Friday, May 11, 2018

Bab 1

MEGAT Nasrudin termenung memandang pada kiriman e-mel yang terpampang depan skrin komputer. Acap kali dibuka e-mel tersebut sejak pertama kali diterimanya hampir enam tahun lepas. Kiriman daripada seorang gadis yang telah menghuru-harakan kehidupan mudanya.

Suara sendu gadis itu meluahkan rasa kecewa dalam kiriman tersebut, tak dapat dilupakannya hingga ke hari ini. Suara yang menyedarkannya pada mimpi nan panjang. 

I don’t realize that falling in love with you make me so stupid. You make me feel crazy. Make me feel like this is my fault... It’s hurt, Megatron. So damn hurt. Ahhhh! Stupid me. Stupid!!!!!

 “Tak Mai. Tak. Abang yang bodoh. Bodoh menilai kejujuran cinta hanya melalui paras rupa. Bila abang sedar, semuanya dah terlambat. Abang dah hilang Maisara abang. Mai pergi mana? Abang dah buntu nak cari Mai kat mana lagi…”

Megat berbicara sendirian. Rasa kesal yang sangat memberatkan jiwanya sampai ke hari ini. Kesannya, perhatian Megat pada perempuan jadi beku hingga mendapat jolokan ‘ice king’ oleh staf tempatnya bekerja. Dia bukannya sombong atau tak sukakan perempuan tapi dia tak mahu timbulkan salah faham macam yang dah terjadi pada Maisara dulu.

Nak-nak pula, bila gadis yang dicintainya sepenuh hati kerana kecantikan parasnya telah menyakitkannya dengan akhlak buruk dan iman yang tipis melawan nafsu. Dia jadi serik! Serik dengan cinta yang bertunjangkan nafsu.

Yuhuuuu bro,” panggil Johari siap dengan ketukan di pintu pejabat Megat lagi. Sedari tadi diserunya nama Megat tapi tak berbalas. Lagut sungguh Megat dalam dunianya sendiri.

“Hah! Kau, ada apa,” tersedar Megat. Terus ditekan butang tutup pada skrin komputer. Perihal e-mel itu tetap menjadi rahsia yang disimpan daripada dihidu. Tidak oleh teman rapatnya, lebih-lebih lagi si Johari ni. Waima keluarganya pun tak tahu-menahu langsung tentang rahsianya yang satu itu.

Johari masuk dalam bilik Megat bersama dokumen di tangan. Kerusi depan meja Megat ditariknya selamba.

“Ini. Aku baru dapat dari pejabat Tuan Pengerusi. Dia kata kau ni tak habis-habis nak jadi Musang Berjanggut, tapi jumpanya tak. Kali ni kau nak ke mana pula? Kau rasa sebulan ni cukup ke kau jalankan misi kau tu?”

Johari mencampakkan borang cuti Megat yang telah diluluskan oleh Tuan Pengerusi ke atas meja. Megat yang sedang bersandar malas pada kerusinya hanya memanjangkan leher melihat borang itu.

Terpampang perkataan ‘lulus’ berwarna merah di situ sudah cukup buatkan dia senang hati.

“Alhamdulillah, lulus juga. Ingatkan Tuan Pengerusi tak nak luluskan cuti aku.”

“Gila tak nak luluskan cuti kau. Cuba kau tengok tang alasan cuti kau tu tulis apa. Menjejaki calon isteri. Kalau Tuan Pengerusi pangkah cuti kau bermakna lagi lambatlah dia dapat menantu. Sudahlah dia berharap sangat anak bujangnya ni kahwin.”

Bengang sungguh Johari pada Megat. Disebabkan Megat tulis alasan terlalu banyak kerja hingga tak ada masa nak cari calon isteri buatkan dia dipanggil menghadap bos besar. Walhal, dia dah banyak kali unjurkan idea untuk ditambah staf di jabatan tugas-tugas khas ini. Tapi Megat yang buat diam.

“Ya. Betul tu. Kau cuba tengok jadual aku. Hujung minggu pun masih dengan hal-hal Orange Group. Bila masa aku nak gi dating semua tu. Lambat kahwin, bising.”

“Kau? Dating? Dengan siapa?” Soal Johari cukup bengang. Inilah bahananya jadi perantara antara anak dan bapa. Si anak marahkan bapa yang desak suruh kahwin cepat, dia yang bukan siapa-siapa pula yang jadi mangsa.

“Ha! Itulah masalahnya. Aku tak dapat nak cari siapa yang sepatutnya aku dating sebab aku asyik kerja je. Jadi tak salah kalau aku ambil cuti sebulan. Ikutkan hati aku memang nak ambil sampai tiga empat bulan. Tapi kenangkan dua bulan lagi resort kat Pulau Aman tu siap. Itu yang aku ambil sebulan je dulu.”

Megat dengan muka tak bersalah, tersengih lebar. Itu saja alasan yang buatkan cutinya diluluskan tanpa sebarang soal jawab. Bayangan gadis yang menyerupai Maisara beberapa hari lepas dah buatkan jiwanya huru-hara selagi tak dapatkan pengesahan.

“Okeylah, aku pun tak nak panjangkan hal ni. Sekarang aku nak tahu, kau nak berapa orang eksekutif baru untuk jabatan kau ni?”

“Aku dah e-mel apa yang aku nak. Kau proceed je.”

Megat meletakkan tablet yang baru dipegangnya selepas di soal oleh Johari tadi. Dia bukan orang yang bertangguh kerja dan main ikut kepala gilanya je buat sesuatu kerja. Kerjanya cukup efisien. Itu yang cuti berbulan pun, lulus. Sebab kerjanya tip top.

Johari hanya angguk. Bekerja dengan Megat memang sentiasa kena proaktif. Megat cekap dan dalam masa yang sama dia juga cerewet untuk pastikan kualiti kerja terhasil adalah yang terbaik.

Adios. Jadi urusan pencarian calon isteri kau tu macam mana? Kau yakin ke percutian kau kali ni akan jumpa gadis yang dah masakkan uncang Musang Berjanggut kau tu?”

Megat jongket bahu. Itu lagi satu misteri yang perlu dirungkai. Tetamu tak diundang ketika dia menumpang bermalam di rumah adik sepupunya di Jepun dulu, sampai sekarang hanya dikenali sebagai ‘Elly’ tanpa pengenalan diri yang lain. Sebelum tetamu itu hilang tanpa jejak, sempat dia hidangkan makanan daripada uncang ke atas meja sebagai ucapan terima kasih kerana telah menyelamatkannya daripada musibah. Habis tu, tanpa apa-apa maklumat dia nak cari tang mana.

“Entahlah. Tapi kalau aku jumpa memang aku terus cekup, ajak nikah terus. Sedap siot air tangan dia.”

Gurau Megat. Teringat semula kata-kata adik sepupunya masa makan hidangan yang terhidang kemas atas meja.

“Cantik betul Elly tu Abang Nash. Bodoh betul Chah tak ambil nombor telefon dia. Itulah tidur mati lagi. Kan dah rugi besar. Kalau tak, bolehlah abang kenal-kenal dengan dia. Ishhh... menyesallah pula.”




No comments:

Post a Comment