Tuesday, December 30, 2014

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih Bab 7

Mendalin dihias penuh meriah sekali. Putera Nong akan menyambut ulangtahunnya yang ke-87 bersama semua puteranya, rakyat Mendalin dan golongan bangsawan di Kejora. Sungguh mengejutkan Putera Nong bila Putera Nashrid mendapatkan restunya untuk menjemput Puteri Bulan Kejora untuk meraikan majlis ulangtahunnya kali ini. Sebelum ini tidak pernah sekali pun Putera Nashrid memandang pada seorang puteri pun di planet Kejora ini.
“Adakah Nashrid terpikat dengan Puteri Bulan Kejora?”ucap Putera Nong sendirian. Persoalan itu tidak mampu dijawab olehnya.
  Putera Nashrid sedang bersenam di kamarnya. Dimatanya masih tidak lepas dari mengingati sepasang mata biru Puteri Bulan Kejora sejak pulang dari Sakura. Sinar mata itu menikam hingga ke kalbunya. Puas matanya cuba menyelak setiap helaian hijab Puteri Bulan Kejora untuk membayangkan rupa parasnya yang dikatakan cacat itu. Imbasan matanya tidak mampu membogelkan Puteri Bulan Kejora seperti yang selalu dilakukan untuk senilai kecantikan perawanan seorang puteri  dalam diam. Sengih Putera Nashrid.
Tiba-tiba dada Putera Nashrid bergetar kuat. Tumpuannya terus hilang bila pukulannya tidak mengena pada beg pasir yang tergantung di ruang riadahnya. Putera Nashrid yang berlengeng berdiri di tepi jendela kamarnya. Jeda berfikir akan musababnya. Lantas matanya terpandang kelibat Puteri Bulan Kejora bersama kuda putih bersayapnya berada nun jauh di atas puncak Gunung Suji sana. 
“Kenapa dia berhenti di Gunung Suji sana?” ucap Putera Nashrid terus selaju angin sudah berada di Gunung Suji juga.
Puteri yang baru berbaring di atas salji terkaku bila melihat Putera Nashrid berada di hadapannya tanpa berbaju secara tiba-tiba. Ototnya berketul-ketul dengan peluh yang masih membasahi badannya begitu menghairahkan. Kalah ketegapan tubuh Tun Mahmud ucap Puteri dengan membekukan bahasa mindanya dari dicerobohi oleh Putera Nashrid.
“Tuanku Putera!” ucap Puteri pendek yang badannya sudah tenggelam dalam salji. Usaha Puteri bangun dengan cepat menyebabkan hijapnya terselak hingga menampakkan betisnya yang putih melepak.
Dengan mata yang membulat Putera Nashrid menghulurkan tangannya untuk membantu Puteri bangun dengan mudah. Mengigil tangannya tika baru tersedar yang dia selaju angin tiba di Gunung Suji ini tanpa berbaju. Nak pula bila terpandang betis Puteri tanpa sengaja membuatkan nalurinya melonjak untuk terus mengimbas keperawanan Puteri.  Aksinya menyilang tangan di dada bagi menghalang pandangan Puteri buatkan Puteri tersenyum lucu. Malu!!!
“Tuanku Putera baru sedar?” soal Puteri lucu.
“Tuan Puteri kenapa tiba-tiba berhenti di sini?” soal Putera Nashrid.
“Saya ingin bermain salji sebelum berangkat ke Istana Nong. Namun belum sempat saya bermanja dengan salji, Tuanku Putera sudah terpacul di hadapan saya,” cerita Puteri tersengeh lucu.
“Mari Beta bantu,” ucap Putera Nashrid menarik tangan Puteri.
Dapat dirasakan kelembutan jari jemari Puteri. Digengamnya jari Puteri untuk mengimbas rupa paras Puteri yang masih berselindung di sebalik hijap yang berlapis namun usahanya masih tidak berjaya juga. Perisai diri Puteri sungguh tebal untuk ditembus. Ilmu Puteri tinggi untuk diduga.
Puteri senyum girang bila terpancar kekecewaan Putera Nashrid mengimbas dan mencerobohi mindanya masih belum berjaya. Petua Raden Indra sangat berkesan untuk diamalkan. Puji Puteri dalam diam.
“Mari ikut Beta selaju angin sampai di Istana Nong?” pelawa Putera Nashrid yang sangat berharap dapat memeluk pinggang Puteri.
“Maaf, ilmu saya yang satu itu masih belum sempurna. Saya lebih selesa dengan berkuda putih. Lagi pun dengan keadaan Tunku Putera yang menghairahkan ini mampu mengoncang keimanan saya yang suci…. Saya yakin Tunku Putera cukup beriman, namun saya tak berapa yakin dengan diri saya. Tak sanggup rasanya saya menodai Tunku Putera pula,” ucap Puteri terus-terang.
Tun Mahmud dan Dang Anum menyorokkan muka di kuda masing-masing. Puteri bila sudah sengal, tak kira siapa pun dibahasanya dengan seindah hatinya.
“Maaf,” jawab Putera Nashrid menahan malu.
“Anum, kain selendang Tia,” pinta Puteri lembut. Dang Anum memberikan sehelai selendang seperti yang diminta.
