Puteri kembali dengan kerja asalnya di Teratak Melur
sebagai pengubah dan pembekal bunga pada pejabat mewah di sekitar Kota
Metropolitan. Tun Mahmud dan Dang Anum yang menjadi pengantar dan pencari
pesanan baru dari pelanggan cukup mahir dengan tugasan mereka. Ratu Ayu sudah
diperkhabarkannya akan keinginan Adeeba berehat seketika di Bumi dalam sehari
dua lamanya mengikut waktu Kejora.
“Tia. Kita menerima tempahan untuk menghias sebuah
rumah milik pasangan pengantin baru. Bayarannya juga lumayan. Bolehlah kita
salurkan hasil jualan pada tiga buah
lagi rumah anak yatim,” cerita Dang Anum.
“Siapa yang tempah?” soal Puteri yang leka melayan
kelopak mawar yang sedang mekar diusap lembut.
“Seorang ternama. Datuk Paduka Tengku Azimil ingin
meminjamkan rumah ini pada saudara perempuannya yang baru melangsungkan
perkahwinan minggu lepas,” jelas Dang Anum.
Tangan Puteri terhenti mengubah bunga mawar yang
diusapnya halus. Wajah Dang Anum diperhatikan. Ada sesuatu yang menjentik
nalurinya tika mendengar nama Datuk Paduka Tengku Azimil.
“Sudah dilihat rumahnya, bagaimana?” soal Puteri
lembut.
“Sudah dan tidak berapa jauh dari Teratak Melur.
Rumah banglo itu terletak di bukit Cameron Highland,” jelas Dang Anum.
“Tia, boleh melawat ke sebelum membuat lakaran?”
soal Puteri seperti biasa.
“Boleh, cuma Tia perlu maklumkan terlebih dahulu
pada Datuk Paduka. Dia tak mahu semasa kehadirannya, kita datang memeriksa
kawasan sekeliling. Itu umpama rumah hinggapnya,” jelas Dang Anum.
“Ishhh manusia ni, banyak sangat protokolnya.
Cerewetnya mengalahkan bangsawan di Kejora. Pangkat dan darjat juga yang
dipandangnya. Muaklah Tia dengar… muak,” geram Puteri.
“Ehhh! Yang nak geram tak tentu pasal ni kenapa? PMS
ke?” soal Dang Anum
“Tak ada maknanya PMS. Tia pun tak tahu, dada Tia
berdengup kencang. Macam baru lepas lari sebenua lagaknya. Anum…, jika Tia mati
sebab sakit jantung bawa jenazah Tia ke Kejora ya. Tia nak mangkat macam cerita
‘The Sleeping Beauty’ diletakkan
dalam keranda kaca sampai bila-bila,” angan Puteri buatkan Dang Anum menepuk
bahunya dengan kuat. Marah sangat Dang Anum.
“Kenapa?” soal Puteri.
“Sebut lagi pasal mati, saya belasah Tia,” Dang Anum
memberi amaran.
“Laa itu rupanya. Baiklah. Mati! Mati! Mati! Mati!”
sakat Puteri yang sudah siap kekuda untuk lari dari dibelasah oleh Dang Anum.
Menyinga Dang Anum dengan sikap Puteri yang kuat
menyakat. Berlari-lari Puteri di tengah ladang bunganya yang sedang mekar untuk
mengelak dari dibelasah oleh Dang Anum yang kuat mengeleteknya hingga lunyai.
Ketawanya yang nyaring bagaikan seruling melagukan alunan ceria melebar.
“Kenapa pulak tu?” geleng Raden Indra.
“Budak-budak, Tunku Raden. Si Anum pun rajin melayan
Tia. Dua kali lima sajalah mereka tu,” sengih Tun Mahmud.
“Mahmud, berapa lama Puteri Bulan Kejora ini mohon
cuti dari Bondanya?” soal Raden Indra.
“Katanya dua tiga hari.”
“Lamanya. Beta sudah tergerak hati untuk pulang ke
Kejora tinggal bersama anakanda Beta di Sakura,” luah Raden Indra.
Keputusan Raden Indra begitu mengembirakan Tun
Mahmud. Dia pun sudah penat duduk di Bumi. Disini mereka diharamkan mengunakan
kuasa sakti seperti di Kejora. Semua perlu dilakukan sendiri. Puteri bukan boleh
duduk diam, ada saja yang ingin dilakukannya. Syarikat bunga yang membekal
produk bunga segar untuk pasaran luar dan dalam negara milik Puteri cukup maju
tika ini. Selain di Malaysia, mereka punyai cawangan di Jepun, Korea, Maldive,
Singapura, Indonesia dan terbaru di Mexico. Hasilnya disalurkan untuk membantu
golongan miskin yang memerlukan juga membantu musafir yang dalam perjalanan
mengembangkan ilmu atau menuntut ilmu.
Kemunculan sebuah kereta Hummer bewarna hitam di
depan Teratak Melur buatkan Tun Mahmud keluar menyambutnya.
“Ini Teratak Melur?” soal lelaki segak yang baru
keluar dari pintu depan.
“Iya. Ini Teratak Melur. Encik mencari siapa?” soal
Tun Mahmud pelik.
“Kami mencari Cik Anum untuk menandatangani kontrak
perjanjian yang telah dipersetujui itu. Di mana boleh kami berjumpa Cik Anum?”
soal lelaki itu lagi.
“Jemput masuk ke pejabat dulu encik. Saya
panggilkan, Cik Anum sekarang bersama bos saya,” ucap Tun Mahmud mempersilakan
lelaki itu masuk ke pejabat.
Lelaki itu membuka pintu belakang Hummer. Turun
seorang lelaki yang tiada sebaris senyum pun di wajahnya. Ketegasan dan karisma
lelaki itu memang terpancar. Tun Mahmud dengan penuh hormat mempersilakan
mereka masuk ke pejabat Teratak Melur. Walkie Talkie digunakan untuk memanggil
Dang Anum dan Puteri yang berada nun jauh di tengah ladang. Bila pesanan
selamat disampaikan, Tun Mahmud duduk berhadapan dengan tetamu mereka itu.
“Saya Mahmud, Pengurus Operasi Teratak Melur.” Tun
Mahmud memperkenalkan diri.
“Saya Suhaimi PA kepada Datuk Paduka Tengku Azimil…
dan ini bos saya,” Suhaimi memperkenalkan diri juga Azimil pada Tun Mahmud.
“Sebentar ya Tengku. Cik Anum bersama bos saya dalam
perjalanan ke mari. Mereka di ladang bunga tadi,” cerita Tun Mahmud.
“Emmm…” balas Azimil ringkas.
Belum sempat Tun Mahmud bangun, pintu pejabat di
kuak lembut. Dang Anum dan Puteri sudah melangkah masuk. Puteri terus ke tandas
untuk membersihkan tangannya terlebih dahulu sebelum mengadap menemui tetamu
mereka ini. Dang Anum melayan dengan penuh hormat dan sopan.
“Anum,” sapa Puteri sebaik saja duduk di sebelah
Dang Anum.
“Ohh! Tengku saya perkenalkan ini bos saya, Cik
Tantiana yang merupakan pengubah utama di Teratak Melur. Sentuhan tangannya
memang ajaib dan menyegarkan minda,” puji Dang Anum membuat promosi Teratak
Melur seperti biasa.
“Apa khabar Tengku?” ucap Puteri menundukkan
kepalanya sebagai tanda hormat.
“Baik. Jadi awaklah yang akan mengubah Villa saya
nanti?” soal Azimil tegas dengan tiada bunga-bunga perkenalan langsung.
Puteri memandang pada Dang Anum dengan anak matanya.
Pelanggan ini nampak sangat tidak ramah dan memandang rendah padanya. Sengih
Puteri sendirian setelah seketika bercakap sendirian dalam hatinya.
“Iya, saya bersama beberapa orang lagi pengubah,”
jawab Puteri ringkas.
