Hana ajak Murni keluar. Tak sanggup berdepan dengan Murni
yang macam robot. Dia ingin mohon maaf dari Murni fasal tindakan bodohnya
menghalau Murni keluar bilik hari tu. Sejak tu Murni lancarkan perang dingin
dengannya.
“Uni, Hana dah dua hari lepak kat studio Timoti. Best sangat. Hana boleh guna bilik tu sorang-sorang. Tak
ada orang kacau pun. Bilik tu taklah besar mana, okeylah kalau nak menari empat
lima orang nak berlatih step. Macam
masa kita sekolah dulu,” cerita Hana.
Murni diam tak bersuara. Kepala menunduk penuh khusyuk
menikmati mee goreng mamak yang dipesannya tadi. Saja nak membalas rasa geram
pada Hana. Biar dia rasa!
“Sewa dia pun tak mahal. Untuk dua jam, Hana bayar lima
puluh ringgit je. Itu pun dah kira berbaloi sangat. Penat gila duduk menari
sorang-sorang dalam tu. Lencun habis. Tak payah masuk gym pun tak apa dah,”
kata Hana menyambung cerita.
Murni berhenti makan. Pandang Hana. Sedut air kemudian
tunduk habiskan mee goreng. Hana mengeluh.
“Uni, Hana minta maaf,” ucap Hana perlahan.
“Nak buat apa minta maaf. Bukan Hana buat salah pun. Tak
salah pun,” sindir Murni. Saja nak mengapikan lagi rasa bersalah di hati Hana.
“Hana tahu Hana salah Uni. Janganlah buat Hana macam ni.
Hana memang dah lama tahu Azlan tak akan cintakan Hana macam mana Hana cintakan
dia. Tapi Hana sayangkan rumah tangga Hana, Uni. Hana nak Kimi dan Ida membesar
dalam rumah tangga yang sempurna. Sebab itulah Hana tutup mata. Hana keraskan
hati. Hana sanggup lakukan apa saja sebab nak yang terbaik buat Kimi dan Ida,”
cerita Hana perlahan. Sebak hati kini semakin menebal.
Murni berhenti menyuap. Dipandang Hana dengan pandangan
mata yang kosong. Saja nak bagi Hana rasa sakit seperti mana yang dirasainya
sebelum ini.
“Kalau dah macam tu kenapa nak bercerai jugak. Kenapa tak
rujuk balik je dengan mangkuk ayun tu?” Soal Murni.
Hana tarik nafas dalam-dalam. Satu rahsia ni dia tak
ceritakan pada siapa-siapa. Waima pada Murni pun dia tak berani cerita.
Dipandang anak mata Murni mencari kekuatan. Bibir Hana mulai bergetar.
“Sebab Hana pernah telan sebotol pil depan Azlan. Hana
pernah cuba nak bunuh diri depan Azlan, Uni. Dia tak ambil kisah. Dia
tinggalkan Hana sorang-sorang malam tu,” luah Hana.
Terjatuh sudu di tangan Murni. Walaupun dia sudah tahu
fasal kes cubaan bunuh diri Hana dari Talha tapi dia tak tahu keseluruhan
cerita. Tergamam Murni tanpa suara.
“Kami bergaduh malam tu. Esoknya lepas Hana terjaga dari
tidur, kepala Hana sakit sangat. Hana teringat apa yang jadi semalam. Hana tak
nak mati lagi. Lepas mandi Hana terus ke hospital. Hana bawa wallet je. Hana tahan teksi kat depan
jalan. Pak cik teksi tu lah yang papah Hana masuk kecemasan. Hana memang dah
mamai sangat. Azlan tak tahu pun Hana masuk hospital. Lepas dia balik meeting lusanya baru dia tercari-cari
Hana kat mana.... sebab Hana tinggalkan handphone
dan kereta kat rumah,” cerita Hana. Menitis air mata Hana bila mengenang
kembali saat kejadian itu.
Murni terus pegang
jari Hana yang menggigil di atas meja. Digenggamnya kuat. Sungguh, dia tak tahu
seksa yang Hana hadapi. Tapi, melihat keadaan Hana macam ni pun dia rasa sangat
terseksa. Sangat-sangat terseksa.
“Doktor tanya Hana, nak beritahu waris ke? Hana geleng.