Puteri menyangkutnya di leher Putera Nashrid penuh hormat dan tertib. Sempat tapak tangan Puteri melekap di dada Putera Nashrid yang berlapik selendang. Mengimbas Putera Nashrid dalam diam. Pandangan mata Putera Nashrid memang memukau. Senyum Puteri semakin panjang.
“Mencabuli diri tanpa izin adalah satu kesalahan,” bisik Putera Nashrid lembut bila tersedar yang Puteri sedang mengimbas dirinya dalam diam.
“Saya ternampak ada seekor semut yang sedang merayap di peha Tuanku Putera. Bukannya saya mencabuli Tuanku Putera,” alasan Puteri yang sudah tertangkap dengan Putera Nashrid.
“Kesaktian Tuan Puteri boleh tahan juga tingginya. Padahal Tuan Puteri baru saja diputerikan semalam,” puji Putera Nashrid lagi.
“Di Adinium saya dididik untuk menjadi seorang puteri yang tidak memerlukan sebarang upacara pertabalan. Cukuplah saya menjadi diri saya yang berbakti pada negara, bangsa dan juga keluarga saya. Matlamat hidup saya jelas. Bak kata nasihat armarhum Ayahanda Nadim, tiada yang mudah dalam kehidupan melainkan belajar untuk hidup.”
Putera Nashrid terdiam. Bahasa dan tutur kata Puteri begitu mempersonakan jiwanya. Belum pernah lagi dirasakan sebegini berdebar dan bahagia.
“Kalau begitu Beta jumpa Tuan Puteri di Istana Nong sana,” ucap Putera Nashrid yang terus lesap dari pandangan mata Puteri.
Terduduk semula Puteri di tempat pembaringannya. Dipegangnya dada yang bergetar kencang. Putera Nashrid memang membawa aura menggoda yang tak terampun baginya. Mana mungkin dia berperasaan dengan lelaki. Tidak! Sama sekali tidak!.
“Anum,” panggil Puteri
“Tia tengok ke?” soal Dang Anum yang masih bersisa tawa di wajahnya.
“Tengok apa?” soal Puteri yang terbaring di atas salji dengan kaki tangan menguak-guak di atas permukaan salji. Bermain salji dengan caranya sendiri.
“Dada dan perut Tuanku Putera,” sengih Dang Anum.
“Tia sempat imbas dirinya, Anum. Kalah aktor Hitrick Roshan, ” sakat Puteri buatkan Dang Anum mengulum senyum. Pelakon pujaan Dang Anum menjadi simbul bahasa Puteri buatkan Dang Anum membayangkan ketangkasan dan karisma Hitrick Roshan yang dipujanya. Tun Mahmud yang memandang terus mencuka. Pantang sangat baginya mendengar nama pelakon pujaan Dang Anum itu, nampak sangat cemburu di wajahnya. Mengekek Puteri bila kepala Tun Mahmud sempat dicerobohinya. Cemburu juga rupanya Tun Mahmud ini. Ingatkan tadi yang tak kisah.
“Adakah dengan gelaran Puteri Bulan Kejora membuatkan Tia G.A.T.A.L?” usik Dang Anum.
“Haipppp!,” geram Puteri bila dirinya digelarkan gatal.
“Bukan G.A.T.A.L tapi S.E.N.G.A.L. Mana ada gadis menodai teruna. Bukan kuasa itu terletak pada si teruna ke?” soal Tun Mahmud.
“Bahasa seorang gadis juga mampu menodai kesucian perawan seorang teruna tu, Mahmud. Belum cukup perawan seseorang itu jika pertuturannya sungguh bisa hingga menyebabkan sang teruna yang mendengarnya parah terluka…dan betulkan Tia jika bahasa Tia telah buatkan sang teruna cedera parah sebelum masanya,” balas Puteri bersahaja.
“Tia yang sengal,” geleng Tun Mahmud.
“Mahmud yang cemburu…” ajuk Puteri nakal.
Puteri menghampiri White. Sempat lagi dia berbisik perlahan pada White hingga buatkan White terbatuk berkali-kali. Sengalnya kuda, baru kongsi rahsia sikit sudah terbatuk nakal. Puteri mengusap kepala White dengan bahasa mata simpan rahsia ini.
“Tia yang sengal,” sengeh White sang kuda sakti.

Puteri senyum meleret panjang. 

Minggu 3 - Berani Kerana Kasih bab 6

Bayangan Puteri Tantiana di Kejora
Puteri berehat di kamarnya yang sangat besar terletak di atas Menara Ufuk Timur. Pintu berkunci dan kuncinya hanya di pegang oleh Tun Mahmud, Dang Anum, Ratu Ayu dan Puteri sendiri. Begitu tegas Puteri dengan pendiriannya untuk tidak mahu seorangnya mampu melihat rupa parasnya hingga dia benar-benar bersedia berbuat begitu. 
Di kamar Puteri lebih selesa menyarung satin bertali halus yang labuh mengikut bentuk badannya yang ramping.  Rambutnya dibiarkan mengurai lepas bebas. Kulitnya yang putih mulus kemerahan buatkan Puteri sangat bercahaya bak sang rembulan yang sedang mengambang. Jolokan Puteri Bulan Kejora memang kena dengan dirinya.
