Tuesday, December 30, 2014

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 4

Rakyat jelata Sakura dikejutkan dengan kehadiran Puteri bersama si kuda putih bersayap sambil diiringi oleh dua orang pahlawan terkenal di Sakura satu masa dulu.  Kuda putih itu lambang kedaulatan istana Nadim.
Pertama kali Puteri menjejakkan kaki kembali ke Sakura sejak dua puluh satu tahun duduk menetap di Bumi. Banyak suasana yang tidak tergapai dek akal fikirannya. Pohon rendang pun nampak pudar serinya. Bertemankan White si kuda putih bersayap, Puteri memasuki pintu gerbang Kota Nadim.
 Rakyat jelata teruja bila mendengar desas desus yang menyatakan bahawa puteri bongsu Sakura ini setuju diputerikan, seterusnya memikul tanggungjawab sebagai Puteri Bulan Kejora. Semua tidak sabar melihat rupa puteri comel yang mampu membuatkan bulan Kejora tersenyum menyambut kelahirannya. Kehadiran Puteri yang berniqub menimbulkan rasa kesangsian di hati rakyat jelata. Kewibawaannya diragui.
Di Kejora, niqub hanya dipakai oleh mereka yang sakit dan cacat sahaja. Mampukah Puteri Bulan Kejora ini  memikul tanggungjawab sebagai puteri dengan sempurna sedangkan kandanya pun tewas dek nafsu inikan pula si bongsu yang sakit? Fikir rakyat Sakura.
Puteri melangkah penuh tertib dengan lemah gemalai di perkarangan Istana. Dalam hatinya bukan main gemuruh lagi. Setiap langkahnya diiringi dengan pelbagai pertanyaan daripada rakyat jelata yang ingin tahu, bagaimana rupa parasnya yang sebenar. Ratu Ayu menyambut Puteri di singgahsana dengan diapit  oleh pembesar negera. Dang Anum dan Tun Mahmud tetap setia mengiringi Puteri.  Sok sek sok sek pembesar negara dengan cara penampilan Puteri buatkan Puteri sedikit rasa kecil hati.
‘Pakaian bertutup bukan melambangkan seorang gadis itu bodoh dan kolot. Menghabiskan masa hidup di Bumi bukan mengkastakan diri ke tahap yang terendah dalam Kejora. Ianya lambang kesucian dan rendah diri pada kekuasaan PenciptaNya,’ balas Puteri dalam hatinya, buatkan Ratu Ayu tersenyum bangga di singgahsana.
“Selamat pulang Puteri Bulan Kejora,” ucap Ratu Ayu megah di singgahsana.
“Bonda, Tia bersedia memikul tanggungjawab itu,” ucap Puteri yang menundukkan kepalanya tanda hormat pada Ratu Ayu. 
“Dayang, iring Puteri Bulan Kejora ke kamar dan persiapkannya untuk majlis gilang-gemilang di Istana Nadim. Tetamu akan muncul bila bulan menunjukkan rupanya di sana,” titah Ratu Ayu pada dayangnya yang seksi. Mengeleng Puteri dalam hatinya.
“Mahmud, Tia tidak suka dayang istana berpakaian tak cukup kain begitu. Sakura sudah kurang kain ke, sampai dayang perlu berpakaian begitu?” soal Puteri berbisik pada Tun Mahmud di sebelah kanannya.
“Sudah peraturannya begitu Tia,” balas Tun Mahmud mudah.
“Bagaimana pula pakaian seorang puteri? Bogel tidak berbaju?” soal Puteri geram.
“Bagi Puteri Sofia, ia memang disukai jika puteri tidak berbaju. Boleh dipamerkan kecantikan pada putera yang kacak. Namun, rasanya…. bagi Puteri Bulan Kejora bagaimana pula ya?” soal Tun Mahmud suka menyakat Puteri.
“Bak kata nenda,… kecantikan Tia bisa buatkan sesiapa yang melihatnya menjadi sasau. Rasanya Tia lebih suka menutup semuanya dengan kemas di belakang hijap yang bewarna alam. Sebaiknya biarlah warna biru atau putih mutiara. Boleh Mahmud dan Anum pastikan itu pakaian Tia, sepanjang kita berada di Sakura?” pinta Puteri lembut.
“Pemintaan Tia akan diusahakan sebaik mungkin. Anum, iring Tia. Abang ke bilik pakaian,” arahan Tun Mahmud pada Dang Anum dibalas dengan anggukan kepala.
Puteri dihiaskan seindah mungkin. Tidak seorang pun dayang dibenarkan masuk ke dalam kamar Puteri untuk mempersiapkannya melainkan Dang Anum dan Tun Mahmud. Itu pemintaan Puteri pada Ratu Ayu. Mengeluh juga para dayang kerana tidak dapat melihat wajah Puteri yang masih misteri pada Sakura.
Sebaik saja majlis keputerian selesai, seluruh Istana Nadim diterangi dengan cahaya lampu yang bergemerlapan. Seluruh rakyat diraikan dengan hidangan makanan yang lazat dan dihiburkan oleh pihak Istana. Jemputan kenamaan yang terdiri dari golongan bangsawan, pembesar negara, jutawan serta cerdik pandai di jemput ke  majlis tari menari seperti lazimnya, di Istana Nadim.
