Sekembalinya Puteri dari banglo Azimil, dia terus
berlari ke air terjun dengan pakaian yang masih melekat di badan. Rasa bengang
sangat dengan janji yang telah dimetrai. Tak semena-mena dia terpaksa masak
untuk Azimil.
“Tia..,” panggil satu suara asing di telinga Puteri.
Celik mata Puteri di dasar sungai bila mendengar
namanya di seru di tebing air terjun. Puteri terus memberi isyarat pada anak
ikan supaya berhenti bagi membolehkannya terus berenang naik ke permukaan
sungai.
“Bonda!” terkejut Puteri menerima kunjungan Ratu Ayu
yang sudah lama tidak mencemar duli turun ke Teratak Melur menemuinya.
“Ya, Puteri Bulan Kejora. Bonda ingin bertemu dengan
Tia segera. Ada berita yang perlu Bonda perkhabarkan pada Tia,” jelas Ratu Ayu
penuh sopan dan tertib.
Puteri melompat naik ke tebing sungai. Dayang-dayang
sudah menanti dengan tuala. Geleng Puteri seketika, namun apakan daya Ratu Ayu
memang sudah terbiasa diiringi dayang-dayang yang ramai ke mana saja beliau
pergi. Mereka beriringan pulang ke Teratak Melur. Raden Indra duduk menanti di
ruang rehat dengan secawan kopi kegemarannya.
“Tia masuk salin pakaian dulu ya, Bonda,” ucap
Puteri lembut.
“Yalah.”
“Ayu sudah khabarkan padanya?” soal Raden Indra.
“Belum,” sayu wajah Ratu Ayu.
“Skuad Panglima Merah Sakura sudah diarahkan
menyelamat?” soal Raden Indra.
“Sudah. Dua daripada mereka mati di sana,” sedih
Ratu Ayu.
“Kenapalah Kal tu tak habis-habis menyusahkan orang.
Tak cukup lagi ke Sakura di porak- perandakan. Inikan pula turun ke Bumi yang
memang bukan tempat yang sesuai untuk pari-pari seperti dia tu,” geram Raden
Indra.
“Apa pun dia tetap anakanda Ayu, Ayahanda,” sebak
Ratu Ayu.
“Bonda! Nenda!” sapa Puteri yang baru menarik kerusi
rotan dan duduk dengan penuh sopan.
“Tia…” Ratu Ayu terus menangis.
Puteri cemas. Tak pernah dia melihat Ratu Ayu
menangis sebegitu sendu lagi dihadapannya. Setahunya pemergian armarhum Raja
Nadim dulu pun, Ratu Ayu tidak menangis begitu. Sudah hilangkah hati kebal dan
sebal Ratu Ayu tika ini? soal Puteri dalam hatinya.
Tangan Ratu Ayu diusap lembut. Puteri duduk
bersimpuh di lantai sambil kepala dilentukkannya manja di lutut Ratu Ayu. Di
Sakura, jangan harap dia mampu bermanja begini. Ibu dan anak hidup dengan penuh
peraturan dan protokol yang mengarut. Bagaimana kasih sayang ingin disemai jika
masing-masing tidak bebas meluahkan rasa?
“Putera Khalif dijatuh hukum menetap di Bumi kerana
telah membunuh lima orang pari-pari ketika sedang mabuk. Dan semua kesaktiannya
ditarik seumur hidupnya. Dia akan bertukar menjadi manusia biasa selamanya,
Tia,” cerita Ratu Ayu sendu.
“Apa? Arhhhh….” keluh Puteri berat.
“…dan Puteri Sofia juga bakal menyusul dijatuh hukum
ke Bumi sekiranya masih tinggal di Pulau Matahari. Puas bonda berfikir cara
bagaimana membawa keluar Puteri Sofia dari situ sehinggalah Putera Nashrid
memberi satu cadangan yang Bonda rasa sangat baik buat kedua-dua negara….” ucap
Ratu Ayu.
“Apa dia Bonda?”
“Putera Nashrid sudah melamar Tia menjadi
permaisurinya untuk menarik Puteri Sofia dari Pulau Matahari dan terkurung
di Mendalin saja. Tia yang akan memulihkan Fia di sana. Fia hanya akan
dibebaskan pulang ke Sakura sekiranya dia pulih dari Sumpahan Pulau Matahari
….”
“Dan Tia? Terkurung di Istana Nong?” soal Puteri.
“Tia sudah bernikah. Bukan Tia terkurung,” Ratu Ayu
memperbetulkan kenyataan Puteri.
“Bonda, Tia tidak layak untuk Putera Nashrid yang
budiman itu. Tia hanya puteri hingusan yang cukup banyak cacatnya. Kejora bukan
kehidupan Tia,” berulang kali Puteri lemparkan rasa rendah dirinya.
“Nenda sudah putuskan untuk pulang ke Sakura, Tia,”
ucap Ratu Ayu lemah.
“Nenda?” soal Puteri pada Raden Indra, minta
kepastian.
“Ya, Tia. Nenda akan pulang bersama Bonda Ayu,”
jelas Raden Indra.
“Habis siapa yang akan duduk bermanja dengan Tia di
sini?”soal Puteri yang mulai sebak.
“Sakura semakin darurat sekarang, Tia. Nenda tak
sanggup melihat anakanda kesayangan nenda mengharungi semuanya sendirian saja
di sana. Sana tanggungjawab kita Tia. Sini hanyalah tempat kita kenal keupayaan
diri kita. Anggaplah Teratak Melur ini sebagai istana hinggap Tia,” pujuk Raden
Indra bersungguh.
“Tak ada cara lain ke Bonda, selain Tia bernikah
dengan Putera Nashrid tu?” soal Puteri lemah.