“Nenda, Tia bosan di sini. Tia tak bebas macam di Teratak Melur. Bagaimana harus Tia perbaiki diri?” soal Puteri berbual dengan Raden Indra di laman skype.
 “Tia, itulah pengorbanan seorang puteri Sakura yang sebenar. Ambil waktu ini kenal dunia Kejora dan negara Sakura dengan lebih dekat lagi sepertimana Tia mendalami cara bagaimana ingin menanam pokok bunga di kebun,” nasihat Raden Indra.
“Nenda…. Tia mahukan nenda turut sama dengan Tia. Tanpa nenda, Tia rasa lelah untuk bernafas. Semuanya berprotokol. Nak berjalan kena kepit. Nak bercakap kena sepatah sepatah. Nak senyum kena ukur dengan pembaris. Nak ketawa kena tahan. Nak makan kena sopan… Tia lemas nenda. Tia lemas,” rungut Puteri.
“Tia… bukan seorang puteri saja yang harus bersikap begitu. Seorang gadis di Bumi juga perlu menjaga adap sopannya di khalayak ramai. Tidak berlebih untuk mengelakkan fitnah. Bercakap bila perlu dan bermanafaat pada orang yang mendengarnya. Tia sudah lebih terdidik untuk itu. Nenda cukup yakin dengan Tia,” pujuk Raden Indra.
“Nenda…” keluh Puteri yang dari tadi asyik memegang dadanya. Debaran selepas menari dan berbual ringkas dengan Putera Nasrid tadi masih belum reda sebenarnya. Usai solat pun dia masih rasa debaran itu semakin hebat. Adakah ini perasaan itu? Tidak mungkin. Puteri cuba menafikan jawapan yang baru ditemuinya itu.
“Ada sebab lain ni…cuba cerita?” senyum Raden Indra sudah dapat menghidu debaran Puteri.
“Nenda sudah tahu lagi mahu tanya?” rajuk Puteri buatkan Raden Indra lagi suka menyakatnya.
“Nenda nak dengar sendiri dari bibir Tia menyebutnya,” provok Raden Indra lagi. 
“Adakah ini cinta pandang pertama nenda?” akhirnya soalan itu terpacul jua dari bibir Puteri.
“Kita tidak mampu memilih siapa pasangan kita. Ianya semua kerja cinta…. Cinta yang memilih siapa yang seharusnya berdampingan dengan kita. Jangan dipersoal bagaimana dan kenapa. Itu semua rahsia Pencipta. Jangan kita terlalu taksub dan lalai dek permainan cinta. Puteraaa….”
“Putera Nashrid anak kepada Putera Nong,”jelas Puteri cukup jelas.
“Ooooo… abang kepada Putera Sharid yang mengurungkan Kal dan Fia di Pulau Matahari tu rupanya. Cabaran cinta Tia sangat terik. Bersedialah menghadapi sebarang kemungkinan. Nenda yakin Tia mampu miliki yang terbaik buat diri Tia.”
Puteri mengeluh. Itu yang lebih digeruninya. Rasa itu akan melemahkannya dalam berperang saraf dengan Putera Sharid di Pulau Matahari nanti. Dia perlu kosongkan minda dan jiwanya hanya untuk melepaskan Putera Khalif dan Puteri Sofia. 
Komputer riba dipadamkan. Walaupun kini sudah mampu berkomunikasi dengan tidak mengunakan alatan canggih Bumi namun Puteri masih senang menggunakannya dalam kehidupan seharian. Terasa diri masih lagi seperti manusia Bumi.
Puteri terus menukar pakaiannya dan berlalu meninggalkan Istana Nadim. Nama Tun Mahmud dan Dang Anum diseru lembut agar dapat mengiringinya menjelajah seluruh Sakura  untuk melihat sendiri kehidupan rakyat jelata di Sakura.
“Tia,” White bersuara setelah setengah jam berjalan memasuki hutan.
“Saya, White,” sahut Puteri lembut.
“Ke mana sebenarnya destinasi Tia ni?” soal White.
“Tia ingin melihat dan berkenalan dengan semua makhluk di Sakura. Setiap ceruk kampung Tia ingin tuju. Sekiranya Tia maklumkan pada Bonda pasti Bonda tidak benarkan. Tia lebih selesa melihat dan bertanya sendiri pada mereka. Tanpa melalui pembesar negara,” jelas Puteri.
“Tindakan Tia ini merbahayakan diri Tia. Tidak semua rakyat jelata yang sukakan puteri Nadim. Pengalaman hidup mereka yang ditekan oleh peraturan di Sakura buatkan mereka memberontak. Nak pulak sejak armahrum Raja Nadim mangkat,” kongsi White.
“Tia sudah bersedia hadapi semua itu. Tia ingin mengubahnya dengan cara Tia sendiri. Kasih sayang yang ikhlas lagi jujur yang Tia tawarkan pada mereka tanpa rasa takut dan getar,” ucap Puteri penuh yakin.
Seketika kuda kelabu milik Tun Mahmud dan Dang Anum mengapit White. Mencungap juga Tun Mahmud dan Dang Anum mengejar Puteri yang berlari laju bersama White membelah hutan belantara. Mengeleng Tun Mahmud bila Puteri sudah diserang penyakit sengal mengilanya. Tindakannya memang tidak dapat diramal. Itulah yang paling mencabar bagi Tun Mahmud dan Dang Anum dalam menjadi pengiring Puteri sejak mula lagi.
