Wednesday, January 10, 2018

Bahagia Bukan Bidaan - Hana Bertegas

Hana menarik baju Nik duduk berdua di meja lain. Sudah berapa kali mereka dipertemukan dalam situasi kebetulan. Tapi hari ni, hati Hana memberat pada pertemuan yang sudah diaturkan. Sama ada oleh Nik mahupun oleh Murni. Kemungkinan itu cukup besar. Semua itu perlu diperjelaskan sekarang juga.
“Nik,” seru Hana perlahan.
“Hmmmm.”
Hana berdecit tak senang hati. Walaupun dia akui, kondisi emosinya tak stabil setelah bercerai. Tapi itu tak memberi tiket pada mereka memperkotak-katikkan dirinya. Dia sudah berikrar untuk berubah dan mula terima kenyataan. Dia sudah mampu mengatur aktiviti hariannya tanpa terperap dalam bilik lagi. Dia sedang berusaha belajar uruskan rasa kecewa dengan terapi berjadual di hospital.
“Look! Hana tak suka apa yang Nik buat tadi. Hana tak suka Nik masuk campur urusan peribadi Hana. Kita tak kenal. Hana tak kenal Nik. Dan Nik pun tak kenal Hana. Nik hanya dengar cerita tentang Hana. Simpan cerita tu. Hana tak perlukan simpati Nik. Hana mampu hadapi Azlan sendiri,” kata Hana satu persatu. Nadanya tiada gentar langsung.
Nik peluk tubuh. Dengan wajah selamba dan senyum manis sejemput di bibir yang tak putus, mendengar saja luahan geram Hana. Gaya dah sebiji macam budak degil yang sedang mendengar leteran ibunya.
“Tolong jangan cipta masalah baru dalam hidup Hana. Sudah cukup berat masalah yang Hana hadap sekarang ni,” rayu Hana akhirnya.
“Kenal saya, Hana. Saya yakin saya bukan masalah buat awak,”pinta Nik lembut.
Hana melepaskan nafas berat. Perkataan kenal itulah masalah besar buat Hana. Dia sudah serik. Mengenali lelaki sudah tiada dalam kamus hidupnya. Kesakitan lalu pun masih berdarah lagi. Tak mungkin dibiarkan hati berdarah lagi. Tak mungkin!
“Nik, saya ni janda. Saya ulang, jan-da. Baru lagi saya dapat gelaran janda tu. Awak ingat saya ni spesies kemaruk nak berlaki ke? Tak, Nik. Tak.  Ya, betul saya kenal Azlan tu sekejap. Buat keputusan nak nikah pun tak fikir panjang. Tapi itu sebelum saya kenal erti cinta dan kecewa. Sekarang saya serik. Awak kenallah orang lain. Ramai je perempuan lain yang nak kenal dan kawan lelaki macam awak ni,” jelas Hana terus-terang.
Hana memang serik nak dekat dengan lelaki yang ada rupa, bergaya, berharta, mulut manis dan punyai aura memikat macam Nik. Macam Azlan. Kalau boleh dia nak larikan diri daripada dekat dengan spesies lelaki sebegini.
“Saya tahu. Saya nampak. Saya dengar. Sebab itu saya suruh Hana kenal saya. Bukan terima saya buta-buta macam Hana kenal Azlan,” suruh Nik selamba. Buat tak faham maksud Hana.
“Nik!” Suara Hana terlepas meninggi. Geramnya terlepas dari kawalan minda,  dek sikap selamba Nik. Rasa macam nak pegang kiri kanan kepala Nik dan goncang kuat-kuat.
“Ya!” sahut Nik sambil tertawa lucu. Nada suara Hana yang berintonasi turun naik buatkan hatinya rasa damai. Nak pula bila namanya bermain di bibir Hana. Rasa bimbang dan risaukan Hana yang kembali bersedih terbasuh terus.
“Saya tak nak kenal awak, Nik. Saya tak nak kenal sesiapa pun. Awak faham tak?”
“Tak! Saya tak faham. Saya bukannya orang jahat. Awak sendiri pun tahu. Tanpa kita kenal satu sama lain pun saya dah banyak kali bantu awak.  Jadi, apa kata kita lanjutkan perkenalan kita untuk saling lebih mengenali,” pujuk Nik lembut. Tak sesekali mengalah dengan penolakan Hana.