Hana tak nak. Hana kecewa sangat. Dia boleh je halang Hana waktu tu. Dia boleh
je sepak pipi Hana waktu tu. Tapi dia tak buat Uni. Dia suruh lagi Hana telan
pil sakit kepala tu semua. Dia kata Hana lebih-lebih ikut rasa sakit kepala.
Bini mana tak sakit kepala jika dah terang-terang tangkap suami ada affair dengan perempuan lain, Uni.
Sudahlah dia sendiri cakap tak bernafsu tengok Hana...” bicara Hana terhenti.
Esakan halus terlepas. Hana menunduk. Menahan air mata yang keluar walaupun
dicuba agar tak menitis.
Murni rasa sakit hati melihat cara Hana menahan tangis.
Dia lebih suka tengok Hana meraung daripada menahan tangis begini. Terus Murni
bangun dari kerusi. Memeluk Hana dari belakang.
“Lepas sehari Hana di hospital baru dia jumpa Hana, Uni.
Itu pun sebab dia nak buat laporan polis. Tapi polis suruh dia cari Hana dulu.
Lepas dua puluh empat jam baru buat report. Azlan call
semua hospital cari Hana. Masa tu lah dia tahu Hana masuk Hospital Mawar. Dia
datang menangis. Merayu Hana jangan tinggalkan dia macam tu. Dia akan berubah
dan tak sakitkan Hana lagi. Dia akan jaga Hana macam suami lain jaga isteri
mereka. Dia nak berubah. Tapi,” Hana hilang kata. Badannya bergetar melepaskan
esakan halus.
“Lepaskan Hana. Lepaskan apa yang terbuku dalam hati Hana
tu. Uni sentiasa ada untuk Hana. Kita dah janjikan. Akan menyokong satu sama
lain. Uni sayang Hana,” bisik Murni yang turut sama teresak menangis.
“Tapi bila dia kata tak ada cinta antara kami, Hana rasa
seluruh semangat juang Hana hilang Uni. Macam Hana hidup tak ada matlamat.
Mencari bahagia yang sememangnya kosong untuk Hana. Sakit Uni. Sakit bila tahu
yang pengorbanan Hana selama ni sia-sia. Sakit sebab Hana, sebab Hana je yang
berusaha jadi terbaik untuk dia. Tapi dia tak pernah iktiraf Hana sebagai
isteri yang disyukuri. Pada dia Hana ni banyak betul kurangnya. Sini kurang.
Sana kurang. Tak pernah sekali pun dia bangga dengan Hana yang dah buat
macam-macam untuk dia. Sakit Uni. Sakit sangat,” bisik Hana perlahan.
Murni hanya memeluk dan membelai rambut Hana. Pandangan
orang di sekeliling yang memandang dan berbisik satu sama lain langsung tak
dihiraukannya. Pemulihan Hana yang diutamakannya.
“Sakitnya cinta tu, Uni. Kenapa Hana cintakan dia
sangat-sangat. Bukan ke cinta tu melatih kita untuk melindungi dan
membahagiakan satu sama lain. Kenapa lepas setahun kahwin dia berubah Uni.
Kenapa bukan sebelum kahwin dia tunjuk sikap dia yang sebenar Uni. Kenapa?
Kenapa Uni?”
Murni tak mampu menjawab. Bibirnya turut bergetar menahan
sedih. Kepala digeleng tak tahu bila anak mata Hana mencari jawapan di matanya.
Peritnya hati melihat Hana ketika ini.
“Kerana cinta itu subjek yang tiada penghujung amalannya.
Bukan ketika kenal dan jatuh cinta. Bukan ketika bercinta untuk belajar
mencintai. Bukan ketika bertunang untuk mengenal makna cinta. Bukan ketika
bernikah janji cinta itu dimeterai. Cinta tak pernah bersalah. Cinta tak pernah
jahat. Yang menjahatkan cinta adalah sikap manusia itu sendiri. Manusia yang
tak pernah faham maksud dan tanggungjawab bercinta.”
Murni dan Hana berpaling ke sebelah belakang Murni. Nik
berdiri tegak di belakang Murni dengan kedua belah tangan dimasukkan dalam
poket seluar.
“Sorry. Aku terdengar.
Kelakuan korang berdua ni menimbulkan tanda-tanya. Kot iya pun nak buat drama
jangan buat kat tengah kedai mamak macam ni. Korang dah buat semua orang kat
sini ingat korang ni couple yang
sedang pujuk satu sama lain,” jelas Nik.