Mereka sampai di perkampungan Gordon, makhluk pelik yang tidak mempunyai mata lagi hodoh namun masih boleh melihat dengan jelas. Kedatangan Puteri sangat mengejutkan mereka. Galic Gordon ketua makhluk ini terus menyembah Puteri dengan penuh hormat. Puteri dengan selambanya melompat turun dari White. Dia menundukkan kepalanya juga membalas tanda hormat pada Galic Gordon. Semua yang berdiri di situ terus melutut menyembah Puteri dengan rasa gusar dan ngeri.
“Bangun Galic Gordon. Bangun semua bangsa Gordon. Saya datang bukan sekadar Puteri Bulan Kejora namun sebagai saudara rapat kamu semua. Saya ingin bermalam di kampung ini dan menghabiskan masa bersama kamu semua barang semalam. Bolehkah Tuan Galic Gordon izinkan saya bermalam di sini?” pinta Puteri buatkan Tun Mahmud dan Dang Anum berpandangan. Galic Gordon turut memandang pada Tun Mahmud dan Dang Anum yang lengkap berpakaian pahlawan pengiring khas Puteri, macam tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Tuan Puteri!”
“Saya tak minta lebih Tuan Galic. Saya cuma ingin memahami dan mengetahui kehidupan bangsa Gordon yang sudah berkurun lama menjadi rakyat Sakura yang setia,” ucap Puteri berhemah buatkan Galic Gordon tiada alasan untuk menghalang hajat Puteri.
“Patik tiada Istana yang boleh diduduki Tuan Puteri bang semalam. Itu yang merunsingkan patik, Tuan Puteri. Kami di sini hidup sebagai petani yang ditugaskan menanam padi dan gandum. Itulah hasil pendapatan bangsa Gordon. Rumah petani hanya berbumbungkan rumbia dan berdinding buluh. Tidur berlapikkan jerami padi yang kami keringkan,” jelas Galic Gordon penuh rasa rendah diri.
Tidak pernah dalam sejarah bangsa Gordon seorang puteri Sakura ingin menumpang tidur semalam di perkampungan mereka. Ini rezeki atau bala yang akan menimpa bangsa Gordon? Galic Gordon masih sangsi dengan kejujuran dan keikhlasan Puteri yang jelas dapat dilihat dari sinar matanya.
“Sekiranya Tuan Galic benarkan, saya ingin bermalam di rumah yang paling miskin dan daif di kampung ini,” ucap Puteri dengan tenang dan lembut. Terdengar bunyi gedebukkk di hujung sana. Semua terus memandang pada bunyi itu. Galic Gordon dan Puteri diiringi Tun Mahmud dan Dang Anum menuju ke arah bunyi itu.
Seorang wanita Gordon yang hodoh dengan kulit mengerutu di muka dan tangannya sedang terbaring di tanah. Galic Gordon memanggil beberapa Gordon lagi membantu menyedarkan wanita Gordon yang pengsan itu. Puteri menghalang. Dia meminta untuk melakukannya sendiri. Kini Galic Gordon pula jatuh terduduk dengan pemintaan Puteri itu.
Puteri duduk bersimpuh di sebelah wanita Gordon. Semangkuk air dihulurkan padanya dengan bacaan mantera yang berulang kali dibaca, air disapu lembut di wajah wanita Gordon yang sedang pengsan. Dengan izin PenciptaNya, kulit wanita Gordon yang mengerutu itu terus hilang dari wajahnya.
“Tuan Puteri!” Galic Gordon mendekati Puteri yang senyum manis di sebalik niqub.
“Ya, Tuan Galic,” sahut Puteri lembut.
“Tuan Puteri bermalamlah di rumah patik. Cahaya Puteri Bulan Kejora memang sentiasa kami puja.”
“Maaf, Tuan Galic. Pemintaan saya umpama janji saya pada bangsa Gordon yang telah membuatkan saya jatuh cinta pada keikhlasannya. Tadi saya minta untuk bermalam di rumah yang paling miskin dan daif. Adakah ibu yang baru saya sedarkan ini?” soal Puteri lembut pada Galic Gordon yang tunduk. Semua Gordon menganggukkan kepala tanda benar sekali itu adalah Gordon yang paling daif di perkampungan ini.
“Tuan Puteri…patik tak berdaya,”menangis wanita Gordon yang daif itu.
“Ibu Gordon, anggaplah saya ini anak ibu yang pulang dari perantauan. Kedaifan itu bukan penghalang kasih sayang saya pada ibu. Mahmud, sediakan lembu seekor dan kambing  tiga ekor untuk kita makan bersama dengan semua penduduk kampung malam ini. Tia ingin memasak bersama semua ibu,” arahan Puteri pada Tun Mahmud.
Puteri melihat semua ibu Gordon teresak-esak menangis. Hati lembutnya cukup tersentuh. Anak-anak kecil duduk mengelilingi Puteri yang duduk mengadap sawah padi yang menghijau luas mata memandang. Burung berterbangan hinggap di orang-orang yang melata di sawah.
