Friday, May 11, 2018

Bab 4

“Hah! You dah kahwin. Bila? Kenapa tiada siapa pun cerita kat I pasal you dah kahwin. Kawan-kawan I yang kenal you pun, tak ada cerita apa-apa kat I,” balas Harris yang payah nak terima ayat Elina. Hatinya kuat menyatakan Elina masih bujang. Sejak percutian di Bali tempoh hati, dia memang mencari jejak Elina sampai sekarang tapi tak jumpa.

Elina selamba menyambung makan. Malas nak layan sebenarnya. Ingatkan lepas kenalkan Tajol sebagai suami, Harris akan bangun terus. Ini tak, banyak soal pula. Ahhhh rimasnya!!

“I tanya you satu teka-teki ya, Harris. Biasanya pasangan pengantin diraikan penuh meriah sebab cinta dan direstui. Tapi ada juga pasangan kekasih yang dah kahwin tapi senyap. Agak-agak sebab apa?” soal Elina sambil makan. 

“Err... mungkin mereka kahwin lari sebab tak direstui, atau kahwin terpaksa sebab dah kena tangkap,” jawab Harris. Teragak-agak sebenarnya nak jawab teka-teki Elina ni. 

“Haaa betullah tu. I kahwin sebab kena tangkap khalwat. Betulkan sayang,” jawab Elina selamba.

Tajol yang sedang meratah ayam goreng terus tersedak. Mujur tak tercekik tulang ayam. Bulat matanya memandang pada Elina. Selamba badak je budak ni beri alasan. Kalaulah ada orang dengar, tak ke jadi fitnah. Elina! Elina!

“Oh!!!” Terlopong Harris. Kepala tak mampu nak hadam kata-kata Elina. Masakan Elina yang kejang kaku ni boleh sampai tertangkap khalwat. Dulu nak peluk pun tak boleh. Tangan tu nak cuit sikit pun tak dapat. Inikan pula kena tangkap khalwat? Mustahil!

“Sayang, apa cerita macam tu. Inikan dah ketentuan jodoh. Lagipun kita sayang satu sama lainkan,” akhirnya Tajol bersuara. Tak mahu Elina menokoh tambah cerita untuk melepaskan diri daripada mantan crush yang jelas tak boleh terima alasan Elina dah berkahwin.

“Maaflah bro. I ni tak tahu cerita pasal korang dah kahwin. Itu yang tanya soalan yang bukan-bukan tu. Anyway, tahniah dan selamat pengantin baru daripada I,” ucap Harris serba-salah. 

“Pengantin basi dah. Dah setahun pun. Elly ni je yang anggap macam benda tu baru. No hal lah bro,” balas Tajol cukup tenang. Seksa perut menahan rasa nak gelak gara-gara Elina ni. 

“Moga bahagia sampai ke anak cucu. Okeylah, I nak pergi jumpa pengantin perempuan. Itu pun bekas girlfriend I. Apalah nasib, semua bekas girlfriend dah kahwin. I juga yang belum kahwin-kahwin lagi,” gurau Harris nampak sedikit pincang. 

Elina yang sedang menyuap, terus terhenti seketika. Bibir mencemik. Kemudian disambung je makan. Ada aku kesah!!!

Berlalu saja Harris dari meja mereka, Tajol menundukkan kepalanya untuk melepaskan tawa yang disimpan. Berair matanya menahan gelak. Elina! Elina! 

“Dahlah. Eeeee… Si Harris tu perasan lebih. Tiga hari je pun jadi crush. Tak sempat nak jadi boyfriend pun dah jadi mantan. Mengong! Nampak tak tahap gelojoh dia tu. Grrrr... lelaki ni kena masuk sekolah adab pergaulan kot. Lepas sorang, sorang kerek,” bebel Elina.

“Awak tu yang kerek tak sedar diri. Dengar dek Kak Yati, mesti dia gelak sampai terkencing ni. Masuk yang ni, rasa abang dah lebih dua puluh orang Elly cakap yang abang ni hubby Elly. Nasiblah kita ni adik-beradik susuan. Kalau tak memang Kak Yati kat rumah tu dah cincang Elly,” gelak Tajol.

“Sebab tulah Elly berani cakap abang ni hubby Elly. Kalau tak hmmmm nak mampus. Kata-kata tu kan ke doa. Tak nak lah Elly.  Lagipun kalau Mak Aji dan Abah Aji kat umah tu tahu fasal ni, memang Elly kena penjara kat umah,” balas Elina. 

Abah Aji panggilan manja Elly bagi Haji Arifin, suami kepada ibu susuannya. Masa Elina lahir, entah macam mana nendanya pinta isteri Haji Arifin  menyusukannya. Sampai sepuluh kali kenyang. Permintaan nenda itu dipersetujui oleh semua pihak. Alasan nenda, cucu bongsu ni perlu berjiwa rakyat. Biar bertanggungjawab, taat dan mendengar kata orang tua.