“Salah satu terma dalam perjanjian ini, saya tidak
mahu sebarang kerja atau lawatan dilakukan ketika saya berada di Villa. Saya
mahu sendirian. Faham?” tegas Azimil.
“Baik saya setuju. Cuma….”
“Apa?”
“Bagaimana saya nak tahu Tengku berada di Villa atau
tidak?” soal Puteri mudah.
“Sebelum awak datang, SMS saya terlebih dahulu. Jika
tiada sebarang balasan bermakna awak boleh ke sana. Faham?” soal Azimil lagi.
“Bagaimana kalau saya terlanggar tanpa sengaja?”
Azimil berfikir sambil mengusap dagunya yang
berlekuk cantik. Terpengun mata Puteri memerhati gaya Azimil mengusap dagunya
perlahan. Makin direnung makin geram pula Puteri dibuatnya. Rasa macam ingin
dicubit-cubit dagu itu.
“Cik Tantiana perlu masak untuk saya,” ucap Azimil
bersahaja.
“Masak?” terbeliak Puteri.
Seumur hidupnya belum pernah lagi dia memasak
sendirian di dapur. Mahu terbakar dapur Villa itu nanti dikerjakan Puteri. Dang
Amun memegang peha Puteri minta supaya dia mengelak dari mempersetujui
perjanjian yang dimetrai itu.
“Baiklah,” setuju Puteri selamba. Dang Anum terus
menepuk pehanya kuat hingga dapat didengari oleh Azimil.
“Kenapa Cik Anum?” soal Azimil pelik.
“Tiba-tiba ada nyamuk besar di peha bos saya. Itu
yang saya tolong pukul tu,” alasan Dang Anum menutup malu dan geram sekali gus.
“Ooo…” pendek Azimil bersuara.
“Terima kasih Tengku kerana memberi kepercayaan pada
Teratak Melur untuk menghias banglo Tengku itu. Saya janji akan saya
perindahkan seperti yang Tengku bayangkan,” ucap Puteri sambil membongkok
kepala tanda hormatnya pada Azimil.
“Hmmm... bila Cik Tantiana akan mulakan tugas? Cik
diberi masa tiga hari untuk menyiapkannya?” soal Azimil.
“Tengku beri izin saya ke banglo Tengku hari ini.
Lepas itu saya boleh maklumkan bila saya boleh mulakan,” jelas Puteri cukup
terang. Baginya kerja perlu ikhlas. Berjanji biar berasas. Itulah tawaran
kepercayaan dalam berurusan dengan manusia. Hilang kepercayaan, hilanglah
kehidupan di muka Bumi ini.
“Sebelum jam sepuluh malam perlu tinggalkan
perkarangan banglo. Boleh?” soal Azimil lagi.
“Boleh,” setuju Puteri.
Sebaik sahaja Azimil berlalu meninggalkan Teratak
Melur. Puteri terus ke garaj kereta untuk mengambil motor scramblernya ke
banglo Azimil berjarak lima kilometer dari Teratak Melur.
Seperti yang dimaklumkan kunci pendua di dalam kasut
di tingkat atas rak kasut di keluarkan. Banglo kolonial ini sangat tersusun
susun atur perabutnya. Puteri terus ke kamar pengantin yang dikatakan berada di
sebelah depan. Kuak saja pintu kamar, mata Puteri terpengun dengan warna merah hati yang dipadankan
dengan putih yang menjadi warna tema kamar pengantin ini beradu.
Lampu bilik tidak dipasangkan setelah Puteri
menjumpai dua batang lilin di meja solek. Lilin itu di pasang bagi memberikan
sinar malap untuk memberi ilham pada Puteri melakar hiasan yang sesuai untuk
kamar pengantin ini.
Leka Puteri melayan emosi dan ilhamnya yang membuak
untuk dicontengkan pada buku scatch di tangannya. Tiba-tiba belakangnya
disentuh dengan benda tajam. Kepalanya ingin berpaling namun dihalang dengan
tusukan benda tajam mengarahkannya hanya memandang ke depan.
“Awak siapa?” soal suara itu keras dan kasar.
