Sunday, December 31, 2023

Bab 8

 

“Elly sayangkan dia?”

Elina tersenyum kelat. Gadis mana yang mampu lupakan cinta pertama yang hadir dalam hidup mereka. Walaupun penolakan cinta itu menyakitkan. Tapi budi yang diberikan itu buatkan dia pegang teguh pada janji sampai ke hari ini.

“Bukan hak Elly untuk mempertahankan hubungan yang bukan milik Elly sepenuhnya dari mula lagi. Dan sebagai manusia yang berjanji. Elly pegang pada janji tu sampai sekarang, Abang Em,” lirih Elina perlahan.

“Elly tahu dia kat mana sekarang?”

Elina geleng kepala. Dia tak pernah ambil tahu langsung. Masa setahun menetap di Malaysia, Elina tak pernah langsung terserempak dengan dia. Waktu senggangnya dipenuhkan dengan aktiviti sukarelawan.

“Nama penuh dia?”

“Megat Nasrudin Megat Alaudin.”

“What ????”

Terkejut Emran mendengar nama yang disebut oleh si adik. Dia kenal sangat dengan gerangan nama tersebut sejak di zaman sekolah lagi. Kenal sangat.

“Abang Em kenal ke?” Soal Elina dengan kening yang berkerut.

“Errrr taklah. Dia Melayu rupanya.”

Emran memberi alasan berhelah. Dia dah janji tak ambil apa-apa tindakan, tapi dia tak terikat untuk bersemuka dengan kawan lamanya tu. Dia perlu dengar cerita dari sudut pandangan yang lagi satu itu dulu.

Elina layangkan senyum kelat. Realiti yang menyakitkan sebenarnya. Tapi semua tu terpaksa diharung juga dengan senyuman manis menggoda. Dia pun sudah hipokrit pada diri sendiri.

“Itulah yang Almarhumah nenda pernah pesan pada Elly sebelum dia mangkat. If you’re brave to say good bye. Life will reward you with a new hello. Elly ambil semua tu untuk membina kekuatan Elly sendiri. Elly nak hidup macam ni, sederhana. Nak orang kenal Elly sebagai Elina Maisara bukannya Tengku Elina Maisara Tengku Abidin. Elly adore Almarhumah nenda jalani hidupnya jauh dari pengaruh istana. Elly nak jalani kehidupan yang sebegitu.”

Emran mencapai tangan Elina yang terletak di atas meja. Kekecewaan buatkan si adik cukup mengawal dan memasang tembok tinggi bagi mengenal pasti siapa yang wajar mengelilingi hidupnya.

 “Bergelar Tengku Elina Maisara Tengku Abidin pun Elly mampu jalani hidup macam Almarhumah nenda. Tiada bezanya. Elly tetap bebas melakukan aktiviti kesukaan Elly cuma dikawal oleh bodyguard demi menjaga keselamatan Elly je. Bukan nak kongkong hidup Elly.”

Pujuk Emran lembut. Dia tak mahu Elina pinggirkan diri dari bermasyarakat dengan kaum kerabat di raja seperti sebelum-sebelum ini. Mereka semua tahu yang Elina menetap di Amsterdam tapi mereka tak pernah tahu yang Elina sudah hampir setahun kembali ke tanah air. Elina sering mengelak.

“Abang Em ni suka buatkan Elly hilang akal, kan. Malaslah nak fikir. Sampai masa nanti Elly buat keputusan.”

Kata putus Elina mudah. Buat apalah nak pening kepala. Dia masih ada lagi tiga bulan untuk merubah takdir.

 

No comments:

Post a Comment