“Tahu pun. Ingat, Abah Aji kat umah tu selalu cakap, jangan bohong. Berdosa.” usik Tajol. 

“Bohong sunat, dimaafkan. Ni namanya strategi mengelak mantan kembali.” 

Terbahak-bahak Tajol mentertawakan Elina. Manalah datangnya istilah bohong sunat ni semua. Ajaran sesat semua tu. Bohong tu bohonglah. Tak payah nak disunat-sunatkan. Panjang akal sangat, inilah jadinya. 

Elina melepaskan keluhan. Pencariannya bukanlah susah sangat. Tapi payah betul nak jumpa. Dah jumpa tapi milik orang pula tu. Jangan buat dajal. Dia masih belum terdesak nak ambil milik orang lain. 

 


Misi Pencarian Tengku Puteri Elina Maisara

Lelaki tulen, macho, penyelamat, pembimbing, penceria, perawan, peramah, penawar, penyejuk dan pemandu kehidupan yang hebat.

 “Ke aku kena tukar misi pencarian aku kot,” bicara Elina pada diri sendiri. 




Bab 5



MEGAT terhenti mencicip kapucino bila terhidu wangian yang mengingatkan dia pada seseorang. Pantas saja kepalanya menoleh memandang sekeliling.

Kelibat seorang wanita berseluar denim hitam, kemeja putih yang menutup singlet merah sendat di badan menarik perhatiannya. Diperhatikan pada kasut tumit tinggi lima inci yang berkaki halus runcing buatkan gaya wanita itu cukup mempesona dan sempurna. Rambutnya yang perang beralun bebas hingga ke pinggang tu sangat menarik.

“Hai. Macam biasa.”

Tersenyum senang pelayan di kaunter melayan mesra permintaan Elina.

“Awal Kak Elly hari ni?”

“Kerja habis awal.”

“Have a great day, Kak Elly,” ucap pelayan sambil menghulurkan bekas air pada Elina. Selepas membuat pembayaran, Elina terus berlalu.

“Thank you very much, jelita.”

Kelibat Elina diperhatikan sehingga hilang dari pintu kedai.

“Aku minatlah Kak Elly tu. Yang tak boleh aku lupa, kalau tengok dia tersenyum. Oooo lesung pipit kat pipi dia tu buatkan aku yang perempuan ni pun melting tau.”

Megat yang duduk di meja berdekatan kaunter memasang telinga pada perbualan pendek itu. Degup jantungnya tiba-tiba jadi tak sekata. Cepat saja dicicipnya kapucino sampai habis. Kemudian dia terus berlari keluar.

Matanya masih mencari kelibat wanita berambut perang tadi. Ayat ‘lesung pipit buatkan hati cair’ itu buatkan hati nak sangat melihatnya. Siapa pun dia, hari ni jawapan tu perlu dirungkaikan.

“Please say you are my Maisara. Please. Please.” Zikir Megat yang mengekor di belakang. Kehadirannya langsung tak disedari oleh Elina.

Elina masih mengatur langkah berjalan pulang ke kondonya yang terletak selang dua buah bangunan dari restoran tadi. Restoran yang sering dikunjunginya selepas balik dari kerja. Sudah banyak kali dimarahi oleh Ayu pun, Elina masih berdegil. Mesti nak dapatkan kapucino ais kat situ.

Sebuah motosikal superbike Yamaha secara tiba-tiba berhenti di tepi jalan buatkan langkah Elina terhenti. Penunggang hanya membuka cermin muka pada topi keledarnya.

“Hai adik manis, jom dating dengan abang,” sapa si penunggang. Elina tergelak riang.

“Abang Em!!!”

“Jom.”

Topi keledar yang disangkut pada handle kiri motor dihulur pada Elina. Cepat saja Elina menyedut air dalam cawan kertas yang dipegangnya. Kemudian berlari ke tong sampah yang berjarak dua puluh kaki di belakang.

Bibir Elina mencorakkan senyum manis hingga berlubang pipinya dek lesung pipit. Seronok hatinya dapat menghabiskan masa dengan si abang sulong, Dr. Tengku Emran.

“Jom. Jom. Elly nak abang belanja Elly makan ikan bakar kat Umbai Melaka malam ni. Ada berani?”

“Alaa setakat Umbai tu tak jauh sangatlah dari KL ni. Dah, naik,” suruh Emran. Bukan mudah nak kejar jadual si bongsu ni, mengalahkan dia yang jadi doktor. Bila Ayu, pembantu peribadi Elina maklumkan yang malam ni jadual Elina kosong, terus dia laju ke sini.

Megat yang memerhati sedari tadi terus kejang tak bernafas. Diperhatikan saja wanita yang diekorinya tadi membonceng superbike Yamaha itu hingga hilang daripada pandangan mata.

“My Maisara? Mai kurus? Mustahil!"

Wednesday, April 18, 2018

Bab 6

“My Maisara? Mai kurus? Mustahil! Tapi tak ada wanita yang ada lesung pipit secantik My Maisara. Dan rambut coklat tu hanya Mai yang ada rambut warna macam tu.”

