Sunday, January 18, 2015

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 16


Puteri yang dipenuhi selut masih termenung di buaian. Nak masuk ke dalam air terjun, dirasakan segan dengan anak-anak ikan selepas terjadinya penaklukan di situ. Malu dengan anak-anak ikan yang menyorokkan diri.  Puteri turun dari buai dan duduk di tepi tebing sungai dengan kakinya mencecah ke dalam sungai. Daun upih yang berada tidak jauh dari sungai diambilnya untuk dijadikan gayung untuk menceduk air.
Puteri menjuntaikan kaki ke dalam sungai dan menceduk air untuk menyiram badannya yang berselut. Seronok pula mandi berceduk air di tepi tebing.
“Tia!”laungan Dang Anum menghentikan tangan Puteri dari terus menceduk air sungai.
“Saya!” balas Puteri yang nyaring suaranya sehingga gugur daun kering dari pokok. 
“Laaa tak sudah lagi ke. Kita sudah lewat ni,” bebel Dang Anum.
“Tia nak mandi kejap,” balas Puteri.
“Yang dimain ceduk-ceduk tu kenapa? Terjun sajalah macam biasa. Cepatlah Tia, nanti Ratu Ayu bising.”
“Tia inikan tetamu terhormat. Tanpa Tia majlis itu tak akan berlangsungkan? Cuba Anum jangan gelabah. Anum buatkan Tia kecut perut tau.”
“Hai! Dah ditakluki pun kecut jugak ke?” sakat Dang Anum.
“Haaa! Mana tahu ni? Anum skodeng ya?” merah padam muka Puteri bila Dang Anum buat senyum nakal begitu.
“Tak ada maknanya nak skodeng, Tia. Pagi tadi Putera Nashrid sedekahkan pulut kuning sedulang bersama dua ekor ayam di masjid untuk jemaah solat subuh tadi.” 
“Sedekah pulut kuning, tak faham?” pelik Puteri.
“Mengikut perbuatan manusia Bumi, sebaik saja perawan gadis itu ditakluki oleh suaminya yang sah. Satu bentuk kesyukuran diadakan. Tanda kesucian itu milik mereka berdua. Ada faham?” sengih Dang Anum.
Diam Puteri seketika. Banyaknya perkara simbolik yang diamalkan oleh manusia Bumi ini. Sehinggakan kesucian perawan gadis pun ingin diraikan. Bukankah tindakan itu akan membuka aib keturunan si gadis sekiranya dia sudah tidak perawan lagi? Masyarakat akan tertanya-tanya dan mencemuh tanpa tahu hujung pangkal.
“Bagaimana pula jika ingin mengetahui perawan si teruna?” soalan Puteri pada Dang Anum yang sudah terjatuh rahang mulutnya.
“Anum?”
“Aaaa… nak tahu yang tersembunyi ke yang mudah dilihat dengan mata kasar?” soal Dang Anum yang banyak sekali teori kehidupannya.
“Mana-manalah. Senang Tia nak buat pulut kuning hantar kat masjid gak,” balas Puteri selamba buatkan Dang Anum terkebil-kebil mencerna maksud Puteri itu.
“Pulut kuning?” soal Dang Anum.
“Yalah, nak bagitahu ahli masjid yang suami Tia masih teruna semasa penaklukan itu.”
“Hahahaha… sengal!!!!!!” tawa Dang Anum terburai.
“Kenapa pulak, betullah apa yang Tia lakukan itu?” berkerut dahi Puteri.
“Mana ada orang Bumi buat begitu Tia….aduhaiiii. Nak buat lawak pun agak-agaklah,” gelak Dang Anum manis bersisa.
“Tak kira nak buat juga. Cepat bagitahu teori Anum.”
“Okeylah, Puteri Sengal. Ikut teori mudah bentuk perut seorang teruna biasanya datar, jika dia sering melakukan hubungan seks bentuk perutnya akan berubah menjadi buncit. Dan yang paling senang nak lihat adalah bahagian punggung seorang teruna kelihatan berat dan berisi, sekiranya dia  sudah pernah melakukan hubungan seks akan membuat punggungnya tidak kelihatan atau setidaknya tidak berisi seperti saat masih teruna…. Ada faham?” senyum Dang Anum memberikan teorinya.
Puteri diam berfikir. Mindanya dibuka luas mengimbas Putera Nashrid nun jauh di Mendalin dalam diam. Perutnya kempis berketaq-ketaq lagi. Dipusing ke belakang melihat pinggul Putera Nashrid pula, ditenangnya lama pinggul Putera Nashrid tak berkelip.
“Sayang Tia skodeng Kasih ya?” balas Putera Nashrid tersenyum manis dari Mendalin.
“Opocot!!!” terkejut Puteri, terus dibekukan minda serapat-rapatnya. Pucat mukanya seketika.
“Haaa! Kenapa pulak ni?” soal Dang Anum pelik, tiba-tiba saja wajah Puteri berubah pucat.
“Baru lepas kena tangkap skodeng Putera Nashrid,” jawab Puteri polos buatkan Dang Anum jatuh tergolek tak tahan gelak. Termalu Puteri dengan apa yang terjadi.
“Yang pergi skodeng tu pasal apa? Memang sudah sahlah sekarang ni Putera Nashrid tu bukan teruna lagi. Apalah bengap sangat Tia ni?” gelak Dang Anum.
“Tia nak buat pulut kuning jugak,” muncung bibir Puteri ditertawakan Dang Anum.
“Tia lupakah yang seorang raja mempunyai gundik yang ramai? Putera Nashrid juga tidak terkecuali disediakan gundik yang ramai. Jelita lagi rupawan.”
“Gundik?” terkejut Puteri, bertambah pucat wajahnya.
“Tia, kenapa bengap sangat ni? Itukan memang sudah menjadi kebiasaan bagi golongan bangsawan di Kejora. Permaisuri pun ada jugak tau.”
“Tia ada gundik? Nak buat apa dengan gundik-gundik tu semua? Nak suruh tanam bunga. Eeeee sakit mata tengok lelaki lembut mengadun bunga. Lagi pun sebagai seorang yang berilmu semua ini bercanggah dengan nilai kasih sayang dan kepercayaan dalam sebuah rumah tangga,” geli-geleman Puteri.
“Tia… sudah lupa ke yang Tia itu puteri pari-pari bukan manusia di Bumi,” ucap Dang Anum menyedarkan Puteri akan usul asalnya.
“Pari-pari pun tetap makhluk penciptaNya yang lemah. Sedangkan haiwan di hutan sana pun mengerti erti kasih sayang dalam keluarga inikan pula pari-pari yang berilmu dengan kesaktian dan magiknya.” Puteri masih tak puas hati.
“Jadi ke nak buat pulut kuning?” sakat Dang Anum.
“Kek Velvet Chocolate,” balas Puteri bangun terus berlari ke Teratak Melur.
“Nak hantar Kek Velvet Chocolate ke masjid macam tak kena aje Tia,” balas Dang Anum mengaru kepalanya yang tak gatal.
“Bukan ke masjid, bawa balik ke Mendalin. Kek cawan bertulis ‘I hate U,’”geram Puteri bila mengingati kembali kisah gundik untuk golongan diraja di dunia Kejora sana. Kalau dari awal lagi sudah diketahui, mahu saja dia jual mahal dengan tidak mengizinkan penaklukan itu terjadi semalam.
White sudah bersedia di depan pintu Teratak Melur. Puteri melintasinya dengan satu jelingan mata yang tajam menuju masuk ke dalam teratak. White terkebil-kebil memandang sayu.
“Tia kenapa Anum?” soal White
“Meroyan bila tahu Putera Nashrid tidak teruna lagi,” sengih Dang Anum.
“Hahahaha… sengal betul Puteri Bulan Kejora ni. Memanglah Putera Nashrid itu Raja Mendalin yang mempunyai gundik yang rupawan. Namun percayalah, dia masih teruna sebelum penaklukan itu. Itu pun jadi kisah ke?” gelak sang kuda putih yang sakti.
“Haaa!” Dang Anum terkejut mendengarnya.
“Betul! Percayalah,” gelak sang kuda lagi.
“Bagaimana White tahu?” soal Dang Anum untuk mengumpul teori barunya.
“Bukankah Putera Nashrid gemar tidak berbaju. Puting susunya yang kemerah-merahan itu sudah membuktikan yang dia masih teruna. Nak skodeng pun tak tahu,” gelak sang kuda semakin kuat.
“Tapi Putera Nashrid ada ramai gundik yang rupawan di Istana Nong?” soal Dang Anum masih tak puas hati dengan teori yang diberikan White padanya itu.
