Tuesday, December 30, 2014

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 4

Rakyat jelata Sakura dikejutkan dengan kehadiran Puteri bersama si kuda putih bersayap sambil diiringi oleh dua orang pahlawan terkenal di Sakura satu masa dulu.  Kuda putih itu lambang kedaulatan istana Nadim.
Pertama kali Puteri menjejakkan kaki kembali ke Sakura sejak dua puluh satu tahun duduk menetap di Bumi. Banyak suasana yang tidak tergapai dek akal fikirannya. Pohon rendang pun nampak pudar serinya. Bertemankan White si kuda putih bersayap, Puteri memasuki pintu gerbang Kota Nadim.
 Rakyat jelata teruja bila mendengar desas desus yang menyatakan bahawa puteri bongsu Sakura ini setuju diputerikan, seterusnya memikul tanggungjawab sebagai Puteri Bulan Kejora. Semua tidak sabar melihat rupa puteri comel yang mampu membuatkan bulan Kejora tersenyum menyambut kelahirannya. Kehadiran Puteri yang berniqub menimbulkan rasa kesangsian di hati rakyat jelata. Kewibawaannya diragui.
Di Kejora, niqub hanya dipakai oleh mereka yang sakit dan cacat sahaja. Mampukah Puteri Bulan Kejora ini  memikul tanggungjawab sebagai puteri dengan sempurna sedangkan kandanya pun tewas dek nafsu inikan pula si bongsu yang sakit? Fikir rakyat Sakura.
Puteri melangkah penuh tertib dengan lemah gemalai di perkarangan Istana. Dalam hatinya bukan main gemuruh lagi. Setiap langkahnya diiringi dengan pelbagai pertanyaan daripada rakyat jelata yang ingin tahu, bagaimana rupa parasnya yang sebenar. Ratu Ayu menyambut Puteri di singgahsana dengan diapit  oleh pembesar negera. Dang Anum dan Tun Mahmud tetap setia mengiringi Puteri.  Sok sek sok sek pembesar negara dengan cara penampilan Puteri buatkan Puteri sedikit rasa kecil hati.
‘Pakaian bertutup bukan melambangkan seorang gadis itu bodoh dan kolot. Menghabiskan masa hidup di Bumi bukan mengkastakan diri ke tahap yang terendah dalam Kejora. Ianya lambang kesucian dan rendah diri pada kekuasaan PenciptaNya,’ balas Puteri dalam hatinya, buatkan Ratu Ayu tersenyum bangga di singgahsana.
“Selamat pulang Puteri Bulan Kejora,” ucap Ratu Ayu megah di singgahsana.
“Bonda, Tia bersedia memikul tanggungjawab itu,” ucap Puteri yang menundukkan kepalanya tanda hormat pada Ratu Ayu. 
“Dayang, iring Puteri Bulan Kejora ke kamar dan persiapkannya untuk majlis gilang-gemilang di Istana Nadim. Tetamu akan muncul bila bulan menunjukkan rupanya di sana,” titah Ratu Ayu pada dayangnya yang seksi. Mengeleng Puteri dalam hatinya.
“Mahmud, Tia tidak suka dayang istana berpakaian tak cukup kain begitu. Sakura sudah kurang kain ke, sampai dayang perlu berpakaian begitu?” soal Puteri berbisik pada Tun Mahmud di sebelah kanannya.
“Sudah peraturannya begitu Tia,” balas Tun Mahmud mudah.
“Bagaimana pula pakaian seorang puteri? Bogel tidak berbaju?” soal Puteri geram.
“Bagi Puteri Sofia, ia memang disukai jika puteri tidak berbaju. Boleh dipamerkan kecantikan pada putera yang kacak. Namun, rasanya…. bagi Puteri Bulan Kejora bagaimana pula ya?” soal Tun Mahmud suka menyakat Puteri.