Megat meletakkan tapak tangannya ke dada. Matanya terpejam mengawal nafas yang laju berdegup. Terimbau kembali saat perkenalan pertamanya dengan Elina sewaktu pelajar Malaysia berkumpul di rumah Konsulat Malaysia untuk menyambut Syawal bersama.

“Hai dik, makan tak tengok kiri kanan. Lapar sangat ke?” Tegur Megat. Sedari tadi lagi diperhatikan gadis gebu ni menikmati juadah yang dihidangkan buat tetamu.

“Sedap! Dah lama tak makan rendang dan sambal ikan bilis ni.” Jawab gadis itu tanpa segan silu. Lagi disuapnya nasi impit bersama rendang daging ke dalam mulut.

“Boleh abang duduk sini?”

“Duduk jelah. Tak ada tulis perkataan haram pun kat situ. Rasanya memang halal untuk diduduki.”

Megat senyum senang. Sikap selamba gadis ini buatkan dia tertarik nak mengenalinya lebih dekat. Tak pernah dia nampak gadis ni di mana-mana acara yang dianjurkan oleh Konsulat mahupun universiti. Mesti pelajar baru ni.

“Megat.”

Megat menghulurkan tangan untuk berjabat dengan gadis gebu itu. Gadis itu hanya menyilangkan tangan kanannya ke dada.

“Maisara. Panggil Mai je. Sorry tangan Megat belum halal saya sentuh.”

Termalu alah Megat. Diingatnya gadis berambut perang ni jenis yang sosial. Yalah, lihat saja penampilannya yang bergaya seksi walaupun berbadan gebu macam ni. Tangan dibawa meraut rambut ke belakang bagi menutup malu. Namun, bila terpandangkan senyum manis yang berlesung pipit di pipi. Oh! Manis.

“Jomlah kita halalkan.”

Terpacul kata Megat tanpa kawalan hingga buatkan mereka berdua bertatapan dan terkesima.

Jatuh rahang Elina dengan ayat makan dalam daripada jejaka kacak di hadapannya ini. Bukannya dia tak kenal. Dari mula dia jejak kaki ke dalam vila Konsulat ni lagi, dia dah dengar sok sek sok sek tentang jejaka ini. Megat Nasrudin, senior hot yang sangat romantik, sweet dan menjadi pujaan ramai. Dia sekarang sedang rapat dengan Tannya, anak tauke balak dari Malaysia. Pelajar tahun akhir, jurusan ekonomi. Couple terlajak hot gelaran mereka.

Megat berdeham beberapa kali mengawal suasana yang terlanjur ramah sebentar tadi. Berusaha untuk terus cool dan macho di depan gadis gebu ini. Jarinya naik ingin menolak dagu Elina yang sedang terlopong.

“Errr… Mai pelajar baru ke kat sini? Ambil jurusan apa?”

Tersedar, Elina jarakkan muka daripada disentuh Megat. Mulut ditutup.

“Hmmm nak habis satu semesta dah. Ambil Sains Politik.”

“Oooo… tajaan mana? Mara?”

“Taklah. Tabung pa-ma.”

“Tabung pa-ma?”

Berkerut dahi Megat menghadamkan fakta yang dikongsi oleh gadis ini. Belum pernah didengarinya biasiswa yang sebegitu namanya.

“Iya. Tabung papa mama. Habis belajar kena bayar balik.”

Jenaka Elina selamba dengan mulut penuh mengunyah makanan. Megat kemam bibir menahan lucu. Pesona Megat buatkan hati Elina terdetik satu rasa. Bila perasan tingkahnya pincang cepat-cepat dia tersedar. Disumbat nasi impit bersama rendang daging masuk ke dalam mulut dengan cepat.

“Kejab. Kejab. Apa ni, makan pun comot,” Megat keluarkan sapu tangan dari poket baju Melayu untuk mengesat hujung bibir Elina.

Terbeliak mata Elina. Dijauhkan lagi muka dari disentuh oleh Megat. Dengan mulut yang penuh, Elina menjawab penuh cemas.

“Eh! Apa ni?”

“Abang nak lap kesan kat bibir Mai tu .”

“Oooo… tak pa. Tak pa. Saya boleh kesat sendiri. Terima kasih. Tak ingat ke Megat tak halal untuk saya.”

Tegas balas kata Elina buatkan Megat diam tak bersuara.

Aura gadis ini lain sangat daripada mana-mana perempuan yang dikenalinya. Hati Megat terdetik untuk terus mengenalinya dengan lebih rapat.

Mata Megat terbuka kembali. Titik pertemuan pertama itu sudah cukup membayangkan pekerti gadis yang dikecewakan hatinya. Tapi matanya tak nampak semua tu. Tak nampak.

“Jangan kata, dia dah kahwin. Tak mungkin! Tak mungkin. Dia tak boleh kahwin.” Megat berteka-teki sendiri.