Thursday, January 8, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 11

Puteri kembali dengan kerja asalnya di Teratak Melur sebagai pengubah dan pembekal bunga pada pejabat mewah di sekitar Kota Metropolitan. Tun Mahmud dan Dang Anum yang menjadi pengantar dan pencari pesanan baru dari pelanggan cukup mahir dengan tugasan mereka. Ratu Ayu sudah diperkhabarkannya akan keinginan Adeeba berehat seketika di Bumi dalam sehari dua lamanya mengikut waktu Kejora.
“Tia. Kita menerima tempahan untuk menghias sebuah rumah milik pasangan pengantin baru. Bayarannya juga lumayan. Bolehlah kita salurkan hasil jualan pada  tiga buah lagi rumah anak yatim,” cerita Dang Anum.
“Siapa yang tempah?” soal Puteri yang leka melayan kelopak mawar yang sedang mekar diusap lembut.
“Seorang ternama. Datuk Paduka Tengku Azimil ingin meminjamkan rumah ini pada saudara perempuannya yang baru melangsungkan perkahwinan minggu lepas,” jelas Dang Anum.
Tangan Puteri terhenti mengubah bunga mawar yang diusapnya halus. Wajah Dang Anum diperhatikan. Ada sesuatu yang menjentik nalurinya tika mendengar nama Datuk Paduka Tengku Azimil.
“Sudah dilihat rumahnya, bagaimana?” soal Puteri lembut.
“Sudah dan tidak berapa jauh dari Teratak Melur. Rumah banglo itu terletak di bukit Cameron Highland,” jelas Dang Anum.
“Tia, boleh melawat ke sebelum membuat lakaran?” soal Puteri seperti biasa.
“Boleh, cuma Tia perlu maklumkan terlebih dahulu pada Datuk Paduka. Dia tak mahu semasa kehadirannya, kita datang memeriksa kawasan sekeliling. Itu umpama rumah hinggapnya,” jelas Dang Anum.
“Ishhh manusia ni, banyak sangat protokolnya. Cerewetnya mengalahkan bangsawan di Kejora. Pangkat dan darjat juga yang dipandangnya. Muaklah Tia dengar… muak,” geram Puteri.
“Ehhh! Yang nak geram tak tentu pasal ni kenapa? PMS ke?” soal Dang Anum
“Tak ada maknanya PMS. Tia pun tak tahu, dada Tia berdengup kencang. Macam baru lepas lari sebenua lagaknya. Anum…, jika Tia mati sebab sakit jantung bawa jenazah Tia ke Kejora ya. Tia nak mangkat macam cerita ‘The Sleeping Beauty’ diletakkan dalam keranda kaca sampai bila-bila,” angan Puteri buatkan Dang Anum menepuk bahunya dengan kuat. Marah sangat Dang Anum.
“Kenapa?” soal Puteri.
“Sebut lagi pasal mati, saya belasah Tia,” Dang Anum memberi amaran.
“Laa itu rupanya. Baiklah. Mati! Mati! Mati! Mati!” sakat Puteri yang sudah siap kekuda untuk lari dari dibelasah oleh Dang Anum.
Menyinga Dang Anum dengan sikap Puteri yang kuat menyakat. Berlari-lari Puteri di tengah ladang bunganya yang sedang mekar untuk mengelak dari dibelasah oleh Dang Anum yang kuat mengeleteknya hingga lunyai. Ketawanya yang nyaring bagaikan seruling melagukan alunan ceria melebar.
“Kenapa pulak tu?” geleng Raden Indra.
“Budak-budak, Tunku Raden. Si Anum pun rajin melayan Tia. Dua kali lima sajalah mereka tu,” sengih Tun Mahmud.
“Mahmud, berapa lama Puteri Bulan Kejora ini mohon cuti dari Bondanya?” soal Raden Indra.
“Katanya dua tiga hari.”
“Lamanya. Beta sudah tergerak hati untuk pulang ke Kejora tinggal bersama anakanda Beta di Sakura,” luah Raden Indra.