Hana menunduk pandang jari yang dikepal menahan geram di bawah meja. Dia akui kata Nik tu betul. Tapi dia sendiri yang buat pilihan untuk kosongkan kepala dari fikir hal lelaki. Apa yang penuh di kepalanya sekarang adalah bina balik kehidupan dan tuntut Hakimi dan Haida pulang ke pangkuannya.
“Awak tahu tak Hana. Dalai Lama pernah kata, kalau tak silap maksud dia macam ni. Jika kita nak gembirakan orang, latih diri untuk mengasihani mereka. Jika kita sendiri nak gembira, latih rasa belas pada diri kita sendiri. Makanya, tak salahlah apa yang saya buat ni. Saya hanya mempraktikkan apa yang disyorkan oleh mereka yang berjaya mengkaji tentang kehidupan. Tak salahkan?” Usul Nik lagi.
“Awak ni memang degil kan?”
Nik lepaskan ketawa lucu. Ada ke kesungguhannya dikata degil. Tak masuk akal sungguh. Bahu diangkat menjawab pertanyaan Hana.
“Eeee payah sungguh cakap dengan orang degil ni. Dengar sini! Hana yang  pilih untuk kekal macam ni je, Nik. Tanpa lelaki. Tanpa perlu berubah demi lelaki lagi dah. Kecewa tu terlalu sakit. Dah terlalu lama Hana tanggung rasa sakit dan kecewa tu.  Jadi tolonglah. Tolong faham keadaan Hana,” pinta Hana lagi.  Dia terus berdiri. Tak ada guna nak tegakkan kemahuannya pada orang luar seperti Nik. Hidupnya, dia sendiri yang corakkan. Pilihan itu dia yang buat. 
“Awak mesti pernah dengar lagu dulu-dulu yang saya rasa sangat sesuai untuk awak. Kalau tak silap lagu dia macam ni, tanya sama pokok apa sebab goyang, nanti jawab pokok angin yang goncang. Tanya sama langit apa sebab hujan, nanti jawab langit tanyalah awan. Awan nanti kata aku kandung air, sampai tempat sejuk aku pun cair. Tengok dalam air, nampak bayang-bayang campak satu batu bayang pun hilang... nampak tak Hana..... Setiap yang berlaku dalam hidup kita ini adalah kitaran yang mematangkan hidup. Bukan menjatuhkan dan mematikan semangat hidup kita.  Bukan juga buatkan kita serik untuk bernafas dan teruskan kehidupan.  Semua tu dah tertulis Hana. Macam Nabi Ibrahim berkata dalam surah Al Hajr ayat 56. Tiada orang yang berputus asa dengan rahmat TuhanNya, kecuali orang-orang yang sesat. So?” 
“So apanya?”
“Beri peluang saya kenalkan diri saya dan peluang pada hati Hana sendiri merasa apa itu makna bahagia. Mudahkan?”
“Gila!”
Dengus Hana. Kaki mengatur langkah kembali ke meja Murni. Bengang dengan Nik, walaupun hakikatnya apa yang dikatakan Nik tadi banyak yang betulnya. Lagu yang Nik nyanyikan tu pun ada maksud yang difahaminya. Macam campak batu dalam air hingga bayang hilang. Itulah realiti hidup!
Nik turut sama berdiri. Sakit hatinya membaca kesakitan Hana dari biasan matanya. Betul kata para pujangga, mulut lancang mereka cerita tapi kebenarannya hanya terucap pada sinar mata.
“Hana, sekejap,” tahan Nik.
“Terima kasih, Nik. Saya tak pernah ucap terima kasih pada awak. Dah banyak kali awak bantu tenangkan saya. Nasihatkan saya. Tapi itu semua bukan tiket untuk kita kenal macam yang awak hendakkan. Saya tak layak untuk semua itu lagi. Saya tak mahu lalui semua itu lagi. Impposible!”
Kepala Nik angguk. Dia faham. Peluang bersembang empat mata dengan Hana pun, sudah cukup buatkan Nik faham kondisi sebenar Hana. Sinar mata Hana sudah menceritakan segala yang tersembunyi. Melengkapkan perihal diri Hana di mata seorang Nik Zachary.
“Saya faham. Maaf. Cuma,” kata Nik saja menggantungkan ayat.
Hana melepaskan keluhan rimas. Entah kenapa, berdepan dengan Nik dadanya rasa sesak. Tapi dalam masa yang sama dia rasa selamat sangat bila pandangan mata yang lembut itu tak lepas memandangnya. Rasa dilindungi.