Puteri menarik keluar seruling bamboo yang terselit di belakang badannya. Seruling dengan Puteri memang tidak pernah terpisah. Itulah penghibur Puteri tika merindui Raja Nadim dan Ratu Ayu yang jauh nun dari Bumi. Dari sedih Puteri mampu mencorakkan keceriaan disekelilingnya. Dari bunga yang layu mampu berkembang mekar.  Tiupan Puteri yang terlalu asyik hingga dia tidak sedar dirinya telah terapung tinggi.
“Tuan Puteri Bulan Kejora,” panggil anak-anak Gordon menyedarkan Puteri.
“Ya, anak-anak Gordon tersayang,”
“Walaupun patik semua tidak pernah melihat wajah Tuan Puteri Bulan Kejora. Namun kami yakin, tuan puteri sungguh jelita orangnya. Budi pekerti Tuan Puteri tak pernah kami bayangkan sebegini ikhlas dan merendah diri,” ucap salah seorang anak Gordon.
“Saya sama saja dengan bangsa Gordon. Tiada bezanya kita di sisi Pencipta. Yang membezakan kita bukanlah pangkat, darjat, keturunan mahupun rupa paras kita. Akan tetapi sikap, akhlak dan tujuan hidup kita padaNya yang membezakan kita,”nasihat Puteri dengan senyum mekar di bibirnya masih tidak lekang dari mula menjejakkan kaki hinggalah mereka meninggalkan perkampungan Gordon.
“Tia.”
“Saya gembira sekali, Mahmud,” jelas Tia yang sudah membaca bahasa minda Tun Mahmud.
“Terima kasih, Tia. Terima kasih,” ucap Tun Mahmud
“Untuk apa Mahmud?” soal Puteri.
“Menjadi diri Tia. Walaupun setelah bergelar Puteri Bulan Kejora,” sambung Tun Mahmud. 
“Mahmud… apa pun gelaran Tia. Namun Tia masih tetap Tia. Teratak Melur tetap Istana Tia. Sudah tu, Bonda Ayu sudah kirimkan perkhabaran yang menitahkan Tia mewakili Sakura ke majlis keraian di Mendalin,” jelas Puteri.
“Majlis keraian apa Tia?” soal Dang Anum yang dari tadi diam mendengar.
“Majlis Ulangtahun Raja Nong. Bonda Ayu kurang sihat untuk ke sana.”
“Pakaian rasmi Tia masih di Istana Nadim?” soal Dang Anum tiba-tiba.
Puteri sengih. Dang Anum lupa akan kesaktiannya yang mampu berhias indah walaupun tanpa membawa beg pakaian bersama. Tun Mahmud terus menepuk dahi Dang Anum manja.
“Lupalah tu yang Tia sudah diputerikan. Seorang puteri yang sakti tidak memerlukan beg tarik Akademi Fantasi untuk menziarah keluarga nun jauh di sana,” kata Tun Mahmud
“Ohh! Lupa,” termalu-malu Dang Anum dengan kekhilafannya itu.
“Beg tarik Akademi Fantasi? Memang sah Mahmud curi tulang menonton AF… Anum lepas ini pastikan tiada lagi Astro untuk Mahmud,” sakat Puteri selamba.
Tun Mahmud mengulum senyum. Puteri bila sudah mula menyakat memang tak kering gusi mereka tertawa. Itu yang lebih menceriakan hidup mereka bertiga.
“Tia, mahu sampai segera atau kita bersenang lenang meredah hutan?” soal White.

“White, Tia mahu terbang mengelilingi Sakura dan kemudian terus ke Mendalin. Tia mahu sampai sebaik saja majlis bermula,” arah Puteri lembut. 

Minggu 3 - Berani kerana Kasih Bab 5

Bayangan watak Putera Nashrid

Puteri diiringi oleh Tun Mahmud dan Dang Anum diperkenalkan seorang demi seorang pembesar negara juga kerabat pari-pari yang lain. Puteri nak gelak sekuat hatinya bila rata-rata semua pari-pari menyatakan yang dirinya kurang sempurna dan cacat sebab itulah dia malu untuk mempamerkan diri pada semua orang. Tun Mahmud dan Dang Anum masam mencuka dengan segala kutukan dan kejian mereka pada Puteri. Sakit benar hati mereka  bila Puteri boleh lagi tertawa kecil di sebalik niqub. Macamlah mereka tak boleh baca semua itu dari sinar mata Puteri.
“Mahmud, Anum cukup-cukuplah rasa sakit hati tu. Itu hak mereka,” nasihat Puteri.
“Tia, mereka sedang kutuk Tia tu. Tia sedar tak?” geram Tun Mahmud yang kuat memegang belatinya.
“Sedar cukup sedar. Namun ianya tidak melemahkan Tia sedikit pun. Janji Tia pada Bonda untuk menyelamatkan Abang Kal dan Kak Fia tidak terusik sikit pun. Untuk apa kita mencipta musuh sedangkan kawan pun belum tentu kita temui.”
“Tia… itulah Putera Sharid dari Pulau Matahari,” bisik Dang Anum yang kagum melihat wajah Putera Sharid yang kacak lagi memikat.
