![]() |
| Bayangan Puteri Tantiana di Kejora |
Puteri berehat di kamarnya yang sangat besar
terletak di atas Menara Ufuk Timur. Pintu berkunci dan kuncinya hanya di pegang
oleh Tun Mahmud, Dang Anum, Ratu Ayu dan Puteri sendiri. Begitu tegas Puteri
dengan pendiriannya untuk tidak mahu seorangnya mampu melihat rupa parasnya
hingga dia benar-benar bersedia berbuat begitu.
Di kamar Puteri lebih selesa menyarung satin bertali
halus yang labuh mengikut bentuk badannya yang ramping. Rambutnya dibiarkan mengurai lepas bebas.
Kulitnya yang putih mulus kemerahan buatkan Puteri sangat bercahaya bak sang
rembulan yang sedang mengambang. Jolokan Puteri Bulan Kejora memang kena dengan
dirinya.
“Nenda, Tia bosan di sini. Tia tak bebas macam di
Teratak Melur. Bagaimana harus Tia perbaiki diri?” soal Puteri berbual dengan
Raden Indra di laman skype.
“Tia, itulah
pengorbanan seorang puteri Sakura yang sebenar. Ambil waktu ini kenal dunia
Kejora dan negara Sakura dengan lebih dekat lagi sepertimana Tia mendalami cara
bagaimana ingin menanam pokok bunga di kebun,” nasihat Raden Indra.
“Nenda…. Tia mahukan nenda turut sama dengan Tia.
Tanpa nenda, Tia rasa lelah untuk bernafas. Semuanya berprotokol. Nak berjalan
kena kepit. Nak bercakap kena sepatah sepatah. Nak senyum kena ukur dengan
pembaris. Nak ketawa kena tahan. Nak makan kena sopan… Tia lemas nenda. Tia
lemas,” rungut Puteri.
“Tia… bukan seorang puteri saja yang harus bersikap
begitu. Seorang gadis di Bumi juga perlu menjaga adap sopannya di khalayak
ramai. Tidak berlebih untuk mengelakkan fitnah. Bercakap bila perlu dan
bermanafaat pada orang yang mendengarnya. Tia sudah lebih terdidik untuk itu.
Nenda cukup yakin dengan Tia,” pujuk Raden Indra.
“Nenda…” keluh Puteri yang dari tadi asyik memegang
dadanya. Debaran selepas menari dan berbual ringkas dengan Putera Nasrid tadi
masih belum reda sebenarnya. Usai solat pun dia masih rasa debaran itu semakin
hebat. Adakah ini perasaan itu? Tidak mungkin. Puteri cuba menafikan jawapan
yang baru ditemuinya itu.
“Ada sebab lain ni…cuba cerita?” senyum Raden Indra
sudah dapat menghidu debaran Puteri.
“Nenda sudah tahu lagi mahu tanya?” rajuk Puteri
buatkan Raden Indra lagi suka menyakatnya.
“Nenda nak dengar sendiri dari bibir Tia
menyebutnya,” provok Raden Indra lagi.
“Adakah ini cinta pandang pertama nenda?” akhirnya
soalan itu terpacul jua dari bibir Puteri.
“Kita tidak mampu memilih siapa pasangan kita. Ianya
semua kerja cinta…. Cinta yang memilih siapa yang seharusnya berdampingan
dengan kita. Jangan dipersoal bagaimana dan kenapa. Itu semua rahsia Pencipta.
Jangan kita terlalu taksub dan lalai dek permainan cinta. Puteraaa….”
“Putera Nashrid anak kepada Putera Nong,”jelas
Puteri cukup jelas.
“Ooooo… abang kepada Putera Sharid yang mengurungkan
Kal dan Fia di Pulau Matahari tu rupanya. Cabaran cinta Tia sangat terik.
Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan. Nenda yakin Tia mampu miliki yang
terbaik buat diri Tia.”
Puteri mengeluh. Itu yang lebih digeruninya. Rasa
itu akan melemahkannya dalam berperang saraf dengan Putera Sharid di Pulau
Matahari nanti. Dia perlu kosongkan minda dan jiwanya hanya untuk melepaskan
Putera Khalif dan Puteri Sofia.
Komputer riba dipadamkan. Walaupun kini sudah mampu
berkomunikasi dengan tidak mengunakan alatan canggih Bumi namun Puteri masih
senang menggunakannya dalam kehidupan seharian. Terasa diri masih lagi seperti manusia
Bumi.
Puteri terus menukar pakaiannya dan berlalu
meninggalkan Istana Nadim. Nama Tun Mahmud dan Dang Anum diseru lembut agar
dapat mengiringinya menjelajah seluruh Sakura
untuk melihat sendiri kehidupan rakyat jelata di Sakura.
“Tia,” White bersuara setelah setengah jam berjalan
memasuki hutan.
“Saya, White,” sahut Puteri lembut.
“Ke mana sebenarnya destinasi Tia ni?” soal White.