“Nik,” seru Hana bersama mata yang dikecilkan mencari maksud tersirat Nik.
“Tawaran pengurus tadi tu, awak pilih yang mana satu. Pilihan satu atau pilihan dua?” Soal Nik.
Jari telunjuk Hana menunjuk pada Lokman yang duduk semeja dengan Murni di tengah restoran. Kemudian ditala pada Nik yang berdiri di depannya. Cuba faham situasi sebenar.
“Awak? Lokman? Partner?”
“Macam tulah ceritanya. So?”
Hana pejam mata mencari nafas, sekali gus nyawa baru untuk berdepan dengan Nik. Dia boleh agak perjalanan hidupnya akan lebih mencabar bila dia menerima tawaran Lokman itu nanti. Tapi dia tak ada pilihan lain. Dia perlu bekerja untuk bina hidup baru. Peluang dah terbentang depan mata, takkan nak tolak.
“Pilihan satu! Saya pilih pilihan pertama tu, bos,” jawab Hana penuh yakin.
Nik ditinggal berdiri di situ dengan rasa bahagia. Diperhatikan saja Hana mengatur langkah mendekati meja Lokman dan Murni.
“Selamat datang dalam dunia saya, Ain Farhana. Dunia yang akan bahagiakan Hana. Saya janji awak. Just live well. Just live, love well after this,” bisik Nik dengan senyum meleret.

Tuesday, November 7, 2017

Bahagia Bukan Bidaan - Ditemuduga

 “Lok, kau je lah yang interview dia. Aku tengok dan dengar dari meja depan sana. Aku tak mahu dia tahu identiti aku dulu. Dah selesai interview tu nanti baru aku jelaskan kau kenapa,” ucap Nik selamba.
“Kenapa pulak ni Nik?”
“Rahsia negara. Tu dia orang dah datang. Kau uruskan interview. Kalau aku nak menyampuk, aku mesej kau,” arah Nik.
Lokman duduk sendirian di meja dengan wajah cemberut. Geram dengan permintaan Nik yang tiba-tiba pula datang fiil kebudak-budakannya.  Nik selamba badak duduk di meja depan macam mereka tak pernah kenal sebelum ini. Sabar jelah!
“Lokman kan?” Sapa Hana ramah. Pagi tadi, Nadia isteri Lokman ada hubungi Hana untuk aturkan janji temu dengannya. Adalah diceritakan sikit-sikit berkenaan apa. Hana tertarik dengan apa yang disampaikan Nadia padanya tadi. Itu yang dia setuju nak jumpa.
“Ya. Kenal pun. Ingatkan Hana dah lupa I,” jawab Lokman mesra.
“Saya tak pernah lupa bekas pelanggan tetap saya. Oh sebelum tu, kenalkan kawan saya Murni,” ucap Hana memperkenalkan Murni pada Lokman.
“Murni,” ucap Murni memperkenalkan diri. Huluran tangannya disambut oleh Lokman.
“Lokman,” balas Lokman memperkenalkan diri.
“Maaf ya. Saya selesa bawa teman. Lagi pun kawan saya ni bukan duduk sini. Dia duduk Australia. Datang bercuti,” cerita Hana menjelaskan kedatangan Murni.
“Tak apa. No big deal. Nad ada cerita apa-apa tak pada Hana?”
“Ada. Nad kata korang nak bukak restoran 24 hours kat Hill Park. Sekarang dalam renovation. Wah! Hebat korang sekarang ya,” kata Hana. Dia sendiri tumpang gembira dengar berita itu. Dia memang suka, bila dengar ramai usahawan muda Melayu yang nak buka perniagaan runcit ni. Kalau boleh bantu, dia nak je bantu apa yang termampu. Macam sekarang ni.
Lokman tertawa lucu. Tahu sangat perangai orang rumah yang teruja bercerita. Sudah dipesan jangan ceritakan semua pada Hana, biar dia saja yang jelaskan tapi tengoklah sekarang ni. Hana dah tahu semuanya.
“Ha itulah tu. Restoran tu berkonsepkan mamak bistro. I, partner dengan kawan satu universiti I dulu. Kami ni masing-masing ada kerja tetap. Tak berani nak fokus seratus peratus pada restoran. Itu yang sanggup gajikan pengurus tu,” jelas Lokman.