“Oooo itu rupanya Putera Sharid yang sombong tu. Tia nak jumpa dia,” Puteri mengatur langkah ke arah Putera Sharid. Namun lengannya di tarik oleh Tun Mahmud.
“Tia, dia boleh baca apa yang ada di fikiran Tia seperti Tia juga. Dia punyai kelebihan yang luar biasa. Tia belum bersedia untuk berdepan dengannya lagi,” halang Tun Mahmud buatkan Puteri mengeluh kecil. Pengiringnya ini sangat menjaga dirinya, baru nak beramah mesra sudah terbantut.
“Kesakitan buatkan Tia insaf dan lebih bersedia memperbaiki diri Tia ini, Mahmud. Izinkan Tia jadi diri Tia sendiri,” pujuk Puteri.
“Tia,” pujuk Dang Anum turut menghalang Puteri.
“Izinkan Tia nikmati kehidupan dengan bebas Anum,” ucap Puteri memujuk Dang Anum pula. Dalam keterpaksaan mereka melepaskan Puteri mengatur langkah mengadap Putera Sharid.
“Ehemmm…” tegur Puteri.
“Puteri Bulan Kejora,” senyum terukir di bibir Sharid.
Keindahan mata Puteri yang biru buatkan jantung Sharid bergetar laju. Bau Puteri yang wangi buatkan ingin sekali dia menyelak kain yang mengelubungi tubuh Puteri yang sukar digambarkan. Lama ditatapnya mata Puteri untuk membaca apa yang ada di minda puteri ini. Namun semuanya tidak berjaya. Puteri senyum puas. Ilmu mengosongkan minda yang diajarkan oleh Raden Indra memang sangat berkesan untuk mengelak dari dicerobohi oleh pari-pari berilmu yang punyai kelebihan membaca minda sesiapa saja. 
“Sudah diputerikan?” soal Putera Sharid yang hairan kerana Puteri tidak seperti puteri lain yang ditemuinya. Minda Puteri sangat kosong, sedangkan sebagai Puteri merupakan seorang Nakashiro terpilih.
“Sudah. Tunku Puterakah yang mengurung kanda saya?” soal Puteri terus terang.
“Hahaha… saya tidak pernah mengurung sesiapa Tuan Puteri. Mereka terkurung sendiri dengan rasa nafsu yang tidak dapat dikawal. Keseronokan dan kemegahan menjadi tujuan hidup mereka…” cerita Putera Sharid dengan megah dan bangga sekali.
“Macam seperti sekarang ini ya? Tunku Putera sedang menimbang bagaimana rupa saya sebenarnya. Rakus sungguh nafsu berahi Tunku Putera… sepatutnya Tunku Putera terkurung juga di Istana Nadim sehingga Tunku Putera insaf,” balas Puteri dengan lembut dan tenang. Putera Sharid terdiam dengan raut wajahnya merah menahan geram. Mana mungkin Puteri mampu menceroboh mindanya sebab dia cukup mahir menghalang mindanya dari diceroboh sesuka hati oleh sesiapa saja. Putera Nong pun tak mampu menceroboh mindanya.
 “Bagaimana seorang puteri hingusan mampu menceroboh minda seorang Putera yang disegani dengan ketegasan dan kekacakannya. Puteri sungguh ajaib,” ucap Putera Sharid berbaur menyindir memandang tepat di mata Puteri. Usahanya menceroboh masih tidak berjaya.
“Keikhlasan hati berlawan dengan rasa riak Tunku Putera itulah jawapannya. Ingat! Tiada satu makhluk pun yang kebal di cakerawala ini. Tak kiralah di Kejora mahupun di Bumi, semuanya tiada yang kekal. Begitu juga dengan kanda saya di Pulau Matahari itu. Kehebatan mereka tenggelam juga dengan cabaran yang Tunku Putera lemparkan. Cetek benar iman mereka, jatuh tersungkur bila dipersembahkan kenikmatan juga keseronokan kehidupan. Sedangkan di Sakura, Bonda yang uzur sendirian mentadbir negara. Saya akan ke Pulau Matahari membebaskan mereka dari Tunku Putera,”ucap Puteri penuh yakin dan berterus-terang.
Sharid tergelak kecil. Keyakinan dan kegagalannya menceroboh minda Puteri membuatkannya rasa sangat seronok dengan perlawanan dingin bersama Puteri. Keinginan Puteri masuk ke Pulau Matahari untuk membawa keluar Putera Khalif dan Puteri Sofia satu tiket untuk memerangkap Puteri duduk di sana seumur hidupnya. Masakan Puteri yang lemah lembut itu mampu menandingi ketangkasan dan karismanya dalam memikat wanita. Sedangkan Puteri Sofia terkulai layu bila digoda inikan pula Puteri Bulan Kejora yang baru diputerikan.
“Pulau Matahari sentiasa mengalu-alukan kedatangan Puteri Bulan Kejora. Cuma niat Puteri membawa keluar Putera Khalif dan Puteri Sofia itu tak dapat kanda permudahkan. Puteri kena melalui cabaran yang sama seperti mereka. Jika dalam masa sepurnama Puteri mampu menangkis segala cabaran itu, kanda sendiri yang akan menghantar mereka pulang ke Sakura,” janji Putera Sharid penuh yakin. Penuh yakin yang dia tidak akan melakukan sebegitu. Puteri akan terkurung selamanya di Pulau Matahari.
Puteri senyum faham. Begitukah caranya Putera Khalif dan Puteri Sofia terkurung di Pulau Matahari hingga ke hari ini. Jika itu saja caranya untuk memasuki Pulau Matahari, Puteri tiada masalah. Yakin PenciptaNya sentiasa ada dimana-mana memberi pertolongan pada makhluknya yang sentiasa menadah tangan dan meminta.
“Tunku Putera sangat budiman. Saya kagum dengan tuanku Putera,” pujian Puteri buatkan Putera Sharid lagi riak meninggi.
Kemunculan Putera Nashrid  yang mentadbir Mendalin di mana terletaknya Pulau Matahari begitu mengamit naluri Puteri untuk memandang setiap langkah beliau. Langkah Putera Nashrid yang penuh berkarisma dan tegap lagi berpendirian tegas menunjukkan beliau seorang pemimpin yang sangat disegani di dalam dewan ini. Aura memikatnya buatkan Puteri terpesona hingga degupan jantungnya lintang pukang berdegup, perutnya bagaikan memulas diserang senak dan sendinya tiba-tiba longgar dan mengeletar.
“Anum, siapa itu?” soal Puteri perlahan.
“Itulah Raja Mendalin. Kanda sulung Putera Sharid yang kacak itu,” jelas Dang Anum yang masih tidak lepas memandang pada Putera Mahkota Sharid yang sentiasa dikelilingi oleh puteri jelita walau di mana saja majlis keraian berlangsung.
“Satu-satunya Raja  yang masih belum mempunyai pemaisuri. Seorang yang budiman dan lebih suka menyepi dari majlis istiadat pari-pari. Tumpuannya hanyalah pada Mendalin. Entah kenapa baginda boleh hadir pula hari ini? Jika Tia nak tahu, kebijaksanaan baginda mengelak perang saudara sangat dipuji ramai. Putera Sharid diberikan Pulau Matahari untuk ditadbir sendiri manakala Putera Tarid memerintah Pulau Bantal,” jelas Dang Anum.
"Namanya?" soal Puteri ingin tahu.
"Putera Nashrid,"jawab Dang Anum yang hairan melihat Puteri yang tidak langsung berminat pada Putera Sharid.
Tun Mahmud datang menghampiri Puteri dan Dang Anum bersama seorang yang cerah wajahnya dengan berjubah putih bersih.
"Tia," panggil Tun Mahmud lembut buatkan Puteri tertoleh. Wajahnya berubah ceria bila melihat Kiai Neqman yang segak menghampirinya.
"Assalamualaikum, Tia," ucap Kiai Neqman yang memandang wajah Puteri yang berniqub.
"Waalaikumsalam, Kiai," senyum Puteri sambil membongkokkan badannya tanda hormat yang tak sehingga pada gurunya itu.
Kiai Neqman pucat lesi manakala Tun Mahmud dan Dang Anum cepat-cepat membantu Puteri menegakkan badannya. Banyak mata memandang pada Puteri dengan pandangan hairan lagi pelik. Belum pernah ada dalam sejarah Sakura seorang Puteri membongkokkan badannya memberi hormat pada seorang guru.
Ratu Ayu memejamkan mata untuk menahan sesak nafas. Hari pertama Puteri sudah menimbulkan suasana pelik di Sakura.
"Tia, seorang puteri Sakura martabatnya tinggi. Apa yang Tia lakukan ini?" soal Ratu Ayu.
"Tia menghormati seorang guru yang dulunya gigih berkongsi ilmunya pada Tia. Martabat seorang guru sangat tinggi selepas Bonda dan Ayahanda. Itu cara Tia mengucapkan terima kasih pada semua guru yang telah mendidik Tia, Bonda. Siapalah Tia tanpa mereka," jelas Puteri.
"Tia...."Ratu Ayu serba salah.
"Usah Bonda risau. Tiada bezanya kita di mata Pencipta, melainkan amalan dan ibadah kita. Maafkan Tia sekiranya tindakan Tia ini membuatkan Bonda serba-salah. Tia akan cuba sesuaikan diri dengan kehidupan sebagai puteri Sakura," akui Puteri. Ratu Ayu mengerdipkan mata tanda mengerti. Tun Mahmud dan Dang Anum masih menundukkan kepala tanda bersalah.
Alunan muzik berkumandang dan ramai sudah ke depan dengan pasangan mereka. Tarian Waltz yang ditarikan oleh Puteri Abbie bersama Putera Sharid memukau semua yang melihat. Diikuti pula dengan tarian Ballroom yang melihatkan putera dan puteri bergoyang badan mengikut gerak tari tarian tersebut.
 "Tia, adat Sakura. Puteri akan diminta menari. Tarian apa yang ingin Tia tarikan?" soal Tun Mahmud.
"Menari?" terkejut Puteri.
"Macamlah tak pandai menari," sengih Dang Anum melihat muka terkejut Puteri.
"Memanglah pandai, Anum. Tapi agak-agaklah menari di khalayak ramai. Tia ni puteri tau, mana boleh memalukan diri sendiri," jawab Puteri dengan selamba.