“Bak kata nenda,… kecantikan Tia bisa buatkan sesiapa yang melihatnya menjadi sasau. Rasanya Tia lebih suka menutup semuanya dengan kemas di belakang hijap yang bewarna alam. Sebaiknya biarlah warna biru atau putih mutiara. Boleh Mahmud dan Anum pastikan itu pakaian Tia, sepanjang kita berada di Sakura?” pinta Puteri lembut.
“Pemintaan Tia akan diusahakan sebaik mungkin. Anum, iring Tia. Abang ke bilik pakaian,” arahan Tun Mahmud pada Dang Anum dibalas dengan anggukan kepala.
Puteri dihiaskan seindah mungkin. Tidak seorang pun dayang dibenarkan masuk ke dalam kamar Puteri untuk mempersiapkannya melainkan Dang Anum dan Tun Mahmud. Itu pemintaan Puteri pada Ratu Ayu. Mengeluh juga para dayang kerana tidak dapat melihat wajah Puteri yang masih misteri pada Sakura.
Sebaik saja majlis keputerian selesai, seluruh Istana Nadim diterangi dengan cahaya lampu yang bergemerlapan. Seluruh rakyat diraikan dengan hidangan makanan yang lazat dan dihiburkan oleh pihak Istana. Jemputan kenamaan yang terdiri dari golongan bangsawan, pembesar negara, jutawan serta cerdik pandai di jemput ke  majlis tari menari seperti lazimnya, di Istana Nadim.
Ramai Putera Raja tidak melepaskan peluang untuk hadir bagi melihat sendiri kecantikan Puteri yang dikatakan seindah bulan Kejora. Namun mereka semua hampa bila Puteri mempamerkan diri dengan berniqub. Yang dapat dilihat, hanyalah sepasang matanya yang cantik saja.
Putera Sharid yang turut hadir bersama Ratu Bayu dan Raja Nong  juga, turut hampa tidak dapat menatap wajah Puteri. Dia ingin sangat mengesahkan ramalan yang menyatakan Puteri Bulan Kejora mampu membebaskan mereka dari malapetaka ‘Hari Itu’.
“Anakanda Sharid,” panggil Raja Nong.
“Ya, ayahanda tuanku,” sahut Putera Sharid.
“Mengeluh, mampu membuatkan garisan ketuaan lebih cepat terpancar di raut wajah anakanda,” usik Raja Nong berjenaka.
“Hahahaha….tak adalah. Anakanda sedang berfikir,… bagaimana ramalan kuno itu boleh menyatakan yang Puteri Bulan Kejora mampu membawa keluar zaman kegemerlapan Kejora dengan kebijaksanaannya. Cuba ayahanda tengok tu? Berniqub hanya untuk mereka yang kurang yakin dengan penampilan diri sendiri atau sakit.  Puteri yang macam ini yang diramalkan mampu mengembalikan kesejahteraan sebuah negara. Tak masuk akal.”
 “Jangan cepat membuat telahan yang tidak berasas anakanda. Puteri Bulan Kejora baru saja menjejakkan kakinya di dunia Kejora. Tiada siapa pun ambil tahu akan kisah kehidupannya di Bumi. Apa yang ayahanda dengar, Puteri Bulan Kejora merupakan seorang yang terpelajar yang namanya sentiasa bermain di bibir Kiai di Adinium sana,” senyum Raja Nong.
“Ayahanda,  kata-kata ayahanda ini buatkan anakanda rasa lucu sangat. Puteri hingusan ini terpelajar? Secolek tokoh pun anakanda tak nampak pada dirinya. Yang pasti tingkahnya persis seperti puteri cengeng yang manja. Bagaimanalah dia mampu membebaskan Khalif dan Sofia dari Sumpahan Pulau Matahari?” soal Putera Sharid.
“Anakanda terlalu yakin untuk mengetahui perkara itu rupanya. Entahlah, itu ayahanda tak dapat nak tolong jawabkan. Rasanya rahsia Pencipta sukar untuk dibaca dengan mata kasar. Ia penuh tersirat daripada yang tersurat. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya,” pujuk Raja Nong menenangkan Putera Sharid.