 Hana senyum. Ramai je golongan profesional macam Lokman ni. Nak kawal risiko perniagaan runcit tanpa berhenti kerja. Jika kena dengan strategi-nya memang boleh untung. Hana terus berpeluk tubuh bersahaja. Gaya santai bersandar badan pada kepala kerusi. Nik memerhati dari meja depan. Nampak belakang Hana saja pun. Bibir terukir senyum nakal. Cantik!
“Dah tahu tak ada pengalaman dalam Food & Beverage kenapa nak invest dalam bisnes ni. Buatlah bisnes yang tak perlu ambil risiko tinggi,” nasihat Hana. Dia tahu pahit getir berniaga runcit. Lebih-lebih lagi kedai makan. Penatnya nauzubillah. Tak mampu nak digambarkan dengan kata-kata.
“Ceritanya sebenarnya macam ni Hana. Partner I ni, dah ada tiga restoran konsep yang sama. I tengok maju. Masyuk pun masyuk. Itu yang ajak dia jadi partner I tu. Dia kata nak maju macam tu, I kena lantik seorang pengurus yang I boleh percaya. Itu yang Nad cadangkan nama you tu. Kami senang sangat dengan you. You pun memang dah ada pengalaman dalam bidang ni. Kalau you terima, memang I betul-betul legalah. Kami tahu, restoran tu berada di tangan orang yang betul,” cerita Lokman.
Bibir Hana mencebik kagum. Sebetulnya, inilah pertama kalinya dia mendengar perkara sebegini. Sepanjang menguruskan kafe, dia yang banyak turun padang menguruskan kafe. Tak pernah sekali pun dia lepas tangan. Percaya macam mana pun, dia masih letak peratusan kecil untuk sangsi bilamana urusan bersangkutan dengan duit aliran tunai.
“Hmmm, menarik. Saya pun tengah cari kerja yang sesuai ni. Sekiranya saya berminat, tawarannya bagaimana?”
Lokman menggaru kepala. Tak sangka semudah itu Hana nak terus terima. Dia pun tak berbincang dengan Nik tentang tawaran. Seketika, telefon bimbit Lokman berbunyi. Menandakan mesej masuk. Cepat saja jari Lokman melirik pada skrin telefon. Kemudian bibirnya di kemam menahan tawa.


Nik :            Tawaran ada 2.
1. RM10k/mth, Achieved monthly sales target = RM160k/mth. Commission 10% from nett profit. Cuti tahun dan cuti sakit ikut standard kesatuan sekerja. Mileage claim upon receipt. 
2. Terima pinangan aku. Dah jadi bini, bonus sepanjang tahun. 😊
Lokman :     Kau serius ke main-main ni?????
Nik:             Cuba je kau tanya kalau kau berani lah.

Terbatuk Lokman dibuatnya. Hidung digosok sambil berpaling memandang ke meja sebelah. Nik buat muka selamba mencicip teh tarik sambil balas mesej di telefon.
“Errr... tawarannya ada dua. Satu RM10k/month, Achieved monthly sales target = RM160k/month. Commission 10% from nett profit. Cuti tahun dan cuti sakit ikut standard kesatuan sekerja. Mileage claim upon receipt,” jelas Lokman. Sebiji diikut apa yang ditulis oleh Nik dalam mesejnya.
“Hmmm...menarik. Yang lagi satu?” Soal Hana yang teruja nak tahu.
Murni yang duduk mendengar di sebelah sudah senyum meleret. Suka dengar tawaran yang selayaknya diterima oleh Hana. Itu sudah cukup membuka jalan bagi Hana memulakan kehidupan baru.
“Tawaran yang ke dua ni spesial sikit,” ucap Lokman. Peluh halus di dahi di lap dengan belakang tapak tangan. Silap cakap mesti Hana salah faham pula nanti. Mata sempat menjeling ke meja depan. Nik sedang menikmati roti canai banjir dengan penuh berselera. Hantu punya kawan! Marah Lokman.
“Cakap je lah. Saya dah tertarik dengan tawaran Lokman dan Nadia ni. Dah tahu sepenuhnya bolehlah saya buat keputusan,” polos balas Hana. Peluang begini datang hanya sekali.
“Terima pinangan aku. Dah jadi bini, bonus sepanjang tahun,” senafas Lokman menjelaskan tawaran kedua. Terbeliak mata Hana. Murni yang di sebelah sudah terbatuk terkejut.