Ramai Putera Raja tidak melepaskan peluang untuk hadir bagi melihat sendiri kecantikan Puteri yang dikatakan seindah bulan Kejora. Namun mereka semua hampa bila Puteri mempamerkan diri dengan berniqub. Yang dapat dilihat, hanyalah sepasang matanya yang cantik saja.
Putera Sharid yang turut hadir bersama Ratu Bayu dan Raja Nong  juga, turut hampa tidak dapat menatap wajah Puteri. Dia ingin sangat mengesahkan ramalan yang menyatakan Puteri Bulan Kejora mampu membebaskan mereka dari malapetaka ‘Hari Itu’.
“Anakanda Sharid,” panggil Raja Nong.
“Ya, ayahanda tuanku,” sahut Putera Sharid.
“Mengeluh, mampu membuatkan garisan ketuaan lebih cepat terpancar di raut wajah anakanda,” usik Raja Nong berjenaka.
“Hahahaha….tak adalah. Anakanda sedang berfikir,… bagaimana ramalan kuno itu boleh menyatakan yang Puteri Bulan Kejora mampu membawa keluar zaman kegemerlapan Kejora dengan kebijaksanaannya. Cuba ayahanda tengok tu? Berniqub hanya untuk mereka yang kurang yakin dengan penampilan diri sendiri atau sakit.  Puteri yang macam ini yang diramalkan mampu mengembalikan kesejahteraan sebuah negara. Tak masuk akal.”
 “Jangan cepat membuat telahan yang tidak berasas anakanda. Puteri Bulan Kejora baru saja menjejakkan kakinya di dunia Kejora. Tiada siapa pun ambil tahu akan kisah kehidupannya di Bumi. Apa yang ayahanda dengar, Puteri Bulan Kejora merupakan seorang yang terpelajar yang namanya sentiasa bermain di bibir Kiai di Adinium sana,” senyum Raja Nong.
“Ayahanda,  kata-kata ayahanda ini buatkan anakanda rasa lucu sangat. Puteri hingusan ini terpelajar? Secolek tokoh pun anakanda tak nampak pada dirinya. Yang pasti tingkahnya persis seperti puteri cengeng yang manja. Bagaimanalah dia mampu membebaskan Khalif dan Sofia dari Sumpahan Pulau Matahari?” soal Putera Sharid.
“Anakanda terlalu yakin untuk mengetahui perkara itu rupanya. Entahlah, itu ayahanda tak dapat nak tolong jawabkan. Rasanya rahsia Pencipta sukar untuk dibaca dengan mata kasar. Ia penuh tersirat daripada yang tersurat. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya,” pujuk Raja Nong menenangkan Putera Sharid.
“Ayahanda tunku!” keluh Putera Sharid lagi.
“Ingat anakanda. Puteri Bulan Kejora mewarisi kesaktian Nakashiro sebagaimana wasiat Keturunan YangDi meletakkan  pewarisnya sama ada yang sulong atau bongsu. Jadi anakanda tidak boleh pandang rendah keupayaan Puteri Bulan Kejora,” nasihat Raja Nong mengingatkan Putera Sharid.
“Hahaha… kanda dia pun tewas dengan nafsu, inikan pula si bongsu,” gelak Sharid.
“Jangan takbur dengan kebolehan diri sendiri, anakanda. Ada sebab dia terpilih untuk tinggal di Bumi dan menolak kehidupan sebagai Puteri Bulan Kejora. Jika tidak masakan armarhum ayahanda Nadim, berkeras menghantarnya ke Adinium. Dia bukan calang-calang puteri yang belajar di sana. Anakanda akan jauh ketinggalan dengan kesaktiannya jika anakanda angkuh dengan kebolehan anakanda,” nasihat Putera Nong buatkan Sharid terdiam.
‘…betul cakap Ayahanda. Jika tidak masakan Ahli Nujum Agong meramalkan yang Puteri Bulan Kejora yang akan menghadapi kemunculan hari itu. Namun aku pasti, Puteri Bulan Kejora pasti tidak akan melepasinya. Aku sangat pasti… hahahaha …,’ bisik Sharid dalam hatinya dengan penuh yakin. 
Puteri dalam diam sedang belajar mengimbas sesiapa saja yang berada dalam majlis ini. Kemudian dia akan tersenyum simpul sendirian. Tun Mahmud dan Dang Anum mengeleng kepala melihat telatah sengal Puteri.
“Tengah kemaruk dengan ilmu kesaktianlah tu,” bisik Tun Mahmud menyindir Puteri.
“Hahaha…macam-macam perangai juga dunia pari-pari ini. Ingatkan manusia di Bumi saja bermacam ragam. Kecantikan memang menjadi keutamaan semua makhluk rupanya. Ini lumrah kehidupan rupanya, tak kira di Bumi mahupun di Kejora.”
“Jadi?” soal Dang Anum ingin mengerti maksud Puteri dengan lebih tepat.
“Cuci matalah, apa lagi hahaha….”
Puteri tergelak kecil sambil mengenyitkan mata pada Dang Anum yang bengang mendengar jawapan Puteri yang nakal mengusik. Tun Mahmud mengulum senyum melihat wajah Dang Anum merah menahan geram. Comel!


No comments:

Post a Comment