“Tia ingin melihat dan berkenalan dengan semua
makhluk di Sakura. Setiap ceruk kampung Tia ingin tuju. Sekiranya Tia maklumkan
pada Bonda pasti Bonda tidak benarkan. Tia lebih selesa melihat dan bertanya
sendiri pada mereka. Tanpa melalui pembesar negara,” jelas Puteri.
“Tindakan Tia ini merbahayakan diri Tia. Tidak semua
rakyat jelata yang sukakan puteri Nadim. Pengalaman hidup mereka yang ditekan
oleh peraturan di Sakura buatkan mereka memberontak. Nak pulak sejak armahrum
Raja Nadim mangkat,” kongsi White.
“Tia sudah bersedia hadapi semua itu. Tia ingin
mengubahnya dengan cara Tia sendiri. Kasih sayang yang ikhlas lagi jujur yang
Tia tawarkan pada mereka tanpa rasa takut dan getar,” ucap Puteri penuh yakin.
Seketika kuda kelabu milik Tun Mahmud dan Dang Anum
mengapit White. Mencungap juga Tun Mahmud dan Dang Anum mengejar Puteri yang
berlari laju bersama White membelah hutan belantara. Mengeleng Tun Mahmud bila
Puteri sudah diserang penyakit sengal mengilanya. Tindakannya memang tidak
dapat diramal. Itulah yang paling mencabar bagi Tun Mahmud dan Dang Anum dalam
menjadi pengiring Puteri sejak mula lagi.
Mereka sampai di perkampungan Gordon, makhluk pelik
yang tidak mempunyai mata lagi hodoh namun masih boleh melihat dengan jelas.
Kedatangan Puteri sangat mengejutkan mereka. Galic Gordon ketua makhluk ini
terus menyembah Puteri dengan penuh hormat. Puteri dengan selambanya melompat
turun dari White. Dia menundukkan kepalanya juga membalas tanda hormat pada
Galic Gordon. Semua yang berdiri di situ terus melutut menyembah Puteri dengan
rasa gusar dan ngeri.
“Bangun Galic Gordon. Bangun semua bangsa Gordon.
Saya datang bukan sekadar Puteri Bulan Kejora namun sebagai saudara rapat kamu
semua. Saya ingin bermalam di kampung ini dan menghabiskan masa bersama kamu
semua barang semalam. Bolehkah Tuan Galic Gordon izinkan saya bermalam di
sini?” pinta Puteri buatkan Tun Mahmud dan Dang Anum berpandangan. Galic Gordon
turut memandang pada Tun Mahmud dan Dang Anum yang lengkap berpakaian pahlawan
pengiring khas Puteri, macam tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Tuan Puteri!”
“Saya tak minta lebih Tuan Galic. Saya cuma ingin
memahami dan mengetahui kehidupan bangsa Gordon yang sudah berkurun lama
menjadi rakyat Sakura yang setia,” ucap Puteri berhemah buatkan Galic Gordon
tiada alasan untuk menghalang hajat Puteri.
“Patik tiada Istana yang boleh diduduki Tuan Puteri bang semalam. Itu yang merunsingkan
patik, Tuan Puteri. Kami di sini hidup sebagai petani yang ditugaskan menanam
padi dan gandum. Itulah hasil pendapatan bangsa Gordon. Rumah petani hanya
berbumbungkan rumbia dan berdinding buluh. Tidur berlapikkan jerami padi yang kami
keringkan,” jelas Galic Gordon penuh rasa rendah diri.
Tidak pernah dalam sejarah bangsa Gordon seorang
puteri Sakura ingin menumpang tidur semalam di perkampungan mereka. Ini rezeki
atau bala yang akan menimpa bangsa Gordon? Galic Gordon masih sangsi dengan
kejujuran dan keikhlasan Puteri yang jelas dapat dilihat dari sinar matanya.
“Sekiranya Tuan Galic benarkan, saya ingin bermalam
di rumah yang paling miskin dan daif di kampung ini,” ucap Puteri dengan tenang
dan lembut. Terdengar bunyi gedebukkk di hujung sana. Semua terus memandang
pada bunyi itu. Galic Gordon dan Puteri diiringi Tun Mahmud dan Dang Anum
menuju ke arah bunyi itu.
Seorang wanita Gordon yang hodoh dengan kulit
mengerutu di muka dan tangannya sedang terbaring di tanah. Galic Gordon memanggil
beberapa Gordon lagi membantu menyedarkan wanita Gordon yang pengsan itu.
Puteri menghalang. Dia meminta untuk melakukannya sendiri. Kini Galic Gordon
pula jatuh terduduk dengan pemintaan Puteri itu.
Puteri duduk bersimpuh di sebelah wanita Gordon.
Semangkuk air dihulurkan padanya dengan bacaan mantera yang berulang kali
dibaca, air disapu lembut di wajah wanita Gordon yang sedang pengsan. Dengan
izin PenciptaNya, kulit wanita Gordon yang mengerutu itu terus hilang dari
wajahnya.
“Tuan Puteri!” Galic Gordon mendekati Puteri yang
senyum manis di sebalik niqub.
“Ya, Tuan Galic,” sahut Puteri lembut.
“Tuan Puteri bermalamlah di rumah patik. Cahaya
Puteri Bulan Kejora memang sentiasa kami puja.”