“Excuse me. Are you damned serious???” Soal Murni terkejut. Hana tergamam. Tak tahu nak soal apa.
Lokman tersenyum kelat. Sempat telinganya mendengar tawa halus di meja depan. Hawau, punya kawan!
“Sorry! Sorry! Salah. Salah. Sebenarnya...” penjelasan Lokman termati.
Kemunculan Azlan di sebelah meja buatkan semua tergamam. Murni layang muka jengkel yang meluat sangat. Hana acuh tak acuh saja pandang pada Azlan.
“Patutlah abang ajak rujuk, Hana tolak. Rupanya dah pasang spare part,” sinis bahasa Azlan.
“Bro, kau dah salah faham ni bro,” bela Lokman. Tak senang dengan salah sangka Azlan.
“Aku cakap dengan dia. Bukan dengan kau,” tengking Azlan. Nampak sangat riak wajah menyinga Azlan. Hana tayang muka tenang tak terkuit langsung dengan sindiran kasar Azlan.
“Eh! Kalau dia ada spare part pun, kau sakit hati kenapa? Dia dah single. Dia berhak cari bahagia dia sendiri,” celah Murni. Dia pulak yang panas hati.
“Bahagia apanya kalau jantan ni pun dah ada bini. Apa bezanya kalau dia rujuk dengan aku. Bermadu jugak,” provok Azlan. Dia kenal siapa Lokman. Mereka selalu berjumpa di kafe dulu.
Laju kepala Hana berpaling memandang tajam pada Azlan. Sindiran pedas Azlan sudah melampau. Murni yang duduk selesa di sebelah Hana sudah macam cacing kepanasan. Dia memang dah hilang sabar. Namun, Hana pegang jarinya kuat. Halang Murni meroyan di sini.
“Aaa...”kata Hana terhenti.
“Sayang, sorry I lambat sikit. You dah order kan makanan I ke?” Celah Nik tiba-tiba. Tangan kirinya memegang belakang kerusi Hana. Terkejut Hana dan Murni memandang gaya selamba mesra Nik.
Azlan pelik pandang Nik yang berdiri di sebelahnya. Gaya terlebih mesra Nik pada Hana buatkan dia sakit hati. Lokman tunduk dengan tangan kanan garu dahi sendiri. Tak tahan nak gelak sebenarnya. Nik memang saja cari nahas.
“Sayang, apa pandang I macam tu. Dah rindu ya,” usik Nik. Riak terkejut Hana terus bertukar jadi buntu. Hingga terkebil-kebil matanya memandang Nik yang berdiri sebelahnya. Kepala digeleng kemudian di angguk dan digeleng semula.
“Bro sorrylah aku sakit perut tadi,” jelas Nik sambil menghulur tangan pada Lokman yang layan saja drama sebabaknya.
“Tak apa. Aku faham,” balas Lokman. Sambut salam Nik.
“Eh! Hai. Aku Nik Zachary, special man Hana,” kata Nik perkenalkan diri. Tangan dihulur pada Azlan.
“Azlan, suami Hana,” balas Azlan.
“Hah! Sayang?” Nik saja buat terkejut. Diajukan soalan buntu pada Hana.
“Bekas suami. Azlan ni bekas suami Hana,” jawab Hana bernada geram. Rasa nak dikunyah dua makhluk bertanduk depan matanya ini. Selamba badak je mengaku lelaki istimewa dalam hidupnya.
“Fuh! Lega. You tahukan I dah sayang gila kat you. Tak sabar je nak tunggu you bagi kata putus ‘Yes. I do,” kata Nik menghangatkan suasana.
Azlan genggam tangannya menahan geram. Dia tak tahu pula, Hana mudah terima cinta baru. Dia kenal siapa Hana. Rahang pipinya bergerak nak tempiaskan rasa bengang pada Nik. Murni gelak dalam hati. Suka sangat drama sebabak yang dilakonkan Nik sekarang ini. Biar padan dengan muka Azlan.
“Dahlah Lan. Hana dah tahu you nak nikah dengan Aina bulan depan. Tak payahlah you fikir nak rujuk balik. Dia pun dah ada pengganti baru yang jauh lebih baik dari you,” celah Murni yang bersekongkol spontan dengan Nik.
“Huh!”