“Ayahanda tunku!” keluh Putera Sharid lagi.
“Ingat anakanda. Puteri Bulan Kejora mewarisi kesaktian Nakashiro sebagaimana wasiat Keturunan YangDi meletakkan  pewarisnya sama ada yang sulong atau bongsu. Jadi anakanda tidak boleh pandang rendah keupayaan Puteri Bulan Kejora,” nasihat Raja Nong mengingatkan Putera Sharid.
“Hahaha… kanda dia pun tewas dengan nafsu, inikan pula si bongsu,” gelak Sharid.
“Jangan takbur dengan kebolehan diri sendiri, anakanda. Ada sebab dia terpilih untuk tinggal di Bumi dan menolak kehidupan sebagai Puteri Bulan Kejora. Jika tidak masakan armarhum ayahanda Nadim, berkeras menghantarnya ke Adinium. Dia bukan calang-calang puteri yang belajar di sana. Anakanda akan jauh ketinggalan dengan kesaktiannya jika anakanda angkuh dengan kebolehan anakanda,” nasihat Putera Nong buatkan Sharid terdiam.
‘…betul cakap Ayahanda. Jika tidak masakan Ahli Nujum Agong meramalkan yang Puteri Bulan Kejora yang akan menghadapi kemunculan hari itu. Namun aku pasti, Puteri Bulan Kejora pasti tidak akan melepasinya. Aku sangat pasti… hahahaha …,’ bisik Sharid dalam hatinya dengan penuh yakin. 
Puteri dalam diam sedang belajar mengimbas sesiapa saja yang berada dalam majlis ini. Kemudian dia akan tersenyum simpul sendirian. Tun Mahmud dan Dang Anum mengeleng kepala melihat telatah sengal Puteri.
“Tengah kemaruk dengan ilmu kesaktianlah tu,” bisik Tun Mahmud menyindir Puteri.
“Hahaha…macam-macam perangai juga dunia pari-pari ini. Ingatkan manusia di Bumi saja bermacam ragam. Kecantikan memang menjadi keutamaan semua makhluk rupanya. Ini lumrah kehidupan rupanya, tak kira di Bumi mahupun di Kejora.”
“Jadi?” soal Dang Anum ingin mengerti maksud Puteri dengan lebih tepat.
“Cuci matalah, apa lagi hahaha….”
Puteri tergelak kecil sambil mengenyitkan mata pada Dang Anum yang bengang mendengar jawapan Puteri yang nakal mengusik. Tun Mahmud mengulum senyum melihat wajah Dang Anum merah menahan geram. Comel!


Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 3

Puteri merenung skrin komputer. Dia masih berkira-kira untuk menempah tiket penerbangan untuk pulang ke Sakura. Puas direnungnya skrin komputer yang sudah hampir separuh hari, namun nama Sakura memang tiada dalam kotak pilihan destinasi yang membuka pintu untuk tetamu asing.
“Sampai kiamat pun Tia tak akan jumpa nama Sakura dalam skrin komputer tu,” ucap Tun Mahmud menyedarkan Puteri. Apa yang disebut Tun Mahmud memang ada kebenarannya. Mana ada sesiapa pun pernah sampai ke dunia Kejora yang hanya didiami oleh golongan pari-pari melainkan pari-pari saja. Puteri terlepas pandang akan situasi itu.
“Habis tu macam mana kita nak balik Sakura, Mahmud?” soal Puteri yang nampak sangat blur. 
“Puteri sudah bersedia?” soal Tun Mahmud yang masih dengan baju ninja putihnya. Puteri memandang pada baju tidur satinnya bertali halus yang separas betis dan memandang semula pada Tun Mahmud.
“Mahmud, Tia tahu apa yang Mahmud sedang fikirkan. Terima kasih dengan pujian Mahmud itu. Tia tahu yang Tia ni seksi, dan Mahmud pula sudah berzina mata melihat aurat Tia,” sengih Puteri selamba mengusik Tun Mahmud.