"Lepas ini Tia tukar. Sekarang Tia kena patuh. Tarian apa Tia?" Soal Tun Mahmud.
Puteri jeda memandang sekeliling. Semua gaya moden. Penaklukkan budaya Inggeris begitu kuat hingga ke Kejora pun sampai tempiasnya. Bersentuhan lelaki perempuan dengan bebas sekali. Inikah budaya pari-pari?
"Tarian Inang. Panggil dayang untuk mengiringi Tia," ucap Puteri ringkas.
"Inang?" soal Tun Mahmud tak percaya.
"Iya, tarian Inang. Mahmud ada masalah?" soal Puteri dengan kening terangkat sebelah.
Seperti yang diminta seramai sepuluh Dayang berlenggang-lenggok mengikut rentak laju dengan bunga tari yang seragam di tengah dewan. Semua hadirin terpukau, nak pulak dengan gaya tari selamba Puteri bersama Dang Anum yang di tarik menari sama. Putera-putera yang beratur untuk menari bersamanya sedang berfikir bagaimana rentak tari yang ingin dilakukan supaya dapat menyentuh tubuh Puteri. Itu yang buatkan Puteri girang di hatinya.
'Nak sangat peluk pinggang aku. Raba pinggul aku. Mendakap dadaku... Sekarang tunjukkan kebijaksanaan tuanku semua hahahaha," gelak Puteri geli hati.
Putera Nashrid yang berdiri bersama Putera Nong dan Ratu Ayu melayan seribu pertanyaan. Puteri Bongsu Ratu Ayu ini sungguh berbeda dengan semua puteri dan gadis  yang berada dalam dewan ini.
"Ayahanda tunku dan Bonda Ayu. Izinkan saya menari bersama Puteri Bulan Kejora," ucap Putera Nashrid penuh sopan.
"Silakan, anakanda," perkenan Putera Nong dan Ratu Ayu.
Putera Nasrid melangkah ke tengah dewan dengan alunan musik zapin. Terhenti tari Puteri bila dihampiri oleh Putera Nasrid. Baju kot hitamnya ditanggalkan meninggalkan kemeja putih dan tali leher hitam. Sambil berjalan Putera Nasrid membuka butang di pergelangan tangannya dan melipatnya sampai ke siku. Tali leher di buka dan dilipat masuk dalam saku seluarnya.
"Tia teruskan menari, ini memang kebiasaan," itu yang Puteri dapat baca dari minda Dang Anum ketika memandang padanya.
Rentak tari mereka berdua berirama merdu hingga ke akhir. Renungan bahasa mata dan gerakan badan menjadi komunikasi perkenalan mereka berdua. Riang Puteri kerana tubuhnya tidak disentuh atau dicuit langsung oleh Putera Nashrid. Usaha Puteri untuk menceroboh minda Putera Nashrid juga tidak berjaya. Kebal sungguh. Senyuman nipis Putera Nashrid di akhir tari membuatkan Puteri berasa geram.
"Tuan Puteri terlalu naif untuk menceroboh minda Beta. Teruskan berusaha. Selamat malam Puteri Bulan Kejora yang mempunyai sepasang mata biru yang memukau hati teruna. Beta kagum dengan tuan puteri," bisik Putera Nashrid lembut di sisi Puteri sambil mengenakan kembali butang di lengan bajunya.
"Tuanku seorang putera yang budiman. Saya, puteri yang cacat. Kekaguman tuanku salah pada tempatnya. Keikhlasan tuanku buatkan saya ingin membalas dengan ucapan terima kasih," ucap Puteri lembut buatkan Putera Nashrid berpaling.
Putera Nashrid berjalan kembali pada Puteri. Belum pernah dalam hidupnya seorang puteri menyatakan tindakannya salah pada tempatnya. Tangannya sudah diangkat untuk membuka niqub Puteri, namun tindakannya terhenti bila secara tiba-tiba dia dapat membaca bahasa minda Puteri.
"Tuanku putera yang budiman. Saya berniqub untuk menyembunyikan aib diri. Tolong hormati pendirian saya. Saya seorang gadis yang berilmu. Membesar di Bumi sebagai seorang gadis yang taat pada PenciptaNya. Aurat saya hanya untuk seorang lelaki yang bergelar suami. Itulah hadiah istimewa saya pada suami saya nanti. Saya tiada harta, negara atau lain kelebihan untuk dihadiahkan padanya melainkan sekeping hati yang ikhlas dan sekujur tubuh yang cacat," ucap Puteri.
"Jangan bermain dengan api di Kejora. Tindak-tanduk Tuan Puteri  akan  mengundang persoalan yang membuatkan semua ingin menduga dan mencuba Tuan Puteri. Kejora tak seperti Bumi. Sekiranya Tuan Puteri sudah putuskan untuk menetap di Kejora, belajar dan dalami cara hidup seorang puteri di Kejora. Tapi jangan lebih hingga nampak sangat murah macam Puteri Abbie... Selamat malam," ucap Putera Nashrid.

Puteri terpengun dengan bahasa Putera Nasrid. Sekilas ikan di air sudah dapat diagak tinggi pekertinya. Begitu juga dengan Putera Nasrid di mata Puteri.