Thursday, January 8, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 12

Sekembalinya Puteri dari banglo Azimil, dia terus berlari ke air terjun dengan pakaian yang masih melekat di badan. Rasa bengang sangat dengan janji yang telah dimetrai. Tak semena-mena dia terpaksa masak untuk Azimil.
“Tia..,” panggil satu suara asing di telinga Puteri.
Celik mata Puteri di dasar sungai bila mendengar namanya di seru di tebing air terjun. Puteri terus memberi isyarat pada anak ikan supaya berhenti bagi membolehkannya terus berenang naik ke permukaan sungai.
“Bonda!” terkejut Puteri menerima kunjungan Ratu Ayu yang sudah lama tidak mencemar duli turun ke Teratak Melur menemuinya. 
“Ya, Puteri Bulan Kejora. Bonda ingin bertemu dengan Tia segera. Ada berita yang perlu Bonda perkhabarkan pada Tia,” jelas Ratu Ayu penuh sopan dan tertib.
Puteri melompat naik ke tebing sungai. Dayang-dayang sudah menanti dengan tuala. Geleng Puteri seketika, namun apakan daya Ratu Ayu memang sudah terbiasa diiringi dayang-dayang yang ramai ke mana saja beliau pergi. Mereka beriringan pulang ke Teratak Melur. Raden Indra duduk menanti di ruang rehat dengan secawan kopi kegemarannya.
“Tia masuk salin pakaian dulu ya, Bonda,” ucap Puteri lembut.
“Yalah.”
“Ayu sudah khabarkan padanya?” soal Raden Indra.
“Belum,” sayu wajah Ratu Ayu.
“Skuad Panglima Merah Sakura sudah diarahkan menyelamat?” soal Raden Indra.
“Sudah. Dua daripada mereka mati di sana,” sedih Ratu Ayu.
“Kenapalah Kal tu tak habis-habis menyusahkan orang. Tak cukup lagi ke Sakura di porak- perandakan. Inikan pula turun ke Bumi yang memang bukan tempat yang sesuai untuk pari-pari seperti dia tu,” geram Raden Indra.
“Apa pun dia tetap anakanda Ayu, Ayahanda,” sebak Ratu Ayu.
“Bonda! Nenda!” sapa Puteri yang baru menarik kerusi rotan dan duduk dengan penuh sopan.
“Tia…” Ratu Ayu terus menangis.
Puteri cemas. Tak pernah dia melihat Ratu Ayu menangis sebegitu sendu lagi dihadapannya. Setahunya pemergian armarhum Raja Nadim dulu pun, Ratu Ayu tidak menangis begitu. Sudah hilangkah hati kebal dan sebal Ratu Ayu tika ini? soal Puteri dalam hatinya.
Tangan Ratu Ayu diusap lembut. Puteri duduk bersimpuh di lantai sambil kepala dilentukkannya manja di lutut Ratu Ayu. Di Sakura, jangan harap dia mampu bermanja begini. Ibu dan anak hidup dengan penuh peraturan dan protokol yang mengarut. Bagaimana kasih sayang ingin disemai jika masing-masing tidak bebas meluahkan rasa?
“Putera Khalif dijatuh hukum menetap di Bumi kerana telah membunuh lima orang pari-pari ketika sedang mabuk. Dan semua kesaktiannya ditarik seumur hidupnya. Dia akan bertukar menjadi manusia biasa selamanya, Tia,” cerita Ratu Ayu sendu.
“Apa? Arhhhh….” keluh Puteri berat.
“…dan Puteri Sofia juga bakal menyusul dijatuh hukum ke Bumi sekiranya masih tinggal di Pulau Matahari. Puas bonda berfikir cara bagaimana membawa keluar Puteri Sofia dari situ sehinggalah Putera Nashrid memberi satu cadangan yang Bonda rasa sangat baik buat kedua-dua negara….” ucap Ratu Ayu.
“Apa dia Bonda?”
“Putera Nashrid sudah melamar Tia menjadi permaisurinya untuk menarik Puteri Sofia dari Pulau Matahari dan  terkurung  di Mendalin saja. Tia yang akan memulihkan Fia di sana. Fia hanya akan dibebaskan pulang ke Sakura sekiranya dia pulih dari Sumpahan Pulau Matahari ….”
“Dan Tia? Terkurung di Istana Nong?” soal Puteri.
“Tia sudah bernikah. Bukan Tia terkurung,” Ratu Ayu memperbetulkan kenyataan Puteri.
“Bonda, Tia tidak layak untuk Putera Nashrid yang budiman itu. Tia hanya puteri hingusan yang cukup banyak cacatnya. Kejora bukan kehidupan Tia,” berulang kali Puteri lemparkan rasa rendah dirinya.
“Nenda sudah putuskan untuk pulang ke Sakura, Tia,” ucap Ratu Ayu lemah.
“Nenda?” soal Puteri pada Raden Indra, minta kepastian.
“Ya, Tia. Nenda akan pulang bersama Bonda Ayu,” jelas Raden Indra.
“Habis siapa yang akan duduk bermanja dengan Tia di sini?”soal Puteri yang mulai sebak.
“Sakura semakin darurat sekarang, Tia. Nenda tak sanggup melihat anakanda kesayangan nenda mengharungi semuanya sendirian saja di sana. Sana tanggungjawab kita Tia. Sini hanyalah tempat kita kenal keupayaan diri kita. Anggaplah Teratak Melur ini sebagai istana hinggap Tia,” pujuk Raden Indra bersungguh.