“Hahaha…mentang-mentanglah Tia punyai kelebihan yang satu tu, Tia jadi sombong dengan saya ya?.... Namun saya terlalu tua untuk Tia, umur saya sudah seratus sembilan puluh tahun. Baik saya pikat Dang Anum dari terpikat pada Tia, budak hingusan,” jenaka Tun Mahmud yang memang mesra dan selesa dengan Puteri.
“Mestilah Mahmud terpikat pada Dang Anum…sebab Anum merupakan kekasih Mahmud….apa daaa. Tia pun tak ingin berkasih dengan orang tua seperti Mahmud…nak ajak main Barbie doll pun tak cun,” gelak Puteri berderai. 
“Sudahlah Tia. Saya penat nak gelak bila bersama Tia. Lebih penat dari membelasah Tia, tahu tak,” ucap Tun Mahmud jujur.
“Seorang pahlawan Ninja sememangnya tiada sense of humor. Hidup akan lebih membosankan sekiranya keganasan menjadi jalan penyelesaian kepada segala kemahuan kita. Sudah-sudahlah tu Mahmud… bawa mengucap. Bawa istighfar. Guna akal dan niat yang ikhlas, jika itu jalan terbaik buat kita ianya akan dipermudahkan buat kita,” senyum Puteri.
“Bila seorang puteri sengal sudah mulai bermadah berhelah maknanya dia sedang dirundung kegelisahan yang tak terkata. Tia nak berkongsi dengan saya?” soal Tun Mahmud.
Puteri memandang Tun Mahmud. Memang sejak berusia enam tahun lagi Puteri sudah menjadi teman rapat buat Tun Mahmud dan Dang Anum. Segala yang dirasakannya dikongsikan bersama. Tiada rahsia antara mereka. Kemesraan dan ketaatan Tun Mahmud dan Dang Anum pada Puteri tidak berbelah bagi. Bagi mereka Puteri bagaikan permata yang sangat bernilai untuk dilindungi setiap saat. Kesedihan Puteri merupakan kesakitan yang teramat buat mereka berdua.
“Mahmud! Betul ke tindakan Tia ini?” soal Puteri meluahkan rasa hatinya.
“Yang terbaik pernah Tia lakukan dalam hidup Tia,” balas Tun Mahmud penuh yakin dan bersemangat.
“Tia tidak layak Mahmud,” jelas Puteri.
“Kepimpinan bukan terletak pada gagah dan sempurna seseorang itu di mata rakyat jelata. Tetapi pada keikhlasan dan juga kasih sayangnya yang tidak berbelah bagi pada semua makhluk di dalam negaranya akan terpamer dengan terukirnya sebaris senyuman ikhlas dibibirnya. Hati sucinya dan sikap rendah dirinya dalam menyembunyikan kelebihan diri dari diketahui oleh sesiapa saja sudah cukup menunjukkan nilai adapnya sebagai seorang pemimpin yang disegani,” jelas Tun Mahmud buatkan Puteri terdiam. Jeda sungguh bila Tun Mahmud mulai mengeluarkan fakta yang diketahuinya.
“Tia…tak mahu Mahmud mahupun Anum berpisah dari Tia. Sampai bila-bila Tia mahukan kamu berdua. Tua pun tualah, biar Tia pula yang jaga kalian berdua,” ucap Puteri sebak.
“Kerana itulah, Tia kena perbetulkan pentadbiran Sakura. Kami memang ingin berbakti hanya pada Tia saja. Itu satu penghormatan yang tak ternilai buat kami pari-pari Sakura,” tunduk Tun Mahmud dengan penuh penghormatan. Puteri mengeluh perlahan.  
“Tia tak mampu jadi macam armarhum ayahanda, bonda mahupun Kal dan Fia…” luah Puteri yang masih kurang yakin.
