ELINA duduk bersila di gazebo yang dipilih menghadap
pantai. Tempat kegemarannya bila teringin makan makanan laut. Nak ke Tanjung
Lumpur di Kuantan sana tu, jauh sangat. Di sini dalam sejam lebih perjalanan
saja.
“Abang
Em dengar dari Tajol yang Elly dah tender
resignation letter kat studio tu.
Betul ke?” Soal Emran berhati-hati.
Bukan
mudah nak pancing hati si bongsu ni berkongsi cerita. Elina lebih selesa
berkongsi dengan orang luar daripada darah dagingnya sendiri. Macam Ayu dan
Tajol.
Elina
yang sedang meratah ikan bakar hanya angguk kepala. Nikmat makan terganggu bila
diajak berbual. Bukannya selalu dapat makan macam ni.
“Habis
tu Elly nak buat apa lepas tu? Bantu bonda di Yayasan?”
Emran
berharap sangat tawaran menjadi pengurus di Yayasan Tunku Maira diterima oleh
Elina. Si adik lebih berkelayakan dan lebih prihatin sepertimana Almarhumah
nendanya. Tapi si adik ni liat. Dia nak bebas. Tak mahukan publisiti. Tak mahu
dikenali. Padahal, Almarhumah nenda telah meletakkannya sebagai penama yang
mewarisi segala tinggalannya.
Elina
diam. Tangannya laju mencapai sotong goreng tepung masuk ke pinggannya. Sos
cili di piring kecil diambil dan dicurahkan di atas pinggan.
“Elly,
Abang Em tanya ni?”
Terhenti
Elina menyuap. Diangkat muka memandang pada si abang. Bukannya dia tak tahu
arah tuju soalan yang ingin dibincangkan mereka. Tahu sangat.
“Elly
masih ada tiga bulan lagi laa Abang
Em. Biarlah Elly enjoy saat-saat
bebas ni dulu. Lepas tu baru Elly buat keputusan. Abang Em pun tahu kan, Istana
Hinggap kat Amsterdam tu pun bawah tanggungjawab Elly. Semua harapkan Elly
uruskannya sepertimana Almarhumah nenda buat.”
Emran
letak sudu dan garpu di pinggan. Dipandang wajah si adik yang selamba menyuap
makan tanpa mengikut adab makan yang lebih tertib. Bibirnya di kesat dulu
dengan tisu.
“Ayahanda
cakap, Elly dah lantik sebuah syarikat untuk menguruskan marketing dan operasi untuk Istana Hinggap tu. Tak perlukan Elly untuk
selalu turun ke Amsterdam.”
Elina
mengeluh. Baru nak temberang, rupanya perihal diri sudah ada dalam kocek si
abang yang terlebih prihatin.
“Dan
setahu Abang Em lah. Ayu ada cerita yang Elly dah set-up office kat sini untuk pantau operasi Istana Hinggap tu kan.
Ada dua orang staf khas lagi. Jadi apa lagi yang halang Elly ambil
tanggungjawab kat Yayasan? Atau Elly nak masuk office ayahanda?”
Soal
Emran sambil berpeluk tubuh. Elina berdecit tak puas hati. Memang mati akal
macam ni. Semua perihal sudah dalam poket Emran.
“Abang
Em…”
“Apa?
Cuba terus-terang dengan abang?”
Desak
Emran. Dulu Elina tak macam ini. Suruhlah apa pun, dia akan menurut saja. Tapi
sejak Almarhumah nenda meninggal, Elina nampak sangat cuba menjauh dari Istana
dan kaum kerabatnya. Bukti jelasnya, perjanjian lima tahun dengan Tengku
Abidin. Merepek!
Elina
berhenti makan. Tangan dibasuh dan dilap sampai kering. Jus epal yang masih
bersisa separuh, disedutnya sampai habis. Sudah tiba masanya dia
berterus-terang dengan abangnya, Emran.
“Abang
Em kena janji dulu yang abang akan dengar cerita Elly sampai habis. Dan tak
akan ambil apa-apa tindakan. Hal ni biar Elly saja yang uruskan. Boleh?”
Lagi
tak sedap hati Emran dibuatnya. Dia sudah agak, pasti ada rahsia yang buatkan
Elina berubah sampai begini sekali. Puas dikorek daripada Ayu dan Tajol, tapi
mereka syorkan dia dapatkan kebenaran daripada Elina sendiri. Itu yang selalu
didesaknya Elina tanpa putus asa, sejak lima tahun lalu. Namun, kedegilan Elina
buatkan rahsia itu tersimpan sampai ke hari ini.
“Abang
Em janji. Asalkan tiada rahsia yang Elly sembunyikan daripada pengetahuan
abang.”
“Abang
kena pegang janji abang. Hal ni hanya abang je yang tahu selain Almarhumah
nenda, Kak Ayu dan Abang Tajol. Elly tak nak ayahanda dan bonda tahu. Tak nak
Abah Aji dan Mak Aji tahu. Boleh?”
“Ya.
Abang Em janji. Elly perlu percayakan Abang Em.”
Elina
perbetulkan duduknya di lantai. Sudah sampai masanya, beban yang dipikul ini
dileraikan sedikit demi sedikit.
Satu-persatu
sejarah silam disingkap tanpa hijab pada pengetahuan Emran. Rahang pipi Emran
yang bergerak buatkan Elina tahu, abangnya sedang menahan marah yang teramat.
“Sebab itu ke Elly buat perjanjian lima tahun
tu?”
Elina
angguk. Memang itulah penyumbang terbesar pada keputusan nekadnya mengikat
perjanjian dengan ayahandanya sendiri.
“Habis
tu, dia tak pernah cari Elly?”
Elina
diam. Dia tahu hal makin berselirat bila dia sendiri mengabaikan hubungan
komunikasi dan sosial dengan dunia luar. Semuanya diserahkan bulat-bulat pada
Ayu.
“Dulu
pernah. Tapi Elly lari. Dia ada hubungi Ayu tapi Elly halang Ayu
berterus-terang pada dia siapa Elly yang sebenar. E-mel yang dia hantar setiap
bulan pun Elly baca tapi tak balas. Jadi sampai sekarang dia tak tahu yang
Maisara adalah Elina Maisara.”
“Elly
sayangkan dia?”
Elina tersenyum kelat.