Memang itulah yang difikirkannya ketika mendengar sok sek
sok sek budak perempuan meja depan
kaunter bayar. Bila dilihat dan nampak Murni, terus dia berjalan ke arah
mereka. Lain yang nak dibuat, lain pulak yang diketahuinya.
Hana gerakkan bahu untuk meleraikan pelukan Murni. Tas
tangan dibuka untuk mengambil tisu untuk mengesat air mata di pipi dan hingus
yang menyesakkan pernafasan.
“Kau ni memang ada sini ke setiap malam?” Soal Murni.
Jari mengesat air mata di pipi. Dengan Nik nak malu apanya. Dah biasa menangis
depan Nik pun.
“Lapar. Aku ni mana ada orang rumah yang sediakan makan
kat rumah. Malas nak pergi mana-mana, aku datang sini je lah. Lainlah kalau ada
yang nak teman makan, boleh gak tukar selera makan kat tempat lain,” balas Nik
selamba.
“Pukul 11 malam baru nak makan malam?” Soal Murni tak
percaya. Ni mesti Nik saja buat cerita minta simpati. Mengenali Nik, dia dah
masak sangat dengan helah beralasan dongeng tu. Nak pula, Nik turut tahu kisah
Hana. Macam ada udang di sebalik batu je pada pandangan Murni.
“Tadi ada meeting
dengan partner. Dah balik rumah.
Tiba-tiba perut rasa lapar. Itu yang keluar balik tu. Boleh aku join korang?” Minta Nik selamba.
Hana dah beri isyarat mata tak mahu. Murni dah nampak
dari tadi lagi. Tapi bahasa badan Nik ni menyampaikan maksud yang dia sendiri
teruja nak tahu.
“Boleh je,” jawab Murni.
Besar mata Hana yang merah menangis tadi. Tak jangka
Murni akan benarkan Nik duduk semeja dengan mereka.
“Kalau Hana tak selesa, tak apalah. I boleh je duduk sorang kat meja tu,” kata Nik. Saja nak buatkan Hana rasa serba-salah. Dia
ingin sangat berada depan Hana ketika ini. Setelah mendengar sendiri suara
rintih sendu Hana tadi. Terasa seperti ada sesuatu yang mencengkam kuat
hatinya.
“Eh! Duduklah. Saya okey je. Awak ni sepupu Uni, bukan
orang lain pun,”kata Hana. Keterpaksaan
merelakan.
Nik terus tarik kerusi di depan Hana. Saja ditarik kerusi
di depan. Senang nak tengok Hana depan-depan. Murni duduk di sebelah Hana.
“I minta maaf. Busybody. Terdengar apa yang Hana cerita
pada Uni. Tak terlintas sebenarnya. I
janji tak tanya apa-apa. Cuma I nak
beritahu. Orang yang berjuang kerana cintanya suci tak pernah akan rasa
kecundang dalam hidup kerana cinta. Matlamat hidupnya jelas. Mencari keredaan
Allah. Kenapa harus fikir pada balasan sedangkan kita ikhlas memberi cinta.
Jangan rosakkan diri. Jangan salahkan diri sendiri. Hidup memang macam ni. Ada
pasang surut. Ada duka, kecewa, gembira dan bahagia. Selagi kita bernafas.
Selagi kita bersujud pada yang Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup,”
nasihat Nik.
Hana yang pada mulanya nak mengeluh geram tergamam.
Diangkat kepala memandang pada Nik yang duduk di depannya. Wajah tenang Nik
direnungnya dalam. Tampa sedar bibirnya mengulangi bait kata Nik tadi.
“Selagi kita bernafas. Selagi kita bersujud pada yang
Satu, jangan pernah rasa putus asa untuk hidup. Itu yang saya lupa,” ucap Hana
perlahan.
Nik senyum sejemput. Suara lembut Hana yang perlahan itu
menyenangkan hati yang tadinya sakit. Hebatnya wanita ini menjalani liku hidup
kerana cinta. Setia, taat dan
tanggungjawabnya pada cinta buatkan dia sanggup korbankan bahagianya.
Bahagia yang kau cari. Reda yang kau pilih. Itu yang akan
aku berikan pada kau Ain Farhana. Aku ingin basuh semua rasa sakit kau tu. Aku
sanggup.
Nik sudah buat keputusan nekad. Hati dan akalnya
menyokong tanpa rasa gentar dan gusar walaupun sebesar kuman.
No comments:
Post a Comment