selama ni bonda tak pernah bercerita atau hiraukan tentang ini semua.....kenapa tiba-tiba bonda buka cerita dunia magik pari-pari ini dengan Tia?" Puteri menyoal dengan penuh hairan.
"Tia pasti sudah pelajari sejarah ramalan dunia Kejorakan?” soal Ratu Ayu.
“Iya, mana mungkin Tia lupa. Sebab ada satu ramalan yang menyatakan Sakura menjadi titik pusat wujudnya peperangan Nafsu. Para pari-pari lemah dengan demon yang memasuki pintu alam pari-pari. Peperangan nafsu yang digelar ‘hari itu’,” cerita Puteri mengimbas kembali pelajarannya di Adinium.
“Benar. Oleh itu, bila Ahli Nujum Agong mengumumkan yang Puteri Bulan Kejora adalah orang yang mampu membantu mengubah Sakura dan berhadapan dengan ‘hari itu’. Buatkan tiada sangsi di hati bonda akan keupayaan Tia. Tia-lah Puteri Bulan Kejora yang dimaksudkan oleh Ahli Nujum Agong. Semua orang tahu akan perkara itu. Semua orang menantikan kemunculan Tia di Kejora. Bonda ingatkan kewujudan ‘hari itu’lambat lagi, tapi bila bonda teliti semula akan tanda-tanda awal bonda tiada pilihan lain, selain terus menghubungi Tia. Tolonglah Tia, demi bonda dan rakyat jelata," rayu Ratu Ayu.
“Tapi, Bonda…. Tia bukan Puteri Bulan Kejora. Tia adalah Puteri Tantiana iaitu puteri hingusan armarhum Raja Nadim dan Ratu Ayu,”
“Bonda….” Ratu Ayu sebak.
Puteri diam dan jeda berfikir. Janji Ratu Ayu untuk tidak melibatkannya langsung dalam tahta Sakura direnung semula. Cukuplah Putera Khalif dan Puteri Sofia bertelagah dek kerana tahta hingga hilang rasa kasih sayang antara mereka. Kini Puteri pula dipanggil pulang setelah dua puluh satu tahun meninggalkan dunia Sakura hanya kerana permintaan Ratu Ayu memintanya untuk menyelamatkan Putera Khalif dan Puteri Sofia dari Sumpahan Berahi, Pulau Matahari.
"Bonda dah janji," ucap Puteri lemah.
"Bonda tahu tentang itu, Tia. Bonda tak nak paksa Tia...tapi bonda tak ada cara lain untuk selamatkan abang dan kakak, Tia. Sekiranya mereka ada, pasti bonda tidak sama sekali mungkir janji pada Tia. Bonda masih ingat janji Bonda Tia..." esak Ratu Ayu menyesakkan hati Puteri. Mana mungkin dia membiarkan Ratu Ayu bersedih begitu. Ahhh! Dunia magik pari-pari ini sangat menyesakkan. Keluh Puteri dalam hatinya.
"Bagaimana Tia boleh mampu bebaskan mereka sedangkan Tia memang tak pernah hidup dalam dunia Kejora. Sejak lahir hingga kini, Tia tidak pernah pulang sekali pun ke Sakura. Tia, selesa jadi manusia biasa bonda. Hidup berhijabkan sakti yang terselindung macam superhero rasanya bonda," luah Puteri.
"Dengan satu cara Tia..."
"Apa dia bonda?"
"Memputerikan Tia dalam upacara Sakura," jelas Ratu Ayu berbaur merayu.
"Tapi bonda...itu bermakna Tia sudah tidak bebas menjalani kehidupan sebagai manusia biasa. Tia akan dibebankan dengan tugas sebagai puteri pari-pari. Tia tak mahu bonda. Tia tak mahu. Tia cukup selesa dengan dunia Tia sekarang," geleng Puteri.
"Bukankah nenda telah menyarungkan Tia dengan kulit manusia agar Tia selamat di Bumi? Keistimewaan pari-pari, boleh memiliki wajah yang berlainan di Bumi dan di Kejora.  Tia lupa akan fakta itu? Atau jika Tia mahu, di  Sakura nanti Bonda akan sediakan persalinan yang dilengkapkan dengan sehelai kain niqub yang akan menutup sebahagian dari wajah Tia....yang terpamer hanyalah dua biji mata Tia saja. Tiada siapa yang tahu bagaimana rupa sebenar Puteri Tantiana. Setelah semua selesai bonda tak akan ganggu hidup Tia lagi. Tolonglah Tia, tolonglah bonda ni," rayu Ratu Ayu bersunguh-sungguh.
Puteri diam berfikir. Kasih sayang pada Ratu Ayu yang tidak terperi membuatkannya berasa lelah untuk menolak pemintaan itu. Walaupun dunia Kejora bukanlah tempatnya. Namun itulah asal usulnya. Dia bukan makhluk Bumi yang bergelar manusia. Dia hanyalah pari-pari yang bertopengkan manusia. Pari-pari yang dihantar ke Bumi untuk menuntut dan memperkasakan ilmu kesaktian dan magiknya hingga ke peringkat yang tertinggi. Setelah itu mereka diberi pilihan untuk kembali ke dunia Kejora ataupun mahu melepaskan kesaktian mereka dan menetap terus di Bumi sebagai manusia biasa.  
"Baiklah bonda. Tia setuju. Esok sebelum matahari meninggi Tia akan sampai." Puteri meluahkan persetujuan.
"Terima kasih, Tia. Terima kasih." lega Ratu Ayu.

Puteri terus tersedar dari lenanya. Dia duduk di birai katil. Itulah yang selalu terjadi bila Ratu Ayu berhubung dengannya. Melalui mimpi. Belum pun Puteri bersuara, Dang Anum muncul dengan rupa asalnya diikuti pula dengan Tun Mahmud dengan pakaian ninjanya.

2 comments: