Friday, May 11, 2018

Bab 2

ELINA Maisara menatap gambar lamanya yang di susun di atas meja panjang di ruang tamu. Gambar yang diambil bersama Almarhumah nendanya di sebuah cottage yang dipanggil Istana Hinggap mereka di Amsterdam. Di sanalah dia dididik menjadi seorang puteri yang berjiwa rakyat. Dia bebas mengekspresikan diri dengan semua benda baru dalam lingkungan batas yang dipantau oleh nendanya.

“Nenda, Elly rasa sakitnya. Cinta ni sangat sakit. Nenda suruh Elly jujur pada diri sendiri. Ikut apa kata hati Elly bila Elly keliru. Tapi sekarang tengok. Dia tolak Elly mentah-mentah, sebab Elly gemuk. Gemuk, nenda. Tak layak ke orang gemuk macam Elly ni bercinta?”

Elina mengongoi di riba nenda. Sudah sehari suntuk dia berkurung dalam bilik hingga mengabaikan makan. Risau semua petugas di Istana Hinggap bila puteri bongsu yang dulunya ceria kini berduka.

“Siapa kata orang gemuk tak layak bercinta. Sayang dengar sini, nenda nak cakap. Orang boleh je zalimi kita. Boleh je kecewakan kita. Tapi dia lupa. Semua tu tak akan berjaya sekiranya kita tak benarkan semua tu terjadi pada diri kita. Macam yang Elly buat sekarang ni la, Elly benarkan Megatron rosakkan diri Elly. Hentikan! Cucu nenda ni seorang yang hebat. Seorang yang cantik pekertinya.”

Teresak Elina dibuatnya. Cinta pertama yang diharapkan membahagiakan rupanya mengajar erti kecewa yang sangat menyakitkan.

“Pedulikan dia. Siapa nama dia? Payah nenda nak ingat.”

“Megatron.”

“Ha, pedulikan si Megatron tu. Nama dia pun buatkan nenda tak yakin dia mampu bahagiakan cucu kesayangan nenda ni. Dah tu. Wake Up. Ingat pesan nenda ni sampai bila-bila. Nikmat hidup yang paling bahagia adalah bila kita berjaya membina sukses pada sesuatu yang orang lain kata kita tak mampu lakukan. Tunjukkan pada mereka, Tengku Elina Maisara terbaik.”

Terhenti tangisan Elina. Semangat nenda buatkan matanya kembali memandang pada bilik pakaian yang terdedah. Gantungan baby shirt yang tersusun berderet di depan almari buatkan dia nekad. Ya, nekad untuk kurus!

“Nenda, boleh ke Elly kurus?”

Pertanyaan polos Elina secara tiba-tiba buatkan nenda tertawa kecil. Kuat betul penangan seorang lelaki yang diberikan jolokan Megatron hingga si puteri bongsu yang tak kisah akan berat badannya berubah.

“Siapa kata tak boleh? Boleh. Nanti nenda suruh Ayu jadi trainer Elly kat gim. Ayu tu ada sijil fitness. Nenda yakin, Ayu boleh bantu Elly ikut mana-mana program mengurangkan berat badan.”

“Alaaa kena masuk gim ke? Tak boleh ke Elly pergi sedut lemak je nenda. Atau makan pil yang dijual kat klinik tu?”

Nenda geleng kepala. Kepala Elina dibelainya lembut. Kesian si puteri bongsu, baru nak kenal cinta dah kena reject. Tapi silap dirinya juga. Baru seminggu mereka rapat. Manalah si Megatron tu tak terkejut beruk. Sudahlah badan Elina gebu berbanding dengan Megat yang mempunyai pakej mempesona yang lengkap. Lumrah manusia hanya menerima kecantikan yang terzahir di mata. Yang terselindung langsung tak dihiraukan. Rugi!

“Sayang, dalam dunia ni tiada jalan pintas untuk capai sesuatu. Biarlah Elly kurus sikit demi sikit dengan bersenam dan menjaga pemakanan sebab Elly bukan nak kurus sebab Megatron kan? Elly nak kurus sebab Elly nak sihat. Elly nak nampak cantik untuk pakai baju-baju tu kan?”

“Ya, Elly bukan nak kurus sebab Megatron. Elly nak kurus sebab Elly nak rasa cinta. Elly nak rasa jadi isteri yang dicintai sebab diri Elly bukan sebab Elly cucu nenda atau puteri bongsu hartawan terkenal, Tengku Abidin.”

Polos jawapan Elina. Tiada satu pun tersorok daripada pengetahuan nenda. Itu yang buatkan dia menjadi kesayangan dan kepercayaan nenda sampai ke hari ini. 

“Elly! Elly!”

Suara nyaring Ayu yang memanggil buatkan Elina meletakkan kembali bingkai gambar lama itu di atas meja. Kenangan manis bersama rahsia nan satu tu masih tetap tersimpan kemas di kotak ingatannya. Mampukah dia meninggalkan segala memori yang telah merubah hidupnya? Hanya Dia yang tahu.

“Ya, saya Kak Ayu.”

Ayu muncul depan Elina bersama tablet di tangan. Menguruskan jadual harian Elina yang semakin padat sekarang ni perlukan komitmen dan komunikasi yang berterusan. Tak terkejar nak melayan kerenah Elina yang nak menikmati kepuasan bebas sebelum tamat tempoh perjanjiannya dengan ayahandanya, Tengku Abidin.

“Bukan ke hari ni Elly ada photoshoot jam sebelas pagi kat Dewan Anggerik di Bukit Damansara tu?”

“Haah nak pergilah ni.”

Elina mengalas beg kamera di bahu kirinya. Sementara sebelah kanannya pula mengalas beg tangan. Kunci kereta yang terletak di atas meja dicapainya.

“Petang ni jangan lupa ke warehouse Soup Kitchen jam lima petang. Kak Ayu tunggu kat sana. Barang-barang semua kita dah hantar ke sana.”

Ayu membuntuti belakang Elina sambil menjelaskan satu-persatu aktiviti yang melibatkan Elina dalam kegiatan amalnya. Orang lain sibuk turun padang beri gelandangan makanan. Elina pula, tak nak buat macam tu. Dia lebih suka melakukan kerja di belakang tabir. Dia keluarkan modal untuk memasak dan membungkus sendiri makanan yang ingin diberikan pada gelandangan. Tugas memberi diserahkan pada organisir aktiviti.

 Langkah Elina terhenti. Ditoleh ke belakang memandang pada Ayu yang sibuk memberi penerangan.

“Kak Ayu, lagi tiga bulan je Elly boleh bebas macam ni kan. Lepas tu Elly dah kena ikut serta dalam syarikat. Kahwin dengan pilihan ayahanda. Kenapalah Elly tak cari suami je kan? Kalau dah jumpa, mesti Elly bebas. Boleh jadi diri Elly yang sebenar. Tak terikat dengan pangkat dan protokol ni semua.”

Luah Elina tiba-tiba. Entah kenapa, di saat-saat akhir perjanjian yang dimeterai dengan Tengku Abidin, hatinya rasa resah. Fikirannya jadi buntu nak meleraikan sesuatu yang kusut dalam hidupnya.

“Dahlah jangan fikirkan lagi. Elly jangan putus berusaha. Jodoh tak ke mana. Tapi itulah, Elly yang memilih sangat.”

Ayu lembut memujuk Elina. Dia tahu apa yang mengganggu fikiran si puteri bongsu yang dijaganya sejak zaman remajanya lagi. Selepas kemangkatan nendanya akibat serangan jantung enam tahun lepas, Elina meminta perkenan keluarganya untuk memberinya ruang masa lima tahun untuk hidup berdikari. Dia tak mahu terlibat dalam mana-mana urusan syarikat mahupun kaum kerabatnya di sini. Permintaannya diperkenankan dengan syarat. Sekiranya tamat tempoh tersebut dan Elina masih tak mampu cari calon suami, dia terpaksa akur dengan calon yang disediakan untuknya. Manalah si puteri bongsu ni tak sedih dan resah.

“Ada calon pun tak semenggah. Lagi pun untuk apa semua tu Kak Ayu. Selagi… ahhh malaslah nak fikir. Susah-susah sangat, bulan depan kita balik Amsterdam ajelah, kak.”





Bab 3



USAI selesai urusan menangkap gambar pengantin, Elina duduk makan bersama Tajol, abang susuannya. Sejak pulang ke Malaysia setahun yang lalu, dia memilih untuk berhubung rapat dengan keluarga susuannya di kampung. Nak merasai cara hidup orang kampung sebetulnya.

Dibesarkan oleh Almarhum nenda di Amsterdam buatkan dia kurang arif tentang kehidupan masyarakat di Malaysia. Balik sekali sekala ke Malaysia pun, bukannya bebas buat itu ini. Semuanya kena ikut aktiviti yang disusun oleh keluarga. 

“Kot ya pun penat janganlah ditunjuk kat muka. Depan rezeki ni,” tegur Tajol. 

Selaku abang dan juga rakan kongsi pada si bongsu ni bukannya mudah. Dia degil dan ikut sedap kepala dia je nak buat semuanya sendiri. Itu yang buatkan abang kandungnya, Tengku Emran pening. Mujurlah ada Ayu, pembantu peribadi merangkap pengawal peribadi yang sering mengekor Elina ke mana-mana saja. Terkawallah sikit perangai gilanya tu.

Pelik! Orang lain nak hidup senang. Nak hidup mewah. Berharta, berpangkat. Tapi si bongsu yang sorang ni, nak merasai cabaran hidup susah macam orang biasa. Sanggup berhujan, berpanas semata-mata nak pikul rasa tanggungjawab. Tak nak orang tahu siapa asal usulnya melainkan anak angkat Abah Aji iaitu Haji Arifin, bekas guru agama di Istana nendanya dulu. Berbuih mulut Tengku Abidin, ayahandanya menegah. Dia tetap dia.

“Abang Taj, kenapa masa ni cepat je berlalu. Pejam celik, pejam celik dah nak setahun Elly balik sini. Tiga bulan lagi Elly dah tak leh bebas macam ni. Ayahanda dan bonda pula, dah tak sabar nak uar-uarkan pada dunia yang puteri bongsu mereka dah balik Malaysia,” lemah bicara Elina.

“Ibu ayah mana yang tak sayangkan anak, Elly. Lagipun, sampai sekarang Elly tak jumpa orang tu kan? Nak buat macam mana, dah itu perjanjian Elly. Reda aje laaa,” kata Tajol mengingatkan Elina.

 Perkenan Tengku Abidin menurut kehendak Elina itu bukan diberi dengan membabi buta je. Abah Aji dan Mak Aji diberikan tanggungjawab untuk membimbing Elina mendalami ilmu menjadi seorang isteri solehah. Daripada ilmu memasak, mengemas hinggalah pada adab bersosial dalam rumah tangga. 

Elina mengeluh. Abang dan kakaknya, bukan main senang lagi cari pasangan hidup. Belum habis belajar dah ada calon. Dia pula sampai sekarang masih terkial-kial mencari. Macam terkena sumpahanlah pula, payahnya. 

Macam-macam jolokan yang diberikan padanya. Ada yang kata dia ni ‘playgirl’ sebab senang sangat keluar dengan lelaki sampai bingit telinganya mendengar Mak Aji membebel tak henti-henti. Tapi lepas dia berubah dan jual mahal sikit, lekatlah pula jolokan ‘ice queen’, sampaikan Abah Aji sendiri yang nasihatkannya jangan kasar sangat dengan lelaki.  Ahhh dunia ni tak pernah nak senangkan hidup gadis sepertinya dalam nak mencari jodoh dengan sesuka hati.

Tangan masih menyuap nasi minyak berlaukkan ayam merah. Menu wajib bagi majlis perkahwinan Melayu. Ikutkan hati, dia memang dah muak makan menu yang sama selang seminggu sepanjang musim cuti sekolah ni. Tapi nak buat macam mana, dah itu je yang dihidangkan pada jurugambar pengantin macam dia ni. Nak tak nak telan ajelah. 

“Hai, Elly kan ni?” sapa seorang lelaki kacak lagi smart yang tiba-tiba berdiri di sebelah Elina.

 Elina mendongak pandang. Tajol pula memandang padanya. Senyum kelat campur terkejut terpamer di wajah Elina.

“Tengku Harris!” 

“Haaa mujur I perasan you. Mula-mula tadi takut juga. Takut silap orang. Tapi bila tengok lesung pipit you tu, I beranikan diri,” Harris tanpa disuruh menarik kerusi dan duduk bersebelahan Elina. 

Elina ketawa buat-buat. Kemudian dia toleh pada Tajol yang masih dengan pandangan mata inginkan penjelasan. 

“Crush mestilah tak lupakan?” Sinis balasan Elina sambil memberi hint ringkas pada Tajol.

“Sebab itulah I beranikan diri tegur. Dah lama I cari crush yang tiba-tiba hilang dari radar ni. Sampai sekarang I masih tak boleh lupa percutian kita kat Bali tu tau.”

Cerita Harris membuka nostalgia percutian mereka dahulu. Bercantum kening Tajol mendengar perkataan ‘percutian bersama kita’ yang baru keluar di bibir lelaki bernama Harris ini. Elina telan liur bila melihat perubahan riak wajah Tajol. Ada yang kena pelangkung ni karang.

Hantu kau Harris. Dulu memanglah aku pernah crush kat kau. Tapi agak-agaklah. Itu cerita dua tahun lepas. Aku tak cukup matang lagi. Bebel Elina dalam hati. 

“Iya! Oooo... Harris kenalkan. Hubby I, Tajol. Sayang, kenalkan ni mantan crush I. I jatuh cinta dan kenal dengan Harris ni masa trip ke Bali dua tahun lepas kalau tak silap. Dia caring sangat masa tu. Betulkan Harris?” jelas Elina cukup bersahaja.

Tajol buat muka serius. Kepala dianggukkan. Dia tahu tentang cerita di Bali tu. Dalam hati punyalah berguling gelak tengok perubahan riak wajah Harris bila dirinya diperkenalkan. 

Ooooo... ini ke dia Tengku Harris, anak Tengku Mahmud tu.  Aku pernah dengar nama dia ni. Crush tiga hari si bongsu. Agak-agaklah Elly ooiii. Crush pun boleh jadi mantan ke? Masaklah kau Harris. Masak! Kau mesti dah buat pasal dengan si bongsu ni. Kalau tak, takkan terus di‘mantan’nya kau sebelum waktu.

“Hah! You dah kahwin. Bila?..."

Bab 4

“Hah! You dah kahwin. Bila? Kenapa tiada siapa pun cerita kat I pasal you dah kahwin. Kawan-kawan I yang kenal you pun, tak ada cerita apa-apa kat I,” balas Harris yang payah nak terima ayat Elina. Hatinya kuat menyatakan Elina masih bujang. Sejak percutian di Bali tempoh hati, dia memang mencari jejak Elina sampai sekarang tapi tak jumpa.

Elina selamba menyambung makan. Malas nak layan sebenarnya. Ingatkan lepas kenalkan Tajol sebagai suami, Harris akan bangun terus. Ini tak, banyak soal pula. Ahhhh rimasnya!!

“I tanya you satu teka-teki ya, Harris. Biasanya pasangan pengantin diraikan penuh meriah sebab cinta dan direstui. Tapi ada juga pasangan kekasih yang dah kahwin tapi senyap. Agak-agak sebab apa?” soal Elina sambil makan. 

“Err... mungkin mereka kahwin lari sebab tak direstui, atau kahwin terpaksa sebab dah kena tangkap,” jawab Harris. Teragak-agak sebenarnya nak jawab teka-teki Elina ni. 

“Haaa betullah tu. I kahwin sebab kena tangkap khalwat. Betulkan sayang,” jawab Elina selamba.

Tajol yang sedang meratah ayam goreng terus tersedak. Mujur tak tercekik tulang ayam. Bulat matanya memandang pada Elina. Selamba badak je budak ni beri alasan. Kalaulah ada orang dengar, tak ke jadi fitnah. Elina! Elina!

“Oh!!!” Terlopong Harris. Kepala tak mampu nak hadam kata-kata Elina. Masakan Elina yang kejang kaku ni boleh sampai tertangkap khalwat. Dulu nak peluk pun tak boleh. Tangan tu nak cuit sikit pun tak dapat. Inikan pula kena tangkap khalwat? Mustahil!