Keputusan Raden Indra begitu mengembirakan Tun Mahmud. Dia pun sudah penat duduk di Bumi. Disini mereka diharamkan mengunakan kuasa sakti seperti di Kejora. Semua perlu dilakukan sendiri. Puteri bukan boleh duduk diam, ada saja yang ingin dilakukannya. Syarikat bunga yang membekal produk bunga segar untuk pasaran luar dan dalam negara milik Puteri cukup maju tika ini. Selain di Malaysia, mereka punyai cawangan di Jepun, Korea, Maldive, Singapura, Indonesia dan terbaru di Mexico. Hasilnya disalurkan untuk membantu golongan miskin yang memerlukan juga membantu musafir yang dalam perjalanan mengembangkan ilmu atau menuntut ilmu.
Kemunculan sebuah kereta Hummer bewarna hitam di depan Teratak Melur buatkan Tun Mahmud keluar menyambutnya.
“Ini Teratak Melur?” soal lelaki segak yang baru keluar dari pintu depan.
“Iya. Ini Teratak Melur. Encik mencari siapa?” soal Tun Mahmud pelik.
“Kami mencari Cik Anum untuk menandatangani kontrak perjanjian yang telah dipersetujui itu. Di mana boleh kami berjumpa Cik Anum?” soal lelaki itu lagi.
“Jemput masuk ke pejabat dulu encik. Saya panggilkan, Cik Anum sekarang bersama bos saya,” ucap Tun Mahmud mempersilakan lelaki itu masuk ke pejabat.
Lelaki itu membuka pintu belakang Hummer. Turun seorang lelaki yang tiada sebaris senyum pun di wajahnya. Ketegasan dan karisma lelaki itu memang terpancar. Tun Mahmud dengan penuh hormat mempersilakan mereka masuk ke pejabat Teratak Melur. Walkie Talkie digunakan untuk memanggil Dang Anum dan Puteri yang berada nun jauh di tengah ladang. Bila pesanan selamat disampaikan, Tun Mahmud duduk berhadapan dengan tetamu mereka itu.
“Saya Mahmud, Pengurus Operasi Teratak Melur.” Tun Mahmud memperkenalkan diri.
“Saya Suhaimi PA kepada Datuk Paduka Tengku Azimil… dan ini bos saya,” Suhaimi memperkenalkan diri juga Azimil pada Tun Mahmud.
“Sebentar ya Tengku. Cik Anum bersama bos saya dalam perjalanan ke mari. Mereka di ladang bunga tadi,” cerita Tun Mahmud.
“Emmm…” balas Azimil ringkas.
Belum sempat Tun Mahmud bangun, pintu pejabat di kuak lembut. Dang Anum dan Puteri sudah melangkah masuk. Puteri terus ke tandas untuk membersihkan tangannya terlebih dahulu sebelum mengadap menemui tetamu mereka ini. Dang Anum melayan dengan penuh hormat dan sopan.
“Anum,” sapa Puteri sebaik saja duduk di sebelah Dang Anum.
“Ohh! Tengku saya perkenalkan ini bos saya, Cik Tantiana yang merupakan pengubah utama di Teratak Melur. Sentuhan tangannya memang ajaib dan menyegarkan minda,” puji Dang Anum membuat promosi Teratak Melur seperti biasa.
“Apa khabar Tengku?” ucap Puteri menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat.
“Baik. Jadi awaklah yang akan mengubah Villa saya nanti?” soal Azimil tegas dengan tiada bunga-bunga perkenalan langsung.
Puteri memandang pada Dang Anum dengan anak matanya. Pelanggan ini nampak sangat tidak ramah dan memandang rendah padanya. Sengih Puteri sendirian setelah seketika bercakap sendirian dalam hatinya.
“Iya, saya bersama beberapa orang lagi pengubah,” jawab Puteri ringkas.