Azlan terus berlalu tinggalkan restoran. Panas telinga. Panas muka. Terbakar hatinya dengan berita yang baru diketahuinya itu. Tak boleh jadi. Hana tak boleh kahwin dengan orang lain. Hana tak boleh.

Murni terus bertepuk hi 5 dengan Nik. Suka sangat dengan drama sebabak spontan Nik. Lokman dah geleng kepala tak tahu nak cakap apa. Hana mencuka. 

Bahagia Bukan Bidaan - Hana & Aina

Murni bengang dengan Hana. Pagi tadi dia dah puas membebel pada Hana yang tiba-tiba buat keputusan untuk ke pejabat Azlan. Alasan Hana mudah. Nak selesaikan ‘back lock’ dengan Biah setiausaha Azlan. Permintaan terakhir Azlan katanya.
Pak su dan mak su pun dah cakap tak usah. Hana degil. Alasan Hana senang je. Dia pergi pejabat bukan sebab permintaan Azlan tapi masa depan staf yang kerja di situ. Dan sekarang lepas dah selesai di pejabat, Hana turun pula ke kafe di tingkat bawah.
Pekerja lama hanya tinggal tiga orang je yang bertahan. Yang lain semua dah berhenti. Sekarang semuanya muka baru yang Hana tak kenal langsung. Memang nampak bezanya suasana di kafe sekarang dengan masa dia ada dulu.
“Puan sihat?” Soal supervisor.
“Alhamdulillah. Wah! Semua muka baru ya. Bergetah dengan uniform baru,” puji Hana ringkas. Pembaharuan kafe yang kelihatan mewah di mata Hana. Pasti kos operasinya pun turut meningkat. Telah Hana sekilas.
“Pengurusan baru puan. Strategi pemasaran pun baru. Itu yang ramai berhenti. Tak tahan dengan kerenah pengurusan baru yang tak tetap pendirian,” cerita supervisor cukup ringkas. Namun, cukup difahami oleh Hana.
Bukan mudah nak menguruskan perniagaan runcit yang menguruskan aliran tunai keluar masuk setiap hari. Nak pula, dalam bentuk makan minum. Peratusan untung rugi hujung jari je. Silap percaturan boleh rugi besar. Betul pengiraan boleh untung berganda. Cabarannya pun banyak. Tak boleh ambil ringan faktor tukang masak, tukang buat air dan pelayan. Malah faktor kebersihan dan layanan pada pelanggan pun dititik beratkan.
“Eloklah tu. Pembaharuan yang menguntungkan kafe,” puji Hana. Dia tak mahu komen lebih. Kafe ini bukan urusannya lagi.
“Elok apanya puan. Sales bulan lepas pun tak capai target. Dah dua bulan sales tak capai target ni. Lepas ni tak tahulah apa yang encik nak tukar,” adu supervisor.
“Dia lebih arif. Ikutkan je,” balas Hana mudah. Supervisor angguk. Setuju.
 Murni yang duduk sebelah Hana hanya diam mendengar. Dari pagi tadi telinganya dipasung mendengar komen negatif tentang pengurusan Azlan. Kat pejabat tadi pun, dia dengar ada beberapa orang eksekutif kesayangan syarikat berhenti kerja dengan notis sebulan. Biah  yang dah bekerja lebih empat tahun tu pun dah mula hantar resume pada syarikat lain. Tak tahan katanya.
“Assalamualaikum puan,” tegur Nooraina yang berdiri di meja Hana.
“Waalaikumsalam. Tak payahlah panggil saya puan. Panggil Hana cukup,” ucap Hana lembut. Ini pertama kali dia bersemuka dengan Nooraina selepas kejadian hari itu. Entah kenapa, tiada rasa marah dan dendam dalam hatinya.
Murni angkat kening menyoal siapa perempuan ini pada Hana. Hatinya rasa lain macam saja tengok gaya ayu dengan penampilan mewah Nooraina dengan beg tangan, kaca mata hitam dan kasut berjenama mewah.
“Kita duduk sanalah puan. Lebih privasi,” minta Nooraina. Segan pula dia berdepan dengan Murni yang stylo walaupun gayanya ringkas. Hana sengih kelat. Geleng kepala.
“Lupa nak kenalkan. Ini kawan baik saya, Murni. Uni kenalkan ini Aina,” jelas Hana memperkenalkan Aina pada Murni.
Terbeliak mata Murni dengar nama itu disebut. Muka yang tadinya cool kini dah bertukar macam incredible huk. Sialan!
Nooraina takut-takut nak tarik kerusi dan duduk semeja dengan Murni. Tapi isyarat Hana suruh duduk diikutkan saja. Dia percayakan Hana.
“Kau nak buat apa duduk semeja dengan betina ni, Hana. Jom kita balik. Uni jijik nak dengar dia cakap. Tengok muka dia pun meluat,” kata Murni dah tarik tangan Hana. Nooraina telan liur. Jantung dah dup dap dup dap kecut.
“Uni sekejap. Bagi peluang Aina nak cakap. Dia memang dah mesej pada Hana nak jumpa kat sini. Hana saja tak cerita pada Uni. Hana nak Uni temankan Hana bersemuka dengan Aina. Untuk menghalang timbul fitnah yang tak sepatutnya,” pinta Hana lembut. Murni mengeluh. Dijeling menyampah pada Nooraina.
“Please,” pinta Hana merayu.
“Yalah. Yalah. Hana cakaplah dengan betina ni. Uni duduk kat meja sana. Bernanahlah dengar suara ayu dia tu,” kata Murni meluahkan rasa meluat.
Hana angguk. Nooraina lepas nafas lega bila Murni meninggalkannya sendirian dengan Hana. Ada banyak yang ingin disampaikan pada Hana.
“Puan nak minum apa?”
“Saya tak layak dipanggil puan lagi, Aina. Tak apa, saya puasa sunat hari ni. Ada apa Aina nak jumpa saya?” Lembut balasan Hana.
Nooraina telan air liur. Ketenangan Hana buatkan hatinya rasa bersalah sangat. Nak pulak lepas mendengar leteran dari ibunya. Cinta dan perhatian Azlan buatkan dia buta melihat realiti depan mata. Nafsu melebihi segala-galanya.
“Saya nak minta maaf. Saya tak pernah terniat pun nak rosakkan rumah tangga puan. Saya...”
“Dah, Aina. Dah. Macam saya pernah cerita pada awak sebelum ini. Dalam perhubungan cinta, kita tak pernah akan kenal pasangan kita. Sifat tu sentiasa berubah. Sebelum bertunang lain. Lepas bertunang lain. Lepas nikah pun lain. Lepas lima tahun kahwin lain. Lepas sepuluh tahun lain. Lepas enam belas tahun pun lain. Jadi untuk itu, perempuan kena sentiasa bersedia. Awak pun tahu kisah Encik Azlan sebelum ini kan. Sebelum awak jadi girlfriend dia pun, dia pernah ada perempuan lain. Cuma satu je saya nak minta tolong awak,” pinta Hana.
“Apa puan?”
“Pulihkan nama bekas suami saya ni pada mata staf, klien dan pembekal. Saya yakin, berita penceraian kami beri impak negatif pada syarikat. Staf ramai yang dah berhenti. Medina yang dah lama kerja sini pun dah berhenti. Azlan,  seorang ketua yang berkaliber. Seorang lelaki yang bertanggungjawab. Saya nak tengok dia terus sukses capai cita-cita dia,” pinta Hana.
Tergamam Nooraina. Dia tak pernah fikir akan berdepan dengan situasi sebegini. Disangkanya, pertemuan empat mata ini akan berselang seli dengan haburan marah dan deraian air mata. Tapi ini, lain!
Dipandangnya pada Hana yang tenang depan matanya. Sinar mata Hana dapat dilihat betapa sedihnya hati seorang isteri. Kelihatan susuk tubuh yang sedikit kurus dari biasa. Sudah cukup membuktikan wanita ini sengsara batinnya.
“Rujuklah kembali dengan Encik Azlan, puan,” ucap Nooraina terpacul tanpa sedar.
Nooraina sendiri tergamam. Menyesal. Hana tersenyum tawar. Nampak kekalutan Nooraina yang terperangkap dengan permintaan sendiri. Dipandangnya kiri dan kanan restoran.
“Saya sedang belajar untuk move on, Aina. Sepanjang bergelar isteri dulu, saya hanya beri tumpuan pada rumah tangga saya je. Saya hanya fikir syurga saya bawah kaki suami saya. Sampai saya abaikan diri sendiri. Saya abaikan keluarga saya sendiri. Saya abaikan kawan-kawan saya. Sekarang saya nak kenal balik siapa diri saya.”