“Jadilah diri Tia sendiri. Tidak kira makhluk itu manusia, pari-pari atau apapun, kepuasan hidup mereka adalah bila mampu menjadi diri sendiri,” celah Dang Anum yang baru menolak dedaun pintu kamar Puteri.
Tun Mahmud senyum manis menyambut kemunculan Dang Anum yang berpakaian istiadat Sakura siap berkeris di pinggang dan pedang di belakang badannya. Puteri mengeluh kecil. Dia cukup tidak selesa melihat Dang Anum berpakaian sebegitu. Sudah berapa kali diutarakan rasa hatinya itu pada Dang Anum namun Dang Anum tetap teguh mengikut peraturan Sakura yang mengarut itu. Begitu juga dengan Tun Mahmud. 
“Tia sudah bersedia ke? White sedang menunggu,” ucap Tun Mahmud yang nampak keluhan Puteri tentang ketaatan mereka dengan peraturan Sakura. 
“Siapa pulak White ini?” soal Puteri.
“Seorang lagi penjaga Tuan Puteri,” ucap Tun Mahmud.
“Kenapa perlu ramai penjaga yang mengelilingi Tia?” soal Puteri kurang selesa dengan suasana yang baru ini. Dia rasakan dirinya terkongkong.
“Bila berita Puteri Tantiana bersedia untuk diputerikan di Sakura, ramai pari-pari beratur untuk menjadi pengiring Tia. Semua tak sabar melihat wajah bayi yang menyebabkan bulan tersenyum menyambut kelahirannya,” ucap Tun Mahmud. Puteri diam berfikir. Sekali kerdip pakaiannya sudah bertukar manakala rambutnya sudah tersorok kemas di sebalik hijap yang siap berniqub yang menutup bibir dan hidungnya.
“Bagaimana bulan boleh tersenyum?” soal Puteri berbaur mengusik. 
“Tia tengok bulan itu,” suruh Tun Mahmud sambil menunjuk ke arah bulan yang sedang tersenyum girang dengan cahayanya yang sayang terang.
“Emmmm.. sudah,” ucap Puteri.
“Dan tengok sekarang,” suruh Tun Mahmud yang sudah melukis bentuk mata dan bibir pada plastik yang dipamerkan depan bulan. Nampak sebiji bentuk smiley yang berlambak di laman Goggle.
“Hahaha… itu penipuan yang kurang anggun… beri Tia pen dan plastik itu,” pinta Puteri.
Lakaran mulut yang sedang gelak besar dengan mata yang sepet bila tertawa di lakarkan pada plastik kemudian dipamerkan di hadapan bulan. Sekiranya bulan itu mampu berkata-kata, pasti dia akan menyatakan yang Puteri seorang yang sengal. Bulan siap dihijapkan agar nampak lebih sopan katanya.
“Tia….!” jerit Tun Mahmud sudah tak tahan ketawa melayan kerenah Puteri.
“Bulan kata dia malu, kita asyik menatap wajahnya yang jelita. Jadi Tia rasa sudah sampai masanya dia berhijap,” sengih Puteri.
“Lepas ni Tia diharamkan terus menonton rancangan karton,” ucap Tun Mahmud tegas. Dang Anum geleng kepala bila Tun Mahmud hentak kaki sambil memukul dinding seakan tidak percaya dikenakan oleh seorang puteri sengal.
“Uhhhh! Tiba-tiba Tia rasa Mahmud sudah hilang kacak. Garis tua akan jelas kelihatan sekiranya Mahmud marah. Anum, Tia tak suka tengok rupa Mahmud bila marah, tak kacak langsung. Dah jom perkenalkan Tia pada White,” ucap Puteri berjalan laju di hadapan Tun Mahmud.
Di luar rumah terdapat tiga ekor kuda putih bersayap  sedang menunggu dengan penuh tegap dan berkarisma. Puteri memandang sambil tersenyum sendirian.
