Saturday, June 5, 2021

MAT KOYAK - Part 2

 

Pak Wan duduk di bangku, tersengih memandang si dara bongsu menukang di reban ayam yang sedang diperbesarkannya.

“Mir, buatlah kerja tu elok-elok sikit,” tegur Eleeza.

“Eeee… manalah Mir tahu buat kerja ni semua. Elok ayah suh upah orang. Akak beriya kata tahu buat. Buatlah sendiri. Ni tak, Mir pun kena seret sekali,” rungut si bongsu, Emir.

“Masa cuti macam ni lah kita nak  tolong apa yang patut kat kampung ni. Ayah dan mak bukannya kuat sangat. Kamu tu, dah dua minggu cuti. Merambu je. Cubalah tolong ayah. Tak nak buat semua kerja, buatlah benda yang senang-senang. Ni tak.”

Eleeza menegur si bongsu, Emir. Dia yang perempuan pun tak sampai hati melihat Pak Wan memotong kayu dan menukang sendiri reban ayam kat belakang rumah. Walaupun tak sebesar mana, tapi kederat orang tua kuat mana pun.

“Daripada akak bayar sampai dua ribu pada Wak Dol tu, baik akak bagi kamu ke. Bagi mak, ayah ke. Ada gak faedahnya,” jelas Eleeza.

Terhenti tingkah Emir. “Dua ribu?”

“Haah.”

“Gila! Renovation reban ayam je pun.”

“Ha, tau pun. Setakat tambah sepuluh kaki. Pacak tiang. Pasang jaring. Letak zink. Berapalah sangat. Ayah pun boleh buat. Tapi…”

Saja dimatikan kata di situ. Eleeza nak, Emir faham tujuan sebenarnya.

“Ayah dah tua. Kederat tak macam orang tu,” sambung Emir.

“Ha tau pun. Cepat paku tu. Dah ada tiang, senang kita nak letakkan rangka atap tu lak. Esok baru kita pasang zink.”

Eleeza kongsi cerita. Antara mereka empat beradik, dia yang paling rapat dengan Emir. Mungkin disebabkan jarak umur yang tak berapa jauh. Dan sikap Eleeza yang lasak dan tangkas membuat kerja.

“Akak tak nak cat reban ni macam akak cat rumah dulu ke?” Saja Emir provoke Eleeza.

“Tak payah!” celah Pak Wan.

Eleeza angkat bahu sambil tersenyum nakal. Pak Wan awal-awal lagi dah cakap, jangan nak gatal-gatal cat reban ayam dia. Membazir!

“Ayah tak bagi,” selamba balas Eleeza.

“Sebab apa ayah tak nak bagi akak cat reban ayam ni?”

“Akak kamu ni, nak dicatnya semua putih. Taknaklah aku. Macam rumah Kolonel British je. Ada ayam aku tak ada darah melayu,” jawab Pak Wan. Sama naik je, sengal mereka anak-beranak.

Emir gelak mengekek melihat Eleeza menjeling geram pada Pak Wan.

“Alaaa, ayah cakap je lah. Eza, daripada kamu nak cat reban ni. Baik kamu cat baru rumah ayah tu. Ada juga faedahnya.”

Senyum simpul Pak Wan. Dia tak minta. Tapi, kalau diberi dia terima saja.

“Ayah nak warna putih. Skirting kayu tu, kamu cat warna kelabu. Macam rumah Tok Ketua Haji Mat tu. Cantik!”

 Eleeza memandang Emir yang dah terlopong mulut, tak percaya. Glurp!!!

Demand tak agak-agak,” balas Eleeza.

“Kamu yang bagi bola tanggung. Ayah smash lah balik.”

Pak Wan sengih lebar. Cakap-cakap ayam Eleeza tu dah makan dirinya sendiri. Memang esok pagi akan terpacul lori Ah Thong Hardware tu depan rumah. Hantar cat. Guarantee!!!

No comments:

Post a Comment