Friday, May 11, 2018

Bab 5



MEGAT terhenti mencicip kapucino bila terhidu wangian yang mengingatkan dia pada seseorang. Pantas saja kepalanya menoleh memandang sekeliling.

Kelibat seorang wanita berseluar denim hitam, kemeja putih yang menutup singlet merah sendat di badan menarik perhatiannya. Diperhatikan pada kasut tumit tinggi lima inci yang berkaki halus runcing buatkan gaya wanita itu cukup mempesona dan sempurna. Rambutnya yang perang beralun bebas hingga ke pinggang tu sangat menarik.

“Hai. Macam biasa.”

Tersenyum senang pelayan di kaunter melayan mesra permintaan Elina.

“Awal Kak Elly hari ni?”

“Kerja habis awal.”

Have a great day, Kak Elly,” ucap pelayan sambil menghulurkan bekas air pada Elina. Selepas membuat pembayaran, Elina terus berlalu.

Thank you very much, jelita.”

Kelibat Elina diperhatikan sehingga hilang dari pintu kedai.

“Aku minatlah Kak Elly tu. Yang tak boleh aku lupa, kalau tengok dia tersenyum. Oooo lesung pipit kat pipi dia tu buatkan aku yang perempuan ni pun melting tau.”

Megat yang duduk di meja berdekatan kaunter memasang telinga pada perbualan pendek itu. Degup jantungnya tiba-tiba jadi tak sekata. Cepat saja dicicipnya kapucino sampai habis. Kemudian dia terus berlari keluar.

Matanya masih mencari kelibat wanita berambut perang tadi. Ayat ‘lesung pipit buatkan hati cair’ itu buatkan hati nak sangat melihatnya. Siapa pun dia, hari ni jawapan tu perlu dirungkaikan.

Please say you are my Maisara. Please. Please.” Zikir Megat yang mengekor di belakang. Kehadirannya langsung tak disedari oleh Elina.

Elina masih mengatur langkah berjalan pulang ke kondonya yang terletak selang dua buah bangunan dari restoran tadi. Restoran yang sering dikunjunginya selepas balik dari kerja. Sudah banyak kali dimarahi oleh Ayu pun, Elina masih berdegil. Mesti nak dapatkan kapucino ais kat situ.

Sebuah motosikal superbike Yamaha secara tiba-tiba berhenti di tepi jalan buatkan langkah Elina terhenti. Penunggang hanya membuka cermin muka pada topi keledarnya.

“Hai adik manis, jom dating dengan abang,” sapa si penunggang. Elina tergelak riang.

“Abang Em!!!”

“Jom.”

Topi keledar yang disangkut pada handle kiri motor dihulur pada Elina. Cepat saja Elina menyedut air dalam cawan kertas yang dipegangnya. Kemudian berlari ke tong sampah yang berjarak dua puluh kaki di belakang.

Bibir Elina mencorakkan senyum manis hingga berlubang pipinya dek lesung pipit. Seronok hatinya dapat menghabiskan masa dengan si abang sulong, Dr. Tengku Emran.

“Jom. Jom. Elly nak abang belanja Elly makan ikan bakar kat Umbai Melaka malam ni. Ada berani?”

Alaa setakat Umbai tu tak jauh sangatlah dari KL ni. Dah, naik,” suruh Emran. Bukan mudah nak kejar jadual si bongsu ni, mengalahkan dia yang jadi doktor. Bila Ayu, pembantu peribadi Elina maklumkan yang malam ni jadual Elina kosong, terus dia laju ke sini.

Megat yang memerhati sedari tadi terus kejang tak bernafas. Diperhatikan saja wanita yang diekorinya tadi membonceng superbike Yamaha itu hingga hilang daripada pandangan mata.

My Maisara? Mai kurus? Mustahil!"

No comments:

Post a Comment