‘Aku boleh faham bahasa kuda jugak? Habislah kau, White tergoda dengan aku…dan aku pun sudah tergoda dengannya… akan aku kuda-kudakan kau ke mana saja aku pergi. Kau akan aku peluk sekuat hatiku. Bukan kuda lain….kerana aku sudah jatuh cinta dengan keindahan rupa parasmu, White,” ucap Puteri dalam hati.
Puteri naik di atas White dengan penuh berhati-hati selepas memeluk dan mengucup pipi White dengan penuh kasih sayang. Terus White membongkokkan kedua belah kaki belakangnya untuk membolehkan Puteri naik dengan mudah.
“Puteri Tantiana akan tiba sepantas Matahari di ufuk timur,” bahasa White penuh sopan.   
“White, tidak perlu berkejar-kejaran. Bawa saya selembut bulu burung merpati yang jatuh dari awan. Beralun bebas di tiup angin hingga jatuh di atas tapak tangan seorang pencinta yang sedang mengarangkan puisi cinta buat kekasihnya…” madah Puteri.
“Baik Puteri,” senyum White si kuda putih.
“Bukan Puteri White tapi Tia.”
“Puteri.”
“Tia.”
“Puteri.”
“T.I.A.. Tia,”geram Puteri.
“White!” tegur Dang Anum lucu melihat telatah White dan Puteri yang saling mengusik.
“Betul cakap Anum. Tia memang sengal,” sengih White buatkan Puteri menjentik telinganya dengan pantas. Tersentak White seketika.
“Tia!”jerit White
“Ada semut, itu yang Tia tolong jentik.”

Dang Anum dan Tun Mahmud sudah mengangkat kening lucu dengan Puteri yang selamba mengenakan sesiapa saja. Dalam kelembutan ada kenakalan yang mencuit hati. Si Kuda Putih bersayap ini terbang laju menuju ke Sakura

Tuesday, December 23, 2014

Minggu 2 - Berani Kerana Kasih Bab 2

Dang Anum menghulurkan persalinan indah yang terlipat dalam sebuah kotak lut sinar. Membulat mata Puteri melihat kotak itu, ianya persis persalinan puteri dalam cerita Cinderella yang pernah ditontonnya di Astro Ceria.
"Anum sudah tahu?" soal Puteri pelik.
"Tunku Raden ada di luar. Katanya mahu mencuba ketangkasan Tia sebelum pulang ke Sakura," jelas Dang Anum.
"Nenda pun tahu?" terbeliak mata Puteri.
"Ini persalinan yang diminta Tia pakai. Pakaian rasmi puteri Sakura," hulur Dang Anum.
"Tia ni bukannya pahlawan. Tia juga bukan puteri-lah, Anum. Tia seorang petani dan peminat seni,"balas Puteri menyangkal apa yang diminta.
"Sebagai seorang anak yang taat dan patuh. Tia perlu berbakti pada bonda. Nak pulak pada masa darurat begini. Tia kena dengar nasihat nenda yang dah tua ini. Kapal yang kehilangan nakhoda akan karam setelah sekian lama hilang arah. Nenda yakin dengan Tia...kelebihan Tia adalah hati Tia yang suci. Rasa kecintaan pada Pencipta yang terpuji disulam pula kasih sayang yang tulus ikhlas buatkan Tia lebih istimewa dari Kal dan Fia. Tolonglah bondamu Tia,…tolonglah Kal dan Fia. Sudah sampai masanya kamu jadi diri kamu yang sebenar. Pegang tanggungjawab itu. Seorang puteri yang bijak tak akan membiarkan keluarga dan rakyatnya hidup menderita," pujuk Raden Indra yang menjenguk di muka pintu kamar.
"Nenda!" sebak terus hati Puteri. Terkesan dengan kata-kata Raden Indra.
"Mari sini Tia. Nenda tukarkan Tia pada rupa Tia yang asal. Sudah cukup lama Tia bersembunyi di sebalik wajah ini," panggil Raden Indra lembut buatkan Puteri bangun dan berdiri di hadapan cermin.