“Sayang, apa cerita macam tu. Inikan dah ketentuan jodoh. Lagipun kita sayang satu sama lainkan,” akhirnya Tajol bersuara. Tak mahu Elina menokoh tambah cerita untuk melepaskan diri daripada mantan crush yang jelas tak boleh terima alasan Elina dah berkahwin.

“Maaflah bro. I ni tak tahu cerita pasal korang dah kahwin. Itu yang tanya soalan yang bukan-bukan tu. Anyway, tahniah dan selamat pengantin baru daripada I,” ucap Harris serba-salah. 

“Pengantin basi dah. Dah setahun pun. Elly ni je yang anggap macam benda tu baru. No hal lah bro,” balas Tajol cukup tenang. Seksa perut menahan rasa nak gelak gara-gara Elina ni. 

“Moga bahagia sampai ke anak cucu. Okeylah, I nak pergi jumpa pengantin perempuan. Itu pun bekas girlfriend I. Apalah nasib, semua bekas girlfriend dah kahwin. I juga yang belum kahwin-kahwin lagi,” gurau Harris nampak sedikit pincang. 

Elina yang sedang menyuap, terus terhenti seketika. Bibir mencemik. Kemudian disambung je makan. Ada aku kesah!!!

Berlalu saja Harris dari meja mereka, Tajol menundukkan kepalanya untuk melepaskan tawa yang disimpan. Berair matanya menahan gelak. Elina! Elina! 

“Dahlah. Eeeee… Si Harris tu perasan lebih. Tiga hari je pun jadi crush. Tak sempat nak jadi boyfriend pun dah jadi mantan. Mengong! Nampak tak tahap gelojoh dia tu. Grrrr... lelaki ni kena masuk sekolah adab pergaulan kot. Lepas sorang, sorang kerek,” bebel Elina.

“Awak tu yang kerek tak sedar diri. Dengar dek Kak Yati, mesti dia gelak sampai terkencing ni. Masuk yang ni, rasa abang dah lebih dua puluh orang Elly cakap yang abang ni hubby Elly. Nasiblah kita ni adik-beradik susuan. Kalau tak memang Kak Yati kat rumah tu dah cincang Elly,” gelak Tajol.

“Sebab tulah Elly berani cakap abang ni hubby Elly. Kalau tak hmmmm nak mampus. Kata-kata tu kan ke doa. Tak nak lah Elly.  Lagipun kalau Mak Aji dan Abah Aji kat umah tu tahu fasal ni, memang Elly kena penjara kat umah,” balas Elina. 

Abah Aji panggilan manja Elly bagi Haji Arifin, suami kepada ibu susuannya. Masa Elina lahir, entah macam mana nendanya pinta isteri Haji Arifin  menyusukannya. Sampai sepuluh kali kenyang. Permintaan nenda itu dipersetujui oleh semua pihak. Alasan nenda, cucu bongsu ni perlu berjiwa rakyat. Biar bertanggungjawab, taat dan mendengar kata orang tua.

“Tahu pun. Ingat, Abah Aji kat umah tu selalu cakap, jangan bohong. Berdosa.” usik Tajol. 

“Bohong sunat, dimaafkan. Ni namanya strategi mengelak mantan kembali.” 

Terbahak-bahak Tajol mentertawakan Elina. Manalah datangnya istilah bohong sunat ni semua. Ajaran sesat semua tu. Bohong tu bohonglah. Tak payah nak disunat-sunatkan. Panjang akal sangat, inilah jadinya. 

Elina melepaskan keluhan. Pencariannya bukanlah susah sangat. Tapi payah betul nak jumpa. Dah jumpa tapi milik orang pula tu. Jangan buat dajal. Dia masih belum terdesak nak ambil milik orang lain. 

 


Misi Pencarian Tengku Puteri Elina Maisara

Lelaki tulen, macho, penyelamat, pembimbing, penceria, perawan, peramah, penawar, penyejuk dan pemandu kehidupan yang hebat.

 “Ke aku kena tukar misi pencarian aku kot,” bicara Elina pada diri sendiri.