Sunday, January 18, 2015

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 15

Puteri hadir seperti yang dijanjikan. Azimil sudah berada di dapur melayan secawan kopi yang masih berasap. Puteri cukup tak selesa memandang wajah Azimil yang membeku kaku. Tak ada serinya langsung.
“Selamat pagi,” sapa Puteri mesra.
“Mmm… selamat pagi. Awak lewat Cik Tia,” ucap Azimil memandang tepat pada Puteri.
Puteri melihat pada jarum jam yang tergantung di dinding. Baru pukul sebelas tiga puluh satu pun dikatakan lambat. Mengaru kepala Puteri melayan karenah Azimil yang baginya sombong tak bertempat.
“Maaf. Saya tak jumpa kunci di luar tadi,” luah Puteri membela diri. Memang betul pun, dia menggagau mencari kunci hampir sepuluh minit. Rupanya gugusan kunci itu ditukar kedudukannya di tingkat bawah sekali.
“Oooo,” itu balas Azimil.
“Boleh saya mulakan upacara memasak ini Tengku?” soal Puteri yang begitu mengejar masa.
“Awak tahu?” soal Azimil.
“Yakin dan percaya pada saya, Tengku,” ucap Puteri yang masih lagi ragu-ragu dengan apa yang akan dilakukan ini. Pagi tadi sempat dia bersoal jawab dengan Abang Goggle bagi mengetahui cara-cara mudah untuk menyediakan menu daging salai masak lemak cili api dan beberapa menu yang diminta oleh Azimil semalam.
Azimil yang duduk di bangku memerhati gaya pantas Puteri menyediakan semua bahan tanpa rasa kekok. Tak sampai sejam setengah hidangan sudah terhidang kemas di atas meja sedia untuk dirasa.
“Cepat, pantas dan tertib,” komen Azimil selamba.
“Terima kasih.” 
“Jangan cukup yakin, rasa belum tahu lagi ni,” pedas sindiran Azimil.
Puteri tak sabar menunggu komen daripada Azimil tentang rasa masakan yang disediakan ini. Jika Azimil suka, Puteri nak lompat bintang meraikan kejayaan pertama memasaknya tanpa ada benda yang terbakar dan meletop.
“Emmmm… lemak cukup,…pedas cukup sesuai,…masin pun cukup. Cuma…” Azimil berhenti di situ.
“Cuma apa Tengku?” cuak Puteri mendengar kata cuma dari Azimil.
“Cuma nasi tak cukup untuk saya makan lebih,” sengih Azimil seronok mengenakan Puteri yang pucat lesi menunggu jawapannya. Comel sangat.
  Lega sungguh Puteri bila Azimil berselera dengan juadah yang dihidangkannya. Usai makan dan berkemas dapur. Puteri mohon diri untuk beransur pulang. Azimil menghalang dengan mempelawa Puteri untuk menghabiskan secawan kopi dulu bersamanya. Atas dasar hormat Puteri setuju.
“Sudah lama Puteri uruskan Teratak Melur tu?” soal Azimil ramah.
“Itu perniagaan keluarga. Saya cuma membantu Atuk yang sudah uzur. Adalah dalam tiga empat tahun kebelakangan ini. Saya nak Atuk rehat dan tumpukan pada amal ibadatnya saja,” cerita Puteri.
“Berapa adik beradik?”
“Ada tiga. Saya yang bongsu. Abang dan kakak merantau kerja di luar negara. Biasalah sapa nak duduk di sini bila mendapat peluang pekerjaan yang lebih glamor di negara empat musim sana,” senyum Puteri bercerita.
“Ibu ayah masih ada lagi?”
“Hanya tinggal ibu. Ayah sudah meninggal,”
“Dah meninggal? Betul sudah meninggal?”soal Azimil tak percaya.
“Ya. Itulah yang diperkhabarkan pada saya, Tengku.”
“Sudah ada kekasih?” soal Azimil.
“Bukan kekasih. Sudah ada suami, Tengku,” jawab Puteri selamba. Memang benar pun dia sudah mempunyai suami. Baru sangat lagi. Kesan penaklukan masih merah di tubuhnya.
“Ohh! Tak nampak macam sudah berkahwin” ucap Azimil separuh terkejut.
“Jodoh itukan rahsia Yang Maha Esa, Tengku. Emmm… kalau tiada apa-apa saya mohon diri dulu. Ada beberapa tugas yang perlu saya selesaikan ni. Bunga-bunga pun belum disediakan untuk menghias kamar pengantin itu,” senyum Puteri sudah mendapat alasan untuk melepaskan diri dari duduk bersembang lama dengan Azimil.
“Hmmm, esok jam lapan Cik Tia sampai ke?” soal Azimil begitu berhati-hati.
“Pembantu saya seramai sepuluh orang akan tiba di sini jam lapan pagi esok. Saya terbang ke Mexico petang ni untuk menguruskan ladang tulip kami di sana ada sedikit masalah. Saya jamin, dua hari kamar pengantin ini akan indah seperti yang Tengku impikan.”
“Ooooo… bila Cik Tia pulang semula dari Mexico… mmm maksud saya ada semula di Teratak Melur?” soal Azimil penuh teruja ingin mengetahui.
“Bila segala urusan di sana selesai segera, Tengku,” senyum Puteri.
Puteri pulang menaiki motor scremblernya seperti biasa. Jalan pintas di denai sana menjadi pilihannya. Azimil memerhati dengan senyuman yang puas. Puteri seorang yang jujur dan polos dalam menilai sikap manusia. Tiada langsung syak wasangka dalam diri Puteri akan apa yang akan terjadi padanya sekiranya semua maklumat keluarga diceritakan kepada mereka yang asing dalam hidupnya. Lamunan Azimil hilang bila seorang lelaki berseragam celoreng menghampirinya.
“Tengku.”
“Kita berangkat sekarang,” arah Azimil.
Puteri tiba di Teratak Melur dengan selamat, walaupun dua tiga kali jatuh kerana gagal mengawal scremblernya yang melalui denai berlopak. Dia berjalan lemah duduk di buai mengadap air terjun. Pengalaman duduk berbual santai bersama Azimil buatkan hati Puteri terdetik untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Perasaan selamat dan dilindungi dengan penuh kasih dapat dirasai Puteri. Bagaikan mereka pernah berjumpa dan kenal rapat sebelum ini.
“Siapa sebenarnya Datuk Paduka Tengku Azimil ini? Imbasanku tidak mampu menembusi dirinya. Dia bukan calang manusia. Entah-entah dia juga keturunan pari-pari seperti aku tak? Lebih selesa tinggal di Bumi berbanding di Kejora. Apapun aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi.”
Monolog Puteri sendirian. Suasana malam di Bumi memang disukai Puteri. Nak pula dengan dendangan alunan okestra unggas malam. Kehidupan Puteri lebih bewarna-warni sejak kebelakangan ini. Pulang ke Sakura banyak merubah masa depan Puteri yang dulunya difokuskan pada Teratak Melur dan kerja amal di Bumi. Kini tugas dan tanggungjawab Puteri lebih besar lagi. Menyelamatkan kekandanya bagi kesejahteraan Sakura.  
“Beranikah aku melakukannya dengan bersandarkan kasih sayangku pada keluarga dan Sakura?”
Persoalan itu sudah mulai bermain jauh dibenak hati Puteri yang baru belajar menikmati kehidupan sebagai puteri di Sakura.


No comments:

Post a Comment