Raden Indra menyapu muka Puteri hingga bertukar wajah Puteri menjadi putih kemerahan dan rambutnya hitam berkilat mengurai panjang. Terbeliak Puteri hingga gelap matanya.
Gedebukkk!!!
Mengelesat Dang Anum dan Tun Mahmud mengangkat Puteri yang pengsan tiba-tiba.
"Tia! Tia! Tia!" Raden Indra menepuk pipi Puteri untuk mengejutkannya.
"Emmmm...." jawab Puteri ringkas dan lemah.
"Kenapa Tia?" soal Raden Indra.
"Mmmm…Tia dah lupa bagaimana rupa Tia yang sebenar, nenda. Boleh tahan juga, cantiknya Tia ni kan, nenda,"ucap Puteri buatkan Raden Indra geleng kepala.
"Memang patutlah Mahmud dan Anum gelarkan Tia, puteri sengal. Banyak tengok Disney Channel ya?" sengeh Raden Indra mentertawakan Puteri.
"Biasalah tu nenda. Macamlah nenda tak kenal siapa Tia,"jawab Puteri yang  termalu-malu tika digelakkan Raden Indra.
"Kecantikan sebenar Tia ini akan mengundang kekecewaan pada mereka yang tak mampu memiliki hati Tia. Oleh itu, nenda cadangkan Tia berniqub. Menutup sebahagian wajah Tia buat sementara waktu sehingga Tia benar-benar selesa dengan kehidupan di Sakura. Ianya lebih memudahkan urusan Tia juga nanti," cadang Raden Indra hanya dalam mindanya.
"Nenda, betul ke apa yang Tia tahu?" soal Puteri dijawab oleh senyuman Raden Indra.
"Betul Tia. Nenda sudah buka semua keupayaan Tia," ucap Raden Indra penuh tertib.
"Biar betul, nenda. Tia boleh dengar apa yang ada di fikiran nenda walaupun nenda tak cakap?" tercengang Puteri.
"Bukan nenda saja, malah sesiapa saja. Itu keistimewaan kesaktian Nakashiro yang Tia warisi. Mengikut salsiah, kesaktian ini hanya boleh diwarisi oleh salah seorang anak sama ada yang sulong atau pun yang bongsu dalam sebuah keluarga keturunan YangDi. Armahrum Raja Nadim mahukan puteri bongsunya yang mewarisi kesaktian ini. Siapa lagi kalau bukan Puteri Tantiana," cerita Raden Indra lagi.
“Nenda tahu sejarah?” soal Puteri terkejut lagi.
“Lebih dari tahu Tia. Keturunan YangDi merupakan keturunan bangsawan yang hebat dalam seni mempertahankan diri. Sifat kepimpinannya sangat dikagumi, sebab itulah armarhum Raja Nadim sangat disayangi oleh rakyat Sakura. Tapi Keturunan YungDang juga tidak kurang hebatnya,” senyum Raden Indra.
“Bonda Keturunan YungDang?” soal Puteri bertambah terkejut.
“Yalah, sudah bonda Tia itu anakanda tunggal nenda. Keturunan kami terkenal dengan magik Kriswati yang arif dalam seni mengubati dan kesenian halus. Semua yang berdarah YungDang miliki keistimewaan ini. Cuma mereka sedar atau tidak saja,”
“Wahh! Hebatnya nenda ni,” senyum Puteri bangga.
“Sudah! Jangan nak tukar topik. Siap cepat, bonda nak tengok ilmu mempertahankan diri Tia.”
"Nenda, Tia bukan pahlawan. Tia pertani."
"Sebelum bersalin kulit Tia sudah di asuh dengan cukup ilmu sebagai puteri. Seni mempertahankan diri juga salah satu cabang kesaktian Nakashiro yang sudah diserapkan dalam diri Tia. Sekarang Tia akan dibelasah oleh Mahmud dan Anum," senyum Raden Indra.