“Maaf, Tuan Galic. Pemintaan saya umpama janji saya
pada bangsa Gordon yang telah membuatkan saya jatuh cinta pada keikhlasannya.
Tadi saya minta untuk bermalam di rumah yang paling miskin dan daif. Adakah ibu
yang baru saya sedarkan ini?” soal Puteri lembut pada Galic Gordon yang tunduk.
Semua Gordon menganggukkan kepala tanda benar sekali itu adalah Gordon yang
paling daif di perkampungan ini.
“Tuan Puteri…patik tak berdaya,”menangis wanita
Gordon yang daif itu.
“Ibu Gordon, anggaplah saya ini anak ibu yang pulang
dari perantauan. Kedaifan itu bukan penghalang kasih sayang saya pada ibu.
Mahmud, sediakan lembu seekor dan kambing
tiga ekor untuk kita makan bersama dengan semua penduduk kampung malam
ini. Tia ingin memasak bersama semua ibu,” arahan Puteri pada Tun Mahmud.
Puteri melihat semua ibu Gordon teresak-esak
menangis. Hati lembutnya cukup tersentuh. Anak-anak kecil duduk mengelilingi
Puteri yang duduk mengadap sawah padi yang menghijau luas mata memandang.
Burung berterbangan hinggap di orang-orang yang melata di sawah.
Puteri menarik keluar seruling bamboo yang terselit
di belakang badannya. Seruling dengan Puteri memang tidak pernah terpisah.
Itulah penghibur Puteri tika merindui Raja Nadim dan Ratu Ayu yang jauh nun dari
Bumi. Dari sedih Puteri mampu mencorakkan keceriaan disekelilingnya. Dari bunga
yang layu mampu berkembang mekar. Tiupan
Puteri yang terlalu asyik hingga dia tidak sedar dirinya telah terapung tinggi.
“Tuan Puteri Bulan Kejora,” panggil anak-anak Gordon
menyedarkan Puteri.
“Ya, anak-anak Gordon tersayang,”
“Walaupun patik semua tidak pernah melihat wajah
Tuan Puteri Bulan Kejora. Namun kami yakin, tuan puteri sungguh jelita
orangnya. Budi pekerti Tuan Puteri tak pernah kami bayangkan sebegini ikhlas
dan merendah diri,” ucap salah seorang anak Gordon.
“Saya sama saja dengan bangsa Gordon. Tiada bezanya
kita di sisi Pencipta. Yang membezakan kita bukanlah pangkat, darjat, keturunan
mahupun rupa paras kita. Akan tetapi sikap, akhlak dan tujuan hidup kita
padaNya yang membezakan kita,”nasihat Puteri dengan senyum mekar di bibirnya
masih tidak lekang dari mula menjejakkan kaki hinggalah mereka meninggalkan
perkampungan Gordon.
“Tia.”
“Saya gembira sekali, Mahmud,” jelas Tia yang sudah
membaca bahasa minda Tun Mahmud.
“Terima kasih, Tia. Terima kasih,” ucap Tun Mahmud
“Untuk apa Mahmud?” soal Puteri.
“Menjadi diri Tia. Walaupun setelah bergelar Puteri
Bulan Kejora,” sambung Tun Mahmud.
“Mahmud… apa pun gelaran Tia. Namun Tia masih tetap
Tia. Teratak Melur tetap Istana Tia. Sudah tu, Bonda Ayu sudah kirimkan
perkhabaran yang menitahkan Tia mewakili Sakura ke majlis keraian di Mendalin,”
jelas Puteri.
“Majlis keraian apa Tia?” soal Dang Anum yang dari
tadi diam mendengar.
“Majlis Ulangtahun Raja Nong. Bonda Ayu kurang sihat
untuk ke sana.”
“Pakaian rasmi Tia masih di Istana Nadim?” soal Dang
Anum tiba-tiba.
Puteri sengih. Dang Anum lupa akan kesaktiannya yang
mampu berhias indah walaupun tanpa membawa beg pakaian bersama. Tun Mahmud
terus menepuk dahi Dang Anum manja.
“Lupalah tu yang Tia sudah diputerikan. Seorang
puteri yang sakti tidak memerlukan beg tarik Akademi Fantasi untuk menziarah
keluarga nun jauh di sana,” kata Tun Mahmud
“Ohh! Lupa,” termalu-malu Dang Anum dengan
kekhilafannya itu.
“Beg tarik Akademi Fantasi? Memang sah Mahmud curi
tulang menonton AF… Anum lepas ini pastikan tiada lagi Astro untuk Mahmud,”
sakat Puteri selamba.
Tun Mahmud mengulum senyum. Puteri bila sudah mula
menyakat memang tak kering gusi mereka tertawa. Itu yang lebih menceriakan
hidup mereka bertiga.
“Tia, mahu sampai segera atau kita bersenang lenang
meredah hutan?” soal White.
“White, Tia mahu terbang mengelilingi Sakura dan
kemudian terus ke Mendalin. Tia mahu sampai sebaik saja majlis bermula,” arah
Puteri lembut.

No comments:
Post a Comment