“Saya, Tantiana pengubah bunga kediaman ini. Encik
pula?” soal Puteri polos.
“Saya, Datuk Paduka Tengku Azimil. Pemilik Villa
ini,” tegas Azimil.
Puteri pucat lesi. Dia sudah melanggar perjanjian
yang baru saja dipersetujui sebentar tadi. Tapi kenapa lelaki sejuk kaku ini
boleh berada di sini waktu ini pula. Soal Puteri dalam hati.
“Cik Tantiana…” panggil Azimil.
“Panggil saya Tia cukup,” sampuk Puteri.
“Baiklah. Tia sudah melanggar perjanjian yang baru
dipersetujui tadi,” ucap Azimil tegas sambil menurunkan kayu baseball dari
menyucuk belakang Puteri.
“Saya baru berada di sini tak sampai setengah jam,”
ucap Puteri pelik.
Lampu kamar terpasang. Puteri disuruh melihat pada
jam dinding yang sudah menunjukkan sepuluh setengah malam. Dalam keterpaksaan
Puteri mengeluh berat.
“Waktu berjalan dengan pantas tanpa siapa sedari.
Tia sudah melanggar perjanjian. Memandangkan hari sudah lewat malam saya
lepaskan Tia. Esok tengahari Tia perlu sediakan masakan tengahari untuk saya.
Di sini,” arah Azimil.
“Baik,” jawab Puteri pendek.
“Saya ingin memakan lauk kampung. Daging salai masak
lemak cili api, ikan sardin goreng dan ulam-ulam bersama sambal belacan. Mudah
dan ringkas. Boleh?” soal Azimil selamba.
Rasa air liur Puteri tiba-tiba membeku di
kerongkong. Sudahlah dia tidak pernah ke dapur. Inikan pula disuruh masak lauk
kampung sebegitu. Daging salai pulak tu, memang mengada betul Azimil ini. Bebel
Puteri dalam hatinya.
“Insya-Allah. Saya akan cuba. Cuma saya nak
maklumkan di sini yang saya tidak pernah masak di dapur seumur hidup saya.
Masak air pun tak pernah. Namun sekali saya sudah berjanji, saya akan mencuba
sebaik mungkin,” jelas Puteri terus-terang.
“Kenapa setuju?” soal Azimil mendatar.
“Prinsip membantu dan percaya pada pelanggan buatkan
saya tahu niat ikhlas Tengku untuk saya hasilkan perkhidmatan yang terbaik buat
Tengku. Tak salah mencubakan?” tuju Puteri kembali.
“Esok jam sebelas setengah di sini. Saya akan berada
di rumah memantau Tia masak. Saya tak mahu sakit perut jika saya biarkan Tia
sendirian di dapur rumah saya,” ucap
Azimil tak ada perasaan. Sejuk kaku.
“Baik.”
“Bagaimana, bila boleh mula hias bilik ini?” soal
Azimil.
“Lusa saya mula dari jam lapan pagi hingga lima
petang. Selama tiga hari. Rasanya waktu itu Tengku masih di pejabat.
Insya-Allah semua akan siap dalam masa yang telah diperuntukkan.”
“Bagus.”
“Kalau begitu saya minta diri dulu. Tak manis pula
saya berada di Villa Tengku ini sendirian. Selamat malam dan assalamualaikum,”
ucap Puteri dan keluar meninggalkan kamar pengantin.
“Waalaikumsalam,” jawab Azimil ringkas.
Azimil memerhati Puteri dengan penuh yakin menyarung
topi keledar yang duduk di atas motor scrambler. Pemegang minyak di pulas
lembut sebelum motor yang ditonggang itu meluru laju menuruni denai. Jalan
pintas yang menjadi laluan Puteri sebentar tadi.
“Boleh tahan lasak,” ucap Azimil sambil tersengih.
azimil nie sapa yek dr n3 dlu sy dok ttye2.. putera nasyrik ke azimil nie
ReplyDeleteHahahaha.... Bahaya datuk paduka nie
ReplyDelete