Puteri kecut perut mendengar perkataan ‘belasah’ yang diucapkan oleh Raden Indra. Dang Anum dan Tun Mahmud memang pengiring yang brutal dan menurut buku. Belum pernah lagi mereka mengingkari undang-undang dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Bila arahan belasah dikeluarkan memang mereka akan belasah sampai lunyai. Dang Anum mematahkan jari jemarinya hingga mengeluarkan bunyi ‘keletak’. Manakala Tun Mahmud pula sedang membuat regangan kaki.
Puteri berjalan lemah lembut dengan kaki yang tak terpijak tanah. Terapung! Beberapa kali Puteri membongkokkan badannya agar kakinya menyentuh tanah, namun tak berjaya.
"Tia fokus pada serangan. Usah dirisaukan kaki pijak bumi atau tidak," jerit Raden Indra di anjung rumah.
            Belum sempat Puteri mengelak, kayu belati yang dipegang oleh Dang Anum sudah melekat  dibelakangnya. Manakala kayu belati Tun Mahmud pula sudah dihayun untuk memukul betis Puteri menyebabkannya tersembam ke tanah.
"Hahahaha…" gelak mereka berdua.
Sepantas kilas Puteri tegak semula. Mata dipejam rapat. Nafas ditarik penuh tertib dan teratur. Pukulan Dang Anum dan Tun Mahmud ditepis dengan mudah oleh Puteri. Itu membuatkan panglima ninja itu bengang dan gila membelasah Puteri. Raden Indra sengih melihat Puteri yang mengerakkan badannya macam tarian hip hop bagi mengelak dari dipukul dan ditangkap oleh mereka.
Priiiitttt! Bunyi wisel kedengaran. Semua serangan dihentikan. Puteri sudah terapung lima kaki dari tanah tanpa dia sedari. Dang Anum dan Tun Mahmud tercengang melihat gaya Puteri terapung, bercahaya dan tegap sekali.
"Tia!" ucap Dang Anum yang mendongak memandang Puteri.
Puteri memandang pada Dang Anum yang berdiri di tanah sedang mencungap-cungap menahan penat. Tun Mahmud menongkatkan kayu belati tadi sambil menyusun semula hembusan nafasnya agar pulih seperti sediakala. Raden Indra merapati Puteri yang terkaku di awangan. Perlahan-lahan kaki Puteri ditarik untuk mencecah tanah.
“Tia memang sudah bersedia untuk diputerikan di Sakura,” ucap Raden Indra memeluk dan mengusap kepala Puteri penuh manja. Cucunda yang seorang ini sangat rapat dengannya. Satu-satunya cucunda yang belum diputerikan kerana diamanahkan untuk mempelajari ilmu magik dan kesaktian hingga ke tahap tertinggi terlebih dahulu. Bila tamat pengajian, Puteri lebih selesa tinggal di Bumi saja. Itu yang Ratu Ayu bersetuju dengan permintaan Puteri untuk menetap terus di Bumi. Masanya dihabiskan di ladang bunga dan buah-buahan. Tugasnya banyak kepada sumber alam.
“Nenda buatkan Tia kecut perut,” balas Puteri polos.
“Jadi puteri pun kecut perut?” soal Raden Indra separuh mengusik.
“Kecut perut sebab nanti pasti akan terjumpa dengan putera kacak yang buatkan jantung Tia berhenti berdegup,” balas Puteri yang sudah keluar tawa halusnya dengan selamba.
“Sudah tiba masanya Tia punyai teman hidup. Putera mana ya?”
“Putera Entah bin Tak Tahu,”balas Puteri berjenaka dan berlalu meninggalkan Raden Indra sengeh memandang pada Dang Anum dan Tun Mahmud.

Puteri yang penuh ceria diserikan pula dengan sikapnya yang cukup menghiburkan buatkan Teratak Melur cukup berseri bila Puteri ada di sana.