“Tapi puan. Encik Azlan sayangkan puan,” kata Nooraina separuh menduga. Ingin dikorek rasa di hati Hana.  
“Sayang saja tak cukup untuk buatkan rumah tangga itu bahagia Aina. Cinta saja pun tak menjamin bahagia. Pasangan perlu ada ikatan cinta mencintai. Satu rasa yang tak boleh dipaksa. Rasa yang buatkan mereka saling memerlukan. Saling melengkapi. Saling melindungi. Saling menyayangi. Saling membimbing satu sama lain. Mengingati tugas sebagai seorang muslim. Itulah bezanya saya dengan Azlan. Itulah yang buatkan saya nekad untuk berpisah.”
Jelas Hana. Untuk dia teruskan hidup dalam membina bahagia, dia perlu memaafkan dan melupakan kisah sedihnya dengan Azlan. Macam yang Nik cakap hari tu. Selagi masih bersujud pada yang satu, jangan pernah putus asa.   
“Tapi puan...” bicara Nooraina termati bila jarinya disentuh Hana.
“Tolong saya, Aina. Untuk bersemuka dengan awak setenang ini pun saya ambil masa. Saya tak kuat. Saya pun sama macam perempuan lain. Terlalu kecewa bila diceraikan kerana orang ketiga. Setakut mana pun saya dari bergelar janda, tapi itulah pilihan saya... saya dah maafkan awak. Ambillah iktibar perjalanan hidup saya ni. Berubahlah. Dan berusahalah untuk bina bahagia awak sendiri. Assalamualaikum,” ucap Hana lembut. Ditepuk jari Nooraina bersama senyum kelat.
Hana berdiri. Nooraina belum habis meluah. Murni yang memerhati dari meja sebelah sudah turut sama berdiri.
“Puan,” panggil Nooraina. Hana pandang padanya.
“Akhir bulan depan saya akan bernikah dengan encik. Saya nikah di Masjid Shah Alam. Kenduri pun dibuat kat situ.”
Hana berpaling membelakangkan Nooraina. Bagai ditoreh hati mendengar berita itu. Wajah yang tadinya tenang kini sudah goyah dek rasa sakit yang berganda.
“Tahniah. Moga awak berbahagia sampai akhir hayat awak,” ucap Hana. Langkah diatur perlahan meninggalkan meja.
“Puan, saya boleh tolong puan dapatkan Kimi dan Ida semula,” suara Nooraina bergema kuat. Terhenti langkah Hana. Dengan bibir yang bergetar menahan sedih dia berpaling memandang Nooraina.
“Puan nikah baru. Saya janji, Kimi dan Ida akan bebas jumpa puan lepas tu,”ucap Nooraina penuh yakin.
Murni terus memaut lengan Hana. Lagi mengebu rasa bencinya pada perempuan yang bernama Nooraina. Ditariknya Hana keluar dari kafe.
“Celaka! Memang berjodoh betul kau dengan si mangkuk ayun tu. Aku doakan korang berdua menikmati azab cinta korang tu,” bebel Murni.
Hana lemah. Ketenangan yang dikumpulnya hilang. Yang ada cuma rasa kosong dan kehilangan yang tak dapat nak diluahkan. Dipandang wajah Murni dengan pandangan mata kalahnya.
“Dia orang dah nak kahwin Uni,” bisik Hana.
“Lantaklah. Kau jangan lemah Hana. Ingat, kau dah mula move on. Kau nak mulakan hidup baru. Jangan perduli langsung fasal Azlan, fasal pejabat dia, fasal kafe. Lantaklah nak telingkup ke. Nak bankrup ke. Itu tanggungjawab dia. Kau dah lepaskan semua pada dia. Kau kena ingat. Kau kena bangit. Kau kena tunjukkan pada si mangkuk ayun tu, kau mampu berdikari. Lepas tu kau tuntut anak-anak kau semula,” ucap Murni memberi semangat pada Hana.
Bahu Hana yang dipegang digoncang oleh Murni. Hana hanya angguk.

Aku perlu move on. Bagaimana aku perlu move on, jika kesakitan itu sering hadir mengingatkan aku erti kecewa. Ya Allah! Lapangkanlah dadaku. Titipkanlah kesabaran yang luas dalam hatiku. Aku mohon Ya Allah. Aku mohon kekuatan dariMu. Pinta hati kecil Hana.