“Ada. Nikah dengan Putera Sharid dan tinggal di
Pulau Matahari. Bonda tak izinkan Tia jejakkan kaki di sana. Tidak! Tidak sama
sekali!”
“Lain Bonda?” soal Puteri lagi.
“Ada bernikah dengan Putera Nong. Mana satu yang Tia
setuju?” sampuk Raden Indra buatkan mata Puteri terbeliak.
“Putera Nong tu sudah tua. Layak dengan Bonda saja.
Nenda ni pun, kalau nak buat lawak tu agak-agaklah. Tia tengah cemas ni. Belum
kata marah, geram, sedih dan kesal dengan apa yang berlaku. Kenapa semua ini
berlaku pada keluarga kita Bonda. Kenapa kita? Kenapa Tia yang perlu tanggung
semua ini dalam keterpaksaan. Tia tidak bebas memilih jalan hidup Tia sendiri,”
luah Puteri bebas.
“Sebab Tia anak yang soleh. Sebab Tia yang
selayaknya membimbing dan memimpin Sakura dengan matlamat hidup yang lebih
jelas,” jelas Ratu Ayu memujuk Puteri dalam esakannya yang masih belum reda.
“Tapi Bonda…”
“Tia, jangan dipersoal kerja Pencipta. Semuanya
hadir bersebab. Kita hadapi semua ini bersama. Bonda Ayu ada, nenda ada, Mahmud
dan Anum pun sentiasa ada bersama Tia. Sekiranya Tia rasa mahukan Teratak Melur
di Sakura pun Tia mampu lakukan. Semuanya di tangan Tia. Bagaimana kehidupan
yang Tia mahukan, Tia boleh ubah,” pujuk Raden Indra.
“Sekiranya Tia setuju. Bila Tia dikorbankan?” bahasa
Puteri lepas.
“Dikorbankan?” Ratu Ayu tak faham maksud Puteri.
“Yalah, dikorbankan menjadi permaisuri Raja
Mendalin.”
“Tia pilih Putera Nashrid?”
“Tia pilih pilihan Bonda. Kebahagiaan Tia bermula
dari restu Bonda dan perkenan nenda. Tia menurut mana yang dikatakan terbaik
buat Sakura,” jelas Puteri mudah.
“Syukur,” gembira Ratu Ayu.
“Namun bersyarat. Sebaik saja bernikah Tia akan
turun semula ke Bumi untuk mencari Abang Kal...Bumi tidak sesuai dengan mereka.
Manusia bukan teman Abang Kal yang kuat hawa nafsunya itu. Di mana Abang Kal,
Bonda?” soal Puteri bertalu. Ratu Ayu mengeluh berat.
“…itu Skuad Panglima Merah Sakura sudah uruskan.
Kita tunggu dalam masa terdekat ini Kal akan di bawa pulang ke Sakura,” jelas
Ratu Ayu lemah.
“Di mana Bonda?” soal Puteri tegas dalam lembut.
“Venazuella….bersama kumpulan demon terkenal di
sana,” kalah Ratu Ayu.
Puteri dalam diam menyeru Tun Mahmud dan Dang Amun
hadir dihadapannya segera. Dia cukup yakin dengan kemampuan kuncu ninjanya yang
digelar Skuad Khas Puteri. Arahan diberikan pada Tun Mahmud dan Dang Anum untuk
mencari maklumat terperinci di mana Putera Khalif berada.
“Tia, Anum akan tinggal bersama Tia. Tugas ini agak
berbahaya. Kumpulan demon ini merupakan kumpulan pontianak yang zalim pada
manusia. Melalui sumber dua ahli Skuad Panglima Merah tewas mudah di tangan
mereka,” jelas Tun Mahmud.
“Betul ke Bonda?” soal Puteri tegas.
“Betul maklumat itu, Tia,” berat Ratu Ayu meluahkan
kenyataan itu.
“Jadi keputusan Tia cukup tepat. Sebaik saja nikah,
Tia akan turun ke Bumi. Tia akan pulang ke Istana Nong sebaik saja Abang Kal
selamat,” tegas Puteri.
“Bonda perkhabarkan pada Putera Nong dan Putera
Nashrid keputusan Tia ini.”
“Mmmm… Tia nak ke ladang.”
“Bila kita bergerak pulang Tia?” soal Ratu Ayu
lembut.
“Esok setelah Tia sempurnakan janji Tia pada Datuk
Paduka Tengku Azimil?”
“Siapa tu?”
“Seorang pelanggan yang telah Tia persetujui masak
untuknya sekiranya Tia melanggar janji Tia.”
“Tia masak?” serentak Raden Indra dan Ratu Ayu
menyoal.
“Itulah, Tia pun tak tahu bagaimana Tia nak masak.
Tak apalah kejap lagi Tia jumpa Abang Goggle tengok cara memasak dengan betul.”
“Tia masak?” sekali lagi Raden Indra bersuara tak
percaya.
“Ya, nenda. Tia akan masak seperti yang telah Tia
janjikan,” geram Puteri bila diperlekehkan begitu.
“Nenda berdoa agar Datuk Paduka Tengku Azimil itu
tidak diserang sakit perut setelah menjamah masakan Tia,” sakat Raden Indra.
Puteri menghentak kakinya tanda protes dan berlalu
meninggalkan Teratak Melur. Ladang bunga yang bewarna warni dengan deretan
kuntuman bunga mawar yang sedang mekar menjadi tempat yang paling nyaman buat
Puteri untuk beriadah. Sambil berlari, kepalanya ligat berfikir semula cabaran
yang memerlukan tindakannya dengan segera.
habislah tia..
ReplyDelete