“Gundik itu semua bukan melayan Putera Nashrid. Itu melayan Raja Nong dan Putera Sharid. Putera Nashrid dan Putera Tarid memang budiman sikit orangnya. Bukan sembarangan puteri yang boleh berdampingan dengan mereka berdua ni,” cerita White.
“Oooo… begitu ke. Kalau macam itu, Anum kena pujuk Tuan Puteri kat dalam itulah. Dah merajuk dengan teori Anum,” kesal Dang Anum.
“Yang bagitahu kat puteri sengal tentang benda remeh-temeh ni kenapa? Tak pasal-pasal kena pujuk. Tengok tu muncungnya, boleh kalah paruh bangau,” sakat White.
Puteri yang baru keluar semakin geram. Sudahlah dia sakit hati, diapikan pula oleh White dengan jolokan muncung mengalahkan paruh bangau. Lagi anginlah Puteri.
“Sudah tu, jom ke Mendalin.”
“Tia tidak berniqub?” soal White pelik.
“Tiada apa yang perlu disorokkan lagi. Tia sudah ditakluki dengan penuh berhemah. Akhirnya Tia akan menghabiskan masa di Kejora juga. Baik Tia muncul sebagai Puteri Bulan Kejora yang mereka mahukan. Tengok siapa lebih cantik, sama ada Tia atau gundik-gundik rupawan di Istana Mendalin itu?” cemburu Puteri berapi.
White diam. Dang Anum menelan air liur tawar. Habislah Mendalin. Puteri tak pernah marah tapi sekiranya dia marah, memang lunyai barang disekelilingnya dihempas sekuat hati. Itu memang tabiat Puteri melepaskan marahnya. Seorang saja yang mampu menguruskan kemarahannya yang memuncak setakat ini, Tun Mahmud. Sepantas kilat Dang Anum menghantar pesanan minda pada Tun Mahmud jauh di hujung dunia sana, meminta bantuan segera ke Mendalin.  
“Abang pulang ke Mendalin segera. Tia mengamuk.”
“Mengamuk? Baik.”
Tun Mahmud sepantas kilat bersiap untuk pulang ke Mendalin seketika. Puteri perlu ditenangkan walau bagaimanapun caranya. Dunia Kejora belum pernah menyaksikan lagi gelagat seorang puteri jelita membuat amukan sengal tak terampun. 

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 15

Puteri hadir seperti yang dijanjikan. Azimil sudah berada di dapur melayan secawan kopi yang masih berasap. Puteri cukup tak selesa memandang wajah Azimil yang membeku kaku. Tak ada serinya langsung.
“Selamat pagi,” sapa Puteri mesra.
“Mmm… selamat pagi. Awak lewat Cik Tia,” ucap Azimil memandang tepat pada Puteri.
Puteri melihat pada jarum jam yang tergantung di dinding. Baru pukul sebelas tiga puluh satu pun dikatakan lambat. Mengaru kepala Puteri melayan karenah Azimil yang baginya sombong tak bertempat.
“Maaf. Saya tak jumpa kunci di luar tadi,” luah Puteri membela diri. Memang betul pun, dia menggagau mencari kunci hampir sepuluh minit. Rupanya gugusan kunci itu ditukar kedudukannya di tingkat bawah sekali.
“Oooo,” itu balas Azimil.
“Boleh saya mulakan upacara memasak ini Tengku?” soal Puteri yang begitu mengejar masa.
“Awak tahu?” soal Azimil.
“Yakin dan percaya pada saya, Tengku,” ucap Puteri yang masih lagi ragu-ragu dengan apa yang akan dilakukan ini. Pagi tadi sempat dia bersoal jawab dengan Abang Goggle bagi mengetahui cara-cara mudah untuk menyediakan menu daging salai masak lemak cili api dan beberapa menu yang diminta oleh Azimil semalam.
Azimil yang duduk di bangku memerhati gaya pantas Puteri menyediakan semua bahan tanpa rasa kekok. Tak sampai sejam setengah hidangan sudah terhidang kemas di atas meja sedia untuk dirasa.
“Cepat, pantas dan tertib,” komen Azimil selamba.
“Terima kasih.” 
“Jangan cukup yakin, rasa belum tahu lagi ni,” pedas sindiran Azimil.
Puteri tak sabar menunggu komen daripada Azimil tentang rasa masakan yang disediakan ini. Jika Azimil suka, Puteri nak lompat bintang meraikan kejayaan pertama memasaknya tanpa ada benda yang terbakar dan meletop.
“Emmmm… lemak cukup,…pedas cukup sesuai,…masin pun cukup. Cuma…” Azimil berhenti di situ.
“Cuma apa Tengku?” cuak Puteri mendengar kata cuma dari Azimil.
“Cuma nasi tak cukup untuk saya makan lebih,” sengih Azimil seronok mengenakan Puteri yang pucat lesi menunggu jawapannya. Comel sangat.
  Lega sungguh Puteri bila Azimil berselera dengan juadah yang dihidangkannya. Usai makan dan berkemas dapur. Puteri mohon diri untuk beransur pulang. Azimil menghalang dengan mempelawa Puteri untuk menghabiskan secawan kopi dulu bersamanya. Atas dasar hormat Puteri setuju.
“Sudah lama Puteri uruskan Teratak Melur tu?” soal Azimil ramah.
“Itu perniagaan keluarga. Saya cuma membantu Atuk yang sudah uzur. Adalah dalam tiga empat tahun kebelakangan ini. Saya nak Atuk rehat dan tumpukan pada amal ibadatnya saja,” cerita Puteri.
“Berapa adik beradik?”
“Ada tiga. Saya yang bongsu. Abang dan kakak merantau kerja di luar negara. Biasalah sapa nak duduk di sini bila mendapat peluang pekerjaan yang lebih glamor di negara empat musim sana,” senyum Puteri bercerita.
“Ibu ayah masih ada lagi?”
“Hanya tinggal ibu. Ayah sudah meninggal,”
“Dah meninggal? Betul sudah meninggal?”soal Azimil tak percaya.
“Ya. Itulah yang diperkhabarkan pada saya, Tengku.”
“Sudah ada kekasih?” soal Azimil.
“Bukan kekasih. Sudah ada suami, Tengku,” jawab Puteri selamba. Memang benar pun dia sudah mempunyai suami. Baru sangat lagi. Kesan penaklukan masih merah di tubuhnya.
“Ohh! Tak nampak macam sudah berkahwin” ucap Azimil separuh terkejut.
“Jodoh itukan rahsia Yang Maha Esa, Tengku. Emmm… kalau tiada apa-apa saya mohon diri dulu. Ada beberapa tugas yang perlu saya selesaikan ni. Bunga-bunga pun belum disediakan untuk menghias kamar pengantin itu,” senyum Puteri sudah mendapat alasan untuk melepaskan diri dari duduk bersembang lama dengan Azimil.
“Hmmm, esok jam lapan Cik Tia sampai ke?” soal Azimil begitu berhati-hati.
“Pembantu saya seramai sepuluh orang akan tiba di sini jam lapan pagi esok. Saya terbang ke Mexico petang ni untuk menguruskan ladang tulip kami di sana ada sedikit masalah. Saya jamin, dua hari kamar pengantin ini akan indah seperti yang Tengku impikan.”
“Ooooo… bila Cik Tia pulang semula dari Mexico… mmm maksud saya ada semula di Teratak Melur?” soal Azimil penuh teruja ingin mengetahui.
“Bila segala urusan di sana selesai segera, Tengku,” senyum Puteri.
Puteri pulang menaiki motor scremblernya seperti biasa. Jalan pintas di denai sana menjadi pilihannya. Azimil memerhati dengan senyuman yang puas. Puteri seorang yang jujur dan polos dalam menilai sikap manusia. Tiada langsung syak wasangka dalam diri Puteri akan apa yang akan terjadi padanya sekiranya semua maklumat keluarga diceritakan kepada mereka yang asing dalam hidupnya. Lamunan Azimil hilang bila seorang lelaki berseragam celoreng menghampirinya.
“Tengku.”
“Kita berangkat sekarang,” arah Azimil.
Puteri tiba di Teratak Melur dengan selamat, walaupun dua tiga kali jatuh kerana gagal mengawal scremblernya yang melalui denai berlopak. Dia berjalan lemah duduk di buai mengadap air terjun. Pengalaman duduk berbual santai bersama Azimil buatkan hati Puteri terdetik untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Perasaan selamat dan dilindungi dengan penuh kasih dapat dirasai Puteri. Bagaikan mereka pernah berjumpa dan kenal rapat sebelum ini.
“Siapa sebenarnya Datuk Paduka Tengku Azimil ini? Imbasanku tidak mampu menembusi dirinya. Dia bukan calang manusia. Entah-entah dia juga keturunan pari-pari seperti aku tak? Lebih selesa tinggal di Bumi berbanding di Kejora. Apapun aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi.”
Monolog Puteri sendirian. Suasana malam di Bumi memang disukai Puteri. Nak pula dengan dendangan alunan okestra unggas malam. Kehidupan Puteri lebih bewarna-warni sejak kebelakangan ini. Pulang ke Sakura banyak merubah masa depan Puteri yang dulunya difokuskan pada Teratak Melur dan kerja amal di Bumi. Kini tugas dan tanggungjawab Puteri lebih besar lagi. Menyelamatkan kekandanya bagi kesejahteraan Sakura.  
“Beranikah aku melakukannya dengan bersandarkan kasih sayangku pada keluarga dan Sakura?”
Persoalan itu sudah mulai bermain jauh dibenak hati Puteri yang baru belajar menikmati kehidupan sebagai puteri di Sakura.


Friday, January 9, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 14

Puteri sampai ke Teratak Melur dengan hatinya yang geram bercampur malu dengan Putera Nashrid. Ratu Ayu sudah bersedia untuk mempersiapkannya bagi upacara pernikahan Puteri dengan Putera Nashrid. Keluarga terdekat Putera Nashrid seperti Raja Nong, Ratu Bayu, Putera Sharid dan Putera Tarid bersama Kiai Agong Kejora dan pengiring mereka sedang menunggu Puteri di dalam Teratak Melur.
Puteri dihias sebagaimana Puteri Bulan Kejora perlu dihiaskan untuk majlis ijabkabul ini. Dalam redupan cahaya bulan yang penuh, Puteri selamat bergelar Permaisuri Mendalin. Putera Nashrid memandang Puteri dengan ekor mata bagi menikmati keindahan wajah Puteri tanpa niqub buat pertama kalinya. Terpegun seketika. 
"Betul ke keputusan Tia ni Anum?" soal Puteri berbisik.
"Salah satu yang terbaik pernah saya lihat, Tia," jawab Dang Anum kelat. Tak difikirkan langsung yang Puteri akan bernikah sebegini cepat. Ditambah pula dengan majlis yang cukup ringkas. Sedih bertandang di benak Dang Anum, mengenangkan Puteri yang tidak dilayan seperti puteri bongsu yang dijulang dengan penuh kasih sayang di negaranya sendiri. 
"Boleh ke Tia bahagia seperti Anum dan Mahmud?" soalan Puteri yang polos buatkan Dang Anum menarik kerusi dan duduk dihadapannya.
"Tia, sebuah perkahwinan yang suci mampu bahagia sekiranya mereka berdua berusaha untuk membahagiakannya sepanjang masa. Cinta, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan menjadi tiang seri pada tanggungjawab mereka agar kebahagian bersama dapat dikecapi."
"Tapi Tia tak pernah bercinta pun dengan Tuanku Putera."
"Belajarlah mencintainya, Tia. Baginda Ummi Aisyah pun tak pernah bercinta dengan baginda Rasulullah sebelum mereka diijabkabulkan. Rasa itu dipupuk setelah mereka berumahtangga. Mereka bahagia sampai akhir hayat mereka dalam cara mereka sendiri," nasihat Dang Anum lagi.
Setelah Kiai Agong selesai berdoa. Putera Nashrid sudah bangun dan berpaling memandang Puteri. Debaran Puteri semakin kencang bila semuanya selesai. Nak pulak bila ditenung oleh Putera Nashrid dengan pandangan matanya yang tajam. Belum pernah dirasai seperti ini. Puteri tunduk menyepi.  
Putera Nashrid bertemu dengan Raden Indra, Putera Nong dan Putera Sharid  untuk mengucapkan terima kasih seterusnya berbincang perihal Putera Khalif dan Puteri Sofia. Dalam tidak mereka sedari, Puteri telah menyelinap keluar untuk terjun ke dalam air terjun. Dia tak mampu lagi menahan debaran di hati yang semakin meruncing. Menyelam dan berendam sambil diurut oleh anak-anak ikan kecil adalah tindakan yang mampu melegakannya. Mengasyikkan sungguh.
Splashhhh!
Dengan pakaian yang tersarung indah, Puteri terapung bebas di dalam air. Ikan-ikan kecil mengerumuninya dan membelai setiap inchi tubuhnya. Sehelai demi sehelai pakaiannya dibuka oleh ribuan ikan kecil hingga tertinggal sehelai gaun sutera yang lembut. Puteri lena diulit manja oleh ikan-ikan kecil itu. Perlahan-lahan hilang rasa gemuruh dan berdebarnya. Ketenangan mulai dirasai. Bunyi air melenakan Puteri.
"Penaklukan itu wajib sebagai suami tanda kasih dan bertanggungjawabnya pada si isteri yang akan meninggalkannya dengan penuh kerinduan," bisikan bahasa minda Putera Nashrid lembut menembusi telinga Puteri.
Terbuntang mata Puteri bila mendapati tubuhnya sedang dipeluk dan dibelai mesra oleh Putera Nashrid. Hati dirasakan bagai mahu tercabut satu persatu denyutnya akibat lelah dengan godaan Putera Nashrid yang lembut membelai sehingga dia tak sedar. Anak-anak ikan yang tadinya mengelilingi Puteri kini telah lari menyembunyikan diri dan membiarkan Puteri bersama Putera Nashrid tanpa diganggu.
“Bukankah penaklukan itu dilakukan dengan penuh kerelaan dan cinta yang tidak terperi?” balas Puteri gementar.
“Adinda Puteri takut kanda mengkasari adinda?” soal Putera Nashrid lembut.
Kelu minda Puteri untuk membalas bila mendengar suara Putera Nashrid yang begitu lembut merayunya.
“Saya bertanya pada hati. Adakah ini cinta? Namun hingga kini hati belum memberi kepastiannya lagi. Boleh tak kita KIV hal penaklukan itu?” soal Puteri.
“Bukankah setiap deria dan saraf adinda sudah menyerah kalah dan merelakan dibelai dan dicintai oleh seorang putera budiman?” sengih Putera Nashrid tak mahu mengalah menggoda Puteri kesayangan.
“Bahasa di Bumi mengelarkannya sebagai ‘nerves breakdown’ ianya satu penyakit kurang yakin dengan keputusan yang telah dibuat,” ucap Puteri yang masih mengigil dalam pelukan Putera Nashrid.
“Adinda Puteri kurang yakin dengan kanda?” soal Putera Nashrid lagi.
“Ehh! Bukan macam tu. Saya yakin dengan Tuanku Putera, saya cuma kurang yakin dengan diri saya sendiri. Mampukah saya menjadi isteri kepada seorang putera yang budiman. Puteri hingusan ini sangat pelik dan jelik di kalangan bangsawan Kejora.”
“Bukan Tuanku Putera,  wahai adinda puteriku sayang, Kanda! Kanda tetap mahukan adinda puteri hingusan ini menjadi Permaisuri kanda. Puteri hingusan ini mempunyai hati yang bersih dan sanggup berkorban demi negara dan keluarganya. Bak kata orang Bumi ‘I fall in love with you, sweetheart. Never imagine that one day I will meet my soulmate here, in Teratak Melur,’’ucap Putera Nashrid penuh santun.
“Saya belum cukup layak untuk Tuanku Putera. Salah satu bahasa orang Bumi yang saya suka,” balas Puteri dalam Bahasa Jepun yang disukainya.
“Walau apapun terjadi adinda tetap milik kanda selamanya. Ini pula bahasa Bumi yang kanda minati,” ucap Putera Nashrid penuh yakin dalam Bahasa Itali.
‘Eeeee dia suka Bahasa Itali? Patutlah aura menggodanya boleh membunuh keayuanku. Tahu saja alahanku terhadap Bahasa Itali yang lemah gemalai ni. Seksi sungguh bila lelaki bertutur dalam bahasa ini dengan penuh sopan. Aku terkam juga Putera Nashrid ni kang,’ucap Puteri dalam mindanya.
“Seronok menjadi milik adinda. Kanda sudah lama bersedia sejak di Lautan Kasih lagi. Kalau adinda puteri yang nak terkam kanda, tersangatlah dialukan,” usik Putera Nashrid dalam Bahasa Itali sambil mengeratkan pelukannya.
‘Allah, terlupa membeku minda. Masyarakat Kejora ini memang tak boleh lepa langsung. Suka sangat menceroboh minda. Tak ada kebebasan sungguh. Erkk…’terdiam Puteri membebel dimindanya bila bibirnya dikucup mesra.
Anak-anak ikan terus menikus di belakang batu. Menutup mata dari menyaksikan penaklukan halal suami ke atas isterinya dengan penuh santun dan kerelaan. Bulan penuh bertambah seri bila Kejora bergemerlapan indah nun jauh di sana. Tiada lagi gentar. Tiada lagi debaran. Yang tinggal adalah kemanisan yang terindah.
“Terima kasih dinda. Kanda berat lepaskan dinda namun janji tetap kanda tunaikan dengan harapan pulanglah ke Lautan Kasih setiap purnama. Kanda akan menunggu dinda di sana. Sempurnakanlah tugas dinda pada keluarga dan Sakura hingga selesai. Namun jangan sesekali melupai kanda,” pesan Putera Nashrid.
“Tuanku Putera.”
“Kanda!... dinda.”
“Saya tak selesa dengan panggilan itu. Boleh kita ubah mengikut bahasa Bumi yang lebih mudah dan bebas,” pinta Puteri ragu.
“Sebagai contohnya?”
“Abang-saya atau awak-saya atau sayang-kasih atau…,”cadang Puteri.
“Kanda suka dengan panggilan sayang untuk dinda dan kasih untuk kanda,” pintas Putera Nashrid.
“Emmm.. sedap. Tak tergeliat lidah nak panggil. Baiklah Kasih, Tia sebenarnya malu ni,” balas Puteri yang selesa membahasakan dirinya dengan panggilan Tia membuatkan Putera Nashrid menarik pinggangnya rapat-rapat. Glurpp.
“Ya, Sayang. Malukan Kasih?” senyum Putera Nashrid.
“Naik ke tebing dululah. Penat lama-lama dalam air ni,”
Putera Nashrid memeluk Puteri naik ke tebing dengan mudah. Puteri masih tidak dilepaskan. Kalau diikutkan hati yang bergelora ingin saja dibawa Puteri ke Lautan Kasih saja. Di kurung di Istana Nashrid sampai bila-bila.
Puteri melentukkan kepalanya yang beralas tangan di tebing sungai. Sementara Putera Nashrid masih memeluk dibelakangnya. Rasa penat ditakluki penuh sopan buatkan Puteri terlena di situ. Lewat subuh baru Puteri tersedar.
“Kasih!” panggil Puteri bila mendapati Putera Nashrid tiada di sisinya.
Bingkas bangun Puteri berlari pulang ke Teratak Melur. Kehangatan penaklukan itu masih sedar di mindanya. Hatinya terdetik sedih bila tiada sepatah ucapan selamat tinggal pun diucapkan oleh Putera Nashrid sewaktu meninggalkannya sendirian.
“Lelaki semua sama. Tak kira di Kejora mahupun di Bumi. Suka sangat menguasai. Eeee… geram,” bebel Puteri sepanjang perjalanan pulang.
“Pagi, Tia,” sapa Raden Indra di tepi anjung rumah.
“Pagi, nenda.”
“Kenapa tak balik rumah semalam? Tia tahu tak, kalau tidur di air terjun tu, nanti Tia demam. Budak ni suka sangat menyiksa diri,” bebel Raden Indra.
“Tia suka di belai oleh anak-anak ikan tu, nenda,” jelas Puteri.
“Bukan dibelai oleh cucunda Nashrid?” usikan Raden Indra buatkan pipi Puteri merah macam baru lepas terbakar.
“Errr…” mati bahasa Puteri dibuatnya.
“Sudah tu pergi bersiap. Cucunda Nashrid di dapur sedang masakkan sarapan pagi untuk isteri tersayang. Tia ni, beruntung dapat suami yang pandai masak,” cerita Raden Indra.
“Haaah!”
Pantas Puteri berlari ke dapur. Ratu Ayu dan Ratu Bayu sedang duduk memerhati Putera Nashrid yang sedang mengoreng nasi dengan penuh gayanya. Tak dapat dibayangkan seorang putera budiman yang memerintah sebuah negara di Kejora tahu memasak. Lebih mengharukan lagi beliau memasak untuk isterinya yang terlena di tebing sungai. Sungguh kurang sopan isterinya itu!
“Pagi semua,” teragak-agak Puteri menyapa.
“Ohh! Selamat pagi sayang,” ucap Ratu Bayu memeluk dan mencium pipi Puteri dengan penuh kasih sayang.
“Tia pergi mandi. Air liur basi dan tahi mata penuh kat muka. Lepas ini kita bersiap untuk pulang ke Mendalin,” ucap Ratu Ayu.
“Maaf, bonda. Tia ada tugas yang perlu disempurnakan terlebih dahulu. Janji yang perlu ditunaikan. Tia akan menyusul sebaik saja janji itu selesai,” ucap Puteri.
Putera Nashrid yang diam mendengar, berpaling memandang pada Puteri dengan ekor matanya. Puteri tertunduk malu. Memang dia cukup malu dan segan dengan Putera Nashrid kini. Tak tahulah kenapa, setiap kali memandangnya, Puteri rasa berdebar sangat. Manusia di Bumi kalau diserang rasa begini, memang sah ke Institut Jantung Negara buat pemeriksaan jantung. Tapi Puteri pula masih di sini.
“Janji apa Sayangku, Tia?” soal Putera Nashrid mendatar tiada perasaan.
“Tia telah melanggar salah satu kontrak perjanjian dengan seorang tokoh terhormat di sini. Sebagai balasan untuk menebus perjanjian itu, Tia dikehendaki masak untuknya,” cerita Puteri polos. 
“Memasak? Sayang Tia tahu memasak?” teruja Putera Nashrid. Memang dia inginkan permaisuri yang pandai memasak untuknya. Belum ada seorang puteri pun di Keroja yang sanggup masuk ke dapur untuk memasak. Jika Puteri pandai memasak, bahagialah Putera Nashrid.
“Tak,” geleng Puteri.
“Haaa!” terkejut Putera Nashrid tak percaya.
“Tia akan pandai sekejap lagi. Yang penting Tia berusaha dengan ikhlas dan tepati janji yang telah Tia persetujui,” ucap Puteri ringkas.
Mengeluh Putera Nashrid dengan sikap Puteri yang bersahaja. Suka memasukkan diri dalam masalah. Bukankah mudah untuk tidak berjanji pada suatu yang diri sendiri tak ketahui.
Puteri ke kamar beradunya untuk bersiap. Menatap tubuhnya di cermin, buatkan pipinya merah menahan malu. Kesan penaklukan masih segar. Berpusing-pusing Puteri di hadapan cermin menilik tubuhnya dalam kamar. Mengira satu persatu macam budak kecil. Kemudian tersenyum malu.
“Kenapa Sayang?” serbu Putera Nashrid dengan senyuman nakal.
“Errrr…ingin menutup tanda kasih,” tertunduk Puteri menjawab.
“Bukan mengira berapa banyak tanda kasih itu? Tak cukup mari sini, Kasih tambahkan sikit lagi,” ucap Putera Nashrid mengusik.
“Oooo tak apa. Ini sudah lebih dari cukup. Tia malu.”
“Sayang Tia. Kasih ingin bergerak pulang ke Mendalin. Banyak persiapan yang perlu Kasih sediakan menyambut Permaisuri di sana. Upacara pertunangan Mendalin agak memenatkan. Harap Sayang bersedia. Jangan penat sangat macam semalam. Kasih belum puas, Sayang sudah terlentuk,” ucap Putera Nashrid.
Zooppp. Hilang terus Puteri dari pandangan mata Putera Nashrid. Dia meninggalkan Putera Nashrid dengan gelak yang cukup kuat. Lucu sangat dirasakannya. Puteri yang sangat pemalu, di mana dia disentuh di situ dia tunduk. 
“Kanda akan merinduimu selalu, Sayang. Kanda mahu memelukmu erat. Muncullah, Sayang. Kanda ingin mengucapkan selamat tinggal buat Sayang,” pinta Putera Nashrid lembut dalam Bahasa Itali merayu Puteri. 

Putera Nashrid tersenyum bila merasa pipinya sudah dikucup namun kelibat Puteri tidak kelihatan. Nakal gelagat Puteri di mata Putera Nashrid tak terperi lucunya. Geram semakin memuncak untuk memeluk dan memikul Puteri pulang terus ke Lautan Kasih.