“Salah satu terma dalam perjanjian ini, saya tidak mahu sebarang kerja atau lawatan dilakukan ketika saya berada di Villa. Saya mahu sendirian. Faham?” tegas Azimil.
“Baik saya setuju. Cuma….”
“Apa?”
“Bagaimana saya nak tahu Tengku berada di Villa atau tidak?” soal Puteri mudah.
“Sebelum awak datang, SMS saya terlebih dahulu. Jika tiada sebarang balasan bermakna awak boleh ke sana. Faham?” soal Azimil lagi.
“Bagaimana kalau saya terlanggar tanpa sengaja?”
Azimil berfikir sambil mengusap dagunya yang berlekuk cantik. Terpengun mata Puteri memerhati gaya Azimil mengusap dagunya perlahan. Makin direnung makin geram pula Puteri dibuatnya. Rasa macam ingin dicubit-cubit dagu itu.
“Cik Tantiana perlu masak untuk saya,” ucap Azimil bersahaja.
“Masak?” terbeliak Puteri.
Seumur hidupnya belum pernah lagi dia memasak sendirian di dapur. Mahu terbakar dapur Villa itu nanti dikerjakan Puteri. Dang Amun memegang peha Puteri minta supaya dia mengelak dari mempersetujui perjanjian yang dimetrai itu.
“Baiklah,” setuju Puteri selamba. Dang Anum terus menepuk pehanya kuat hingga dapat didengari oleh Azimil.
“Kenapa Cik Anum?” soal Azimil pelik.
“Tiba-tiba ada nyamuk besar di peha bos saya. Itu yang saya tolong pukul tu,” alasan Dang Anum menutup malu dan geram sekali gus.
“Ooo…” pendek Azimil bersuara.
“Terima kasih Tengku kerana memberi kepercayaan pada Teratak Melur untuk menghias banglo Tengku itu. Saya janji akan saya perindahkan seperti yang Tengku bayangkan,” ucap Puteri sambil membongkok kepala tanda hormatnya pada Azimil.
“Hmmm... bila Cik Tantiana akan mulakan tugas? Cik diberi masa tiga hari untuk menyiapkannya?” soal Azimil.
“Tengku beri izin saya ke banglo Tengku hari ini. Lepas itu saya boleh maklumkan bila saya boleh mulakan,” jelas Puteri cukup terang. Baginya kerja perlu ikhlas. Berjanji biar berasas. Itulah tawaran kepercayaan dalam berurusan dengan manusia. Hilang kepercayaan, hilanglah kehidupan di muka Bumi ini.
“Sebelum jam sepuluh malam perlu tinggalkan perkarangan banglo. Boleh?” soal Azimil lagi.
“Boleh,” setuju Puteri.
Sebaik sahaja Azimil berlalu meninggalkan Teratak Melur. Puteri terus ke garaj kereta untuk mengambil motor scramblernya ke banglo Azimil berjarak lima kilometer dari Teratak Melur.
Seperti yang dimaklumkan kunci pendua di dalam kasut di tingkat atas rak kasut di keluarkan. Banglo kolonial ini sangat tersusun susun atur perabutnya. Puteri terus ke kamar pengantin yang dikatakan berada di sebelah depan. Kuak saja pintu kamar, mata Puteri  terpengun dengan warna merah hati yang dipadankan dengan putih yang menjadi warna tema kamar pengantin ini beradu.
Lampu bilik tidak dipasangkan setelah Puteri menjumpai dua batang lilin di meja solek. Lilin itu di pasang bagi memberikan sinar malap untuk memberi ilham pada Puteri melakar hiasan yang sesuai untuk kamar pengantin ini.
Leka Puteri melayan emosi dan ilhamnya yang membuak untuk dicontengkan pada buku scatch di tangannya. Tiba-tiba belakangnya disentuh dengan benda tajam. Kepalanya ingin berpaling namun dihalang dengan tusukan benda tajam mengarahkannya hanya memandang ke depan.
“Awak siapa?” soal suara itu keras dan kasar.
“Saya, Tantiana pengubah bunga kediaman ini. Encik pula?” soal Puteri polos.
“Saya, Datuk Paduka Tengku Azimil. Pemilik Villa ini,” tegas Azimil.
Puteri pucat lesi. Dia sudah melanggar perjanjian yang baru saja dipersetujui sebentar tadi. Tapi kenapa lelaki sejuk kaku ini boleh berada di sini waktu ini pula. Soal Puteri dalam hati.
“Cik Tantiana…” panggil Azimil.
“Panggil saya Tia cukup,” sampuk Puteri.
“Baiklah. Tia sudah melanggar perjanjian yang baru dipersetujui tadi,” ucap Azimil tegas sambil menurunkan kayu baseball dari menyucuk belakang Puteri.
“Saya baru berada di sini tak sampai setengah jam,” ucap Puteri pelik.
Lampu kamar terpasang. Puteri disuruh melihat pada jam dinding yang sudah menunjukkan sepuluh setengah malam. Dalam keterpaksaan Puteri mengeluh berat.
“Waktu berjalan dengan pantas tanpa siapa sedari. Tia sudah melanggar perjanjian. Memandangkan hari sudah lewat malam saya lepaskan Tia. Esok tengahari Tia perlu sediakan masakan tengahari untuk saya. Di sini,” arah Azimil.
“Baik,” jawab Puteri pendek.
“Saya ingin memakan lauk kampung. Daging salai masak lemak cili api, ikan sardin goreng dan ulam-ulam bersama sambal belacan. Mudah dan ringkas. Boleh?” soal Azimil selamba.
Rasa air liur Puteri tiba-tiba membeku di kerongkong. Sudahlah dia tidak pernah ke dapur. Inikan pula disuruh masak lauk kampung sebegitu. Daging salai pulak tu, memang mengada betul Azimil ini. Bebel Puteri dalam hatinya.
“Insya-Allah. Saya akan cuba. Cuma saya nak maklumkan di sini yang saya tidak pernah masak di dapur seumur hidup saya. Masak air pun tak pernah. Namun sekali saya sudah berjanji, saya akan mencuba sebaik mungkin,” jelas Puteri terus-terang.
“Kenapa setuju?” soal Azimil mendatar.
“Prinsip membantu dan percaya pada pelanggan buatkan saya tahu niat ikhlas Tengku untuk saya hasilkan perkhidmatan yang terbaik buat Tengku. Tak salah mencubakan?” tuju Puteri kembali.
“Esok jam sebelas setengah di sini. Saya akan berada di rumah memantau Tia masak. Saya tak mahu sakit perut jika saya biarkan Tia sendirian  di dapur rumah saya,” ucap Azimil tak ada perasaan. Sejuk kaku.
“Baik.”
“Bagaimana, bila boleh mula hias bilik ini?” soal Azimil.
“Lusa saya mula dari jam lapan pagi hingga lima petang. Selama tiga hari. Rasanya waktu itu Tengku masih di pejabat. Insya-Allah semua akan siap dalam masa yang telah diperuntukkan.”
“Bagus.”
“Kalau begitu saya minta diri dulu. Tak manis pula saya berada di Villa Tengku ini sendirian. Selamat malam dan assalamualaikum,” ucap Puteri dan keluar meninggalkan kamar pengantin.
“Waalaikumsalam,” jawab Azimil ringkas.
Azimil memerhati Puteri dengan penuh yakin menyarung topi keledar yang duduk di atas motor scrambler. Pemegang minyak di pulas lembut sebelum motor yang ditonggang itu meluru laju menuruni denai. Jalan pintas yang menjadi laluan Puteri sebentar tadi.

“Boleh tahan lasak,” ucap Azimil sambil tersengih. 

2 comments:

  1. azimil nie sapa yek dr n3 dlu sy dok ttye2.. putera nasyrik ke azimil nie

    ReplyDelete
  2. Hahahaha.... Bahaya datuk paduka nie

    ReplyDelete