“Tak ada cara lain ke Bonda, selain Tia bernikah dengan Putera Nashrid tu?” soal Puteri lemah.
“Ada. Nikah dengan Putera Sharid dan tinggal di Pulau Matahari. Bonda tak izinkan Tia jejakkan kaki di sana. Tidak! Tidak sama sekali!”
“Lain Bonda?” soal Puteri lagi.
“Ada bernikah dengan Putera Nong. Mana satu yang Tia setuju?” sampuk Raden Indra buatkan mata Puteri terbeliak.
“Putera Nong tu sudah tua. Layak dengan Bonda saja. Nenda ni pun, kalau nak buat lawak tu agak-agaklah. Tia tengah cemas ni. Belum kata marah, geram, sedih dan kesal dengan apa yang berlaku. Kenapa semua ini berlaku pada keluarga kita Bonda. Kenapa kita? Kenapa Tia yang perlu tanggung semua ini dalam keterpaksaan. Tia tidak bebas memilih jalan hidup Tia sendiri,” luah Puteri bebas.
“Sebab Tia anak yang soleh. Sebab Tia yang selayaknya membimbing dan memimpin Sakura dengan matlamat hidup yang lebih jelas,” jelas Ratu Ayu memujuk Puteri dalam esakannya yang masih belum reda.
“Tapi Bonda…”
“Tia, jangan dipersoal kerja Pencipta. Semuanya hadir bersebab. Kita hadapi semua ini bersama. Bonda Ayu ada, nenda ada, Mahmud dan Anum pun sentiasa ada bersama Tia. Sekiranya Tia rasa mahukan Teratak Melur di Sakura pun Tia mampu lakukan. Semuanya di tangan Tia. Bagaimana kehidupan yang Tia mahukan, Tia boleh ubah,” pujuk Raden Indra.
“Sekiranya Tia setuju. Bila Tia dikorbankan?” bahasa Puteri lepas.
“Dikorbankan?” Ratu Ayu tak faham maksud Puteri.
“Yalah, dikorbankan menjadi permaisuri Raja Mendalin.”
“Tia pilih Putera Nashrid?”
“Tia pilih pilihan Bonda. Kebahagiaan Tia bermula dari restu Bonda dan perkenan nenda. Tia menurut mana yang dikatakan terbaik buat Sakura,” jelas Puteri mudah.
“Syukur,” gembira Ratu Ayu.
“Namun bersyarat. Sebaik saja bernikah Tia akan turun semula ke Bumi untuk mencari Abang Kal...Bumi tidak sesuai dengan mereka. Manusia bukan teman Abang Kal yang kuat hawa nafsunya itu. Di mana Abang Kal, Bonda?” soal Puteri bertalu. Ratu Ayu mengeluh berat.  
“…itu Skuad Panglima Merah Sakura sudah uruskan. Kita tunggu dalam masa terdekat ini Kal akan di bawa pulang ke Sakura,” jelas Ratu Ayu lemah.
“Di mana Bonda?” soal Puteri tegas dalam lembut.
“Venazuella….bersama kumpulan demon terkenal di sana,” kalah Ratu Ayu.
Puteri dalam diam menyeru Tun Mahmud dan Dang Amun hadir dihadapannya segera. Dia cukup yakin dengan kemampuan kuncu ninjanya yang digelar Skuad Khas Puteri. Arahan diberikan pada Tun Mahmud dan Dang Anum untuk mencari maklumat terperinci di mana Putera Khalif berada.
“Tia, Anum akan tinggal bersama Tia. Tugas ini agak berbahaya. Kumpulan demon ini merupakan kumpulan pontianak yang zalim pada manusia. Melalui sumber dua ahli Skuad Panglima Merah tewas mudah di tangan mereka,” jelas  Tun Mahmud.  
“Betul ke Bonda?” soal Puteri tegas.
“Betul maklumat itu, Tia,” berat Ratu Ayu meluahkan kenyataan itu.
“Jadi keputusan Tia cukup tepat. Sebaik saja nikah, Tia akan turun ke Bumi. Tia akan pulang ke Istana Nong sebaik saja Abang Kal selamat,” tegas Puteri.
“Bonda perkhabarkan pada Putera Nong dan Putera Nashrid keputusan Tia ini.”
“Mmmm… Tia nak ke ladang.”
“Bila kita bergerak pulang Tia?” soal Ratu Ayu lembut.
“Esok setelah Tia sempurnakan janji Tia pada Datuk Paduka Tengku Azimil?”
“Siapa tu?”
“Seorang pelanggan yang telah Tia persetujui masak untuknya sekiranya Tia melanggar janji Tia.”
“Tia masak?” serentak Raden Indra dan Ratu Ayu menyoal.
“Itulah, Tia pun tak tahu bagaimana Tia nak masak. Tak apalah kejap lagi Tia jumpa Abang Goggle tengok cara memasak dengan betul.”
“Tia masak?” sekali lagi Raden Indra bersuara tak percaya.
“Ya, nenda. Tia akan masak seperti yang telah Tia janjikan,” geram Puteri bila diperlekehkan begitu.
“Nenda berdoa agar Datuk Paduka Tengku Azimil itu tidak diserang sakit perut setelah menjamah masakan Tia,” sakat Raden Indra.

Puteri menghentak kakinya tanda protes dan berlalu meninggalkan Teratak Melur. Ladang bunga yang bewarna warni dengan deretan kuntuman bunga mawar yang sedang mekar menjadi tempat yang paling nyaman buat Puteri untuk beriadah. Sambil berlari, kepalanya ligat berfikir semula cabaran yang memerlukan tindakannya dengan segera. 

1 comment: