Sunday, January 18, 2015

Minggu 5 - Berani Kerana Kasih Bab 15

Puteri hadir seperti yang dijanjikan. Azimil sudah berada di dapur melayan secawan kopi yang masih berasap. Puteri cukup tak selesa memandang wajah Azimil yang membeku kaku. Tak ada serinya langsung.
“Selamat pagi,” sapa Puteri mesra.
“Mmm… selamat pagi. Awak lewat Cik Tia,” ucap Azimil memandang tepat pada Puteri.
Puteri melihat pada jarum jam yang tergantung di dinding. Baru pukul sebelas tiga puluh satu pun dikatakan lambat. Mengaru kepala Puteri melayan karenah Azimil yang baginya sombong tak bertempat.
“Maaf. Saya tak jumpa kunci di luar tadi,” luah Puteri membela diri. Memang betul pun, dia menggagau mencari kunci hampir sepuluh minit. Rupanya gugusan kunci itu ditukar kedudukannya di tingkat bawah sekali.
“Oooo,” itu balas Azimil.
“Boleh saya mulakan upacara memasak ini Tengku?” soal Puteri yang begitu mengejar masa.
“Awak tahu?” soal Azimil.
“Yakin dan percaya pada saya, Tengku,” ucap Puteri yang masih lagi ragu-ragu dengan apa yang akan dilakukan ini. Pagi tadi sempat dia bersoal jawab dengan Abang Goggle bagi mengetahui cara-cara mudah untuk menyediakan menu daging salai masak lemak cili api dan beberapa menu yang diminta oleh Azimil semalam.
Azimil yang duduk di bangku memerhati gaya pantas Puteri menyediakan semua bahan tanpa rasa kekok. Tak sampai sejam setengah hidangan sudah terhidang kemas di atas meja sedia untuk dirasa.
“Cepat, pantas dan tertib,” komen Azimil selamba.
“Terima kasih.” 
“Jangan cukup yakin, rasa belum tahu lagi ni,” pedas sindiran Azimil.
Puteri tak sabar menunggu komen daripada Azimil tentang rasa masakan yang disediakan ini. Jika Azimil suka, Puteri nak lompat bintang meraikan kejayaan pertama memasaknya tanpa ada benda yang terbakar dan meletop.
“Emmmm… lemak cukup,…pedas cukup sesuai,…masin pun cukup. Cuma…” Azimil berhenti di situ.
“Cuma apa Tengku?” cuak Puteri mendengar kata cuma dari Azimil.
“Cuma nasi tak cukup untuk saya makan lebih,” sengih Azimil seronok mengenakan Puteri yang pucat lesi menunggu jawapannya. Comel sangat.
  Lega sungguh Puteri bila Azimil berselera dengan juadah yang dihidangkannya. Usai makan dan berkemas dapur. Puteri mohon diri untuk beransur pulang. Azimil menghalang dengan mempelawa Puteri untuk menghabiskan secawan kopi dulu bersamanya. Atas dasar hormat Puteri setuju.
“Sudah lama Puteri uruskan Teratak Melur tu?” soal Azimil ramah.
“Itu perniagaan keluarga. Saya cuma membantu Atuk yang sudah uzur. Adalah dalam tiga empat tahun kebelakangan ini. Saya nak Atuk rehat dan tumpukan pada amal ibadatnya saja,” cerita Puteri.
“Berapa adik beradik?”
“Ada tiga. Saya yang bongsu. Abang dan kakak merantau kerja di luar negara. Biasalah sapa nak duduk di sini bila mendapat peluang pekerjaan yang lebih glamor di negara empat musim sana,” senyum Puteri bercerita.
“Ibu ayah masih ada lagi?”
“Hanya tinggal ibu. Ayah sudah meninggal,”
“Dah meninggal? Betul sudah meninggal?”soal Azimil tak percaya.
“Ya. Itulah yang diperkhabarkan pada saya, Tengku.”
“Sudah ada kekasih?” soal Azimil.
“Bukan kekasih. Sudah ada suami, Tengku,” jawab Puteri selamba. Memang benar pun dia sudah mempunyai suami. Baru sangat lagi. Kesan penaklukan masih merah di tubuhnya.
“Ohh! Tak nampak macam sudah berkahwin” ucap Azimil separuh terkejut.
“Jodoh itukan rahsia Yang Maha Esa, Tengku. Emmm… kalau tiada apa-apa saya mohon diri dulu. Ada beberapa tugas yang perlu saya selesaikan ni. Bunga-bunga pun belum disediakan untuk menghias kamar pengantin itu,” senyum Puteri sudah mendapat alasan untuk melepaskan diri dari duduk bersembang lama dengan Azimil.
“Hmmm, esok jam lapan Cik Tia sampai ke?” soal Azimil begitu berhati-hati.
“Pembantu saya seramai sepuluh orang akan tiba di sini jam lapan pagi esok. Saya terbang ke Mexico petang ni untuk menguruskan ladang tulip kami di sana ada sedikit masalah. Saya jamin, dua hari kamar pengantin ini akan indah seperti yang Tengku impikan.”
“Ooooo… bila Cik Tia pulang semula dari Mexico… mmm maksud saya ada semula di Teratak Melur?” soal Azimil penuh teruja ingin mengetahui.
“Bila segala urusan di sana selesai segera, Tengku,” senyum Puteri.
Puteri pulang menaiki motor scremblernya seperti biasa. Jalan pintas di denai sana menjadi pilihannya. Azimil memerhati dengan senyuman yang puas. Puteri seorang yang jujur dan polos dalam menilai sikap manusia. Tiada langsung syak wasangka dalam diri Puteri akan apa yang akan terjadi padanya sekiranya semua maklumat keluarga diceritakan kepada mereka yang asing dalam hidupnya. Lamunan Azimil hilang bila seorang lelaki berseragam celoreng menghampirinya.
“Tengku.”
“Kita berangkat sekarang,” arah Azimil.
Puteri tiba di Teratak Melur dengan selamat, walaupun dua tiga kali jatuh kerana gagal mengawal scremblernya yang melalui denai berlopak. Dia berjalan lemah duduk di buai mengadap air terjun. Pengalaman duduk berbual santai bersama Azimil buatkan hati Puteri terdetik untuk mengenali lelaki itu dengan lebih dekat lagi. Perasaan selamat dan dilindungi dengan penuh kasih dapat dirasai Puteri. Bagaikan mereka pernah berjumpa dan kenal rapat sebelum ini.
“Siapa sebenarnya Datuk Paduka Tengku Azimil ini? Imbasanku tidak mampu menembusi dirinya. Dia bukan calang manusia. Entah-entah dia juga keturunan pari-pari seperti aku tak? Lebih selesa tinggal di Bumi berbanding di Kejora. Apapun aku ingin mengenalinya dengan lebih dekat lagi.”
Monolog Puteri sendirian. Suasana malam di Bumi memang disukai Puteri. Nak pula dengan dendangan alunan okestra unggas malam. Kehidupan Puteri lebih bewarna-warni sejak kebelakangan ini. Pulang ke Sakura banyak merubah masa depan Puteri yang dulunya difokuskan pada Teratak Melur dan kerja amal di Bumi. Kini tugas dan tanggungjawab Puteri lebih besar lagi. Menyelamatkan kekandanya bagi kesejahteraan Sakura.  
“Beranikah aku melakukannya dengan bersandarkan kasih sayangku pada keluarga dan Sakura?”
Persoalan itu sudah mulai bermain jauh dibenak hati Puteri yang baru belajar menikmati kehidupan sebagai puteri di Sakura.


Friday, January 9, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 14

Puteri sampai ke Teratak Melur dengan hatinya yang geram bercampur malu dengan Putera Nashrid. Ratu Ayu sudah bersedia untuk mempersiapkannya bagi upacara pernikahan Puteri dengan Putera Nashrid. Keluarga terdekat Putera Nashrid seperti Raja Nong, Ratu Bayu, Putera Sharid dan Putera Tarid bersama Kiai Agong Kejora dan pengiring mereka sedang menunggu Puteri di dalam Teratak Melur.
Puteri dihias sebagaimana Puteri Bulan Kejora perlu dihiaskan untuk majlis ijabkabul ini. Dalam redupan cahaya bulan yang penuh, Puteri selamat bergelar Permaisuri Mendalin. Putera Nashrid memandang Puteri dengan ekor mata bagi menikmati keindahan wajah Puteri tanpa niqub buat pertama kalinya. Terpegun seketika. 
"Betul ke keputusan Tia ni Anum?" soal Puteri berbisik.
"Salah satu yang terbaik pernah saya lihat, Tia," jawab Dang Anum kelat. Tak difikirkan langsung yang Puteri akan bernikah sebegini cepat. Ditambah pula dengan majlis yang cukup ringkas. Sedih bertandang di benak Dang Anum, mengenangkan Puteri yang tidak dilayan seperti puteri bongsu yang dijulang dengan penuh kasih sayang di negaranya sendiri. 
"Boleh ke Tia bahagia seperti Anum dan Mahmud?" soalan Puteri yang polos buatkan Dang Anum menarik kerusi dan duduk dihadapannya.
"Tia, sebuah perkahwinan yang suci mampu bahagia sekiranya mereka berdua berusaha untuk membahagiakannya sepanjang masa. Cinta, kasih sayang, kejujuran dan keikhlasan menjadi tiang seri pada tanggungjawab mereka agar kebahagian bersama dapat dikecapi."
"Tapi Tia tak pernah bercinta pun dengan Tuanku Putera."
"Belajarlah mencintainya, Tia. Baginda Ummi Aisyah pun tak pernah bercinta dengan baginda Rasulullah sebelum mereka diijabkabulkan. Rasa itu dipupuk setelah mereka berumahtangga. Mereka bahagia sampai akhir hayat mereka dalam cara mereka sendiri," nasihat Dang Anum lagi.
Setelah Kiai Agong selesai berdoa. Putera Nashrid sudah bangun dan berpaling memandang Puteri. Debaran Puteri semakin kencang bila semuanya selesai. Nak pulak bila ditenung oleh Putera Nashrid dengan pandangan matanya yang tajam. Belum pernah dirasai seperti ini. Puteri tunduk menyepi.  
Putera Nashrid bertemu dengan Raden Indra, Putera Nong dan Putera Sharid  untuk mengucapkan terima kasih seterusnya berbincang perihal Putera Khalif dan Puteri Sofia. Dalam tidak mereka sedari, Puteri telah menyelinap keluar untuk terjun ke dalam air terjun. Dia tak mampu lagi menahan debaran di hati yang semakin meruncing. Menyelam dan berendam sambil diurut oleh anak-anak ikan kecil adalah tindakan yang mampu melegakannya. Mengasyikkan sungguh.
Splashhhh!
Dengan pakaian yang tersarung indah, Puteri terapung bebas di dalam air. Ikan-ikan kecil mengerumuninya dan membelai setiap inchi tubuhnya. Sehelai demi sehelai pakaiannya dibuka oleh ribuan ikan kecil hingga tertinggal sehelai gaun sutera yang lembut. Puteri lena diulit manja oleh ikan-ikan kecil itu. Perlahan-lahan hilang rasa gemuruh dan berdebarnya. Ketenangan mulai dirasai. Bunyi air melenakan Puteri.
"Penaklukan itu wajib sebagai suami tanda kasih dan bertanggungjawabnya pada si isteri yang akan meninggalkannya dengan penuh kerinduan," bisikan bahasa minda Putera Nashrid lembut menembusi telinga Puteri.
Terbuntang mata Puteri bila mendapati tubuhnya sedang dipeluk dan dibelai mesra oleh Putera Nashrid. Hati dirasakan bagai mahu tercabut satu persatu denyutnya akibat lelah dengan godaan Putera Nashrid yang lembut membelai sehingga dia tak sedar. Anak-anak ikan yang tadinya mengelilingi Puteri kini telah lari menyembunyikan diri dan membiarkan Puteri bersama Putera Nashrid tanpa diganggu.
“Bukankah penaklukan itu dilakukan dengan penuh kerelaan dan cinta yang tidak terperi?” balas Puteri gementar.
“Adinda Puteri takut kanda mengkasari adinda?” soal Putera Nashrid lembut.
Kelu minda Puteri untuk membalas bila mendengar suara Putera Nashrid yang begitu lembut merayunya.
“Saya bertanya pada hati. Adakah ini cinta? Namun hingga kini hati belum memberi kepastiannya lagi. Boleh tak kita KIV hal penaklukan itu?” soal Puteri.
“Bukankah setiap deria dan saraf adinda sudah menyerah kalah dan merelakan dibelai dan dicintai oleh seorang putera budiman?” sengih Putera Nashrid tak mahu mengalah menggoda Puteri kesayangan.
“Bahasa di Bumi mengelarkannya sebagai ‘nerves breakdown’ ianya satu penyakit kurang yakin dengan keputusan yang telah dibuat,” ucap Puteri yang masih mengigil dalam pelukan Putera Nashrid.
“Adinda Puteri kurang yakin dengan kanda?” soal Putera Nashrid lagi.
“Ehh! Bukan macam tu. Saya yakin dengan Tuanku Putera, saya cuma kurang yakin dengan diri saya sendiri. Mampukah saya menjadi isteri kepada seorang putera yang budiman. Puteri hingusan ini sangat pelik dan jelik di kalangan bangsawan Kejora.”
“Bukan Tuanku Putera,  wahai adinda puteriku sayang, Kanda! Kanda tetap mahukan adinda puteri hingusan ini menjadi Permaisuri kanda. Puteri hingusan ini mempunyai hati yang bersih dan sanggup berkorban demi negara dan keluarganya. Bak kata orang Bumi ‘I fall in love with you, sweetheart. Never imagine that one day I will meet my soulmate here, in Teratak Melur,’’ucap Putera Nashrid penuh santun.
“Saya belum cukup layak untuk Tuanku Putera. Salah satu bahasa orang Bumi yang saya suka,” balas Puteri dalam Bahasa Jepun yang disukainya.
“Walau apapun terjadi adinda tetap milik kanda selamanya. Ini pula bahasa Bumi yang kanda minati,” ucap Putera Nashrid penuh yakin dalam Bahasa Itali.
‘Eeeee dia suka Bahasa Itali? Patutlah aura menggodanya boleh membunuh keayuanku. Tahu saja alahanku terhadap Bahasa Itali yang lemah gemalai ni. Seksi sungguh bila lelaki bertutur dalam bahasa ini dengan penuh sopan. Aku terkam juga Putera Nashrid ni kang,’ucap Puteri dalam mindanya.
“Seronok menjadi milik adinda. Kanda sudah lama bersedia sejak di Lautan Kasih lagi. Kalau adinda puteri yang nak terkam kanda, tersangatlah dialukan,” usik Putera Nashrid dalam Bahasa Itali sambil mengeratkan pelukannya.
‘Allah, terlupa membeku minda. Masyarakat Kejora ini memang tak boleh lepa langsung. Suka sangat menceroboh minda. Tak ada kebebasan sungguh. Erkk…’terdiam Puteri membebel dimindanya bila bibirnya dikucup mesra.
Anak-anak ikan terus menikus di belakang batu. Menutup mata dari menyaksikan penaklukan halal suami ke atas isterinya dengan penuh santun dan kerelaan. Bulan penuh bertambah seri bila Kejora bergemerlapan indah nun jauh di sana. Tiada lagi gentar. Tiada lagi debaran. Yang tinggal adalah kemanisan yang terindah.
“Terima kasih dinda. Kanda berat lepaskan dinda namun janji tetap kanda tunaikan dengan harapan pulanglah ke Lautan Kasih setiap purnama. Kanda akan menunggu dinda di sana. Sempurnakanlah tugas dinda pada keluarga dan Sakura hingga selesai. Namun jangan sesekali melupai kanda,” pesan Putera Nashrid.
“Tuanku Putera.”
“Kanda!... dinda.”
“Saya tak selesa dengan panggilan itu. Boleh kita ubah mengikut bahasa Bumi yang lebih mudah dan bebas,” pinta Puteri ragu.
“Sebagai contohnya?”
“Abang-saya atau awak-saya atau sayang-kasih atau…,”cadang Puteri.
“Kanda suka dengan panggilan sayang untuk dinda dan kasih untuk kanda,” pintas Putera Nashrid.
“Emmm.. sedap. Tak tergeliat lidah nak panggil. Baiklah Kasih, Tia sebenarnya malu ni,” balas Puteri yang selesa membahasakan dirinya dengan panggilan Tia membuatkan Putera Nashrid menarik pinggangnya rapat-rapat. Glurpp.
“Ya, Sayang. Malukan Kasih?” senyum Putera Nashrid.
“Naik ke tebing dululah. Penat lama-lama dalam air ni,”
Putera Nashrid memeluk Puteri naik ke tebing dengan mudah. Puteri masih tidak dilepaskan. Kalau diikutkan hati yang bergelora ingin saja dibawa Puteri ke Lautan Kasih saja. Di kurung di Istana Nashrid sampai bila-bila.
Puteri melentukkan kepalanya yang beralas tangan di tebing sungai. Sementara Putera Nashrid masih memeluk dibelakangnya. Rasa penat ditakluki penuh sopan buatkan Puteri terlena di situ. Lewat subuh baru Puteri tersedar.
“Kasih!” panggil Puteri bila mendapati Putera Nashrid tiada di sisinya.
Bingkas bangun Puteri berlari pulang ke Teratak Melur. Kehangatan penaklukan itu masih sedar di mindanya. Hatinya terdetik sedih bila tiada sepatah ucapan selamat tinggal pun diucapkan oleh Putera Nashrid sewaktu meninggalkannya sendirian.
“Lelaki semua sama. Tak kira di Kejora mahupun di Bumi. Suka sangat menguasai. Eeee… geram,” bebel Puteri sepanjang perjalanan pulang.
“Pagi, Tia,” sapa Raden Indra di tepi anjung rumah.
“Pagi, nenda.”
“Kenapa tak balik rumah semalam? Tia tahu tak, kalau tidur di air terjun tu, nanti Tia demam. Budak ni suka sangat menyiksa diri,” bebel Raden Indra.
“Tia suka di belai oleh anak-anak ikan tu, nenda,” jelas Puteri.
“Bukan dibelai oleh cucunda Nashrid?” usikan Raden Indra buatkan pipi Puteri merah macam baru lepas terbakar.
“Errr…” mati bahasa Puteri dibuatnya.
“Sudah tu pergi bersiap. Cucunda Nashrid di dapur sedang masakkan sarapan pagi untuk isteri tersayang. Tia ni, beruntung dapat suami yang pandai masak,” cerita Raden Indra.
“Haaah!”
Pantas Puteri berlari ke dapur. Ratu Ayu dan Ratu Bayu sedang duduk memerhati Putera Nashrid yang sedang mengoreng nasi dengan penuh gayanya. Tak dapat dibayangkan seorang putera budiman yang memerintah sebuah negara di Kejora tahu memasak. Lebih mengharukan lagi beliau memasak untuk isterinya yang terlena di tebing sungai. Sungguh kurang sopan isterinya itu!
“Pagi semua,” teragak-agak Puteri menyapa.
“Ohh! Selamat pagi sayang,” ucap Ratu Bayu memeluk dan mencium pipi Puteri dengan penuh kasih sayang.
“Tia pergi mandi. Air liur basi dan tahi mata penuh kat muka. Lepas ini kita bersiap untuk pulang ke Mendalin,” ucap Ratu Ayu.
“Maaf, bonda. Tia ada tugas yang perlu disempurnakan terlebih dahulu. Janji yang perlu ditunaikan. Tia akan menyusul sebaik saja janji itu selesai,” ucap Puteri.
Putera Nashrid yang diam mendengar, berpaling memandang pada Puteri dengan ekor matanya. Puteri tertunduk malu. Memang dia cukup malu dan segan dengan Putera Nashrid kini. Tak tahulah kenapa, setiap kali memandangnya, Puteri rasa berdebar sangat. Manusia di Bumi kalau diserang rasa begini, memang sah ke Institut Jantung Negara buat pemeriksaan jantung. Tapi Puteri pula masih di sini.
“Janji apa Sayangku, Tia?” soal Putera Nashrid mendatar tiada perasaan.
“Tia telah melanggar salah satu kontrak perjanjian dengan seorang tokoh terhormat di sini. Sebagai balasan untuk menebus perjanjian itu, Tia dikehendaki masak untuknya,” cerita Puteri polos. 
“Memasak? Sayang Tia tahu memasak?” teruja Putera Nashrid. Memang dia inginkan permaisuri yang pandai memasak untuknya. Belum ada seorang puteri pun di Keroja yang sanggup masuk ke dapur untuk memasak. Jika Puteri pandai memasak, bahagialah Putera Nashrid.
“Tak,” geleng Puteri.
“Haaa!” terkejut Putera Nashrid tak percaya.
“Tia akan pandai sekejap lagi. Yang penting Tia berusaha dengan ikhlas dan tepati janji yang telah Tia persetujui,” ucap Puteri ringkas.
Mengeluh Putera Nashrid dengan sikap Puteri yang bersahaja. Suka memasukkan diri dalam masalah. Bukankah mudah untuk tidak berjanji pada suatu yang diri sendiri tak ketahui.
Puteri ke kamar beradunya untuk bersiap. Menatap tubuhnya di cermin, buatkan pipinya merah menahan malu. Kesan penaklukan masih segar. Berpusing-pusing Puteri di hadapan cermin menilik tubuhnya dalam kamar. Mengira satu persatu macam budak kecil. Kemudian tersenyum malu.
“Kenapa Sayang?” serbu Putera Nashrid dengan senyuman nakal.
“Errrr…ingin menutup tanda kasih,” tertunduk Puteri menjawab.
“Bukan mengira berapa banyak tanda kasih itu? Tak cukup mari sini, Kasih tambahkan sikit lagi,” ucap Putera Nashrid mengusik.
“Oooo tak apa. Ini sudah lebih dari cukup. Tia malu.”
“Sayang Tia. Kasih ingin bergerak pulang ke Mendalin. Banyak persiapan yang perlu Kasih sediakan menyambut Permaisuri di sana. Upacara pertunangan Mendalin agak memenatkan. Harap Sayang bersedia. Jangan penat sangat macam semalam. Kasih belum puas, Sayang sudah terlentuk,” ucap Putera Nashrid.
Zooppp. Hilang terus Puteri dari pandangan mata Putera Nashrid. Dia meninggalkan Putera Nashrid dengan gelak yang cukup kuat. Lucu sangat dirasakannya. Puteri yang sangat pemalu, di mana dia disentuh di situ dia tunduk. 
“Kanda akan merinduimu selalu, Sayang. Kanda mahu memelukmu erat. Muncullah, Sayang. Kanda ingin mengucapkan selamat tinggal buat Sayang,” pinta Putera Nashrid lembut dalam Bahasa Itali merayu Puteri. 

Putera Nashrid tersenyum bila merasa pipinya sudah dikucup namun kelibat Puteri tidak kelihatan. Nakal gelagat Puteri di mata Putera Nashrid tak terperi lucunya. Geram semakin memuncak untuk memeluk dan memikul Puteri pulang terus ke Lautan Kasih.  

Thursday, January 8, 2015

Minggu 4 - Berani Kerana Kasih Bab 13

Di Kejora tanggungjawabnya berat, namun hidup penuh kesaktian memudahkan segalanya. Manakala di bumi hidup penuh tipu muslihat. Manusia menggunakan akal dan helah dalam kehidupan. Siapa yang rajin berusaha mempergunakan segala kudrat yang ada mampu ke depan. Sistem bata menjadi pemangkin kejayaan seorang manusia. Jika mahu berjaya mencapai apa yang diimpikan, manusia itu perlu berkorban.
Larian Puteri terhenti tiba-tiba bila sekujur tubuh hadir dihadapan matanya. Lintang pukang Puteri mencantas lima batang pokok mawar merah untuk menutup mulut dan hidungnya bagi menggantikan niqub. Putera Nashrid tersenyum nipis ala-ala orang beriman senyum. Lucu melihat telatah Puteri yang kalut.
“Kenapa Tuan Puteri?” soal Putera Nashrid.
“Terkejut bila melihat seorang raja yang budiman muncul tiba-tiba di hadapan saya,” ucap Puteri yang mencungap keletihan. Baru tersedar yang rupa parasnya di bumi terlindung dek kulit kuning langsatnya. Ini bukan rupanya yang asli. Perlahan-lahan bunga mawar itu diturunkan dari bibirnya.
“Baru tersedar?” soal Putera Nashrid lagi.
“Ya,” polos jawapan Puteri.
“Kita perlu berbincang. Bonda Ayu sudah panjangkan terma dan syarat Tuan Puteri pada Beta. Ayahanda Nong tiada masalah. Namun Beta punyai masalah,” tegas Putera Nashrid.
“Haaa!”
“Tidak pernah dalam sejarah Kejora seorang Permaisuri meninggalkan istana untuk turun ke bumi sebaik sahaja dia diijabkabulkan. Itu menjatuhkan maruah dan air muka Beta sebagai raja yang budiman di Mendalin mahupun di Kejora,” jelas Putera Nashrid tegas.
Puteri terdiam. Kekalutannya tadi membuatkannya terlepas pandang pada status protokol Putera Nashrid dan tatacara di Kejora. Arrhhhhh! Jerit Puteri dalam hati.
“Maaf,” jawab Puteri sepatah.
“Duduk dengan tenang Tuan Puteri. Kita berbincang antara hati ke hati,” pinta Putera Nashrid lembut.
Bincang antara hati ke hati? Pelik sangat bunyinya. Puteri jadi lebih terpinga-pinga. Namun dituruti juga permintaan Putera Nashrid itu. Buai kayu di tepi ladang bunga menjadi destinasi santai mereka berdua duduk berbincang.
“Tuanku Putera duduk di buai, saya berbaring di rumput. Penat berjoging,” jelas Puteri.
“Siapa suruh beriadah tengah malam buta?” soal Putera Nashrid berbaur sindiran.
“Ini bukan beriadah. Ini namanya mengaktifkan akal mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” balas Puteri.
“Tentang kita?”
“Tak. Lebih kepada tentang Sakura. Tentang kekanda Sakura yang kurang menyerlah hingga menarik adinda bongsu masuk sekali dalam kemelut itu,” bahasa Puteri penuh makna tidak puas hati.
“Apa keputusan adinda bongsu Sakura?”
“Menerima dengan bersyarat seperti yang telah dimaklumkan.”
“Kenapa?”
“Kanda Kal tidak sesuai dengan kehidupan di Bumi. Ianya merupakan kemusnahan pada keturunan Nadim. Saya satu-satunya anakanda yang bebas perlu bertanggungjawab menarik semula mereka ke Sakura. Negara Sakura lebih memerlukan mereka,”
“Sakura akan hancur jika jatuh ke tangan mereka, Tuan Puteri. Sama ada Tuan Puteri sedar atau tidak Sakura akan hancur sekiranya di tangan mereka,” kongsi Putera Nashrid.
“Peluang kedua juga keyakinan yang tak berbelah-bagi perlu diberikan pada mereka. Sokongan saya bersama bonda dan nenda akan memantau segala keputusan mereka. Saya perlu menjaga air muka mereka juga, Tuanku Putera,”
“Baiklah. Kalau itu keputusan Tuan Puteri saya bersetuju dengan terus diijabkabulkan saja di sini malam ini. Majlis yang hanya di hadiri oleh kedua belah keluarga saja. Di Mendalin esok akan berlangsung majlis pertunangan. Sebagai tunang Putera Nashrid, Tuan Puteri masih bebas ke mana saja. Setuju?”
“Kenapa kita perlu bernikah sedangkan kita boleh bertunang saja?”
“Sebab itu syarat yang dikenakan bagi melepaskan Puteri Sofia ke Istana Nong. Adinda Sharid hanya boleh membebaskan Puteri Sofia sekiranya Tuan Puteri menjadi sebahagian daripada keluarga Nong. Adinda Sharid ingin memperisterikan Tuan Puteri,  sedangkan Bonda Ayu tidak bersetuju. Jadi saya menawarkan diri untuk menjadi pilihan Tuan Puteri,”
“Kenapa Tuanku Putera?”
“Lautan Kasih…..” Putera Nashrid meninggalkan Puteri yang terpinga-pinga di atas rumput mendengar perkataan Lautan Kasih.
Pipi Puteri menjadi merah bagaikan baru lepas terbakar. Senyuman nakal Putera Nashrid lebih membuatkan jantungnya terhenti. Putera Nashrid menoleh ke belakang semula sambil mengenyit matanya pada Puteri.
“Arhhhhhhhhh…” jerit Puteri.
“Kenapa?” soal Putera Nashrid buat-buat tak faham.
“Kerana saya boleh terlepas pandang satu ilmu menceroboh dan menguasai dalam tidur. Ianya benar terjadi?” soal Puteri penuh mengharap.
“Tepuk dada tanya hati,” balas Putera Nashrid.
Puteri menepuk dadanya berkali-kali dengan muka yang blurr.  Putera Nashrid tidak jadi meneruskan langkahnya. Matanya memandang pada telatah Puteri yang masih duduk bersila di rumput sambil menepuk dadanya berkali-kali.
“Puteri Bulan Kejora,” panggil Putera Nashrid pelik.
“Tuanku Putera jalan dulu. Saya sedang menyoal hati,” selamba balas Puteri.
Terus Putera Nashrid mengucup tapak tangannya dan ditiupnya pada Puteri yang sedang memandangnya. Nampak bentuk bibir yang dibaling ke arah Puteri.
“Kenapa?” soal Puteri masih tak puas hati.
“Sebab Tuan Puteri mempersendakan Beta. Itu namanya balingan sayang penuh berahi. Cepat bangun dan ikut Beta,” arah Putera Nashrid dengan penuh geram.
Terdiam Puteri mendengarnya. Balingan sayang penuh berahi?
Segera Puteri bangun dan berjalan  perlahan di belakang Putera Nashrid. Kepalanya tak sudah memikirkan hal di Lautan Kasih itu. Sesekali diketuknya kepalanya bagi menghilangkan rasa malu pada diri sendiri.
‘Bertango di Lautan Kasih memang mengasyikkan. Janji sekiranya aku bermimpi sedemikian rupa selepas ini, aku tidak akan membenarkan sesiapa pun menyentuhku sedemikian rupa. Aib! Aib! Sungguh aib, dirasakan diriku ini. Nafsu cinta lebih dulu menyuasai tingkahku.’ Janji Puteri pada dirinya sendiri.
“Tuan Puteri,” panggil Putera Nashrid ajak Puteri berjalan beriringan dengannya.
“Ya.” Puteri berlari anak mengiringi Putera Nashrid yang tersenyum saja dari tadi.
“Si puteri jalan penuh berhati, Hati celaru berbagi-bagi, Usah diragui cinta di hati, Putiknya bercambah lama dulu lagi.” Senyum Putera Nashird.
Membesar mata Puteri mendengar seloka pantun dari Putera Nashrid, macam rancangan mari berpantun di  siaran tv pendidikan pula. Putera Nashrid menunggu balasan dari Puteri pula yang masih terpinga-pinga menyusun ayat dimindanya.
“ Si putera berjalan tidak mengira, Habis disadung batu hingga terbongkah, Nak ragu juga tak kira, Cinta pun belum, terus nak nikah?”
Puteri dengan muka tak percayanya menyoal kembali dalam bentuk seloka. Putera Nashird berpeluk tubuh memandang pada Puteri yang menunggu jawapannya.
“Lucu… tiada jawapan yang pasti sebab cinta itu buta.”
Balas Putera Nashrid mengenyit mata dan berlalu meninggalkan Puteri dalam keadaan yang  memang tidak puas hati dengan jawapan itu.
“Cinta buta? Mana pergi matanya?” soalan sengal keluar dari bibir mugil Puteri yang geram.

“Hahahaha….” Geleng kepala Putera Nashrid.