Tuesday, December 30, 2014

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 10

“Puteri Tantiana! Bangun,” sergah Tun Mahmud dan Dang Anum yang mengejutkan Puteri yang terlena di sawah padi Gordon.
Pisat Puteri bangun. Puas diperhatinya di sekeliling. Mustahil dia berada di sini sedangkan dia sedang digoda oleh Putera Nashrid di Lautan Kasih tadi. Pipi Tun Mahmud dan Dang Anum ditepuknya lembut.
“Aduh! Tia,” geram Tun Mahmud.
“Hehehehe…” gelak Puteri kecil
“Kenapa ni?” soal Dang Anum yang mudah cemas bila mengenangkan Puteri kesayangan.
“Mimpi,” sengeh Puteri malu.
“Mimpi digoda oleh Putera Nashrid?” duga Tun Mahmud ingin meledakkan tawanya.
“Haaa,” akui Puteri buatkan Tun Mahmud berguling tergelak geli hati. Memang sah Puteri sudah angau.
“Alaa, kenapa Putera Nashrid bukan Putera Sharid?” soal Dang Anum tak puas hati.
“Entah, susah nak dijawab soalan Anum tu. Tia tak tahu, yang Tia tahu. Tia nak pulang ke Teratak Melur. Tia nak berkepit dengan nenda sehari dua. Tia nak duduk di ladang. Tia nak bermain dengan burung merpati di tepi tasik,” ucap Puteri yang cukup cemas dengan mimpinya tadi.
Mana mungkin Putera Nasrid tergoda dengannya dan melancarkan godaan secara terang-terangan padanya. Putera Nasrid seorang yang budiman dan berkarisma. Dia tidak cukup layak untuk Putera pujaannya hati itu.
Puteri mengintai diri di parit air. Terdapat kesan lebam di bahu kirinya. Terdiri Puteri memerhati di sekeliling. Dibuka mata hatinya melihat di udara. Seorang sedang memerhatikannya dari atas kuda hitam yang sangat gagah. 
“White!” seru Puteri cemas.
“Tia,” White muncul di hadapan Puteri.
“Teratak Melur.”
“Kenapa tiba-tiba? Tia baru melawat satu kampung ada lagi dua ratus kampung yang belum Tia lawati,” soal White pelik.
“Tia nak cuti. Rindu dengan nenda,” ucap Puteri yang masih memegang dadanya.
“Jadi puteri boleh cuti ke?” soal White tak puas hati.
“Puteri yang vogue lagi pelik seperti saya ini akan selalu mengambil cuti. Penat tau jadi puteri … sudah tu jangan banyak tanya. Cium kang,” geram Puteri.
“Saya relakan saja, bukan tak biasa dikucup manja oleh Tia,” usik White.
“White..!!!!” geram Puteri buatkan jarinya cepat menjentik telinga White.
White terbatuk-batuk ketawa melayan Puteri yang ada saja idea untuk mengusiknya. Keceriaan Puteri memekarkan dedaun pokok di sekelilingnya. Burung pasti bertenggek di dahan sambil bersiul merdu menghiburkan Puteri. Itu keajaiban yang dilihat White pada Puteri.
Tiba di Teratak Melur, Puteri terus berlari membuka seluruh hijapnya dan terjun ke dalam air terjun. Lama Puteri tenggelam di dalamnya. Anak-anak ikan mengelilingi Puteri sambil mengigit tubuhnya seakan sedang mengurut seluruh badannya. Puteri tenang bernafas dalam air melayan belaian si ikan yang comel dan manja.
“Tia! Oh Tia! Tia!” panggil Raden Indra di permukaan air.
Mengeluh Raden Indra bila Puteri berendam dalam Air Terjun ini. Pasti lama. Itu memang tabiat sejak kecil lagi. Jika tidak dipujuk boleh sampai demam dua tiga hari, kesejukkan.
“Mahmud! Anum! Kenapa dengan Tia?” soal Raden Indra.
“Entahlah, Tunku Raden. Semalam kami bermalam di perkampungan Gordon. Siang tadi Tia bermain di sawah dengan anak-anak Gordon hingga terlena di tengah sawah. Bila dikejutkan dia mula meracau,” jelas Tun Mahmud tidak tahu bagaimana ia terjadi.
“Meracau?” pelik Raden Indra.
“Meracau menyebut nama Tunku Putera jangan goda saya,” terang Tun Mahmud satu persatu.
“Tuanku Putera yang mana satu pulak ni?” geleng Raden Indra.
“Putera Nashrid. Raja Mendalin,” sampuk Dang Anum yang masih tidak puas hati Puteri bermimpikan Putera Nashrid bukannya Putera Sharid.
“Jadi benarlah Nashrid ini inginkan Tia?” sengih Raden Indra.
“Tak pasti Tunku Raden, yang pasti Tia sukakannya,” balas Tun Mahmud.
Melebar senyum Raden Indra. Tangan diletakkan dibelakang dan berlalu meninggalkan Puteri berendam dalam air terjun. Tun Mahmud dan Dang Anum pun disuruhnya membiarkan Puteri sendirian menghilangkan getar di dadanya.
‘Aku belum cukup bersedia untuk menjadi puteri rupanya. Baru bermimpi sudah kecut perut melarikan diri ke Teratak Melur. Tapi kenapa cabaranku ini berbentuk mainan hati dan perasaan. Mana pernah aku lalui semua itu. Di Adinium pun tak pernah mengajar bagaimana ingin menangkis godaan cinta. Kiai Neqman pun tak pernah menurunkan ilmu cinta… ahhhhh parah. Aku yang cedera parah dengan karismanya,’ ucap Puteri di tepi teping sungai.
Seekor burung helang yang tidak pernah kelihatan di Teratak Melur kini bertenggek di atas dahan mengadap Puteri yang leka berangan. Asyik sekali helang itu memerhati Puteri yang terpamer wajahnya yang bujur sirih bersih lagi menyejukkan mata memandang.
“Wahai helang! Tia bingung. Bagaimana Tia perlu bantu Abang Kal dan Kak Fia jika hati Tia rapuh melawan godaan. Kejora memang bukan idaman Tia. Tia sudah cukup selesa dengan Teratak Melur. Namun meninggalkan Sakura yang sedang sengsara cukup Tia tak berdaya. Bangsa Gordon yang hodoh namun hatinya ikhlas tetap akan tertindas sampai bila-bila. Bangsawan Sakura yang leka dengan keseronokan Kejora hingga lupa tujuan hidupnya. Di mana perlu Tia berdiri wahai Helang?” soal Puteri yang sebak tiba-tiba.
“Berdirilah sebelah kekasihmu wahai puteri,” balas Helang kemudian terus menghilang.
Puteri kebingungan. Di Teratak Melur tiada pari-pari yang dibenarkan masuk tanpa kebenaran Raden Indra. Mana mungkin manusia Bumi mampu menyerupai helang yang masuk ke taman larangan ini.

Puteri menyelam semula ke dasar sungai. Dia ingin menenangkan dadanya yang bergetar laju secara tiba-tiba.

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 9


Lautan Kasih di bawah Bulan Kejora sungguh indah di pandangan mata Puteri. Pulau kecil menghijau yang memutih persisiran pasirnya dengan sebuah istana kayu yang cukup sederhana di gigi pantai memberi kesempurnaan Lautan Kasih. Puteri berdiri di jeti kayu menanti ketibaan Putera Nashrid.
Putera Nashrid muncul dengan gaya yang cukup menggoda lagi mendebarkan hati Puteri.
“Hebat. Tiada siapa yang mampu sampai ke sini selain Beta sendiri.” Putera Nashrid bertepuk tangan tanda kagum dengan kesaktian Puteri.
“Sayatak miliki apa-apa keistimewaan, melainkan hati yang ikhlas yang penuh yakin pada tujuan saya kembali ke Kejora. Sebab itu saya mampu sampai ke mari. Cantik istana hinggap tersembunyi Tuanku Putera ini,” ucap Puteri memuji keindahan Lautan Kasih.
“Terima kasih. Kenapa suara Tuan Puteri sudah bergetar? Sudah kecut perut ke, Tuan Puteri?” senyum Putera Nashrid.
“Bukan. Tuanku Putera yakin ke tiada siapa yang mampu sampai ke mari?” soal Puteri inginkan kepastian.
“Lautan Kasih ini dipagari dengan lapisan benang emas, sutera dan perak yang ditatahkan zamrud biru. Hanya mereka yang kesaktian Nakashiro tahap satu saja yang mampu sampai dengan selamat. Buktinya Tuan Puteri Bulan Kejora sendiri yang sanggup meninggalkan pengiring yang hebat semata-mata ingin menguji diri. Tak fikir risiko yang bakal dihadapinya,” sengih Putera Nashrid semakin nakal.
“Saya bukan seperti yang Tuanku Putera fikirkan. Saya lakukan semuanya bersebab,” bela Puteri tak mahu diperlekekkan lagi.
“Jadi tunggu apa lagi. Tayangkan kecacatan Tuan Puteri pada Beta,” desak Putera Nashrid.
“Tunku Putera sanggup cedera parah hanya melihat kecacatan saya?” provok Puteri pula.
“Hahaha…Beta masih kuat iman untuk cedera parah pada seorang puteri hingusan,” riak Putera Nashrid.
“…dengan sesungguhnya ianya datang dari Pencipta saya yang agong. Saya tidak pernah kesal dengannya. Kecacatan ini menginsafkan saya….saya….” ucap Puteri satu persatu buatkan Putera Nashrid naik berang.
“Shoottt!!!” jerit Putera Nashrid.
“Di bawah bulan Kejora saya pertontonkan kecacatan saya ini untuk tatapan Tuanku Putera. Nescaya selepas ini, Tuanku Putera akan insaf dan perkemaskan iman di dada. Kesaktian kita tidak seberapa, semua itu pinjaman sementara dari yang Maha Kuasa Pencipta. Sampai tikanya kita akan pergi jua…” Puteri menjatuhkan niqub yang menyembunyikan separuh wajahnya.
Bagaikan cahaya menebus keluar. Dia melapangkan minda dan tubuhnya untuk diimbas Putera Nasrid dalam sesaat. Kecantikan luar biasa dengan pertemuan lautan dan bulan Kejora melengkapkan penampilan Puteri yang sangat menakjubkan. Tidak pernah seumur hidup Putera Nashrid melihat puteri perawan yang begitu cukup sempurna sifatnya.  
“Di mana kecacatan Tuan Puteri, Beta tak nampak setitik noda pun pada tubuh Tuan Puteri?” bisik Putera Nashrid penuh menggoda.
Cepat saja Puteri mengunci kembali minda dan banteng dirinya dari dicerobohi oleh Putera Nashrid. Cukuplah sesaat dibenarkan.
“Pada ketidak sempurnaan titik noda itu sendiri. Sebagai makhluk saya perlu ada kelemahan, perlu ada kekurangan diri,” balas Puteri yang terketar menahan godaan Putera Nashrid yang sangat melodak dijiwanya.
Tangan sasa Putera Nashrid sudah membuka tali hijap yang menyelubungi badan Puteri satu persatu. Puteri tidak mampu untuk melawan. Kuasa Putera Nasrid lebih hebat menguncinya berdiri kaku di situ.
Setiap helai yang dijatuhkan buatkan jantung Puteri berhenti berdegup. Putera Nashrid senyum memandang. Lima, Enam, Tujuh, Sembilan dan akhir sekali tujuh belas helai sudah dijatuhkan. Tinggal sehelai sutera satin labuh yang berbelah panjang di peha kanannya melekap cantik di badan Puteri. Menahan air liur Putera Nashrid melihat kecantikan Puteri yang bagaikan baru dikupas dari kepompong. Kini selendang yang membalut kepala Puteri pula di buka satu persatu. Dada Puteri berombak cemas.
“Takut?” soal Putera Nashrid.
“Cemas,” balas Puteri selamba.
Geram betul Putera Nashrid dengan sikap Puteri yang tidak mahu mengaku kalah. Walaupun sudah diperlakukan begitu, Puteri masih degil ingin bergelut dengannya. Sungguh berani Puteri Bulan Kejora ini. Itu yang membuatkan Putera Nashrid semakin galak mengerjakan Puteri hingga dia mengaku.
Helaian selendang terakhir tertarik lembut membuatkan rambut ikal berkilat Puteri beralun cantik di tiup angin. Kalah puteri Arab. Kalah ratu dunia. Kalah pari-pari jelita dengan keindahan yang ditatap oleh Putera Nashrid ini.
“Angin malam membawa perkhabaran hadirmu di Kejora….lindungan awam selalu memisahkan Beta dari Bulan Kejora…Sakura menyembunyikan zamrud nun jauh di Bumi….lama Beta menunggu…,” bisik Putera Nashrid di leher Puteri yang diselak rambutnya. Terpejam mata Puteri digoda habis-habisan oleh Putera Nashrid.
Kepalanya ligat mencari jalan bagaimana menangkis godaan mengila Putera Nashrid itu. Dia tidak mahu mati kekejangan dek menahan panahan cinta Putera Nashrid. Dia ingin membalas dengan penuh keterujaan. Puteri Bulan Kejora tidak mudah mengaku kalah. Cepat saja kelopak matanya dikelip manja lagi menggoda. Tersengih Putera Nashrid berbalas rasa.
“Tuanku Putera yang budiman sedang mengoda saya ni…” senyum Puteri mencairkan Putera Nashrid.
“Tuan Puteri sudah tergoda?” duga Putera Nashrid yang tangannya sedang bermain anak rambut Puteri di sisi telinga.
“Hampir…” ucap Puteri ringkas.
“Hampir? Beta yang sudah tergoda dengan Tuan Puteri. Ubatilah hati Beta yang tidak menentu ini. Cumbuilah Beta yang inginkan belaian lembut Tuan Puteri. Lingkar tubuh Tuan Puteri begitu meransang emosi Beta…” bisik Putera Nashrid yang memeluk Puteri erat sambil dagunya disangkutkan di bahu Puteri.
 “Tuanku Putera…!” panggil Puteri lembut menahan kegelian yang memuncak.
“Iya, Tuan Puteri.”
“Lihat Bulan Kejora sedang mempersendakan Tuanku Putera yang budiman. Cuba menakluki tubuh gadis dengan kuasa saktinya. Sungguh tidak mengerti bagaimana ingin menggoda gadis dengan dirinya sendiri. Adakah Tuanku Putera kurang yakin dengan keupayaaan Tuanku Putera?” soal Puteri lembut namun cukup tajam menikam jantung keegoan Putera Nashrid. Sepantas cahaya Puteri dilepaskan dari kekuasaan saktinya.
 Tersenyum lega Puteri, terus melangkah terapung di permukaan air menjauh dari Putera Nashrid. Pesona Puteri yang terapung di bawah bulan Kejora dengan pantulan cahaya di Lautan Kasih membangkitkan aura kasih itu sendiri. Renungan mata layu Puteri yang kebiruan seakan memanggil Putera Nashrid berjalan di permukaan air dengan aura memikatnya yang penuh karisma. Mengetip bibir Puteri melawan gelora di jiwa.
“Menari Tango dengan Beta,” pinta Putera Nashrid merayu.
“Dan lepas itu saya akan pulang semula tanpa dihalang?” soal Puteri minta kepastian.
“Sekiranya Tuan Puteri belum cukup terpesona dengan Beta… Beta izinkan dengan hati yang sangat berat melepaskan Tuan Puteri pergi,” rayu Putera Nashrid berharap sangat Puteri tergoda dan jatuh cinta padanya.
“Itu bukan kuasa saya…, rasa itu kurniaan Pencipta. Jika itu kehendaknya saya rela,” ucap Puteri menahan debar.
Alunan lagu Tango dengan gaya tari Putera Nashrid buatkan kepala lutut Puteri goyang. Pelukan pinggang oleh tangan sasa Putera Nashrid buatkan hempedu Puteri mengempes kecut. Alunan dan lentukan gaya tari yang dipimpin Putera Nashrid buatkan Puteri lelah menarik nafas biasa. Dadanya berombak kencang. Satu kucupan hinggap di bahu Puteri yang terdedah. Berhenti aliran darah di pipinya. Pucat menerjah.
“Tia…” bisik Putera Nashrid mengoda
“Tu-an-ku Pu-te-ra,” terketar suara Puteri.
“Tia…” bisiknya lagi.
“Jangan goda saya lagi… saya belum bersedia. Ini salah! Salah sama sekali!” ucap Puteri yang menutup matanya rapat.

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 8


Istana Nong menyambut kehadiran Puteri dengan penuh sopan. Putera Nashrid sendiri yang mengiringi Puteri sepanjang majlis berlangsung. Putera Nashrid memperkenalkan Puteri pada pari-pari ternama di Kejora. Sambil-sambil itu Puteri sempat mengimbas sekeliling. Gelagat Puteri Abbie dan beberapa puteri lagi menarik minat Puteri. Bukan apa, gaya mereka yang mengundang tumpuan mata nakal sang  putera yang melihat mereka sebagai barang yang sangat memberahikan.
“Adakah saya ni spesis pelik?” soal Puteri pada dirinya sendiri.
“Memang pun,” celah Putera Nashrid yang hadir dengan dua gelas minuman buat mereka berdua.
“Majlis keraian begini bukan cara hidup saya. Perhatian dan pujian cukup melalaikan saya. Hidup saya bukan untuk menerima sebarang pujian,” ucap Puteri ikhlas.
“Gaya Tuan Puteri ini menolak lumrah kehidupan seorang puteri yang sememangnya dahagakan pujian dan perhatian ….adalah sangat pelik. Tuan Puteri gering?” jenaka Putera Nashrid.
“Gering? Maksud Tunku Putera, saya demam ke?” soal Puteri yang kurang mahir dengan bahasa Istana.
“Iya,” angguk Putera Nasrid.
“Sejujurnya. Saya masih sihat lagi Tuanku Putera,” senyum Puteri.
“Bermalam di sini ya. Beta ingin membawa Tuan Puteri melihat Mendalin dengan lebih dekat,” pelawa Putera Nashrid dengan senyum yang mengoda.
Ohhh! mengeletar lutut Puteri bila bersembang berdua dengan Putera Nashrid. Seksanya penyakit cinta ini. Habis semua organ dalaman tak tentu arah dibuatnya. Lutut dan sendi yang lain bagaikan longgar. Patutlah ada pepatah manusia di Bumi yang menyatakan bila demam cinta melanda, pesakitnya tak lalu makan, mandi tak basah dan tidur tak lena.
Puteri menyeru Tun Mahmud dan Dang Anum minta pendapat mereka untuk bermalam di Istana Nong ini. Tun Mahmud menjalankan tanggungjawabnya melihat keadaan sekeliling sebelum memberikan sebarang cadangan pada Puteri.
“Tia, saya sudah periksa. Istana Nong memang selamat untuk Tia bermalam,” jelas Tun Mahmud yang selalu peka tentang keselamatan Puteri.
“Jangan kuathir, bukan Tuan Puteri saja yang bermalam di sini. Ramai juga puteri yang tumpang bermalam. Tuan Puteri dibawah undangan Beta, keselamatan Tuan Puteri memang tanggungjawab Beta,” ucap Putera Nashrid penuh yakin.
 “Itulah yang sangat menakutkan saya. Adab saya sangat terpelihara. Tunku Putera bukan mahram saya. Bahasa tubuh Tunku Putera dapat saya fahami maksudnya dengan  mudah sekali. Sekiranya Tunku Putera inginkan saya, nikahi saya dengan sah dan terima kecacatan saya seadanya,” terus terang Puteri berbahasa minda dengan Putera Nashrid.
“Perkahwinan bukan satu yang dibuat main Tuan Puteri. Ianya ikatan yang sangat suci, jangan dipermainkan dengan gelodak nafsu yang terbit,” balas Putera Nashrid dalam bahasa mindanya. Puteri Bulan Kejora hingusan ini sangat mencabar kewibawaannya.
“Jika begitu jangan sesekali Tuanku Putera cuba mencerobohi dan mengimbas saya untuk mengetahui saya masih perawan atau tidak. Hormati saya dan jangan nodai kepercayaan saya pada Tuanku Putera yang budiman,” balas Puteri dengan berani.
“Bagaimana Tuan Puteri tahu yang Beta mengimbas keperawanan Tuan Puteri sedangkan Tuan Puteri berbalut hijap melebihi sebelas helai sutera,” jawab Putera Nashrid dalam bahasa minda.
Puteri bangun dan berhenti di sisi Putera Nashrid. Ditundukkan badannya agar mudah berbisik perlahan.
“Jika tidak bagaimana Tuanku Putera tahu berapa helai hijap yang menutup tubuh saya…dan saya sudah mencapai tahap Nakashiro satu setanding dengan Tunku Putera. Seingat saya hanya dua orang saja yang pernah sampai di tahap itu. Siapa dia? Saya tak mahu ambil tahu,” ucap Puteri siap meniup cuping telinga Putera Nashrid.
Putera Nashrid terus bangun dan menarik lengan Puteri, menyebabkan Puteri terhenti. Tun Mahmud dan Dang Anum yang memerhati dari jauh juga turut berdiri. Dalam hati mereka berdoa, janganlah Puteri membuat sengalnya di majlis ini. Payah untuk dijawab dengan Ratu Ayu nanti. Puteri memandang lengannya kemudian naik pada wajah Putera Nashrid yang tegang.
“Menari dengan Beta,” ucap Putera Nashrid.
“Zapin atau Inang?” soal Puteri selamba.
“Tango,” jawab Putera Nashrid menarik Puteri ke tengah Dewan.
Puteri yang sopan berniqub diajaknya menari Tanggo, sungguh tidak boleh dibayangkan. Semua mata memandang mereka yang berdiri di tengah Dewan. Sok sek sok sek sok sek yang menerjah di minda Puteri yang memperlekekkan Puteri yang teguh menyembunyikan dirinya dari diperlihat.
“Takut atau tidak tahu?” ucap Putera Nashrid.
“Maaf, Tuanku Putera. Saya kurang faham,” balas Puteri
“Tidak berani diri Tuan Puteri disentuh oleh orang bukan mahram. Pengecut. Penakut. Tidak yakin. Patutlah dua anakanda armarhum Ayahanda Nadim terkurung di Pulau Matahari. Patutlah Sakura semakin malap di Kejora,” provok Putera Nashrid memang membakar kesabaran Puteri.
“Pegangan dan kepercayaan saya tidak menghalalkan yang haram. Namun jika kesucian saya yang mampu mengembalikan cahaya Sakura, Tuanku Putera silap. Diri saya bukan untuk diperdagangkan,”
“Malang bagi Bonda Ratu Ayu miliki anakanda yang penakut. Sanggup hidup di Bumi semata-mata mahu melarikan diri dari tanggungjawab. Kecacatan yang ada dalam dirinya membuatkannya tidak mampu berdiri sendiri. Dia sembunyikan segalanya di sebalik hijap yang berlapis,” provok Putera Nashrid lagi.
Puteri istighfar dalam hati, itu yang terbaik untuk menenangkan hatinya. Di Kejora perlawanan minda kerap terjadi. Hendak pula bila berdepan dengan mereka yang sudah sampai ke tahap yang tertinggi seperti dirinya dan Putera Nashrid.
Tun Mahmud dan Dang Anum sudah bersedia menerima arahan Puteri yang tunduk berdiri mengadap Putera Nashrid. Alunan lagu Tango sudah berkumandang beberapa tika yang lalu namun pasangan ini masih berdiri tak beranjak.
“Saya bergini untuk menyelamatkan Kejora dari perang saudara. Kecacatan saya mampu buatkan sesiapa yang melihatnya cedera parah. Namun sekiranya Tunku Putera betul sudah bersedia bergelut menari Tango dengan saya, kita keluar dari sini. Hanya Tunku Putera dan saya saja yang mampu berada di sana. Tiada siapa yang mampu sampai,” ucap Puteri penuh hemah.
“Lautan Kasih di bawah bulan Kejora,” ucap Putera Nashrid.
“Jumpa Tunku Putera di sana,” selaju angin Puteri hilang dari pandangan mata Putera Nashrid yang terpinga-pinga terkejut.
Sempat Puteri menyampaikan pesan pada pengiringnya Tun Mahmud dan Dang Anum ke mana destinasinya. Menghentak kaki Tun Mahmud geram dengan tingkah Puteri yang memang menempah maut. Mana ada seorang pun pari-pari yang mampu sampai ke Lautan Kasih di bawah bulan Kejora selain Putera Nashrid seorang. Itu memang tempat istimewa ciptaan Putera Nashrid untuk keluar dan menyendiri dari dunia Kejora. Ramai yang tenat bila cubaan mereka menceroboh Lautan Kasih yang dikatakan tersangat indah dari Pulau Matahari tidak berjaya.

 Puteri terpengun melihat suasana di Lautan Kasih. Tak pernah terfikir dek fikirannya sampai ke tempat yang begini indah dan menenangkan hati yang galau.
Bayangan Puteri Tia @ Lautan Kasih milik Putera Nashrid